Ahad, 30 Disember 2012

Penerokaan Stail Syed Ahmad Jamal Dalam Seni Lukis Sezaman Malaysia



Oleh: Faizal Sidik


Pengenalan
Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di bandar Maharani Johor. Bapanya Syed Jamal pernah menjadi wartawan dan bekerja sebagai penolong pengarang di Lembaga Malaya, Johor Bahru, bersama-sama Dato’ Onn Jaafar, Syed Jaadar Albar dan Syed Alwi Alhady. Datuknya Syed Sahih peniaga yang terkenal di Johor Bahru dan menjadi majlis bandar Johor Bahru.

Syed Ahmad Jamal mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah dari tahun 1936 hingga 1938. Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939; Ngee Heng English School, 1940; Bukit Zahra English School dan English College, Johor Bahru hingga tahun 1949.

Beliau mendapat biasiswa Sultan Ibrahim dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955, beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Art, London. Setahun kemudian beliau belajar pula di Institute of Education, London University. Semasa di Chelsea School of Art, beliau memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan dalam seni lukis.

Setelah pulang dari England, beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingga 1957. Pada tahun 1957, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur. Diantara tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi pensyarah di Malayan Teacher’ College, Kirby, Lancs, United Kingdom dan pulang semula ke Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1951 hingga 1963, beliau bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.

Syed Ahmad Jamal merupakan nama yang tidak asing lagi dalam sejarah seni lukis negara. Penglibatan yang tidak mengenal jemu selama empat puluh tahun bergelut dengan seni ini telah  memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan ke arah pembinaan dan perkembangan seni lukis moden negara. Berdasarkan sumbangan penting beliau itulah kerajaan menganugerahkan Anugerah Seni Negara kepada beliau.

Beberaoa faktor yang menyebabkan Syed Ahmad Jamal dipilih dalam kajian ini. Pertama Syed Ahmad Jamal merupakan pelopor aliran ekspresionisme abstrak di negara ini. Sesudah sekian lama menceburi lapangan ini, Syed Ahmad Jamal mempunyai pandangan yang kukuh terhadap seni lukis. Malah pandangan ini banyak dikongsi bersama oleh kebanyakan pelukis.

Syed Ahmad Jamal merupakan seorang tokoh di dalam seni tampak yang paling unggul di negara ini. Beliau mempunyai ketokohan dalam bidang berikut seperti pelukis moden, pereka, pengarca, pensyarah, pendidikan, penulis dan pemimpin organisasi-organisasi.

Kedudukan beliau sebagai pendidik, pengiat dan pentadbir seni menjadi beliau sebagai sumber inspirasi dan daya penggerak dalam perkembangan seni lukis tanahair. Ilmu kesarjanaan dalam seni lukis serta falsafah dan aliran seni ekspressionisme yang dianuti, menjadikan beliau sumber rujukan di kalangan pendidik, pelajar dan pengiat seni lukis di Malaysia. Di kalangan pelukis tanahair, Syed Ahmad Jamal telah dianggap sebagai pelopor lukisan abstrak pada tahun-tahun 1960 an dan 1970 an, terutamanya yang berukuran melebihi 500 cm.

Beliau juga mempelopori Wednesday Art Group dan Art Council Malaysia pada awal tahun 1960 an. Kewibawaan dan kepimpinan beliau amat terserlah dimana beliau merupakan pengasas kepada penubuhan Muzium Seni Asia di Universiti Malaya dan Pengarah Balai Seni Lukis Negara. Kepimpinan dan kewibawaan Syed Ahmad Jamal di dalam bidang seni lukis tidak dapat dinafikan lagi. Berliau telah di beri kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Penasihat dan Pengurusi kepada pertubuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan bidang kesenian.

Sebagai pelukis-penulis dan pemikir budaya yang mempunyai pandangan dan falsafah kesenian yang mendalam, melalui bukunya yang  bertajuk Rupa dan Jiwa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau telah melukiskan pengamatannya terhadap unsur-unsur kesenian dalam nilai-nilai dan kebudayaan Melayu. Beliau juga cuba menggarapkan semula aspek rupa dan bentuk sesuatu unsur kepada seni rupa Melayu ini telah diolah dengan pengalaman bahasa seni antarabangsa melalui bentuk, gaya, gerak dan corak.

Bakat Syed Ahmad Jamal terserlah. Beliau adalah pelukis yang terkenal serta mendapat sanjungan masyarakat seni dalam dan luar negeri. Antara kebolehan beliau ialah melukis dengan menggunakan pemikiran ilmu dan pengalaman berasaskan falsafah serta nilai-nilai Melayu. Beliau juga terlibat dalam membuat ‘Dasar dan Pemikiran’ tentang program dan pentadbiran kepada masyarakat umum. Selain daripada itu beliau juga terlibat dalam kritikan seni dan menulis berbagai  majalah dan  media massa.

Syed Ahmad Jamal melihat seni lukis sebagai satu bidang yang berautonomi tanpa ikatan dengan sebarang naungan. Penggiat bidang ini, iaitu pelukis, pula dianggap oleh beliau sebagai seorang individu yang unik dan bebas. Manakala sesebuah karya dilihatnya sebagai sesuatu yang memiliki kewujudan mistik dan makna tersendiri.Perkara ini terjadi kerana seni terhasil daripada khayalan dalaman. Khayalan ini berpusat dalam diri pelukis dan akan diluahkan atas rasa kerelaan serta mempunyai motif yang bersifat keindividuan.

Ketika di England aliran ekspressionis dan ekspressinisme abstrak sedang melanda kepulauan itu. Gerakan tadi merupakan satu yang amat baru bagi beliau dan benar-benar memikat indera seninya. Beliau meminati ekspressionisme kerana ia menyedarkan satu landasan baru bagi menentukan atah dan tujuan arah seni secara perseorangan atau individu.

Bagi ekspressionis abstrak pula, ia memberikan kelangsungan dalam berkarya kerana fleksbiliti aliran itu. Ia membenarkan pemikiran diterjemahkan secara langsung menjadi bahan seni. Penentuan secara individu dan penterjemahan secara langsung itu memberikan beliau perspektif baru dalam melihat serta menangani seni. Perspektif ini pula dipadankan dengan pendapat beliau yang melihat artis sebagai seorang individu yang bebas. Jadi keindividuan langsung dan kebebasab menjadi tonggak pemikiran Syed Ahmad Jamal dalam seni lukis sezaman Malaysia.

Perkara-perkara diatas secara tidak langsung mendasari cara beliau berkarya. Secara huraian, keindividuan memberikan beliau ruang untuk mengambarkan pengalaman-pengalaman peribadinya. Kelangsungan membenarkan diri berterus terang melalui kegiatan seni. Manakala kebebasan beliau melepaskan beliau daripada kongkongan konvensi-konvensi dan memasuki serta membina keperibadian seni lukis moden. Secara umumnya penerokaan Syed Ahmad Jamal dalam aliran yang diamalkannya melalui beberapa era atau revolusi iaitu dari era 50an hinggalah di alaf baru.


Era 1950an
Untuk mengetahu perkembangan seseorang seniman atau artis rasanya tidak lengkap jika tidak melihat sentuhan-sentuhan awal penerokaanya. Lukisan-lukisan berwajah herot dan abstrak yang bertunjangkan unsur tanahair cuba dihasilkan ketika masih menuntut di London. Perubahan awal menggunakan kaedah tersebut melihatkan kejayaan awalnya apabila berjaya menghasilkan ‘mandi Laut’ (1957). Karya ini merupakan titik permulaan bagi Syed Ahmad Jamal untuk menempuh sejarah yang lebih gemilang dalam bidang seni lukis.

Catan-Catan awal ini menunjukan beliau cuba meneroka bentuk, suasana ruang serta hubungan diantara bentuk dan latar. Dalam catan ‘Mandi Laut’ lenturan berus menampakkan pengaruh Eropah namun keadaan anak gadis yang sedang mandi di tepi laut itu sesungguhnya berlatar belakangkan suasana yang biasa dilihat di tanah air pada ketika itu.

Kecenderungannya terhadap unsur serta pertalian alam dan manusia atau dalam bahasa seninya latar dan bentuk terserlah dalam karya berkenaan. Pembinaan antara dua elemen seni tadi amat galak sekali dan ia terus mendomonasikan catannya sehingga pertengahan tahun 1960an. Penggayaan warna-warna yang hampir sama terhadap unsur yang telah di herotkan itu menyebabkan kehadiran sifat alam dan aksi manusia begitu dirasai sekali dalam kesatuan.

Penerokaan sulung terhadap bentuk, susunan ruang serta hubungan diantara bentuk dengan latar menghasilkan suatu kerasian yang amat ampuh diantara tiga perkara yang disebutkan tadi mula tercermin dalam karya seperti ‘Umpan’ yang dihasilkan pada tahun 1959. Kedua-dua karya ini dianggap sebagai karya abstrak terawal dalam seni lukis kontemporari tanahair.

Karya ‘Umpan’ khususnya diakui sebagai sebuah masterpieces oleh pensejarahan mahupun pengkritik seni dari dalam mahupun luar negara. Berbeza dengan ‘Mandi Laut’, pengherotan terhadap “Bait” dilakukan dengan lebih cirta sekali sehingga aksi burung hadir secara separuh lut sinar seolah-olah berada dipermukaan air yang beriak-riak, ini merupakan penerokaan yang amat drastik kerana bentuk dan latar telah hilang dari pandangan mata.

Namun kehadirannya secara emosi dan tenaga elemen itu tetap dipertahankan serta dapat dinikmati terus tanpa perlu banyak persoalan.Dalam catan seperti ‘Umpan’ Syed Ahmad Jamal lebih mengutamakan lengkungan bentuk tidak seperti pelukis barat yang lain seperti Jackson Pollock dan Mark Rothko yang menolak sebarang bentuk serta banyak bermain dengan jalinan dan warna. Bentuk-bentuk mula dilekukkan bagi menggambarkan aksi atau suasana yang lebih agresif beliau seakan-akan ingin menyatakan perasaan dirinya yang berkecamuk semasa menghasilkannya.

Dalam ‘Umpan’ lengkungan dan putaran berjaya menvisualkan keadaan yang tegang antara si mangsa dengan musuhnya. Kecenderungan terhadap lekukan itu juga telah menyebabkan Syed Ahmad Jamal meminati kaligrafi atau seni khat yang mempunyai lengkunagan yang bermakna secara semulajadi.


Era 1960an
Dekad 1960an memperlihatkan riak wajah menerusi genjala abstrak ekspresionistik. Karya-karyanya mula menampilkan imej-imej abstrak dalam latar budaya setempat. Karya ‘Sunday Market’ (1960), ‘Starry Night’ (1961), ‘Family’ (1963), ‘Relationship’ (1964), ‘Lost’ (1965), ‘Figure’ (1965), ‘Swimming”, ’19.9.65’(1965) memperlihatkan ledakan tenaga gejala abstrak ekspressionistik yang lincah, kental, padu dalam sapuan agresif dalam warna-warna ekspresif yang meninggalkan kesan wisual yang bergetar. Warna dan imej yang digunakan dalam gugusan karya-karya pada tahun 1960an menganggu ketenteramana psikologi akibat daripada bancuhan dan aduanan warna-warna kelam, gelap dan terang serta bayangan kandungan daripada imej-imej manusia separa kabur seolah dalam pergelutan yang ingin keluar daripada ruang dan lingkungan batin yang terkongkong.

Menjelang akhir dekat 1960an, karya-karya Syed Ahmad Jamal sepertu ‘Solat Energy’ (1967), ‘Blessing II’I (1967, ‘Window in the Sky’ (1969) memperlihatkan transisi getaran warna dalam skema dan spektrum yang lebih seimbangan antara warna-warna panas dan sejuk. Namun lontaran tenaga dari sapuan warnanya masih lagi ekspresionistik dengan penampilan imej-imej abstrak yang tajam dan menusuk tumpuan mata.

Era 1970an
Tahun 1970an menampilkan karya-karya kreatif dan memperlihatkan transisi dalam kebebasan berkarya contohnya karya ‘Conference of Soul’ (1970) bertolak dari puisi ‘Sidang Roh’ karya penyair Kassim Ahmad. Karya ini dihasilkan selepas tragedi 1969 berkenaan dengan pengertian terhadap kebenaran yang sentiasa berubah mengikut kehendak dan selera semasa. Perubahan semasa ini juga cuba digambarkan oleh bahagian bawah catan itu yang turun-naik sifatnya. Dari situ terpacak tiga bentuk menegak dan bercantum diatas.

Gambaran ini amat simbolik kerana ia mengemukakan satu persoalan yang paradoks, iaitu “adakah kebenaran berasal dari situ atau banyak punca?”. Bentuk-bentuk awangan yang memuncak ini akhirnya membina imejan Gunung Ledang pada lewat 1970. Penerokaan atau campurtangan beliau dalam masalah masyarakat menunjukkan Syed Ahmad Jamal mula mengungkap isu sosial dalam catannya.

Beliau juga mula menonjolkan imej dan simbol dari alam dan budaya Melayu dengan lebih ketara. Kisah mitos dari alam dan lagenda yang membabitkan Gunung Ledang dengan kisah cinta Sultan Mahmud puteri Gunung Ledang membuka dimensi baru dalam catan Syed Ahmad Jamal. Wajah Gunung Ledang yang dulunya tida menari minat tiba-tiba berakraba dengan jiwanya. Ini berlaku setelah terjadi peristiwa insiden nahas udara di Tanjung Kupang yang turut mengorbankan rakan karibnya. Kapal yang terhempas itu berlegar melintasi Gunung Ledang dahulu sebelum menjunam da meletup di Tanjung Kupang.

Kejadian itu cukup mengharukan dirinya dan beliau merasakan jiwanya mempunyai pertalian yang cukup rapat sehinggalah perhubungan ini diluahkan dalam catan ‘Gunung Ledang / Tanjugn Kupang’ 1978. Karya tersebut merupakan satu olahan yang menggabungkan mitos gunung itu dengan tragedi udara tersebut.

Beliau melihat Gunung Ledang dan penceritaanya akan terus hidup manakala manusia tetap akan menyahut seruan Ilahi. Sejak dari tahun tadi unsur imbangan dan imejan segitiga menyerupai bentu Ledang menjadi unsur dominan dalam karya Syed Ahmad Jamal. Disini beliau melihat gunung tersebut mempunyai sesuatu yang melambangkan tenaga dan kemakmuran. Sebenarnya terdapat pertalian diantara cara Syed Ahmad Jamal berkarya dengan kerja yang dilakukan ketika itu.

Dalam karier sebagai pelukis mungkin Siri ‘Gunung Ledang menandakan kemuncak Syed Ahmad Jamal. Pada tahap ini lukisannya amat bertenaga melambangkan keunggulan kaedah dan pemikiran yang didokongnya selama ini. ‘Gunung Ledang/Tanjung Kupang’ , seperti dinyatakan mempertemukan dongengan gunung ledang dengan kapal udara tersebut. Kemistikan amat diutamakan dalam menintetipitasikan catan itu.

Tujuh tahap dalam bentuk Gunung Ledang melambangkan kepercayaan yang mempercayai tujuh tangga yang harus dilalui untuk sampai ke syurga. Warna hijau di bawah mewakili bumi manakala biru diatasnya adalah langit. Warna garisan kekuningan di bahagian bawah melambangkan emas yang diminta oleh Puteri Gunung Lefang daripada Sultan Mahmud sebagai hantaran. Menurut beliau, minatnya terhadap sastera dan budaya Melayu dimana teks klasik Melayu tradisi seperti Hikayat Abdullah Munsyi, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah telah banyak mempengaruhi pendekatan dalam seni catan berwarna 20 tahun kemudian.


Era 1980an
Walaupun mendapat pendidikan Barat dalam bidang seni halus namun seniman Syed Ahmad Jamal tetap mengkagumi akar tradisi budaya Melayu. “Siri Songket” imej dari seni kraftangan anyaman tikar mengkuan mula menjelma dan mencetuskan dorongan pada era awal 1980an hingga terhasil karya ‘Energy Mat’ (1980), ‘Terengganu’ (1986), ‘Siri Gunung Ledang’ (1987) memaparkan keindahan tenunan tekstil Melayu tradisi.

Bentuk segitiga begitu dominan pada era ini, besar kemungkinan bentuk segitiga itu adalah motif pucuk rebung yang begitu banyak dalam rekabentuk tradisional masyarakat Melayu. Ia dianggap sebagai simbul hikmat kesuburan, satu penyataan yang bersesuaian dengan kenyataan mengenai Gunung Ledang. Beliau seterusnya menyatakan bahawa motif segitiga tersebut menyerupai pohon hayat dan bunga semangat sebagai manifestasi alam semulajadi.

Fungsi imejan segitiga dipanjangkannya yang menyaksikan karya beliau memperkatakan isu-isu sosial dan politik antarabangsa turut dijelmakan kembali seperti’Lpastine’ (1983) dan ‘Area Bosnia’ (1994).warna yang menjadi kegemaran beliau dalam berkarya mulai jelas pada tahun-tahun ini. Warna hijau dan biru amat disukai kerana sifat hijau yang melambangkan bumi atau realiti manakala biru bererti langit atau fantasi.


Era 1990an
Tahun 1991, Syed Ahmad Jamal bersara dari perkhidmatan awam. Begitupun beliau terus bergiat dalam bidang seni lukis. Era ini memperlihatkan pula satu pendekatan yang berlainan pada karya-karya Syed Ahmad Jamal. Alam persekitaran begitu dekat dengan dirinya. Syed Ahmad Jamal kembali mengambarkan alam semula jadi dimana unsur-unsur mitos, Pergelutan dan kepiluan mulai berkurangan.

Karyanya kini lebih tenang menunjukkan kepuasan serta kebebasan di jelmakan dalam karya-karya seperti ‘Light Upon Light’ (1990), ‘Gombak!!’(1991), ‘Gunung Ledang’ (1992), ‘Yellow Mountain’ (1993),'Cloudburst' (1994) dan 'Bounteouns Rain' (1994). Kematangan beliau dalam berkarya semakin terserlah kerana menurut Syed Ahmad Jamal, semakin lanjut umurnya, beliau semakin menitikberatkan unsur dalaman sesebuah karya. Unsur kerohanian dalam karya-karyanya ada sesuatu yang menepati ke melibatkan kerana ia turut melibatkan proses intelektual bertolak dari unsur  kerohanian seperti karya 'With Star and Stone' (1994) sewaktu menunaikan ibadah haji di tanah suci.

Beliau sering kali menjadikan tarikh peristiwa sebagai judul karya sosialpolitiknya. Ini jelas apabila pada tahun 1999 negara dikejutkan dengan peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan. Tragedi itu sungguh menyentuh hati nuraininya sebagai seniman, ini jelas tergambar dalam karyanya yang bertajuk '19.9.99' (1999). Karya ini cuba menggambarkan keganasan anggota keselamatan yang memukul dan menghambat orang awam yang berhimpun mendengar pengakuan Datuk Seri Anwar di perkarangan Masjid Negara selepas sembahyang Jumaat walaupun mereka berkumpul secara aman.

Pendekatan ini menurutnya berupaya memadatkan peristiwa dalam satu persembahan yang padu disamping memperjelaskan peranan catan sebagai dokumentasi sejarah justeru membimbing penghayat terus kepada isu yang dibangkitkan dengan berkesan.

Alaf Baru 
Secara umumnya, ada tiga aspek besar yang mewarnai karya siri mutakhir 'Langit dan Bumi' oleh Seniman Negara ini, iaitu pertaliannya dengan Islam dalam menampilkan nilai tradisi dan alam semulajadi dari sudut sejarah dan politik, iaitu reaksi serta dokumentasinya terhadap isu tempatan dan antarabangsa dan akhirnya, dari sudut gaya, penelitian boleh dilakukan terhadap pemilihan tatabahasa visual, pengaruh dari Barat dan Timur serta persoalan mengenai perubahan dan kesinambungan gaya itu sendiri.

Tema Langit dan Bumi bukanlah satu interpretasi langsung tentang alam semulajadi, sejarah ataupun peristiwa, sebaliknya adalah garapan idea, minda dan cetusan hati mengenai segala bentuk peristiwa dan kejadian diantara dua ruang langit dan bumi. Dari sudut formalistik karya ini mencerminkan kesinambungan gaya serta menghimpunkan ciri visual yang menjadi miliknya.

Langit dan Bumi mempertemukan percikan gaya Semangat Ledang, Kunang-Kunang serta catan awal lain seperti Sirih Pinang sama ada dari segi pemilihan warna mahupun sapuan berusnya. Langit dan Bumi melukiskan evolusi saya Syed Ahmad Jamal.

Asas siri catan Langit dan Bumi adalah lanskap yang didukungi oleh siri abstraksi, justeru dapat dihubungkan   dengan tradisi seni catan Islam  yang bertunjangkan pendekatan , perulangan dan tidak keindividuan. Mesej tersirat yang diperjuangkan pelukis bertolak daripada konsep keimanan yang menghargai kebesaran Allah swt. Keindahan alam semulajadi harus dilihat sebagai suatu rahmat kurniaan Allah justeru itu harus dipelihara, dihayati dan dikasihi. Dalam konteks ini Syed Ahmad Jamal banyak menimbas inspirasi daripada ayat suci al-Quran.




5 ulasan:

  1. Salam Bro...
    Nak buat program TV pasal Syed Ahmad Jamal...
    free to contact ASAP... Hakim 0192269622
    TQ

    BalasPadam
  2. Salam Bro...
    Nak buat program TV pasal Syed Ahmad Jamal...
    free to contact ASAP... Hakim 0192269622
    TQ



    BalasPadam
  3. Salam Bro...
    Namapak mcm byk research on SAY...
    Nak buat program TV pasal Syed Ahmad Jamal...
    free to contact ASAP... Hakim RTM 0192269622
    TQ



    BalasPadam
  4. Salam Bro...
    Nampak mcm byk research on SAJ...
    Nak buat program TV pasal Syed Ahmad Jamal...
    free to contact ASAP... Hakim RTM 0192269622
    TQ

    BalasPadam
  5. boleh tak nak buat ulasan tentang karya sidang roh SASJ pls...... anyway thank you untuk info hampa

    BalasPadam