Isnin, 19 September 2011

Figuratif Psikodinamik

Oleh: Faizal Sidik

(Penulisan ini adalah teks kurator bagi pameran 'Arti 4: Figuratif Psikodinamik' yang diadakan pada 22 September - 21 Oktober 2011 yang telah diterbitkan oleh Arti Gallery, Kuala Lumpur, Malaysia, 2011
)

Seni boleh meringankan perasaan trauma, takut atau gelisah, memperbaiki, memulihkan dan menyembuhkan

Carl Jung

Psikodinamik adalah teori dan kajian tentang sistem kuasa psikologi tindak tanduk manusia, terutamnya yang berkaitan dengan kesedaran dan ketidaksedaran mental. Ahli psikologi Sigmund Freud telah membangunkan teori psikodinamik dalam mengambarkan ‘proses fikiran’ (minda) yang didorong oleh daya psikologikal ‘libido’ (nafsu berahi yang bersifat nurani)

Psikodinamik juga adalah gabungan daripada psikologi dan dinamik. Psikologi adalah kajian tentang proses mental dan fikiran terutamanya berhubungan dengan perlakuan manusia dan sesuatu kumpulan tertentu , manakala dinamik pula adalah bertenaga dan berkekuatan yang mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan juga kemajuan. Oleh yang demikian psikologi dinamik adalah kajian tentang hubungan antara pelbagai bahagian minda, personaliti atau psikik yang berhubung rapat dengan mental, emosi dan motivasi terutamanya pada alam bawah sedar.

Daya mental yang terlibat dalam psikodinamik selalunya dibahagikan kepada dua iaitu yang pertama daya interaksi emosi iaitu interaksi yang membangkitkan daya emosi dan motivasi yang mempengaruhi perilaku dan cara berfikir terutama di tahap separuh sedar, kedua daya batiniah yang mempengaruhi perilaku yang juga yang membangkitkan daya emosi dan motivasi yang mempengaruhi perilaku dan cara berfikir

Psikodinamik mempunyai beberapa ciri-ciri antaranya (i) tingkahlaku dan perasaan kita dikuasai oleh rangsangan separuh sedar, (ii) tingkahlaku dan perasaan orang dewasa (termasuk yang mempunyai masalah psikologi) adalah berakar daripada pengalaman beliau semasa kecil, (iii) semua tingkahlaku mempunyai sebab (biasanya tidak sedar) malah apabila kita tersilap berkata-kata semuanya ditentukan oleh tingkahlaku, (iii) personaliti dibahagikan kepada tiga iaitu id, ego dan superego,(iv) Tingkah laku digerakkan oleh daya naluri, Eros (nafsu berahi dan naluri hidup) dan Thantos (agresif dan naluri mati). Kedua-duanya dipandu oleh ‘id’. (v) Sebahagian daripada minda tidak sedar (id dan superego) adalah sentiasa berkonflik dengan daya sedar (ego) dan personaliti dibentuk dan dipandu daripada konflik yang berbeza diwaktu kecil (semasa perkembangan psikoseksual).

Walaupun psikodinamik adalah salah satu kajian secara klinikal dalam teori psikoanalisis yang mempraktikkan kajian secara psikoanalitik, ianya telah di perkembangkan oleh pengikut-pengikut Freud yang lain seperti Carl Jung (1964), Adler (1927), dan Erikson (1952). Kini di abad ke 21 ini psikodinamik melibatkan pelbagai bidang disiplin dimana ia adalah proses menganalisa dan membuat pengkajian manusia, tindakbalas terhadap corak dan pengaruh. Penyelidikan dalam bidang ini melibatkan pemahaman kepada kita dalam memahami tindakbalas-tindakbalas tertentu terhadap kesedaran dan ketidaksedaran daripada kederiaan kita pada imej, jalinan, bunyi dan lain-lain.

Sungguhpun begitu kajian tentang ini juga terdapat didalam kesenian tradisi orang Melayu sejak menduduki nusa tenggara ini sejak beratus-ratus tahun dahulu yang tidak dikaji secara saintifik seperti psikilogi tindak tanduk manusia didalam seni pergerakan silat, tarian malah dalam seni persembahan wayang kulit dan untuk mengubati penyakit seperti mak yong juga dilihat diantara antara dunia sedar dan tidak sedar ini silih berganti melalui asyiknya pergerakan tubuh. Malah istilah amuk itu sendiri begitu unik sekali kerana ia hanya ada di dalam jiwa orang Melayu sahaja yang tidak ada didalam budaya bangsa lain, dan tidak hairanlah terma amuk diberi juga maksud amok yang dalam kamus bahasa lain yang maksud berjuang, bertempur atau bertikam yang boleh dikaitkan dengan gerak geri minda separa sedar Melayu.

'Pursuit of Happiness' 2011

Salah satu yang terdapat pada teori psikodinamik adalah mempunyai memiliki pemahaman perkembangan zaman kanak-kanak dengan lebih mendalam Dalam karya-karya Ali Nurazmal beliau menggunakan imejan-imejan figuratif kanak-kanak dalam setiap catannya. Karya-karya Ali dilihat seolah-olah beliau beremosi kembali pada pengalaman kanak-kanak yang pernah dilaluinya. Dalam karya catan ‘ ‘ misalnya terdapat tiga figura tubuh kanak-kanak, disebelah bahagian kiri terdapat potret muka seorang kanak-kanak dicat merah mukanya seolah-olah sedang mengalami histeria menjeritkan berkehendakan sesuatu, dibahagian tengah terdapat postur kanak-kanak yang berpakaian sut kemas yang sedang mengayakan seperti seni mempertahankan diri kung-fu yang terdapat kapal terbang mainan berterbangan disisinya, manakala dibahagian kanan sekali juga ada seorang budaya yang seolah-oleh sedang menaiki belon yang dikelilingi oleh awan seolah-olah sedang terbang diudara, Ali seperti yang saya nyatakan dalam ciri-ciri kedua psikodinamik iaitu tingkahlaku dan perasaan orang dewasa (termasuk yang mempunyai masalah psikologi) adalah berakar daripada pengalaman beliau semasa kecil dengan menggunakan catan dalam meneroka keinginnnya alam bawah sedar itu.

‘The Little Thinker’ 2011

Dalam karya-karya Arif Fauzan beliau lebih percaya menggunakan figura diri, bayang-bayang diri beliau terjelma dalam catan ‘Grave Digger’, ‘Keep Grounded’ dan ‘What Behind Your Back’ dilihat Arif seperti berada di alam minda tidak sedar id dan superego yang sentiasa berkonflik dengan daya sedar atau ego yang berada di dalam personaliti beliau yang sebenar yang dibentuk dalam setiap catan itu. Dalam ‘The Little Thinker’ dua imej yang dilukis bertentangan diatas wajahnya diwaktu kecil seperti sedang memikirkan bersama buku tebal (seolah gerak perlakuan orang dewasa) manakala dibahagian bawah pula seperti beliau sedang menyampaikan slogan dan retorika daripada buku diatas tadi (waktu kecil) beliau dilihat berkonflik dengan waktu iaitu diantara dengan keinginan beliau yang berbeza diwaktu kecil semasa perkembangan psikoseksual. Kebanyakan karya beliau ingin menjadi diri sendiri (‘real self’ dan ‘ideal self’) yang diresap oleh budaya massa disekitarnya.

'Studies for Sedekad Kita' 2011'Sedekad Kita' 2011

Apa yang menarik dalam karya Hushinaidi Abd Hamid adalah kedua-dua karya ‘Sedekad Kita’ 2011. Dalam karya lukisan kajian dengan menggunakan pastel minyak di atas kertas beliau menggunakan model orang muda yang sedang duduk diatas kerusi disamping sebelah kaki diletakkan diatas kerusi dan disetkan juga seulas buah pisang diatas lutut, sungguhpun karya ini lebih menitikberatkan kemahiran kekuatan figuratif yang dikawal rapi dari segi proposi, kadar banding dan pengcahayaan namun jika kita bandingkan dengan catan ‘Sedekad Lalu’ iaitu cat minyak diatas kanvas yang mungkin mengambarkan model yang sama tetapi setelah usianya ditelan berdekad tahunnya yang telah tua, begitu juga dengan seulas pisang tadi. Husnaidi mengambil buah pisang sebagai simbol yang merupakan nutrien penting dalam pembinaan otot terutamanya dibahagian reproduktif manusia dalam teori psikodinamik idea pengkaryaan beliau ini yang didorong oleh daya psikologikal libido atau nafsu berahi. Sungguhpun begitu dalam hasil karya Carl Jung pengertiannya lebih umum daripaa ghairah seksual yang diperkenalkan oleh Freud. Jung mengatakan libido juga adalah kuasa psikik (berkaitan jiwa dan fikiran manusia) yang dimiliki individu untuk digunakan bagi perkembangan peribadi atau individu, disini saya boleh mengatakan bahawa Hushinaidi berjaya menggabungkan kedua-dua psikodinamik dan tubuh dalam pengkaryaannya.

‘Form Study Sleeping’ 2011 ‘Sleeping’ 2011

Dalam karya Uzaini Amir yang bertajuk ‘Sleeping’ iaitu wajah seorang tua yang kelihatan sedang tidur. Tidur adalah tabiat semulajadi manusia yang berkaitan terhentinya sementara aktiviti kederiaan manusia dan tidak mengaktifkan hampir seluruh urat saraf kita. Ia adalah satu tindakbalas senyap yang mengecilkan kemampuan kita bereaksi terhadap tindakbalas rangsangan dan boleh disamakan dengan koma atau (tidak sedarkan diri). Tidur juga meremajakan semula imunisasi, saraf, kerangka tulang dan sistem-sistem otot manusia. Tidur sering dikaitkan dengan mimpi, bermimpi adalah pengalaman kederiaan kita dalam memahami imej-imej dan bunyi-bunyi semasa tidur.

Manusia membuat pelbagai andaian dan hipotesis mengenai mimpi dalam tidur misalnya dalam karya Freud yang bertajuk ‘The Interpretation of Dreams’ dimana dalam buku itu beliau memperkenalkan teori ‘tidak sedarkan diri’ (unconscious) dalam membuat interpritasi terhadap mimpi. Beliau juga menanggap mimpi dalam tidur adalah ekspresi simbol kepada hasrat yang terkecewa dalam minda tanpa sedar dimana beliau menggunakan teknik klinikal psikoanalisis dalam membuat interpritasi terhadap mimpi untuk mendedahkan rahsia mimpi itu tadi. Pada pandangan Freud mimpi adalah ‘komunikasi secara ghaib’ (supernatural communication) iaitu aktiviti keinginan atau perkara yang ingin dihajati atau ditunaikan yakni percubaan minda tidak sedar dalam menghuraikan sesuatu konflik samada yang berlaku kini atau yang telah lepas. Dalam karya ‘Sleeping’ atau tidur ia boleh dikaitkan dengan aktiviti tidak sedar diri oleh manusia apabila keletihan dan mengantuk. Uzaini terlebih dahulu melakukan pengkajian rupa bentuk figura seorang tua yang memejamkan matanya dengan menggunakan pastel. Penyelidikan anatomi muka ini kemudiannya diterjemahkan kedalam cat minyak yang lebih menampakkan bentukan raut pada wajah muka seorang tua itu tadi.

Kesimpulannya karya-karya dalam pameran berkumpulan ‘Figuratif Psikodinamik’ oleh Ali Nurazmal Yusoff, Arif Fauzan, Hushinaidi Abd Hamid dan Uzaini Amir adalah cerminan kebersamaan kepada pergolakan mental pencipta seni terhadap psikologi terhadap pengalaman dunia mereka. Pengkaryaan mereka telah memungkinkan saya juga memperkenalkan terma baru dalam menambahkan lagi nahu bidang seni lukis tubuh itu sendiri iaitu ‘figuratif psikodinamik’ bermaksud tindakbalas mental separuh sedar artis terhadap pengkajian tubuh manusia berdasarkan teori psikodinamik.

1 ulasan:

  1. salam,..mf mggu.. boleh tak awak terangkan scra rngkas apa yg awk fhm mengenai psikodinamik ni..:) sebab sy perlu buat asgmnt berkaitan ini dan sy tgh search maklumat..kalo xkeberatan boleh emel sy di amalin_smatm@yahoo.com..syukran:) blog saya asmaliniashri.blogspot.com..tq

    BalasPadam