Khamis, 29 September 2011

Venice Biennial ke-54, 2011

Oleh: Faizal Sidik



Venice Biennial kali ke-54 yang diadakan di Venice, Itali daripada 4 Jun hingga 27 November 2011 boleh dikatakan sebagai Mekah dalam penganjuran seni kontemporari dimuka bumi yang diadakan dua tahun sekali. Ada pula yang mengatakan ia adalah seni Olimpik dalam mempertemukan negara di seluruh dunia berhimpun dalam satu tempat, walaupun apa sahaja pandangan yang diberikan mengenai penganjurnnya ini, ia adalah penganjuran seni dwi-tahunan yang berprestij dan ditunggu-tunggu untuk melihat siapakah artis yang mewakili pada pavillion-pavillion negara disana. Menyentuh serba sedikit sejarah Venice Biennial ia bermula daripada resolusi City Council of Venice pada 19 April 1893 yang menyarankan penganjuran acara seni dwi-tahunan iaitu “biennial national artistic exhibition” bersempena sambutan Jubli Perak King Umberto dan Queen Margherita.

Peta perletakan Giardini dan Arsenale dan pavillion-pavillion negara di serata Venice

Acara ini dianjurkan buat pertama kali pada 30 April 1895. Komitmen daripada Datuk Bandar Venice Ricardo Selvatico dimana lebih daripada 200,000 pelawat dari seluruh hadir dalam pertama kali penganjuran Venice Biennale walaupun dikenakan bayaran masuk. Walaubagaimanapun acara ini terhenti daripada 1914-1920 akibat Perang Dunia Pertama. Terdapat 30 negara yang mempunyai pavillion tetap di Giardini iaitu lokasi ia diadakan yang terletak di sebuah taman yang indah dikelilingi oleh rimbunanpokok-pokok. Pada tahun 1999 disebabkan ruang Pavillion Sentral (pavillion Itali atauutama biennale) yang terhad, projek pengubahan secara besar-besaran dilakukan pada bekas bangunan bersejarah yang sebelum ini merupakan gudang kapal Arsenale in Venice kepada ruang pameran.

Haned Masjak dan Faizal Sidik di dalam Padiglione Centrale

Venice Biennial ke-54 berlangsung daripada 4 Jun hingga 27 November 2011 iaitu selama hampir 6 bulan. Dalam kenyataan Presiden Venice Biennial edisi iniPaolo Baratta telah menjemput muzium dan organisasi seni di seluruh dunia ke acara ni sebagai jemputan termasuklah Balai Seni Lukis Negara melalui agensi perdagangan luar negara kita iaitu MATRADE. Pada edisi kali ini saya selaku kurator dan En.Haned Masjak iaitu Timbalan Pengarah (Operasi) BSLN menggalas misi dalam melakukan kajian dan penyelidikan dengan lebih dekat penganjuran yang berusia lebih 100 tahun ini, Pihak penganjur senang berurusan dengan pihak Matrade ini adalah kerana kita pernah menghantar wakil berpameran di12th Venice Archicture Biennale pada tahun 2010 menerusi penglibatan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM).

Pengarah Venice Biennial ke-54 Bice Curiger (biru-tengah)

Di hari perasmian 4 Jun lalu pengarah Venice Biennail yang bertajuk ‘Illuminations’ pada kali ini iaitu Bice Curiger yang merupakan seorang pensejarahan seni, pengkritik dan kurator pameran antarabangsa yang berpusat di Kunsthaus Zurich mengumumkan pemenang anugerah Golden Lion (singa emas adalah lambang dalam bendera negeri Venice) iaitu hadiah yang diwujudkan bagi memberi penghargaan pencapaian hayat sebagai artis ini diberikan kepada Frank West pengarca veteran Austria dan Sturtevant artis konseptual Amerika Syarikat.

Pelawat-pelawat berduyun-duyun melawat ke pavillion di dalam Giardini

Dalam ucapan presidennnya lagi menyatakan penganjuran pada kali ini mencatatkan rekod peningkatan dari segi jumlah pavillion yang mengambil bahagian yang terdiri daripada 89 buah negara (terbanyak setakat ini) daripada 77 pavillion dua tahun sebelumnya, antara negara yang pertama kali mengambil bahagian adalah seperti negara Arab Saudi, Bangladesh dan Haiti. penyertaan 83 orang artis dari seluruh dunia di samping 37 acara sampingan di serata bandar Venice.


Dihadapan Pavilion Switzerland oleh artis Thomas Hirshorn‘Crystal of Resistance’ 2011

Setelah upacara perasmian kami ke pavillion utama iaitu Padiglione
Centrale atau Pavillion Sentral dimana pameran ILLUMInations ini diadakan berkeluasan 3500 meter persegi. Mengikut sejarahnya Padiglione Centrale ini dibuka pada 1894 oleh Datuk Bandar Venice dengan melantik jurutera majlis perbandaran Venice untuk membina ruang pameran di Giardini di Castello sebagai hos pameran antarabangsa yang pertama yang dibuka selepas setahun pembinaanya. Selepas kejayaan pertama kali penganjuran Venice Biennial pada 1895 mereka telah meluaskan lagi kawasan dengan memberi peluang kepada penyertaan negara-negara lain dan negara luar pertama yang membina pavillion disini adalah Belgium manakala pavillion yang terakir adalah dari Korea pada 1995 dan selepas itu tiada lagi pavillion dibina disini.

Peta pavillion di Giardini

Dalam edisi pada kali ini Padiglione Centrale telah menempatkan 24 artis dengan lebih kurang 31 ruang pameran didalamnya. Apa yang menjadi tumpuan utama dalam pavillion ini adalah 3 karya bersaiz besar oleh artis Itali di zaman Renaisan yang banyak melakukan eksperimentasi dalam catan di zamannya iaitu Jacopo Tintoretto (1518-1594) koleksi oleh Gallerie dell’Accademia, Venice telah diletakkan di dalam ruang pameran utama seperti karya yang bertajuk ‘The Last Supper’ (1592-1594), ‘The Creation of the Animals’ (1550-1553), ‘Removal of the body of Saint Mark’ (1562-1566), dan ‘Miracle of the Slave’ (1548) telah dibincangkan semula daripada perspektif kontemporari. Kami mengambil masa beberapa minit menghayati karya-karya Tintoretto ini kerana karya pinjaman khas untuk pameran Illumination yang menjadi fokus edisi kali ini dimana karya ini menitikberatkan elemen perspektif, pencahayaan dan komposisi.

Dihadapan Padiglione Centrale atau pavillion utama

‘Illuminations’ tajuk edisi Venice Biennial kali ini diambil daripada tajuk buku penulisan pemikir seni dan budaya abad ke-20 iaitu Walter Benjamin yang merupakan pengkritik sastera, ahli falsafah, ahli sosiologi, penterjemah dan penyiar radio dimana dalam dalam buku himpunan eseinya yang terkenal antaranya ialah ‘Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction’ 1969 . Pengarah merangkap kurator pameran mengeksplotasikan makna Illuminations kepada dua illumine (menerangi) dan nations (negara) dalam membawa isu yang lebih besar yang berlaku kini daripada edisi ke-52 oleh Robert Storr “Think with the Senses-Fell with the Mind Art in the Present Tense” dan Daniel Birbaum “Making Worlds” pada Biennial ke-53.

Sebagai pengarah Bice telah membawa kita melihat isu-isu besar pergolakan yang berlaku di dunia termasuk negara yang mengambil bahagian untuk di ‘pentas’kan dalam edisi pada kali ini. Tidak hairanlah jika setiap pavillion yang menghantar wakil samada pameran perseorangan atau berkumpulan membawa permasalahan dan pergolakan setempat untuk dikongsi bersama seperti sosial-politik, peperangan, kuasa, persempadanan, kepada audien yang hadir. Illumination semacam melihat semula tindakan-tindakan pada pada abad sebelumnya yang membawa kesan ke abad seterusnya.

Inilah idea-idea yang mencetuskan Bice dalam menempatkan hampir 83 artis pilihannya didalam pavillion Giardianidan Arsenale ini seperti yang saya kenali sebelumnya antara Maurizio Cattelan ‘Turisti’ 1997, Cindy Sherman ‘Untitled’ 2010, Pipilotti Rist ‘Non voglio tornare indietro’ 2011, Sigmar Polke ‘Strahlen Sehen’ (Seeing Ray) 2007, Christopher Wool ‘Untitled’ 2010, Peter Fischli & David Weiss ‘Space Number 13’.

Thomas Hirshorn‘Crystal of Resistance’ 2011

Ada beberapa pavillion yang sangat menarik untuk dikongi bersama disini antara dari Switzerland. Pavillion ini yang dikomisioner oleh Urs Staub ini diwakili oleh artis Thomas Hirshorn dalam karyanya ‘Crystal of Resistance’ dimana karya ini memerlukan penglibatan audien didalammnya. Karya Hirshorn ini mengajak audien bersama-sama memasuki dunia ciptaan artis. Menurut Hirshorn beliau membentuk dan mencipta suatu bentuk baru agar audien berfikir suatu yang baru iaitu bentuk yang membuat audien ‘berfikir’.

Pengunjung beratur memasuki Pavillion Britain

Selain itu Pavillion Britain pavillion ini juga menjadi pilihan utama,pada edisi kali ini Andrea Rose dipilih sebagai komisioner yang di kurator oleh Richard Riley yang mempamerkan hasil kerja Mike Nelson ‘I Impostor’ 2011. Pada kali ini pavillion ini memasang semula hasil karya arca instalasi yang bersaiz besar yang pernah dipamerkan daripada Istanbul Biennial ke-8 pada 2003 yang bertajuk ‘Magazin: Buyuk Valide Han’ dimana beliau membina semula ruang dalaman senibina abad ke-17. Pembinaan semula karya ini di Venice untuk membina semula dan merakam semula imej dalam masa dan tempat yang berbeza dimana Nelson cuba bernostalgia dua tempat diantara Venice dan Istanbul yang pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa Timur-Barat / Barat-Timur pada ketika dahulu. Dalam karya ini khalayak dibawa masuk ke dalam ruang dalaman yang agak kecil didalamnya dimana khalayak perlu melalui laluan-laluan yang menuju ke suatu ruang dimana mereka dapat merasai pengalaman visual dan bau seperti mereka berada di dalam masa dan ruang sebenar.

Mike Nelson ‘I Impostor’ 2011

KeseluruhanyaVenice Biennial menjadi rujukan kepada berpuluh-puluh acara biennial yang lain yang terdapat di tempat lain di seluruh dunia. Di rantau Asia Tenggara kita juga mempunyai acara yang mengambil model daripadanya seperti Singapore Biennial dan Jogja Biennial oleh itu sudah masanya Malaysia mampu menganjurkan acara sedemikian namun dengan cara dan pendekatan yang sedikit berbeza untuk memberi kelainan dan identiti tempatan yang tersendiri seperti penganjuran Documenta di Kassel. Penganjuran Venice Biennial bukan sahaja hanya sebuah penganjuran seni kontemporari namun ia melangkaui kepada pemangkin industri budaya dan pelancongan yang menjana ekonomi sesebuah negara dalam menjual dan mempromosi nama negara mereka di mata dunia.

'Venice Biennial Pemangkin Industri Pelancongan' oleh Faizal Sidik, Utusan Malaysia, Sabtu 21 Januari 2012

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan