Isnin, 5 September 2011

Anassuwandi Ahmad: Perangkap


Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2011), ‘Anasuwandi Ahmad: Perangkap’, katalog pameran Anasuwandi Ahmad: Perangkap , House of Matahati (HOM), Kuala Lumpur.



(Penulisan ini adalah teks kurator bagi pameran 'Anassuwandi Ahmad: Perangkap' yang telah diadakan pada 8 September - 24 September 2011 yang telah diterbitkan oleh House of Matahati (HOM), Kuala Lumpur, Malaysia, 2011)




Anassuwandi Ahmad bukan nama asing dalam lanskap seni lukis kontemporari Malaysia, beliau adalah salah seorang pemenang anugerah Salon Malaysia ke-3 (1991/1992) yang merupakan sebuah pameran dan pertandingan seni lukis peringkat tertinggi di negara ini dimana karya beliau ‘Trap Series: Bubu #2’ (1991) telah diberi pengiktirafan memenangi Hadiah Kecil bagi Kategori Arca. Dalam pameran “Anassuwandi Ahmad: Perangkap” ini, ia adalah kesinambungan daripada pengkaryaan beliau yang lepas dalam menghimpunkan hampir 20 karya yang dihasilkan daripada tahun 2009 hingga 2011. Beliau kini tampil dengan karya-karya baru yang lebih segar yang sudah tentu dinanti-nantikan bentukannya.

Anassuwandi Ahmad “Trap Series: Bubu #2”, Campuran, 114 cm x 23 cm, 1991
Hadiah Kecil, Salon Malaysia 1991/1992
Menyingkap semula di zaman kecil tinggal dikawasan nelayan di utara Semenanjung yang begitu akrab dengan aktiviti penangkapan di laut serta membubu dikawasan paya dan muara sungai adalah permulaan kepada timbulnya karya-karya perangkap ini. Idea ini kemudiannya diperkembangkan terus apabila memasuki Jabatan Seni Halus di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (kini), Universiti Teknologi Mara di awal tahun 1990 an dengan menterjermahkannya ke dalam bentuk seni kontemporari menerusi seni arca tiga dimensi, arca dinding dan catan media campuran.
Pengkaryaan Anassuwandi yang mentransformasikan daripada kraf kepada pembentukan seni halus ini boleh kita rujuk kepada Pergerakan Seni dan Kraf atau ‘Art and Craft Movement’ dimana mempertemukan antara kraf dan seni yang merupakan falsafah rekabentuk antarabangsa lahir di England diantara 1890 an dan 1910 an berterusan sehingga tahun 1930 an di tanah British sehinggalah tersebar ke Eropah dan Amerika Utara dianjurkan oleh artis dan penulis William Morris inspirasi daripada penulisan pengkritik seni dan pemikir John Ruskin yang mana falsafahnya adalah untuk membela dan menganjurkan penggunaan bentuk kemahiran dan pertukangan tradisi medieval, romantik dan dekorasi seni rakyat. Malah ia menyokong kepada ekonomi dan reformasi sosial dan lebih tepat lagi kepada gerakan anti-perindustrian.

Pengaruh gaya dan stail ini mulai masuk ke Eropah menerusi pameran-pameran karya sebegini yang sering dan acapkali diadakankan disana. Stail Seni dan Kraf ini kemudiannya memberi inspirasi kepada Henry Van Velde dengan stail lain yang dikenali ‘Art Nouveau’, di Belanda terkenal dengan kumpulan ‘De Stijl’, Vienna, Austria mempunyai gerakan tersendiri iaitu ‘Secession’ malah turut mempengaruhi stail Bauhaus, malah artis dan pengarca dalam gerakan Bauhaus itu sendiri iaitu Pevsner menanggap stail ini telah membuka jalan kepada Modernisme yang menggunakan bentuk mudah dalam karya seni tanpa hiasan.

Sungguhpun begitu menurut Syed Ahmad Jamal aspek penggayaan stail ini telah lama berlaku dalam kesenimanan seni rupa Melayu kita sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi , beliau menyebut dalam bukunya Rupa dan Jiwa (1992) “Gaya ialah cara pembinaan dan pengutaran yang berulang-ulang. Keadaan ulangan yang sering berlaku disedut dari beberapa karya seni. Ulangan proses yang sedia ada dan caranya yang tidak berubah-ubah itu, tidak dapat diasingkan daripada kaedah seniman tradisi. Pada asasnya, seni ialah hiasan, ulangan, mengawal kita dari ketandusan dan kekerdilan jiwa. Ulangan adalah seperti perekat. Tiap-Tiap salinan mengaitkan yang baharu dengan yang lama, ditolak dan diterima mengikut selera”

Di Malaysia pula ada dua konvensyen seni yang utama mengarahkan kepada pengayaan sebegini iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan, 1974 dan Akar-Akar Peribumi, 1979 dimana menganjurkan penggunaan kraf tradisi Melayu sebagai manifestasi seni dan budaya kebangsaan dalam memberi inspirasi kepada para seniman dalam penciptaan karya sehinggakan pelajar-pelajar graduan daripada Kajian Seni Lukis dan Seni Reka pada masa itu terkenal dengam istilah ‘ITM Stail’ yang berbeza dengan produk kelahiran daripada institusi-institusi seni yang lain. Hal inilah yang dipegang dan diperjuangkan oleh Anassuwandi dalam mengangkat serta memperkasakan kraf tradisonal Melayu dan membuat pilihan terhadap selera semasa kita pada hari ini dalam bentuk seni baru.
Anassuwandi menggunakan penggayaan kraf pertukangan buluh yang dihasilkan oleh seniman tradisi Melayu dahulu iaitu bubu sebagai subjek perangkap dalam asas kepada struktur pembinaan pengkaryaan beliau. Bubu bukan sahaja boleh dilihat sebagai salah satu cara untuk menangkap tangkapan selain dari jala dan jaring didalam air tetapi bubu juga adalah satu peralatan dalam mengambarkan satu bentukan yang memerangkap, menjerat, menjebak dan memenjarakan sesuatu dimana beliau mahu mencipta persepsi dalam kehidupan kita, melihat alam menerusi penggunaan bubu (Rupa) dan manusia sebagai pergolakan hidup (Jiwa).

Siri Perangkap ini adalah menifestasi beliau terhadap permasalahan kontemporari yang melanda dalam masyarakat kita pada hari ini yang mudah sahaja terperangkap dengan godaan kehidupan. Perangkap dan diperangkap bukan sahaja berlaku kepada orang dewasa malah semua peringkat umur daripada remaja hinggalah yang telah berusia. Imijan-imijan yang disarankan oleh Anassuwandi seperti hitam, kelam dan suram adalah risiko-risiko yang dihadapi apabila mereka ini telah terjerat.




Solo “Anassuwandi Ahmad: Perangkap” di House of Matahati (HOM) 8 - 24 September
Dalam mengkuratorkan pameran solo “Anassuwandi Ahmad: Perangkap” saya boleh membahagikan pengkaryaan beliau kepada 3 bentukan subjek dan mengikut tahun ianya dihasilkan. Pertama adalah karya-karya yang menggunakan perangkap jaring atau jala seperti ‘Menjaring Arus 1’, ‘Menjaring Arus 2’, ‘Menjaring Arus 3’ dan ‘Trap Series No. 6’ (2009) dimana karya ini dihasilkan dalam format catan. Kedua adalah karya arca timbulan atau arca dinding perangkap yang mengambil inspirasi subjek bubu antaranya karya ‘Trap Series No. 1’ , ‘No. 2’, ‘No. 5’. ‘No.6’ dan ‘No. 10’. (2010) . Ketiga adalah karya-karya terkini yang menggunakan bentukan geometrik bulatan dan segiempat seperti ‘Trap Series: The Circle No. 1’, ‘Circle No.2’, ‘The Risk’ dan ‘Bias’ yang kesemuanua dihasilkan pada 2011.




Anassuwandi Ahmad “Trap Series: Menjaring Arus #1”, Campuran, 153 cm x 122 cm, 2009
Kita jarang mengambil kisah mengenai kehidupan para nelayan yang menangkap ikan di pesisir laut yang kehilangan punca daripada persaingan rakus dengan bot pukat tunda. Minat mengetahui dan kehidupan mereka ini yang begitu dekat dengan beliau dikomentarkan beliau dalam melihat nasib nelayan-nelayan ini dalam karya siri karya yang menggunakan jaring seperti ‘Menjaring Arus 1’, ‘Menjaring Arus 2’ dan ‘Menjaring Arus 3’ (2009) ketiga-tiga karya ini beliau menterjemahkan jaring ikan sebagai simbol yang memerangkap. Dari segi formalistiknya dalam siri ini jaring ikan diletakkan atau ‘disangkut’ dibahagian bawah kanvas yang mungkin menyarankan cara penangkapan ini dilakukan dibahagian dasar laut itu sendiri. Tali yang berbentuk vertikal dan horizontal daripada jaring dan warna-warna gelojak hidup seperti perang dan kuning kehitam-hitaman adalah simbol ranjau laluan mereka dalam mencari rezeki, ada harinya mereka dimurahkan (vertikal) dan ada kalanya perlu melalui hari-hari yang sukar (horizontal).



Annasuwandi Ahmad, “Trap Series: #2”, 122 cm x 214 cm, Campuran, 2010

Anassuwandi menggunakan metafora subjek bubu sebagai manifestasi dalam mengambarkan permasalahan semasa pemerangkapan. Dalam karya “Trap Series: No2”, (2010) contohnya terdapat penggunaan bahan yang biasa digunakan untuk membuat perangkap seperti buluh, tali dan rotan. Penggunaan bahan besi yang tajam seolah-olah apabila mereka memasuki perangkap yang didalamnya penuh dengan kesakitan dan sukar untuk melepaskan diri lagi, Inilah yang cuba disampaikan oleh beliau supaya kita beringat sebelum terkena. Penggunaan bahan campuran daripada indutri tadi yang diadun dengan bahantara daripada alam seperti serat daripada serkam padi telah memberikan kesan yang lebih bertenaga dalam karya-karya arca dinding beliau seperti ini. Rujukan terhadap artis yang terkenal dengan penggunaan media campuran seperti Anselm Kiefer yang popular dengan karya yang menjadi koleksi San Francisco Museum of Modern Art (SFMOMA) iaitu ‘Osiris and Isis’ (1985-1987) dalam praktis beliau menggunakan bahan sebenar begitu besar pengaruhnya dalam pengkaryaan Anassuwandi.



Annasuwandi Ahmad, “Trap Series: The Circle #1” , 153 cm dimension, Campuran (arca gantung) 2011.

Sebagai seorang pengarca yang pekerjaannya yang banyak bermain dengan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan diantara bentuk dan ruang, minda Anassuwandi sentiasa diuji dalam menghasilkan karya-karya yang sebegini. Dalam sebuah karya yang menggunakan teknik kimpalan besi iaitu “Trap Series: The Circle No.1” (2011) sebuah arca gantungan atau hanging sculpture beliau cuba melarikan sedikit daripada karya dinding kepada bentukan geometrikal yang bermain dengan ruang tiga dimensi yang lebih mencabar. “The Circle” kelihatan seperti sebuah bulatan yang mungkin menyarankan kehidupan dimana didalamnya terdapat juga lingkaran seperti sarang labah-labah. Labah-labah sering dikaitan dengan cara uniknya memerangkap mangsanya dengan jaringan-jaringan yang dibina menyarankan kita berhati-hati dalam tindak tanduk seharian sebelum terjebak ke kancah yang sukar untuk kita keluar.

Kemunculan semula Anassuwandi dalam mempraktiskan seni menerusi penggunaan bahan sebenar (art truth to the material) atau idea yang mempercayai bahawa karya seni tidak boleh terpisah hubungannya dengan material daripada ianya dihasilkan iaitu bentukan berfungsi kepada bentukan seni diharap akan memeriahkan lagi lanskap seni arca di Malaysia dalam memberi sumbangan dalam tindakbalas sezaman dan kontemporari terhadap persoalan pengarcaan disamping mentransformasi pengalaman estetik seni gunaan kepada seni tinggi atau applied art to high art sebagai salah satu cara kritikan terhadap kehidupan kita.

1 ulasan: