Oleh:
Rozianah Risman,
Utusan Malaysia, Sabtu 22 September 2018
"Bahasa lukisan (visual) dan puisi adalah satu bahasa jiwa". Berdasarkan ucapan Sasterawan Negara, Daruk Dr. Usman Awang suatu ketika dahulu, cukup jelas memperlihatkan peranan Allahyarham dalam menghubungkan genre sastera iaitu puisi dengan seni lukis yang membentuk satu makna baharu dalam penciptaan dan penghasilan seni.
Ketika hayatnya, beliau begitu komited di dalam mengangkat dan menyatukan sasterawan dan seniman menerusi penganjuran pelbagai pameran seperti Manifestasi Dua Seni I pada 1970 dan Manifestasi Seni II pada 1972.
Justeru bagi mengenang dan menghidupkan semula usaha murni sasterawan unggul itu, Balai Seni Negara bekerjasama denga Yayasan Usman Awang dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menganjurkan Pameran Kasih Bunga Putih selama 20 hari bermula 21 Julai lalu.
Menurut kuratornya, Faizal Sidik, pameran tersebut bertujuan memberi peluang kepada masyarakat menghayati dan mengapresiasi hasil nukilan Allayarham yang turut diterjemahkan dalam bentuk seni visual atau lukisan.
"Pameran mengetengahkan manifestasi dua seni itu menggabungkan seni puisi dan lukisan yang dipersembahkan dalam satu ruang yang sama.
"Pamean ini diadakan bagi memperingati semula sasterwan negara berjiwa rakyat yang banyak memberikan mesej penting berkaitan kemanusiaan, keadilan masyarakat, perpaduan kaum, bahasa dan nilai-nilai kasih sayang menerusi puisi.
"Dalam pameran ini, kita bukan sahaja mengetengahkan seni dalam bentuk kata-kata atau puisi tetapi turut melibatkan bidang seni lain iaitu lukisan.
"Maknanya kita mengadaptasi karya puitis Allahyarham ke dalam bentuk lukisan menjadi sebuah naskah yang begiti bermakna," katanya.
Katanya, pameran seni yang mengambil tajuk sajak Bunga Putih karya Usman Awang itu dicirikan sebagai sebuah terjemahan antara semiotik yang mentafsir, menghurai, mengerti dan perluahan teks seni kata.
"Pertukaran daripada seni bahasa kepada lukisan mencipta ruang untuk penglihatan dan sentuhan sebagai tanda baharu yang mempengaruhi dan merangsang ruang rasa dalam menambah nilai persepsi seseorang terhadap bentuk dan rupa,"ujarnya.
Pameran yang berlangsung di Galeri Seni Aswara itu memaparkan karya-karya pelukis terkenal seperti Redza Piyadasa, (Tribute to Usman Awang II), Zakaria Ali (Selepasa Hujan, Cari Makan dan Guardians of Nasi Lemak), Sharifah Zuriah Aljeffri (Bosnia 22, Merpati Putih dan Lambang Keamanan), Siti Zainon Ismail (Jentayu Terbang ke Awan Biru dan Jentayu), Mohamad Hassan (Duri dan Api) dan Ariffin Ismail (Pesan Ayah dan Nihil).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan