Ahad, 8 Oktober 2017

Nota Kurator Kuala Lumpur Biennale 2017

Faizal Sidik kurator 4th Singapore Biennale (2013) dan 1st KL Biennale (2017)


Oleh: Faizal Sidik

Dunia seni kini penuh dengan acara-acara seni yang pelbagai skala samada biennale, art fair, pameran di muzium, pameran di galeri, rumah lelongan ataupun di ruang-ruang awam. Biennale ataupun penganjuran acara yang diadakan secara dwitahunan atau dua tahun sekali ini begitu sinonim dengan acara kesenian dan kebudayaan yang menglibatkan penglibatan secara langsung sesebuah negara, bandaraya, bandar-bandar utama ataupun sesebuah organisasi seni. Venice Biennale, Sao Paolo Biennale, Sydney Biennale, Berlin Biennale, dan Fukuoka Asian Art Triennale misalnya adalah antara penganjuran biennale dan triennale yang melibatkan nama sesebuah ibu negara atau bandaraya besar utama dunia. Venice Biennale merupakan penganjuran pameran seni kontemporari yang tertua dan terawal sejak 1895. Di rantau Amerika Latin pula Sao Paolo Biennale mewakili suara Amerika Selatan yang pada tahun yang telah memasuki edisi yang ke-31. Beberapa biennale-biennale yang di atas masih muda tindakbalas daripada kehendak dan minat audien seni yang semakin membesar. Kehendak-kehandak ini tidaklah lahir dengan sendirinya malah ia adalah tindak balas bandaraya besar itu dalam menyediakan penganjuran acara seni dan budaya yang berkelas dunia sekaligus meletakkan negara mereka di dalam pemetaan acara seni terbaik untuk dikunjungi. Ia bukan sahaja pengacaraan semata-mata tanpa memikirkan pulangan lain dari sudut ekonomi yang boleh menjana industri pelancongan budaya yang akhirnya meningkatkan pendapatan perkapita negara tersebut.

Dalam bacaan mudah untuk negara ini bagi orang awam adalah jika saya masih ingat semasa saya di alam persekolahan kita pernah menganjurkan sirkit perlumbaan motosikal Grand Prix iaitu nama lama untuk Moto GP kini. Malaysia seingat saya telah diberi lesen oleh pemilik penganjuran di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan kemudiannya di Litar Pasir Gudang, Johor Baharu (mungkin satu strategi pemasaran kerana berhampiran dengan negara jiran Singapura). Bermula dari sirkit inilah Malaysia telah diberi laluan untuk mengadakannya beberapa tahun, namun pada masa yang sama negara telah melobi kepada FIA iaitu pengajuran asal perlumbaan kereta Formula One yang membawa kepada pembinaan projek Litar Antarabangsa Sepang, berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Malaysia sehingga kini masih mendapat hak penganjuran daripada penganjur untuk menganjurkan edisi ke-19 iaitu yang terakhir pada tahun ini. Melihat kepada acara ini boleh menjana kewangan daripada industri penerbangan dan perhotelan di samping tempat-tempat tarikan pelancongan yang ditawarkan di sekitar Lembah Klang, lima tahun akhir ini negara jiran sebelah juga memohon hak untuk mendapatkan hak penganjuran namun dengan kelainan sedikit yang diadakan disebelah malam.

Apa yang ingat saya sebutkan di sini adalah sebagai sebuah naratif atau kronologi sesebuah penganjuran yang bersifat sirkit atau pusingan. Jika anda menganalisis Moto GP atau Formula One sirkit-sirkit ini akan langsungkan mengikut negara-negara rantau atau benua yang berhampiran dahulu sebelum beralih kepada bandar-bandar yang lebih jauh jaraknya untuk difikirkan dari sudut logistik untuk memudahkan pemindahan dan mengurangkan kos. Selain itu faktor laluan atau route circuit kepada para peminat dalam merancang perjalanan mereka yang lebih tersusun dan tidak melangkau juga perlu diberi perhatian. Dalam penganjuran Biennale juga faktor-faktor tarikan ini perlu dilihat semula dalam membaca psikologi pelawat dalam membuat keputusan. Tidak hairanlah acara biennale kini bukan lagi hanya berdiri sebagai sebuah biennale, ia kini digunakan oleh negara-negara yang menganjurkannya juga sebagai satu platfom untuk mempertontonkan dan meninggikan lagi taraf negara dari aspek kesenian mereka setanding dengan negara-negara yang lebih maju dari mereka di arena antarabangsa. Biennale adalah satu perlaburan jangka panjang yang bukan sahaja mensasarkan kepada audien-audien budaya tetapi menjadikan sesebuah negara penganjur sebagai muzium tanpa sempadan atau a museum without a wall dalam menarik perhatian dunia.

Apabila membicarkan biennale yang menyempenakan namanya berdasarkan bandar atau bandaraya dimana ia berada seperti Sydney Biennale, Berlin Biennale, Liverpool Biennale dan yang lain-lain, sudah tentu ia melibatkan kerajaan tempatan atau majlis bandaraya dimana penganjuran itu dilakukan dalam menghormati autoriti mereka dalam yang empunya tempat atau lokasi biennale itu diadakan. Biennale yang menggunakan nama bandarya ini daripada pengamatan saya beroperasi bukan sahaja atas nama penganjuran biennale seni, malah majlis bandaraya berkenaan  mempunyai serampang dua mata dalam menyediakan infrastruktur-infrastruktur yang lain yang dapat membantu dalam mempermudahkan tempoh jangka masa kelansungan acara  itu diadakan di bandaraya mereka. Penglibatan Datuk Bandar di dalam lembaga tertinggi dalam penganjuran Biennale adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian sebagai pemudah cara kerana ia melibatkan bandaraya itu sekaligus akan memberi impak yang kuat dimata masyarakat dunia seni.

Perihal ini jugalah yang berlaku di dalam sejarah awal penganjuran Venice Biennale dimana Datuk Bandar Venice pada masa itu Ricardo Selvatico memberi komitmen yang cukup besar dalam menarik pengunjung ke bandar itu. Tidak hairanlah kini Venice yang kaya dengan sejarah sejak Zaman Pencerahan atau Renaisan pada abad ke-15 dengan seni lukis, seni bina dan sebagai pusat perdagangan utama di Eropah pada masa itu masih mengekalkan kecermelangannya sebagai bandar kebudayaan yang harus di lawati di Itali selain dari bandarayanya iaitu Rom dan juga Milan. Apabila mengkaji berkenaan Venice Biennale pembaca sering difahamkan dengan penganjuran seni kontemporari antarabangsa yang berskala raksasa sifatnya, anggapan di bukanlah tidak benar tetapi tidak tepat. Walaupun pada awalnya Venice Biennale menumpukan penganjurannya kepada acara seni lukis namun pada hari ini ia meliputi pelbagai disiplin seni yang lain seperti seni bina, seni filem, seni tari, seni muzik, seni teater dan juga persidangan antarabangsa arkib sejarah.

Untuk membaca Venice Biennale itu bolehlah dikatakan begini, La Biennale atau The Venice Biennale merupakan penganjuran dwitahunan acara kesenian yang sungguhpun produk utama mereka adalah Art Biennale (56th International Art Exhibition) atau pameran seni lukis antarabangsa yang dianjurkan pada tahun 2017 misalnya, yang diadakan di lokasi utama iaitu di Giardini, Arsenale  dan pavillion negara merata ceruknya yang  biasanya diadakan pada musim panas iaitu pada Jun hingga  November  boleh dikatakan dalam tempoh enam bulan. Namun pada tahun berikutnya pula iaitu Venice Biennale 2018 akan di isi dengan Architecture Biennale (16th International Architecture Exhibition) juga biasanya pada masa musim panas iaitu pada Jun hingga November disamping pengisian lain pada tahun yang sama dengan 73rd Venice Film Festival, Dance Biennale (11th International Festival of Contemporary Dance), Music Biennale (61st International Festival of Contemporary Music), Theatre Biennale (45th International Theatre Festival) dan ASAC Biennnale (The Historical Archives of Contemporary Arts). Maksudnya disini adalah The Venice Biennale ini beselang setahun diantara pemeran seni lukis antarabangsa dengan penganjuran antarabangsa genre-genre seni yang lain.

Di awal perenggan saya ada menyebut tentang beberapa jenama biennial yang melibatkan nama pusat bandaraya sesebuah negara, namun begitu terdapat juga biennnial yang diadakan di dalam institusi penting negara itu dalam mengadakan pameran yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa. Contohnya Whitney Biennial di Whitney Museum of American Art, Fukuoka Asian Art Triennial di Fukuoka Art Museum dan Taipei Biennial di Taipei Fine Art Museum. Whitney Museum yang menumpukan kepada seni lukis Amerika mula mengadakan biennial ini di premis mereka sejak 1932 lagi. Pada Whitney Biennial 2014 misalnya mereka menjemput tiga kurator diluar antaranya dari Museum of Modern Art (MOMA), Institute of Contemporary Art (ICAS) Philadephia dan Art Institute Chicago (AIC). Setiap kurator ini diberi kebebasan mengkuratorkan pameran mereka sendiri mengikut setiap tingkat aras bangunan museum.

Malaysia telah memutuskan untuk mengadakan biennale bandarayanya sendiri iaitu Kuala Lumpur sejurus hasil dari lawatan delegasi Malaysia yang terdiri oleh bekas Ketua Pengarah Balai Seni Negara yang lepas iaitu Encik Haned Masjak dan diri saya sebagai kurator pengiring yang ditaja oleh pihak Matrade untuk  kami melawat edisi 53th Venice Biennale pada 2011 yang bertemakan √ćllumination' dikuratorkan oleh Bice Curiger. Pada mulanya lawatan awal adalah melihat bagaimana Venice Biennale dianjurkan dengan lebih dekat melalui lawatan ke taman pavillion negara-negara yang terletak di Giardini dan bekas gudang Arsenale. Walaupun terdapat beberapa pelukis Malaysia yang telah mengambil bahagian dalam Venice Biennale sebelum ini tetapi mereka hanya menumpang pada pameran satelit atau menumpang pada pavillion negara lain dan bukan di bawah pavillion Malaysia secara rasmi ini dilihat belum cukup untuk meletakkan Malaysia di peta seni dunia.

Dalam kata lain lawatan ini adalah  untuk membuat penyelidikan bagi penyertaan rasmi Malaysia pada Venice Biennale berikutnya 2013, tetapi hasrat ini belum lagi tercapai kerana belanjawan logistik pameran selama enam bulan yang terlalu mahal. Kapisiti Balai Seni Negara sebagai institusi tunggal seni negara masih belum mampu menampung kos berkenaan disamping perlu mencari rakan pintar lain melalui yayasan atau dana swasta dalam menampung kos bersama.  Dalam perjalanan ke arah itu Malaysia telah memilih untuk menganjurkan Kuala Lumpur Biennale, iaitu biennale pertamnya terlebih dahulu sebagai persediaan untuk acara yang lebih besar seperti Venice. Hasilnya pada tahun 2014 langkah-langkah untuk mengadakannya pameran mega sebagai salah satu kalender penting seni sezaman dirantau Asia Tenggara ini telah dijalankan. Beberapa siri bengkel telah diadakan seperti  sesi penerangan ‘Pulangan Modal Pelaburan' atau Return of Investment (ROI) oleh panel Majlis Tindakan Ekonomi Negara, simposium 'Biennale Art in the City' dari 15 hingga 17 Disember 2015,' bicara seni menerusi 'Biennale Book Club Talk' oleh Alfanso Hug pada 2 Mac 2016, pameran ‘’Retro Biennale’’ 2016 dan lawatan tapak ke lokasi-lokasi pameran setelit di lokasi terpilih.

Perletakan biennale adalah forum, platform atau suara benua yang diwakilinya. Adakah kewujudan biennale di Asia Tenggara ini seperti Kuala Lumpur Biennale, Singapore Biennale, Jakarta Biennale dan Jogjakarta Biennale adalah mewakili suara rantau ini kepada dunia? Sao Paulo Biennale misalnya menghubungkan seni di Amerika Selatan (Brazil terutamanya) kepada Eropah dan Amerika Syarikat. Havana Biennale (Cuba terutamnnya) pula menawarkan asas artistik menghubungkan Amerika Latin dan kepulauan Caribbean iaitu negara-negara berkecuali. Documenta pula dalam menjadikan Kassel sebagai tempat simbolik pengantarabangsaan seni Jerman selepas era Nazi  untuk menentang abstraksi Jerman Barat kepada Sosialis Realisme. Oleh itu Kuala Lumpur, Singapore, Jakarta/Jogjakarta perlu menjadi biennale  versi serantau  pertukaran antara tempatan dan antarabangsa sebagaimana kawasan ini pernah menjadi pusat perdagangan entreport pada masa dahulu. Kini nilai-nilai semangat Asean seperti kerjasama serantau, keutuhan wilayah, kedaulatan, pemupukan keamanan, sikap berkecuali, pertikaian secara damai melalui dialog dan rundingan seperti yang terdapat pada piagam yang perlu sejagatkan. Di sinilah kekuatan identiti biennial atau suara kita dalam menghubungkan Asia Tenggara kepada dunia.

Nilai kebersamaan yang universal melalui tema kesejagatan perihal kemanusiaan inilah yang diangkat semula melalui tema Alami Belas (Beloved) oleh Kuala Lumpur Biennale 2017. Wajah pameran berskala besar seperti biennale dan triennale kini lihat bersifat eksklusif kepada mereka yang berduit dan berharta dan kelihatan elitis dengan imej kapitalisme pembuat modal manakala golongan pekerja yang disuakan dengan seni popular dan dikatakan bersifat hiburan semata-mata. Sesuai dengan konteks biennial medium penerokaan dan mempersoal perihal yang berlaku sekarang, KL Biennale adalah anti pemodenan yang murung jiwanya, ia ingin mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada dunia pada hari ini dan perlunya golongan seniman terlibat sama dalam menyeimbangkan semula keadaan. Alami Belas mengajak manusia menoropong jauh ke dalam diri bermuhasabah mengajak kita kembali menginsani semula hubungan kita dengan alam, manusia dan tuhan.

Mengambil daripada bunga teratai atau lotus sejenis tumbuhan akuatik yang berasal dari Asia yang merupakan simbol kepada kemurnian sebagai simbol tema Alami Belas. Setiap kelopak inilah yang ingin dibelasi, dikasihi, dicintai  semulanya jiwanya melalui belas kepada Alam, Haiwan, Insan, Warisan, Kerohanian dan Belasungkawa. Biennale yang tinggi seninya akan mempamerkan karya yang kurang ikatannya dengan orentasi pasaran dan citarasa yang dipandu oleh kolektor kerana sifatnya  lebih kritikal dan lebih mencabar. Tema-tema kecil inilah yang ingin dicabar oleh kumpulan kurator melalui medium simbolik seperti sinema, reka bentuk dan seni bina dalam kata lain lebih sezaman melalui aturan kuratorial  seperti (sokongan tenaga antarabangsa, pameran dikuratokan artis, pameran satelit dan pameran koloborasi) dan struktur pameran (secara geografinya bersama program sokongan, simposium, penerbitan).

Karya-karya terpilih yang dipamerkan di dalam mana-mana biennale biasanya lebih cepat dicerap audien dan wacananya mempunyai pelbagai tafsiran berdasarkan konteks yang dikupas. Dalam pameran mega yang berskala besar ini karya-karya pelukis luar yang terpilih  diimport jemput masuk ke dalam pameran bersama-sama pelukis tempatan dan bersama koleksi Balai Seni Negara dalam mewujudkan kebersamaan tema dan konteks penceritaan  disamping memperkayakan lagi tatabahasa bahasa visual pelukis tempatan atau koleksi melalui pertukaran budaya visual dalam memperkasakan muzium sebagai tempat pemulihan jiwa atau musabah diri.

Akhirnya, pelantikan sebagai kurator Biennale Kuala Lumpur 2017 atau  kali kedua selepas dipilih kurator pameran mega Singapore Biennale 2013 bersama 27 orang kurator antarabangsa yang lain empat tahun sebelum ini banyak membantu profesionalisme dalam selok-belok pengkuratorial KL Biennale. Sebagai anak sulong dan saiz belajawan yang agak ketat sudah tentu pementasan pertama ini amat berguna sebagai perancangan jangka panjang kepada kita dalam bergerak ke hadapan dalam menjadikan ‘wajah’ Kuala Lumpur sebagai bandaraya global yang lebih dekat ‘rupa’ belasnya kepada alam dan manusia sebagai pelestarian ekosistem.



Faizal Sidik, 'KL Biennale Mendekati Alam dan Manusia', Dewan Budaya, Bil. 4 2018 (April), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, ms 48-51.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan