Oleh: Faizal Sidik
Masyarakat hari
ini terutamnya di Malaysia sangat berbeza dengan kehidupan masyarakat pada 50
atau 60 tahun sebelumnya. Sebagai sebuah negara pertanian selepas kemerdekaan
Malaysia memasuki fasa kedua sebagai sebuah negara perindustrian pada awal
tahun 1980 an. Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh kerajaan membawa
Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun sehingga dikenali sebagai The
Asian Tiger atas kekuatan ekonominya. Penciptaan komputer dan evolusinya
telah membawa kepada penciptaan-penciptaan yang sukar untuk dipercayai oleh
masyarakat dahulunya.
Memasuki era
teknologi maklumat mahu atau tidak mahu Malaysia perlu mengikut rentak
negara-negara yang agak kehadapan ke arah itu maka Koridoraya Multimedia atau
Multimedia Super Corridor (MSC)
telah dibangunkan pada pertengahan tahun 1990 an seperti model yang terdapat di
Silicon Valley. Maka syarikat-syarikat luar yang berasaskan media telah diberi
status MSC dalam menjalankan penyelidikan dan pelabur media baru seperti
telekomunikasi, animasi dan media baru. Inkubator-inkubator sebegini di serata
dunia ini telah menjadi makmal terhadap penciptaan manusia pada hari.
Kehadiran internet
atau jaringan-jaringan yang menghubungkan antara satu sama lain seperti jaring
pada sarang labah-labah telah memacu perkembangan teknologi perhubungan pada
hari ini dan pada masa yang sama telah mengubah persekitaran kehidupan manusia.
Teknologi yang juga world wide web atau www ini pada awalnya telah
digunakan oleh Pentagon bagi kegunaan dalaman ketenteraan terhadap misi
keselamatan dan peperangan telah dikomersilakan kepenggunaannya kepada orang
awam. Pembinaan enjin carian yang terawal seperti Internet Explorer, Yahoo,
Mozilla Firefox dan yang popular pada hari ini Google telah membuka era baru
maklumat kini berada dihujung jari dengan adanya kabel internet di pejabat dan
rumah. Capaian terkini melalui wifi atau internet tanpa wayar manusia kini
boleh berkomunikasi walau dimana sahaja mereka berada di atas kapal laut, kapal
terbang di udara atau di kutub utara sekalipun manusia masih boleh berhubung.
Sebagai makhluk
sosial manusia sememangnya tidak boleh hidup keseorangan. Di dalam Al-Quran
surah Al-hujurat ayat 13 Allah SWT berfirman masksudnya “Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”. Ayat ini mengajak umat
manusia bukan untuk bermusuhan terhadap perbezaan yang ada pada pada mereka
dari segi warna kulit, bangsa dan agama tetapi untuk memakmurkan bumi ini.
Dalam kata lain perihal ini bermaksud manusia bukan sahaja menjaga hubungannya
dengan pencipta secara vertikal, apa yang disebut sebagai ‘hablumminallah’
tetapi juga hubungan dengan manusia, alam dan haiwan secara horizantal atau
‘habluminanass’.
Bidang seni dan
rekaan juga tidak terlepas daripada terbias dengan fenomena baru yang menyerang
masyarakat dunia pada hari ini. Seniman hidup di dalam masyarakat, persekitaran
masyarkatlah yang menjadi inspirasi mereka dalam menghasilkan bentukan yang
mewakili masyarakatnya. Aznan Omar bukanlah nama baru dalam pengarcaan, pameran
solo kedua beliau di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara yang bertajuk ‘Manusia
dan Mesin’ adalah refleksi pelukis terhadap fenomena gaya hidup digital
masyarakat kita pada hari ini. Karya ini boleh dianggap kritikan sini beliau
terhadap kegilaan masyarakat kita pada hari ini terhadap penggunaan telefon
mudah alih sebagai interaksi sosial.
Perubahan
perhubungan ini bukan sahaja merubahan persekitaran masyarakat berhubung dari
segi sosial malah dari sudut budaya iaitu bahasa juga telah berlaku. Misalnya
istilah-istilah yang dicipta oleh pengguna telefon mudah alih seperti selfie,
wefie, viral, hashtag dan lain-lain telah memaksa badan perancangan bahasa di
negara ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka mencari padanan yang sesuai bagi
memenuhi permintaan bahasa masyarakat pada hari ini seperti swafoto, foto,
tular dan tanda palang bagi istilah-istilah baru itu tadi agar masyarakat lebih
memberi keutamaan meggunakan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi atau
perhubungan.
Terdapat tiga isu
utama yang dilontarkan oleh Aznan dalam penghasilan karya-karya dalam pameran
solo ‘Manusia dan Mesin’ ini. Pertama, ialah interaksi manusia dengan alat
teknologi mudah alih melibatkan penerokaan karya dari sudut amalan, tingkah
laku dan obsesi pengguna dalam menjalankan aktiviti komunikasi digital. Kedua, pengutaraan karya dari sudut aktiviti
perkongsian sosial yang melibatkan gaya hidup berswafoto dan berkongsi gambar
di media sosial. Pengalaman swafoto, isu berkaitan tular (viral) dan aktiviti
bergambar secara beramai-ramai juga dijadikan tema di dalam kajian ini. Ketiga
pula, merupakan penerokaan kajian ke atas gaya hidup berhibur menerusi hiburan
digital yang melibatkan aktiviti melayan muzik dan bermain permainan digital
mudah alih (games).
Sejarah media
sosial boleh dikatakan bermula dengan penemuan mel surat elektronik seperti
yahoo.com dan gmail.com. Revolusi ini telah menghasilkan bentuk perhubungan
yang lebih menarik dan interaktif seperti penerbitan penulisan diari atau
dokumentari seperti blog dan wordpress.
Kelangsungan daripada itu terbentuk pula media sosial dalam bentuk video,
gambar dan multimedia seperti you tube, facebook, twitter, dan yang terkini
instagram. Dalam ‘Non Face To Face’ (2017) kelihatan sekumpulan figura duduk di
dalam kumpulan namun tidak memandang antara satu sama lain. Manakala di
bahagian kepada tersebut kelihatan ikon media sosial seperti facebook, whatapp,
twitter, wechat dan lain-lain. Kemahiran Aznan Omar dalam membentuk figura
dengan menggunakan kepingan aluminium memperlihatkan karya-karyanya arca
berdiri sendiri (free standing) yang dihasilkan dalam pelbagai variasi
kedudukan dan pada masa yang sama telah menyelesaikan permasalahan tapak arca.
Dalam karya
interaksi ‘Interaksi Bawah Meja’ (2018) yang menggunakan bahan kepingan
aluminium misalnya lapan figura yang sedang duduk di dalam meja bulat namun
masing –masing dengan aktiviti masing-masing menggunakan telefon pintar.
Kelihatan minda iaitu dibahagian kepada figura tersebut ikon-ikon yang terdapat
di dalam media sosial seperti tanda suka (liked) dan bersembang (chat). Di
dalam karya ‘From Vitual to Everyday Life’ (2018) dan ‘Gerak Layan’ (2018)
memperlihatkan arca dinding dan arca kinetik ini memperlihatkan pengaruh karya
Bruce Nauman yang menggunakan tiub neon dalam memberi pergerakan kepada figura
seperti ‘Five Marching Man’ (1985) dan
‘Mean Clown Welcome’ (1985).
Kesimpulannya, karya-karya
Aznan Omar boleh dikatakan telah memberi
sumbangan terhadap penggunaan bahan seperti aluminum dalam perkembangan seni
arca di Malaysia. Isu yang dibawa oleh beliau terhadap perilaku pengguna media sosial
di kalangan masyarakat kita pada hari ini adalah komentar sosial-budaya
terhadap masyarakat yang telah menghakis perhubungan dengan manusia.