Jumaat, 22 Mei 2020

'Wabak COVID-19: Cabaran dan Masa Depan Seni, Sastera dan Budaya di Nusantara

Oleh: Faizal Sidik
Tajuk tulisan ini merupakan penulisan semula daripada sebuah program bicara seni secara siaran langsung melalui laman Facebook Balai Seni Negara pada 21 Mei 2020 iaitu ‘Artpa Khabar’  yang membincangkan isu-isu semasa seni, pameran seni, produk seni,  program seni, aktiviti seni, para pelukis serta perkara seni yang menarik oleh barisan kurator-kurator Balai Seni Negara.

Dalam siri program berkenaan  kurator telah menjemput tiga orang panel yang mempunyai latarbelakang yang berbeza dalam bidang seni, sastera dan budaya antaranya ialah Nasir Baharuddin, Dr. Siti Zainon (Sasterawan Negara) dan Irwan Ahmett.

Nasir Baharuddin merupakan pelukis, penulis, penteori dan pengkritik seni. Beliau berpengalaman luas mengajar sebagai pensyarah di banyak institusi seni seperti di Lim Kok Wing Institute of Technology,  Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia. Beliau pernah menjawat sebagai  Pengarah Galeri Shah Alam dan Kurator Galeri Serdang. Sebagai seniman beliau kerap dijemput oleh insitusi seni luar negara samada membentangkan kerja kerja, menjadi panel dan mengadakan pameran seni.

Dr. Siti Zainon Ismail merupakan penerima Anugerah Sastera Negara pada 2019 yang membawa gelaran Sasterawan Negara yang ke-14. Beliau bukan sahaja telah menghasilkan penulisan sastera malah seni budaya tradisional. Karya-karya penulisan novel, cerpen, puisi beliau telah diterbitkan oleh Dewan, Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Negara dan penerbit–penerbit Universiti.

Irwan Ahmett adalah seniman dari Jakarta, Indonesia. Pengkaryaan Irwan banyak berkisar tentang urbanisasi yang menterjemahkan isu-isu pembandaran dan geopolitik serantau. Karya-karya  Irwan kerap di dipamerkan di pameran antarabangsa antaranya seperti di Biennale Jogja, Singapore Biennale, Yamaguchi Centre of Arts and Media.

Pengenalan
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jangkitan virus corona atau nama saintifiknya COVID-19 (Corona Virus Infection Disease 2019) ialah penyakit berjangkit terbaru yang menyerang manusia pada ketika ini.  Gejala utama orang yang mengalami virus ini adalah mereka yang jatuh sakit yang tersebar melalui titisan yang terhasil apabila orang yang dijangkiti batuk, bersin atau menghembuskan nafas. Manusia boleh berjangkit dengannya dengan menyedut virus tersebut jika berhampiran dengan orang yang dijangkiti COVID-19 atau dengan menyentuh permukaan yang tercemar dan kemudian menyentuh, mata, hidung dan mulut anda. Filem ‘Contagion’ (2011) arahan pengara Steven Sodenbergh dikatakan menyerupai apa yang berlaku pada hari ini.

Penularan COVID-19
Kronologi ini bermula ditengah-tengah ketegangan perang perdagangan di antara negara China dan Amerika Syarikat. Virus ini dikatakan muncul di bandar Wuhan dalam wilayah Hubei iaitu di tengah-tengah negara China pada bulan Disember 2019 di sebuah pasar yang berhampiran dengan makmal penyelidikan perubatan. Pada mula pemerintah China mengenakan perintah berkurung dan menutup ekonomi  penduduk bandar Wuhan bagi menyekat penularan wabak ini ke bandar dan wilayah yang berhampiran.

Negara-negara yang bersempadan dengan China seperti Rusia, India dan Vietnam pada ketika itu telah menutup sempadan mereka untuk mengelakkan jangkitan virus kepada penduduk negara berkenaan dari rakyat China yang ingin merentasi sempadan. Sehingga kini lebih 83,418 kes dan 4634 rakyat China yang dijangkiti virus ini telah mati. Sangkaan virus ini hanya menyerang di wilayah-wilayah China dan tidak akan merebak ke tempat-tempat lain adalah meleset. Negara-negara yang mula-mula menerima tempias wabak ini adalah negara yang berjiran dengan China seperti Korea dan Jepun. Kemudianan virus ini merebak ke rantau Asia Tenggara.

Sehinggaa tulisan ini ditulis negara di Asia Tenggara yang terjejas teruk daripada jangkitan ini adalah Indonesia dengan 46,845 kes dan 2500 kematian, Singapura 42,303 kes dan 26 kematian, Filipina dengan 30,682 kes dan 1177 yang mati, Malaysia 8587 kes dan 121 kematian, Thailand 3151 kes dan 58 kematian. Negara Eropah terawal mula dijangkiti teruk wabak ini adalah negara Itali dan Sepanyol. Sehingga catatan ini ditulis lagi Itali mencatatkan 238,720 kes dan 34,657 kematian dan Sepanyol 246,504 kes dan 28,324 kematian. Terkini Amerika Syarikat yang sebelum ini menyalahkan negara China sebagai punca virus merupakan negara yang paling tinggi dengan mencatatkan 2,335,860 kes dan 122,132  dan di ikuti United Kingdom 305,289 kes dan 42,647 kematian. Menurut WHO lagi kini seluruh dunia telah mencatatkan lebih kurang 9 juta kes dan 471 ribu kematian iaitu suatu bencana kehilangan nyawa yang belum pernah dilihat lagi semenjak Perang Dunia.

Cabaran Seni Budaya
Penularan wabak ini di seluruh dunia telah memaksa perintah berkurung dikuatkuasakan dan ada disesetengah negara itu perintah darurat dilakukan. Perintah berkurung ini menyebabkan kegiatan ekonomi dihentikan, bagi mengelakkan virus ini terus merebak perintah kawalan pergerakan dilakukan dengan memaksa orang ramai duduk, berkurung  atau dikuarantin di dalam rumah bagi mematikan rangkaian virus COVID-19 daripada terus tersebar. Orang ramai digalakkan bekerja dari rumah dan berhubung melalui komunikasi digital, keluar sekira perlu terutamya membeli barang keperluan makanan dan ubatan. Disamping itu mereka perlu memakai topeng muka dan menjaga jarak sosial apabila berada di tempat awam. Ini akan menjadi satu norma atau kebiasaan baru bukan sahaja masyarakat tetapi kepada karyawan.

Sehubungan dengan itu sektor seni budaya juga turut terkesan, penutupan gedung-gedung seni dan budaya seperti muzium seni, galeri-galeri seni, pentas-pentas teater, panggung-panggung wayang dikebanyakan negara seluruh dunia pada masa ini sedikit sebanyak meresahkan dan melemaskan para seniman, sasterawan dan budayawan tentang masa depan mereka kerana ruang-ruang ini adalah pelantar atau jambatan yang menemukan karya mereka kepada khalayak. Disebabkan oleh situasi ini muzium dan pusat kebudayaan mula memikirkan strategi lain untuk sampai ke khalayak dan medium digital menjadi pilihan bagi meneruskan program yang dirancang.

Kini muzium-muzium utama seperti Louvre Museum di Paris, British Museum di London, Van Gogh Museum, Amsterdam dan banyak lagi antaranya menawarkan lawatan virtual atau maya dimana anda tidak perlu meninggalkan kerusi di rumah anda. Lawatan maya ini adalah simulasi lokasi sedia ada yang terdiri daripada urutan video atau imej pegun selain menggunakan kesan muzik, naratif dan dan teks.

Melalui pelantar Google Art and Culture pula iaitu sebuah platform dalam talian yang membolehkan orang orang ramai melihat imej dan video resolusi tinggi karya seni dan artifak budaya dari organisasi budaya rakan kongsinya di seluruh dunia khalayak boleh melihat karya-karya dalam koleksi oleh muzium-muzium besar dengan lebih dekat lagi di rumah sambil minum petang bersama keluarga.

Sewaktu wabak ini menular penerbit-penerbit buku turut menawarkan buku buku percuma dalam talian dimana pembaca hanya perlu memuat turun buku tersebut dalam versi PDF. Malalui pelantar seperti Scribd, The Open Library, The Internet Archive dan Project Gutenberg buku-buku elektronik ini boleh dicapai. Bukan itu sahaja malah melalui  Spotify atau Audible iaitu sebuah platform Amazon, kita boleh mendengar buku audio dalam talian.

Penularan wabak ini bukan sahaja telah merencatkan ekonomi global malah memberi kesan yang besar terhadap sektor pelancongan di Asia Tenggara terutamanya kegiatan kesenian dan kebudayaan yang banyak menjana pendapatan kepada negara-negara di rantau ini. Pelancongan budaya (culture tourism) yang mempamerkan keindahan, kehalusan dan kearifan ciptaan seni budaya seperti di muzium-muzium, galeri-galeri seni, institusi-insitusi seni, sastera dan budaya di nusantara kini turut terjejas ekoran penularan ini. Seniman, sasterawan dan budayawan tidak terkecuali turut merasai keperitan dalam mengharungi cabaran ini dalam meneruskan kelangsungan hidup.


Persoalannya adalah apa tindakan yang perlu dilakukan oleh seniman, sasterawan dan budayawan  terhadap cabaran norma atau budaya baru selepas Covid-19 ini? Bagaimana pula bentuk masa depan seni, sastera dan budaya dalam mengharungi pendemik ini agar kesenian dan kebudayaan terus hidup? Pertanyaan yang paling penting adalah bagaimanakah kehidupan seniman pada hari ini dan masa akan datang dalam mendepaninya? 

Faizal Sidik: Persoalan awal untuk En. Nasir sebagaimana yang kita maklum hadirnya virus Covid-19 di dalam masyarakat menuntut seniman terutamanya pelukis mengubah daya cara berfikir dan keupayaan kreativiti daripada keadaan sebelumnya kepada selepasnya atau pasca. Soalanya apa tindakan  yang perlu dilakukan oleh pelukis terhadap cabaran norma atau budaya baru  ini?

Nasir Baharuddin: Terima kasih kerana menjemput saya dalam perbincangan ini secara virtual ini. Saya rasa ini merupakan sesi yang menarik dan mencabar dalam situasi kita pada hari ini. Saya juga merasakan tidak kira siapa sahaja samada pelukis dan apa bidang sekalipun, dimana kemelut yang berlaku pada hari ini adalah kemelut yang sejagat iaitu manusia hidup dalam keadaan berhati-hati dan skeptikal. Kita menduduki ruang yang agak skeptikal dan misteri untuk mendampingi persoalan-persoalan yang agak rapuh pada hari ini, dimana kita boleh katakan suasana dan sebagainya mengancam kepada polisi-polisi kita dalam apa bidang sekalipun. Tetapi dalam kehidupan hari ini kita terus atau terpaksa terus melakukan apa sahaja tindakan yang patut diambil kerana kelangsungan dalam kehidupan itu perlu ditegakkan, maknanya kita perlu ada pilihan-pilihan yang tertentu dalam menangani perkara-perkara yang kita hadapi pada hari ini.

Perkara yang kita hadapi ini, saya memungkinkan memberi satu era baru dalam keseluruhan sejagat manusia dimana untuk kita kembali kepada normal mungkin agak sukar sebab kita tidak tahu keputusannya dan sampai bila dan sebagainya kerana wabak yang melanda ini adalah wabak yang tidak kelihatan (invisible). Selanjutnya ia mempunyai satu tindakan yang luar biasa kepada manusia itu sendiri. Kita tidak tahu kedudukan kita samada kita boleh dijangkiti atau tidak, jadi itu adalah cabaran yang kita hadapi, tetapi untuk hidup pada hari ini kita perlu teruskan apa yang kita buat. Cuma cara dan kaedahnya saya rasa telah bertukar dan perlu kita tukarkan. Kita tidak perlu lagi dan memikir lagi perkara yang tidak pasti, sekarang ini kita perlu membuat tindakan baru. Jadi untuk golongan seniman dan sebagainya kita perlu melangkah ke satu ruang yang lebih terbuka, lebih luas dan kita perlu mengambil kemungkinan ini, cuma bagaimana sebagai satu persoalan yang penting.

Jika kita lihat pada hari ini, seni dimana-mana sahaja kini seolah-olah telah disekat, jadi apabila telah disekat terdapat satu perbincangan dalam apa sahaja segi, dimana ia mungkin mematikan dari segi kreativiti kita, memudarkan dan melembabkan daya imaginasi kita dan sebagainya. Tetapi kita haruslah melihat perkara ini secara positif, jika kita duduk dalam keadaan yang terbeku dan sebagainya kita mungkin akan terus melanda dengan permasalahan-permasahan yang lebih besar. Oleh itu kita perlu mencari alternatif atau satu ruang yang lebih memungkinkan kepada kelunjuran dalam pekerjaan kita ini.

Peranan seni sebenarnya dalam konteks hari ini perlu juga dilihat dalam konteks bagaimana?. Sesetengah pendapat, ini adalah masa untuk kita berfikir dan melakukan strategi-strategi tertentu ataupun membuat satu rombakan dan melihat semula kedudukan seni kita sendiri dan tidak semestinya samada dalam konteks Nusantara sebab pandemik ini bukan sahaja bertumpu di daerah Nusantara tetapi seluruh dunia. Perkara yang diperbincangkan pada hari ini di negara-negara lain juga menghadapi konflik dan polemik, seperti kita dapat lihat muzium-muzium telah ditutup manakala program-program telah dibatalkan dan ditangguh. Ini telah merencatkan dari segi  kreativiti kita, tetapi kerencatan aktiviti itu perlu ada alternatifnya dan alternatif inilah perlu dikaji kembali dan dirancangkan supaya selari dengan keadaan yang dikatakan norma baru tadi.

Saya lihat persoalan norma baru ini membawa kepada orde baru (new order) iaitu orde baru kepada keadaan kita pada hari ini. Secara tidak langsung ia secara perlahan-lahan menukar sistem persekitaran yang ada. Jadi seni memerlukan satu ekosistem baru dalam kita melanjutkan atau kelestarian daya cipta dan sebagainya. Pada hari ini jika kita tengok dalam keadaan yang genting ini mekanisme yang menguasai adalah teknologi, malah kita berjumpa dalam perbincangn ini adalah dalam konteks teknologi. Perkara ini mungkin akan jadi berterusan dimana suara-suara dan sebagainya akan dilemparkan dalam media massa dan seterusnya akan diwacanakan secara lebih terbuka. Jadi ini mungkin satu kesempatan besar untuk kita melihat dan menilai kembali perkara-perkara yang perlu kita ambil perhatian.

Jika kita lihat suasana virus dan sebagainya ini terdapat dua faktor iaitu virus ini menular dan sistem dalam kehidupan kita perlu ditularkan juga. Jadi peranan iaitu virus dan viral seolah-olah menjadi suatu gandingan yang selari di dalam konteks teknologi pada hari ini. Ia memberi atau membentuk cara media baru, media komunikasi baru, media perjumpaan baru dan seterusnya hubungan diantara menusia menjadi lebih dekat tetapi dalam konteks penjarakan sosial (social distancing). Kita tidak bertemu secara berhadapan tetapi kita bertemu secara vitual dan mungkin konsep virtual ini menjadi agenda baru dalam kelangsungan kita melakukan apa sahaja aktiviti. Sekarang ini jika kita lihat kita ada tetamu dari Indonesia dan mungkin akan datang daripada negara-negara lain juga terlibat. Permasalahan ini bukan permasalahan satu negara, satu individu dan satu masyarakat tetapi permasalahan seluruh dunia dimana rasa, perasaan dan sebagainya kita hadapi perkara yang sama. Oleh itu, para artis dan sebagainya mungkin kita beralih kepada sistem melihat, iaitu bagaimana kita melihat sekarang  dan apakah mekanismenya?

Pelunjuran daripada praktikal seni ini saya merasakan perlu diteruskan seperti biasa cuma gaya dan bentuk mungkin berbeza manakala cara dan olahan berbeda dan cara adaptasi juga berbeza. Jadi ini satu  tindakan baru. Jika kita tengok apabila kita memasuki sahaja era 2020 tadi, ia membuka kepada landasan baru kepada semua aktiviti bukan sahaja seni tetapi juga sistem ekonomi, budaya dan sebagainya. Malah dalam konteks keagamaan kita telah  diperketatkan yang meliputi dalam keseluruhan  kehidupan dan ini adalah persoalan universal yang perlu kita lihat dan letakkan diri kita dalam kondisi yang terkini. Kita tidak boleh lari dan kita tidak ada pilihan, kita perlu menerima dan terlibat dengan situasi ini. Situasi ini sebagaimana yang saya katakan tadi adalah sangat skeptikal. Kita tidak mengetahui ruang yang bagaimana dan bagaimana pula mahu keluar, berlindung, serta menonjol. Oleh itu kita perlu lihat kepada satu peralihan yang berbeza, bagaimana kita merasa dan adaptasi pada perkara yang kita alami ini dengan cara teliti dan secara tidak langsung memberi satu budaya hidup baru bagi kita hari ini.

Saya lihat lagi apabila kita memasuki era ini, seolah-olah ia cuba menanamkan dan membentuk kepada gerakan pemikiran baru dan gaya budaya baru yang perlu kita reka sendiri, ini yang saya rasa perlu kita lihat dan perlu kita renungkan kembali. Dalam pada itu, seni jika kita bincangkan dalam konteks hari ini membawa beberapa perkara. Adakah seni dalam konteks kita untuk kerja-kerja seni terhalang? Adakah pendapatan kita bergantung kepada kerja-kerja seni? Itu yang pertama. Ataupun ada seni yang dikaryakan secara konseptual yang mengetengahkan isu-isu yang begitu bermakna dan memberi satu menifestasi kehidupan manusia berganjak dan memberi inspirasi baru. Ini perlu  kita lihat dan kita perlu membuat beberapa pilihan.

Pilihan ini perlu kita jelaskan tentang apa pilihan kita dan mungkin kita memerlukan pembuat pilihan (choice provider) tentang pilihan yang perlu kita laksanakan untuk kita melakukannya. Di sini kita sendiri yang akan menjelaskan apa sebenarnya, daripada situ mungkin kita perlu cipta secara tidak langsung atau secara semula jadi perkara itu terjadi atau  tercetusnya satu perubahan baru dalam bidang kita dan lain-lain. Perkara ini saya rasa mungkin kita sebelum ini kita tidak pernah memikirkannya, tetapi apabila perkara ini terjadi secara tidak langsung ia memberikan satu tindakan yang agak drastik yang menuntut perubahan yang baru.

Perubahan drastik ini saya rasa memberi satu transformasi yang besar dan juga satu revolusi kepada aktiviti-aktiviti kita untuk kita bergerak. Ini tidak bermakna hasil daripada virus ini kita hanya perlu duduk diam tetapi sebagai orang seni peranannya besar dengan bukan sahaja hanya membuat kerja-kerja seni tetapi sebagai seorang pemikir seni boleh dilaksanakan cara-cara bentuk seni itu dalam memberi peranan kepada kehidupan kita sendiri dan kehidupan masyarakat di sekeliling. Mungkin kita perlu melihat kemungkinan dan alternatif ini untuk kita ambil dan bagaimana kita melancarkan pilihan kita tadi supaya ia jadi satu fragmen baru untuk diketengahkan kepada masyarakat, ini adalah pandangan awal saya.

Faizal Sidik: Persoalan untuk Dr. Siti Zainon dalam mewakili suara para sasterawan. Sebagaimana yang kita tahu pendemik ini menular ke seluruh dunia termasuklah rantau nusa ini dan sedikit sebanyak menyekat aktiviti sastera sampai ke khalayak.  Soalanya apa mekanisme yang perlu dilakukan oleh sasterawan-sasterawan terhadap kebiasaan baru ini dan adakah mereka bersedia?

Dr. Siti Zainon Ismail: Assalamualaikum dan selamat sejahtera, terima kasih daripada perbicaraan yang kita harapkan ini iaitu dengan terjadinya peristiwa Covid-19 ini. Saya kira tidak banyak perbezaan dari segi konsepnya, seniman samada pelukis, penyair, aktor, pelakon dan sebagainya bertolak dari jatidiri, jiwa, perasaan dan pemikiran. Jadi di sini kita melihat peristiwa yang tak terduga dan tuhan maha adil, ia tidak berlaku disatu tempat yang bermula dari China dan merebak diseluruh dunia. Musibah begini juga mungkin bentuk sahaja berbeza sedangkan bentuk musibah ini telah berlaku beratus tahun yang lalu. Jika kita membuka kitab-kitab lama seperti Injil, Taurat apa lagi Al-Quran banyak menceritakan hal-hal musibah besar dan mengapa ia terjadi. Kita tidak membincangkan dari sudut agama di sini tetapi yang penting adalah kemanusiaan.

Kita ditakdir dari kelompok yang ada ini termasuklah yang dari Jakarta iaitu seniman dan aktivis Irwan dan juga saudara Nasir. Kalau kita kembali kepada definisi dari konsep budaya yang dikatakan norma sudah ada kefahamannya dari sudut tradisi, daripada bahasa lama yang telah kita lupakan ialah perubahan dan resam budaya yang berubah. Jadi jika kita gunakan dari segi sejarah sosial budaya dalam kajian budaya Melayu warisan kita katakannya sebagai resam, perubahan yang terjadi jelas sekali dimana kita perlu berkurung. Saya ada pengalaman sendiri sewaktu peristiwa 13 Mei (1969) dimana saya pernah terkurung, waktu kejadian itu saya tidak mengetahui tentangnya, tidak seperti pada hari ini maklumat dan publisiti sangat mudah agar kita berada di rumah. Saya pada masa itu berada di Kedai Seni Lukis Nanyang yang terletak di Jalan Petaling untuk membeli perkakas lukisan dan pada malamnya barulah saya mengetahui terdapat sekatan-sekatan. Jadi bila saya sampai sahaja di rumah telah ada pengawasan yang membuat saya terkenang dengan peristiwa itu sebagaimana Covid-19 ini yang lebih merbahaya yang menyerang kehidupan yang tidak terduga.

Berbalik kepada permasalahan tadi ialah bagaimana kita dapat meneruskan kerja-kerja kita itu, di sini kita melihat betapa perlunya, kita tidak keluar dan tinggal di rumah. Kita mungkin bernasib baik jika berada di studio kerana ada dikalangan teman-teman kita yang pulang ke kampung yang tidak membawa alat-alat lukisan dengan hanya pulang ke rumah kerana melawat emak yang tidak sihat tetapi malamnya baru diberitahu tidak boleh berada di luar rumah. Begitu juga dengan saya perkakasan saya yang ada pada masa itu adalah pastel, pensil warna dan buku lakaran namun masih boleh lagi bekerja. Di sini samada penulis dan penyair mereka semakin hebat kerana adanya komunikasi, semuanya keluar dengan sajak-sajak, baca puisi dan hubungan masih juga dekat dalam menyampaikan keluhan hati samada marah, kecewa. Bagi saya ini adalah konsep menenangkan diri, sungguhpun berkocak di dalam tetapi tidak diketahui orang di luarnya, umpama kita menangis.

Di dalam penulisan samada dialog-dialog, perbincangan-perbincangan terus kita lakukan samada di dalam facebook dan sebagainya. Saya melihat dari sudut pendidik dan dari situ juga saya dapati guru-guru telah menanamkan cara pendidikan itu. Ibu bapa juga saya dapati jika dikalangan mereka ahli olahraga juga mengajarkan sistem olahraga semasa berada di rumah. Berbalik kepada karya seni tanpa perubahan dan tanpa kekecewaan saya kira hati kita agak mati, gelora hati seniman adalah dengan masalah-masalah begini. Di dalam sesi ini kita ada wakil generasi muda daripada Jakarta, saya buat pertama kali berpameran di Taman Ismail Marzuki pada tahun 1974. Sewaktu itu masih ada lagi angkatan-angkatan lama yang terdiri daripada seniman, penyair dimana mahasiswa-mahasiswa pada masa itu mempunyai semangat anti penjajahan Jepun dengan memakai jaket kuning untuk memprotes. Pada masa ini sajak-sajak keluar secara spontan oleh Rendra misalnya, saya juga hampir ditarik oleh tentera untuk dimasukkan ke dalam trak.

Situasi yang kita lalui pada hari ini juga pernah dilalui sebelumnya yang membuatkan seniman lebih kreatif. Guru saya umpamanya kadang-kadang beliau berasa sedih, sunyi tidak datang ke Jogja, kadangkala kami sering berjumpa di pohon randu berhadapan dengan  Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) yang merupakan sekolah seni saya dahulu bahawa sekeping tempe dan sekeping tauhu kami berkongsi tetapi perasaan membuak dan pada keesokannya apabila kami berjumpa kembali  mereka hadir dengan  karya-karya di depan Alur-alur atau Mali-boro. Mungkin pengalaman ini telah berlaku hampir  puluh tahun yang lalu semasa saya berada di Jogja. Apabila berada di sini, bagi saya ini adalah peranan anak muda untuk mengulanginya, saya adalah generasi 70 an  junior kepada Latif Mohiden, A. Ghafar Ibrahim (AGI) dimana mereka terus aktif, kita masih menunggu karya Latif (Mohiden) semasa Covid-19 yang mungkin semakin hebat lagi. Tetapi AGI umpamanya sajaknya kini setelah sepuluh tahun walaupun kegiatan melukisnya agak merudum tetapi kini kembali aktif sajaknya dalam situasi penularan virus corona ini itulah karya beliau yang saya lihat dengan ledakan warna dan garisan-garisan corona.

Jadi di sini jika merujuk surah Al-Baqarah umpamanya cerita orang Yahudi diberi kepercayaan untuk mempercayai tuhan dimana mereka menjawab “Tunjukilah siapa tuhanmu itu”. Kemudian jika melihat dalam zaman Nabi Musa, Nabi Ibrahim. Di sini walaupun ada masalah-masalah lahir dari dorongan-dorongan jiwa, mental menjadikan kita lebih positif. Alhamdulillah kita di Malaysia ini kita bergabung juga dengan persatuan-persatuan seperti penulis, penyair hadir dengan membuat acara puisi melalui model yang begini termasuklah dengan peglibatan antarabangsa, sajak-sajak seperti dari India mengalir dari Acheh ke Jakarta. Sebelum ini mungkin ada bacaan puisi ditempat-tempat begini yang kita hadir tetapi dengan berlakunya Covid-19 ini mereka terus aktif berkarya. Cuma bagaimanakah karya itu mantap, bagai saya kita masih lagi masih tahap proses.

Saya juga tertarik dengan pasangan muda ini anda mengkaji tentang sejarah, Hang Nadim, Hang Tuah dan sebagainya dan inilah yang dilakukan oleh resah manusia, resah anak muda tentang sejarah-sejarah lampau yang dapat saya lihat dalam karya Irwan. Kesukaran beliau mendatangi Singapura yang membawa protes dirinya misalan adalah satu kreativiti rangsangan terhadap kepedihan, akhir sekali dikatakan beliau ingin menyamar untuk masuk ke negara itu. Di Malaysia juga kita mempunyai pelukis-pelukis sebegini sungguhpun ada perbezaan namun roh kita tetap mencari dan karya seni adalah untuk menyampaikan kedamaian kerana kita telah sengsara. Jadi ini adalah satu kesengasaraan yang telah diuji oleh tuhan. Masakan kita memarahi tuhan tika kita diuji sebegini, sudah tentu ada pelapis dan pendamainya.

Kadangkala kita rasa bingung juga kerana tidak boleh ke masjid, suara azan tidak boleh kedengaran lagi. Tetapi azan pada hari ini bergema di Sepanyol, Jerman dimana mereka ingin berdoa dan berkongsi dengan suara azan. Malah telah ada satu eksperimen dari sudut saintifik mereka melihat satu kajian apabila suara azan digemakan terdapat garisan cahaya yang berbentuk lurus namun apabila lagu-lagu irama keras (rock) dimainkan terdapat kacau bilau di situ. Mereka menemui kaedah saintifik ini dengan melihat bagaimana gema perasaan itu, inilah yang terjadi dengan kita. Saya belum membuat kajian lagi karya lukisan namun anak-anak muda telah menampilkan karya-karya yang kita boleh lihat tetapi karya-karya yang lebih senior saya masih dapat melihatnya lagi.

Kita mengalami masalah yang sama, ini adalah sejarah pemikiran lama berulang lagi dan kita menjawab dalam bentuk yang berbeza. Bagi anak muda yang belum mengalami Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua mungkin tidak mendengar cerita ini. Saya sempat mendengar cerita makan ubi kayu misalnya, tetapi di Kuala Lumpur tiada lagi sebegini, menabur benih cili padi umpamana ada seorang Profesor itu berkebun dan meninggalkan bukunya hanya untuk melepaskan kebingungan, tetapi bila ditanya melalui masej, ayat-ayat dikaji keluar semula mungkin ditampilkan semula. Ini merupakan satu transisi bagaimanakah seniman menenagkan perasaannya yang kacau bilau ini, malah saya kira mereka lebih produktif, cuma bentuknya saya masih belum melihat lagi. Mungkin kita akan lihat bagaimana karya Latif Mohiden, Ismail Abdullah, sepupu saya Muliyadi (Mahmood) rakan saya Kadirsman di Jogja dan bagaimanakah karya-karya mereka. Puisi telah kita lihat manakala cerpen telah kita baca. InsyaAllah saya melihat disiplin ini sebagai masalah resam budaya kita berubah tetapi sudah ada persamaannya juga dimana dahulu zaman 50 an, 60 an waktu Maghrib kita mesti pulang ke rumah tetapi sekarang kita berkumpul di rumah dan resam budaya lama itu menjadi baru di dalam suasana ini. Oleh kerana itulah saya gunakan resam, dalam budaya Melayu kita ada peribahasa ‘Resmi padi makin berbuah makin berunduk’ yang tunduk dan elakkanlah ‘Resmi lalang’ atau ‘Resam lalang’.

Jadi kita berada dalam resam baru tetapi ada unsur-unsurnya yang menerangi resam lama kita diikat dilarang keluar rumah beerti ayah juga telah menjadi imam di rumahi. Ini adalah resam atau budaya lama yang tidak terfikir pula kita. Budaya lama yang telah hilang itu kini menjadi baru. InsaAllah kita akan melihat karyanya nanti dan satu teori baru akan lahir dalam proses perubahan norma ini.

Faizal Sidik: Sehingga kini jumlah hampir 500 orang yang terkorban di Jakarta akibat dijangkiti  daripada 1,200 di seluruh Indonesia yang meninggal. Boleh saya tahu apa yang Irwan lakukan sepanjang perintah berkurung (lockdown) ? Kedua, Irwan Ahmett dan Tita Salina   merupakan praktis seni dan perupa yang aktif di rantau ini dalam mengetengahkan  isu-isu perbandaran  dan geopolitik yang pasti melibatkan ruang publik dan masyarakat.  Bagaimana penularan covid-19 ini mengubah tindakan anda dalam berkarya?

Irwan Ahmett: Terima kasih dan Assalamualikum. Terima kasih juga kepada Pak Nasir dan Ibu Siti Zainon Ismail serta Faizal sudi menjemput ke program ini. Ya, saya tinggal di Jakarta dan merupakan episentrum (pusat tular) Covid-19 di Indonesia, kes pertama secara rasmi dikeluarkan oleh negara dari Jakarta. Situasinya sangat cepat (pantas), kami telah berada dirumah selama lebih kurang 2 bulan. Hal yang nyaman buat kami ketika berada di rumah adalah dengan mengerjakan hal-hal sebelum ini yang tertunda seperti pekerjaan-pekerjaan domestik. Tetapi hal yang membuat kami tertekan adalah hampir setiap hari pembesar suara dari masjid itu mengumumkan berita duka, bahkan pernah satu hari sampai lima kali ada orang yang mati. Jadi saya rasa jumlah orang yang mati dari angka yang ada pada pemerintah dan data yang sebenarnya jauh lebih besar kerana dilingkungan saya sendiri pasti ada yang meninggal.

 Situasi ini membuat kami cukup reflektif, mencuba tetap untuk produktif sebagai seorang seniman untuk membuat karya tetapi sulit sekali kerana tidak menemukan motivasi kerana ada krisis yang berada dalam realiti di hadapan yang tidak bisa kami lihat secara fizik kerana kami hanya tinggal di rumah. Dua minggu pertama saya dan Tita mengalami kemurungan dimana kami mengalami miss situasi (rindu keadaan) sebelumnya dan membuat kami menjadi pemarah kerana kami seperti di penjara di dalam rumah kerana tidak bisa kemana-mana. Situasi ini membuat kami marah dan kami menghasilkan satu video yang berdurasi satu minit yang berkisar perasaan marah dan ditularkan ke media sosial. Tetapi setelah fasa ekspresi untuk emosi fasa berikutnya pula adalah adaptasi, apa yang mengejutkan adalah fasa adaptasi ini begitu pantas dimana saya mula memasak makan dan melakukan hal-hal yang bersifat masih selesa dilakukan di ruang rumah.

 Ini termasuklah platform pertemuan bersemuka secara dalam talian berubah dengan pantas dimana kami telah memasuki kebiasaan yang baru. Namun situasi ini membantutkan pergerakan kami kerana misalnya kerja-kerja seni kami yang sedang dibuat terpaksa dihentikan. Kami juga agak kecewa dengan sistem negara yang tidak menyalurkan informasi dengan telus kepada masyarakat disamping itu juga ini merupakan akibat suasana yang telah dilakukan beberapa tahun sebelumnya. Misalannya persoalan perbatasan ataupun intervensi  (campur tangan) daripada pertubuhan Asean yang sangat lemah kerana tidak kelihatan koloborasi negara-negara di Asia Tenggara untuk memberikan satu aksi yang nyata (tindakan) dalam membantu mengatasi Covid-19 untuk masyarakat.  Semua negara hanya ingin menyelamatkan negara masing-masing dan menutup sempadan dengan ketat.

Namun kita berhadapan dengan makhluk yang tidak terlihat dan boleh masuk, jika kita lihat dalam situasi sekarang tidak ada satu negara di Asia Tenggara dengan kekuatan ketenteraan, pengawasan tetapi virus masih boleh masuk.  Perkara ini kita boleh lihat pada negara Singapura misalnya sistem kawalan sempadan mereka begitu ketat dimana mereka mempunyai sistem kawalan keselamatan yang terkini di Asia Tenggara namun angka jangkitan kes masih juga besar. Namun jika kita bandingkan dengan Vietnam iaitu negara dari segi ekonomi dan strukturnya lebih jauh di bawah Singapura dalam mengatasi persoalan Covid-19 mereka lebih ke depan. Jadi terdapat dinamika yang berbeda dengan Covid-19 ini dimana pola permainan (changing the game) telah berubah, perkara ini perlu diberi perhatian sekarang ini.

Kami cuba membuat karya baru berinspirasi daripada Covid-19 ini, sungguhpun situasi yang ada sekarang sulit bagi seniman kerana tidak ada dokongan yang baik daripada pemerintah terutamya seniman pertunjukan pentas seperti teater dimana mereka hidup dari hari ke hari tanpa ada pementasan dan aktiviti. Seniman bukan sahaja pengkarya seni visual, teater atau seni laku malahan pemain bola sepak juga begitu, setiap minggu mereka perlu bermain dalam kondisi persembahan terbaik dari segi teknik dan imaginasi permainan yang bagus tetapi pula terpaksa direhatkan, tubuh mereka kini tidak seaktif sebelum penularan wabak. Kita juga kehilangan rasa untuk melihat seni kerana hanya berada di depan skrin kerana kita sebelum ini tumbuh besar dan mempunyai pengalaman kompleks berkenaan dengan ruang, warna, dimensi. Skrin mempunyai banyak keterbatasan walaupun bagi saya secara peribadi sukar untuk melihat karya seni melalui atau pertunjukan skrin.

Jika kita ingin kembali dan bayangkan sebagai warganegara dan sebagai individu bahawa kita lihat struktur masyarakat sekarang kita perlu memberi keutamaan kepada pelanggan iaitu sains dengan sistem kesihatan yang terbaik, tanpa ada sains kesihatan situasi kita tidak banyak berubah. Jika kita melihat dari kes HIV/AIDS sejak tahun 80 an sehingga hari ini kita masih belum menemui ubatnya, saya juga agak skeptik seperti juga dengan pembicara pertama dimana Covid-19 tidak akan hilang dalam kehidupan seharian kita. Perkara ini cukup menyukarkan kerana banyak aktiviti seni yang sudah menjadi tidak relevan dengan norma baharu untuk mengadaptasi seni dengan kondisi kesihatan. Seandainya situasi ini hanya akan berlalu setahun atau dua tahun sahaja, usaha untuk pulih semula mungkin ada, tetapi jika ia mengambil masa satu dekad maka sistem pendidikan, sistem pola berpameran, sistem ekspresi dan apresiasi daripada masyarakat itu terpaksa membina sistem yang baru.

Saya lebih setuju untuk berfikir agak skeptikal kerana generasi kita sekarang yang tidak bisa mengatasi Covid-19 kerana ia belum lagi dapat diselesaikan oleh sains untuk mempersiap pelan seterusnya bagi menghadapi penularan wabak yang akan datang. Apa yang akan perlu selepas Covid-19 dan seterusnya kerana generasi selepasnya ini sangat berbeda dengan apa yang kita alami sekarang, generasi pada hari ini tidak banyak mengalami ruang fizikal kerana mereka mengalami penjarakan sosial. Walaupun begitu generasi akan datang tetap mempunyai capaian terhadap seni dengan bukan dengan kualiti yang terbaik. Saya setuju juga dengan Ibu Siti Zainon bahawa dalam situasi krisis seni kadangkala lebih jujur dan pada masa ini banyak ekspresi dan bentuk artikulasi (penyuaraan) seni yang merakam situasi semasa dan akan datang ini sehingga ia menjadi dokumentasi. Pertanyaan saya adalah seberapa jauh kita kuat dan seberapa jauh kita tetap relevan?

Terakhir, saya ingin  pengalaman saya di Jepun pada tahun 2014 dimana mereka berhadapan dengan isu radiasi setelah terbocornya reaktor nuklear Fukushima. Mereka juga menghadapi suatu yang tidak terlihat iaitu atom, sewaktu itu seniman terbahagi kepada dua. Pertama, mereka berhenti sepenuhnya menjadi seniman, kerana seni sudah tidak relevan lagi dangan situasi masyarakat di sana. Kedua, seniman berubah praktis dimana untuk menyesuaikan tuntutan kondisi yang  ekstrim di Fukushima. Saya fikir daripada melihat pengalaman tersebut setidak-tidaknya di Jakarta dan mungkin juga di dunia akan mengarahkan terhadap dua pilihan itu. Seniman berhenti kerana tidak ada sistem yang menampung, menyokong dan memperkuat (sustain) terhadap karya seni yang tidak relevan dan sulit dilakukan atau pilihan kedua seniman perlu berubah. Ini adalah kerana tiada yang mengetahui untuk kita belajar sambil mencuba, seolah kita semua seperti belajar untuk belayar.

Faizal Sidik: Berbalik semula kepada En. Nasir, sebagaimana yang kita tahu vaksin atau ubat penyakit ini belum ditemui lagi, pada pandangan anda ekoran daripada krisis  ini apakah jangkaan anda terhadap bentuk seni di masa hadapan yang bagaimanakah yang akan mendominasi atau yang akan timbul atau bangkit dalam kita mengharungi pendemik ini?

Nasir Baharuddin: Baik, untuk meneruskan perbincangan kita, pada awalnya kita perlu melihat dalam konteks pada hari ini bahawa semua perkara telah berubah. Ini bermakna resam kita juga telah menjadi resam yang baru, kita boleh meneruskan apa sahaja karya yang kita rasakan tetapi dari segi audiennya telah bertukar ganti. Audien ini melibatkan kepada satu proses berbeza dari segi pengolahan produksi itu sendiri. Jadi kalau kita lihat dengan adanya Covid-19 ini tadi seolah-olah ia memberi tahu kepada kita perkara yang telah kita lalui itu seolahnya satu benda yang perlu diganti dengan yang baru kerana sistem teknologi pada hari ini telah menguasai sebahagian apa yang kita bincangkan iaitu virus dan sebagainya. Ini adalah suatu benda baru, virus ini pula ia merupakan suatu benda yang misteri dan tidak pernah diduga oleh manusia dan merupakan satu lapangan yang perlu kita fikirkan.

Konsep kuarantin, penjarakan sosial dan sebagainya menuntut kita untuk menilai kendiri (self evualition) iaitu tentang jarak diantara kita dengan keadaan pada hari ini. Cuma pada hari ini kita lazimnya mengikut budaya yang sedia ada tetapi untuk esok kebudayaan itu bukan lagi kelaziman. Tetapi bagi kita pula kita masih lagi mengalami kerana kita duduk dalam lingkungan umur dan sebagainya dalam konteks sebegini. Namun apa yang kita tekankan adalah kepada generasi baru iaitu B20 bukan B40, perkara yang perlu disusun sekarang ini adalah audien-audien kepada B20 itu tadi.  Oleh yang demikian segala gelagat dan sebagainya perlu memenuhi kepada persoalan-persoalan B20 perlu kita hasilkan. Ini adalah realiti, kita boleh berkarya dengan apa sekalipun tetapi realitinya kita ada audien samada lama dan yang baru.

Audien yang baru menggunakan bahasa yang baru, kita masih lagi menggunakan budaya dan bahasa yang kita fahami dan percayai. Tetapi untuk generasi baru mereka mempunyai bahasa mereka sendiri, mungkin bahasa visual mereka berbeza dengan bahasa visual kita. Malah teks juga telah menjadi interteks yang pelbagai, iaitu menjadi lebih relevan dan cara persembahan karya dan sebagainya. Hari ini seniman atau  seni dan seniman  itu suatu perkara yang menimbulkan persoalan, sebab apa yang menghasil kerja-kerja seni itu tadi tercetus dari berbagai-bagai idea daripada berbagai-bagai orang, manusia dan daripada pelbagai peringkat umur dalam menghasilkan karya. Ia bukan lagi menjurus kepada tanggapan seni itu dihasilkan oleh seniman dan hanya dilakukan oleh orang-orang sebegini. Tetapi pada hari ini yang difahami oleh generasi yang baru itu tadi. Bagi mereka apa sahaja idea yang dirasakan relevan pada persoalan yang wujud secara realiti (real) itu merupakan suatu benda yang penting kepada mereka.

Bagi kita (ganerasi lama) mungkin kita ada sistem kita, seni pada hari ini perlu berubah mengikut ekosistem. Kita perlu lihat secara relevensinya itu bagaimana dan pada siapa yang harus kita tujukan, mungkin kita pada hari ini merasakan melihat kepada kolektor-kolektor yang ada tetapi peranan kolektor pula pada masa yang akan datang mungkin berbeza. Cara kolektor juga mungkin berbeza, ia bukan lagi himpun (collect) tetapi suka (like), Bagi yang ‘like’ ini tadi akan menjadi cara baru untuk dilanggan (subcribe) dimana pendapatan-pendapatan itu berlaku. Oleh itu pada hari ini kita perlu lihat dari segi realiti, maksudnya di sini adakah realiti itu sendiri bermaksudkan kelangsungan (survival) atau untuk kita anggap sebagai difungsikan dalam konteks makna dan sebagainya.

Di sini kita mempunyai pilihan-pilihan untuk dijelaskan, mungkin orang buat seni kerana mereka mempunyai gaji tetap dan sebagainya dan dapat meneruskan pekerjaan itu. Bagi yang kerja mereka bergantung hanya kepada kerja-kerja seni sebagaimana yang disuarakan oleh Pak Irwan ia memberikan satu tekanan hebat dalam konteks lapangan itu sendiri. Dari segi ekspresi dan sebagainya jika kita merasakan kita ini hebat dan kemana perlu dibawa. Muzium dan galeri kini tidak berfungsi kerana terpaksa bergantung hanya secara dalam talian. Seolah-olah secara tidak langsung fungsi siber telah menukar persoalan-persoalan kehidupan kita pada hari ini. Cuma rujukan kita masih lagi merujuk kepada kehidupan kita mengikut dengan norma lama.

Selepas sahaja perkara ini berlaku seperti yang diperbincangkan, penularan wabak ini tidak ada tarikh tamat dan oleh yang demikian pada setiap hari kita memerlukan penilaian kendiri dimana kondisi kita, apa yang kita perlu lakukan, tindakan kita seterusnya, seni dalam konteks yang bagaimana. Adakah kita berkosepkan hanya pada satu fungsi dalam konteks kelangsungan hidup, malah jika untuk kelangsungan hidup kita perlu cari jalan untuk atasi atau bertukar bentuk. Dalam konteks seni juga ia bukan lagi terhad kepada sesuatu benda, mungkin sebelum ini seni kontemporari mereka membuat karya instalasi, video dan sebagainya tetapi pada hari ini kita terpaksa membuat seni dalam bentuk kraf. Jadi sudah tidak ada diskriminasi dalam seni itu lagi, selagi ada fungsi dan maknanya, bagaimana ia berfungsi kepada suatu keadaan dan sebagainya bagi kelangsung tersebut.

Perkara ini serentak berlaku diseluruh dunia, keluhan yang kita alami ini berlaku juga keluhan ditempat lain di dunia ini. Jika kita membuat tinjauan di dalam internet seniman bercakap perkara yang sama tentang hal ini dimana mereka tidak menyangka perkara ini akan berlaku. Ini memerlukan lonjakan dari segi budaya fikir tetapi yang bersesuaian pada hari ini kita perlu platformkan dimana jurang ini adalah satu jurang besar iaitu dimasa akan datang bergantung kepada generasi baru sebab wabak ini akan menyerang generasi lama yang  sistem imun mereka kurang. Namun kebanyakan yang muda-muda boleh bertahan lama, ini yang perlu kita lihat. Benar, dari segi panjang pendek umur seseorang itu Allah yang menentukan tetapi walaubagaimanapun keadaan itu sendiri telah memberi satu pembayang kepada kita untuk kita lebih berhati-hati.

Jadi sistem kelangsungan kita telah menjadi satu idea baru yang perlu kita terap  dan atasi seperti yang saya katakan diawal tadi kita perlu melakukan sistem melihat dan merasa serta bagaimana kita mengubah imaginasi kita. Dahulu imaginasi kita agak nyata (tangible) dengan sentuhan dimana kita boleh merasa dan sebagainya tetapi pada hari ini imaginasi kita berhadapan dengan antara muka (interface) dengan teknologi dan siber. Ia amat berbeza mungkin Facebook dan Instagram sebagai satu galeri, di London, Paris dan tempat-tempat lain galeri ditutup tetapi ada satu agensi yang menyuarakan satu pandangan dengan membuat galeri papan iklan (billboard)  yang dipaparkan kepada masyarakat. Perihal ini adalah kerana pameran-pameran yang telah dirancang terpaksa ditangguhkan dan dibatalkan, tetapi untuk meneruskan semula pameran-pameran ini disiarkan di dalam laman web, didigitalkan dan di dalam taliankan secara terbuka dijalanan (on the street).

Jika kita lihat daripada sini tindak balas juga telah berbeza dan bukan lagi tindak tanduk seperti dahulu, peminatnya juga telah berbeza, dahulu peminatnya hanya orang-orang tertentu sahaja yang minat kepada galeri akan pergi ke galeri seni. Pada hari ini semua orang akan melihat perkara ini iaitu yang tidak tahu menjadi tahu, yang tidak reponsif kepada responsif. Hasil daripada polimek yang berlaku tadi telah memberi kepada rahmat yang besar juga kepada semua pihak. Jadi bagi saya kita perlu membuat penilaian baru tentang bagaimanakah kedudukan kita. Sebagaimana seperti yang telah disuarakan seni mungkin sudah tidak relevan pada hari ini dengan cara seperti dahulu. Pada masa yang akan datang ia akan menjadi suatu yang lain, apa yang kita lakukan adalah perkara yang sama tetapi dengan kaedah yang lain, kita terpaksa bertukar. Dahulu kita bertukar daripada telefon bimbit kepada telefon pintar, dimana kita mempercayai bahawa telefon bimbit adalah penciptaan yang paling hebat pada masa itu tetapi secara perlahan-lahan penciptaan telefon pintar lebih hebat mengatasinya.

Sistem kepintaran buatan (artificial intelligence) atau AI  telah menguasai kehidupan kita pada hari ini, kita mungkin tidak dapat merasainya. Proses ini saya rasakan bukan suatu proses yang singkat, ia membentuk kepada perubahan budaya dan merekabentuk budaya baru. Mungkin ada tesis baru tentang perkara ini yang telah direka, kita mengalami berbagai-bagai peristiwa tetapi Covid-19 ini saya rasa sebagai cabaran baru kerana kita berperang dengan suatu yang tanpa dilihat. Contohnya penyakit Aids atau HIV penemuan itu berlaku melalui perhubungan antara manusia dan manusia tetapi Covid-19 ini masih menjadi misteri, sukar dijangkau dan virus ini berada dimana-mana. Ada kes yang ada pembawa dan ada sesetengah kes tiada pembawa, jika kita melihat laporan yang dikeluarkan ada kes yang tidak dapat dikesan bagaimana puncanya. Ini adalah perkara baru dan bukan perkara yang rutin. Bagi kehidupan manusia saya rasa adalah suatu perubahan yang agak drastik.

Perubahan kepada 2020 itu telah membina satu jurang dimana untuk menukar cara hidup manusia kepada suatu yang lebih interaktif menjadi terasing (isolated). Keterasinagn ini ditemukan dengan cara virtual untuk menyambung jangka manusia, mungkin bagi kita ini agak jauh tetapi generasi baru bagi mereka pula perkara ini amat dekat. Ini bersesuaian dengan permainan yang mereka rancang, bagi kita ini mungkin bukan suatu kebiasaan tetapi bagi generasi baru merupakan suatu mainan yang biasa kepada mereka. Jadi perkara inilah yang perlu kita lihat kembali iaitu ada dua suasana yang perlu kita hadapai pada hari ini. Suasana masa depan yang dibina oleh sistem kehidupan kita yang dilazimi atau mengikut resam yang dibuat dan satu suasana yang melonjak kepada perubahan kehidupan dengan adanya teknologi membentuk manusia kepada cara fikir, olahan dan adaptasi baru.

Jadi saya merasakan ini adalah suatu perkara yang perlu diambil berat dan difikirkan yang memerlukan satu strategi baru yang bukan kita sahaja kita tetapi seluruh dunia sedang memikirkan apa yang perlu dibuat pada hari ini. Dalam hal untuk memikirkannya ia perlu terdedah kepada wabak yang kita hadapi hari ini, contohnya ada beberapa kurator daripada Itali meninggal semasa Covid-19 kerana dikatakan dijangkiti selepas balik daripada membuat pameran amal. Signifikan yang kita dapat mungkin kita perlu redha terhadap apa yang berlaku dan melihat kembali peranan kita iaitu bagaimana kita menempatkan diri kita pada suasana pada hari ini, dimana kita mempunyai suatu ruang yang dikatakan ruang bebas tetapi terbatas. Desakan-desakan rohani kepada kesenian begitu tinggi tetapi disebabkan oleh ruang yang terbatas itu tadi kita rasa agak terkawal. Mungkin perlu kita ubah (tuned down) dalam masa tiga bulan itu tadi bagaimana kita perlu menyesuaikan kepada persekitaran baru itu tadi.

Persekitaran lama ini saya rasa sudah tidak boleh dilakukan apa-apa lagi (obselite) dimana kita takut-takut untuk berada diluar rumah seperti yang dikatakan oleh Pak Irwan dimana setiap hari laungan azan di masjid mengumumkan kematian dari masa ke semasa. Mungkin ini adalah satu fenomena yang sukar untuk dilihat sebelumnya tetapi kini telah wujud. Dulu kita hanya melaungkan azan sahaja tetapi kini tentang kematian, fungsi masjid dan surau kini telah berubah lain. Kita mungkin merasakan hanya muzium dan galeri sahaja yang tutup tetapi masjid dan surau juga terpaksa ditutup. Ini adalah perkara yang perlu kita ambil perhatian dan secara tidak langsung apa yang boleh saya katakan adalah cabaran hari ini menganggu kepada sistem kelangsungan kita dan apabila terdapat gangguan kepada sistem kelangsungan itu tadi kita perlu ada satu tindakan baru iaitu bergantung kepada setiap orang. Misalnya ada pelukis yang dahulunya menghasikan catan kini melukis komik, isu yang sama tetapi pengolahan yang berbeza dimana dari sini beliau mendapat satu reaksi yang lebih besar daripada apa yang beliau lakukan sebelum ini.

Kita perlu melihat perkara ini daam pelbagai kaedah dengan cara yang lebih positif dan hasil daripada kuarantin ini juga artis dapat fikir dengan mendalam lagi peranan mereka sebagai seniman dengan melihat diri dan persekitaran dengan cara yang lebih kepada realiti. Realiti yang dimaksudkan ini dimana cara penyampaian telah bertukar kepada pelbagai kaedah. Jika kita lihat pada hari ini teknologi telah memusingkan keadaan pada satu kitaran baru. Jika dahulunya kita tidak pernah berjumpa dengan cara yang sebegini, bagi saya ini adalah suatu yang istimewa dimana kita dapat menukar pemikiran di sempadan yang berbeza, jauh dan sebagainya tetapi kita mempunyai misi yang sama untuk dizahirkan. Cuma bergantung apa yang ingin kita hasilkan. Inilah yang saya dapat lihat cuma hari ini pelukis perlu membuat satu fasa baru untuk memikirkan strategi baru dan sebagainya. Perlu ada satu plot kehidupan seni yang baru.

Kalau kita lihat seni filem dan sebagainya pengambaraan tidak boleh dilakukan tetapi ada juga mereka yang masih boleh bertahan dengan melakukan pengambaran dengan cara yang berbeza, iaitu ada cara yang menyeluruh dan ada cara yang terpencil. Saya nampak akan datang membentuk kepada kemungkinan-kemungkinan idea yang baru. Kita tidak boleh lagi bersikap atau melihat kepada suasana kita lazim fikirkan, hari ini bukan satu benda yang lazim, kita perlu tukar cara pendekatan. Tetapi sifatnya kekal dimana kita sebagai seorang manusia berkehendakan kepada perkara yang baik perlu dikekalkan dalam konteks budaya kita. Tetapi dalam untuk meneruskan kelestarian dalam lanskap seni yang bagaimana kita perlu bangunkan?. Perihalan ini perlu kita fikirkan bersama, perbincangan seperti ini perlulah dilaksanakan dari masa ke semasa kerana mungkin ada perkara yang luar biasa yang akan keluar menyingkap kepada suasana yang tidak diduga.

Hari ini walaupun keadaan agak muram, tekanan dan sebagainya, perkara yang kita fikirkan ini perlulah kita raikan bersama. Jika kita anggap situasi ini sebagai suatu yang sukar mungkin ia akan membawa kepada penyakit yang lain sebab sistem imunisasi kita tidaklah begitu kuat. Jadi kita perlu raikan yang lemah juga adalah pemenang (the worst also the winner) seperti mana yang dimaklumkan oleh Dr Siti Zainon tadi tentang peperangan sebelumnya bahawa manusia bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup. Inilah yang perlu kita lihat cuma ini adalah peperangan dunia baru (new war world). Manusia ini berhadapan dengan musuh yang tidak nampak, siapakah yang mencipta musuh yang tidak nampak ini? Jadi kita berhadapan dengan siapa? Sebabnya adalah virus corona ini adalah penyebabnya.

Sebenarnya kita katakan sahaja virus corona dari segi teks tetapi dari segi objeknya tiada, walaupun kita boleh nampak dalam mikroskop tetapi kita perlu melihat dengan menggunakan mikroskop yang mempunyai kapisiti yang tinggi misalnya samada seribu atau beribu-ribu kapisiti untuk melihat kuman dimana-mana sahaja dan ia boleh berterbangan dan hinggap dimana-mana. Adakah virus ini boleh hinggap atau tidak dan adakah kita akan berselisih dengannya.  Kita perlu bersedia dalam konteks ini kerana ini adalah hakikat kehidupan bukan kita sahaja yang mengalaminya malah semua manusia yang lain untuk difikirkan untuk memulakan satu perubahan baru. Ini yang saya sebut diawal tadi bahawa peralihan melihat, merasa, mendengar, adapatasi dan lain perlu dilonjakkan dalam paradigma yang berbeza kita tidak boleh melihat lagi pada perkara yang ada sekarang ini sebabnya adalah kita perlu melihat siapakah audien kita, mungkin audien kita untuk dua hingga bulan ini masih lagi terkawal dan mungkin juga situasi ini akan berlaku dalam masa setahun atau dua tahun akan berubah.

Persoalannya dalam masa setahun atau dua tahun yang akan datang bolehkan kita terus bertahan? Mungkin seni telah berubah menjadi sebaliknya dan bukan lagi seni yang lazim kita buat. Jika saya melihat dalam konteks sastera dan sebagainya bahasa memainkan peranan penting untuk ditonjolkan dalam konteks ini berfungsi. Tetapi bagi kebanyakan artis mereka masih memikirkan lagi dari konteks kelangsungan hidup, konteks ini membuat diri mereka agak gelisah kerana kelangsungan ini perlu berhadapan dengan kolektor, pelawat seperti yang ada pada hari ini sistem perhubungan kita telah ranap sama sekali. Persoalannya lagi masih adakah orang yang akan membeli karya seni dalam waktu hari ini? Dimana dalam keadaan ekonomi yang sukar dan sempit. Ya, mungkin ada namun kita juga tidak pasti dengan cara yang bagaimana. Kita memerlukan satu strategi baru dalam menangani persoalan-persoalan yang kita usulkan tadi.

Faizal Sidik: Kita kembali Dr. Siti Zainon, jika tadi En Nasir ada sentuh tentang peranan media baru pada pandangan adakah media dalam talian atau media sosial akan mendominasi dan mengantikan media cetak sebagai satu wadah baru kepada sasterawan itu sendiri. Bagaimana masa depan dan kelangsungan kesusasteraan dan kebudayaan yang kita akan jangkakan selepas ini?

Dr. Siti Zainon Ismail:  Sekarang kita jelas dapat mengesan aktiviti-aktiviti penulis dan penyair, semacam ada desakan mereka ingin bersuara dengan cepat dan ada orang mendengarnya. Justeru itu datang dari kelompok anak muda ataupun orang lama yang kembali menulis, ada yang saya dapat kesan mereka tidak lagi berpuisi tetapi dengan proses peristiwa ini keghairahan itu timbul kembali yang membandingkan pengalaman masa lalu, sekarang mereka berada dalam perubahan nilai. Tidak ada masalah bagi saya kerana kemudahan-kemudahan teknologi sekarang boleh menyokong dan membantu agar kita dapat bersuara, misalnya kita akan gembira apabila buku dicetak, begitulah juga penulis pada hari ini, editor dan penerbit dan pembaca tetapi dalam bentuk yang spontan. Jika mereka mengatur diri untuk bekerja dengan bagus jadi hasilnya juga akan bagus. Malahan jika sudah terbit di dalam Facebook misalnya kita masih juga boleh mengedit. Ini adalah pengalaman saya, ada orang tegur tentang kelainan hantaran ayat yang digunakan dan saya jawab yang awal itu masih belum menjadi kerana itu merupakan satu proses, karya yang telah dicetak itulah karya akhir.

Saya melihat peranan penulis itu terus berjalan dengan bagus kerana adanya keghairahan dan ini bukan diedit oleh editor kerana penerbit rasmi mereka mempunyai editor khas. Tetapi dikalangan anak muda keghairahan itu diteruskan, saya ada juga membaca  karya spontan yang bagus  terutamanya karya yang bersifat kembara. Karya kembara bukan jasmaninya sahaja yang kembara tetapi kini apabila kita membuka internet sahaja kita juga mengembara seperti ke Perancis, Itali dan di Sumbawa umpamanya. Keghairahan itu ada dua kemungkinan satu mereka boleh menerima masalah yang terjadi ini dan kedua ada masalah, memendam perasaan, menunggu dan inilah yang saya alami sekarang. Bagi saya bahan yang begitu banyak  tidak sempurna jika ditulis secara spontan. Maka tulisan saya buat sementara waktu ini adalah bersifat diari. Saya tidak mungkin melahirkan secara spontan, buat ketika ini penulisan diari yang saya hasilkan adalah gambaran perasaan yang tidak dapat dicurahkan secara spontan dan inilah spontan saya.

Apabila saya mahu menulis di Facebook setidak-tidaknya saya sudah mempunyai 50 peratus nilai-nilai isinya. Selalu saya mengajarkan mahasiswa saya, mungkin dalam dalam keadaan ekspresif karya kita menjadi spontan tetapi dalam sastera ekspresif itu proses mengalirkan puisi tetapi dalam romanika ada ekpresionisma atau ada abstrak dalam sajak yang kadang-kadang menyebabkannya sukar difahami. Apa yang saya tulis selama ini kebanyakan karya-karya yang spontan ini adalah karya-karya yang boleh dibaca sepintas lalu dan difahami. Sebagai pengkaji saya sering melihat karya itu ada fikirannya di situ, jika hanya menyebut fakta hari ini laporan doktor disuratkhabar dan televisyen misalnya “sebanyak  1320 telah dapat dikesan” adalah fakta sebagaimana berita disuratkhabar dan televisyen, tetapi puisi itu mempunyai pengolahan-pengolahan untuk membuat orang berfikir. Selagi manusia dapat berfikir mencari sesuatu yang baru dalam kerjanya ia akan memakan waktu begitu jugalah dengan pelukis bermacam-macam eksperimen yang dilakukan.

Saya sebagai peneliti umpamanya rasa tidak begitu bahagia jika sejak awal-awal pengkaryaan sahaja sudah menjadi abstrak, saya ingin melihat garis-garis latihannya. Saya masih ingat di ASRI sehari perlu menghasilkan 50 sketsa, arwah Nyorman misalanya mendenda saya umpamanya sehari harus menyiapkan 50 keping sketsa dan saya keliru rupanya satu semester hanya 50 sketsa, latihan garis itu adalah peribadinya dan itulah yang ada pada guru saya. Fadjar Sidik mengatakan warna susunan elemen itu mengambarkan wajah kerja seorang seniman, ini dari sudut abstrak. Tetapi dari sudut karya sastera lain umpamanya cerpen yang sempat saya lihat dua hingga tiga buah, fakta begitu banyak tetapi disampaikan dalam bentuk surealis yang membuatkan kita lebih berfikir. Ada pemikiran yang membuatkan kita mengolah secara spontan, kespontannya itu semasa kita mengutip data dimana kita mengabarkan.

Rendra sendiri mengatakan karya-karya terakhir beliau adalah data-data yang dikumpulkan oleh setiausahanya misalnya bila tahun terjadi, tahun kematian, siapa yang membunuh, jadi  karya-karya akhir beliau sebagaimana cerita bagimana pelacur yang dianiayai di Jogja dan beliau mendapatkan data-data itu selepas beliau melalui proses yang panjang. Begitu juga yang terjadi kepada Kemala (Ahmad Kamal Abdullah) yang mengutip data tetapi diadun dalam bentuk romantis. Kita ada juga penyair-penyair yang spontan tetapi digarap dengan bahasa yang sudah kita kenali dan sekarang beliau mengumpulkan data-data dalam puisinya dan saya masih membacanya sebagai data-data biasa tetapi saya berharap dan percaya karya itu ada. Jika kita lihat saya tidak dapat lihat karya spontan dari angkatan lama seperti Muhammad Haji Salleh, Baha Zain mereka memerlukan ruang untuk berfikir bagi melahirkan karya-karya semasa dengan peristiwa Covid-19 ini. Saya masih juga menunggu karya Zurinah Hassan yang masih lagi berahsia dimana saya belum nampak karya spontan beiau. Dikalangan orang muda sememangnya banyak sehinggakan saya tidak sanggup turut serta membaca puisi dimana sekarang sudah ada trend membaca puisi secara langsung facebook kerana saya agak malu kerana puisi saya masih belum menjadi lagi.

Faizal Sidik: Adakah persembahan-persembahan membaca puisi dan sebagainya di dalam media sosial seperti Instagram dan Facebook kerana ruang ini memberi kelebihan kepada mereka ini?

Dr. Siti Zinon Ismail: Ya, betul sebab kita tidak mengasingkannya kerana sesiapa yang menghantar umpamnya kumpulan penyair atau pemuisi  mereka akan edarkan mengikut musim misalnya musim perayaan Hari Raya sudah ada puisi yang bertema sebegini ini dengan penglibatan pemuisi antarabangsa contohnya dari India kerana ada perhubungan itu. Medium ini agak terbuka dan banyak yang masuk dimana kita dapat mengenaplapasti penyair baru dan lama. Pak El Akara dari Acheh juga turut serta, Ibu Farahati juga bersama jadi sudah ada jalinan persahabatan sebelum terjadinya Covid-19. Tetapi apabila berlakunya Covid-19 ini semacam ada satu pesta yang meriah sepanjang malam dan keesokkan pagi baru saya sempat menonton. Setelah menjadi buku baru saya akan mengkaji karya itu kerana selagi belum menjadi buku bagi saya yang dilatih secara akademia dimana karya harus diteliti dari baris ke baris. Saya agak penyabar dan tidak mengkritik karya spontan kerana ada kebaikannya dalam menumbuhkan semangat dan persaingan apatah lagi jika keluar di televisyen penuh warna-warni dengan kostum seperti teater. Sudah ada satu usaha yang datang dari perasaan dan saya kira perasaan apabila mereka duduk di rumah banyak ruang yang terbiar dan mereka hanya membuka komputer dan bercakap dikhalayak ramai.

Sekarang bagi saya ialah bagaimana karya-karya itu nanti disaring samada secara bersama atau bersendirian kemudian barulah kita samada boleh memenangi hadiah puisi umpamanya  yang saya kira satu cabaran bagi mereka yang aktif pada masa ini dimana karya-karya mereka sudah dinilai untuk mendapat anugerah sastera kerana berkarya itu penting kerana peristiwa itu telah terjadi dan dikritik pula dalam kumpulan masing-masing. Karya anak muda sememangnya berani kerana mereka agak terbuka. Dengan cara lain selera baru, perkara yang lazim perlu diteruskan dan kemudahan teknologi ini saya kira adalah peluang untuk digunakan. Mungkin seniman pada mulanya agak bingung tetapi  mungkin sampai waktunya akan lahir. Menentukan kelahairan itu adalah seperti orang perempuan mengandung 9 bulan dan itulah hasil karya kita nanti.

Fazal Sidik: Terima kasih Dr. Siti Zainon dan kita beralih kepada Irwan pula. Apakah kreativiti yang anda dapat lihat yang dihasilkan oleh seniman Indonesia sebagaimana anda sendiri yang tinggaL di kota Jakarta sepanjang perintah berkurung di Indonesia?  Adakah seniman akan terus melakukannya sebagai kelangsungan hidup atau ia bersifat sementara sahaja ?

Irwan Ahmett: Ya, menarik juga terutama bagi seniman muda dimana mereka sulit untuk meneruskan hidup kerana tidak ada pendapatan lalu mereka ini mempunyai kreativitas misalnya mereka membuat masakan terutamanya pada bulan Ramadan jadi banyak diantara mereka yang membuat kuih-muih atau makanan-makanan yang enak dengan harga yang murah. Jadi masyarakat membeli makanan daripada seniman dimana mereka membuat wang artikulasi sesama seniman. Saya misalnya mempunyai dua atau tiga jenis hidangan makanan dimeja makanan saya untuk berbuka puasa atau bersahur semuanya dibuat oleh teman-teman seniman. Bagi kami pada waktu ini seperti yang dijelaskan oleh Pak Nasir itu kelangsungan hidup tetap penting dimana perut harus terus diisi.

Ini adalah fenomena yang menarik kerana terdapat kreativitas lain dimana apabila berkaitan dengan makanan kita tidak bisa berkompromi. Maksudnya di sini adalah berkarya kita boleh bisa berhenti tetapi kita tidak bisa berhenti untuk  makan. Banyak juga dikalangan seniman yang mempunyai nama yang mengenepikan perasaan malu untuk menjual kuih dan buat sambal misalnya. Hasil daripada pendapatan jual beli inilah mereka meneruskan kelangsungan hidup. Saya fikir ini satu yang menarik bahawa terkadang kita perlu menggunakan kemahiran yang lain untuk terus hidup dalam jangka panjang. Cuba bayangkan hanya tiga bulan situasi ini cukup menyulitkan apatah lagi jika situasi ini berterus sehingga setahun, dua tahun. Bahkan ada dikalangan seniman teater yang membuat khidmat wifi secara percuma kepada rakan yang menjalankan katering sajian makanan dalam talian. Ini adalah kerana seniman ini tiada talian internet jadi solidariti bantu-membantu ini wujud dibeberapa tempat dalam jangka panjang biasa membantu seandainya sistem negara untuk mendukung seni tidak berfungsi. Walaupun sistem ekonomi hancur namun sifat solidariiti ini akan menjadi kekuatan utama bersama untuk menghadapi masalah ini.

Saya lihat situasi ini bukalah hal yang baru di Indonesia atau Pulalu Jawa. Jika melihat sejarah pada tahun 1815 Gunung Tambora pernah meletus dan mengakibatkan satu pulau itu punah jadi peradaban baru muncul. Pada tahun 1883 pula Gunung Karakatoa telah meletus yang menyebabkan peradaban di situ berubah. Saya ingin membaca satu puisi yang dihasillkan oleh Muhammad Salleh, beliau berkemungkinan beliau dari Temasik pada masa itu tetapi semasa Gunung Karatoa meletus beliau berada di Lampung. Bunyi syairnya adalah seperti ini “Gaduhlah, gaduhlah orang di dalam negeri, mengatakan datangnya kapalnya api, lalu berjalan berperi-peri, Nyatalah Krakatoa mempunyai bunyi , Riuh bunyi di dalam perahunya, bersahutan sesama sendiri, seperti kiamat rupa buminya, ramailah orang datang melihatnya”. Dikemudian hari puisi ini menjadi penting iaitu sebuah puisi yang bersifat jurnalistik, menyebut suara bunyi, orang berdatangan, orang saling tolong menolong, ada orang saling mencuri kerana kelaparan.

Saya fikir apa yang dilakukan oleh kawan-kawan di Malaysia membuat dokumentasi data untuk kemudian hari ini akan menjadi luar biasa penting dimana seni merakam situasi yang ada. Peristiwa cemas yang paling diingati adalah tsunami di Acheh dimana hampir semua kawasan ditengelami air dan bersifat serantau sehingga di selatan Thai, Sri Lanka, sebahagin sisi kepulauan Andaman yang mengakibatkan angka korban yang luar biasa namun kehidupan masyarakat Acheh bisa bertahan dan mereka kini membawa peradaban yang perlahan. Saya fikir semakin kita menghadapi hal yang menyulitkan kita menjadi semakin kuat untuk terus bisa bertahan. Apa yang kami pernah alami sebelum ini menjadi satu pengajaran penting dalam  menghadapi Covid-19. Peletusan gunung berapi Krakatoa orang mungkin boleh lari menyelamatkan diri tetapi bagaimana pula dengan virus. Mutasi sekarang ini ada sekitar 30 varian dimana umat manusia berhadapan dengan proses evolusi yang membuatkan kita juga bertanya eksistensi (kewujudan) kita sebagai manusia kerana apa yang telah kita lakukan di bumi ini adalah luar biasa kerosakannya. Kalau kita lihat binatang yang hidup di bumi yang paling banyak adalah ayam, kambing dan kerbau jadi jumlah binatang dan jumlah manusia sudah tidak seimbang.

Populasi manusia di planet bumu ini hampir mencecah 8 billion  jadi sememangnya kita sedang menghadapi cubaan sebagai manusia tetapi sebagai spesis. Kini kini berhadapan dengan spesis virus kuno, iaitu virus itu lebih tua jika dibandingkan dengan homosapien. Bagaimanakah kita hendak berasosiasi (berhubung) dengan virus, kita mungkin lihat virus sebagai musuh namun virus namun virus tidak melihat kita sebagai musuh tetapi sebagai satu medium sahaja untuk virus itu biak berkembang. Saya fikir hal ini bukan sahaja kepada seniman tetapi bagaimana eksistensi manusia secara ekologi di planet bumi, bagaimana menangani perubahan iklim kini yang rosak dieksploitasi, Jika saya berjalan dari Jakarta sehingga ke Malaysia hutan-hutan telah habis dibuat ladang kelapa sawit dan tiada lagi tempat harimau, gajah, orang utan. Kita menjajah bumi dengan secara besar-besaran dan ini pelajaran penting untuk kita bagi merenungi apa sebenarnya persoalan kita di masa depan.

Faizal ada juga bertanyakan kepada saya sebelum ini apa yang saya kerjakan sekarang. Jika tahun lalu saya masih mengerjakan kajian tentang lanun dan pemerdagangan orang di Selat Melaka tetapi sekarang saya sulit sekali untuk keluar kerana perintah berkurung. Tetapi saya dan Tita kini sedang meneliti semut kerana rumah kami banyak semut, ternyata hidup manusia sekarang tidak lebih baik dari semut kerana semut itu hidup secara bersentuhan. Walaupun jumlahnya banyak semut masih boleh terus hidup tetapi saya saya tidak boleh bersentuhan. Semut juga hidup dengan kekejaman koloni dimana mereka mempertahankan tanah jajahan, sempadan, penculikan, pembunuhan dan ada teritori (wilayah) dimana melihat tempat sampah seperti di dapur itu sebagai satu pertempuran perebutan kekuasaan.

Saya melihat ini sebagai makhluk kita mempunyai mentaliti sama dengan semut yang ingin menguasai, mendominasi, mengontrol (mengawasi), tetapi dalam menghadapi Covid-19 kita kalah dengan semut. Kita sekarang banyak melihat hal-hal besar tetapi hal-hal kecil tidak bisa juga kita refleksikan, Saya yakin dengan adanya konsep Nusantara yang sudah lama hilang kita percaya sudah ada nilai-nilai kecil yang mungkin kita sudah lupa dengan nilai baru dunia yang kapitalis dan sangat individual seperti semangat gotong royong yang menjadi asas masyarakat kita dalam membantu. Kita lihat mangsa-mangsa dalam krisis tsunamai yang membantu itu adalah masyarakat dan saya fikir inilah saatnya untuk kita  lebih melihat sifat hubungan antara manusia yang tidak lagi berbatas negara dan nasionalisme, ini adalah kerana virus tidak kenal nasionalisme sesiapa sahaja boleh dijangkiti.

Faizal Sidik: Kita ke pusingan ketiga dan terakhir, pada pandangan En.  Nasir adakah seniman juga harus menukar cara hidup mereka pada hari ini dan pada masa depan yang tidak boleh lagi kembali kepada kebiasan lama untuk ke ke arah kebiasaan baru?

Nasir Baharuddin: Perubahan ini mungkin satu paksaan perlu berlaku, mungkin kita tidak berupaya dan tidak suka tetapi kita terpaksa untuk mengadaptasi. Dalam persoalan kita pada hari ini dimana seniman perlu melihat dalam konteks seniman itu sendiri iaitu fungsi mereka sebagai seniman dan apa sebenarnya yang perlu mereka laksanakan. Kita katakan dari segi dunia sastera berfungsi dengan cara tekstual, pemuisi dan sebagainya untuk disampaikan, dari segi seni visual mereka perlu melihat dalam konteks yang lebih besar sebagaimana dengan fungsi-fungsi yang lain. Perubahan ini adalah satu perubahan yang dikatakan satu tugasan baru, mungkin kita tidak biasa dengannya tetapi tidak langsung kita telah membiasakan perkara tersebut terus dalam kitaran yang ada pada hari ini. Mungkin kita tidak perasan tetapi perkara ini sebenarnya berlaku. Jika kita tengok sebelum tahun 2020 iaitu pada tahun 2018, 2019 segala proses-proses digital ini telah dilambakkan. Misalnya dengan adanya cetakan tiga dimensi dan teknologi-teknologi lain ia membawa perkara baru dalam sistem kehidupan kita.

Seterusnya ini membawa jaringan kepada sistem 5G yang kita hadapi di masa akan datang. Jika kita melihat secara saintifiknya strategi ekologi manusia kita akan berhadapan dengan suatu formulasi digital (digital formulation) ke arah kehidupan sejagat pada hari ini. Bagaimana kita menduduki pada persoalan ini, seperti yang dikatakan juga oleh Pak Irwan kita tidak mempunyai sempadan yang tertentu. Akibat dan sebab kepada kita tidak satu signifikasi yang jelas bagaimana dan macam mana. Adakah satu masa esok diseluruh dunia termasuk seniman hasil daripada tindakan atau hasil daripada kejadian yang berlaku pada hari ini semua isu mengharapkan kepada persoalan virus sahajakah atau bagaimana? Perkara ini perlu kita fikirkan kembali, secara tidak langsung ini adalah peluang kita untuk menyelaras kembali suasana fungsi kepada peranan yang kita lakukan.

Walaupun dalam bidang sastera, filem dan lain-lain akhirnya akan melihat kepada memberi kesempatan atu hiburan baru kepada masyarakat hari ini apa sebenarnya hiburan dalam bentuk visual sekalipun kerana jika kita tengok pada hari ini seperti yang dikatakan oleh Pak Irwan sekali lagi pelukis telah bertukar daripada melukis atas kanvas kini membuat kuih, dengan melalui sistem warna yang tertentu dan dijual menggunakan sistem dalam talian sebagaimana yang berlaku di negara kita. Inilah disebabkan proses yang berbeza, persoalan siber telah melingkungi dalam kehidupan kita cuma kita sukar untuk mempercayai perkara ini telah berlaku pada hari ini walaupun itulah yang terjadi dengan adanya sistem digital.

Mungkin suatu hari nanti mengikut kepada perancangan-perancangan  daripada futuris mungkin pada suatu hari nanti teks juga akan menjadi persoalan kerana dikuasai oleh data. Bagi kita masa itu kita percaya apa yang kita lakukan pada hari ini tetapi generasi dimasa akan datang perkara yang kita buat pada hari ini bukan lagi untuk mereka. Kita telah melihat perkara yang lain dimana cara penyampaian bukan lagi dalam bentuk teks tetapi dalam bentuk data. Lapangan ini perlu diperluaskan kerana pakar teknologi maklumat, pakar kepintaran buatan telah memperkatakan tentang membuat data (data making) , membentuk data (data formation) seterusnya bentuk-bentuk visual merupakan bahasa baru yang perlu dihasilkan. Mungkin kita akan kata ia akan memakan masa kerana syarikat Termosolar, Tesla dan lain-lain telah merekacipta perkara yang mustahil untuk dilakukan dengan melihat pada manusia hari ini misalnya bertukarnya sistem petroleum kepada sistem solar.

Perkara inilah yang kita akan hadapi, kita juga secara tidak langsung perlu juga melihat sekecil-kecil perkara seperti yang diterangkan oeh Pak Irwan melihat tentang semut sebagai satu motivasi kepada kita untuk melihat kepada benda yang semulajadi. Hasil daripada kawalan pergerakan manusia telah dipenjarakan tetapi binatang telah dibebaskan, kini binatang menguasai seluruh persekitaran dengan bebas tanpa risau akan virus. Manusia yang bangga selama ini telah dipenjarakan, tahap binatang telah berubah haluan kini namun tidak diketahui sampai bila. Perkara baru inilah yang perlu difikirkan, isu-isu ini perlu dilihat, perlu bertukar alih dan arah untuk menghasilkan sesuatu. Kita perlu lihat dalam konteks yang besar dan bukan dalam konteks yang lebih kecil, secara positif dan cara negatif. Semua ini adalah cabaran kepada kita cuma seperti yang saya katakan tadi kita perlulah meraikan semua akibat-akibat ini atas ketahanan kita. Samada kita kecewa, duka kita perlu hadapi dengan cara yang lebih rasional dan seterusnya apa tindakan kita yang harus kita doakan supaya kita dapat memposisikan keadaan kita dengan lebih mampan.

Jika kita merasakan hendak berkarya maka kita berkarya tetapi ada pilihan lain dalam konteks pengkaryaan. Inilah yang dikatakan ‘pilihan baru’ kitalah yang perlu mencipta ‘pilihan baru’, persoalannya bagaimanakan kita menyediakan pilihan-piihan itu tadi. Perkara inilah yang perlu kita laksanakan dan fikirkan kembali atas dasar dan tindakan-tindakan. Jika kita kaji peristiwa pendemik ini berlaku setiap 100 tahun diikuti dengan peperangan, kita belum lagi mengetahui ahli-ahli biologi atau ekologi yang melihat hasil daripada kemurungan ini dari persekitaran berubah. Dahulunya jika kita lihat pembebasan gas karbon dioksida yang terlalu tinggi diudara kini telah kembali normal, jadi ekosistem ekologi manusia itupun turut bertukar. Dahulunya juga manusia begitu bersesak-sesak tetapi hari ini telah tidak kelihatan lagi begitu. Semua ini merupakan peralihan yang perlu kita rasai, ya benar mungkin kita tidak biasa dengan proses transformasi ini. Cuma proses transformasi ini adalah satu proses yang benar-benar mendadak sekelip mata, seolahnya masuk sahaja tahun baharu hidup menjadi satu norma baharu tetapi secara beransur-ansur.

Kehidupan beransur-ansur ini tadi mungkin akan jadi satu budaya sebab kita tidak pasti dimana muktamadnya, titik noktah masih lagi belum diketahui. Perkara ini menuntut persediaan dan ruang yang kita ada pada hari ini adalah ruang yang skeptikal satu ruang yang misteri. Kita merasakan kita lebih selamat duduk dirumah dan perlu berhati-hati apabila berada di luar.  Situasi ini tidak seperti kebebasan yang kita nikmati dahulu. Konsep kebebasan apa yang kita nikmati semasa penularan wabak ini? Kita dipenjarakan dengan tanpa ada palang besi tetapi kita perlu ikut dan patuh kepada palang ruang udara yang kita ada atau dimana sahaja kita duduk sekarang ini, jika di rumah maka di rumahlah dari segi had ruang (invisible barrier) yang perlu dan ada untuk menahan kita tentang apa yang dikatakan kebebasan ini.

Ekosistem telah bertukar manusia kini dipenjarakan dan binatang dibebaskan dan berkeliaran dimana-mana sahaja. Ada satu klip video yang mengatakan pelbagai binatang telah dilepaskan berpeleseran dimana-mana sahaja seperti di negara Argintina, Australia, Kanada dan tempat-tempat lain. Ini memberitahu kita supaya membuat satu penelitian baru, kajian baru kepada persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan pada hari ini. Jadi inilah yang ingin saya perkatakan samada perkara ini kecil ataupun besar perlulah kita mengambil iktibar untuk memanfaatkan  samada seorang kita seorang seniman, sasterawan atau budayawan bagaimana untuk memanfaatkan kesenimanan, kesusasteraan dan kebudayanan itu sendiri pada hari ini dengan menggunakan sistem teknologi yang berlaku pada hari ini sebagai satu mekanisme yang ada. Mungkin kita akan merasa kekok tetapi lama-kelamaan saya rasa ianya tidaklah terlalu sukar sebab kita telah dibiasakan dengan media-media sosial seperti aplikasi whatapp, panggilan video dalam talian dan lain-lain.

Cuma pada hari ini manusia sudah tertumpu kepada teknologi itu sendiri dalam berhubung tetapi hubungan kita yang menjadi menariknya walaupun dalam konteks realitinya kita dipenjarakan namun dari segi virtual kita lebarkan hubungan kita dimerata-rata dunia. Mungkin kita akan memanggil pemikir-pemkir daripada negara lain yang boleh berkongsi idea dalam menemukan pelbagai perkara, sebab apa ini adalah persoalan bersama dan bukan lagi persoalan setempat (regional) yang mengikut suatu kawasan. Apa sahaja yang alami juga dialami oleh Pak Irwan serta Dr. Siti cuma permasalahannya adalah bagaimana kita hendak memposisikan kedudukan kita sendiri, iaitu bagaimana kita hendak lengokkan dan tarikan kehidupan dalam konteks gemalai yang bagaimana. Inilah perkara yang penting yang perlu kita fikirkan untuk diteruskan dalam kehidupan yang ada.

Dari segi proses saya rasa apa yang kita suka buat boleh terus dibuat kerana kita tidak ada halangan yang penting apakah idea kita yang orang melihat dan mencari apakah idea yang kita buat yang berbeza daripada orang lain ataupun ada perkara yang menarik kepada orang lain. Perkara inilah yang pada hari ini perlu kita fikirkan, dari segi olahan apa kita rasa mahu lakukan atau mahu bertukar perlu ditukar tetapi idea kita secara semula jadi tentang apa sebenar yang ingin kita hasilkan dan dimana kita mahu bawa. Jika kita bercakap dimana kita akan pergi selepas ini adalah satu peranan yang perlu dipertanggungjawabkan oleh setiap individu samada untuk dirinya ataupun untuk masyarakat disekelilingnya.

Sungguhpun begitu kebanyakan artikel-artikel yang saya lihat dengan penularan wabak Covid-19 itu manusia menjadi sangat individulistik dimana masing-masing akan memikirkan diri sendiri, ini adalah disebabkan kita hanya memokuskan kepada kelangsungan hidup dan kesihatan. Kita terpaksa mengawal diri kita sendiri kerana saudara mara yang kita percaya selama ini belum tentu lagi boleh kita percayai lagi dengan adanya wabak tadi. Ini adalah suatu perkara yang agak menggusarkan, dalam kata lain masing-masing terpaksa menjaga keselamatan masing-masing dalam konteks kesihatan dan bukan dalam konteks peperangan sebagai satu cabaran yang kita hadapi hari ini. Dalam bahasa yang mudah kita bersikap berkepentingan diri dimana sikap ini perlu di dalam kita menjaga diri.

Di sini saya tidak boleh membuat hipotesis tentang apa yang berlaku tetapi jika kita analisa dari segi statistik mereka yang positif Covid-19 ini agak turun naik ada yang 30, 40 maknanya setiap hari kita hadapi perkara ini, ada yang kes import dan ada juga kes tempatan. Perkara ini sukar kita jangkakan, dalam kata lain faktor-faktor seperti kesihatan, persekitaran dan lain-lain perlu juga diubah. Kita tidak boleh lagi dengan cara yang terdahulu, dahulu mungkin sistem imun lain dan hari ini sistem imun kita telah berbeza. Bayangkan kita perlu setiap hari untuk membunuh kuman dengan menggunakan cecair pembasmi kuman (sinitizer) pada anggota kita, ia memberi kesan yang berbeza pada masa akan datang. Sampai bila kita akan menggunakan cecair pembasmi kuman itu? Sampai bila kita akan bertopeng? Dimanakah sistem pernafasan, udara yang kita nikmati selama hari ini? Allah swt telah hadkan rezeki kita kepada nikmat-nikmat yang telah diciptakan. Ini perlu kita fikir dan renungkan dan diambil iktibar.

Kuarantin ini sebagai suatu proses penilaian kendiri dalam meletakkan diri kita dalam kedudukan kita sendiri dan juga persekitaran yang ada dan juga bagaimana untuk membantu masa depan. Seterusnya bagaimana generasi akan datang melihat kita dalam konteks yang berbeza, sebenarnya kita mempunyai jurang yang besar diantara generasi lama dengan generasi baru kerana cara pergaulan, bahasa dan lain-lain banyak berubah. Saya juga ada menyebut audien kita dalam seni juga sudah berbeza mungkin pada hari ini kita masih boleh gunakan lagi tetapi dalam masa lima tahun akan datang kita tidak pasti samada masih relevan atau tidak. Jika kita katakan masih boleh lagi dalam keadaan norma baru kembali semula kepada keadaan norma asal saya rasa agak sukar untuk dicapai, tetapi kita perlu redha apa yang kita alami sebab inilah kejadian yang kita hadapi pada hari ini untuk manusia berfikir dan merenung kembali tentang posisi tetang peranan dan apa yang kita buat untuk melakukan sesuatu selagi kita boleh bernafas.

Faizal Sidik: En. Nasir ada bangkitkan persoalan dimanakah kita akan pergi selepas ini dan nampaknya kita tidak boleh lagi berpegang dan berpaut keserantauan itu sendiri. Bagi sasterawan pula adakah apa yang mereka telah lakukan sepanjang perintah berkurung ini juga akan diteruskan pada masa depan. Adakah situasi sukar pada masa ini memberi mengangkat proses kreatif ke tahap yang lebih tinggi lagi.  Kita lihat novel Salina (1961) oleh Samad Said lahir semasa kesukaran zaman perang dan Ranjau Sepanjang Jalan (1966) oleh Shahnon Ahmad  cabaran dan dugaan hidup di desa?

Dr. Siti Zainon Ismail: Dalam keadaan situasi yang terjadi pada hari ini saya secara peribadi lebih banyak mendengar berita malah saya mencatat apa sahaja yang saya dengar itu termasuk nama-nama orang. Di sini saya ingin membaca Menteri Kanan Ismail Sabri berkata “..bagi saya kalau kita nak buka semula bukalah, anda nak buka kedai bukalah tapi tangguglah sendiri ” . Sudah ada suasana yang bermacam permintaan samada mahu membuka perniagaan dan kedai. Saya menjadi pencatat ketika ini dimana diawal tadi saya ada menunjukkan catatan saya dalam tulisan jawi tetapi ada orang kata tulisan dalam manuskrip ini buruk sekali sebab garisan daripada pelukis itu sendiri. Saya kira begitu juga kawan-kawan yang lain jika kita mengambil contoh Usman Awang (1929-2001) dimana beliau pernah menjadi anggota polis dan beberapa karyanya juga merakam peristiwa itu dan salah satu sajaknya ‘Penjual Pisang Di Kaki Lima’ (1958)  dimana dia ditugaskan untuk merampas barang penjual yang tiada lesen ditepi jalan dan disebabkan inilah akhirnya beliau meletak jawatan berhenti dari perkhidmatan polis kerana tidak sampai hati untuk merampas barangan penjual itu.

A. Samad Said tinggal di Singapura kita lihat bagaimana lahirnya ‘Salina’ (1961)  tadi realiti yang lahir di Kampung Kandang Kambing. Karya-karya itu tadi telah memberi satu semangat baru dan dibaca semula orang generasi baru. Ada suatu waktu karya itu tidak dipedulikan dan tidak dibenarkan sebagai teks manuskrip untuk pelajaran. Kononya cerita tidak sesuai tetapi ‘Salina’ cerita kebenaran sewaktu zaman British di Singapura jadi dianggap watak-watak pelacur itu dimunculkan inilah  realitinya. Kita di sini akan muncul juga realiti yang begini. Cuma sekarang kita tidal nampak lagi. Shahnon Ahmad pula memang realiti begitu juga Kemala mengambarkan realiti tetapi dalam bahasa beliau. Sekarang ini banyak penulis-penulis yang saya lihat umpanyanya penulis wanita dimana saya mengkaji penulis wanita angkatan 80 an seperti Nisah Haron, Mawar Shafie. Misalanya Nisah lebih tegas lagi dalam mengutip data-data dan disampaikan dalam bentuk cerita-cerita yang novelis begitu juga dengan Mawar. Saya masih menunggu daripada Mawar walaupun dia tidak mempunyai akaun Facebook namun dia terus mencatat dalam blog beliau.

Dengan isu yang begini saya kira memang dapat diangkat sebagai satu sumber bahan. Jika sebelum ini kita tidak ada pengalaman di zaman perang tetapi kita mendapat kutipan cerita dari ibu kita daripada buku sejarah. Namun peristiwa sekarang ini adalah peristiwa dunia nyata yang boleh diangkat. Mungkin sampai waktu dalam setahun atau dua tahun ini saya kira sudah ada senarai-senarai yang telah diterbitkan sendiri. Dengan adanya isu sebegini menjadikan satu fakta yang dilaporkan, selama ini mungkin tiada peristiwa besar kita banyak berfantasi, berimaginasi dan membuka kitab-kitab lama. Kitab sejarah itu telah terbentang dihadapan kita, saya sebenarnya sedang ghairah tetapi belum mampu untuk menyusunnya namun masih ada keghairahan untuk menjadi seorang pengkaji terhadap karya-karya di sini. Masalahnya kini adalah teks sastera belum dapat menguasai pendidikan kita tetapi dengan isu yang sebegini malah kawan-kawan dalam bidang teologi dan kerja sungai iaitu Dr Zaini Ujang telah menghasilkan manuskrip-manuskrip sajak ini mengutip data-data. Kadang-kadang saya mengusik beliau dan beliau menulis dalam bentuk gurindam. Seorang lagi dalam bidang teologi dan geologi berkarya dalam larik-larik puisi walaupun tekniknya belum nampak nilai-nilai puitisnya tetapi bahan sejarah.

Dalam sastera pula seperti saya mengkaji teologi daripada rakan-rakan tadi kerana agak berat juga membaca buku-buku teologi ini tetapi sekarang sudah mudah kerana sudah ada simpati kepada sastera dikalangan orang bukan sastera kerana mereka masuk ke dunia sastera. Bagi saya lagi realiti yang terjadi ini sebagai satu himpunan untuk masa depan. Sekiranya ini dirakamkan generasi yang tidak mengalami peristiwa sebegini akan mendapat fakta. Orang sejarah juga paling penting di sini, buku sejarah benar-benar apa yang telah diungkapkan, data kita telah ada, mungkin Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Darat akan menerbitkan bukunya sendiri, misalnya bagaimana beberapa orang anggota polis yang dilanggar mati oleh orang mabuk. Apa yang saya nak sebut adalah banyak peristiwa nyata yang kita hadapi masa kini yang kita lihat melalui satu rakaman video . Mungkin rakaman video lebih cepat tetapi penulisan ini lebih dapat meyakinkan untuk pembaca masa depan. Suratkhabar mungkin kita membacanya berhari-hari tetapi apabila menjadi novel atuu filem ini adalah realiti.

Kita ada juga tokoh-tokoh dalam bidang perfileman, drama yang menghasilkan filem dan drama berdasarkan sumber hikayat Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, kita tidak masuk ke dunia itu, tetapi situasi ini sekarang kita benar-benar mengalaminya. Jika kita menulis dan generasi baru masa depan mengatahui fakta yang benar daripada bahan-bahan sejarah, cuma teknik berbeza kerana kita mempunyai nilai-nilai sastera. Jadi akan terdapat dua buku dimana satu akan jadi buku sejarah dan satu buku sastera. Masa depan sastera untuk golongan-golongan muda sekarang dalam usia 20 an dalam 20 tahun lagi jika benar-benar serius mereka akan jadikan sebagai satu teks sastera seperti ‘Salina’ sebagai bahan sejarah pada tahun 2020 dan dihasilkan pada usia mereka 20 tahun kemudian itu lebih solid jika dibandingkan sekarang yang spontan. Dengan teknik yang mudah ini sudah ada dan ada yang telah saya baca akan ada tokoh-tokoh yang akan muncul pada masa yang akan datang. InsyaAllah.

Faizal Sidik: Bagi Irwan yang sering dijemput berpameran di rantau ini dan di luar selepas atau pasca Covid-19 ini penciptaan seni yang bagaimana akan menjadi pilihan muzium atau pusat seni untuk dipamerkan di tempat mereka? Adakah seni konvensional seperti catan atau arca masih relevan lagi ekoran selepas ini akan adanya pemeriksaan kesihatan  (body tempreture),  penjarakan sosial (social distancing) dan  galakan berada dan bekerja dari rumah (work from home) ?

Irwan Ahmett: Kebelakangan ini saya cuba melihat dan menganalisa bagaimana muzium-muzium besar hampir diseluruh dunia melakukan kunjungan virtual, jadi orang boleh menggunakan teknologi dengan memakai peranti pengalaman 3 dimensi. Tetapi sayangnya trend sebegini turun mungkin orang mahu mencuba sekali dan bukan berkali-kali dan akhir mematikan minat orang melihat secara virtual kerana pengalaman virtual itu sangat sulit kerana generasi kita muncul dari pengalaman tertentu. Saya rasa persoalan ke depan yang terus relevan adalah hal-hal yang berkait dengan dimensi, ekologi dan perubahan cuaca kerana isu ini adalah perkara yang berpengaruh bagi manusia untuk sepuluh dan dua puluh tahun ke hadapan. Bagaimana seni masih punya peranan yang bisa terus berlanjut bahkan ketika wabak ini telah selesai.

Jika kita kembali kepada sejarah contohnya hal yang membuatkan kita tergoncang denga Covid-19 ini adalah hal-hal yang terbaik dari manusia itu runtuh. Saya tidak bisa berpegang dengan ibu saya, saya tidak bisa bertemu dengan anak, saudara lelaki saya malahan dengan isteri dan  saya perlu menjaga jarak jika berada di luar. Jadi perkara yang terbaik oleh manusia telah musnah kini dimana kita tidak boleh bicara soal moral yang sama. Walaupun orang tua saya sakit contohnya terkena virus saya tidak bisa menengok dia bererti moral kita dipertanyakan orang. Nah! Saya bukan beromantik tentang virus tetapi saya melihat ada dua tokoh penting seni rupa Indonesia yang melakukan perubahan besar dan pengaruhnya sampai sekarang.

Pertama adalah Raden Salleh (1811-1880) yang merupakan pelukis mendapat didikan Eropah pada akhir abad ke-19. Pengaruh-pengaruh Raden Salleh masih kuat implikasinya terhadap seni lukis di Indonesia saat ini. Aliran Raden Salleh adalah Romantisme dimana beliau membayangkan suatu kejadian itu secara berlebihan tetapi beliau secara habis-habisan menjual eksotisme Timur dalam catannya. Kedua, figura yang terkenal dalam bidang sastera iailah Chairil Anwar (1922-1949) yang meninggal dalam usia 27 tahun. Chairil Anwar berhasil mendobrak (mengegar) sastera di kepulauan Nusantara yang tadinya sangat mendayu-dayu menjadi revolusioner. Beliau mendobrak dan meluahkan kata-kata yang berani, gagah bahkan angkuh dimana pada masa itu memang diperlukan bahawa bangsa yang baru merdeka. Antara satu kata yang popular dalam karya Chairil Anwar dan sampai ke hari ini terus dirujuk ditengah-tengah situasi Covid-19 ini adalah “Aku ingin hidup seribu tahun lagi “. Kata itu menjadi begitu kuat sekali kerana kita mempunyai keinginan yang amat luar biasa tentang moral dan kehidupan.

Tetapi faktanya Raden Salleh dan Chairil Anwar bukan manusia luar biasa. Raden Salleh umpamanya terkena sifilis yang menyebabkan beliau tidak mempunyai anak kerana bakteria berada di  dalam tubuhnya. Pada abad-abad ke-18 seniman Eropah itu lebih Romantis  jika mereka berkemahiran seperti pelakon wanita pacarnya terdapat  dimana-mana, hidup secara bohemian dan gaya hidupnya terbuka membebaskan tubuhnya jadi penyakit sifilis itu lahir dari pencapaian seniman. Tentu yang mengejutkan ada kemungkinan bahawa Chairil Anwar itu meninggal juga disebabkan penyakit sifilis kerana dia sangat dekat dengan dunia pelacuran dan sajaknya yang terkenal ‘Bung Ayo Bung!’ (1945) dimana dijadikan motto kemerdekaan Indonesia rupanya adalah ajakan hubungan oleh pelacur atas hubungan badan dengan panggilan ‘Bung Ayo Bung’. Tetapi ‘Bung Ayo Bung!’ digunakan sebagai sahutan untuk melawan penjajahan, jadi saya fikir seniman itu unik dan mungkin disebabkan Covid-19 ini kita akan berekspresi seperti Chairil Anwar dan Raden Salleh yang masih diingati untuk membawa peradaban ke tingkat berikutnya.

Saya fikir dalam kualiti tekanan seperti ini kita memerlukan seniman-seniman yang menolak nilai lama dan sekarang inilah saatnya. Daripada contoh dua orang itu akhirnya membuat saya tidak takut dengan Covid-19 kerana bahaya juga sebagai seniman bahawa homosapien itu adalah makhluk mempunyai kemampuan luar biasa untuk  berimaginasi, jadi formula otak manusia itu lebih besar jika dibandingkan dengan monyet. Mengapa kita mempunyai kemampuan untuk membuat seni dan membayangkan seni adalah kerana kemampuan sel-sel otak kita itu mempunyai daya imaginasi yang luar biasa. Namun sayang kerana imaginasi itu kini menyerang semula kita dengan ketakutan dan imaginasi ketakutan inilah yang membolehkan pada tahun 1983 dimanfaatkan oleh rejim Suharto untuk menekan seluruh rakyat Indonesia untuk duduk berkurung di dalam rumah sewaktu terjadinya gerhana matahari. Hal ini menyebabkan kami percaya, ternyata kita sebagai seniman sedang dihukum oleh kemampuan imaginasi kita akibat proses evolusi yang telah terjadi sejak 200 ribu tahun dahulu.

Faizal Sidik: Di dalam siaran langsung ini juga kita membuka kepada audien untuk bertanyakan kepada panel dimana mereka hanya menulis soalan yang hendak ditanya di dalam ruang komentar. Di sini kita menerima dua soalan, pertama kita minta En. Nasir untuk menjawab soalan daripada Adeputra Masri.

Adeputra Masri: Pandemik ini secara langsung menukar praktis sesetengah seniman daripada medium tradisi kepada medium digital. Sejauhmana Balai Sen Negara, muzium seni mahupun kolektor bersedia menyimpan dan memulihara karya medium digital?

Nasir Baharuddin: Proses kepada penyimpanan akan bertukar kepada bentuk arkival secara data, maknanya kita tengok hari ini jika kita menyimpan gambar bukan lagi dalam album gambar tetapi kita telah menghantar ke aplikasi Cloud, Instagram dan lain-lain. Jadi lambakan-lambakan karya telah disalurkan diruang udara dengan Instagram, Facebook dan apa sahaja. Dunia virtual telah merangkumi kehidupan kita. Cuma apa yang hendak kita lakukan dari segi proses, perbekalan telah disediakan dan kita tidak perlu ada lagi portfolio dimana portfolio kita telah dimasukkan di dalam Cloud, Google Drive yang ada kini. Dahulu kita menyimpan dalam cakera keras (hard disc), cakera padat (compact disc atau CD), pemacu pena (pen drive) yang merupakan album bergerak secara sejagat bukan hanya ruang terhad dalam bilik itu sendiri. Sememangnya ia dicipta berbentuk sedemikian kerana kita bukan lagi berbincang berkenaan data lagi tetapi berkenaan dengan perkongsian.

Semua data sudah tidak mempunyai makna dimana sesiapa sahaja boleh kita kaitkan, contohnya hari ini kita ingin mengetahui sesuatu kita akan terus ke enjin pencarian Google samada mencari definisi, makna dan peranan semua tersedia. Jika kita lihat sistem bukan setakat seni, sistem pendidikan telah bertukar jauh dimana data-data realiti ini telah memberi satu tindak balas dan rekfleksi yang besar kepada sistem yang kita hadapi sebelum ini. Oleh yang demikian kita perlu bermesra dengan keadaan ini, kita boleh menghasilkan beribu-ribu lakaran dalam animasi, ilustrasi dan lain-lain untuk disimpan malah bukan setakat menyimpan tetapi melihat dan dinikmati oleh seluruh umat didunia ini bergantung kepada apa yang diminati. Ini adalah idea untuk membuat pilihan, kita sebagai penyedia kepada kerja seni, orang seni dan lainnya memberi sesuatu penawaran serta selagi ada permintaan itulah berlakunya proses pengkaryaan.

Cuma teknologi dan proses sahaja telah berbeza misalnya sebelum ini untuk memohon pekerjaan sesi temuduga secara bersemuka diadakan tetapi kini sesi temuduga dijalankan secara dalam talian. Keputusan temuduga boleh didapat secara serta merta tanpa perlu menunggu surat. Malah untuk untuk melakukan pekerjaan tidak perlu lagi perlu hadir ke pejabat, cuma orang-orang tertentu sahaja perlu ke pejabat dan yang lain bekerja di rumah serta berinteraksi apa yang kita lakukan samada berbincang dan bermesyuarat. Mesyuarat pula bukan lagi seperti dahulu yang dilakukan secara bebas namun kini dijalankan dengan mempunyai waktu yang terhad, topik yang lebih tepat untuk kita laksanakan. Ini adalah satu budaya yang perlu kita kuasai. Bagi sesetengah orang hal ini adalah sesuatu yang rahmat bagi mereka, iaitu suatu keadaan yang tidak disangka-sangka tetapi memberi keuntungan daripada perkara yang dilakukan sebelum ini. Dahulu mereka buat tetapi sukar dan lambat manakala hari ini kerja mudah malahan cepat, perkara ini berkaitan dengan kepantasan.

Dengan adanya sistem teknologi ini dapat dilakukan, seperti yang saya katakan diawal tadi tentang sistem asas ekonomi selagi ada permintaan pasti ada penawarannya. Jadi bagaimana kita boleh menawarkan sesuatu supaya ada permintaan?. Tetapi kini bentuk permintaan dan penawaran mempunyai bentuk yang berbeza dimana realitinya sistem telah membantu kita. Sistem pemfailan, data dan pemetaan data boleh diselaraskan tentang apa sahaja cuma perlu mempunyai kod-kod yang tertentu untuk melihat suatu benda tadi.

Faizal Sidik: Untuk soalan kedua ini kita minta kedua-dua ahli panel iaitu  Dr. Siti Zainon dan Irwan Ahmett yang datangnya daripada Intan Rafiza.

Intan Rafiza: Apakah pandangan panel tentang tanggungjawab sosial sebagai seniman dalam situasi sekarang?

Dr. Siti Zainon Ismail: Saya kira sejak zaman berzaman seniman itu adalah golongan manusia yang mempunyai tugas masing-masing cuma bidang sahaja yang berbeza. Perkara yang penting bagi saya adalah melihat dari sudut generasi dimana generasi muda sekarang lebih beruntung maksudnya di sini walaupun semuanya tida berpeluang untuk masuk ke akademi dan institut pengajian tinggi yang mereka gemari tetapi kita boleh menikmati ilmu itu daripada pelbagai-bagai wadah salah satunya dalam bentuk begini secara digital. Tadi kita katakan ada istilah-istilah yang kita ragukan dan hanya menekan komputer kita akan mengetahui definisinya. Peranan seniman pula bagaimana mereka boleh merakam kerja-kerja mereka dengan lebih mudah, menghubungi guru-gurunya jika mereka berminat. Jika dahulu kita datang ke kuliah dan mengumpul bahan-bahan untuk ke kuliah tetapi sekarang dengan kemudahan teknologi ini kita boleh berhubung bukan sahaja disekitar kita malah juga di luar negeri. Jika sebelum ini kita mahu berjumpa penyelia samada di dalam negara dan di luar negara maka kita pergilah ke Perancis dan Belanda misalnya untuk berjumpa penyelia kita tetapi sekarang kita boleh membuat kerja di mana kita berada.

Peranannya apa? Tentu sahaja teruskan sahaja kerja anda dan jika anda ada sahabat atau mentor jalinkan sahaja persahabatan itu. Perkara ini adalah lebih baik berpersatuan daripada keseorangan di studio dan terus mengadakan pameran. Jalinkan dengan kelompok seni-seni dengan apa sudah mereka lakukan, banyak kelompok seniman muda di sini.

Irwan Ahmett: Baik, sebetulnya tidak bisa digenerallisasi kerana pasti seniman mempunyai praktis dan kemahiran yang berbeza-beza. Saya rasa kondisi sekarang ini seni menjadi medium ekspresi yang sangat sempurna kerana orang tinggal di rumah dan tidak mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi dengan lebih baik atau mereka harus menjalani isolasi (pengasingan). Apa yang bisa dilakukan dengan seni?  Saya fikir kalau fungsi sosial itu bisa mendorong seni sebagai terapi kerana ternyata dalam beberapa masyarakat yang rentan (terdedah) misalnya pekerja imigran (asing), buruh imigiran ataupun korban (mangsa) kekerasan politik bahkan Pramoedya Ananta Toer (1925-2006) muncul kerana ada tekanan yang besar. Tidak semua orang punyai kemampuan untuk melakukan seni tetap tidak tahu cara, teknik dan mencapainya. Peranan seniman ini biasa menjadi penghubung diantara bagaimana masyarakat punya pengalaman sendiri. Contohnya saudara saya yang masih kecil dia harus sekolah di rumah dan waktu sekolah itu hanyalah sejam sehingga 2 jam. Walaupun tenaganya masih banyak tetapi di tidak boleh mencapai apa yang dinginkan. Tetapi jika kita menawarkan untuk melukis dan belajar besar dengan menggunakan kryonnya di sini fungsi memang diterima oleh masyarakat yang memerlukannya dan dia bisa boleh berekspresi melalui siaran langsung web atau webinar. Ini akan menjadi sebahagian daripada terapai masyarakat yang sedang menghadapi masalah sekarang ini.

Faizal Sidik: Terima kasih kami ucapkan kepada panel jemput, semoga segala ulasan, pendapat, pandangan dan saranan mereka difikir-fikirkan dan diambil tindakan untuk kita bergerak ke hadapan bukan sahaja kepada seniman, sasterawan dan budayawan malahan juga institusi-institusi seni budaya yang terkesan secara langsung atau tidak dalam mengharungi situasi ini. Terima kasih juga kepada audien dan peserta program yang melontarkan soalan, komentar dan sokongan rancangan ini. Untuk audien yang terlepas menonton, rakaman siaran langsung ini boleh ditonton semula di halaman video Facebook Balai Seni Negara dan saluran You Tube National Art Gallery Malaysia.











Faizal Sidik, 'Wabak Covid-19: Cabaran dan Masa Depan Seni, Sastera dan Budaya Di Nusantara', Senikini #29, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, ms 4-7.




2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam