Oleh: Faizal Sidik
Pendahuluan
Penulisan ini meninjau
perkembangan dunia penerbitan seni tempatan atau lebih khusus lagi
penulisan-penulisan seni yang telah diusahakan oleh penerbit Balai Seni Negara
secara khusus dan juga dunia penerbitan seni tempatan dalam tempoh enaam puluh
tahun. Dalam tempoh enam dekad ini pelbagai usaha-usaha telah dilakukan dalam
mendekatkan masyarakat dengan seni melalui tulisan-tulisan yang telah
diterbitkan samada buku, majalah, jurnal, risalah dan lain-lain. Penulisan ini juga mengimbau
peristiwa-peristiwa penting dalam seni lukis yang tidak boleh tidak akan
melibatkan penghasilan penerbitan dan juga penulisan yang membincangkan
tentangya. Dalam menyelusuri dekad-dekad itu kegitan seni dan sastera seiring
dan sejalan dengan merakam manusia dan alam seninya.
1
Boleh dikatakan
penulisan secara serius seni lukis di Malaysia bermula pada tahun akhir 1950 an selepas kewujudan Balai Seni
Lukis Negara pada tahun 1958. Idea penubuhan sebuah balai seni lukis ini
bermula setelah pembentukan Majlis Kesenian Malaya yang diterajui oleh Tan Sri
Mubin Sheppard dan Frank Sullivan pada tahun 1958. Penubuhan sebuah balai seni
ini adalah ilham daripada Perdana Menteri Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman
Al-Hajj yang merupakan Perdana Menteri pertama Malaysia. Selepas negara
mencapai kemerdekaan, perkara yang penting diberi keutamaan oleh negara pada
masa itu adalah menyatupadukan rakyat. Semangat perpaduan dikalangan berbilang
kaum ini perlu disemai dan diterjemahkan
dalam pelbagai cara dalam menggalakkan integrasi antara kaum selepas kemerdekaan
tanahair.
Sebelum merdeka,
British telah membahagikan penempatan kaum-kaum di Malaya pada masa itu bagi
memudahkan pemerintahan mereka. Misalnya, orang Melayu sebagai petani di
kampung-kampung, orang Cina sebagai peniaga di pekan-pekan dan orang India
sebagai penoreh di ladang-ladang pokok getah. Hasilnya, hidup masyarakat pada
masa itu terpisah-pisah, inilah yang dikatakan dasar pecah perintah penjajah. Salah satu ideanya adalah penubuhan sebuah
balai seni yang mengumpul dan mempamer lukisan-lukisan yang bertemakan gambaran
sebegini dalam menanam semangat cintakan negara, rasa harmoni, kasih sayang dan
muhibbah dikalangan semua bangsa Malaysia. Selain visual lukisan
penerbitan-penerbitan yang menyokong pameran telah diterbitkan.
Sejarah penerbitan
pertama yang diterbitkan oleh Balai Seni Negara adalah katalog pameran pertama
yang dianjurkan bertajuk ‘Pertonjokan Pinjaman Negara Yang Pertama’ sempena
pembukaan rasmi bangunan pertama Balai Seni Lukis Negara pada 27 Ogos 1958 yang
bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia atau Matic pada hari ini. Dahulunya
bangunan ini merupakan bekas bangunan Parlimen Malaysia. Pameran ini
berlangsung selama empat bulan sehingga bulan November. Pameran pinjaman
nasional pertama ini adalah sebuah penerbitan yang menyenarikan daftar sebanyak
116 buah karya yang dipinjam daripada 39 pelukis dan pengumpul seni. Kulit
depan katalog ini berlatarkan sebuah lukisan oleh Cheong Lai Tong yang bertajuk
‘Ronggeng’, namun di sesuaikan dengan reka grafik yang berbentuk geometrik segiempat
tepat seolah-olah simbol kepada karya seni yang bersaiz empat segi.
2
Seni lukis Malaysia
memasuki fasa kemeriahannya sekitar tahuan 1960 an, ini adalah kerana bukan
sahaja kerana sebanyak 186 pameran berserta bahan penerbitan sokongan seperti
risalah dan katalog yang diterbitkan oleh Balai Seni Negara tetapi juga adalah
sokongan galeri swasta. Pembukaan galeri-galeri swasta di sekitar Kuala Lumpur
selepas kemerdekaan pada tahun 1960 an seperti Gallery Galaxy oleh Yin Hong
pada 1965 hingga 1973, Samat Art Gallery oleh Frank Sullivan pada 1966 hingga 1976, Gallery 11 oleh Chen Voon Fee dan Dawn Zain
pada 1968 hingga 1970, APS Gallery oleh persatuan Angkatan Pelukis Semenanjung
pada 1967 hingga 1969. Kewujudan galeri-galeri ini bukan sahaja memperkenalkan
sistem galeri swasta yang terawal di sini kepada pelukis-pelukis tetapi juga dengan
pameran-pameran yang diadakan sepanjang galeri ini beroperasi telah memperbanyakan lagi ruang-ruang pameran seni lukis. Disamping
itu membantu dan menghasilkan
penulis-penulis seni dalam memperbanyakkan lagi koleksi penulisan pameran
menerusi pameran solo dan berkumpulan yang diadakan.
Pameran Seni Lukis Malaysia sempena Commonwealth Art
Festival yang begerak ke bandar-bandar utama Eropah dan Australia pada sekitar
tahun 1965 hingga 1967 juga telah
memperkenalkan seni lukis moden Malaysia kepada khalayak antarabangsa. Pameran
yang dikuratorkan bersama oleh Donald Bowen dari Commonwealth Institute di
London dan Frank Sullivan semasa berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat Balai
Seni Lukis Negara ini dalam memaparkan karya-karya pelukis-pelukis Malaya
selepas kemerdekaan pada masa itu dan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia
pada 1963. Pameran ini telah berjaya memperkenalkan Malaysia menerusi seni
lukis menerusi paparan keindahan lanskap tempatan, penduduk yang pelbagai kaum
dan kekayaan hasil bumi. Secara tidak langsung pameran ini telah menjadi satu
tarikan pelancongan yang terawal negara kepada masyarakat luar terutamanya di
Eropah untuk mengetahui negara kita dengan lebih dekat lagi.
Di dalam risalah pameran ini telah menyenaraikan 102
karya oleh 29 pengkarya daripada koleksi institusi, badan korporat dan
pengumpul seperti Balai Seni Lukis Negara, Muzium Negara, Universiti Malaya, Maktab
Perguruan Ilmu Khas, Bank Negara Malaysia, Lembaga Letrik Negara, Frank
Sullivan, P.G. Lim dan koleksi pelukis sendiri. Antara muzium-muzim dan galeri-galeri
seni yang dijelajahinya adalah seperti Glasgow
Museum and Art Gallery, Scotland ( 18 September- 2 Oktober 1965), Dublin
Building Centre, Ireland ( 22 November – 17 Disember 1965), Commonwealth
Institute, London, England (15 Januari 1966), Cologne (26 April-22 Mei 1966),
Berlin (8 Julai – 6 Ogos 1966), Hamburg,
Jerman (9 September-23 Oktober 1966), David
Jones Gallery, Sydney, Australia (Oktober
1966), Rome, Itali (6 -13 November 1966)
dan St Etienne, Paris, Perancis ( April 1967). Pameran bergerak antarabangsa
ini diteruskan pada 70 an di Melbourne, Adelaide Australia dan Wellington, New
Zealand.
Sekitar tahun 60 an juga adalah tahun merupakan
tahun-tahun yang agak menarik dari segi pameran dan peningkatan dari segi
kualiti penerbitan bercetak seperti penerbitan katalog-katalog pameran yang diterbitkan Balai Seni Negara.
Misalnya melalui kerjasama dengan kedutaan dan badan kebudayaan luar seperti
Belanda, Perancis dan British Council di Kuala Lumpur, Balai Seni Negara
berjaya mengadakan pameran pelukis-pelukis besar seperti Pablo Picasso at Age 85 Years
(25 Oktober 1966-14 Januari 1967), Rembrandt:
Etchings & Drawings (5 April – 5 Mei 1968), dan Henry Moore (9 Disember 1968- 7 Januari 1969). Sungguhpun
karya-karya yang dipamerkan adalah karya reproduki semula dari karya asal namun
penghasilan katalog-katalog pameran ini telah Balai Seni Lukis setanding dengan
muzium-muzium seni luar pada masa itu.
3
Pada akhir 60 an dan awal 70 an dilihat dunia seni dan
sastera di sini sangat tajam kritikanya terhadap strategi politik kerajaan yang
hanya menekankan dan memokuskan kemajuan
dari sudut ekonomi sahaja. Kritikan ini
adalah kerana ketidakseimbangan pembentukan insan dari segi fizikal
(pembangunan) dan mental (kerohanian) seterusnya menghasilkan masyarakat rendah kesedarannya terhadap aspek
kebudayaan mereka sendiri. Perihal ini adalah kerana sejak merdeka budaya asing
dari luar sangat mendominasi kehidupan rakyat dan tiadanya kemajuan dalam mewujudkan
kebudayaan nasional. Natijahnya, pada 16 hingga 20 Ogos 1971 sebuah Kongres
Kebudayaan Kebangsaan telah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan
Sukan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Sekitar 60 pembentang kertas kerja dengan sejumlah seribu
hadirin telah hadir selama 5 hari dalam ber kongres. Himpunan kertas-kerja ini
telah diterbitkan dalam bentuk buku oleh penganjur dalam bentuk buku. Kongres
itu telah dibentangkan pelbagai usul-usul kesenian dan kebudayaan kepada pihak
kerajaan telah diadakan dari pelbagai tajuk seperti seni halus, seni muzik, seni
tari, seni teater, seni bina, seni kraf dan perfileman. Hasilnya tiga teras penting
daripada DKK ini telah ditetapkan iaitu menjadikan kebudayaan rakyat asal serantau
sebagai teras berbudaya, kebudayaan asing yang sesuai wajar diterima dan Islam
sebagai unsur penting dalam pembentukan budaya nasional.
Selepas polisi besar
ini lahirlah beberapa tindakan-tindakan yang seakan-akan ingin mencabar semula ketetapan
dalam DKK ini dan seterusnya telah mencetuskan polemik seni. Pameran Towards A Mytical Reality oleh pasangan
pelukis konseptual Redza Piyadasa dan Suleiman Esa pada tahun 1974 di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka
telah membina wacana seni yang belum pernah dilihat sebelumnya. Perdebatan ini
bermula setelah apa yang ditulis oleh Piyadasa di dalam manifesto pameran ini
dalam katalog pameran Towards A Mystical
Reality. Terdapat juga percubaan kedua-duanya bergabung dalam menolak DKK
dalam beberapa pameran seni lukis sebelumnya seperti pameran ‘New Scene’ (1969),
‘71’dan ‘Dokumentasi’ . Dalam Towards A Mystical
Reality mereka berdua cuba mengasimilasikan
budaya Timur dan Barat dalam perspektif baru seni sebagai sebuah kajian
saintifik dari sudut mental, meditatif dan mistikal yang terdapat dalam
falsafah Asia berhubung dengan amalan falsafah Taoism dan Zen.
Namun keberanian mereka berdua mempamerkan objek jumpaan di dalam konteks
galeri dengan menamakan itu adalah sebuah karya seni boleh dikatakan
mempersoalkan semula kewujudan penciptaan seni dan di sini bermulalah kritikan
seni lukis Malaysia yang malar segar hingga ke hari ini. Kritikan perbalahan
pendapat ini bermula apabila media arus perdana hanya membuat ulasan kenyataan
sahaja menerusi tulisan Raja Zahabuddin Raja Yaacob “ Wawancara Dengan Dua
Orang Pelukis Konseptual” (Julai 1974), penulisan Krishen Jit “Seni Lukis
Membosankan” di Berita Mingguan (4 Ogos 1974) dan tulisanya dengan nama pena
Utih di Sunday Times dengan tajuk “Toward a Mystical Reality” (4 Ogos 1974).
Majalah Dewan Sastera yang bereditorkan Usman Awang telah menyediakan platform
khusus untuk mempolimikkannya.
Persoalan
dan jawapan di dalam majalah ini berlarutan selama beberapa bulan pada tahun
1975. Tercabar dengan perasmi pameran Toward Mystical Reality iaitu Ismail Zain
agar memberikan komentarnya Siti Zainon Ismail telah menguji jati diri Piyadasa
dan Suleiman Esa sebagai pelukis Melayu-Islam menerusi “Pengaruh dan Identiti
dalam Seni Lukis” (Mac 1975). Namun Piyadasa telah menjelaskannya dalam “Satu
Jawapan Terhadap Tulisan Siti Zainon” (Mac 1975). Perdebatan menjadi semakin
hangat dan mendapat perhatian bukan sahaja dikalangan orang seni tetapi juga
orang sastera apabila Siti Zainon Ismail membidas mereka dalam “Satu Esei untuk
Piyadasa (Mei 1975). Piyadasa kembali menyerang dengan tulisan “Satu Jawapan
Terhadap Tulisan Siti Zainon, sebelum Saleh Ben Joned menulis secara sinikal
terhadap pameran itu dalam “Kencong dan Kesenian: Surat Salleh Ben Joned (Julai
1975).
4
Tahun-tahun 80 an
adalah refleksi daripada usul-usul yang telah dicadangkan di dalam Kongres
Kebudayaan Kebangsaan yang menyarankan
perlu adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai panduan dalam berseni dan
berbudaya. Industri penerbitan buku dan majalah yang dipelopori oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka sangat terkesan dengan perubahan itu. Selepas kelahiran majalah
Dewan Sastera pada Januari 1971 yang memuatkan karya-karya sastera kreatif seperti
tulisan puisi, cerpen, novel, drama, ulasan buku, kritikan sastera oleh
sasterawan malah majalah ini juga menjadi pentas utama dan perbincangan
dikalangaan seniman seperti pelukis dan pengarca dalam memperkatakan karya seni
lukis dalam ulasan dan kritikan seni.
Bercambahnya minat
masyarakat untuk membaca bukan sahaja sastera malah seni dan budaya, disamping
menyahut salah satu teras iaitu kebudayaan rakyat asal dan serantau dijadikan
teras dalam Kebudyaan Kebangsaan maka pada tahun 1979 lahirlah majalah Dewan
Budaya dalam menyahut seruan itu. Apa yang menariknya adalah kewujudan majalah
ini pada tahun 80 an telah memberi ruang kepada penulis-penulis seni untuk
menyumbang penulisan mereka kerana Dewan Budaya mempunyai ruang yang khusus
untuk penyumbang seni lukis seperti ruangan ‘Seni Lukis’, ‘Galeri’, ‘Kamar
Seni’ dalam mengulas dan membincangakan perihal lukisan. Apa yang menarik dekad
ini juga muncul sebuah majalah bacaan ringan melalui komik iaitu ‘Fantasi’yang
membicarakan juga persoalan seni lukis dengan memperkenalkan profail-profail
pelukis dalam setiap keluarannya
diterbit oleh Creative Enterprise bertahan sehingga pertengahan tahun
1990 an.
Walaupun peranan Dewan
Bahasa dan Pustaka memartabkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan melalui penerbitan-penerbitnya. DBP juga memberi ruang kepada
penulis-penulis seni dalam menghasilkan buku berbahasa Inggeris yang boleh
dianggap penting dalam membincangkan karya pelukis-pelukis tempatan dalam
bentuk cetakan buku dan bukan dalam bentuk katalog-katalog pameran pada dekad
sebelumnya. Buku Modern Artist of Malaysia (1983) ditulis bersama oleh
T.K. Sabapathy dan Redza Piyadasa dimana
idea penerbitan buku ini diilhamkan oleh SN Dato Baha Zain (Baharuddin Zainal)
semasa menjawat Timbalan Pengarah DBP tentang perlunya sebuah buku diterbitkan
dalam merekod seni lukis moden Malaysia untuk dikongi oleh orang asing untuk
mengetahui keunikan seni lukis moden Malaysia dengan tempat-tempat lain. Setahun
kemudian pada 21 Mei 1984, Balai Seni Lukis Negara telah berpindah ke bekas
Hotel Majestic di No. 1 Jalan Sultan Hishamuddin yang dirasmikan oleh Yang Amat
Berhormat Dato Seri Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-4.
Kemeriahan dunia
penerbitan pada sekitar dekad ini bukan sahaja giat dijalankan di Malaysia
sahaja tetapi juga di rantau Asia Tenggara. Melalui ASEAN Committee on Culture and Information (COCI) iaitu sebuah
badan di dalam pertubuhan negara Asia Tenggara atau Asean yang ditubuhkan dalam
mempereratkan hubungan negara anggota melalui kerjasama seni budaya. Melalui
pameran yang dijalankan jawatankuasa ini begitu aktif menerbitkan katalog
pameran-pameran yang dijalankannya setiap tahun untuk menggalakan perjumpaan
pelukis kecil, pelukis muda dan pelukis atau pengarca mapan seperti Pameran Kanak-Kanak ASEAN, Pameran Bengkel
Seni Lukis Belia ASEAN dan Pameran Seni Foto dan Seni Lukis Bergerak ASEAN.
Bengkel dan Simposium
seni arca seperti ASEAN Square Sculpture Symposium yang berlangsung
selama enam edisi yang telah diadakan
ibu negara Asia Tenggara setiap tahun dari 1980 hingga 1989 bukan sahaja telah berjaya
membina 6 taman-taman arca awam yang bertemakan perpaduan, kesepakatan,
keharmonian, kepelbagaian dan kekayaan anggota menganggotainya pada masa itu malah
juga 6 penerbitan menerusi bengkel itu. Lokasi taman arca ‘Laman Asean’
berhampiran dengan Tugu Negara, Kuala Lumpur misalnya adalah sebuah taman arca
awam yang dibina apabila Malaysia menjadi negara hos bagi ‘5th ASEAN Sculpture
Symposium’
5
Pengkajian pada awal
sejak tahun awal 1970 an hingga tahun 1990 an berkenaan seni dan kraf tradisi
di pelusuk negara termasuk negara jiran Asia Tenggara yang lain semasa menjadi Pengarah
Muzium Seni Asia, Universiti Malaya dan Balai Seni Lukis Negara membawa Syed
Ahmad Jamal dijemput karyawan tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka untuk
menghasilkan penerbitan buku. Hasilnya sebuah buku beliau yang pertama bertajuk
‘Rupa dan Jiwa’ (1992) telah diterbitkan oleh DBP. Buku ini dianggap penting
sebagai manifestasi penerapaan kebudayaan serantau seperti yang dianjurkan oleh
DKK di dalam berseni rupa.
Buku ini juga telah memberi pengaruh yang
cukup besar kepada pelukis dalam mencari, menerapkan dan menyambungkan identiti
kemelayuan di dalam pengkaryaan mutakhir mereka. Pada tahun 1979 semasa beliau
menjadi Pengarah di Muzium Seni Asia sebuah katalog telah diterbitkan sempena
pameran yang bertajuk ‘Rupa dan Jiwa’ yang menghimpunkan 500 artifak kesenian
Melayu. Manakala semasa beliau menjadi Pengarah Balai Seni Lukis pula pada
tahun 1994 sebuah katalog telah diterbitkan dengan tajuk ‘Rupa dan Jiwa:
Kesinambungan Tradisi dalam Seni Rupa Sezaman’ sempena pameran dengan tajuk
yang sama. Beliau telah diangkat menjadi tokoh Seniman Negara pada 1995 dengan
gelaran Datuk.
Di akhir tahun 1990
an adalah tahun-tahun yang agak panas dalam arus sosial-politik tanah air.
Pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 dalam kerajaan telah membawa gelombang
reformasi dalam sistem tadbir urus negara. Bahang kehangatan reformasi ini
bukan sahaja bukan sahaja datangnya dari anak-anak muda yang tidak berpuas hati
malah dari golongan seniman dan sasterawan turut keluar dijalanan untuk
menyatakan rasa protes mereka. Semburan air kimia, bahan api molotov koktel,
ayunan cota telah menjadi alat untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Banyak juga penerbitan seperti buku dan majalah yang
bersimpati dan ingin berkongsi pandangan
dengan persoalan sosial-politik semasa tanahair. Pada waktu ini juga lahirlah
majalah politik sezaman seperti Tamadun, Siasah dan lain-lain yang mesra
seniman dan sasterawan dalam mengeluarkan pendapat mereka pada masa itu.
Kemuncak
terjemahan resah dan gelisah daripada itu maka keluarlah novel politik satira
‘Shit’ (1999) oleh SN Shahnon Ahmad yang mengegarkan dunia kesusasteraan negara
kerana menggunakan metafora usus dan bahagian perkumuhan manusia sebagai
naratif kritikan beliau permasalahan ini yang kemudiannya diharamkan. Kumpulan
seni Matahati yang dianggaotai oleh anak-anak muda pula mengadakan ‘demonstrasi’
di Galeri Petronas. Pameran ‘PL’ (1999) dalah sebuah pameran yang menggunkan
maksud dunia penyiaran yang bermaksud cerita atau kandungan yang mempunyai
unsur yang menyentuh agama, sosial dan politik. Pameran ini yang konsepkan
‘seni zoo’ ini merujuk kritikan
kumpulan ini terhadap pergolakan sosial-politik semasa yang tidak menentu kesan
daripada kejatuhan ekonomi dan nilai matawang. Mereka mengajak pengunjung
melihat seni zoo yang dicipta oleh mereka seperti melihat tingkah laku manusia
yang tidak ubah seperti tabiat binatang
di dalam zoo.
Terdapat juga pelukis-pelukis
yang bergerak secara bersendiri dalam menyatakan pendirian mereka terhadap
reformasi ini seperti yang terdapat di dalam penerbitan katalog- katalog
pameran solo dan berkumpulan seperti Syed
Ahmad Jamal ‘?’(1998), Wong Hoy Cheong ‘Vitrine of Contemporary Event (1999), Faizal
Sidik dalam ‘Voice Without a Sound: King Rawana as the Desperado’(1999),
Fauzul Yusri Yusof , ‘Secret Agenda’(2002) adalah antaranya. Selain itu pelukis
kartun satira politik Zunar turut menghasilkan himpunan kartun-kartunnya dalam
buku ‘Kroni Mania’dan ‘Brain Negaraku’(1999) yang pernah disiarkan dalam
akhbar-akhar pembangkang seperti Suara Keadilan, Harakah dan portal berita
dalam talian.
6
Industri perbukuan
dan terjemahan Malaysia dalam memasuki alaf baru apabila Dewan Bahasa dan
Pustaka telah membahagikan peranannya. Pada September 1993 dengan unit
terjemahannya telah dipisahkan menjadi Institut Terjemahan Negara Malaysia
(ITNM). dibawah Kementerian Kewangan yang banyak menerbit buku-buku dalam
bahasa asing kepada bahasa Melayu dan dari bahasa Melayu kepada bahasa asing. Pada
alaf baru peranannya diperluaskan bukan sahaja menterjemah tetapi juga menerbit
buku-buku baru seperti yang dilakukan oleh DBP, maka namanya telah diubah
menjadi Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) yang menjalankan
perkhidmatan penerbitan buku seperti terjemahan, kejurubahasaan, suntingan,
latihan, sari kata dan sokongan. Kini ITBN mempunyai katalog-katalog buku bagi
kategori seni dan kreatif yang aktif menterjemah buku-buku seni dalam bahasa
asing kedalam bahasa Melayu dan membukukan hasil penulisan atau karya pelukis
untuk pasaran tempatan.
Memasuki alaf juga
adalah anjakan baru dalam bidang penulisan dan penerbitan, dengan kelajuan
teknologi maklumat daripada internet perkara ini telah membuka demokrasi
seluas-luasnya kepada penulis untuk menerbitkan penulisan-penulisan mereka
sendiri di dalam aplikasi-aplikasi yang disediakan secara percuma seperti blogspot, wordpress, tumblr dan
lain-lain. Kelahiran bloger-bloger yang bergerak secara sendiri ini telah
menafikan kuasa rumah-rumah penerbitan buku untuk menerbitkan tulisan-tulisan
mereka. Beberapa portal atau laman blog persendirian telah menjadi tempat
rujukan kepada peminat seni untuk mendapatkan maklumat terbaru pameran atau
forum seni yang diperbincangkan seperti kakiseni.com, visualcracker.blogspot
oleh Nasir Baharuddin, kebunjiwa.com oleh Hasnul Jamal Saidun antaranya aktif
melontarkan persoalan-persoalan seni semasa
dan mempunyai pengikut-pengikut mereka yang setia.
Kemunculan pendekatan
baru yang lebih global ini tidak pula menyaingi penerbitan seni bercetak malah
pada dekad ini juga dimeriahkan lagi dengan penerbitan-penerbitan baru seperti
majalah yang membangkitkan isu-isu seni terkini seperti ‘Tanpa Tajuk’ (2000-2001)
sebagai risalah seni rupa Malaysia hanya bertahan sehingga edisi kedua oleh
penerbit Kumpulan Artis Jambatan Baru dan Pustaka Cipta. Kemunculaan ‘Art
Corridor’ (2001-2002) oleh Yayasan TH Koid turut membantu perkembangan dan
pemasaran seni di Malaysia yang disokong oleh korporat. Majalah dwi-bulanan ini
dieditorkan oleh Sarah NH Volger ini bukan sahaja meninjau seni lukis tempatan
malah menghubungkannya dengan negara jiran seperti Singapura. Majalah keluaran
Balai Seni Negara pula iaitu ‘Set’ (2005-2007)
dan kemudian ‘Senikini’ (2008) adalah sebagai lidah rasmi Balai Seni Negara
dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini seni lukis tempatan terutamanya
pameran dan program anjuranya. Selain itu majalah Sentap (2005-2015)
yang diterbitkan oleh rumah seni secara kolektif oleh Teratak Nuromar adalah
majalah mewancanakan perkembangan seni kontemporari tempatan dan serantau
oleh-penulis-penulis jemputan.
Selain majalah yang
bersifat semasa dekad ini juga memperlihatkan adanya usaha-usaha dikalangan
pelukis yang menulis untuk menerbit sendiri penulisan-penulisan mereka. Buku terbitaan
Tinta Publisher iaitu ‘Tanpa Tajuk: Cerita-Cerita Seni Rupa’ (2009) oleh Tengku
Sabri Ibrahim adalah memoir, esei pendek, teks syarahan dan beberapa pernyataan
artis pilihan terhadap karya-karya yang dihasilkannya semenjak penglibatannya
sejak tahun 1980 an. Pelukis lain pula adalah seperti Siti Zainon Ismail 'Percikan Seni' (1993) Mohd Fuad Arif dengan ‘Seni Bukan Segala-galanya’ (2013) oleh
RA Fine Art, ‘Éuforia: Selonggok Retorik
Nur Hanim Khairuddin Tentang Seni’ (2010), Hasnul Jamal Saidun ‘Kocak di
Fukuoka’(2011), Safrizal Shahir ‘Ijtihad: Kumpulan Esei-Esei Seni’ (2012) oleh
penerbit Muzium dan Galeri Tunku Fauziah.
Himpunan
penulisan-penulisan seni dihimpun dalam buku ‘Naratif Seni Rupa Malaysia’
diterbit oleh Rogue Art mempunyai 3 jilid yang membincangkan tentang identiti,
kritikan dan infrastruktur seni di Malaysia. Terdapat juga penerbit-penerbit
universiti yang menerbitkan buku dan jurnal seni daripada penyelidikan oleh
pensyarah bukan sahaja untuk dijadikan sebagai medium pengajaran tetapi juga
untuk umum seperti ‘Inti’ Jurnal Perintis Pendidikan, Fakulti Seni Lukis dan
Seni Reka (UiTM) , ‘Wacana Seni’ Pusat Seni (USM), ‘Álam Cipta’ (UPM)‘Tirai
Panggung’ Jurnal Seni Persembahan, Pusat Kebudayaan (UM), ‘Kupas Seni’ Jurnal
Seni dan Pendidikan Seni (UPSI) dan ‘Gendang Alam’ Jurnal Seni, Fakulti
Kemanusiaan, Seni dan Warisan (UMS).
Kehadiran aplikasi
terkini dalam penyampaian maklumat seperti media-media sosial seperti facebook, whatapps, you tube, tweet, instagram dan
lain-lain telah menjadi platform baru kepada seniman dalam melihat dan
memperkatakan tentang seni secara dua hala dan interaktif. Pengguna akaun facebook dan whatapps misalnya
bukan sahaja boleh membaca penulisan seni yang dipautkan oleh rakan-rakan atau
dalam kumpulan mereka mengenai sesuatu tajuk atau isu tetapi juga mereka boleh
berinteraksi secara terus dengan pengirim dengan menghantar semula pendapat
atau pandagan mereka secara pantas. Video-video yang kirimkan kini seperti klip
sesebuah pameran telah mengantikan gambar-gambar pegun dalam memperdalamkan
minat pembaca untuk mengetahui ruang sebenar yang bersifat maya. Seni kini boleh berada dihujung jari dan
boleh dibaca dimana-mana sahaja.
Penutup
Sehingga hari ini
dunia penulisan dan penerbitan di Malaysia sedang rancak berkembang, walaupun
terdapat cabaran-cabaran yang dihadapi seperti kekurangan dana namun kini telah
terdapat pendektan yang lebih pantas dan
mudah bagi sesuatu penulisan itu diterbitkan. Penggunaan penerbitan secara elektronik
seperti e-book, e-catalogue, e-magazine, e-journal dan sebagainya telah merancakan lagi penerbitan buku,
katalog, jurnal dan yang lain-lain yang bukan sahaja boleh dicapai pembaca
tempatan tetapi lebih global.
Faizal Sidik, '60 Tahun Penulisan dan Penerbitan Seni di Malaysia' Dewan Budaya, April 2019, ms 19-23.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan