Jumaat, 8 Mei 2015

‘Archipel Secret’ dan ‘Open Sea’ Meletakkan Peta Seni Kontemporari Asia Tenggara ke Eropah

Faizal Sidik semasa melawat pameran 'Archipel Secret’ yang dikuratorkan oleh rakannya Khai Khori di Palais de Tokyo, Paris yang berlangsung  pada 27 Mac hingga 17 Mei 2015


Oleh: Faizal Sidik

Sejak 15 tahun dahulu setelah memasuki alaf baru seni lukis Asia Tenggara mula mendapat tempat dan menampakkan keberadaannya di peta dunia. Ada teori yang mengatakan dasar buka pintu ekonomi China kepada dunia telah mengalihkan minat pelabur-pelabur daripada  ke timur. Selain itu ada juga mengatakan India sebagai gergasi yang sedang tidur bangun dari tidur yang panjang untuk merancakkan lagi hubungan perdagangan yang menggunakan Laut China Selatan sebagai laluan hubungan antara timur barat telah membuka semula rantau ini ke pentas permainananya semula selepas terjejas oleh gangguan penjajahan yang silih berganti yang berlaku sekitar abad ke-16 hingga abad ke-20. Hampir 500 tahun daerah ini hampir hilang dari peta dunia sungguhpun ia adalah merupakan pengkalan antarabangsa yang terkenal seperti Melaka dan Singapura yang mempunyai hubungan dagang dengan Venice di Eropah.

Sungguhpun usaha-usaha tersebut telah dimulakan seawal penubuhan negara-negara Asean yang diusahakan oleh Malaysia dalam menghimpunkan negara-negara Asia Tenggara agar mempunyai kesatuan yang mampu bekerjasama dari aspek politik, ekonomi, sosio-budaya malahan juga seni. Penubuhan Asean pada tahun 1967 menandakan satu penubuhan negara-negara yang mempunyai kaitan sejarah yang sama yang mempunyai kerajaan-kerajaan tradisional yang bersilih ganti beratus-ratus tahun dahulu bernaung di bawah satu kesatuan yang terlebih dahulu dibentuk dan mempunyai pengalaman pentadbiran dan pengurusan yang luas daripada kesatuan-kesatuan selepasnya seperti Kesatuan Eropah (European Union-EU) atau Kesatuan Perdagangan Negara-Negara Atlantik Utara (North Atlantik Trade Union-NATO).

Sejak penubuhan Asean juga kita lihat kegiatan kesenian dan kebudayaan begitu rancak dijalankan dimana negara hos akan menganjurkan atau mempengerusikan wokshop atau pameran seni di bawah payung Asean-Coci (Committee on Culture and Information)  atau Jawatankuasa Kebudayaan dan Informasi. Antara usaha-usaha seni visual yang telah dijalankan adalah seperti Wokshop Catan dan Fotografi,  Simposium Arca, Taman Arca Asean yang menempatkan arca-arca awam oleh pengarca negara anggota seperti di Tugu Negara, Kuala Lumpur, Malaysia (1988), Fort Canning Park, Singapura (1981) dan Laman Asean di Manila.

Kesepakatan negara-negara Asia Tenggara bukan sahaja diterjemah melalui acara seni budaya semata-mata. Kesungguhan pemimpin negara-negara ini dalam melihat sifat muhibbah di cerminkan juga melalui acara sukan serantau melalui Sukan SEA, Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa Asean. Dalam seni kontemporari Singapore Biennale ke -4 cuba untuk menjadi hub dalam menghimpunkan seni kontemporari di rantau ini.

Melakukan pemeran di muzium-muzium penting merupakan satu penghormatan kepada seni kontemporari Asia Tenggara. Sejarah penubuhan Balai Seni Visual Negara sendiri sejak tahun 1960 an kerap bergerak mengadakan pameran di luar negara dalam memperkenalkan seni lukis moden Malaysia pada masa itu antara muzium yang pernah mempamerkannnya adalah seperti di Glasgow Museum and Art Gallery, Scotland (1965), Dublin Building Centre, Ireland (1965), Commonwealth Institute, London (1966), dan Pasadena Museum of Art, Amerika Syarikat (1988).

Muzium besar seperti Gugenheim Museum di New York mula melancarkan program Guggenheim UBS MAP Global Art Initiative pada 2013 dengan pameran ‘No Country: Contemporary Art for South and Southeast Asia’ bergerak ke Asia Soceity, Hong Kong (2014)  dan ke Centre for Contemporary Art (CCA) (2014) Singapura

Lain-lain lokasi yang diusahakan oleh ruang dan galeri yang lebih kecil yang melibatkan karya-karya baru dari rantau ini adalah seperti adalah “The Roving Eye: Contemporary Art from Southeast Asia” di Arter Space for Art in Istanbul, Turki (2014), ‘Beacon of Archipelago: Contemporary Art from Southeast Asia (2010), Arario Gallery, Seoul (Korea) dan Cheonam (China). ‘Southeast Asia Contemporary’ (2014) di Halu Trans, Singapura.

Usaha sebuah institusi seni di Perancis iaitu Palace de Tokyo yang di pimpin oleh Le Bois dalam mengantarabangsakan institusinya dengan melabur dalam bidang penyelidikan menjemput tenaga luar dalam memberikan impak programnya seperti langkah yang pernah dilakukan oleh Musem of Modern Art (MOMA) dalam memperkenalkan program penyelidikan antarabangsa yang dinamakan sebagai C-MAP (Contemporary and Modern Art Perspective in a Global Age Initiative) pada tahun 2004 iaitu sebuah program penajaan sepenuhnya yang berasaskan penyelidikan dengan membawa kurator, artis, pendidik, pengkritik, kolektor dan ilmuwan daripada seluruh dunia untuk bekerjasama dengan staff mereka.

Selain MOMA di awal tadi saya ada menyebut bagaimana Gugenheim Museum, New York juga telah mengambil langkah yang sama setelah MOMA menampakkan kejayaannya setelah program di bawah Glen Lowry itu membuka luas fikiran kurator mereka untuk berfikir di luar daripada kebiasaan dan menjadikan institusi itu lebih menarik. Antara yang boleh saya nyatakan d isini adalah MOMA telah membuka jabatan kuratorial yang pelbagai dalam memenuhi permintaan seperti Jabatan Catan, Jabatan Arca, Jabatan Cetak dan Buku Illustrasi, Jabatan Multimedia dan Fotografi, Jabatan Seni Bina dan Rekabentuk dan Jabatan Filem. Kesemuanya ditubuhkan untuk mempelbagaikan program dan pengkoleksian mereka. Rahsia mereka adalah merentas disiplin, dengan bergerak secara popular dan populis tidak menghairankan menunjukkan peningkatan jumlah pengunjung tahunan daripada 1.3 juta kepada 3 juta dan menambahkan pendapatan daripada $200 juta kepada $ 1 bn yang membolehkan mereka membuat perolehan karya-karya penting dan berpengaruh.

Gugenhem Museum, New York agak lewat dalam memperkenalkan program merentas budaya sebegini. Sungguhpun begitu program mereka yang dinamakan Guggenheim UBS MAP Global Art Initiative (MAP)  yang dilancarkan 2012 memberi ruang interaksi diantara artis, kurator dan audien dimana mereka membahagikannya kepada tiga kawasan Asia Tenggara dan Asia Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah dan Afrika Utara. Hasilnya kurator bebas June Yap yang berpengkalan di Singapura dijemput untuk menjadi residensi kurator selama dua tahun di bawah tajaan Solomon R. Guggenheim Foundation untuk memperkenalkan apa yang saya katakan kemunculan daerah-daerah baru yang semakin berminat kepada seni moden dan sezaman. Program-program ini dirancang untuk mengantarabangsakan sejarah seni yang semakin global dan memperkayakan program apresiasi dan penghayatan yang lebih luas.

Jika sebelum ini insitusi seni di Amerika dan Eropah hanya berminat untuk membuka dua posisi teratas samada pengarah atau pengarah program kepada orang luar misalnya Han-Ulrich Obrist dari Switzerland  kini sebagai Pengarah bersama Pameran dan Program dan Pengarah Projek Antarabangsa di Serpentine Gallery, London dan Massimiliano Gioni dari Nicola Trussardi Foundation di Milan, Itali kini sebagai Pengarah bersama dan Pengarah Pameran di New Museum, New York. Posisi-posisi terbuka ini saya melihatnya mula dibuka kepada kurator-kurator antarabangsa pada acara Venice Biennial pada tahun 1995 apabila diberikan kepada Pengarah Artistik jemputan daripada Perancis iaitu Jean Clair  dan bukan sahaja warga Itali seperti yang dipraktikkan dalam versi sebelumnya. Ia menjadi semakin menarik apabila acara-acara biennial yang masih muda usianya pada ketika itu mempraktikkan pengarah artistik dan kurator dari luar yang mampu memberikan kelainan dan dikatakan lebih berpengalaman.

Khai Hori bersama penulis  Faizal Sidik di Palace de Tokyo, Paris.
Institusi di Eropah mula melihat model-model ini untuk dipraktikkan di institusi-institusi mereka, salah satu daripadanya adalah Palais de Tokyo (Palace of Tokyo), di Paris, Perancis. Sebuah muzium seni kontemporari yang mengambil nama jalan disitu merupakan muzium seni kontemporari terbesar di Eropah dari segi saiznya. Dibawah presidennya Jean de Loisy yang memegang jawatan itu sejak 2011 adalah merupakan seorang Pesuruhjaya bebas pameran yang pernah memegang pelbagai jawatan di institusi kebudayaan di Perancis. Keterlibatan yang banyak dengan program antarabangsa de Loisy membawa masuk Khairuddin Hori yang merupakan bekas kurator kanan di Singapore Art Museum (SAM) yang pernah terlibat sebagai kurator Singapore Biennale ke-4. Semasa Khairuddin Hori atau Khai sedang bertugas sebagai kurator di Badan Warisan Melayu, Singapura (Malay Heritage Board) beliau telah disapa oleh de Loisy pada November 2014 untuk menjadi Timbalan Pengarah Program dimana beliau telah diberi tanggungjawab untuk membuat penyelidikan dan  artis-artis berpotensi dari Asia untuk Palais de Tokyo. Menurutnya beliau bukan mengkuratorkan hanya artis Asia namun permintaan itu sangat tinggi semenjak beliau di situ datangnya dari negara asal beliau sendiri misalnya mendorong beliau hadir dengan projek yang telah lama beliau ingin kuratorkan tambahan pula di luar Asia.

Festival Singapura di Perancis (Singapour en France le Festival) yang diadakan selama tiga bulan bermula daripada Mac hingga Jun menghadirkan beliau mengkuratorkan dua pameran seni kontemporari dari Asia Tenggara serentak secara berkumpulan iaitu “Secret Archipelago” yang diadakan di Palais de Tokyo daripada 27 Mac hingga 17 Mei dan “Open Sea” di Musee d’art Contemporain, Lyon pada 17 April hingga 12 July. Festival Singapura di Perancis ini bukan hanya melibatkan seni visual sahaja malah ia mempersembahkan juga muzik, seni persembahan dan teater kepada masyarakat Perancis yang diadakan di pelbagai lokasi dan bandar di negara itu yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia dan Kementerian Luar Singapura dengan kerjasama National Heritage Board dan National Arts Council Singapura.

Menurut Khai “Secret Archipelago” adalah sebuah pameran yang memperkenalkan penciptaan seni kontemporari Asia Tenggara iaitu rantau dimana masih dalam transformasi dimana dikalangan artis-artisnya masih kuat dengan akar-akar tradisi walaubagaimanapun dipengaruhi dengan dunia yang sangat kontemporari. Melalui 40 karya kebanyakannya dihasilkan untuk pameran ini meneroka idea dan praktis oleh artis daripada rantau ini, dimana kebanyakannya masih segar lagi dan tidak pernah membuat pameran di luar negara. Dengan bertambahnya artis-artis dirantau ini kini yang membuat pameran penting di acara seni kontemporari antarabangsa, namun tujuan pameran ini adalah untuk mengetengahkan artis-artis yang hingga kini masih belum dikesan oleh radar seni lukis antarabangsa. Karya-karya mereka menjambatan dan menghubungkan ruang antara masa silam dengan masa depan dan diantara ketegagan kreativiti dan memori dan tradisi, pengaruh seni kontemporari Barat denga yang lain, pada masa yang sama ia membawa sendiri bahasa seni modennya sendiri. Walaupun kebanyakan artis mendapat didikan asas daripada seni lukis Barat, sensibiliti yang ada pada mereka terhadap asal usul warisan telah menjadi darah daging diterjemahkan mereka melalui semangat dan praktis budaya.

Menurutnya lagi pameran ini adalah refleksi terhadap pengertian kebudayaan archipelago, yang menghubungkan era-era yang dipengaruhi semangat-semangat. Pameran ini juga membawa pelbagai media antaranya instalasi, video, arca, karya bunyian dan juga seni persembahan yang berlaku sepanjang pameran berlangsung. Pesan Khai kepada mereka yang memasuki pameran ini agar meninggalkan sementara cara fikir serta interpritasi seni dan bahasa seni lukis, kod dan ekspresi budaya Barat. Antara artis Malaysia dalam pameran ini adalah Roslisham Ismail atau ISE, Hayati Mokhtar, Chris Chong Chan Fui dan Liu Cheng Hua.
Pemasangan karya video instalasi Hayati Mokhtar “Falim House: Observations” ini telah disokong dan ditaja oleh Balai Seni Visual Negara adalah sebuah dokumentasi tentang warisan sejarah yang hilang. Sebuah rumah yang dinamkan rumah Falim dibina pada tahun 1929 terletak di negeri Perak, Falim House yang mempunyai 20 buah bilik ini terletak di kawasan seluas 26 hektar yang dimiliki oleh seorang taikun bijih timah Foo Nyit Tse dan keluarganya sehinggalah pada akhir 1990 an. Falim House  ini mula ditinggalkan dan mula dirobohkan apabila ianya telah dijual kepada syarikat pembangunan hartanah beberapa tahun lalu.   Segala isi rumah ini telah dijual dan hanya dijumpai kemudiannya oleh artis di pasar-pasar yang menjual barang antik.

Falim House adalah sebuah catatan akhir sebuah khazanah tempatan , dengan menggunakan 10 skrin audio-visual yang memperlihatkan juga 10 sudut komposisi dirumah itu, ia direkod sehari sebelum kawasan hartanah itu ditutup oleh pemaju. Pendokumentasiannya membina semula pelbagai sejarah yang tersembunyi melalui surat-surat, gambar-gambar, tempat sembahyang keluarga itu dan lawatan keluarga itu pada hari yang sama sungguh tidak dijangka oleh artis. Satu kempen secara atas talian telah dilancarkan untuk menyelamatkan dan memulihkan hartanah itu, walaubagaimanapun sebahagian besar kawasan itu telah dijadikan kawasan perniagaan mewah.

Karya instalasi bahan campura Roslisham Ismail / Ise bertajuk “ChronoLOGIKal”  2015 adalah sebuah naratif sebuah negeri di pantai Timur Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan iaitu  Kelantan. Negeri Kelantan mempunyai sejarah tradisi yang panjang sehinggakan Kelantan mendapat namanya daripada “kilatan” selain nama lain negeri ini yang popular dipanggil pada masa dahulu dengan ‘Negeri Cik Siti Wan Kembang’, ‘Serambi Mekah’, ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’, ‘Tanjung Pura’. Apa yang menarik karya ini adalah Ise mengambarkan kronologi sejarah  negeri Kelantan dari zaman purba sehinggalah ke hari ini secara visual. Saya melihat karya ini adalah sebuah dinding susur perjalanan dan peta masa yang penuh dengan cabaran yang disampaikan dengan objek-objek harian yang sangat dekat dengan kanak-kanak seperti haiwam maian, replika kapal, pinggan hiasan gambar, skrin video dengan lukisan dinding, gantungan,  teknik kolaj dan atas para. Ise juga seolah-olah menyarankan pemahaman baru dengan meringkaskan buku-buku yang ditulis oleh pensejarahan Kelantan dengan memberi kefahaman yang mudah dan ringkas untuk memahami Kelantan secara bersahaja dalam bentuk di luar teks iaitu bahasa 3 dimensi dan gambar bergerak yang. Secara logik juga kita memahami negeri ini secara tanda, lambang dan semiotik alamnya.

Umum mengetahui bahawa Asia Tenggara adalah laluan air iaitu laluan alternatif bagi Laluan Sutera yang menghubungkan antara benua barat dan timur. Sebuah kawasan yang pernah menjadi tempat kapal perdagagan berlabuh telah membuka daerah ini kepada perdagangan global, kembaraan dan migrasi sehinggalah ke hari ini. Di rantau ini jugalah berlakunya pertemuan kepelbagain budaya dan bahasa, kemasukan agama dan kepelbagai kepercayaan seperti yang kita lihat pada hari ini disini. Pameran ‘Open Sea’ yang diadakan pada 17 April sehingga 12 Julai di Musee d’art Contemporain, Lyon (Museum of Contemporary Art, Lyon) juga dikuratorkan bersama antara  Khairuddin Hori dengan Thierry Raspail iaitu Pengarah Musee d’art Contemporain cuba melihat idea-idea ini.

Bagi saya  ‘Open Sea’ sebagai ‘Open Southeast Asia’ atau ‘Membuka atau Melihat Asia Tenggara’ sebagai satu pameran ingin memperkenalkan dan menunjukkan diri negara-negara dirantau ini melalui seni visual. Menurut kurator pula pameran ini mengambarkan jiwa kontemporari, estetik dan saling hubungkaitan negara-negara sebelah tenggara ini yang diterjemahkan melalui karya-karya komisen den seni persembahan oleh 30 orang artis. Karya-karya yang dipamerkan memperlihatkan lanskap sosial tempatan yang pelbagai, dengan keluasan ruang galeri 2,000 kaki persegi yang melibatkan dua aras pameran memperkenalkan audein Eropah oleh artis Asia Tenggara melalui wokshop, bicara artis dan kurator danjuga seni persembahan.

Terdapat 4 karyawan Malaysia yang mengambil bahagin dalam pameran Open Sea ini antaranya adalah Yee I-Lann, Chris Chong Chan Fui, Chang Yongn Chia, dan Chong Kim Chiew. Dalam hasil kerja fotografi Yee I-Lann hadir dengan 13 siri fotografi mengenai orang Sulu dengan lanskap laut yang agak kosong dan sunyi dalam menangkap memori kontemporari dan sebagai satu idea mempersoalkan had-had sempadan. Yee I-Lann menggunakan sepenuhnya manipulasi digital dan imej arkival dalam membina karya yang berkisar tentang identiti politik masa kini. Beliau ingin berkongsi cerita antara alam laut dengan perdagangan, perlanunan dan keagamaan menyatukan manusia dengan sejarah budaya terutamanya di kepuluan antara Malaysia dengan Filipina. Sungguhpun zon ini pernah dijajah oleh kolonial British, Sepanyol dan Belanda yang mana penduduknya masih mengamalkan animisme, Islam dan Katolik. Sungguhpun daerah Sulu hanya beberapa kilometer sahaja tetapi ia mempunyai isu yang hebat untuk dikongsi kepada dunia.

Siri catan oleh Chong Kim Siew menggunakan setem lama daripada zaman kolonial dalam menyampaikan dialog berkenaan warisan, identiti dan realiti pada hari ini. Imej setem mengingatkan kepada memori silam terhadap peristiwa politik yang berlaku dan ia juga sebagai antara bukti-bukti antropologi terhadap sesuatu kuasa. Kim Chiew menukarkan tempat,  muka pembesar negeri, lanskap tropikal dengan menggunakan teknik manipulasi peta negara Britain ke atas Malaysia. Dlam kata lain artis mengingatkan tentang penjajahan pemikiran kolonial barat masih lagi kuat di pegang dalam negaranya dalam pembentukan halatuju dan identiti.

Dengan bertambahnya minat masyarakat mengetahui seni moden yang lahir di dua pusat utama iaitu  Paris dan New York, hadirnya seni kontemporari pada hari ini telah seni lukis sezaman menjadi global capaiannya. Negara-negara peneraju seperti Amerika dan Eropah mula menerima sumbangan seni lukis diluar lingkungan pusat tidak hairan pada hari ini muzium-muzium penting negara-negara berkenaan seperti tidak lengkap jika tidak memberi ruang  meraikan artis-artis dari China, India, Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Kehadiran‘Secret Archipel’ dan ‘Open Sea’ adalah langkah kanan ke arah mengantarabangsakan seni kontemporari Asia Tenggara. Adakah pameran-pameran di luar ini cuba mengutar teori-teori seni timur yang datangnya dari rantau Asia Tenggara untuk dikongsi oleh barat dalam memperlihatkan sumbangannya terhadap kemajuan seni kontemporari masa kini?

Faizal Sidik,’Archipel Secret’ dan ‘Open Sea’ Meletakkan Seni Kontemporari Asia Tenggara ke Eropah, Senikini, BSVN, Kuala Lumpur. (PDF)















Tiada ulasan:

Catat Ulasan