Jumaat, 8 Mei 2015

‘Jeff Koons: La Retrospective’di Centre Pompidou

Penulis Faizal Sidik di pintu masuk pameran ‘Jeff Koons: La Retrospective’di Centre Pompidou 

Oleh: Faizal Sidik

Kunjungan ke pameran ‘Jeff Koons: La Retrospective’  yang diadakan di Centre Pompidou, Paris, Perancis berlangsung daripada 26 November hingga 27 April bukanlah kali pertama saya melihat sendiri karya-karya Jeff Koons. Pada tahun 2011 sempena Venice Biennale ke 51 diadakan dua pameran sampingan di dua muzium pemilik rumah lelongan Christie iaitu Francois Pinault. Satu di Palazzo Grassi berhampiran dengan stesen San Marco d pamerkan “Ballon Dog (Magenta)” milik kolektor itu sempena pameran yang dinamakan ‘The World Belongs To You’ manakala di Punta della Dogana di pamerkan beberapa karya terkini Koon pada waktu itu termasuklah “Hanging Heart (Red/Gold)” sempena pameran ‘In Praise of Doubt’.

Jeff Koons bukanlah nama kecil dalam seni kontemporari pada hari ini, banyak majalah-majalah seni seperti Art Review, Art News, Flash Art, Art and Auction meletakkan beliau diantara 10 diantara 100 pemain-pemain seni yang paling berpengaruh dan berkuasa di dunia pada hari ini dimana pemilihanny bukan sahaja mereka dikalangan artis malahan kurator, kolektor, pemilik galeri. Namun apakah yang sangat signifikantnya Jeff Koons ini?

Daripada pengamatan saya ada beberapa yang boleh saya kongsikan disini yang bukan untuk mengatakan seni lukis barat lebih baik dari timur, walaupun terdapat lompangnya sana sini seni lukis barat itu tetapi saya sekadar memberi makluman seni pada hari ini mahu atau tidak mahu kita harus menerimanya sebagai satu bentuk transaksi perdagangan yang bernilai tinggi daripada emas dan berlian. Tidak hairanlah cara berpakaian Jeff Koons ini sendiri memperlihatkan dunia artistik keseniman seseorang di alaf baru itu menuntut mereka juga menjadi pengurus, ketua eksekutif, ahli korporat yang begitu berbeza sekali jika dibandingkan sifat keseniman 50 tahun dahulu. Jeef Koons bagi saya cuba melihat dirinya bukan sahaja seorang artis yang dipandang orang sebagai manusia tidak terurus kerana kesibukan berkarya, mempunyai gaya hidup yang pelik lagi aneh, semua itu ditukar beliau dengan penampilan yang segak dan kasual dimajlis yang melibatkan beliau.

Saya di sini belum lagi memberikan apa menariknya seniman Jeff Koons ini sehinggakan beliau dianggap sebagai seniman yang setanding Warhol dan Picasso. Daripada pemerhatian saya Jeff Koons adalah antara artis generasi kedua selepas Andy Warhol yang membuat sistem studio iaitu karya dihasilkan secara besar-besaran yang dibantu oleh jurubantu atau pekerja teknikal yang mempunyai kepakaran dalam bidang visual yang tertentu. Jika Andy Warhol menubuhkan Silver Factory yang bukan sahaja sebagai studio tetapi rumah artistik yang menjemput rakan-rakannya dalam bidang yang lain untuk bersama-sama bekerja dengannya maka lahirlah filem-filem seni bidang seni yang jarang-jarang diteroka oleh artis pada masa itu selain beliau terus menghasilkan illustrasi iklan dan lain-lain yang berkaitan dengan massa yang memaksa beliau untuk menghasilkan karya dengan cepat.


Pada hari ini Jeff Koons mempunyai lebih 150 orang pekerja yang bekerja dengan beliau dalam menyiapkan bukan sahaja karya-karya baru malah projek-projek komisen yang ditempah oleh kolektor, projek seni awam dan juga projek korporat di bangunan dan juga muzium. Walaupun mempunyai pekerja yang ramai beliau adalah pembuat keputusan penting ke atas sesuatu karya dan menjadi penasihat malah pemantau bersama dalam menjayakan projek. Jika di era dahulunyanya pengeluaran secara besar-besaran hanya dipraktikkan kepada barang-barangan keperluan harian seperti pembuatan minuman ringan Coca Cola, sup Campbell, pembuatan automotif kini sistem kilang ini mula dipraktikkan di dalam pembuatan seni. Persoalannya adakah ia akan menjatuhkan taraf seni itu setaraf barang-barang harian yang dihasilkan secara banyak, namun seni kontemporari hari ini menidakkan itu semua atas dasar permintaan untuk memenuhi keperluan ia bukan sahaja perlu dilakukan malah akan meningkatkan lagi imej objek itu yang boleh dilihat dimana-mana sahaja lihat karya “Ballon Dog” dan “Tulips”yang mempunyai pelbagai versi dan pilihan untuk kolektor.

Sungguhpun studio Jeff Koons pernah berhadapan dengan saman beberapa kali dengan syarikat pencipta asal objek-objek mainan kanak-kanak dan watak-watak adiwira seperti Incredible Hulk tetapi semua itu tidak mematahkan hasratnya untuk merealisasikan pengalaman zaman kanak-kanak beliau kepada awam. Dalam mempraktikkan sistem studio ini Jeff Koons bukanlah berseorangan, rakan-rakan sezaman dengannnya misalnya Damien Hirst, Takeshi Murakami dan lain-lain artis juga mempraktikkan pekerjaan yang sama. Damien Hirst sendiri mengaji pengurus perniagaan iaitu Frank Dunphy dalam menyelia strategi pemasaran beliau.

Selain itu Takeshi Murakami mempunyai studionya sendiri yang dinamakan Hiropon Factory pada tahun 1996 dan setrusnya pada tahun 2001 menubuhkan Kakai Kiki Co. Ltd yang berperanan dalam menghasilkan dan mempromosiak karyanya dimana ia bertujuan mengurus dan menyokong bukan sahaja pengkaryaan beliau sahaja tatepi beberapa artis muda yang terpilih yang kebanyakannya adalah pembantu-pembantu beliau kepada kerja-kerja penacaraan dan projek disamping menghasilkan cenderamata. Kakai Kiki mempunyai sekitar 70 staff iaitu 50 orang pekerja yang berpusat di Tokyo dan 20 orang di pejabat dan studio mereka di New York. Antara artis-artis muda yang direpresentasi oleh Kakai Kiki selain Murakami ialah Chiho Aoshima, Mr., Aya Takano, Chinatsu Ban, Mahomi Kunikata dan Rei Sato. Kebanyakan artis-artis muda ini dapat membuat pameran di galeri berjenama di Amerika dan Eropah menerusi jaringan Murakami. Tidak hairanlah syarikat ini berjaya membuat pameran dan projek  besar disamping perhubungan awam yang baik Kakai Kiki menambah koleksi kejayaan mereka dengan pembukaan Kakai Kiki Gallery pada tahun 2008 di Motozabu, Tokyo.

Melihat pameran bergerak ‘Jeff Koons: A Retrospective’ di Paris saya rasakan sama jika saya melihatnya di Whitney Museum, New York, Amerika Syarikat pada 27 Jun hingga 19 Oktober 2014 semasa pameran ini dilancarkan dan ia akan dibawa selepas ini ke Guggenheim Museum Bilbao, Sepanyol pada 9 Jun hingga 27 September 2015 ini. 


Faizal Sidik,’Jeff Koons: La Retrospective di George Pompidou’ Senikini, BSVN, Kuala Lumpur. (PDF)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan