Sabtu, 1 Februari 2014

Dialog Bakat Muda Sezaman Edisi ke-23 (Bah.1)

Susunan oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2013), 'Dialog Bakat Muda Sezaman Edisi ke-23', Senikini #19, Isu 2, , ms 4-6, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.


Program  siri dialog  Bicara Seni ini telah dianjurkan oleh Bahagian Jaringan dan Pendidikan Balai Seni Lukis Negara pada 19 Feb 2011 sempena Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2010 (20 Nov 2010 - 20 Mac 2011) yang di pengerusikan oleh kurator pendidikan Tan Hui Koon dan dan dimoderatorkan oleh kurator pameran Majidi Amir.



Moderator Majidi Amir bersama juri BMS 2010 Faizal Sidik dan Tengku Sabri Ibrahim

Tan Hui Koon: Terima kasih diucapkan kepada saudara dan saudari yang sudi hadir pada acara Bicara Seni Bakat Muda Sezaman (BMS) 2010. Di petang yang berbahagia ini kita akan memperdengarkan senario BMS yang berlaku pada edisi kali ini dengan tajuk ‘Apakah Pendirian Saya’ atau ‘Where Do I Stand’. Ahli panel kita kali ini terdiri daripada ketua juri  Tengku Sabri Tengku Ibrahim, wakil juri dari Balai Seni Lukis Negara, Faizal Sidik serta pemenang-pemenang  iaitu Haslin Ismail, Diana Ibrahim, Tan Nan See dan Helmi Azam Tajol Aris serta moderator Majidi Amir dipersila untuk meneruskan perbicaraan.

Majidi Amir: Assalamualaikum. Sebelum itu saya ingin memberitahu bahawa saya mendapat tugas untuk memoderatorkan acara bicara seni  ini di minit-minit terakhir kerana kurator Erry Arham yang mengusahakan pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS) pada edisi tahun ini tidak dapat menghadirkan diri kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun saya akan cuba menerajui perbincangan kita ini. Sebelum ini kita ada mendengar dan melihat empat orang pemenang-pemenang bakat muda tahun ini membicarakan pendirian mereka menerusi karya-karya yang dipertonton dan diperbincangkan. Kepada penonton yang hadir di auditorium ini kita mengucapkan selamat datang kepada  juri Tengku Sabri Ibrahim yang masih sudi memberi pendapat dan melibatkan diri dalam program bakat muda dan juga dalam seni rupa Malaysia (SERUM) , Zainol Abidin Sharif (Zabas), Nasir Baharuddin, Badrulhisham Tahir dan juga bekas pemenang yang lalu seperti Bayu Utomo Radjikin, Roslisham Ismail, Yap Sau Bin setakat yang saya dapat lihat-lihat. Terlebih dahulu saya bagi pihak Balai Seni Lukis Negara (BSLN) ingin menjawab beberapa persoalan dalam penganjuran Bakat Muda Sezaman (BMS) tahun ini yang merupakan sesuatu yang hangat diperkatakan kerana formatnya berubah lagi seperti dalam tulisan Tengku Sabri dalam buku “Sezaman: BMS 10” yang melihat daripada tahun 2000 sehingga sekarang. Saya ingin mengimbau kembali sejarah acara ini sebab saya terlibat dalam BMS sejak 1998 lagi. Format tahun 1998 saya kira semua anda maklum bahawa kita menghadapi masalah dengan lambakan karya-karya yang tidak dituntut selepas sesi penghakiman kerana ruang simpanan BSLN yang terhad. Pada tahun 2000 pula kita melakukan rombakan lagi dengan beberapa pengiat seni termasuklah dengan mendiang Joseph Tan, Ramlan Abdullah, Hasnul Jamal Saidun dan beberapa orang lagi untuk menaikkan umur dari 35 hingga 40 tahun iaitu sama dengan usia belia di negara ini serta mengadakan format temuduga terbuka. Persoalan mengapa format temuduga terbuka ini timbul adalah kerana daripada perbicangan dengan panel tersebut kita mendapati yang artis menghadapai masalah apabila berbicara tentang pengkaryaan mereka, malah daripada tahun 2000 hingga kini dalam laporan juri perkara yang sama sering dibangkitkan dalam katalog-katalog BMS yang lepas jika di perhalusi masalah persembahan artis di luar pengharapan juri-juri contohnya persembahan penerangan mereka tidak teratur. Saya masih teringat lagi semasa dialog pada 2006 Badrulhisham mengatakan masalah artis adalah kurang membaca dan kita akan membincangkan perihal ini sebentar lagi dimana kita dapati perkara ini sememangnya berlaku. Adakah kita mahu bermula dengan laporan penjurian atau pengalaman BMS ini sendiri dimana pendirian mereka?  

Tengku Sabri Ibrahim: Mana-mana

Majidi Amir: Berdasarkan pengalaman dan berasaskan laporan juri yang mana kebanyakan mereka berpendapat ia tidak perlu lagi dijalankan lagi secara pertandingan. Disini saya membangkitkan semula penulisan Tengku Sabri yang mengatakan perlukah acara ini diadakan pertandingan? Dimana beliau melihat penganugerahan lebih penting dan juga  beliau membandingkan dengan ‘Young Talent President Award’ Singapura. Saya mengikuti ‘Young Talent President Award’ sebenarnya pertandingan ini adalah dua perkara yang berbeza. ‘Young Talent; adalah suatu pertandingan dan ‘Presidet Award’ adalah suatu anugerah dan format yang digunakan oleh BMS sebenarnya adalah begitu namun ada sedikit perubahan oleh urusetia yang baru. Malah hadiahnya juga dinaikkan itu adalah hasil daripada rundingan para kurator BSLN. Saya hendak memulakan dengan ketua juri kita untuk memberikan kita sedikit pandangan tentang proses penjurian dan hasil daripada apa yang didapati dalam edisi BMS 2010, kita persilakan terlebih dahulu Tengku Sabri ?

 Tengku Sabri Ibrahim: Terima kasih saudara moderator dan selamat petang kepada semua. Sebentar tadi kita telah mendengar dimana artis-artis muda kita berdiri (stand). Apabila saya diminta untuk menjadi dan menganggotai panel BMS ini saya ternampak beban yang besar di hadapan, beban ini merupakan suatu perkara yang sudah-sudah, sebagaimana persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh saudara moderator tadi samada perlu ada pertandingaan atupun anugerah. Saya rasa ia perlu berbalik kepada institusi samada ia perlu menganjurkan pertandingan atau anugerah ataupun tidak. Soalnya artis muda memang memerlukan tempat, peluang dan semacam suatu pengiktirafan dan kebetulan kita mempunyai Bakat Muda Sezaman. BMS jika saya tidak silap ia telah dianjurkan sejak tahun 1970 an dan berterusan setiap tahun dan saya kira ia diilhamkan daripada ‘Young Contemporaries’ yang berlaku di London yang diadakan juga pada setiap tahun oleh pelajar-pelajar yang baru sahaja keluar daripada institusi pendidikan bukan dianjurkan oleh institusi seni disana dan jika BSLN mahu menganjurkan sedemikian ia amatlah dialu-alukan. Namun soalnya sezaman, artis dan kehendak persekitaran itu sendiri telahpun berganjak dan berubah kepada suatu persekitaran yang lain. Contohnya satu yang dipersoalkan perlukah seni kontemporari itu diperagakan dan dipamerkan di dalam institusi seperti ini? Ia  merupakan satu persolan yang lain pula. Bagaimanakah pula dengan bentuk-bentuk lain sebab bentuk-bentuk telah berubah sehinggakan jika kita menganalisa penjurian tempoh hari kita tidak dapat berpegang kepada pengkategorian sebab pecahan kategori ini telah dimansuhkan dan berubah, jadi berlaku banyak subjektiviti di situ yang karya catan bagaimana (dinilai) dan video pula bagaimana seharusnya, jadi kita tidak boleh lagi berpegang definisi, pandangan, pengkategorian malah apakah maksud itu seni itu sekalipun. Jadi dalam pada itu kami (juri) mendekati dan cuba mendefinasi seni untuk BMS ini sebagai satu aktiviti memberi makna yang kami terapkan, kategori-kategori telah dipecahkan dan kami melihat kepada makna dan karya itu adakah ia berjaya dari segi daya komunikatif samada bolehkah ia berhubung dan memberitahu sesuatu. Perkara ini juga memberi cabaran yang besar kepada semua orang termasuklah pelukis-pelukis itu sendiri malah jika kita meninjau semula sejarah contohnya pada tahun 1999 BSLN telah mengadakan satu pameran retospektif bagi BMS iaitu ‘Imbasan Bakat Muda Sezaman’ dimana di dalam laporan penulisan kuratornya iaitu Zanita Anuar telah mengidentifikasikan 3 perkara yang boleh memperhubungkan dan memperkembangkan ataupun setidak-tidaknya memberi hala tuju dalam seni rupa Malaysia. Pertamanya beliau mengkaitkan BMS ini dengan institusi pendidikan dan tempat kita belajar. Tentu sekali soal tempat pendidikan seni wajar diambil kira yakni di tahap mana pelukis-pelukis ini perolehi di institusi itu umpamanya dari segi bagaimanakah kokurikulunya dan semuanya ini terpancar di dalam karya-karya pelukis muda ini secara tidak langsung dan dimanakah mereka berdiri. Kedunya adalah mengrekontruksi budaya dimana beliau ada mengatakan “rekonstruksi semula imej budaya” . Hal  ini telah berlaku adakah pelukis-pelukis muda ini bersungguh-sungguh untuk menguasai perkara itu dan ini adalah persoalan tentang penciptaan, perbincangan mengenai identiti kita. Hasilnya berubah dan beranjak dengan bermacam-macam teknologi dan juga adakah kita prihatin tentang apa yang telah berlaku. Semuanya ini muncul dalam aktiviti pemberian makna tadi, ini bermaksud artis-artis muda bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang telah berlaku dan seharusnya mereka mengembalikan semula kepada masyarakat sebab seni itu adalah perihal tentang komunikasi. Ia perlu ada audien jadi bagaimanakah tindakbalas audien boleh berlaku dengan apa yang artis persembahkan atau setakat mana yang dinyatakan. Soal yang ketiga Zanita juga ada menyebut tentang eksplorasi bahan. Kita mengakui didalam setiap edisi BMS terdapat penerokaan bahan-bahan baru dan tambahan pula jika kita lihat terdapatnya minat dalam meneroka media elektronik dan perkakasan (apparatus). Ia adalah sesuatu yang sihat untuk seni disini namun persoalannya adakah ia menunjukkan tentang kemajuan seni rupa kita dan jika kita lihat banyak karya-karya kita yang ekspresi dan ghairah namun jangan kita lupa hubungan kita dengan pendidikan tadi.  Jika kita perhatikan kesatuannya (unity) masih boleh dipersoalkan berkenaan subjek, isi dan bentuk iaitu perihal yang asas dalam pengkaryaan banyak yang dibuat sambil lewa. Senario inilah yang berlaku dan bukan kita mahu menyalahkan kepada sesiapa tetapi ini adalah tanggungjawab semua orang untuk memikirkannya. Institusi pendidikan seni seharusnya mereka melihat perkara ini dalam memperkemaskan kokurikulum mereka manakala penulis seni atau pemberita juga harus mempelajarinya dengan lebih baik, jadi itulah yang saya rasakan pada pandangan awal.

Majidi Amir: Saya amat tertarik kerana Tengku Sabri melihat daripada laporan daripada ‘Imbasan Bakat Muda Sezaman’ oleh Zanita Anuar. Kesinambungan daripada pameran itu Zanita ada mencadangkan tema pameran iaitu Alt Ctrl BMS pada kali ini. Sebenarnya pada saya ia bukanlah cuma hanya tema tetapi disebaliknya beliau memberi saranan dalam kita menganjurkan BMS ini dimana bermaksud pelukis harus sedar dan melihat apakah karya yang ingin memasuki BMS itu adalah sama dengan karya yang dipamerkan dan dipasarkan di galeri-galeri swasta, itulah yang dimaksudkan Alt (Alternate). Manakala Ctrl (Control) bermaksud jika sesuatu karya yang ingin diterokai seperti yang diperjelaskan oleh Tengku diawal tadi perlu mempunyai  kawalan, jika mereka merasakan layak, maka  BMS adalah pentasnya dan saya ingin menambah ini adalah satu panduan sebagai pelukis memikirkannya sebelum memasuki (Enter) BMS. Kita beralih pula kepada juri Faizal Sidik kerana beliau adalah merupakan salah seorang pemenang BMS yang lalu untuk menceritakan pengalaman beliau, kerana beliau dirasakan masih muda dan juga masih lagi layak untuk masuk BMS ini.

Faizal Sidik: Terima kasih. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Seperti yang dinyatakan oleh moderator saya sebelum ini sememangnya pernah memasuki pertandingan BMS sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2004 dimana pada edisi BMS 2000 saya di anugerahkan sebagai pemenang Hadiah Saguhati. Saya mengakui BMS adalah satu pertandingan yang luar biasa bagi pengiat muda iaitu mereka yang baru keluar daripada institut-institut pengajian kerana BMS adalah satu medan tempur, tempur adalah bermaksud bagaimana ingin melihat sejauhmana kemahiran dan kehandalan ilmu seni apa yang mereka pelajari di institusi pengajian tinggi. Terdapat juga pertandingan seumpamanya yang diadakan diperingkat negeri seperti Open Show yang diadakan di Galeri Shah Alam, di Pulau Pinang dinamakan ‘Bakat Muda Pulau Pinang’ dan baru-baru ini yang diadakan oleh kumpulan artis iaitu Malaysia Emerging Artist Award (MEA). BMS bagi saya adalah pertandingan peringkat tertinggi dalam karier sebagai artis muda, maksudnya apabila berjaya memasuki pertandingan ini dan mempamerkan karya mereka di dalam galeri ia adalah satu penghormatan besar dalam pengkaryaan mereka dalam seni lukis itu sendiri. Terdapat juga pertandingan-pertandingan seumpama ini lain diperingkat antarabangsa seperti ini seperti Turner Prize dan jika anda perhalusi BMS sebenarnya mengambil konsep Turner Prize pada awalnya pada tahun 1960 an Turner Prize bukan dijalankan secara pertandingan tetapi sebuah anugerah dimana Tate Modern telah menamakan artis-artis yang terpenting untuk diberi anugerah penghormatan. Artis-artis yang telah menang tadi seperti yang kita tahu seperti Damien Hirst, Chapman Brothers, Anthony Grombley dan lain-lain adalah antara nama-nama yang diakui di dalam kelompok Young British Artist (YBA) telah membawa budaya baru London jika kita lihat sebelum aktiviti seni yang sibuk berlaku di New York namun setelah lahirnya YBA ini telah merubah senario seni lukis di London dan jika anda melihat semula atau melihat sejarah YBA terdapat sokongan kolektor dalam menaikkan mereka iaitu Charles Saatchi. Beliau adalah kolektor yang penting dalam mengumpul karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis YBA . Sebuah pameran yang begitu kontroversi yang dinamakan The Sensation telah dibawa ke Brooklyn Museum, New York dan di Hamburger Bahnhof Museum of Contemporary Art, Berlin dan apabila ia dibawa ke Australia terdapat protes oleh orang awam disana, ini menunjukkan YBA yang berada di dalam koleksi Charles Saatchi kebanyakannya adalah pelukis muda memberi fenomena baru terhadap seni kontemporari yang sezaman dengan mereka dan beberapa artis yang saya sebutkan tadi turut mempengaruhi dalam pengkaryaan seni terutamnya di Asia Tenggara. Apa yang ingin saya bangkitkan ialah kita masih belum mempunyai lagi fenomena seperti ini yang mengejutkan sikap masyarakat dalam melihat karya seni sebagai sesuatu yang menganggu hidupaan harian mereka. Disini saya ingin beralih sedikit terhadap peranan kuratorial dalam penjurian BMS pada edisi kali ini 2010 kami menerima lebih kurang 80 penyertaan yang dicadangkan oleh profesional seperti pengkritik, penulis, artis, kolektor, ahli akademik dan sebagainya tetapi hanya sebanyak 30 lebih karya-karya dipilih untuk dipertandingkan di peringkat akhir. Pemilihan awal yang terdiri daripada kurator-kurator dalaman BSLN telah membuat pemilihan dan mempamerkan karya-karya seperti yang dapat dilihat dalam edisi kali ini. Sebenarnya kita mengharapkan untuk menerima karya-karya yang boleh menimbulkan kontroversi, provokasi dan keberanian artis muda namun apa yang mengecewakan adalah karya-karya yang dicadangkan melalui lakaran-lakaran oleh artis tidak menepati dengan apa yang dipamerkan, sungguhpun begitu para juri terpaksa juga menerima karya-karya seperti ini. Kedua sepanjang proses penghakiman para juri hampir-hampir putus harapan untuk menganugerahkan anugerah utama kepada pemenang. Namun setelah penilaian semula dijalankan barulah kami berjaya mencari pemenang.

Majidi Amir: Berdasarkan daripada apa yang diperkatakan oleh Faizal mengenai secara ringkas mengenai proses penjurian BMS setakat ini ada apa-apa persoalan daripada audien yang ingin dipersoalkan kepada juri atau pemenang sebelum kita buka kepada isu-isu seterusnya?

Audien: Seperti yang dinyatakan oleh Tengku Sabri tadi adakah anda lebih menekankan kepada penjurian yang berdasarkan konseptual atau aspek-aspek formalistik dalam penjurian BMS sekarang?

Tengku Sabri : Semua sekali, ia bukan soal konseptual atau formalistik tetap ia merangkumi keseluruhanya.

Majidi Amir: Bagi BSLN mengenai persoalan konseptual atau formalistik, pengharapan kita jika ianya formalistik sekalipun ianya tidak perlu dipertikaikan yang sepatutnya sudah teguh dan kukuh dari segi aspek teknikal, kawalan bahan dan segalanya dalam memasuki pertandingan ini. Ia melangkaui daripada itu kerana BMS adalah satu platform yang menentukan hala tuju artis muda ini di dalam lanskap seni yang akan menjadi trend baru atau rujukan. Saya pernah berbincang dengan seorang Profesor Setiawan Sebana daripada Indonesia yang boleh dikatakan beliau mengenali hampir kesemua pelukis Malaysia dimana beliau mengatakan BMS adalah acara wajib bagi beliau untuk membuat penganalisaan sebagai rujukan kemana hala tuju SERUM.  Jadi jika aspek asas seperti konseptual atau formalistik sahaja diperkatakan ia masih belum memadai kerana terdapat tarikan-tarikan perkara lain yang  boleh dikongsi bersama.

Intan Rafiza: Assalamualaikum dan selamat petang. Saya kurang pasti samada soalan saya ini wajar dijawab oleh pemenang ataupun persoalan berkenaannya telah berlaku semasa di dalam proses penjurian sebelum ini. Saya ingin mengetahui apabila saya melihat apa yang dipersembahkan oleh Haslin Ismail menerusi tayangan slid-slid dimana saya dapat melihat beliau banyak dipengaruhi daripada artis-artis rujukan (sureal) beliau. Pada padangan saya apabila melihat karya-karya akhirnya 2010 beliau banyak menggunakan buku-buku yang dikitar semula dan menghasilkan karya yang baru. Soalannya adalah haruskah atau patutkah ianya berlaku dan apakah perasaan Haslin sendiri menggunakan buku ini? Tetapi apabila buku atau pengkarya lain atau artis-artis rujukan perlu diambil kira apabila buku itu sendiri dipotong untuk dijadikan karya dan karya itu sendiri. Saya pernah berbincang dengan saudara Majidi bahawa karya ini membawa persolan isu semasa dan ia tidak bersifat tetap dan hanya sementara dan mungkin buku-buku itu akan hilang dan saya ingin tahu apakah ilmu disebaliknya dan apakah tanggungjawab anda rasa ianya haru diperlakukan sedemikian ada perkara-perkara lain yang lebih sesuai, tetapi saya merasakan juga itu adalah hak seseorang artis dalam menghasilkan karya tetapi bagi saya bagaimanakah jika generasi yang akan datang ingin mengetahui kerana telah menjadi satu karya akhir?

Majidi Amir: Apa yang diperajukan oleh Intan secara mudah adakah anda rasa tidak ‘berdosa’ kerana telah mengoyakkan dan memotong buku-buku itu?

Audien: (Ketawa)

Haslin Ismail: Untuk BMS saya menghasilkan satu karya yang  bagi saya ianya benar-benar memberi pengaruh yang besar dalam pengkaryaan saya. Sebelum ini saya menghasilkan dan menggunakan subjek Pepsi dan televisyen, saya  benar-benar serius tentang perkara yang dekat dengan saya. Apabila saya berfikir semula saya teroka perkara ini dan apabila saya balik kampung saya lihat barang-barang yang berada di rumah maksud saya pekerjaan bapa, saya pun melihat bagaimana beliau beliau bekerja, bagaimana beliau menyusun barang, menjahit disebabkan saya banyak menghabiskan masa dirumah sebab itu aktiviti yang berada di rumah itu berlegar-legar di kepala saya. Daripada situ saya mula berfikir bagaimana saya ingin melahirkan idea iaitu artistiknya dimana, jadi selain ibu bapa adik-beradik juga adalah merupakan inspirasi dalam pelbgai topik jadi saya kumpulkan. Apabila saya mengumpul saya saya masih lagi tidak mempunyai idea dengan buku-buku ini, untuk BMS idea saya adalah lain dengan sebelum ini , bila saya memikirkan untuk menerokainya iaitu mengubahsuai buku-buku tadi, saya rasa adalah menjadi satu kerugian untuk mengubah suai buku ini sebab ia adalah satu teknik jika saya tidak memotong buku-buku itu sekalipaun saya masih boleh menjadikannnya sebagai sebuah karya seni dengan meletakkannya di dalam laci atau sebaliknya. Apabila saya mendapat teknik itu maslahnya pula adalah bagaimana untuk mempersembahkannya dan saya mendapati almari buku adalah objek yang penting dan jika anda lihat dalam karya saya terdapat banyak yang berbentuk kotak-kotak, ada petakan dan menerusinya itu saya meneroka. Karya ini memberi kesegaran kepada fikiran saya dan jika diamati objek-objek seperti rupanya ianya masih mempunyai pengaruh daripada karya-karya saya yang lepas, masih mempunyai anitomi mata, karakter, rumah, pembinaan . Apa yang saya lakukan adalah apa yang saya impi lakukan sebelum ini dan disebalik tema ini  ia sesuai dengan isu kontemporari sebab itu saya mengkombinasikannya dengan bahan-bahan apa yang dikatakan sebagai arca kertas.

Majidi Amir: Terima kasih Haslin, tetapi apakah pendapat artis atau kenyataan mereka dalam BMS sebab kenyataan yang diberi setelah lebih sepuluh tahun menyelaras BMS komen yang diberi oleh juri artis tidak banyak membaca saya rasa Haslin telah memberi satu kritikan kepada artis lain dan saya rasa jika mereka tidak mahu membaca elok sahaja mereka memotong buku-buku mereka, ini adalah pandangan yang mungkin dinyatakan dalam karya beliau ini. Ada soalan-soalan lain

Yap Sau Bin: Selamat petang. Untuk semua para pemenang soalan saya ialah bagaimana anda merasakan karya-karya membawa isu kontemporari? Apakah kontemporariniti bagi anda? Saya tidak begitu gembira mendengar daripada anda dengan hanya membawa isu-isu kontemporari daripada akhbar. Apa yang saya ingin tahu adalah dimanakah bahagian kontemporari daripada setiap isu yang nyatakan mempengaruhi inspirasi anda dalam isu-isu tadi? Selain itu juga apakah isu didalam BMS ini boleh dikatakan ia adalah sebuah karya kontemporari dan apakah isu dalam seni kontemporari itu sendiri, boleh kiranya setiap kalangan anda menjelaskan persoalan ini? Terima kasih.

Majidi Amir: Satu soalan yang menarik sebab Sau Bin masih ingin memberi cabaran kepada bakat muda bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada juri, rakan-rakan artis dan krew-krew pameran. Kita bermula dengan Nan See dengan soalan tadi itu.

Tan Nan See: Berkenaan kontemporai tadi saya rasa Rupa Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2000, saya cuba untuk mencipta maknanya dan cuba menggunakan teks daripada katalog inilah kontemporari saya.

Diana Ibrahim: Mengenai makna kontemporari, baru-baru ini saya ada mengikuti apa yang dikatakan sebagai INCAT dibuat di Galeri Seni di Melaka yang membincangkan hal ini dan saya rasa pada akhir tahun lalu. Berkaitan dengan apa itu seni kontemporari dalam pameran ini saya rasa karya yang saya lihat dalam masa sepuluh tahun lalu masih lagi dibuat. Tetapi apa yang kontemporari dan apa yang menjadikannya kontemporari ia perlu merujuk kepada idea itu sendiri , idea itu perlu kontemporari, idea terhadap sesuatu isu, kerana apabila kita bercakap tentang media ataupun dalam jangka masa sepuluh atau dua puluh tahun lepas sememagnya telah ada artis yang telah melakukan dan menghasilkan karya dan ianya sudah tidak kontempoarai lagi. dan saya rasa adalah berdasarkan idea dan isu yang kontemporariniti yang diletakkan , ini kerana kontemporari ini sering berada di dalam minda fikiran setiap artis . Setiap artis sebenarnya mereka mahu keluar dalam konteks kontemporari namun makna kontemporari itu sendiri menjadikan mereka keliru tentang apa makna kontemporari itu. Perihal daripada itu saya rasa idea yang hendak dibawa itu adalah sendiri.

Azam Aris: Bagi saya pula akan lebih memokuskan kepada kontektulnya sendiri, ini kerana jika contohnya anda rapat dengan dunia perfileman umpamanya fiksyen Avatar dan Star Wars. Di Malaysia sendiri teknologi ini digunakan secara kecil-kecilan kita hanya mengambil bahan-bahan yang ada. Bagi saya sebagai seorang artis muda kami hanya mengikut trend dan menuruti apa yang berlaku di Malaysia sahaja.  Mungkin bagi saya lebih gemar memokuskan penggunaan bahan berasaskan teknologi seperti internet dan lebih memberi tumpuan medium yang hanya terdapat di sini sahaja untuk digunakan dalam menghasilkan karya. Jika media yang saya rasakan masih relevan saya akan terus gunakan dan inilah yang saya fahami.

Haslin Ismail: Secara jujur saya masih keliru dengan soalan itu tadi, sebagai seorang artis muda bagi saya merasakan perkara yang terbaik bagi saya ialah sikap dan disiplin datang dari cara kita berfikir contohnya saya ambil artis Hamir Shoib yang gemar mengambil tema alam kemalaikatan yang sinonim dengan seni pada abad ke-15 seperti yang terdapat dalam karya-karya Pieter Bruegel  Bagi saya tanggungjawab seni itu dekat daripada pengalaman anda, dari hati yang ikhlas dan datang daripada kemahiran yang dipunyai. Saya rasa alat yang baik adalah ianya datang daripada diri anda.  

Majidi Amir: Ataupun Sau Bin boleh berkongsi apakah maksud kontemporari bagi beliau, apa kata kita bertanya Tengku Sabri dengan soalan itu tadi. Saya merasakan ianya menarik kerana setiap kali penjurian perkara ini menjadi satu persoalan besar dari segi konteks, etika yang mana satu kekontemporarinya kita minta pendapat ketua juri?

Tengku Sabri Ibrahim: Apa itu kontemporari? Macam mana ya, jika kita fikir banyak-banyak susah juga, sebenaranya ia hanya terma, ia cuma sebuah perkataan untukk menyatakan sesuatu, kontemporari biasanya akan dikaitkan dengan masa dan itu adalah salah satunya yang utama. Jadi kalau kontemporari saya boleh jelaskan secara mudah begini saya adalah kontemporarinya kepada Nasir Baharuddin , saya kontemporari dengan Sau Bin dari segi masa namun ada juga sekurang-kurangnya ciri-ciri boleh mengambarkan kontemporarinya begini, bagaimana kontemporarinya tahun 2000 bagaimanakah keadaannya jika tidak banyak satu ciri itu sudah memadai yang boleh menjelaskan lagi makna kontemporari. Pada saya makna kontemporari itu sentiasa berubah-ubah kerana ia merujuk kepada masa, mungkin kontemporari 2010 tidak sama kontemporari 1995 begitulah agaknya.

Majidi Amir: Masih ada lagi dikalangan audien untuk menanyakan persoalan kepada juri berkenaan dengan soalan ini dan kita persilakan Nasir Baharuddin jika beliau ada sesuatu yang ingin dikongsi?

Nasir Baharuddin: Assalamualikum, saya Nasir (Baharuddin) terima kasih pengerusi, kita masih lagi diberi kesempatan untuk membincangkan dan sebagainya. Saya agak tertarik ia adalah platform untuk pergerakan seni lukis Malaysia itulah bunyinya. Jika kita perhatikan sejak awalnya perubahan banyak berlaku dalam BMS dan perubahan itu saya merasakan sebuah proses dokumentasi yang penting,  jadi persoalannya sekarang ini samada kontemporari atau tidak kontemporari, tiap-tiap hari kita berhadapan dengan kontemporari dan tiap-tiap hari kita berhadapan dengan pelbagai persoalan. Saya melihat BMS sebagai sebuah yang berkenaan dengan anjakan, itu yang saya rasakan penting bagaimana kita menghadapi paradigma itu , ini kerana kita berada dalam manual time kita memerlukan perencah baru harus pergi kepada satu persoalan samada BMS perlu diadakan saya melihat bagaimana kita mengatur perencah-perencah itu. Hal ini adalah supaya pada masa akan datang benar-benar memberi impak atau keputusan yang sewajarnya dalam kandungan seni rupa Malaysia itu sendiri. Sebab apa kita sentiasa kecewa, pelik, tidak puas hati, mengapa seni lukis Malaysia dalam konteks yang begini sepanjang masa dan sehingga hari ini pun kita masih bincangkan perkara yang sama. Mengapa kita mahu menganugerahkan hadiah-hadiah ini kepada pemenang? Tujuan kita menganugerahkan adalah untuk menjadiknnya sebagai satu platform atau kualiti daripada yang dahulu kepada yang terkini jadi adakah anugerah itu kita rasakan dapat melakukan perubahan tersebut. Jadi kita perlu melihat perkara ini kembali bagaimanakah kita meletakkan perkara ini, dan kita perlu melihat bukan atas dasar kita syok sendiri tetapi atas paradigma yang lebih besar, bagaimana kita melihat idea-idea yang boleh mengacau kepada persoalan-persoalan yang terkini tadi dalam konteks yang kontemporari. Saya melihat proses-proses ini berlaku bukan daripada proses idea ia banyak proses kepada bagaimana memilih imej, melihat imej, menampak imej dan kesana-kesinikan imej. Dari segi tekstualnya kurang itu yang dirasakan itu yang kita katakan kita kurang baca, apabila kurang membaca itu mereka akan kurang ilmu dan apabila kurang ilmu mereka akan dikatakan kurang pandai, kita disini bukanlah kurang pandai tetapi apa yang perkatakan tentang itu tadi kurang membaca. Jadi persoalannya kita berbincang tentang asasnya adalah kajian, kajian tekstualnya rasa merasakan agak kurang berlaku dan dimana kita mahu menjangkau tekstual yang lebih mencabar kita lihat daripada kita hanya menyusun segala gambar-gambar yang ada itu dan mencerita semula apa yang ada didalamnya itu yang melahirkan mengikut kemahuan, kefahaman . Itu yang lahir mengikut pengalaman, mengikut pengalaman.Mengikut pengalaman-pengalaman yang kecil dahulu dan digambarkan kembali jadi itu saya merasakan perlu dinilai kembali adakah perkara itu benar dan apakah sebenarnya posisi yang kita duduk pada hari ini. Adakah kita masih lagi kurang dari segi tektual ataupun kita masih sibuk melapis-lapiskan warna, menyusun, kerat sana sini dan tampal.
(bersambung)

1 ulasan:




  1. Saya selalu berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan peminjam yang meminjamkan uang tanpa membayar terlebih dahulu.

    Jika Anda mencari pinjaman, perusahaan ini adalah semua yang Anda butuhkan. setiap perusahaan yang meminta Anda untuk biaya pendaftaran lari dari mereka.

    saya menggunakan waktu ini untuk memperingatkan semua rekan saya INDONESIANS. yang telah terjadi di sekitar mencari pinjaman, Anda hanya harus berhati-hati. satu-satunya tempat dan perusahaan yang dapat menawarkan pinjaman Anda adalah SUZAN INVESTMENT COMPANY. Saya mendapat pinjaman saya dari mereka. Mereka adalah satu-satunya pemberi pinjaman yang sah di internet. Lainnya semua pembohong, saya menghabiskan hampir Rp35 juta di tangan pemberi pinjaman palsu.

    Pembayaran yang fleksibel,
    Suku bunga rendah,
    Layanan berkualitas,
    Komisi Tinggi jika Anda memperkenalkan pelanggan

    Hubungi perusahaan: (Suzaninvestment@gmail.com)

    Email pribadi saya: (Ammisha1213@gmail.com)

    BalasPadam