BARISAN Kurator Balai Seni Visual Negara bagi pameran Pemetaan (dari kiri) Mohamad Majidi Amir, Faizal Sidik, Baktiar Naim Jaafar, Tan Hui Koon dan Syahrul Niza. |
Oleh: Siti Salmiah A Hamid dan Nor Hanisah Kamaruzaman
Harian Metro. Jumaat, 27 Mei 2016
Sewaktu menjelajah beberapa penempatan utama masyarakat tempatan seperti Tanjong Malim, Ulu Bernam, Taiping, Pulau Pangkor dan beberapa tempat di Pahang pada awal 1880-an, pegawai British terutama Frank Swettenham, George Gilles, William Samwell dan William Daniel melukis serta melakar pelbagai penemuan yang kemudian menjadi rujukan penting mereka.
Landskap yang dirakam termasuk lakaran figura, tumbuh-tumbuhan, pokok besar dan renek, bukit-bukau dan gunung-ganang serta laluan sungai (gambar) yang ditemui ketika pengembaraan. Ia menjelaskan betapa pentingnya lokasi pemetaan dalam geografi negara ketika itu.
Kebanyakan lakaran bertema landskap tempatan yang hanya dicatat menggunakan pensel dan cat air menerusi pemerhatian mereka ketika menjelajah kawasan baru seperti Sungai Perak, Sungai Bernam dan Sungai Pahang.
Aktiviti itu kemudian mencetuskan aliran seni lukis di negara ini yang kewujudannya memberi impak besar kepada masyarakat.
Meskipun kelahirannya merujuk pada catan dan lakaran tidak berdakwat, maklumat itu memberi pendedahan mengenai sejarah tanah air terdahulu.
Revolusi seni lukis negara sebenarnya bercambah sejak 1800-an lagi. Berdasarkan tulisan dan catatan penulis dan sejarawan, seni lukis moden negara bermula pada awal abad ke-19.
Susur galur seni lukis moden boleh dilihat ketika bermula era kolonial hingga ke era pramerdeka dan pasca merdeka yang penuh dengan pelbagai peristiwa.
Sewaktu era kolonial, paparan gambar menjurus pada dekad 1880-an. Karya yang dipamerkan di Balai Seni Visual Negara (BSVN) bagi segmen ‘Pembentukan’ 1800-an antara karya terawal seni lukis moden dalam simpanan galeri itu.
Kurator BSVN Syahrul Niza Ahmad Zaini berkata, pameran pemetaan sejarah itu membawa penonton menilai peristiwa yang berlaku di Tanah Melayu.
“Mengenali dan memahami peristiwa melalui lakaran sejarah awal ini mampu membuka pandangan masyarakat menilai kepentingan sejarah awal negara.
“Catatan yang dihasilkan membuktikan kehadiran British di Tanah Melayu dan wilayah Timur. Lakaran itu juga berkemungkinan sebagai cara pemetaan bagi tujuan ketenteraan sewaktu British menjajah Tanah Melayu,” katanya.
‘Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society’ (JSBRAS), Jilid 15, 1885, karya George Gilles bertarikh 12 April 1885 mungkin dihasilkan sewaktu dalam perjalanan penulis di antara Sabak dan Changkat Bertam. Ia menunjukkan Frank Swettenham sedang meneliti carta bersama Lister atau Jones.
“Sama seperti pengembara Barat lain, William Samwell menggunakan kemahiran melukis untuk merakamkan fenomena alam tropika sebagai catatan peristiwa ketika kunjungannya ke Borneo.
“Menerusi medium cat air, beliau memaparkan kehidupan di rumah panjang serta merakamkan watak dan personaliti lelaki Dayak sebagai sebahagian catatan diari visualnya.
“Penulisan ekspedisi Frank Swettenham yang dicatatkan dalam ‘Journal Of The Pahang Journey’ pula mengisahkan pertemuan pegawai British itu dengan Che Ali yang dihantar Yam Tuan Pahang untuk berjumpa pegawai Inggeris itu di Penjum pada 24 April.
“Che Ali yang turut dikenali dengan panggilan Wan Ali membenarkan Frank Swettenham menggunakan botnya dan tiga bot lain untuk membawa 25 ahli kumpulan ekspedisi itu,” katanya.
Penubuhan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pada 1826 turut mewujudkan impak dalam sistem pendidikan dan pembangunan ekonomi terhadap masyarakat tempatan.
Pertembungan budaya Timur dan Barat dilihat menjadi asas penyebaran aktiviti seni lukis dalam kalangan masyarakat tempatan sama ada Melayu dan imigran Cina.
Sejak dekad 1900, Pulau Pinang mencatatkan sejarah penubuhan persatuan seni lukis yang sangat aktif iaitu The Penang Impressionist, Penang Chinese Art Club atau The Ying Ying Art Society, Penang Art Society, Penang Art Teacher Council, Thursday Art Group dan Penang Art Teacher Circle.
Di Kuala Lumpur, United Artist of Malaysia yang ditubuhkan pada 1929 menjadi batu loncatan kepada perkembangan pesat seni lukis ketika dekad 1950-an dengan tertubuhnya Wednesday Art Group pada 1952 oleh Peter Harris dan Majlis Kesenian Melayu pada 1956 yang ditukar namanya kepada Angkatan Pelukis Semenanjung di bawah pimpinan Mohd Hoessein Enas.
Selangor menerima tempias perkembangan positif itu apabila R M Dawson mempengerusikan Art Society pada 1954 dan di Negeri Sembilan pula Arts Society ditubuhkan pada 1965 oleh Loke King Loong.
Penubuhan Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura oleh Lim Hak Tai pada 1938 menjadikan ia akademi seni lukis terawal di Malaya sejak 1950 yang membolehkan ramai pelukis dari Tanah Melayu menimba ilmu di situ.
Barisan pelukis serta sejarah seni lukis moden Malaysia turut didukung sejarawan dan penulis seni seperti Redza Piyadasa, T K Sabapathy, Syed Ahmad Jamal, Yeoh Jin Leng dan Dr Zakaria Ali berdasarkan monumen seperti lukisan dan dokumen bahan arkib.
Pada dekad 1920-an, nama pelukis seperti O Don Peris yang lahir di Sri Lanka, Low Kway Song yang lahir pada 1889 dan menetap di Melaka dan Yen Lang atau Yong Mun Sen antara pelopor seni lukis moden di Malaysia.
Antara dekad 1920 hingga 1930, kemunculan persatuan dan nama pelukis penting seperti Abdullah Ariff, Lee Cheng Yong, Tay Hooi Keat, Kuo Ju Ping dan Khaw Sia dicatatkan sebagai pelukis Malaya dengan pembuktian.
“Pameran Pemetaan bertujuan memperlihatkan sejarah seni moden Malaysia sehingga ke kontemporari.
“Segmen ‘Pembentukan’ dari 1900-an hingga 1960-an merangkumi 230 karya meliputi lukisan, catan, cetakan, arca dan instalasi.
“Malah, setiap penceritaan mengenai artis dan kumpulan seni turut dibuktikan melalui bahan arkib seperti majalah, jurnal, catatan, akhbar, surat dan gambar bagi memperincikan kebenaran mengenai pelukis.
“Justeru, kisah mengenai seorang pelukis masih boleh disemak dan diketahui dengan terperinci menerusi bahan sokongan yang turut memainkan peranan.
“Lukisan pada 1900-an didukung ramai pelukis dari Tanah Besar China kerana ketika mereka dibawa bekerja atau berhijrah ke Tanah Melayu, mereka turut membawa asimilasi budaya negara asal.
“Sebahagiannya turut mempunyai pendidikan dalam seni yang dipelajari di negara asal dan di luar negara. Justeru, mereka turut membuka kelas seni sewaktu berhijrah ke Tanah Melayu,” kata Kurator BSVN, Baktiar Naim Jaafar.
Penemuan lukisan dan bahan berkait dengan seni yang terselamat daripada Perang Dunia Kedua turut dijadikan bukti penting bagi pembinaan fakta sebagai pengesahan teori.
Penerbitan akhbar:
Penerbitan akhbar:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan