Jumaat, 18 Januari 2019

Aznan Omar: Antara Seni, Persekitaran, Manusia dan Mesin



Oleh: Faizal Sidik

Masyarakat hari ini terutamnya di Malaysia sangat berbeza dengan kehidupan masyarakat pada 50 atau 60 tahun sebelumnya. Sebagai sebuah negara pertanian selepas kemerdekaan Malaysia memasuki fasa kedua sebagai sebuah negara perindustrian pada awal tahun 1980 an. Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh kerajaan membawa Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun sehingga dikenali sebagai The Asian Tiger atas kekuatan ekonominya. Penciptaan komputer dan evolusinya telah membawa kepada penciptaan-penciptaan yang sukar untuk dipercayai oleh masyarakat dahulunya.

Memasuki era teknologi maklumat mahu atau tidak mahu Malaysia perlu mengikut rentak negara-negara yang agak kehadapan ke arah itu maka Koridoraya Multimedia atau  Multimedia Super Corridor (MSC) telah dibangunkan pada pertengahan tahun 1990 an seperti model yang terdapat di Silicon Valley. Maka syarikat-syarikat luar yang berasaskan media telah diberi status MSC dalam menjalankan penyelidikan dan pelabur media baru seperti telekomunikasi, animasi dan media baru. Inkubator-inkubator sebegini di serata dunia ini telah menjadi makmal terhadap penciptaan manusia pada hari.

Kehadiran internet atau jaringan-jaringan yang menghubungkan antara satu sama lain seperti jaring pada sarang labah-labah telah memacu perkembangan teknologi perhubungan pada hari ini dan pada masa yang sama telah mengubah persekitaran kehidupan manusia. Teknologi yang juga world wide web atau www ini pada awalnya telah digunakan oleh Pentagon bagi kegunaan dalaman ketenteraan terhadap misi keselamatan dan peperangan telah dikomersilakan kepenggunaannya kepada orang awam. Pembinaan enjin carian yang terawal seperti Internet Explorer, Yahoo, Mozilla Firefox dan yang popular pada hari ini Google telah membuka era baru maklumat kini berada dihujung jari dengan adanya kabel internet di pejabat dan rumah. Capaian terkini melalui wifi atau internet tanpa wayar manusia kini boleh berkomunikasi walau dimana sahaja mereka berada di atas kapal laut, kapal terbang di udara atau di kutub utara sekalipun manusia masih boleh berhubung.

Sebagai makhluk sosial manusia sememangnya tidak boleh hidup keseorangan. Di dalam Al-Quran surah Al-hujurat ayat 13 Allah SWT berfirman masksudnya “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”. Ayat ini mengajak umat manusia bukan untuk bermusuhan terhadap perbezaan yang ada pada pada mereka dari segi warna kulit, bangsa dan agama tetapi untuk memakmurkan bumi ini. Dalam kata lain perihal ini bermaksud manusia bukan sahaja menjaga hubungannya dengan pencipta secara vertikal, apa yang disebut sebagai ‘hablumminallah’ tetapi juga hubungan dengan manusia, alam dan haiwan secara horizantal atau ‘habluminanass’.

Bidang seni dan rekaan juga tidak terlepas daripada terbias dengan fenomena baru yang menyerang masyarakat dunia pada hari ini. Seniman hidup di dalam masyarakat, persekitaran masyarkatlah yang menjadi inspirasi mereka dalam menghasilkan bentukan yang mewakili masyarakatnya. Aznan Omar bukanlah nama baru dalam pengarcaan, pameran solo kedua beliau di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara yang bertajuk ‘Manusia dan Mesin’ adalah refleksi pelukis terhadap fenomena gaya hidup digital masyarakat kita pada hari ini. Karya ini boleh dianggap kritikan sini beliau terhadap kegilaan masyarakat kita pada hari ini terhadap penggunaan telefon mudah alih sebagai interaksi sosial.

Perubahan perhubungan ini bukan sahaja merubahan persekitaran masyarakat berhubung dari segi sosial malah dari sudut budaya iaitu bahasa juga telah berlaku. Misalnya istilah-istilah yang dicipta oleh pengguna telefon mudah alih seperti selfie, wefie, viral, hashtag dan lain-lain  telah memaksa badan perancangan bahasa di negara ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka mencari padanan yang sesuai bagi memenuhi permintaan bahasa masyarakat pada hari ini seperti swafoto, foto, tular dan tanda palang bagi istilah-istilah baru itu tadi agar masyarakat lebih memberi keutamaan meggunakan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi atau perhubungan.

Terdapat tiga isu utama yang dilontarkan oleh Aznan dalam penghasilan karya-karya dalam pameran solo ‘Manusia dan Mesin’ ini. Pertama, ialah interaksi manusia dengan alat teknologi mudah alih melibatkan penerokaan karya dari sudut amalan, tingkah laku dan obsesi pengguna dalam menjalankan aktiviti komunikasi digital. Kedua,  pengutaraan karya dari sudut aktiviti perkongsian sosial yang melibatkan gaya hidup berswafoto dan berkongsi gambar di media sosial. Pengalaman swafoto, isu berkaitan tular (viral) dan aktiviti bergambar secara beramai-ramai juga dijadikan tema di dalam kajian ini. Ketiga pula, merupakan penerokaan kajian ke atas gaya hidup berhibur menerusi hiburan digital yang melibatkan aktiviti melayan muzik dan bermain permainan digital mudah alih (games).



Sejarah media sosial boleh dikatakan bermula dengan penemuan mel surat elektronik seperti yahoo.com dan gmail.com. Revolusi ini telah menghasilkan bentuk perhubungan yang lebih menarik dan interaktif seperti penerbitan penulisan diari atau dokumentari seperti blog dan  wordpress. Kelangsungan daripada itu terbentuk pula media sosial dalam bentuk video, gambar dan multimedia seperti you tube, facebook, twitter, dan yang terkini instagram. Dalam ‘Non Face To Face’ (2017) kelihatan sekumpulan figura duduk di dalam kumpulan namun tidak memandang antara satu sama lain. Manakala di bahagian kepada tersebut kelihatan ikon media sosial seperti facebook, whatapp, twitter, wechat dan lain-lain. Kemahiran Aznan Omar dalam membentuk figura dengan menggunakan kepingan aluminium memperlihatkan karya-karyanya arca berdiri sendiri (free standing) yang dihasilkan dalam pelbagai variasi kedudukan dan pada masa yang sama telah menyelesaikan permasalahan tapak arca.

Dalam karya interaksi ‘Interaksi Bawah Meja’ (2018) yang menggunakan bahan kepingan aluminium misalnya lapan figura yang sedang duduk di dalam meja bulat namun masing –masing dengan aktiviti masing-masing menggunakan telefon pintar. Kelihatan minda iaitu dibahagian kepada figura tersebut ikon-ikon yang terdapat di dalam media sosial seperti tanda suka (liked) dan bersembang (chat). Di dalam karya ‘From Vitual to Everyday Life’ (2018) dan ‘Gerak Layan’ (2018) memperlihatkan arca dinding dan arca kinetik ini memperlihatkan pengaruh karya Bruce Nauman yang menggunakan tiub neon dalam memberi pergerakan kepada figura seperti  ‘Five Marching Man’ (1985) dan ‘Mean Clown Welcome’ (1985).



Kesimpulannya, karya-karya  Aznan Omar boleh dikatakan telah memberi sumbangan terhadap penggunaan bahan seperti aluminum dalam perkembangan seni arca di Malaysia. Isu yang dibawa oleh beliau terhadap perilaku pengguna media sosial di kalangan masyarakat kita pada hari ini adalah komentar sosial-budaya terhadap masyarakat yang telah menghakis perhubungan dengan manusia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan