Oleh: Faizal Sidik
Pameran ini tercetus daripada pameran Kumpulan Manjung ke-4 iaitu ‘Chap Manjong’ yang telah diadakan di Galeri Al-Biruni pada tahun 2022. Pameran ini boleh dianggap sebagai seperti sireh pulang ke gagang oleh alumni pelukis yang mengambil bahagian dalam pameran ini. Selepas 20 tahun bergelumbang dengan dunia seni di luar yang penuh dengan cabaran dan pancaroba dalam memenuhi impian mereka sebagai seniman, mereka datang menyantuni tempat yang pernah mereka jatuh dan bangun semasa di alam pembelajaran dulu.
Sungguhpun jasad rumah kedai Universiti Teknologi Mara Seri Manjung telah digantikan dengan kampus serba lengkap Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar namun semangat atau DNA pensyarah-pensyarah Seri Manjung yang pernah mengajar pengkarya dalam pameran tersebut masih berada di sini. Sokongan tenaga pengajar ini terhadap alumni atau bekas anak murid mereka boleh dilihat menerusi kehadiran mereka semasa program bicara seni dan majlis perasmian pameran ‘Chap Manjong’ tersebut.
Soladariti mereka inilah yang mengilhamkan pameran silaturahim ‘Duo’ untuk mengabungkan semula pengkarya bekas pelajar UiTM Seri Manjung atau yang lebih dikenali Kumpulan Manjung atau Chap Manjong dengan pensyarah mereka ini di dalam satu bumbung pameran sebagai ‘Duo’. Istilah ‘duo’ diambil daripada bahasa atau dialek Negeri Sembilan yang bermaksud perkataan ‘dua’ atau angka ‘2’ . Dalam kata lain pameran ini ingin merapatkan lagi ukuwah atau persaudaraan diantara kedua-dua alumni dan bekas pensyarah melalui ikatan pameran seni.
Pameran ‘Duo’ adalah sebuah pameran bersama atau bergandingan yang menghimpunkan 37 pengkarya dimana terdiri daripada 16 bekas pelajar Seri Manjung dan 21 pensyarah Seri Manjung dan Seri Iskandar. Sebanyak 42 buah karya dalam pelbagai genre seperti arca, catan, lukisan, cetakan, campuran, seramik dan fesyen dengan kepelbagaian pegolahan.
Sebuah pameran susulan daripada pameran ‘Duo’ ini akan dengan tajuk ‘Duo-Duo’ akan diaakan pula di Balai Seni Lukis Melaka pada suku ketiga tahun ini bagi memberi peluang ramai lagi bekas pensyarah dan bekas pelajar atau alumni yang tidak dapat menyertai pameran ‘Duo’ di Galeri Al-Biruni terutamanya yang berada di Lembah Klang. Sehingga kini Kumpulan Manjung atau Chap Manjung telah mengadakan 6 buah pameran iaitu ‘Julung’ (1999), ‘Pilihan Rakyat’ (2013), ‘Manusia dan Alamnya’ (2018), ‘Chap Manjong’ (2022), ‘Chap Manjung II’ (2022) dan terkini ‘Duo’ (2024).
Setelah keupayaan kumpulan ini menganjurkan dua pameran di negeri Perak iaitu di negeri kelahiran kumpulan ini dengan ‘Chap Manjong’ (2022) dan ‘Duo’ (2024) di Galeri Al-Biruni di UITM cawangan Perak, timbul keinginan kumpulan ini dimana seniman di dalamnya yang terdiri daripada kurator, pelukis, pereka, pendidik dan pekerja budaya daripada serata negeri di Malaysia untuk menjadikan Galeri Al-Biruni, UITM cawangan Perak sebagai sebuah pengkalan tetap kumpulan ini.
Oleh itu kumpulan ini merancang untuk mengadakan sebuah pameran yang berskala kecil-sederhana ala industri kecil sederhana (IKS) secara dwi-tahunan atau dua tahun sekali. Manjung Biennale 2026 adalah sebuah penjenamaan produk baru kumpulan ini dalam memberi impak terhadap kegiatan pelancongan seni di daerah Manjung dan Perak Tengah.
Pengajuran biennale seni tidak semestinya perlu bersifat antarabangsa dan nasional tarafnya, Manjung Biennale 2026 adalah sebuah biennale seni daerah dalam memberi impak ekonomi budaya kepada kawasan setempat melalui seni visual yang meliputi jalur dari Pulau Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Setiawan, Air Tawar, Bota dan Seri Iskandar yang berada dalam lingkungan dan liputan kawasan daerah Seri Manjung dan Perak Tengah. Semoga hasrat ini dapat direalisasikan melalui sokongan dan dokongan semua pihak nanti. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan