Susunan oleh: Faizal Sidik
Esei ini adalah syarahan yang telah disampaikan oleh Zainol Abidin Sharif (Zabas)) dalam Seminar Pangantar Seni Lukis Kontemporari Asia Tenggara yang telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara pada 2010.
Pada kali ini saya akan menyentuh tentang aspek-aspek pokok dalam pemikiran seni moden barat terutamanya apa yang dianggap konsep avant garde seperti yang pernah saya nyatakan dahulu, keduanya konsep budaya popular dan ketiganya pembentukan media massa. Pertimbangan diantara kaitan seni avant-garde, budaya popular dan media massa tidak begitu di dalami pada tahun 1950 an dan pada awal 60 an tetapi dalam keadaan pasca modenis ini ramai pemikir melihat ada kaitan dan pengaruh yang diperolehi dalam konteks seni iaitu seni dianggap sebagai wujud bukan sebagai bidang yang terpisah tetapi sentiasa menerima dan dipengaruhi oleh kehidupan sebenar yang dijejaskan dengan teknologi, media massa dan budaya popular.
Dalam sejarah di Eropah pada abad ke-19 corak hidup sosial yang moden mula dibentuk iaitu dengan munculnya revolusi industri, munculnya revolusi politik Perancis iaitu dalam keseluruhan sejarah moden mula memuncul kehidupan sendiri dimana kehidupan sosial mula berubah, diantara lainnya seni dan peranannya dalam kehidupan berubah. Saya telah nyatakan sebelum ini dengan jatuhnya kerajaan tradisional dan munculnya kapitalisma dan revolusi industri, seni mula didemokrasikan dan tidak lagi merupakan milik raja-raja dan bangsawan tetapi adalah milik artis dan milik rakyat dalam sistem sosial yang baru. Namun begitu seni masih lagi merupakan sesuatu yang memisahkan golongan-golongan masyarakat walaupun tidak lagi dikuasai oleh pihak-pihak aristokrat, bangsawan atau raja ia masih lagi merupakan sesuatu yang memperbezakan kelas-kelas sosial masyarakat.
Seni sebagaimana yang kita fahami merupakan salah satu unsur kehidupan sosial yang dibentuk pada abad ke-19 di Eropah. Diantara landasan yang membentuk seni ialah pembezaan kelas, pembezaan seni pembentukan sosial yang paling utama ialah pembezaan yang dibuat diantara seni halus dan budaya sosial. Apa yang saya maksudkan ialah benda yang popular, dalam perihal ini idea bahawa seni halus itu adalah suatu yang tulen dan suatu yang unggul berterusan walaupun corak masyarakat sudah berubah akibat revolusi Perancis. Hal ini memaksudkan seni halus masih lagi merupakan lambang status tinggi dalam masyarakat, nilai status ini dikekalkan dengan membezakan seni halus dengan budaya popular. Seolah-olah seni halus mendefinasikan apa itu budaya popular manakala budaya popular mendefinasikan apa itu seni halus, ianya merupakan dua bidang dan dua wilayah yang berbeza. Andaian ramai pemikir seni halus dikatakan lebih elitis ianya wujud dalam budaya yang lebih halus, budaya yang lebih terkongkong dikalangan budaya bangsawan, kaum yang terdidik manakala orang biasa hanyalah tinggal dengan budaya popular.
Jika kita boleh senaraikan dua kolum atau bahagian iaitu sebelah seni halus dan sebelah budaya popular kita boleh kaitkan seni halus dengan kaum atasan, pihak yang berkuasa, pihak yang berkeupayaan material, pihak pemilik harta dan sebelah budaya popular kita boleh nyatakan sebaliknya iaitu para pengguna, para pekerja, golongan yang kurang berupaya dari segi harta dan kewangan. Di sebelah seni halus avant-garde kita letakkan muzium dan galeri disebelah budaya popular kita letakkan pusat membeli belah, filem-filem popular ada berlawanan apa yang saya maksudkan diantara dua golongan ia berkaitan sejarah sedikit sebanyak kerana seni halus ini ditentukan oleh sejarah tetapi dalam keadaan kemunculan media massa baru dengan kemunculan budaya popular baru seperti kemunculan fotografi, filem dan kemudiannya video dan teknolog maklumat kini, kita lihat bahawa lebih tertekan pihak yang ingin mengekalkan keistimewaan seni halus sebab ramai yang lebih mirip kepada keistimewaan budaya popular sebab budaya popular memberi makna dan mudah di dekati, difahami, disebabkan ianya lebih mudah difahami jadi lebih canggih dan sukar untuk memahami seni halus. Ia seperti terbalik jadi perlawanan di antara seni halus dan budaya popular yang mula wujud pada awal abad ke-19 telah menjadi lebih rumit dan kompleks dan lebih luas sekarang ini.
Pada masa yang sama juga kita lihat terdapat pertindihannya umpamanya muzium dan galeri seni mula menggunakan cara-cara peragaan yang ditemui di pusat membeli belah, manakala pusat membeli belah mula menggunakan unsur-unsur seni dalam peragaan dan pemasarannya dalam memasarkan barangan. Dalam keinginan untuk memisahkan dan memberi keistimewaan kepada seni halus kita lihat juga terdapat pertindihannya. Kedua-dua institusi ini iaitu muzium dan pusat membeli-belah muncul di Eropah pada abad ke-19, di negara kita lebih lewat namun begitu pada awalnya di Eropah pusat membeli belah ini dilayani oleh kaum-kaum yang berupaya. Kalau kita lihat sejarah seni bina kompleks-kompleks membeli belah pada abad ke-19 ianya hanya tinggal pada tahap pelan tetapi tidak dibina, ideanya masih ada disitu ideanya adalah untuk menyempurnakan perkembangan baru dalam sejarah awal teknologi.
Seni halus dikaitkan dengan budaya tinggi dalam tamadun barat, budaya tinggi ini pula dikaitkan dengan kaum bangsawan dan golongan atasan, jadi budaya tinggi itu merupakan keistimewaan atau privilage kaum aristokrat. Budaya popular dikaitkan dengan tradisi rakyat yang merangkumi kraftangan, syair, lagu-lagu rakyat serta tarian-tarian dan penulisan-penulisan novel-novel popular seperti novel picisan. Pada satu tahap kita lihat citarasa elitis, citarasa bangsawan dan yang lain kita lihat citarasa rakyat biasa. Kedua-dua ini dikekalkan, satu sebagai warisan bangsawan dan satu lagi sebagai tradisi rakyat, dikekalkan tetapi di asingkan ini kita lihat di Eropah dan apabila budaya Eropah menular masuk dalam budaya dan masyarakat kita lihat pembezaan yang sama berlaku umpamanya seni halus pada awalnya dan budaya tinggi pada awalnya hanya diamalkan oleh raja-raja Melayu yang berupaya menjelajah melawat Eropah dan pihak-pihak aristokrat dan bangsawan yang berupaya ke Eropah. Jika kita mengambil satu jenis sukan iaitu pada awalnya yang bermain golf adalah raja-raja kerabat diraja dan pegawai-pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi dan menteri-menteri, ini mengekalkan budaya yang membezakan iaitu budaya tinggi dan tradisi rakyat di barat.
Dalam zaman moden dengan munculnya revolusi industri dan juga dengan munculnya teknologi-teknologi baru seperti fotografi, filem, radio, komputer, televisyen dan video, kesemua teknologi baru ini menyumbang atau membantu untuk mencipta budaya popular yang baru, budaya popular yang baru ini tidak terhad kepada kelas sosial ataupun wilayah. Budaya popular pada abad ke-20 telah menjadi internasional, tiada sempadan dan tidak terhadap kepada masa dahulu di Eropah sahaja dan pada masa yang sama budaya popular yang baru ini adalah tertakluk kepada perubahan, sentiasa berubah mengikut perkembangan dan mengikut penciptaan baru dalam teknologi dan seterusnya dalam kuasa pemasaran serta perniagaan.
Budaya popular yang baru ini juga adalah yang berkaitan dengan pemasaran barangan ianya adalah budaya komersil salah satu aspek penting dalam budaya barangan ini adalah aspek pembaharuan atau novelty iaitu benda baru itu menjadi sesuatu yang penting dan jika kita lihat situasi sekarang ini bagaimana model telefon bimbit itu berubah dalam tempoh tiga hingga 6 bulan. Jadi novelty unsur pembaharuan itu sememangnya penting dalam budaya popular baru ini sebab ia adalah budaya yang berlandaskan perniagaan barangan. Anehnya pemilik korporat-korporat dan juga syarikat-syarikat yang bermain atau berniaga dangan budaya baru ini ialah mereka yang berpegang kepada budaya tinggi. Dalam kehidupan mereka berkecimpung dalam budaya seni halus dan budaya seni tinggi tetapi mereka menguasai citarasa budaya popular yang disebarkan pada orang ramai. Kalau pembaharuan dan novelty itu dipentingkan di dalam budaya popular, di dalam seni moden yang dipentingkan adalah keaslian dan originaliti seni itu, ia kembali kepada perkara yang awal tadi budaya popular kita lihat pembaharuan dan kepentingan novelty itu sendiri. Benda yang baru itu penting tetapi dalam seni tinggi apa yang dipentingkan dalam seni adalah originaliti.
Maksud dan makna originaiti di sini agak menarik pada saya sebab dalam kehidupan biasa kita gunakan istilah original umpamanya dalam konteks telefon bimbit contohnya telefon bimbit dan dvd (pemain cekra digital) yang original, bukan tipu dan bukan ciplakan. Dalam istilah seni halus original maksudnya bukan reproduksi dan bukan seni yang ditiru. Karya-karya dalam himpunan BSLN contohnya dianggap sebagai karya-karya seni original, bukan reproduksi tetapi dalam istilah budaya popular kita lihat bahawa maksudnya berlainan sebab ciplakan sentiasa berlaku dalam budaya popular dan ini adalah suatu realiti malah di Vietnam dan China sampai tertubuhnya satu wilayah atau perkampungan dimana penciplakan itu dibuat secara besar-besaran. Tetapi dalam konteks avant-garde seni halus budaya tinggi, ciplakan ini dibiarkan berlaku sebab dengan adanya ciplakan nilai benda yang original itu meningkat. Seni halus berpegang kepada konsep ini, lebih banyak orang membuat reproduksi lukisan Monalisa lebih tinggi nilai Monalisa yang berada di muzium di Paris itu.
Perbincangan tentang masalah originaliti, ciplakan, tiruan semua ini mencerminkan kehidupan moden bagaimana nilai sentiasa berubah dan kadangkala saya rasa kita sukar untuk memahami dengan mendalam sebab kita terperangkap didalamnya. Kita di dalam abad ke-21 ini merupakan ahli masyarakat yang terperangkap diantara originaliti dan ciplakan kedua-dua nya kita boleh temui dalam kehidupan kita, kita memerlukan benda yang di ciplak sebab itu sahaja yang kita mampu beli, mampu memilih sebab semakin lama dan semakin banyak ciplakan berlaku maka semakin mahal benda yang original itu yang membuat kita tidak berupaya membelinya, jadi kita sebagai masyarakat dan manusia biasa akan terperangkap di tengah-tengah sebab ini semua dimanipulasikan oleh pemilik korporat, pemilik barangan dan dalam konteks yang agak rumit saya sebagai seorang yang bukan berfikiran ekonomis merasakan agak sukar dan agak rumit untuk memahaminya tetapi inilah dunia ekonomi. Dunia ekonomi yang mempengaruhi dan menentukan dunia seni yang mempengaruhi penilaian seni, yang mempengaruhi rumah-rumah lelongan seni samada Sotheby atau Christies semuanya menjadi satu sistem dan rangkaian kehidupan ekonomi.
Saya ingin menyatakan satu lagi perkara secara ringkas sebab ianya panjang dan rumit untuk didalami iaitu kaitan seni moden dengan perkembangan media massa. Media massa moden muncul sempena dengan kemunculan teknologi moden yang awal seperti radio, televisyen yang awal dan fotografi. Semua ini yang dikatakan sebagai unsur-unsur teknologi dalam zaman baru atau new age, semua ini mempengaruhi perkembangan awal seni moden, hal ini tidak berapa jelas di negara kita tetapi di Eropah pada permulaan abad ke-20 di Perancis, Jerman dalam pergerakan-pergerakan moden baru banyak pengaruh saling berlaku diantara seni dan teknologi baru. Pelukis-pelukis sedar tentang keperluan teknik, baru, sedar tentang filem dan kesan serta impak teknologi baru ini atas seni dalam budaya tinggi umpamanya sebagai contoh yang agak mudah iaitu peranan seni lukis sebagai salah satu cara untuk merakamkan dan mengambarkan persekitaran tercabar dengan munculnya kamera dan fotografi dan seterusnya munculnya gambar bergerak iaitu filem.
Jadi filem dan fotografi mencabar kedudukan dan taraf seni lukis sebagai alat dalam merakamkan persekitaran dan merakamkan sejarah. Kesedaran ini telah membuatkan atau memunculkan perkembangan yang menyeleweng sedikit atau melencong dalam sejarah seni barat iaitu ia antara lainya menekankan konsep originaliti sebab filem dan fotografi dikatakan begitu senang di duplikasikan, di reproduksikan, dicetakkan tetapi seni lukis yang original mustahil di reproduksikan dengan tepat, jadi ini meningkatkan nilai dan aura original work of art. Dari sudut lain pula kemunculan kamera dan fotografi juga menyumbang kepada peningkatan minat dikalangan para artis kepada lukisan abstrak, lukisan jenis ini dikatakan suatu yang muncul hasil daripada kreativiti pelukis, keinginan atau hasrat terhadap realiti, terhadap lukisan yang realistik seolah-olah tidak lagi berleluasa sebab kamera dan filem dan fotografi telah ada untuk melakukan kerja itu. Dalam suasana beginilah kita lihat minat terhadap lukisan abstrak meningkat dan dalam suasana ini juga muncul kesedaran bahawa bingkai lukisan itu perlu di lampaui iaitu bingkai institusi seni perlu di cabar. Secara metaforikal kita boleh dekati dan fahami bagaiman Picasso membebaskan dirinya daripada melukis secara realistik dan cuba mengabstrakkan pemerhatian beliau tentang persekitarannya.
Para pelukis mula sedar bahawa seni itu sebenarnya bukan dengan sendirinya tunggal, seni itu bergantung kepada perkara yang berada di luar seni perkembangannya, bergantung kepada perkembangan sejarah, suasana kehidupan dan perkembangan sosial. Dalam konteks inilah Picasso dan Braque iaitu pelukis Kiubisme yang awal berusaha untuk mengekalkan konsep originaliti itu dengan mencari cara-cara baru untuk melukis. Pada mulanya mereka cuba melukis lukisan Kiubisme yang cuba memaparkan beberapa sudut pandangan dalam satu permukaan, sudut potret sudut kiri, kanan, depan dan belakang diletakkan dalam satu permukaan untuk menghasilkan potret kiubisme dan seterusnya itu pun masih belum memadai lagi kerana konsep originaliti disitu masih dicabar. Penemuan Picasso adalah penemuan sahabatnya Braque tetapi secara berasingan, jika dua orang pelukis mencipta benda yang baru dimana letakknya originaliti disitu. Jadi kesedaran Picasso ini adalah originaliti itu adalah sesuatu yang dibuat-buatkan sebab semua orang boleh menghasilkan benda yang baru dan ini saya rasa agak rumit untuk saya memahaminya, sebab walaupun Picasso menjadi pelukis unggul yang menyanjungi originaliti beliau juga sedar bahawa originaliti adalah sesuatu yang dibuat-buat. Seterusnya beliau mencari unsur lain yang beliau adalah yang merupakan mempelopori apa yang kita katakan sebagai kolaj. Kolaj dalam seni lukis moden dipelopori oleh Picasso dan Braque daripada meletakkan kertas di atas kanvas dan meletakkanya dengan papan, rotan , tali dan Picasso adalah yang terawal dalam perihal itu. Jika kita lihat benda diluar seni masuk kedalam seni ianya melibatkan pelopor-pelopor awal seperti Picasso dan Marcel Duchamp. Marcel Duchamp bukan sahaja seperti Picasso yang meletakkan benda diluar seni itu diatas kanvas tetapi benda luar itu sebagai bahan biasa barang seni, apa yang dipanggilkan bahasa Inggerisnya ready-made.
Ada pensejarahan seni yang mengatakan bahawa untuk memahami seni lukis moden tidak perlu mengkaji pelukis lain tetapi hanya Picasso sahaja iaitu riwayatnya sebab seluruh riwayat beliau berkarya dalam beberapa stail yang berbeza dan dalam riwayatnya sendiri ia melambangkan perkembangan seni lukis moden. Jadi jika saya boleh menghalakan anda kepada memikirkan sejarah seni lukis moden barat tiga nama mungkin boleh kita pegangi dan sentiasa fikirkan. Pertamanya Pablo Picasso keduanya Marcel Duchamp dan ketiganya Andy Warhol, ketiga-tiga ini merupakan bukan sahaja watak yang diperwatakkan oleh orang lain tetapi mereka juga merupakan artis yang membuka haluan baru atau memberi pemikiran baru kepada seni moden barat daripada kiubisme sehinggalah kepada seni pop. Selepas itu menjadi lain sebab seni konseptual telah melanda dan ia tidak lagi modenis, ia berada di pinggiran moden dan pasca moden, tetapi jika moden sahaja pada padangan saya ia memberi klu atau bayangan untuk memahami seni moden barat. Ini jika dibincangkan dari segi tokoh dan watak dalam seni lukis barat, tetapi di pihak yang lain pula kita jangan lupa bahawa sejarah seni bukan bergantung kepada tokoh dan kepada pelukis sahaja ia juga bergantung kepada institusi seni seperti muzuim-muzium dan galeri, nama seperti Muzium of Modern Art (MOMA) sangat penting dihayati sebab ianya merupakan institusi yang dipegangi oleh kuasa besar budayawan-budayawan dan karyawan-karyawan Amerika iaitu keluarga-keluarga Rockerfeller yang memiliki institusi seni di Amerika Syarikat dan di tempat lain.
Kita kini telah begitu biasa sekali dengan karya seni khususnya oleh pelajar-pelajar dari ITM dan USM yang menggunakan bahan-bahan yang ditemui di kedai barang-barang lusuh untuk menghasilkan arca. Tetapi fikirkan pada abad ke-20 Picasso mengambil tempat duduk basikal dan pemegangnya dan meletakkannya sebagai arca dan dan menjadikannya sebagai kepala seekor lembu, bagaimana ia diterima dan bagaimana ia melibatkan kreativiti yang agak original. Sekarang banyak yang kita buat sudah tidak original kerana kita mengulang semula, tetapi apa yang dilakukan oleh Picasso dengan tempat duduk basikal dan pemegang basikal itu dan apa yang dilakukan oleh Marcel Duchamp dengan meletakkan mangkuk kencing itu, maksud saya disini adalah impak keinginan dan keadaan yang membuatkan kedua-dua mereka melakukan perkara itu dan Andy Warhol yang secara nekad berani hanya meniru imej-imej komersil iaitu daripada komik dan filem yang kemudiannya mempengaruhi perkembangan seni lukis barat. Apa yang ingin saya nyatakan disini adalah tokoh-tokoh ini berani dan keberanian mereka itu diterima oleh institusi seperti galeri dan sistem-sistem kritikan, itu adalah salah satu keanehan dalam budaya moden baru yakni budaya barat.
Ini juga saya sebut secara imbas bagaimana seni moden juga digunakan oleh ahli politik, yang paling ketara ialah seni moden dan teknologi moden iaitu teknologi imej moden dipergunakan oleh Hitler di Jerman. Beliau merupakan salah seorang ahli politik atau pemerintah yang begitu bijak menggunakan seni dan teknologi moden dalam propaganda dengan menyebarkan ideologi beliau iaitu ideologi Fasis berunsur keganasan menerusi pelukis dan artis yang beliau iktiraf, ini diparodikan dan dimainkan oleh pelawak utama Hollywood ataupun England bagaimana bijaknya Hitler ini telah diperlawakkan oleh Charlie Chaplin yang berlakon berkarekter sebagai Hitler. Seni moden awal banyak di pergunakan oleh ahli politik, tentang bagaimana ia digunakan di Malaysia masih belum banyak kajian dibuat. Seni sentiasa terbuka untuk digunakan sebagai propaganda kalau di Indonesia ianya banyak digunakan oleh bekas Presiden Sukarno yang merupakan pengumpul seni yang utama di Asia Tenggara. Beliau banyak menggunakan seni sebagai propaganda ideologi beliau, jelaslah dalam fahaman sosialis memang banyak di Vietman di bawah Ho Chi Minh dan juga dibawah pengaruh China dan Rusia seni memain peranan yang penting,
Sungguhpun begitu tidak bermakna bahawa negara demokratik seperti Amerika Syarikat tidak menggunakan seni. Saya katakan sebelumnya bagaimana stail Ekspressionisme Abstrak juga digunakan sebagai propaganda kebebasan Amerika Syarikat. Seni sentiasa diguna, dua hari lepas ada penyataan menteri Rais Yatim bagaimana kebogelan bukan budaya kita mengenai filem yang dihasilkan oleh pelajar USM, perkara-perkara inilah yang membuatkan kaitan antara politik dan budaya dalam seni iaitu berlakunya keadaan dimana kita lihat sedikit sebanyak kongkongan berlaku atau bagaimana cabaran dilakukan itu sebagai contoh. Di Singapura memang banyak berlaku di awal 90 an dimana pelukis pasca modenis mencabar-batasan-batasan kerajaan Singapura dari segi seni. Sejarah seni harus dikaji dalam konteks pengaruh politik sebab ianya berkaitan institusi dan institusi itu berkaitan dengan politik dan ekonomi.
Selepas Perang Dunia ke-2 metos tentang seni moden digubah dan berubah, harapan pelukis tentang apa seni halus boleh capai juga berubah selepas Perang Dunia ke-2. Harapan pelukis selepas Perang Dunia ke-2 di barat berbeza dengan pelukis di awal abad ke-20an juga. Pada awal abad ke-20 di barat pelukis-pelukis avant-garde berharap untuk mereformasikan dunia moden dalam pergerakan-pergerakan pelukis Futurisme, Kiubisme mereka seolah-olah mempunyai harapan untuk mengubah dunia tetapi harapan itu kena pada masanya, kerana pada masa itulah ada rasa kekecewaan selepas Perang Dunia Pertama. Pelukis merasakan bersama rakan sejawat dalam bidang sastera dan teater untuk mencabar supaya dunia dan kehidupan diubah. Ini saya nyatakan bagaimana dalam perang saudara Sepanyol pada awal abad ke-20 begitu ramai pelukis dan penulis menjadi sukarela untuk berperang untuk mencabar diktator Branco dan ramai yang mati dalam peperangan itu. Jadi mereka sebenarnya dalam kesedaran bahawa seni tidak boleh mengubah kehidupan tetapi harus dikaitkan dengan keinginan dan hasrat untuk mengubah.
Pelukis selepas Perang Dunia ke-2 mempunyai hasrat yang agak berlainan dan perhubungan pelukis itu dengan karya mereka agak penuh ironi. Tidak lagi berhasrat atau yakin pelukis boleh mengubah dunia tetapi pelukis selepas Perang Dunia ke-2 merayakan dan menyanjungi status baru yang dicapai oleh seni khususnya dikalangan pelukis-pelukis Amerika Syarikat dialu-alukan dan diiktirafkan sebagai pemenang Perang Dunia ke-2 atau the victor of Second World War jadi suasana kegembiraan dan suasana kegemilangan kemenangan ini juga mempengaruhi suasana perkembangan seni khususnya dikalangan pelukis-pelukis ekspressionisme abstrak seperti Jackson Pollock, Willeim de Kooning dan ramai lagi.
Stail ekspressionisme abstrak dikatakan sebagai kemuncak dan klimaks sejarah seni moden barat, ini dikatakan oleh penulis-penulis Amerika seolah-oleh begitu angkuh dan bongkak akibat kegemilangan kuasa Amerika Syarikat selepas Perang Dunia ke-2, tetapi kemuncak kegemilangan ini wujud hanya tidak sampai 20 tahun sebab ianya ditembak jatuh oleh orang Amerika sendiri akibat perang Vietnam yang mengecewakan masyarakat Amerika sendiri yang membuat Amerika sedar kuasa mereka boleh ditumpas oleh negara seperti Vietnam. Budaya mereka bukanlah budaya muktamad kejayaan ekspressionisme itu hanyalah ‘syok sendiri’ dan dalam suasana begitulah munculnya pasca modenisme dimana ada kesedaran keunggulan dan keunikan budaya-budaya kesenian negara lain dan golongan-golongan lain. Apa yang dikatakan kejayaan ekspressionisme abstrak sebenarnya bukan kejayaan, stail ekspressionisme abstrak adalah stail yang mengembalikan semula dan ia bukanlah stail baru, Jika kita teliti pendekatan stail Pollock ini sudah wujud di Eropah awal sebelum Perang Dunia ke-2 di Jerman, Perancis dan Switzerland tetapi digabungkan, dikembalikan dan dijayakan Amerika Syarikat jadi ia sebenarnya bukan original.
Boleh kita katakan ekspressionisme abstrak mulanya pengembalian stail lama, bukan sebenarnya kemuncak stail baru. Selepas itu diserata dunia muncul cara melukis yang mengembalikan ini termasuklah Malaysia, dalam sejarah pertandingan Bakat Muda Sezaman dan Salon Malaysia, kita boleh lihat pelukis hanya mengembalikan, bukan dari dulu lagi mereka meneroka untuk mencapai benda yang baru dan hanya cuba mengembalikan stail bukan sahaja stail moden tetapi stail sebelum moden juga dikembalikan. Jika saya boleh memberi contoh dan ini hanya contoh dan bukan memberi nilai contohnya bagaimana ia dikembalikan dalam tahun-tahun 1980 an bagaimana begitu ramai pelajar-pelajar seni dan pensyarah seni mengembalikan dan memunculkan unsur-unsur kesenian Parsi dan unsur-unsur kesenian Moghul, India dalam seni lukis moden dan di Malaysiakan atau di Melayukan yang paling jelas saya lihat dalam karya Mastura Abdul Rahman iaitu lukisan ruang dalaman yang ada unsur-unsur miniatur dan banyak lagi beliau bukan hanya yang tunggal. Dalam karya Syed Thajudeen di kembalikan lukisan-lukisan gua, lukisan kuil di India, inilah yang dikatakan sebagai pengembalian. Dalam lukisan Allahyarham Ahmad Khalid umpamanya walaupun lukisan abstrak dalam lukisan khatnya itu ia mengembalikan lukisan karya Mark Tobey dari Kanada seterusnya unsur-unsur ekspressionisme abstrak dalam karya Jailani Abu Hassan penuh dengan pengembalian unsur-unsur grafik lama unsur imej-imej lama dimunculkan. Istilah yang digunakan dalam bahasa Inggeris dikembalikan disini ialah appropriation atau aproprisiasi pengembalian ini bukan sahaja stail orang lama dikembalikan tetapi stail orang lain di pinjam dan diambil stail budaya lain. Kemunculan dan sanjungan stail yang diberi dalam lukisan orang asli Australia pun boleh juga dikatakan sebagai suatu yang dikembalikan.
Dua jenis aproprisiasi boleh berlaku dalam pasca modenisme pertama yang boleh berlaku dalam ramai-ramai pelukis yang saya nyatakan tadi dan ia dianggap pengembalian yang mudah dilakukan iaitu dengan berterus terang apa yang dilakukan oleh pelukis saya nyatakan tadi ialah estetik lama dikembalikan dan diubah suai sedikit. Pengembalian yang kedua ialah aproprisiasi yang dibuat untuk mengkritik iaitu mengkritik estetika moden, ini lebih berlaku bagi pelukis yang lebih politikal sebagai contoh seperti Wong Hoy Cheong beliau ber aproprisiasi juga mengembalikan stail tetapi tujuan dan stailnya agak berlainan. Saya kurang ingat tajuk karya beliau yang mengandungi peta Pulau Pinang di cetak tetapi nama-nama jalan peta di England, pengembalian pemetaan stail lama tetapi konteks dan tujuannya berlainan iaitu untuk mengkritik suasana politik, mengkritik kolonialisme dan pasca kolonialisme. Kritikan begini tidak begitu jelas wujud dalam karya pelukis-pelukis awal tempatan tadi yang untuk melihat budaya Melayu dari sudut pandang yang lain dari atas, jadi tujuannya agak berlainan kerana tiada unsur kritikan. Sebenarnya bukan tiada lain cuma cara sedemikian itu cara lama. Dua jenis aproprisiasi yang berlaku iaitu yang berunsur kritikan dan satu lagi pengembalian yang berunsur terus terang.
Salah satu ciri dalam seni lukis kini iaitu seni lukis kontemporari samada di barat atau di tempat-tempat lain ialah bagaimana seni telah menular masuk dalam kehidupan awam yang tidak hanya di kongkong dalam galeri atau muzium. Hal ini tidak begitu jelas di Malaysia tetapi ianya wujud, instalasi yang berlaku di luar konteks muzium mula menjadi popular dalam perkembangan mutakhir. Banyak faktor yang menyebabkan ianya terjadi salah satu sebabnya yang harus disebut ialah keinginan untuk membuatkan seni lebih relevan kepada orang ramai tidak hanya menjadi elitis muzium dan untuk melibatkan orang ramai dalam penghasilan dan penghayatan secara aktif yang kita boleh lihat dalan seni persembahan atau performance art dalam seni instilasi di mana pemerhati boleh masuk dalam karya seni itu dan berperanan juga. Akhirnya pengeluaran seni atau pengeluaran pengkaryaan dan pemaparan seni daripada konteks muzium melibatkan unsur politik dalam seni lukis unsur politik itu penting. Ia menjadi penting jika kita melihat sekeliling.
Jika saya tanya pelukis yang mana paling politikal di Malaysia bolehkah anda berikan namanya?. Hoy Cheong walaupun ia politikal namun ada nama lain yang lebih politikal. Cuba anda fikir bukan dari segi karya tetapi kegiatan, kecenderungan, minat dan simpati beliau. Syed Ahmad Jamal lah yang paling politikal, itulah pelukis yang paling politikal bagi saya di Malaysia ini sebab beliau terlibat secara langsung dari segi itu Hoy Cheong juga terlibat bersama-sama juga. Jadi seperti yang saya katakan sejak awal tadi pelukis-pelukis seperti Picasso mereka sedar bahawa seni itu wujud dalam suasana politik tetapi seni dan karya itu tidak mampu meninggalkan kesan, jadi tokoh dan watak itu harus berusaha dalam konteks lain dengan menggunakan kedudukan dan namanya dalam menyumbang apa yang dikatakan sebagai mulia. Dalam politik ini perlu ada politik yang ikhlas dan berhasrat mulia ada juga yang masuk politik untuk memegang kuasa, tetapi dalam politik ini ada keinginan untuk mengubah kepada yang lebih baik itulah maksudnya. Tetapi ada juga orang yang tumpang sekaki namun tujuannya lain, tiada tujuan yang unggul, samada ianya tercapai ianya adalah hal lain sebab ramai orang yang telah mati juga tidak mencapai apa yang diinginkan.
Dalam memikirkan seni dan politik di Malaysia saya kira tiada yang lebih politikal dari Syed Ahmad Jamal sebab beliau terlibat secara terus menerus. Walaupun dalam Toward The Mystical of Reality ada komen tentang budaya dan kehidupan namun ia tidak boleh mencabar aktiviti politikal Syed Ahmad Jamal. Dalam memperkatakan demikian beliau boleh dikatakan orang pertama dalam mencabar institusi, dalam kes arca awam ‘Lunar Peak’ beliau melawan DBKL itu merupakan salah satu perkembangan unik seni awam Malaysia dan sungguhpun ia bukan yang tunggal sebelum ini juga ada pertikian antara Lee Kian Seng dengan Galeri Petronas, karya Ramlan Abdullah di Taman KLCC yang di tangggalkan semua ini isu seni awam.
Seni awam, isu antara seni dan khalayak awam merupakan isu utama dalam perkembangan seni kontemporari atau seni pasca moden yang penting yang paling awal dan yang paling menarik bagi saya ialah perobohan tugu untuk vateran-vateran askar Amerika di Vietnam yang dibuat di Amerika Syarikat. Sememangnya peperangan di Vietnam merupakan sesuatu yang sensitif pada masyarakat Amerika Syarikat, jadi apabila kerajaan Amerika ingin mengingati askar-askarnya yang gugur di medan perang Vietnam maka cadangan-cadangan untuk membina tugu peringatan itu merupakan suatu yang benar-benar menarik perhatian khalayak ramai Amerika Syarikat. Reka bentuk yang dipilih di menangi oleh seorang wanita Asia iaitu Maya Lin pelajar Asia yang masih belajar lagi pada ketika itu di Universiti Yale dan beliau memenangi pertandingan mereka bentuk tugu peringatan Vietnam. Apa yang berlaku dalam hal ini penting dalam konteks pasca modenis sebab ia merupakan contoh kedudukan seni dalam situasi awam dan ia juga membabitkan bagaimana pelukis itu perlu berinteraksi dengan masyarakat, dengan institusi, politik dan sistem sosial.
Maya Lin mencadangkan tugu Vietnam War Memorial itu bukan sebagaimana tugu biasa yang mempunyai arca figura manusia dengan hanya mengorek membuat tebing dalam tanah dan tebing itu dibuat daripada batu marmar yang di kilatkan dan semua nama mereka yang gugur di Vietnam di pahat di situ. Walaupun unik, masyarakat tidak menyukai dan mengutuk idea tugu itu kerana mereka telah dibiasakan dengan tugu-tugu peringatan seperti kita yang mempunyai anggota tentera askar memegang senjata dan satu lagi pemenang nya adalah seorang Asia malah seorang perempuan. Begitulah bagaimana cauvinisnya Amerika pada masa itu iaitu sekitar 1980 an, jadi untuk menjaga hati parajurit-parajurit atau keluarga-keluarga parajurit dengan tidak berminat dengan reka bentuk yang abstrak ini mereka telah dirikan juga patung iaitu tiga orang askar berhampiran dengan tugu itu. Dalam karya Maya Lin ini apa yang menjadi penting ialah soalan bagaimana memaparkan karya dalam ruang awam sebab karya ini akan berinteraksi dengan orang awam akan menjejas ruang awam dan akan menyentuh kehidupan orang lain, orang lain itu tidak semestinya peminat seni tidak semestinya berminat akan karya seni yang dipaparkan di tengah-tengah khalayak ramai itu jadi persoalan ini penting dalam seni awam pasca moden pada zaman sekarang ini. Zaman dahulu berbeza kerana seni awam itu ditentukan oleh kerajaan dan ditentukan oleh raja-raja tetapi sekarang ini pihak swasta membiayai dan menjadi patron. Umpamanya arca awam Lunar Peak oleh Syed Ahmad Jamal oleh Bank UMBC.
Persoalan yang saya nyatakan disini ialah bila seni awam atau public art itu diletakkan berlandaskan citarasa individu seseorang sahaja maka apakah tanggungjawab seorang pelukis itu terhadap masyarakat. Di Amerika perkara ini sering terjadi contohnya arca awam Richard Serra yang panjang Filter Arc yang diletakkan di Plaza di New York menutup penglihatan dalaman dan orang yang selalu berjalan disitu dimana mereka perlu berpusing dan ia mendapat aduan awam. Tetapi beliau sebagai seorang pelukis yang unggul, di perkara keunggulan dan kreativiti pelukis dan hasrat masyarakat menjadi suatu yang kontroversial.
Seni awam pada awalnya berbanding dengan zaman moden lazimnya berkaitan dengan kepercayaan, agama dan nilai-nilai yang dikongsi umpamanya saya kira pada mula-mula tugu peringatan iaitu Tugu Negara kita dipersetujui dan tidak ada kontroversi orang ramai, dimana mereka setuju dengan sanjungan itu. Kontroversi datang dari dua segi iatu satu kenapa wajah-wajah seperti muka orang putih bukan askar Malaysia manakala keduanya dalam konteks Islam yang berlaku kemudian pada tahun 1980 an ianya diletupkan itu dalam konteks fundamentalis revival. Itu juga merupakan pada suatu ketika permulaannya tidak kontroversi telah menjadi kontroversi. Jika ada pernah ketahui tugu peringatan di Iwo Jima bagaimana parajurit sedang memegang bendera walaupun ia dibina secara realisma ia agak dashyat jika dibandingka dengan tugu kita yg agak kekok dari segi cara posisinya BSLN seharusnya mempunyai maklumat mengenai tugu ini dengan membuat kompilasi himpunan maklumat berkenaan seni awam sekurang-kurangnya gambar disimpan sebelum karya itu rosak, sebab BSLN menekankan koleksi di dalam bukan seni awam di luar dan saya kira BSLN perlu mendokumentasikan seni awam di luar.
Tugu Vietnam Memorial War yang direkabentuk oleh Maya Lin itu boleh dilihat dari sudut lain pula, pertamanaya ia boleh dilihat sebagai penghormatan peperangan Vietnam yang menyanjungi pengorbanan askar-askar Amerika, keduanya ia juga merupakan tugu yang anti peperangan kedua-dua nya sekali anti war memorial dan pro war memorial. Tidak pernah ada memorial peringatan yang anti-perang sebelum ini yang memperingati wira-wira yang gugur. Saya tidak pernah pergi tengok tetapi melalui pembacaan tanah disitu dikorek sebab tanahnya luas dan batu marmar itu berkilat dari situ ia menghala kepada tugu Abraham Lincoln.
Di dalam hal ini semua kita mungkin tertanya apakah peranan seni sekarang ini sebab apa yang boleh kita lihat ialah budaya popular lebih berleluasa dan lebih diminati oleh khalayak ramai di serata dunia kalau dibandingkan dengan seni halus mungkin kita dalam bidang seni ini begitu lama, kita di dalam bidang seni ini mungkin tidak sedar di luar sana tiada siapa yang minat seni, tiada BSLN pun tidak mengapa asalkan ada Mid Valley itu sudah cukup ianya lebih berkesan kepada kehidupan seharian. Soalannya apakah tujuan seni sebenarya peranannya harus berubah dalam hal inilah maka begitu banyak muzium seni di dunia ini BSLN berikhtiar mengambil perhatian menjadi lebih relevan kepada orang ramai dengan mungkin mengambil kira juga peranan budaya popular yang digabung dan di ubah suai semula.
Cuba fikirkan kedudukan dan taraf dato dan maknanya satu Dato Syed Ahmad Jamal dan satu lagi Dato Siti Norhaliza apakah kedudukan taraf kedua-duanya, satu daripada budaya popular dan satu lagi daripada budaya tinggi iaitu seni halus. Dalam konteks Malaysia ada situasi lain dimana satu unsur budaya popular telah di masukkan di dalam konteks seni halus iaitu kedudukan Dato Lat diiktirafkan juga dan dalam BSLN ada koleksi yang diktirafkan juga sebagai pelukis pada awalnya dilakukan oleh Piadasa yang memasukkan Lat sebagai seorang pelukis seni moden Malaysia tetapi Lat wujud dan terkenal pada mula-mulanya dalam konteks budaya popular iaitu bidang komik, jadi satu lagi hal yang boleh kita fikirkan dari segi melampai batasan.
Satu contoh di barat tentang gabungan dan keseiringan budaya popular dan seni halus ialah dalam kehidupan penyanyi John Lennon kumpulan The Beatles dan isterinya Yoko Ono . John Lennon merupakan tokoh utama dalam budaya popular dan muzik popular dan beliau mengahwini Yoko Ono iaitu seorang pelukis elitis, seni persembahan dan seni instalasi yang utama. Dalam kehidupan mereka berdua ini kita lihat mereka mewakili kumpulan muzik popular dan seni tinggi, amat berkontroversi apabila hidup John Lennon dan ramai peminat-peminat Beatles tidak suka sebab tidak memahami cara Yoko Ono yang menjerit disana sini dalam membuat seni persembahan dalam konsert, jadi ini memaparkan bagaimana perbezaan hasrat dan keinginan seni halus dan budaya popular masih lagi wujud berbeza itu yang boleh saya berikan secara jelas suatu yang berlaku.
Dari sudut yang lain pula kita lihat bagaimana sanjungan dan penghormatan yang diberikan kepada pelukis-pelukis moden telah di aproprisiasikan oleh Hollywood dengan menghsilkan banyak filem , saya kurang pasti samada ada pernah menonton Pollock, Frida Kahlo, Andy Warhol semua ini mengeksploitasikan populariti seorang pelukis dan mengedarkannya sebagai filem dan mengubahsuaikannya dengan ada plot, naratif dengan menggunakan bintang-bintang filem, jadi ini adalah satu lagi interface atau sempadan permukaan diantara kedua-dua diantara seni halus dan budaya popular.
Saya ingin mengakhiri dengan menyatakan bahawa mungkin kita boleh fikirkan bagaimana sebenarnya amalan seni lukis moden dan pengalaman seni lukis moden itu ditentukan dan dipengaruh oleh keadaan sosial dan sejarah, ianya tidak wujud secara sendiri tanpa pengaruh politik dan sosial. Dalam penulisan seorang pensejarahan seni Jerman yang disanjungi Arnold Hauser beliau mengatakan bahawa semuanya didalam seni adalah ditentukan oleh masyarakat. Jadi sebenarnya kita boleh membuat rumusan bahawa semua kehidupan kita ditentukan oleh budaya dan ditentukan oleh masyarakat dan dengan itu kitalah yang membentuk reliti kehidupan kita. Kesedaran inilah yang mempengaruhi pelukis sekarang ini, bukan hanya melukis gambar-gambar yang cantik tetapi kesedaran tentang apakah peranan dan tujuan pelukis, tujuan seni lukis dan apakah sebenarnya berlaku apabila kita menghasilkan karya seni, kaitan seni dengan budaya dan bagaimana kita juga sebagai pelukis dan sebagai pemerhati dibentuk dan membentuk suasana kita. Saamada kita pelukis atau tidak kita juga boleh membuat perubahan, tidak semestinya perubahan itu berlaku menerusi seni, tetapi sentiasa kita haru ssedar kita berupadaya menerusi seni di dalam dan di luar seni.
Kalau kita perhatikan kemudian pelukis kontemporari Asia Tenggara boleh dilihat mempunyai dua golongan satu yang menyambungi estetika lama dan melukis sebagai artis yang cuba menterjemahkan keindahan suasana, cuba mempaparkan keindahan hidup yang menekankan estetika dan keduanya golongan yang mengaitkan amalan seni dengan kehidupan yang lebih aktivis iaitu seni sebagai salah satu mereka memperbaiki kehidupan kita akan lihat dua jenis ini akan wujud berada di wilayah di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Kadangkala kedua-dua in betembung umpamanya jika kita membaca penulisan Jolly Koh beliau langsung tidak bersetuju seni itu kini harus berperanan dalam bidang politik bagi beliau tujuan seni hanyalah untuk estetika, tetapi ada juga pelukis yang berubah dari masa ke semasa umpamanya Lee Joo For suatu ketika dahulu politikal beransur kepada spiritual dan pelbagai lagi tetapi kita boleh mengolongkan mereka kepada dua golongan satu artis yang menekankan kepada estetika dan keindahan dan kedua peranan artis dalam menyumbang kepada kehidupan persekitaran kita, paling tidaknya mengindahkan persekitaran dari segi menjadikannya lebih bersih. Kita akan lihat bahawa dalam perkembangan seni moden di negara-negara membangun yang mendapat kebebasan pada 50 an dan 60 an ada kebersamaan. Seni lukis awal Malaysia banyak persamaan dengan seni lukis di India, Bangladesh, Pakistan sebab kita sama-sama pernah dijajaihi oleh British.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan