Sabtu, 21 Julai 2012

Bakat Muda Sezaman: Satu Tinjauan (1974-2010)


Oleh: Faizal Sidik

Statistik jumlah karya bertanding mengikut tahun dalam BMS (1974-2010)

Sejarah Bakat Muda Sezaman atau BMS bermula pada tahun 1974 apabila Jawatankuasa Pameran dan Pembelian BSLN pada tahun berkenaan yang terdiri daripada AlIahyarham Ismail Zain, AlIahyarham Redza Piyadasa, T.K Sabapathy, mendiang  Joseph Tan, Johan Arif,  Farid Wardi, Mat Yasser Juli dan Zurina Majid beranggapan perlunya diadakan satu pameran dan pertandingan bagi memberi peluang kepada pelukis-pelukis muda terutama yang telah keluar sebagai graduan daripada institusi-institusi seni dalam mengembangkan bakat mereka. Dalam menonjolkan pelukis muda maka muncullah nama pertandingan ‘Pelukis Muda Sezaman’  iaitu inspirasi daripada The Young Contemporaries Exhibition yang telah diadakan di London menurut Sulaiman Esa pada sekitar tahun 60 an.

Rentetan daripada bertambahnya bilangan pelukis-pelukis muda yang telah lulus keluar daripada institusi-institusi seni lukis dimana mereka memerlukan ruang-ruang yang khusus dalam menunjukkan kebolehan dan hasil daripada latihan di institusi-institusi tadi dalam memperkenalkan daya kreativiti pengkaryaan mereka untuk tatapan umum.  Jadi BMS menjadi medan ‘perang’ yang dinantikan-nantikan dan ditunggu-tunggu oleh mereka dan menjadi medan ‘kritik’ pula kepada kita terhadap perkembangan seni lukis Malaysia.

Sungguhpun begitu dalam mencapai maksudnya yang sebenar dalam mengangkat dan menyatukan karya pelukis-pelukis muda yang dianggap baik dalam satu bumbung ia juga boleh menjadi satu penanda aras yang kritikal dalam mengukur  kualiti produk-produk yang di keluarkan oleh institusi seni lukis itu tadi samada mereka adalah relevan mengikut kehandak sezaman atau masih kuat dengan aturan kehendak akademi seni yang kaku lagi beku. Galakan dan dorongan yang diberikan oleh BSLN dalam mengelolakan acara ini hampir  40 tahun penganjurannya harus diberi pujian.

Sebanyak   23 edisi Bakat Muda Sezaman yang telah dijalankan sepanjang 40 tahun itu iaitu daripada tahun 1974 hingga 2010. Sungguhpun begitu dalam tempoh itu banyak perubahan-perubahan yang telah dilaksanakan dari segi model yang dilakukan yang bertujuan untuk mengangkat acara ini sesuai dengan mengikut perkembangan semasa seni kontemporari yang berlaku di tanah air. Perubahan-perubahan ini boleh dilihat dari segi faktor had umur, penyertaan pelukis, hadiah dan format pertandingan.

BMS 1970 an
Pada mulanya BMS dirangka untuk mengetegahkan pelukis-pelukis muda yang diharap mereka ini akan menjadi pelapis kepada pelukis yang sedia ada agar negara kita tidak ketandusan pelukis-pelukis berbakat yang boleh memberi sumbangan dari sudut estetika kepada negara. Oleh itu umur pelukis yang yang layak BMS ini pertama pada tahun 1974 telah dirangka kepada pelukis dibawah 30 tahun sahaja. Pada awalnya penyertaan adalah secara tertutup iaitu melalui jemputan. Seramai 13 artis muda yang berkaliber pada sekitar tahun itu diberi peluang untuk menghantar karya mereka namun hanya separuh atau  tujuh artis sahaja yang mengesahkan penyertaan mereka. Pada edisi bersejarah pertama Hadiah Terbaik ini ia dimenangi oleh Zulkifli Dahlan dengan karya ‘Halaman Rumah Kami’, 1973. Zulkifli adalah pemenang pertama juga yang telah memenangi tiket kapal terbang yang ditawarkan untuk membuat perjalanan ke negara ASEAN atau India. Namun Zulkifli telah memutuskan untuk membuat kunjungan ke India pada tahun 1975 selain wang tunai RM 2,000.

Pada edisi kedua terdapat perubahan besar yang berlaku antara yang utama adalah penyertaan dijalankan secara terbuka, ini bermakna pintu penyertaan dibuka seluas-luasnya kepada pelukis-pelukis muda dibawah umur 30 tahun boleh menghantar seberapa banyak karya yang mereka mampu. Keterbukaan penganjuran pada edisi ini telah menyebabkan panganjur telah menerima 93 karya daripada 37 orang artis, namun hanya 19 karya daripada 29 artis sahaja yang terpilih untuk di pamerkan.  Antara syarat lain yang perlu di patuhi oleh artis antara lain adalah dimana peserta dikehendaki untuk menghantar slaid berwarna sebagai syarat penyertaan. Hadiah wang tunai RM 2,000 dan tiket perjalanan ke negara ASEAN atau India kekal sehingga edisi ketiga 1976/78. Apa yang menariknya pada edisi ketiga adalah penganjur menerima tajaan daripada pihak korporat iaitu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), dimana pihak MAS telah menaja tiket-tiket kepada para pemenang. Pada tahun berkenaan 49 karya daripada 18 pelukis telah diterima diman panel hakim teleh menetapkan hanya 19 karya  sahaja terpilih dari 29 pelukis.

Pameran tidak diadakan selama 3 tahun iaitu daripada 1978 hingga 1980 kerana bagi memberi tumpuan kepada pameran dan pertandingan lain iaitu Pertandingan Seni Lukis dan Grafik 1977/1978 dan Salon Malaysia. Daripada 4 edisi penganjuran awal BMS pada tahun 1970 an karya-karya aliran Konstruktif begitu popular dan mendominasi pemenang dan peserta yang bertanding. Pengaruh kuat daripada pensyarah-pensyarah yang pernah belajar di luar terutamanya kumpulan ‘New Scene’ boleh dikatakan cukup kuat pada karya-karya yang dihantar dimana mereka menyarankan cara baru dalam melihat , berkreatif dan pendekatan yang dibawa  bersifat intelektual, tidak bersifat peribadi dan menolak simbolik.

BMS 1980 an
Sepanjang dekad 1980 an penganjuran BMS telah mencapai tahap penganjuran boleh dikatakan membanggakan kerana dijalankan secara konsisten sebanyak sepanjang 9 kali daripada tahun 1982 hingga 1990. Karya-karya yang dihantar menampakkan kehalusan kreativiti dan inovatif yang mengaitkan bentuk tradisi dan sezaman. Mungkin Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1972 dan Seminar Akar-Akar Peribumi tahun 1979  telah menampakkan kesan dan pengaruhnya.

Pada tahun 1981 penganjur menerima 151 karya daripada 44 peserta. Format dari segi had umur dan penghantaran slide berwarna masih dikekalkan. Apa yang menariknya adalah jumlah penerima hadiah selain Hadiah Utama berjumlah RM 2000 dan tiket kapal terbang ke Sydney. Panel  telah menambah 3 lagi untuk diberikan Hadiah Kecil RM 1,000 setiap seorang. Perihal dengan memberi hadiah saguhati ini boleh dilihat sebagai pendorong agar berusaha lebih lagi di tahun-tahun mendatang bagi karya artis muda yang berpotensi menang diperingkat akhir penjurian namun tidak berjaya untuk diberi kemenangan Hadiah Utama.

Had umur peserta yang layak menyertai mula dinaikan daripada 30 tahun kepada 35 tahun bermula daripada tahun 1982. Hal ini dilakukan selaras bagi mengikut usia maksimum belia atau kaum muda  oleh Kementerian Belia dan Sukan yang menjaga hal kepentingan belia. Oleh yang demikian umur bagi syarat kelayakan BMS perlu mematuhi garis panduan yang diputuskan oleh pengubal. Pada tahun ini penganjuran menerima 191 karya daripa 78 peserta. Karya yang terpilih untuk pamerkan adalah sebanyak 97 karya daripada 39 peserta. Pada edisi yang ke-6 pada tahun 1983 Hadiah Kecil telah ditambah kepada 4 hadiah dimana penganjur telah menerima 158 karya daripada 46 pelukis dan hanya 84 karya terpilih di peringkat akhir penjurian.

Pertambahan Hadiah Kecil (Minor Award) tidak terhenti di situ sahaja, tetapi hadiah ini telah ditambah sekali lagi kepada 5 hadiah disamping Hadiah Utama pada tahun 1984. Pada tahun ini penganjur telah menerima 104 karya oleh 41 pelukis dengan 85 karya terpilih untuk dipertandingkan. Penetapan 1 Hadiah Utama dan 5 Hadiah Kecil ini terus dilaksankan selama 13 tahun sehinggalah pada tahun 1997 apabila hadiah dipecahkan mengikut kategori. Pada tahun ini BMS mula mendapat tajaan syarikat korporat swasta seperti Malaysia Tobacco Company manakala syarikat minyak dan gas iaitu Esso Malaysia telah menaja daripada 1985 hinggalah pertengahan 1990 an.

Ada dua penambahbaikan yang dilakukan bermula pada edisi ke-8 pada 1985. Pertama pertandingan telah mula diperkenalkan secara bertema dan kedua syarat penghantaran telah diperketatkan dimana seorang artis hanya boleh menghantar maksimum 3 karya sahaja. Pengacaraan bertema ini telah dilaksankan selama 7 edisi BMS antara tema-tema yang pernah dipilih adalah ‘Bahan-bahan Tempatan’ (1985), ‘Keamanan’ sempena Tahun Keamanan Antarabangsa (1986), Perlindungan kepada yang tiada Kediaman’ oleh UNESCO (1987), ‘Bahan dan Kreativiti’ (1988), ‘Literacy’ (1989), ‘Lawat Malaysia 1990’ (1990), ‘Warisan Kita’ 1991. Sungguhpun begitu tiada lagi kesempatan yang diberikan oleh pengajur kepada pemenang Hadiah Utama apabila geran perjalanan keluar negara tidak diberikan pada tahun 80 an sehinggalah pada pertengahan 1990 an.

BMS 1990 an
Pada tahun 1991 BMS dijalankan dengan bertemakan ‘Warisan Kita’ . Daripada maklum balas yang diterima daripada panel penilai dan juga peserta sendiri acara yang dijalankan secara bertema ini telah menghadkan pergerakan mereka untuk berekpresi dan bereksperimentasi. Oleh yang demikian pada edisi 1992 penganjur merasakan adalah perlu agar pertandingan berbalik kepada landasan yang asal dengan memberi ruang yang lebih peserta untuk bereksplorasi. Tidak hairanlah dengan penstrukturan semula format,  BMS pada tahun awal 90 an ia telah menerima minat yang menggalakkan oleh artis muda.

Ini terbukti apabila BMS telah menerima penyertaan terbesar dalam statistik penganjurannya pada edisi yang ke-15 iaitu pada tahun 1992 dengan 425 karya daripada 223 pelukis dimana 119 karya daripada 66 peserta mengesahkan menyertai pertandingan itu. Pada tahun 1993 acara ini tidak dijalankan. Pada  1994 BMS telah menimbulkan kontroversi apabila tiada pemenang yang diberikan Hadiah Utama apabila hanya 11 Hadiah Kecil yang berjumlah RM 11,000 telah diberikan. Pada tahun itu BMS menerima 295 karya daripa 134 pelukis dangan 133 karya terpilih untuk dipamerkan. Tahun 1995 acara yang ditunggu-tunggu ini sekali lagi tidak dapat dijalankan.

Pada 1996 BMS sekali lagi telah menerima perubahan dari segi format penyertaan. Ini adalah kerana; (1) Ada panel yang berpendapat adalah tidak adil kepada mereka untuk membuat penilaian dan penghakiman karya-karya dalam satu pertandingan yang menghimpun semua genre seni halus dari segi olahan, skala dan hasrat dalam satu pertembungan. (2) Sisipan atau slaid mula digunakan dan diwujudkan semula bagi memilih karya-karya benar bemutu dan menjimatkan masa dan ruang penghakiman.(3) Syarat penyertaan diperketakan 20 hingga 30 tahun agar pelukis diberi masa sekurang-kurangnya 2 tahun selepas keluar dari institusi seni bagi menimba pengalaman di luar terlebih dahulu sebelum bertanding.

Pada edisi ini BMS menerima 297 penyertaan daripada 222 pelukis. Hanya 43 karya sahaja yang layak telah dipertimbangkan ke peringkat akhir. Hadiah pemenang telah dinilai semula semenjak 1984 yang bernilai hanya RM 8,000 secara keseluruhan. Panel bersetuju untuk menambahkan nilai hadiah mengikut keperluan semasa dari segi kos dan bahan yang dilaburkan artis.  Mulai 1996 pemenang Hadiah Utama menerima RM 6,000 dan geran perjalanan RM 3,000 dan 5 Hadiah Kecil berjumlah RM 2,000 setiap seorang dan geran perjalanan RM 2,000 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 29,000.

Hasil daripada ‘pembedahan’ edisi BMS sebelumnya, pengadil atau hakim dari luar terutamanya dari kalangan negara ASEAN mula dijemput bersama bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan dan menyemarkkan lagi semangat Tenggara . Pengkategorian mula diperkenalkan, Pada 1997 BMS telah menerima 76 karya iaitu 35 karya dari kategori catan, 17 karya arca/instalasi, 9 karya cetakan/fotografi, dan 8 karya multimedia/eksperimental. Namun demikian ada panel  yang mempersoalkan penetapan 4 kategori yang membataskan pengkaryaan artis.Pembahagian hadiah telah dirombak dengan 1 Hadiah Keseluruhan, 4 Hadiah Pemenang mengikut kategori dan 1 Hadiah Penghargaan juri yang baru diperkenalkan. Hadiah kemenangan sekali lagi telah ditambah  kepada RM 9,000 dengan jumlah keseluruhan RM 38,000.

BMS sekali lagi tidak dapat dilaksanakan pada 1998 dan setahun kemudian pula ditumpukan untuk menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan program selepas 23 tahun ia berjalan. Pameran ‘Imbasan Bakat Muda Sezaman’  atau Imbasan BMS (1974-1977) adalah Sebuah pameran pengumpulan semula para pemenang yang lepad dalam bentuk dokumentasi video dan cetak selama lebih 2 dekad BMS diadakan. Ada beberapa resolusi yang dikenalpasti daripada pameran ini antaranya (1)BMS perlu mengikut keperluan dan perubahan semasa (2) Objektif, format dan prestasi di ubah semula (3) Acara diadakan dua tahun sekali. (4) Hadiah dinaikan.

BMS 2000 an
BMS alaf baru berjaya dilakukan dua tahun sekali atau ‘BMS Biennial’ ini telah mancapai hasratnya untuk dijalankan secara dwi-tahunan kecuali pada tahun 2008. Beberapa format baru telah dijalankan antaranya; (1) had umur bawah 35 tahun. (2) Peserta perlu menghantar sekurang-kurangnya lima slaid hasil karya yang dibuat dalam 2 tahun yang lepas dan hasil dari melihat slaid hasil dari melihat slaid oleh hakim pertandingan, pelukis yang layak sahaja akan dijemput untuk menghantar karya.(3) Penghakiman ke atas karya sebenar dilakukan untuk menentukan peserta yang berjaya.

Pada tahun 2000 penganjur menerima 86 karya daripada 36 pelukis, hanya 27 artis sahaja yang dikehendaki menghantar karya akhir mereka. Hadiah keseluruhan berjumlah RM 45,000 dibahagikan kepada 1 Hadiah Utama (RM 10,000 dan waran perjalanan RM 3,000 ke sebuah negara ASEAN dan penerbitan folio khas pelukis RM 2,000), 3 Hadiah Khas Juri  (RM 5,000 bersama waran perjalanan RM 3,000 ke sebuah negara ASEAN, 6 Hadiah Penghargaaan RM 1,000 setiap seorang.

Format dua edisi berikutnya iaitu pada tahun 2002 dan 2004 diteruskan dimana 28 penyertaan diterima pada tahun 2002 dan 35 penyertaan datangnya daripada tahun 2004. Pada 2006 hanya 31 karya dipertandingkan namun tiada pemenang utama diumumkan. Disebabkan panel tidak menemui pemenang ia digantikan dengan 2 Hadiah Bina yang bertujuan untuk melihat lagi dan perkembangan semula  2 pelukis yang dikenalpasti bagitu hampir memenangi Hadiah Utama. Panel juga telah menukar Hadiah Khas Juri dan hadiah penghargaan yang dijalankan pada 3 edisi sebelum ini kepada hanya Hadiah Juri iaitu seramai 8 orang pemenang.

Pada 2008 acara ini tidak dijalankan dan kembali pada 2 tahun kemudian. Pada 2010 dijalankan semula dengan format penyertaan yang agak berbeza dimana seseorang artis perlu dicadangkan atau disyorkan untuk layak mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Pencadang yang mencadangkan artis ini pula terdiri daripada mereka yang telah biasa dengan pengkaryaan atau mengetahui latar belakang artis yang terdiri daripada profesional seni seperti kurator, pensejarah seni, ahli akademik, pengkritik, penulis, pemilik galeri, pengumpul, mahupun rakan artis.Format baru ini telah menerima seramai 80 penyertaan. Namun hanya 40 karya sahaja yang dipertimbangkan benar-benar layak untuk dipertandingak di peringkat akhir

Penutup
Secara umumnya apabila ditinjau semula format BMS bermodelkan pertandingan yang bertujuan bagi mencari bakat dengan tawaran hadiah. Sungguhpun begitu ada yang mencadangkan agar ia tidak lagi dijalankan secara pertandingan kerana ia tidak membentuk seni lukis kita secara jujur kerana ada artis hanya akan berkarya semata-mata untuk memenangi habuan. Ada juga pendapat yang mengatakan agar acara ini kembali semula kepada model terawal itu secara jemputan seperti Turner Prize dimana artis-artis muda yang dirasakan berkaliber sahaja dilakukan penilaian dengan membuat lawatan-lawatan ke tempat atau studio mereka berkarya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan