Rabu, 25 September 2024

Kumpulan Manjung: Chap Manjong

 Oleh : Faizal Sidik


Pameran ‘Kumpulan Manjung: Chap Manjong’ yang diadakan di Galeri Al-Biruni, UITM Kampus Seri Iskandar, Perak menghimpunkan 20 pengkarya bekas pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UITM Seri Manjung, Perak. Pameran ini mengumpulkan bekas pelajar daripada tiga jabatan iaitu Seni Halus, Seramik dan Fesyen yang pernah mengikuti pengajian di sana daripada tahun 1996 hingga 2002.

 

Kumpulan Manjung adalah sebuah perkumpulan seni yang bergerak dalam jemaah atau kolektif dalam membantu anggota kumpulan dalam melancarkan karier masing-masing dalam pelbagai bidang seni dan rekaan samada melalui pameran solo,    berkumpulan, bergerak, projek seni, pertunjukan, bicara seni, bengkel dan lain-lain dalam memperkasakan peranan dan fungsinya sebagai sebuah perkumpulan yang memberikan sumbangan idea dan visual terhadap pembangunan insan, sebagai suatu reaksi tindakan pandangan perkumpulan ini sebagai suara gologan seniman.

 

Sehingga kini Kumpulan Manjung telah mengadakan empat pameran berkumpulan. Pameran pertama ‘Julung’ diadakan di Balai Seni Lukis Melaka pada tahun 1998. Pameran kedua pula diadakan 15 tahun selepas itu iaitu pada tahun 2013 dengan tajuk ‘Pilihan Rakyat’ di Galeri Shah Alam. Pameran ketiga ‘Manusia dan Alamnya’ diadakan di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara pada tahun 2018. Kini pameran ke-empat ‘Chap Manjong’ diadakan di Galeri Al-Biruni, UITM kampus Seri Iskandar, Perak adalah seperti sireh pulang ke gagang.

 

Pameran ‘Chap Manjong’ yang dikuratorkan oleh Faizal Sidik ini  tercetus untuk mengembalikan memori alam pembelajaran pengkarya pameran ini yang berada di kampus Seri Manjung pada tahun 1995 sehinggalah awal 2002. Setelah lehih 20 tahun meninggalkan kampus Seri Manjung hasrat ahli kumpulan adalah ingin menziarah kampus lama walaupun bukan di Seri Manjung namun DNA para pensyarah dan tenaga pengajar dahulunya tempat mereka menuntut ilmu itu masih berada di sini.

 

Selain itu pameran tajuk ‘Chap Manjong’ diberikan adalah untuk mengukuhkan nama kumpulan ini di dalam lanskap seni lukis Malaysia sebagai sebuah 'jenama', 'cap', 'tanda nama',  'cop'  atau sebuah 'chop' yang bukan berekasi terhadap isu-isu semasa malahan juga isu lokaliti dan setempat. Pameran ‘Chap Manjong’ pada edisi ini lebih memokuskan kepada karya-karya alam Manjung sebagai sebuah daerah yang kaya dengan tarikan muka bumi dan biologinya.

 

Pameran ini boleh dibahagikan kepada 5 bahagian  iaitu karya yang bersifat konseptual yang menuntut pemikiran kritis, karya floral yang bersubjekkan kuasa bunga-bungaan, karya figuratif yang mempamerkan keindahan bentuk figura dan segmen-segmen tubuh, karya seni abstrak yang penuh lirikal dan karya skulptur yang terdiri daripada arca seramik dan arca kayu.

 

Konseptual

Terdapat dua buah karya yang boleh diklafikasikan sebagai karya yang dekat bermain dengan konsep dan pemikiran kritikal iaitu karya ‘Camourflage II’ oleh Mohd Farizal Puadi dan karya ‘Brain Conspirancy I’ oleh Mohd Ekram Al-Hafis Hashim. Karya  ‘Camourflage II’   yang jika diperhatikan menggunakan bahan terpakai sedia ada atau ‘ready made’ menurut sejarah seni adalah kesinambungan daripada penerokaan siri-siri karya ‘ready made’ oleh seniman avant-garde Perancis iaitu Marcel Duchamp.

 

Karya ‘Camourflage II’ ini secara umumnya dinspirasikan dari konsep ‘Keluarga Malaysia’. Akan tetapi, Farizal melihat suasana pandemik Covid 19 yang berlaku sejak dua tahun lepas sebagai titik tolak kepada isu-isu yang merentasi negara kita dalam semua perkara. Isu yang paling mendekat dengan rakyat adalah ‘kebebasan’ dari Covid 19. Kebebasan yang diingini oleh setiap rakyat adalah untuk ‘bebas’ bergerak dan melakukan aktiviti seharian sebelum pandemik melanda. Di dalam karya ini Farizal  pula melihat ‘kebebasan’ yang hakiki adalah membebaskan fikiran dari belenggu kecelaruan dan paksaan ideologi yang jelas songsang dan sesat. Karya ini dipersembahkan menggunakan ‘perangkap tikus’ sebagai metafora kebebasan dan ‘kotak’ sebagai ‘belenggu akal’ yang dipersembahkan secara konseptual dan minimal.

 

Karya media campuran ‘Brain Conspirancy I’ oleh Mohd Ekram Al-Hafis Hashim ini adalah bagaimana konspirasi di dalam otak menghasilkan aktiviti kolaj bersahaja dan lukisan psikomotor yang mengajak penonton merasai sendiri permainan minda alam bawah sedar. Kadangkala  karya ini dianggap agak sinikal dan agak literal dalam perancangan visual dalam proses kolaj dengan aktiviti menggambar.

 

Floral

Terdapat tiga pengkarya dimana karya mereka diinspirasikan daripada kuasa bunga   atau istilah yang popular pada tahun 70 an iaitu ‘flower power ’. Tetriana Ahmed Fauzi hadir dengan karya ‘Passiflora Proximity In Muted       Terracotta and Mint’. Faizal Sidik dengan siri karya catan songket yang berlatarbelakangkan geografi di daerah Manjung seperti karya ‘Taman Rahsia I: Bukit Pencawang, Teluk Rubiah’, ‘Taman Rahsia II: Bukit Ungku Busu, Lumut’ dan ‘Taman Rahsia III: Bukit

300, Teluk Batik’ . Manakala itu Siti Norhashimah Suman dengan karya catan seramik ‘Hidup I’

 

Tetriana dibesarkan di Kuala Lumpur, sungguhpun begitu beliau sangat meminati alam semulajadi, terutamanya tumbuhan. Selepas tamat pengajian beliau bekerja sambilan di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM). Di sini beliau mendapat projek menghasilkan lukisan ilustrasi botani untuk spesis baru Vatica. Semasa di sini beliau telah diajar teknik ilustrasi botani dan beberapa asas pengetahuan botani

untuk projek lukisan. Tema utama amalan kreatif beliau ialah penyiasatan bentuk tumbuhan sebagai metafora. Beliau sangat tertarik dengan ciri-ciri menarik yang terdapat pada tumbuhan contohnya, aliran berselirat urat dalam daun, sulur bayung, daun melata, gumpalan akar, bentuk buah atau bunga yang kelihatan luar biasa atau yang berkerak pada corak kulit pokok. Karya‘Passiflora Proximity In Muted     Terracotta and Mint’ ini adalah inspirasi daripada ciri-ciri yang dikaji olehnya.

 

Dalam pameran ‘Chap Manjong’ ini Faizal Sidik mempamerkan  karya yang signifikan dengan daerah Manjung yang digabungkan dengan identiti visual pengkaryaan beliau iaitu motif bunga dalam kain songket. Karya  ‘Taman Rahsia III: Bukit 300, Teluk Batik’ adalah sebuah manifestasi terhadap tempat yang menjadi tarikan ekologi dan biodiversiti yang terdapat di Manjung dalam bentuk geometrikal abstrak. Karya seramik Siti Norhashimah Suman iaitu ‘Hidup I’ adalah merupakan corak-corak abstrak halus bercampur melingkari warna- warna merah dan biru dalamnya mewakili setiap mahluk diseluruh alam. Elemen dan prinsip seni diolah dalam membentuk ruang dialamnya tersendiri.

 

Figuratisme

Terdapat  tiga buah karya yang menonjolkan imejan figura sebagai bahasa pengantar di dalam karya mereka  Karya Mohd Khairul Anwar Yusoff  iaitu ‘The Myth’ menggabungkan teknologi cetakan digital dengan catan tradisional menampilkan figura wanita Melayu manakala Mokzaini Hairim Mokhtar pula meneroka figura dalaman manusia menerusi pengkajian anatomi-anatomi tubuh dan organ dalaman badan manusia di dalam karya ‘Fragments -Anatomically Speaking  2’ dan‘Fragments -Anatomically Speaking  5  

 

Kadangkala seniman juga pada masa yang sama tidak ubah seperti ahli arkeologi yang secara terus menerus berusaha mencari, menemukan dan mencantumkan fabrik-fabrik budaya masa lalu yang tertimbus oleh gerakan ruang dan waktu. Karya Mohd Khairul Anwar Yusoff ini ini adalah berdasarkan mitos masa lalu masyarakat Terengganu yang agak terkenal iaitu ‘Ulek Mayang”. Dalam karya ini Khairul Anwar yang dikenali oleh rakan-rakan dengan panggilan ‘Ganu’ lebih tertarik untuk mengkaji dan menggambarkan tentang sifat-sifat dan latar belakang puteri yang menjadi watak protagonis di dalam cerita ini, dimana ianya digambarkan sebagai satu simbol yang penuh misteri, penuh dengan unsur-unsur keegoan, keanggunan, kedegilan dan kekuasaan sehingga membuatkan masyarakat begitu obses terhadapnya.

 

Karya Mokzaini Hairim Mokhtar aka Momok iaitu‘Fragments -Anatomically Speaking  2’  adalah karya lukisan dan kolaj yang menggunakan media campuran memperlihatkan serpihan bahagian yang pecah bertaburan dan hancur tetapi kemudian disatukan melalui komposisi kolaj sebagai simbolik kepada pemikiran alam bawah sedar kita. Ia memberikan struktur kepada susun atur kolaj dan bagaimana cara subjek itu dipersembahkan semula.

 

Absurdisme

Istilah absurd sering digunakan di dalam teater dan kesusasteraan. Di dalam seni tampak pula absurd adalah aliran pemikiran yang diekspresikan di dalam bentuk ekspressionisme, surealisme dan absurdisme yang merupakan gerakan seni moden pada abad ke-20. Di dalam pameran ‘Chap Manjong’ ini terdapat 3 pengkaryaan yang cenderung kepada  gerakan ini seperti karya ‘Induk’ oleh Mohd Bakir Baharom, ‘Alami Series: Merah’ oleh Fairus Ahmad Yusof dan ‘Semarak’ oleh Saiful Azmi Hanudin

 

Kesan atau tanda adalah sesuatu yang terhasil atas permukaan di mana ia disebabkan oleh proses yang berlaku seperti geseran, ketukan, pembakaran, campuran bahan berlainan sifat dan sebagainya. Merujuk kepada kesan legam, ia merupakan suatu eksperimentasi yang telah dijalankan dengan menghasilkan kesan melalui teknik penjelagaan (fumage). Jelaga meninggalkan kesan yang bercorak pelbagai variasi,

legam serta membentuk gerakan yang unik. Variasi bentuk dan kesan tersebut digabungkan bagi menghasilkan objek, bentuk spontan atau kesan pergerakkan. Dalam  karya ‘Induk’ oleh Mohd Bakir Baharom ini, karekteristik jelaga memainkan peranan utama melalui garapan imajan biomorfik yang dipadankan dengan tona monokromatik. Oleh itu, jelaga adalah media alternatif yang menjadi asas dalam pencarian tona bagi pelukis ini untuk menghasilkan karya selain daripada penggunaan arang.

 

Karya Fairus Ahmad Yusof  atau Along ‘Alami Series: Merah’  adalah sebuah komentar sosial terhadap kemusnahan alam sekitar. Along konsisten membawa isu ini sejak zaman pengajian di Manjung sehinggalah ke hari ini. Karya ini memperlihat pergolakan emosi pengkarya terhadap kemusnahan hutan tropika untuk pembangunan. Gangguan ekosistem hijau ini bakal memusnahkan hutan hijau malah sungai kita yang bukan sahaja mengancam hidupan di dalamnya malah juga boleh meragut nyawa manusia.

 

Saiful Azmi Hanudin berasal dari Perak yang ramah dengan panggilan Yob adalah merupakan pelukis landskap realisme. Namun di dalam pameran ‘Chap Manjong’ Yob hadir dengan karya catan lanskap absurdisme. ‘Semarak’ adalah terjemahan dan interpritasi beliau terhadap lanskap ekspresionisme yang berseri, bercahaya, bersinar, bersorot, berkilauan, bergemerlapan dan berkilapan. Menurutnya dari aspek perumpamaan ia adalah cerminan kepada keelokan, kebanggaan, kemegahan, kemuliaan, ketinggian, kebesaran, jah, seri, keindahan, kemasyhuran, kehormatan dan keluhuran perkumpulan Kumpulan Manjung ini.

 

Skulptur

Seni arca atau skulptur di dalam pameran ‘Chap Manjong’ ini boleh dibahagikan kepada tiga penggunaan bahan utanma iaitu bahan campuran seperti pada arca Ahmad Eruan Adnan iaitu ‘Mak!, Aku Pinjam Kuali Nak Buat     arca Asemblaj’. Kedua adalah penggunaan bahantara kayu dalam karya ‘Terjebak’ oleh Zuhdi Nusuki, ‘Alun Separa Kembang’ oleh Safwan Ahmad dan  ‘Enjit-Enjit Semut: Siri I’ oleh Rafidah dan Zainuddin. Ketiga adalah penggunaan tanah dalam penghasilan arca seramik seperti  ‘Ikatan Kasih’   oleh Nadiah Mohamed, karya ‘Retrospection and Prodigy: Bubbles Series 5 oleh Mohd Khairi Baharom dan  ‘Asal Kita’ oleh Nurulhuda Mohamed.

 

Karya arca campuran  Ahmad Eruan Adnan boleh dianggap bernafaskan kerohanian ini adalah simbolik kepada Kaabah iaitu lambang kepada agama Islam iaitu bagaimana umat Islam menuju kepada-Nya yang satu. Perjalanan liku kehidupan yang mencabar dalam mencari identiti diri dan pegangan agama walau sejauh mana langkah kita cuba mengelak tetapi akhirnya kita akan pulang dan kembali kepada berpegang kepada kehidupan beragama.

 

Karya yang menggunakan batang kayu semulajadi dan perangkap burung di dalam ‘Terjebak’ oleh Zuhdi Nusuki memperlihatkan aspek produk prop diterokai sepenuhnya di dalam skulptur ini. Pengalaman bertahun sebagai pereka prop untuk iklan komersil digunakan oleh beliau di dalam karya yang bertemakan perangkap. Karya ‘Alun Separa Kembang’ adalah sebuah arca kayu oleh Safwan Ahmad. Kayu adalah bahan kegemarannya yang mula diterokai sejak zaman pengajian di UITM Seri Manjung lagi. Karya ini menonjolkan bentukan bergelung dan berpusar seolah-olah seperti pantai Teluk Batik dan Teluk Rubiah yang dipukul ombak.

 

Karya pasangan suami isteri Rafidah dan Zainuddin  ‘Enjit-Enjit Semut: Siri I’ adalah ilham daripada lagu rakyat yang berbunyi “Enjit-enjit semut siapa sakit naik atas”. Bibit sebuah lagu rakyat merujuk kepada metafora atau kiasan seseorang yang merasa peritnya ditindas. Maka bangkitlah si mangsa mencari penyelesaian kerana tidak siapa dapat merubah kecuali diri sendiri untuk tabah menempuh rintangan kehidupan supaya tidak mudah tewas.

 

Karya seramik instalasi oleh Nadiah Mohamed adalah penggunan serpihan perca kain anak-anak beliau yang diabadikan di dalam bentuk yang paling mentah dimana ia diikat, disampul dengan kasih sayang yang dinamakan oleh beliau sebagai  ‘Ikatan Kasih’ . Karya ‘Asal Kita’ oleh Nurulhuda Mohamed adalah rangkap tentang kejadian manusia iaitu  “Dari tanah kita datang dan dari tanah juga kita pergi”. Begitulah yang boleh dikaitkan dengan karya yang menggunakan tanah liat atau arca seramik ini. Pengkarya dilihat benar-benar mempraktiskan apa yang diperkatakan sebagai ‘medium adalah mesej’.

 

Karya Mohd Khairi Baharom Retrospection and Prodigy: Bubbles Series 5 merupakan sebuah karya refleksi terhadap konsep fenomenologi diri oleh pengkarya pada zaman kanak-kanak yang gembira bermain buih yang dihasilkan dengan formulasi beberapa jenis sabun. Keseronokan pada masa itu melihat buih ini terbang bebas di udara merupakan satu refleksi kepada minda kanak-kanak yang tidak mempedulikan masalah diri dan kehidupan semasa menjadi terapi diri tanpa sedar untuk menjadi positif.

 

Sebuah   perancangan diadakan untuk membawa pameran ini bergerak ke Lembah Klang bagi memberi peluang kepada audien disana  dengan imej karya terbaru telah dirancang. Kumpulan Manjung telah  mengadakan pameran berkumpulan kelima di Galeri Matic yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bahagian kedua penulisan ini akan menyoroti pameran yang bertajuk ‘Chap Manjong II’.


 

  


Faizal Sidik, 'Chap Manjong: Karya Alam Kumpulan Manjung', Dewan Budaya (Galeri), Bil. 6 / 2023 (Jun), Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, ms 22-26.




 

 

 

 

 

 

 

 

                                                 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan