Selasa, 10 Julai 2012

Redza Piyadasa: 'Titik Permulaan' dan 'Situasi Seni No.8' sebagai Tahap Kawalan Atur Cara Memasuki Suatu Rutin atau Prosedur.



Redza Piyadasa (1939-2007)
“Entry Points”
Bingkai, cat minyak dan akrilik atas panel
152 cm x 136 cm, 1978
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 1979-004)


Oleh: Faizal Sidik

Karya yang bertajuk “Entry Points” 1978 ini merupakan sebuah karya Redza Piyadasa  yang menggabungkan pelbagai bahan pengantara. Di dalam karya catan di atas panel ini jika sekali imbas bagi mereka yang baru pertama kali melihat karya ini dari sudut formal mungkin akan mengatakan ia adalah sebuah catan lanskap biasa kerana terdapat  sebuah catan landskap yang dibingkaikan dan terletak di bahagian atas namun sempadan hitam  terbuka dari bawah yang mengelilinginya dan terdapat satu lagi sempadan hitam yang mengelilingi catan itu ditambah dengan penggunaan teks perkataan berbahasa Inggeris yang sama warnanya dengan catan lanskap itu menyebut ART WORK NEVER EXIST IN TIME, THEY HAVE “ENTRY POINTS” atau terjemahannya “KARYA SENI TIDAK  WUJUD DALAM  JANGKA WAKTU TERTENTU, IANYA MEMPUNYAI “TITIK PERMULAAN” mungkin membuat anda tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dihasilkan oleh Piyadasa ini?.

Piyadasa menjelaskan idea sebenarnya adalah menyoal semula terhadap tradisi seni lukis landskap atau pemandangan. Boleh saya katakan bahawa idea ini diteruskan daripada karya yang membawa tema yang sama enam tahun sebelumnya  iaitu karya ‘The Great Malaysia Landscape’ 1972. Untuk memahami karya ini dengan lebih dekat lagi disini ada beberapa  rajah yang boleh membantu , di dalam Ilustrasi dibawah ini  merupakan penunjuk arah dimana tempat masuk sempadan hitam yang mana mewakili “keadaan”   Mata audien seolah-olah memasuki satu kawasan atau ruang peribadi yang diciptakan oleh artis ianya seperti sempadan yang memisahkan di antara dunia kreativiti artistik dengan dunia luar.

Arah pintu masuk atau entry point


Menurut beliau sendiri “Sebenarnya pemindahan karya asal yang dihasilkan pada tahun 1958 kepada 1978, Piyadasa telah menerokai karya seni sebenar dengan kemampuan untuk bergerak melalui tempat yang ideal iaitu dari segi sejarah dan enter (memasuki) konteks yang baru. Historical transgression (pemindahan dari segi sejarah) telah dilakukan. Karya ini mengambarkan refleksi dan pendekatan dialektikal oleh artis sepanjang fasa seni konseptual dalam karier beliau.” Sempadan artistik dan dunia biasa ini. Audien yang melihat dari ‘titik permulaan’ seolah-olah memasuki dunia diluar realiti kehidupan biasa mereka.


Sempadan hitam bingkai

Karya ini dilihat sebagai sebuah catan dalam catan.  Hal ini dapat dilihat di dalam rajah di atas dimana Piyadasa melukis semula sempadan bingkai dalam bingkai pada karya ChiaYu Chia di dalam dan sempadan  terbuka ini di atas sebuah panel dengan meninggalkan sedikit ruang bucu sebelah kiri dan di sebelah kanan lebih kurang dua sentimeter untuk mendapat kesan tersebut. Ianya umpama satu ruang lingkup atau vakum yang diciptakan oleh artis sendiri seperti ada rahsia yang hendak diceritakan. Tambah Sabapathy lagi “Kepentingan seorang artis dan karya seni adalah ditentukan oleh ‘entry point’ oleh sesuatu konteks penceritaan sejarah dan satu segi empat satah masa yang  ideal. ”

Yu Chian yang  terkenal pada sekitar tahun 50 an dengan imej karya pemandangan  kampung, landskap tempatan dan aktiviti harian menegaskan bahawa penguasaan pengamatannya bermain dengan cahaya dan ruang, warna dan jalinan dalam ‘mengamati’objek-objek kesukaannya itu. Warna tulisan teks yang digunakan di dalam karya ini merupakan warna yang sama terdapat di dalam karya landskap “Riverside View” 1958 yang menggunakan warna utama seperti biru, kuning, merah, hijau dan hitam. Karya landskap Chia dilihat mempunyai pengaruh gerakan Fauvisme semasa aliran itu sedang berkembang di Paris, dan kepulangnnya ke Malaysia beliau masih memusatkan dengan subjek yang sama namun dengan cara stimulasi visual yang lebih berani terhadap pengeksplorasian warna melalui penciptaan seperti struktur-struktur binaan atau arkitektur pada permukaan.

Karya ini adalah sebuah pengiktirafan dari segi sumbangan karya “Riverside Scene”  Yu Chian merupakan salah seorang pelukis Nanyang yang lahir di Kota Tinggi, Johor sekitar tahun 1936, beliau meninggal pada 1991. Karya ini dihasilkan semula dua dekad kemudian oleh Piyadasa berdasarkan tandatangan yang bertulis nama Yu Chia, namun stail tandatangan semula yang dihasilkan oleh Piadasa terdapat banyak perbezaan yang ketara untuk mengatakan ia adalah karya asal Yu Chia. Piyadasa cuba menghubungkan karyanya ini dengan pensejarahan seni, karya ini diumpamakan oleh beliau sebagai sebuah penulisan sejarah seni dalam bentuk objek baru.





Pendekatan menggunakan karya artis lain bagi menghasilkan karya mereka sendiri pernah dilakukan oleh Robert Rauschenberg dalam karya “Erased de Kooning Drawing” dihasilkan pada tahun 1953. Rauschenberg pada masa itu merupakan artis yang semakin meningkat naik melakukan karyanya yang paling kontroversi dengan  memadamkan semula karya lukisan ekspressionis abstrak terkenal Amerika pada waktu itu iaitu Willeam de Kooning sebagai satu pernyataan artistik. Di dalam karya lukisan minimalis tanpa imej yang bersaiz 64.14 cm x 55.25 cm x 1.27 cm. Karya asal yang merupakan seperti sebuah lukisan pengkajian figuratif,   De Kooning menggunakan medium campuran krayon, pensil dan arang.

Menurut Rauschenberg apabila beliau memadamkan karyanya sendiri ia masih lagi belum dikatakan seni, beliau bersungguh-sungguh untuk menjadikan karya yang dipadamkan itu agar menjadi sebuah karya seni. Jadi beliau ke studio artis untuk memberitahu idea bagi projeknya dan De Kooning faham lalu membuka beberapa  portfolio dan setuju memberikan lukisan yang paling beliau sayangi kepada Rauschenberg untuk menjadikannya sesuatu yang ‘besar’.

Robert Rauschenberg (1925-2008)
Erased de Kooning Drawing
Kesan dakwat dan kryon atas kertas, label dan bingkai keemasan
64.14 cm x 55.25 cm x 1.27 cm, 1953
Koleksi: San Francisco Museum of Modern Art (SFMOMA)

Rauschenberg dikatakan mengambil masa selama dua bulan untuk memadam lukisan itu untuk mendapatkan kesan yang diinginkan dan meminta rakannya Jasper John di tingkat atas studionya untuk membuat teks ayat bagi karyanya yang baru itu di bahagian tengah bawah lukisan dengan tajuk. “ERASED de KOONING DRAWING, ROBERT RAUSCHENBERG, 1953” sebagai sebahagian daripada karya itu. Koloborasi dalam pengkaryaan seni yang dilakukan oleh Rauschenberg bukanlah sebuah catatan biasa namun melangkaui daripada itu ia merupakan salah satu cara beliau sebagai artis merayakan idea, iaitu memadamkan semula lukisan seorang artis besar seolah-oleh memadamkan semula karya “Women” iaitu siri terkenal Willem de Kooning.

Jika sebelum ini kedua-dua karya beliau yang membincangkan persoalan pengkaryaan tradisi seni lukis landskap Malaysia secara berkonsep, kesinambungan pendekatan persembahan diteruskan lagi oleh Piyadasa di dalam karya “Art Situations No.8” 1978. Piyadasa beralih kepada figuratif yang menggabungkan permukaan dua dimensi catan dan arca tiga dimensi dalam satu ruang. Ianya dilihat seolah-olah beliau ingin mengeluarkan imej pigmen hitam di dalam garis sempadan yang terdapat pada panel keluar dari permukaannya.
 Redza Piyadasa (1939-2007)
 Art Situation No.8”
Akrilik, plywood dan bentuk acuan simen
310 cm x 126 cm x 40 cm, 1978
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 2001-039)

Dalam “Art Situation No.8”  kita boleh melihat pembawaan  yang ingin diperkatakan oleh Piyadasa “keadaan” atau situation apa yang ada di dalam karya ini dan begitu juga “Entry Point”  Piyadasa meninggalkan sempadan hitam yang terbuka dibawah kedua-dua karya ini. Jika diperhatikan terdapat kesinambungan dimana dalam “Entry Point” beliau meminjamkan karya catan landskap oleh ChiaYu Chian manakala di dalam karya ini beliau menghasilkan arca yang diperbuat daripada simen tertulis perkataan LATIFF. Di bahagian hadapan padestal arca dan itu meminjam pula karya arca kepala artis Latiff Mohidin.

Pantulan pancaran cahaya menghasilkan bayang memainkan peranan yang penting untuk menghidupkan karya ini. Ianya seperti bayang yang yang terhasil dalam permainan wayang kulit. Beliau umpama seorang dalang yang memainkan watak, manakala Latiff adalah karakter wayang tersebut. Balikan bayang dari arca Latiff yang memantul masuk melalui ‘sempadan hitam’ pada permukaan catan yang berwarna merah atau kelir didalamnya sebagai penegasan dimana bayang yang jatuh itu sepatutnya berada. Ini mempunyai tema yang sama dalam karya sebelumnya yang menyatakan kepentingan seorang artis dan karya seni adalah ditentukan oleh ‘entry point’ oleh sesuatu konteks penceritaan sejarah dan satu segi empat satah masa yang  ideal. 
Arah pantulan cahaya dalam penghasilan bayang


Pantulan cahaya daripada arca memasuki ‘entry point’

Penerokaan Piyadasa terhadap  permukaan dua dimensi di dalam karya ‘Entry Point’ kedalam bentuk yang bermain dengan ‘keadaan’ ruang boleh juga diperhatikan dalam karya “Playing Poker” 1975 oleh Lee Kian Seng. Pengaruh mempengaruhi dari segi stail persembahan karya dan bahan campuran yang digunakan hampir sama dapat dilihat oleh artis pada masa ini .

Kelahiran siri karya Rupa Malaysia dilihat oleh beberapa pengkritik serius di sini sebagai satu peralihan yang kurang tepat dalam karier beliau. Penggunaan bahantara campuran yang dianggap ‘manis’ bermula dengan karya seperti ‘Bentuk Malaysia Tulen’ 1980 yang menggunakan  bahantara imej bromide dan akrilik di atas kanvas dikatakan tidak mengambarkan kesinambungan pemikiran beliau seperti yang diperlihatkan didalam manifesto pameran “Towards a Mystical of Reality” iaitu sebuah dokumentasi pengalaman bersama antara beliau dan Sulaiman Esa yang bukan mementingkan bentuk tetapi terhadap persepsi di dalam melihat karya itu sendiri dari sudut rasional dan saintifik yang mengambil konsep ruang dan masa yang berpandukan falsafah Zen malah membuang ego artistik sebagai individualistik di dalam pembacaan seni barat. Mereka berdua cuba mengabungkan pengaruh barat dan timur atau pertembungan ‘western centric’ dengan ‘eastern centric’.

Redza Piyadasa
'Bentuk Malaysia'
Imej fotografi dan akrilik atas kayu
150 cm x 120 cm x 14 cm
(Telah lupus)


Redza Piyadasa
'Bentuk Malaysia Tulen'
1980
Imej bromide, akrilik atas kanvas
106 cm x 70 cm
Koleksi Peribadi, Kuala Lumpur


Perkembangan bahantara dalam karya Piyadasa boleh dilihat dengan jelas selepas pameran itu yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pengalaman Piyadasa menceritakan bagaimana gementarnya beliau dalam  perasmian pameran itu apabila Salleh Ben Joned telah ‘menyirami’ pokok bunga yang juga dikatakan mereka berdua sebagai karya seni di jaga dengan menyiram oleh mereka selam 7 bulan di atas karya beliau. Ini menandakan bagaimana penggunaan bahan yang radikal yang dimulai oleh mereka memberi impak yang sangat kuat terhadap polemik pengkaryaan seni yang menggunakan pelbagai bahan  pada tahun-tahun ini.

Rujukan
Redza Piyadasa, “ Masterpieces from National Art Gallery of Malaysia,  m.s. 200

Tiada ulasan:

Catat Ulasan