Sabtu, 4 Ogos 2018

Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018 (Siri Perakam Waktu)



Kurator pameran: Faizal Sidik

Pengenalan
Pameran solo ke-8 oleh Haron Mokhtar yang bertajuk ‘Haron Mokhtar : Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu) merupakan siri terbaru karya-karya catan mutakhir dari yang dihasilkan pada tahun 2018. Berkarier sejak pertengahan 80 an Haron Mokhtar boleh diletakkan sebagai pelukis yang konsisten dalam memanifestasikan manifesto Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), 1971 yang menetapkan atau mengariskan salah satu prinsip iaitu hala tuju seni hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.

Kegeniusan orang Melayu dalam penciptaan dan ketukangan seni bina rumah di rantau ini yang merangkumi kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemoja serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) yang merupakan bahagian dari kawasan tamadun atau budaya Melayu dirakamkan oleh beliau sebagai pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu yang ulung pada suatu ketika dahulu yang memperlihatkan kekayaan, kehalusan, dan nilai-nilai peribadi orang Melayu itu sendiri.

Pameran bertajuk ‘Haron Mokhtar : Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu) adalah perlambangan atau simbolisme ketinggian warisan penduduk asal rantau ini dalam bentuk lebih 80  karya catan seolah-oleh sebuah ‘kapsul masa gergasi’ yang bukanlah ditanam di dalam tanah tetapi dihimpunkan dalam satu sebuah galeri dalam kita mengingati kehebatan sejarah dan warisan kita pada masa lalu dan pada masa yang sama untuk membina semula kekuatan dan kepintaran kita pada masa hadapan.

1980 an
Dekad 1980 an adalah dekad pembentukan awal Haron Mokhtar sebagai pelukis. Pada 1983 hingga 1987 Haron Mokhtar mengikut pengajian Diploma Seni Halus di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Teknologi Mara (kini UiTM). Beliau telah mula dikenali semenjak memenangi anugerah berprestij pelukis baru iaitu Anugerah Bakat Muda Sezaman yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara bagi mencukil pelukis-pelukis muda pada 1987. Bagi melayakkan beliau mengajar sebagai guru beliau telah menyambung pengajian dengan mengambil  Diploma Pendidikan Seni di institusi yang sama pada 1987 hingga 1988. Pada waktu ini kebanyakan karya-karya Haron Mokhtar bersifat realisme.

1990 an
Tahun-tahun 1990 an Haron Mokhtar terus membuat penerokaan stail yang tersendiri dalam mencari identiti. Hasilnya penerokaan terhadap seni bina rumah tradisi serantau telah membawa beliau menghasilkan dua buah pameran solo. ‘Siri Kaseh Sayang’ (1995) di Galeri Shah Alam adalah himpunan karya-karya beliau hasilkan antaranya semasa berkhidmat di Sarawak. Manakala siri ‘In Pursuit of Penang’ (1999) yang diadakan di The Artists Space, Hotel Concorde, Shah Alam pula adalah hasil kembaraan beliau dalam merakam rumah dan bangunan lama di Pulau Pinang.

2000 an
Walaupun telah memasuki alaf baru karya-karya Haron Mokhtar masih mengekalkan nilai-nilai warisan. Pengkajiannya yang lama terhadap rumah tradisi diperkembangan lagi dengan melukis dari sudut atas atau disebut sebagai sudut pandangan burung (bird eye view). Maka ‘Siri Atas Bawah Pusaka’ (2005) telah menghimpun sejumlah karyanya di galeri Pelita Hati, Kuala Lumpur. Pada akhir dekad ini beliau telah mendapat tugasan atau komisen untuk menyiapkan 22 keping lukisan untuk Koleksi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hasilnya himpunan catan nostalgia dan sejarah yang dinamakan ‘Siri Mengadap Sultan’ (2009) untuk Istana Mestika, Shah Alam telah berjaya disudahkan.

2010 an
Perarakan oleh golongan bangsawan seperti Sultan dan pembesar seperti yang terdapat dalam siri sebelumnya diperkembangkan oleh Haron Mokhtar dalam ‘Siri Warisan’ (2011) di galeri Pelita Hati. Selain itu siri ini terus menampilkan rumah-rumah Melayu tradisi, bangunan kolonial, alat pengangkutan awam dan cara hidup sosial masyarakat zaman dahulu. Pameran ‘Yesteryear Part I’ (Januari 2015) dan ‘Yesteryear Part II’ (April-Mei 2015) di Interpr8 Art Space, Publika, Kuala Lumpur pula kedua-duanya menghimpunkan 43 karya dokumentasi kepelbagaian seni bina dan budaya di negara ini.

2018
Dalam ‘Siri Merakam Waktu’ di Galeri Shah Alam pula mempamerkan sekitar 86 karya yang mempunyai 4 tema utama seperti Adat, Budaya dan Warisan, Haiwan, Figura dan Pengangkutan. Antara tajuk-tajuk karya yang terdapat dalam tema Adat, Budaya dan Warisan adalah seperti Siri Khazanah Bahari I-IX, Waris Baba Nyoya I-III, Pelamin Baba Nyoya dan Balik Haji I-II. Apa yang menariknya dalam siri baru ini dari karya sebelumnya  adalah Haron Mokhtar menerapkan perlukisan semula objek-objek memori yang mengingatkan dan mengimbau kenangan silam kita seperti mangkuk tingkat, pelas, pelita dinding, gasoline dan lain-lain sebagai rakaman budaya.

Kuratorial
Secara kuratorialnya keseluruhan pameran ini boleh dibahagikan kepada 3 segmen. Segeman satu dan dua di Galeri 1 mempamerkan karya-karya ‘Siri Perakam Waktu’ yang bersaiz besar dan bahan arkib. Disamping mempamerkan siri karya-karya Haron Mokhtar terbaru satu bahagian sudut kecil dikhususkan untuk mendokumentasikan kajian-kajian pelukis seperti lakaran, lukisan, katalog pameran, gambar-gambar dan objek-objek nostalgia seperti yang terdapat di dalam catan asal pelukis. Tujuan bahan ini dikongsi adalah untuk menyokong pengkaryaan pelukis selama ini hampir empat puluh tahun berkarier. Sesi temuramah turut dirakam bagi mendekatkan pengunjung dengan kisah dan pengkaryaan pelukis. Segmen ketiga iaitu di Galeri 2 pula adalah menempatkan karya-karya ‘Siri Perakam Waktu’ yang lebih kecil yang lebih bersifat kajian-kajian warna dan struktur dalam catan.

Pameran Solo Haron Mokhtar
1.  ‘Siri Kaseh Sayang’, Galeri Shah Alam (1995)
2.  ‘In Pursuit of Penang’, The Artists Space, Hotel Concorde, Shah Alam (1999)
3. ‘Siri Atas Bawah Pusaka’, Pelita Hati, Kuala Lumpur (2005)
4. ‘Siri Mengadap Sultan’, Istana Mestika, Shah Alam (2009)
5. ‘Siri Warisan’, Pelita Hati, Kuala Lumpur (2011)
6. ‘Yesteryear Part I’, Interpr8 Art Space, Publika, Kuala Lumpur  (Januari, 2015)
7. ‘Yesteryear Part II’, Interpr8 Art Space, Publika, Kuala Lumpur (April-Mei 2015)
8. ‘Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu), Galeri Shah Alam   
     (2018)

1 ulasan: