Rabu, 2 Oktober 2019

Kuala Lumpur Biennale 2020 - Tanah, Air dan (Sa)Udara

Oleh: Faizal Sidik


‘Semangat & Serumpun’

Rantau Asia Tenggara dari segi sejarahnya merupakan koridor laluan bagi peradaban utama dunia sebagai tempat yang kompleks dengan interaksi kebudayaan. Melalui arus pasang surut pertemuan timur dan barat ini telah menghasilkan penambahan dan penolakan budaya yang meninggalkan warisan yang tidak ternilai dalam mewarnai penerapan masyarakat serantau. Melalui rantau ini juga, banyak individu dan populasinya hidup dalam sfera dan realiti sosial, daripada masyarakat laut kepada peneroka tanah seterusnya menjadi warga bandaran hasil daripada interaksi yang membawa kepada kepelbagaian pengalaman, dari segi kepelbagaian konsep pandang hidup yang merentasi rantau ini.

Pembinaan pameran seni berskala besar seperti biennale, biennial (dwi-tahunan) atau triennale (tiga tahun) adalah untuk membawa aspirasi, hasrat dan citra sesuatu bandar raya, negara atau rantau itu secara keseluruhannya.Misalnya Sao Paolo Biennale mewakili suara seni negara-negara membangun benua Amerika Selatan kepada dunia luar terutamanya kepada Eropah dan Amerika. Begitu juga Havana Biennale yang menghubungkan negara Amerika Latin dengan kepulauan Caribbean iaitu negara-negara berkecuali yang tidak menyokong mana-mana negara blok semasa Perang Dingin.

Dalam abad ke 21, Asia Tenggara dan Asia kembali aktif menyertai arus pergerakan globalisasi. Peralihan ini memaksa ia berhadapan dengan isu-isu tanah, perairan, persempadanan, sumber bumi, memori silam, identiti dan krisis kemanusiaan sejagat. Walaubagaimanapun, pengalaman perubahan yang berlaku di rantau ini memberikan pelbagai sudut pandang, daripada pelbagai peringkat. Berdasarkan sejarah latar belakang lalu dan kesinambungan perubahannya, seniman terkesan, memikirkan, membayangkan dan mempunyai pendirian sendiri dalam mendepaninya.

Kuala Lumpur Biennale 2020 bertemakan “Tanah, Air dan (Sa)Udara”, adalah sebuah pelantar visual budaya sebagai forum seni kontemporari yang mewakili suara serantau di dalam lingkungan Asia Tenggara dalam pertukarannya atau dialognya diantara tempatan dan antarabangsa. Kini nilai-nilai semangat Asia Tenggara seperti kerjasama serantau, keutuhan wilayah, kedaulatan, pemupukan keamanan, sikap berkecuali, pertikaian secara damai melalui dialog dan rundingan perlu sejagatkan dan dikongsi kepada dunia. Di sinilah kekuatan identiti biennial atau suara kita dalam menghubungkan Asia Tenggara kepada dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan