Khamis, 8 Disember 2011

Seni dan Sistem Seni

Disusun oleh: Faizal Sidik

Esei ini adalah syarahan yang telah disampaikan oleh Zainol Abidin Sharif (Zabas) dalam Seminar Pangantar Seni Lukis Kontemporari Asia Tenggara yang telah diadakan di Balai Seni Visual Negara pada 2010.

Untuk kita memahami selok belok dan latar belakang seni moden Malaysia kita harus juga mempunyai sedikit kefahaman seni moden barat. Jika kita menyoal diri kita apakah itu seni, dalam konteks seni lukis moden kita harus fahami persoalan ini dalam konteks barat. Disini juga saya nyatakan wujudnya Balai Seni Visual Negara dalam suatu keadaan yang muncul daripada pengalaman pembaratan negara kita. Hakikat muzium seni lukis dan hakikat balai seni lukis adalah suatu yang tidak wujud di luar barat tetapi datangnya daripada budaya barat sebagaimana kita fahami. Perihal ini bukan bermakna tiada budaya muzium bukan barat ,tetapi kewujudan muzium atau balai seni yang khusus kepada seni adalah sesuatu yang dibentuk dalam konteks sejarah seni barat. Memahami bahawa apa yang dikatakan sebagai seni datang daripada barat adalah apa yang kita katakan sebagai seni moden, maka kita harus sedar bahawa di barat juga apa yang dianggap seni bukanlah sesuatu yang telah wujud dari zaman purbakala.

Seni dalam sejarah barat sebagaimana yang kita fahami adalah sebagai seni yang diletakkan di muzium dan digaleri hanya wujud lebih kurang 200 tahun. Sebelum itu iaitu sebelum abad ke-17 idea seni dan konsep seni itu berlainan, tidak seperti konsep yang kita fahami sekarang. Jelaslah ini wujud juga dalam semua budaya bukan barat bahawa seni itu bukan suatu bidang yang berlainan ianya adalah sebahagian dan sebati dengan kehidupan semasa kehidupan manusia. Apakah itu seni sebagaimana yang kita fahami?

Apabila kita melihat, merasa, menyentuh, berfikir, mengingati sesuatu, menciptakan, menghasilkan, mengidamkan dan memimpikan sesuatu kita sebenarnya menggunkan bahasa-bahasa dan simbol-simbol budaya yang kita ada, tanpa simbol-simbol ini dan tanpa bahasa-bahasa yang wujud dalam tamadun manusia kita tidak berupaya melakukan apa yang saya katakan awal tadi. Kita lihat menerusi simbol, menerusi bahasa, kita rasa, fikir, mimpi, mencipta sesuatu mengikut simbol-simbol dan nahu-nahu bahasa. Apa yang dimaksudkan disini adalah bahasa bukanlah bahasa yang kita gunakan untuk bertutur, bahasa disini adalah bagaimana kita memerlukan sistem-sistem tertentu untuk hidup. Dari segi ini seni adalah sesuatu atau sebuah bahasa, malah seni adalah merupakan satu-satunya bahasa yang diberi keistimewaan oleh manusia.

Dengan itu apabila kita melihat seni dan apabila kita menghayati seni kita mula memahami bagaimana gambaran atau imej-imej ataupun persembahan-persembahan mendapat makna, menerusi senilah, menerusi penghayatan seni, mengkaji seni kita menyedari adanya makna kepada imej, gambaran dan persembahan-persembahan. Itulah salah satu kegunaan mempelajari seni, sejarah seni dan pendidikan seni. Dari sudut masyarakat luas manakala dari sudut seorang pelukis selalunya mempelajari seni adalah untuk menghasilkan seni, dari sudut mereka bukan pelukis mempelajari seni adalah untuk memahami bagaimana seni itu mendapat makna dan bagaimana kita memberi makna daripada gambar-gambar dan persembahan dan bagaimana makna ini muncul adalah berkaitan andaian bahawa seni itu adalah suatu bahasa pengantaraan. Bahasanya tidaklah sebagaimana kita gunakan dalam bertutur dan bercakap sebab apa yang kita lihat pada karya seni tidak semestinya ianya adalah yang dinginkan oleh penghasil seni itu, jadi bukan seperti kita kata dalam pertuturan apa yang kita sebut itulah yang perlu difahami. Dalam seni tidak begitu, kajian atau penghayatan seni itu merupakan suatu yang dianggap rumit dari segi ketidakjelasnya, ianya tidak semestinya merupakan laungan hasrat pelukis. Apa yang kita terima tidak semestinya hasrat pelukis, malah apa yang dihasratkan oleh pelukis tidak semestinya apa yang terhasil, Inilah yang memberi keunikan dan keistimewaan dari segi kedudukannya dalam tamadun manusia. Seni itu bergantungan kepada perbezaan budaya , kebergantungan kepada perbezaan manusia, kebergantungan kepada kefahaman kita bagaimana manusia berbeza dan bagaimana pula zaman berbeza.

Dalam mencari hakikat maknanya seni ini cuba kita fikirkan bagaimana sesetengah karya ini nilainya lebih tinggi daripada karya yang lain. Kedudukannya lebih tinggi, diberi pengiktirafan yang lebih mulia ataupun lebih canggih umpamanya bukan sahaja kita dipertemukan dengan persoalan samada ini seni dan ini bukan seni, tetapi ini juga kita dipertemukan dengan persoalan kenapakah karya realistik pemandangan perkampungan yang sering kita lihat banyak dilakukan oleh pelukis biasa. Kenapakah lukisan begitu tidak dianggap secanggih atau tidak dianggap setanding dengan lukisan abstrak Syed Ahmad Jamal?. Kita mungkin akan dipertemukan dengan persoalan-persoalan sebegini. Bagaimanakan karya abstrak Latif Mohiden dan Syed Ahmad Jamal dalam koleksi Balai Seni Visual Negara contohnya dikatakan mencapai taraf sanjungan yang tidak setanding dengan lukisan-lukisan pemandangan yang lain oleh pelukis yang biasa?. Persoalan ini perlu dicari jawapannya.

Persoalan ini ada sejarahnya dan ianya berkaitan dengan apa yang juga berlaku di barat, sanjungan yang diberikan kepada pelukis-pelukis. Dalam sejarah seni barat ada istilah avant-garde dalam bahasa Perancis yang di Inggeriskan dalam bahasa Inggeris menggunakan istilah ini, avant-garde merupakan istilah yang digunakan untuk menamakan pelukis-pelukis dan mengumpulkan atau mencirikan pelukis-pelukis yang dikatakan dibarisan hadapan dalam memperjuangkan perkembangan seni. Istilah ini adalah istilah yang datang daripada bahasa Perancis dalam konteks peperangan, dalam peperangan itu askar saldadu di hadapan dipanggil askar avant-garde, digunakan juga dalam seni oleh pelukis moden di barat dalam abad ke-19 yang berpusat di Perancis. Bahasa Perancis itu banyak digunakan dalam sejarah seni barat, avant-garde merupakan suatu yang digunakan oleh pensejarah seni untuk mengelar pelukis-peluksi yang sentiasa menolak batasan seni, mencabar kebiasaan, mencabar seni lama.

Itulah satu kejadian dalam seni barat yang telah mengherotkan penghayatan seni supaya apa yang disanjungi ialah seni yang bertentangan dengan kesenian lama. Dalam konteks ini juga kita boleh memahami bagaimana karya abstrak oleh pelukis-pelukis seperti Syed Ahmad Jamal dan Latiff Mohidin juga mencapai taraf avant-garde dalam menerajui perkembangan seni lukis moden Malaysia. Jadi kepentingan dan keistimewaan karya-karya Syed Ahmad Jamal dan Latif Mohideen tidak semestinya terletak pada kemahiran melukis tetapi kepada kedudukan lukisan mereka itu dalam memperjuangkan seni lukis Malaysia, ini tidak semestinya diterima ianya hanya hakikat sejarah. Sama juga perihalnya dalam muzik, teater, filem apa yang dikatakan moden adalah sesuatu yang mencabar tradisi, mencabar kesenian tradisional. Tetapi bagaimanakah kedudukan itu boleh dimantapkan, bagaimanakah ini berlaku, bagaimanakah kepentingan dan keunggulan itu diberikan dalam pencabaran ini?

Ianya berlaku sebab institusi-institusi tertentu wujud, dalam seni masa kini wujud apa yang boleh kita katakan sebagai sistem seni. Sistem seni merujuk kepada institusi-institusi tertentu seperti Balai Seni Visual Negara, muzium seni lukis, penerbitan-penerbitan seni, bidang sejarah seni, pasaran seni, penghimpun seni semuanya ini yang mempengaruhi pembentukan nilai dalam karya seni. Ianya adalah sistem seni, jadi nilai yang diberikan kepada sesebuah karya seni itu bergantung kepada sistem ini iaitu apakah yang disanjungi oleh Balai Seni Visual Negara, apakah karya didalam koleksinya mendapat taraf yang lebih tinggi daripada yang lain, bagaimanakah ini berlaku, apakah penulisan-penulisan dan kajian-kajian yang telah dibuat, siapakah yang memilih karya-karya daripada pelukis-pelukis tertentu semua ini didalam sistem, sistem inilah yang memberi taraf unggul kepada karya-karya tertentu.

Kita biasanya tidak memikirkan kepada sistem seni kerana kita hanya memikirkan pelukis ini handal, lukisannya cantik namun itu semua masih belum memadai untuk sesebuah karya menjadi sanjungan, karya yang mahsur, karya yang disanjung oleh masyarakat ianya perlu sokongan sistem ini dan bukan hanya kehandalan pelukis. Anda tentu sedar bahawa dikalangan penghimpun-penghimpun seni tempatan ramai yang memerlukan kajian dan penerbitan penulisan sejarah seni untuk memantapkan atau mengekalkan kedudukan koleksi mereka. Jadi penulisan, sanjungan dan sistem amat diperlukan oleh kolektor-kolektor seni sebagaimana yang berlaku di barat begitu jugalah disini.

Sebelum ini terdapat pelancaran buku koleksi seni lukis oleh Farouk Khan salah seorang kolektor seni yang terkenal, buku tentang koleksi-koleksi tertentu sentiasa diperlukan oleh kolektor malahan juga koleksi Balai Seni Visual Negara sebagai institusi. Penulisan dan kajian diperlukan untuk memantapkan dan untuk memberi justifikasi kepada kerajaan atau kepada sesiapa, kenapa karya-karya tertentu di simpan, di pilih dan di sanjungi. Memikir tentang apakah seni kita jarang melihat dari sudut sistem ini, tujuan saya bangkitkan kerana saya mahu kita menyedari bahawa untuk menjawab persoalanan apakah itu seni, seni adalah bergantungan kepada sistem yang membentuk seni. Boleh dikatakan tanpa adanya Balai Seni Visual Negara maka jelaslah karya seni lukis Malaysia tidak akan mencapai tarafnya sekarang tanpa-penulisan-penulisan seni walaupun sedikit. Jadi apa yang saya ingin nyatakan sistem seni itu penting bagi memberi kita makna seni.

Makna yang diberikan kepada sesuatu benda untuk mengatakan ianya adalah seni atau tidak bergantung kepada zaman, budaya dan individu dan bergantung juga kepada kuasa kerajaan. Jadi seni itu bukanlah hanya melihat kemahiran dan kehandalan mempalitkan warna dengan berus.

1 ulasan:

  1. Tuan "Seni dan Sistem Seni" tak muncul dalam blog tuan. syabas dan terima kasih. Saya sentiasa mengekorinya.

    BalasPadam