Isnin, 28 Jun 2010

Amin Asa’at: Wajah-Wajah


Oleh: Faizal Sidik (2010) 


Faizal Sidik (2010), ‘Amin Asaat: Wajah-Wajah’ SeniKini, 2010, Issue # 08, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

-->







‘The painter is taken by way of illustration’
Plato

Apabila membicarkan teori memesis atau teori bentuk di dalam karya 'Republic' oleh Plato yang mengemukakan bahawa segala yang ada di dunia ini merupakan tiruan (memesis) dari yang “asli” di dunia idea. Saya ingin membawa pembaca meneroka dunia dialog wajah diri dengan meminjam konsep tersebut dengan menyelusuri karya mimik muka, riak wajah dan ekspresi diri oleh Amin Asa’at.


Wajah-Wajah
Menurut Plato “Karya catan bukalah melukis objek yang sebenar tetapi hanya gambaran seperti gambaran di sebuah cermin”. Inilah yang cuba diterokai oleh Amin Asa’at dalam pameran solonya ini yang bertajuk 'Wajah-Wajah' atau ‘Faces’. Bersandarkan teori seni daripada Plato tadi beliau mempersoalkan dimanakah letaknya tempat seseorang artis dalam proses penciptaan. Ini kerana dalam teori memesis oleh Plato itu mengatakan “Artis yang melukis sebuah kerusi adalah meniru bentuk kerusi yang dibuat oleh tukang kayu.Tukang kayu pula mencipta kerusinya daripada bentuk induk yang hanya wujud dalam alam idea, iaitu bentuk induk yang hanya dihasilkan oleh Tuhan. Maka wujud tiga kerusi yang dihasilkan oleh tiga sumber iaitu bentuk atau idea kekerusian oleh Tuhan, perabot kerusi oleh tukang kayu, dan catan oleh artis”. Sebab itulah di awal tadi Plato menyebut catan adalah gambaran seperti cermin jadi beliau membuat keputusan artis yang membuat 'bentuk' bukanlah satu hasil yang sebenar dan betul.

Inilah yang cuba di sampaikan oleh Amin sungguhpun begitu subjek beliau bukanlah sebuah kerusi tetapi wajah. Dalam konteks membuat wajah muka artis bergerak dalam lingkungan akademik renaisan yang cukup menebal golongan sufi daripada Leonardo Di Vinci kepada masyarakat bawah Rembrand, sehinggalah kepada seni moden daripada potret salebriti Andy Warhol kepada optikal Chuck Close, namun ia masih berada di tahap kedua daripada idea teori bentuk yang meniupkan ekspresi diri wajah, idea penciptaan ini masih lagi dianggap sebagai pandangan klasik yang bernafsu realisma dan representasi.
Dalam pameran 'Wajah-wajah' saya ini boleh membahagikannya kepada beberapa tema iaitu potret diri, rakan artis dan kenalan rapat. Dalam semua karya potret diri karya-karya oleh Amin boleh dikatakan sebagai penerokaan kepada psikologi keindahan pada ketidakindahan atau seni emosi dalam memotretkan perasaan yang dekat dengan dirinya seperti sinis,duka, resah, kecewa, marah, gelisah, hiba, sakit, risau dan pengharapan.

Dalam karya potret diri artis digambarkan secara berekspresi. Dalam siri karya ini Amin menggunakan teknik stensil dan putih sebagai latar, manakala mimik muka seolah-olah bereaksi secara spontan dimana bahagian matanya menceritakan segala-gala didalam diri artis, bahagian bahagian muka menggunakan warna akromatik hitam dan putih seolah-olah menceritakan hitam putih dirinya. Pelbagai aksi muka atau ‘facial expression’ yang memberi tumpuan kepada deria seperti mata, kening dan mulut seakan meriakkan pelbagai perasaan yang mempengaruhi diri artis.

Kombinasi penggunaan tona hitam putih ditambah dengan pencahayaan terang gelap yang matang berupaya menceritakan ekspresi diri Amin pada masa ini. Manakala dalam siri terakhir potret diri beliau jelas mengambarkan perasaan terkejut, hal ini dapat dilihat pada reaksi mata dan keningnya yang diangkat keatas, manakala bahagian di bahagian mulut seperti tanda tanya dan persoalan diri didalam diri. Kepada siapakah beliau ingin menyimbolkan wajah-wajah itu? Adakah beliau mengejek sifat diri atau sifat masyarakat urban disekitar beliau seperti dalam pepatah Melayu yang lebih gemar ‘bermuka-muka’?
Dalam siri karya rakan artis menggunakan akrilik dengan teknik catan semburan melambangkan latar keseluruhan mimik dilihat dengan wajah ceria dan gembira seperti seorang pelawak atau 'jester' . Amin bijak memilih rakan beliau yang sesuai untuk karakter ini. Beliau seolah-olah artis yang menjadi 'pengarah' dan 'penulis skrip' kepada ciptaan watak-watak dalam arahan beliau. Amin mungkin meminjam sedikit inspirasi daripada Warhol yang pernah mengembangkan idea ini dalam karya-karya potret selebriti Hollywood seperti 'Elvis Presley'. namun dalam karya rakan artis ini Amin telah menjadi mangsa untuk 'diperlawakkan' dengan berjaya memberi ekspresi kejenakaan pada bahagian mata, hidung dan yang paling ketara adalah bahagian bawah bibir yang mungkin sengaja di mimik sebegitu seolah-olah diri Amin sememangnya telah ada dengan sifat semulajadi menjadi pelawak.

Dalam sebuah siri karya ‘Wajah-Wajah’ dilihat seakan artisnya juga digambarkan seperti pelakon di pentas opera yang mainkan sendiri dengan mendandan muka dengan pigmen hitam putih. Apa yang menarik dalam sebuah karya ini adalah dimana beliau memegang kamera dengan urutan muka dengan mata terbeliak diatas dengan bahagian kepala sengaja ditiadakan (tanpa songkok) disamping tangannya memegang kamera sebagai metafora refleksi kepada masa dan ruang dengan merakam semula wajah itu dilihat seolah seorang badut yang tercuit hatinya namun pada masa yang sama seolah-olah merakamkan sifat seseorang yang tanpa ada apa-apa identiti diri. Apakah komedi atau tragedi disebalik mimik wajah-wajah ini?. Hanya Amin sahaja yang mengetahuinya.


Melihat karya Amin umpama mencermin kepada diri sendiri. Eksplorasi diri (self-exposure) terhadap pencarian diri ibarat memandang ke dalam perasaan manusia yang meneroka sifat kendiri, artis telah memprovokasikan persoalan dalam diri, serta karakter diri seseorang individu. Amin mengambar refleksi realiti masyarakat pasca-moden menerusi potret artis yang sezaman dengannya bagi memperwakilkan pergolakan kemanusiaan pada hari ini yang mana meminta sedikit perhatian warga di dalamnya.
Rujukan
Alex Neill and Aaron Ridley,The Philosophy of Art: Readings Ancient and Modern,

McGraw-Hill Inc, 1995.
Matius Ali dan M Hum, Estetika; Sebuah Pengantar Filsafat Keindahan, Sanggar Luxor, 2004

Hamidah Abdul Hamid, Pengantar Estetik, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan