Selasa, 13 Februari 2018

Lebih 866,000 kunjungi muzium Melaka

Liana Sahabudin & Nurhasanah Balqis Norazman, 'Lebih 866,000 kunjungi muzium Melaka', Akhbar Melaka Hari Ini (MHI), Jumaat, 9 Februari 2018 . ms 5



BANDA HILIR 8 Feb- Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan menjadi tuan rumah Hari Muzium Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Program menghimpunkan kira-kira 800 rakan-rakan muzium seluruh negara itu akan berlangsung pada 7 hingga 13 Mei depan.

Pengurus Besar PERZIM, Datuk Khamis Abas berkata , ia turut melibatkan rakan muzium dari Singaura, Aceh, Palembang dan Pekan Baru dari negara seberang itu untuk meraikan sambutan berkenaan memandangkan Melaka kali ke-3 menjadi tuan rumah.

Menurutnya, terdapat 45 gerai pameran sepanjang sambutan itu selain aktiviti-aktiviti harian seperti sukan bersama masyarakat, aktiviti keagamaan dan sebagainya.


"Sehungga kini terdapat lebih 20 muzium di Melaka yang bernaung di bawah Persatuan Muzium Malaysia. "Mengikut rekod, kita mendapat hampir 8 juta pelawat ke muzium sama ada berbayar atau tidak."


"PERZIM menduduki tempat kedua dengan jumlah pelawat keseluruhan sebanyak 866,000 di mana yang berbayar sebanyak 765,000 pelawat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Pameran Faizal Sidik-Catan Songket di Balai Seni Lukis di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengerusi PERZIM, Dato Wira Hamdin Abdollah.

Jelas Khamis, tahun ini PERZIM menyasarkan peningkatan sehingga 8.5 juta pelancong akan mengunjungi muzium-muzium di Melaka yang bernaung di bawah persatuan itu.

"Kewujudan muzium-muzium ini bagi mendekatkan anak-anak muda supaya mereka berminat untuk datang ke muzium selain memperkukuhkan jati diri dan mengenali sejarah-sejarah negeri atau negara kita," katanya.

Pada masa sama, Khamis berkata, pameran solo iti merupakan elemen baru ditonjolkan berbanding pameran-pameran solo sebelum ini .

"Kali ini, kita bawa elemen songket untuk diperkenalkan kepada orang ramai, ini satu pameran unik dan berbeza di mana pelukis mempamerkan 50 koleksi seni berupa catan bermotif songket, arca dan lukisan.

"Catan songket beliau dihasilkan sejak 2010 hingga 2016 yang merupakan seni tekstil tradisi Melayu terkenal di seluruh Malaysia menggunakan elemen geometrik dalam menghasilkan corak," katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan