Selasa, 10 Julai 2012

Pengkaryaan Bahan Campuran dalam Seni Konseptual 1970 an



Oleh: Faizal Sidik

Pengenalan
Pengkaryaan bahan campuran dalam seni lukis moden dan kontemporari Malaysia bermula daripada pengaruh pengkaryaan daripada artis yang pernah belajar di luar negara terutamanya disekitar tahun enam puluhan dan tujuhan puluhan dimana pada masa itu disana pergerakan aliran seni moden di barat berkembang dengan cepat dengan aliran-aliran pemikiran yang dibawa dalam seni yang daripada penggunaan bahan konvensional cat minyak yang bertujuan sedaya upaya untuk mendekatkan karya artis dengan audien, maka lahirlah pergerakan seperti Seni Pop, Dada, Konsep dan lain-lain.

Bagi menyelusuri penggunaan bahan campuran terhadap seni konseptual dalam tahun tujuh puluhan di sini, terlebih dahulu perlulah sekiranya kita melihat pergerakan seni konseptual di Barat itu sendiri. Pergerakan seni konseptual ini muncul pada tahun 1960 an. Kemunculannya  adalah  sebahagian daripada  reaksi penentangan terhadap formalisme iaitu yang  menitiberatkan elemen-elemen komposisi perletakkan seperti warna, garis, bentuk dan tekstur daripada  kewujudan objek, konteks, dan isi yang disebut oleh pengkritik seni di New York yang berpengaruh iaitu Clement Greenberg.

Description: Go to fullsize image

Illustrasi 1: Marcel Duchamp (1887-1968)
“Fountain”,
 Objek perkilangan mangkuk tandas poselin bertandatangan ‘R. Mutt 1917’
36 cm x 48 cm x 61 cm,  1917

Menurut Greenberg seni moden melalui proses pengurangan yang progresif dan penghalusan kearah yang bertujuan untuk mentakrif dengan sebenar-benarnya sifat bahantara. Eleman-elemen ini yang akan bertindakbalas terhadap sifat pengurangan ini. Peranan catan, misalnya adalah untuk menjelaskan apakah objek catan itu: apa yang membuatkan ia sebuah catan dan tiada yang lain. Sifat semulajadi catan iaitu objek yang rata pada permukaan kanvas yang diwarnakan dengan pigmen, seperti catan figura, perspektif ilusi tiga dimensi dan rujukan terhadap subjek luaran yang kesemuanya intipati yang mengatakan ia sebuah catan dibuang.

Di Malaysia ia dimainkan oleh generasi kedua seniman tempatan yang berkelulusan barat dimana situasi yang sama juga berlaku namun agak lewat sedikit iaitu pada tahun awal 70 an. Kebanyakan mereka ini pernah mengikuti pengajian di Maktab Seni Lukis yang terdedah kepada suasana baru atau “New Scene” iaitu adalah sebuah gerakan seni baru yang muncul kesan  sukatan pelajaran yang diatur berdasarkan aliran “Bauhaus” iaitu sebuah sekolah seni rekaan yang terkenal di Jerman yang mengabungkan pembelajaran antara kraf dan seni halus.

Bauhaus membawa idea penciptaan secara total dalam karya seni dimana semua cabang seni termasuklah seni bina di ajar. Stail Bauhaus ini telah membawa pengaruh yang besar terhadap perkembangan dalam seni, seni bina, seni grafik, seni reka dalaman,  seni reka industri dan tipografi yang membina satu pandangan yang lebih analisis dan konstruktif. Ciri-ciri bagaimana melihat atau pengamatan lebih ditekankan. Pendekatan Bauhaus ini telah memberi impak serta dipraktikkan oleh maktab-maktab seni yang terkenal di England serta dikembangkan dan diajar sehingga ke hari ini  apabila mereka mengugurkan diploma lama dengan mengantikan Diploma in Art and Design sebagaimana kursus-kursus yang terdapat di sekolah seni di Malaysia pada hari ini.

Rombakan besar yang berlaku dalam sistem pendidikan disana terutamanya seni telah membawa angin perubahan baru kepada artis tempatan yang menerima didikan diluar. Piyadasa mengatakan “Mata pelajaran seperti sejarah sosial, falsafah, kesusasteraan dan sejarah pemikiran mulai diajar buat pertama kalinya di maktab-maktab ini. Kesemua perubahan-perubahan ini meninggalkan kesan yang mendalam ke atas pelukis-pelukis kita yang menerima pendidikan disana.”.

Stail Ekspressionisme Abstrak yang mementingkan aspek dari segi emosi, perasaan dan sifat individu artis mula ditentang oleh artis-artis muda ini. Stail seni antarabangsa atau International Stail mula muncul menolak aliran sebelumnya. Peralihan inilah yang membawa kecenderungan yang baru kepada artis untuk mendekatkan diri mereka dengan pengolahan seni yanag lebih idealis seperti yang dibawa oleh seni Konseptual dan Minimalis.

Artis-artis yang menggelarkan diri mereka sebagai “New Scene” ini tadi membawa aliran Seni Konstruktif seperti Redza Piyadasa, Tang Tuck Kan, Sulaiman Esa, Chong Kam Kow dan Tan Teong Eng dimana mereka juga bereaksi terhadap Ekspressionisme dan Ekspressionisme Abstrak yang bawa pada awal dan pertengahan tahun 60 an oleh Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Yeoh Jin Leng, Ibrahim Hussein, Lee Joo For dan Cheong Laitong di samping gerakan Formalisme pengaruh daripada Lyrical Colourist oleh Ismail Zain dan Jolly Koh pada akhir 60 an. Pada tahun 1974 koloborasi Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa sekali lagi dalam sebuah pameran penting dalam pergerakan seni moden Malaysia iaitu “Toward A Mystical Reality” yang membangunkan Seni Konseptual Mistik membuka lorongan baru dalam pengkaryaannya itu disini.


Seni Konseptual
Seni Konseptual adalah seni dimana  konsep atau idea yang dibawa dalam pengkaryaan itu diberi keutamaan daripada  tradisi estetik dan material. Kebanyakan karya kadangkala disebut sebagai pemasangan, sebagai contoh karya pemasangan artis Sol Lewitt mungkin boleh dipasang oleh sesiapa sahaja dengan melihat pada lakaran panduan. Pendekatan ini adalah asas bagi Lewitt dalam mendefinasikan seni Konseptual, seperti yang diperkatakan terdahulu oleh beliau dalam sebuah penerbitan:
“ Dalam seni konseptual idea atau konsep adalah merupakan aspek yang paling penting dalam karya.  Apabila artis menggunakan seni berbentuk konseptual,  ini bermakna kesemua perencanaan dan ketetapan adalah dibuat terlebih dahulu dan pelaksanaannya agak bersahaja. Idea merupakan alat dalam pengkaryaan seni.”
           
Menurut beliau walau apa pun rupa bahan idea tetap diberikan keutamaan dalam pengkaryaan seperti ini. Baginya idea mendahului bahan. Tony Godfrey, pengarang buku “Conceptual Art” (1998), menyatakan bahawa seni konseptual adalah persoalan tentang sifat dasar seni itu sendiri,  buah fikiran Joseph Kosuth pula membuat penilaian baru definasi seni itu sendiri dalam eseinya yang bertajuk, “Art After Philosophy” (1969) yang juga merupakan manifesto awal seni konseptual. Pengkritik berpengaruh Clement Greenberg  menyebut bahawa seni seharusnya melihat semula kekuatan sifatnya terhadap seni Moden sepanjang tahun 1950 an. Munculnya seni yang berasaskan kata-kata pada tahun 1960 an, oleh artis seperti Joseph Kosuth, Lawrence Weiner dan kumpulan Art & Language dilihat lebih radikal dan kritikal terhadap permaknaan seni itu sendiri dari yang sebelumnya. Salah satu perkara yang terpenting yang diutarkan oleh mereka persoalan peranan artis dalam perihal membuat objek unik.
Description: C:\Documents and Settings\mfaizal\My Documents\BSLN\Penerbitan\Kosuth.jpg

Illustrasi 2: Joseph Kosuth (L.1945)
“One and Three Chairs”
Kerusi kayu, gambar fotografi kerusi, pembesaran gambar fotografi daripada kamus definisi ‘kerusi’ 
82 cm x 37.8 cm x 53 cm- kerusi, 91.5 cm x 61.1 cm- panel fotografi, 61 cm x 61.3 cm teks panel  1965
Koleksi: Museum of Modern Art (MOMA), New York

Dalam membicarakan perbincangan tentang radar seni sebegini dengan lebih spesifik sekitar tahun tujuh puluhan Anne Rorimer berpendapat“ Seni konseptual bukan sahaja sebuah seni yang lain dari yang lain, ia lebih spesifik tentang kewujudannya seni, tetapi cuba memberi definasi semula apa itu seni, satu transformasi terhadap seni itu sendiri; transformasi yang berkaitan dengan sensual sesuatu konsep ontologi pada karya yang mana mencabar definisinya sebagai objek dengan lebih spesifik yang dikatakan ‘estetik’ (iaitu ‘bukan-konseptual’) atau  intisari pengalaman ‘visual’. Seni konseptual menentang objek seni sebagai satu objek yang untuk dipandang sahaja”

Sungguhpun begitu saya suka merujuk karya Joseph Kosuth (Illustrasi 2) “One and Three Chairs” ,1965 untuk menjawab semula apa yang diperkatakan oleh Rorimer tadi dengan merujuk penulisan saya sebelum ini yang membincangkan tentang antara audien dan objek seni dari sudut estetik dan falsafah seni itu sendiri. Saya mengatakan “Aktiviti peniruan semula bentuk fizikal atau mimesis menurut Plato juga membuatkan audien mudah mengenali akan imej yang digambarkan. Plato mengatakan tukang kayu membuat kerusi kerana diberikan ilham oleh Tuhan, manakala pelukis melukis kerusi kerana ia telah direka oleh tukang kayu. Hal ini bermakna audien hanya akan dapat menangkap jika imej yang dihasilkan itu kelihatan fizikalnya atau nampak ciri-ciri bentuk. Jika kita mengatakan pelukis hanya melukis didalam imaginasinya sahaja tanpa diterjemahkan kedalam bentuk fizikal maka audien tidak akan mengetahui jenis apakah bentuk yang dilukis oleh pelukis. Audien akan menyedari adanya bentuk sebuah kerusi sekiranya pelukis mensambung-sambungkan setiap setiap satah diatas permukaan terhadap bentuk kerusi yang sebenar, sekiranya audien tidak mengenali sama ada kerusi yang dilukis oleh pelukis itu adalah sebuah kerusi maka ia bukanlah satu kejayaan kepada audien kerana masih samar-samar untuk menganggapnya sebagai sebuah kerusi”

Penutup
Penggunaan bahantara di dalam seni kontemporari terutamanya bahan campuran bukanlah aspek yang diberikan penekanan yang berlebihan oleh artis konseptual dalam tahun tujuh puluhan.  Bahan bagi mereka hanyalah bentukan fizikal yang di gunakan untuk menyampaikan idea. Dua penganjuran pameran yang dilaksanakan pada tahun 1970 an iaitu “Lanskap Malaysia” dan “Manusia dan Alamnya” dianggap sebagai pemangkin kepada pengkaryaan yang bukan lagi berlandaskan kepada membuat gambar atau picture making tetapi berasaskan konsep idea.
Description: D:\Documents\Esei utk Dewan Budaya - Faizal Sidik\Konseptual\5.jpg
Illustrasi 4: Redza Piyadasa (1939-2007)
The Great Malaysia Landscape
Akrilik, kayu,tali dan kertas atas kanvas
230 cm x 179 cm, 1972
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (BSLN 1973-002)


Kedua-duanya memberi sumbangan penting terhadap perkembangan seni lukis di Malaysia tidak hairanlah jika kebanyakan karya konseptual sekitar tahun 1970 an dalam koleksi Balai Seni Visual Negara adalah datangnya daripada pameran ini. Kebanyakan karya mereka yang menggunakan bahan campuran merasakan ia merupakan bahasa visual yang paling tepat dan lebih dekat dengan idea pemikiran mereka disamping membangkitkan tindak balas sosial audien sebagai pemerhati malah ia mendekatkan audien dengan realiti seperti yang dinyatakan oleh Lewit;

Bahantara baru merupakan masalah utama di dalam seni kontemporari. Sesetengah artis terkeliru antara bahan baru dan idea yang baru. Tiada ada yang lebih teruk daripada melihat  seni yang ditengelami dengan pelbagai bahan. Kebanyakan artis yang tertarik dengan penggunaan bahan  ini  juga adalah mereka yang tidak mempunyai pendirian yang teguh dalam membolehkan mereka menggunakan bahan itu dengan baik. Artis yang bagus  akan menggunakan bahan-bahan baru dan membina sebuah karya seni. Bahayanya adalah, saya rasa, apa yang lebih dipentingkan disini adalah sifat fizikaliti bahan itu sahaja daripada idea yang ada pada karya itu (satu lagi ekspressionisme)”

Pengkaryaan seni konseptual pada tahun tujuh puluhan bukan untuk mementingkan bentukan yang terhasil daripada bahan campuran yang mereka gunakan. Karya-karya yang mereka hasilkan pada tahun-tahun ini bukanlah untuk perasaan-perasaan emosi yang merewang. Penggunaan bahan campuran di dalam karya artis-artis pada tahun tujuh puluhan ini dilihat telah memberi inspirasi baru kepada artis selepasnya. Tidak dinafikan di dalam tahun lapan puluhan penggunaanya begitu meluas sekali sehingga boleh dikatakan penggunaan bahantara ini begitu kuat sekali di dalam koleksi Balai Seni Visual Negara selain catan dan akrilik. Ini menandakan bahawa pengkaryaan tahun tujuh puluhan membuka laluan yang luas terhadap eksplorasi bahantara yang tiada batasnya di dalam penghasilan karya mereka.

Rujukan
Sol Lewitt, “Paragraphs on Conceptual Art”, dalam Artforum, 1967.

Redza Piyadasa, Pengolahan Lanskap Tempatan dalam Seni Moden 1930-1981, Balai Seni Lukis Negara, 1981.

Peter Osborne, “Conceptual Art as Philosophy”, dalam Rewriting Conceptual Art,

Anne Rorimer, New Art in Sixties and Seventies, Thames & Hudson, 2001, ms 71

Faizal Sidik, “Permasalahan dalam Melihat Karya Seni: Kebenaran dan Pengetahuannya” telah disiarkan di dalam Risalah Seni Tampak (SET) Jil 1. Bil 2, Ogos, 2006, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan