Jumaat, 23 Julai 2010

Sulaiman Esa: Manusia dan Alamnya

Oleh : Faizal Sidik

Penulisan ini dengan tajuk “ABC - Sulaiman Esa: Manusia dan Alamnya (1972-1973)” telah disiarkan di dalam Majalah SENIKINI, # 8, Nov 2010, terbitan Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.




















Setelah 37 tahun tidak diperlihatkan kepada umum dan berada dalam simpanan koleksi Balai Seni Lukis Negara audien telah berpeluang melihat karya ini sekali lagi dalam pameran ‘ABC: Antara Bahan Campuran’ iaitu pameran koleksi karya bahan campuran tahun 1950 an hingga 2000 daripada koleksi himpunan tetap BSLN yang diadakan dari Mac sehingga Januari 2011. Pameran ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebanyak 45 karya bahan campuran telah dipilih untuk dipamerkan pada pameran Bahagian 1: 1950 an - 1980 an (Mac-Julai) manakala 72 karya pada Bahagian 2: 1990 an – 2000 (Ogos-Januari).

Karya ‘Manusia dan Alamnya’ (1972-73) adalah sebuah karya penyertaan beliau yang dihasilkan untuk pertandingan ‘Manusia dan Alamnya’ yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1973. Dimana Sulaiman telah memenangi anugerah utama dengan sebuah lagi karya konseptual yang bertajuk “Self-Portrait” (1973). Ia juga adalah kesinambungan daripada penerokaan Sulaiman daripada karya sebelumnya iaitu ‘Compression’ (1972) yang menggunakan bahan seperti akrilik dan media campuran atas kanvas, namun cara persembahan karya ini yang menolak permukaan konvesional empat segi memberi kanotasi baru dalam karya-karya berikut beliau yang begitu dominan dalam pengkaryaan di sini pada dekad 50 an dan 60 an.

‘Manusia dan Alamnya’ merupakan karya komentar sosial yang pertama seumpamanya dihasilkan di Malaysia yang pada 1972. Ia merupakan tindak balas artis terhadap dunianya. Ia merupakan sebuah pengkajian antropologi manusia yang pelbagai dimensi, yang mempunyai pelbagai sifat, juga merupakan manusia yang terdiri daripada fizikal dan spiritual. Disamping itu ia boleh menjadi sebuah kajian akademik, sosial, seksual dan intelektual.

Dalam karya ini beliau mengumpul buku lakaran, surat-surat, yang mengambarkan setiap sudut aspek kehidupan beliau dari segi ekonomi, sosial dan spiritual dengan 36 bahagian poket. Dalam barisan pertama poket ini mengambarkan dokumen tentang kewujudan beliau didalam dunia ini dengan sijil kelahiran, kad pengenalan, pasport dan lesen kenderaan dimana memberitahu beliau mempunyai kenderaan pada waktu ini. Pada barisan poket kedua pula merupakan dokumen pencapaian dan kelulusan beliau seperti GSC, diploma yang memperlihatkan beliau sebagai seorang yang intelektual. Baris ketiga pula adalah surat-surat kepada rakan dan lawan beliau yang melambangkan beliau sebagai manusia yang mempunyai kehidupan bersosial yang perlu berhubung. Manakala di baris yang keempat adalah merupakan bahan-bahan peribadi yang beliau kumpul dan simpan iaitu buku, rekod piring hitam yang diminati, sajak, bahan bacaan dan lain-lain.

Menurut Sabapathy dalam katalog pameran‘Piyadasa: An Overview 1962-2000’ mengatakan “Dalam penghasilan ini. Satu lagi penghasilan permukaan yang membawa dengan lebih dekat antara seni dan aktiviti sosial; terlalu banyak jurang yang dibuat sehingga merugikan kedua-duanya dan oleh kerana itu keterasingan melalui pendekatan ini ia sedikit sebanyak boleh di pertemukan semula, walaupun tidak menyeluruh atau boleh diatasi. Dalam karya ini, Sulaiman tidak mengikut aturan konvesional; beliau menolak kebiasaan dengan mentranformasikan aktiviti sosial kedalam gambaran formal imej yang mana boleh diukur daripada sudut nilai estetika didalamnya. Sifat semulajadi aktiviti sosial adalah isi utama dalam karya itu secara keseluruhnnya. Pembuatan dengan bahan mentah dengan baik dan pendekatan seperti mengambil dan menyimpan didalam album setem, ia dilihat cuba merendahkan sedikit sifat karya kepada tujuan fungsi dari segi entiti estetik. Komponen material yang membentuknya sebagai karya seni tetap ada namun cara persembahan lebih kepada interaksi sosial. Kini tempatnya dalam dunia seni; ia adalah dunia dimana kepercayaan menjadi keutamaan. Ia berada di dalam satu dunia yang mana ia akan diterima dan statusnya akan ditentukan. Sempadan jurang antara dua dunia (sosial dan seni) akan pada masa itu menjadi kecil; malah sudah tentu dapat membentuk kesamaan tanpa ada pemisahan. Seni dan penglibatan sosial berkait rapat pegungkapan kepelbagaian yang mengubah jurang ruang antara ”.

Setiap baris mengambarkan aspek-aspek yang berbeza dalam kehidupan beliau sebagai manusia biasa. Apa yang menjadi ‘focal point’ dan penting yang ditekankan dalam karya ini adalah disebelah kiri dan kanan barisan poket tadi adalah objek seperti baju kod, tali leher dan kasut disebelah kiri dan sejadah serta bunga mawar di bahagaian kanan. Disebelah kanan ini memperlihatkan kod dan simbol cara berpakaian yang cenderung kebaratan beliau dimana beliau terpengaruh dengan cara pemakaian barat dimana pernah berada disana selama lima tahun. Di sebelah kiri pula perlambangan sejadah memberi makna beliau masih lagi seorang muslim yang mempercayai Islam walaupun banyak terdedah dengan budaya barat beliau jauh disudut hati masih mempercayai agamanya.

Kain sejadah atau tikar sembahyang merupakah satu pernyataan penting dalam karya ini. Beliau sebagai orang Melayu merasakan beliau perlu mengenal semula identiti asalnya. Sedar atau tidak Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1971 yang merupakan kongres seni budaya yang terpenting dimana kerajaan, masyarakat dan ahli fikir dipersoalkan mengapakah seni yang berlaku pada waktu itu tidak memberi apa-apa kesan kepada identiti, budaya dan jatidiri tetapi cenderung kepada berkiblat barat yang artifisial. Beliau baru menyedari bahawa beliau sebenarnya menceritakan tentang dirinya sendiri yang mempunyai dua karekter, iaitu yang mempunyai ciri-ciri fizikal kebaratan dan spiritual Melayu Islam. Jadi perletakan sejadah adalah menjelaskan bahawa walaupun beliau mendapat pendidikan barat namun beliau adalah seorang Muslim.

Penggunaan bahan plastik begitu dominan dalam karya ini ia dapat dilihat seperti penggunaan material bunga, poket, baju daripada nylon yang juga plastik yang terdapat didalam karya bermaksud mereka yang tinggal didalam hidupan urban seperti beliau sering didedahkan dengan estetik yang artifisial dimana plastik menimbulkan budaya urban yang tidak semulajadi yang ada hanyalah sintetik. Sulaiman menolak elitis seni dan membawanya ke dalam masyarakat dengan bahan-bahan harian yang lebih mesra rakyat.

Menurut Sabapathy lagi “Karya yang dihasilkan daripada bahan-bahan terbuang yang dikumpulkan sebagai penolakan terhadap persekitaran urban; ianya kini diberi nafas baru. Kebanyakan objek terdiri daripada resit-resit dan pembayaran, transaksi harian; setiap perlakuan mengambarkan keperibadiannya sosialnya. Ianya dimasukkan kedalam poket yang dihasilkan daripada bahan sintetik antara manusia dan alamnya adalah manifestasi penghubung dan peruntuh kehidupan urban yang di terjemahkan kedalam dunia seni. Sulaiman menidakkan sifat keindividuan seni dan membawanya ke bawah”.

Karya ini boleh dianggap sebagai sebuah karya ‘potret diri’ beliau. Sebuah ‘lukisan’ bermedia campuran kehidupan peribadi beliau. Sulaiman Esa melukis kembali potret diri dalam dimensi yang lain daripada rakan-rakan artis beliau pada waktu ini. Walaupun tanpa ‘wajah’ beliau dalam karya ini ia merekod dengan lebih jelas lagi siapakah dia Sulaiman Esa.

1 ulasan:

  1. bagi saya melihat karya sulaiman esa, perlu kembali pada periode beliau berada pada waktu itu. pada zaman di mana seni telah di baca bukan lagi kepada penciptaan format empat segi. pengaruh collage and assemblage telah menjadi satu genre yang besar pada penciptaan pelukis yang bertindak untuk keluar dari permukaan empat segi tersebut. bagi saya karya beliau bukan terletak pada persoalan alam dan manusianya, tetapi lebih dari itu. persoalan alam dan manusian yang di paparkan hanyalah suatu deskriptif mengenai dirinya. namun apa yang saya lihat adalah satu keupayaan dalam mengeluarkan pembacaan visual kepada dimensi pemahaman objek serta bagaimana ia diatur. sulaiman masih bernaratif dengan dunianya walhal naratif itu boleh diletakkan pada paksi persepsi kepada hukum objek. ini sebagimana berlaku pada duchamp' dengan toilet bowlnya, iaitu satu persoalan ttng apa itu objek seni, bukan suatu dokumentasi seni.
    sulaiman pada karyanya, masih percaya pada persoalan konsep empat segi dalam mengutarakan karyanya, padahal papan white board tu tak perlu ada, kerana fungsi objek itu sendiri telah memadai.

    BalasPadam