Sabtu, 21 Oktober 2017

Menangani Dilema Pelukis Muda


Oleh: 
Faizal Sidik, ''Menangani dilema pelukis muda'', Berita Harian (Komentar Sastera & Budaya),3 Julai 2017


Sejak tahun lepas diambang ekonomi dunia mengalami kejatuhan, beratus-ratus ribu pekerja kini diberhentikan akibat penutupan dan pengecilan syarikat yang beroperasi. Laporan mendedahkan tahap penganguran anak muda dinegara ini yang  berumur bawah 25 tahun berjumlah 273,400 individu. Tempias krisis ekonomi global bukan sahaja mengecilkan peluang pekerjaan malah turut terjejas di sini adalah pekerja kreatif yang menampung kariernya sebagai sebagai pelukis, pereka grafik, pereka set, pengajar seni dan lain-lain tidak terkecuali di sini menghadapi masalah pengangguran diberhentikan akibat pengecilan syarikat atau syarikat tidak mampu membayar gaji pekerja akibat aliran tunai yang lembap.

Bagi pelukis sepenuh masa pula sudah tentulah dengan pasaran seni yang kecil disini kerana masih lagi kekurangan patron seni terutamanya kolektor persendirian mahupun korporat ditambah pula dengan pasaran seni dunia yang perlahan lebih-lebih lagi di sini mata pencarian mereka semakin hari semakin hilang daripada krisis ini. Untuk mengatasi atau setidak-tidaknya memberi harapan kepada pelukis yang diberhentikan ini untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti mereka perlu kepada sumber ekonomi untuk menjamin survival karier mereka dalam bidang ini daripada terus terkubur, perlu dicari beberapa langkah agar mereka yang telah bekarya selama ini dapat terus memegang berus dan kanvas dalam usaha menghasilkan karya-karya karya baru bagi mengisi keperluan negara dalam bidang estetik agar pelancong yang datang ke negara kita tidak melabel rakyat Malaysia mempunyai apa yang dikatakan citarasa yang rendah atau ‘bad taste’.

Disini ada beberapa pendekatan yang dirancang dalam kita bersama-sama mengharungi krisis ini terutamanya kepada pelukis-pelukis yang terkesan dalam hal ini. Semasa Amerika menghadapi krisis ini di zaman kemelestan ekonomi yang teruk dalam sejarahnya pada tahun 1935, Roosevelt iaitu presiden mereka pada masa itu telah membina satu program yang dinamakan Treasury Relief Art Project (TRAP) yang dibentuk pada July 1935 dengan pemberian geran daripada Works Progress Administration (WPA) dibawah Jabatan Pembendaharaan yang mengaji lebih kurang lima ratus artis di Amerika pada masa itu yang menganggur atau telah diberhentikan kerja untuk mendekorasi atau menghiasi lebih kurang 1,900 bangunan kerajaan. TRAP adalah merupakan projek kerajaan persekutuan yang bertujuan membantu pelukis-pelukis agar ini menghasilkan hasil kerja mereka yang berkualiti dan bangunan-bangunan awam pada waktu itu.

Pemilihan daripada jawatankuasa program TRAP ini datangnya daripada mesyuarat ringkas yang menghadkan kepada hanya lima ratus pelukis terutamanya kepada organisasi seni lukis iaitu kumpulan-kumpulan seni yang ada adalah diberikan perhatian lebih diberikan perhatian dari segi keperluan hidup mereka daripada kualiti seni yang akan mereka hasilkan nanti. Pelukis-pelukis yang menyertai program ini perlu mengistiharkan mereka merupakan pelukis sepenuh masa atau yang masih belum mempunyai pekerjaan semasa berada dalam program ini. Peserta dalam program TRAP ini di beri gaji bulanan dan mereka perlu bekerja selama lima belas jam seminggu. Ia juga bertujuan agar artis yang kehilangan sumber pendapatan selama ini boleh membeli sumber makanan yang lebih baik daripada sup soya (mungkin makanan yang paling murah seperti mee maggi untuk kita disini) dan mereka mempunyai sedikit masa lapang untuk kembali menghasilkan karya dan memberi keyakinan kepada mereka atau motivasi diri. .

Pada tahun 1937 Program Treasury Relief Art Project TRAP ini telah di naik taraf kepada WPA Federal Art Project atau hanya WPA dengan beberapa pembaharuan telah dilakukan.terhadap program ini terutamanya dari aspek persekitaran pekerjaan. Antara artis yang terpilih untuk turut dalam WPA ini akhirnya telah menjadi nama besar negara itu dan dunia seni lukis seperti Jackson Pollock, Mark Rothko, Willem de Kooning, Louise Nevelson, David Smith, Lee Krasner, Philip Gusto, Ad Reinhardt, Arshile Gorky, Milton Avery, William Baziotes dan lain-lain. Program ini pula terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Mural Division atau projek mural dan Easel Division iaitu projek catan easel. Bagi pelukis yang mengambil bahagian dalam projek mural mereka, kedua-dua projek ini diperuntukkan material secara percuma.

Di awal projek ini pelukis easel perlu mengketik kad pada jam 8 pagi untuk masuk dan pukul 4 petang untuk keluar. Jackson Pollock pernah diceritakan berlari terkejar-kejar dengan masih memakai pejamas di waktu itu untuk tidak terlewat mengetik kad di bangunan yang beliau ditugaskan untuk mengelakkan dirinya tidak menerima bayaran harian. Bagi Easel Division pelukis easel bekerja tanpa ada penyeliaan dan bekerja di studio mereka. Dari sumber yang di rujuk untuk Mark Rothko mendapatkan cek, beliau perlu menghantar hasil catan minyak setiap empat hingga enam minggu (bergantung kepada saiz) untuk diletakkan di bangunan kerajaan. Berbeza pula dengan muralis, mereka diharapkan untuk menghasilkan “American Scene” dimana mereka bebas untuk mengaplikasikan stail mereka sendiri.

Program sebegini selain memberi sokongan kepada artis dan memberi semangat kepada ia perlu juga dilihat dari segi keprihatinan terutamanya kepada artis yang bekerja di studio sendiri. Pernah suatu ketika semasa penyelia datang ke studio Mark Rothko penyelia tersebut meninjau-ninjau peti sejuk untuk melihat berapa banyak makanan yang beliau ada. Program WPA ini tidak terhenti sekadar suatu program kepada artis yang tidak mempunyai pekerjaan pada masa itu sahaja malah ia juga telah disokong dengan program sampingan daripada program ini seperti program instruktor seni, pusat seni komuniti, art tour atau lawatan berpandu seni ke studio-studio artis yang terlibat atau ke pameran-pameran, dan berkumpulan yang diadakan mereka dan galeri seni. Idea daripada program WPA ini maka terbinalah galeri seni iaitu Federal Art Gallery iaitu galeri milik kerajaan yang berkonsepkan galeri swasta yang mengadakan program pameran bersilih ganti bagi menjual karya dan menyokong karier pelukis.

Berdarkan model-model yang telah ada ini jugalah Balai Seni Negara mengorak langkah yang lebih berstrategi dalam menangani dilema pelukis di sini antaranya ialah penjenamaan semula Ruang-Ruang Kreatif, memperkenalkan program Ushawan Muda Seni dan  pembinaan cawangan pertama Balai Seni Negara di Langkawi.

Idea perancagan Ruang Seni atau Creative Space ini telah dijalankan sejak pertengahan tahun 1980 an lagi setelah Balai Seni Negara berpindah ke bangunan barunya (kini Hotel Majestic) daripada bangunan lama Parlimen Malaysia (kini Pusat Pelancongan Malaysia atau Matic). Pada awalnya Ruang Kreatif ini ditempatkan di sebelah bangunan utama galeri, dibina untuk memberi peluang kepada pelukis-pelukis muda yang sukar mendapat tempat di galeri swasta untuk berpameran. Sungguhpun begitu apabila berpindah ke banngunan tetap yang ada kini Ruang Kreatif masih digerakkan  namun terarah kepada program-program pendidikan dan penghayatan seni.

Meminjam model daripada Faderal Art Gallery, kini Balai Seni Negara menjenamakan semula ruang-ruang ini  dengan memberi nafas baru kepada Ruang Kreatif di Lobi Bangunan Pentadbiran bukan sahaja memberi peluang kepada pelukis-pelukis muda untuk berpameran malah menjana kewangan hasil daripada jualan karya, tujuannya bukan untuk menjadi pesaing kepada galeri-galeri swasta yang beorentasikan keuntungan tetapi sebagai satu promosi yang boleh merancakkan lagi lanskap seni dalam usaha mempelbagaikan penjanaan pendapatan kepada pelukis. Atas permintaan yang tinggi daripada pelukis kini Balai Seni menambah dua lagi Ruang Kreatif di Galeri Potret dan Ruang Kreatif di Hotel Seri Pasific.

Bagi program Ushawan Muda Seni pula atau dikenali dengan Young Art Entrepreneurs (YAE!) dirancang dalam membendung penganguran dikalangan praktis seni muda terutamanya yang baru keluar daripada institusi pengajian seni dan masih mencari-cari tapak dalam memulakan karier seni mereka. Program berpandukan kepada budaya keushawanan seni halus sebagai perniagaan ini membuka peluang kepada lepasan graduan seni membina jaringan niaga  berdasarkan kemahiran seni yang mereka miliki. Mendedahkan semangat keushawanan dikalangan kepada lepasan diploma dan ijazah, program latihan semula secara inkubator selama 6 bulan di Depot Seni Kontena, diharap dapat mendedahkan pelukis muda  kepada dunia komersialisasi dalam menjana pendapatan berasaskan pengkaryaan mereka sebagai pengusaha seni yang berdaya saing agar lebih bersedia apabila terjun ke dunia seni sebenar.

Mempunyai kepentingan yang bersifat nasional, pembinaan cawangan pertama Balai Seni Negara di Langkawi dalam hampir 60 tahun setelah penubuhan institusi ini diharapkan dapat menawarkan permintaan yang datang daripada pelukis muda dari negeri-negeri utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Mengambil peluang Langkawi sebagai pintu masuk utama kepada pelancong-pelancong antarabangsa yang datang ke Malaysia. Dalam menyemarkkan lagi industri perhotela sudah tentu bukan sahaja memerlukan pengarah seni malah pelukis dalam menceriakan dinding-dinding dalam dan luar. Pembukaan ini diharapkan akan bukan sahaja dapat menjalinkan kerjasama pemain-pemain industri dan rumah-rumah seni tempatan dengan merancakkan lagi penghasilan karya-karya seni oleh pelukis dengan serius dalam menjadikan langkawi hab seni baru sebagai muzium terbuka dalam pulau.

Kesimpulan
Oleh yang demikian krisis yang menyebabkan penganguran dikalangan pelukis ini wajar dibantu dengn beberapa saranan dan perancangan di atas agar mereka boleh terus hidup dan berkarya. Hal ini kerana karya seni halus adalah cerminan kepada budaya kehidupan dan pemikiran masyarakat yang mendukungi di negara tersebut pada sesuatu era atau atau zaman. Kalau tinggi nilai estetiknya maka tinggilah taraf daya fikir masyarakat itu dan akan dihormati oleh orang luar yang pandai menghargainya. Artis berkarya adalah atas dasar cinta dengan apa yang mereka lakukan, maka jika bukan atas dasar cinta tiadalah produk yang dapat dihasilkan, oleh sebab itulah mereka terus berkarya.dan kerana itu adalah hanya pekerjaan yang mereka mahir. Diharap program sebegini diharapkan dapat diaplikasikan dengan jayanya disini bagi memperkasakan lagi pengkaryaan seni di negara ini kerana ia akan menjadi khazanah warisan negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan