Isnin, 1 Mei 2017

Cerita Songket Faizal Sidik


Oleh: Raja Yusoff Ariffin

Faizal Sidik yang dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor pada 1978, kini menetap di
Damansara, Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan formal seni dalam bidang Seni Halus di
Universiti Teknologi Mara (UITM) dari tahun 1996 hingga 2000, dia bertugas sebagai
kurator di Balai Seni Visual Negara mulai tahun 2010 sambil berkarya dari semasa ke
semasa. Bertugas sambil berkarya memanfaatkan bakat bukan asing bagi Faizal kerana dia
sendiri mahu dikenali, dan amat selesa sebagai kuratis.

Sebagai kurator, Faizal giat mengkuratorkan pameran seni dan menyumbang penulisan seni
untuk katalog, akhbar harian, majalah, dan blog. Pada tahun 2013, dia dijemput sebagai
kurator bersama untuk Singapore Biennale, iaitu sebuah acara seni dwi-tahunan yang terbesar
di rantau ini. Dia juga pernah menjadi pendidik seni selama beberapa tahun di beberapa buah
institusi pendidikan seni awam dan swasta seperti UITM dan Kolej Universiti SEGI. Pada
masa yang sama, dia juga kerap melakukan kembara seni seperti ke Berlin, Rome, Paris,
Venice, Milan, Busan dan beberapa buah negara Asia Tenggara.

Setelah mengadakan dua buah pameran solo, iaitu “Faizal Sidik: Drawings 1996-2006” di
Galeri MTDC, yang menghimpunkan karya-karya lukisannya selama 10 tahun, dan “Sublime
Weave” dengan kerjasama Pusat Seni Halus Shalini Ganendra dan Pusat Seni Persembahan
Kuala Lumpur (KLPAC), Faizal mengadakan pameran solo “Faizal Sidik: Catan Songket”
pada 2 hingga 28 Februari 2017 yang lalu di Muzium Seni Asia (MOAA), Universiti Malaya.
Pameran solo “Faizal Sidik: Catan Songket” anjuran MOAA dengan kerjasama Koperasi
Pelukis-pelukis Negara Berhad (KPNB) menghimpunkan lebih 50 buah karya seni terbaharu
yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga 2016.



Songket merupakan seni kraf tekstil tradisi Melayu yang terkenal di seluruh dunia yang
menggunakan elemen geometrik dalam menghasilkan corak. Catan songket di atas kanvas
oleh Faizal Sidik merupakan satu kesinambungan tradisi dalam bentuk catan kontemporari
yang menggunakan motif songket.

Sebanyak 10 buah catan, 40 buah lukisan dan lakaran, dan empat buah arca yang mengambil
inspirasi corak bunga songket seperti bunga bintang, bunga tanjung, matahari, dan awan larat
adalah antara karya yang dipamerkan dalam ‘Faizal Sidik: Catan Songket’. Pelukis
menggabungkan kraf dan kesusasteraan tradisi melalui tema mengenai naratif dalam sejarah
Melayu mengenai perjalanan Tun Mamat dan Laksamana yang melalui sebuah taman yang
indah dan misteri untuk meminang Puteri Gunung Ledang seperti yang diungkapkan dalam
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.



...Maka kata Tun Mamat kepada Laksamana dan Tun Setia “Tinggallah Orang Kaya
Laksamana semuanya di sini, biar beta naik,” Maka kata Laksamana, “Baiklah.” Maka Tun
Mamat pun pergi dengan dua tiga orang pantas berjalan sertanya, berjalan naik gunung itu.
Setelah dekatlah pada buluh perindu seperti akan terbanglah rasa orang yang naik ke
gunung itu, daripada sangat keras angin itu. Maka awanpun seperti dapat rasanya, dan
bunyinya buluh perindu diatas gunung itu terlalu merdu bunyinya, burung terbang itu
hinggap mendengar bunyinya dan segala mergastua yang mendengar itu sekaliannya
tercengang. Maka Tun Mamat bertemu dengan satu taman, maka Tun Mamat masuklah di
dalam taman itu... (Tun Sri Lanang)

Terdapat dua perkara menarik dalam pameran ini yang sukar untuk dilihat lagi dalam
pameran seni di mana-mana. Pertama, sebuah karya catan songket di atas kanvas berjudul
Taman Impian Ledang II berukuran 18 kaki. Karya tersebut boleh dianggap
sebagai catan songket yang terpanjang pernah dihasilkan di negara kita. Dalam karya
tersebut, pelukis menggambarkan sebuah taman mistik yang indah dipenuhi beraneka bunga.
Kedua, pada awal pamerannya, Faizal merakamkan teks sastera melalui lukisan bersiri
dengan tajuk Peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Raja Melaka. Terdapat kronologi 18
babak lukisan landskap mengenai perjalanan rombongan tersebut. Di akhir babak, terdapat
permintaan-permintan yang diinginkan oleh puteri yang perlu dipenuhi.



Faizal sebagai pelukis menyatakan kegilaan sang raja yang sanggup melakukan apa sahaja
bagi memenuhi keinginan hati walaupun ia membebankan ahli keluarga dan rakyat. Karya
tersebut merupakan satu komentar sosial terhadap ketamakan penguasa seperti desperado.
Pameran “Faizal Sidik: Catan Songket” dirasmikan oleh Naib Presiden Arts, Crafts & Guild
Malaysia (ACG), Fatimah Chik pada 18 Februari 2017 yang lalu. Turut menghadiri majlis
Perasmian termasuklah Ketua Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, Abd. Aziz Abdul
Rashid; Pengerusi KPNB, Zubair Afandi Omar; pensyarah FSSR, UITM, Perak, Azhar
Manan, dan kurator jemputan, Idarina Ibrahim.

Menurut Idarina, Faizal telah mengimarahkan persada seni visual negara dengan mengadakan
pameran solo ketiganya itu sebagai menyahut cabaran revolusi ekonomi tahun 2017.
Universiti Malaya hanya menyediakan lokasi dan keseluruhan kos pameran ditanggung oleh
karyawan, dan pasukan mencari resolusi.

Idarina menyatakan kekagumannya terhadap Faizal kerana penganjuran pameran solo itu
adalah untuk mencanangkan bahawa biar apa pun revolusi yang sedang berlaku, dia masih
berdiri teguh memartabatkan karya seni visual Malaysia ke peringkat dunia.

Pameran solo ‘Faizal Sidik: Catan Songket’ merupakan adaptasi prihatin Faizal terhadap
manuskrip Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu yang memiliki pelbagai versi, dan salinannya
yang amat banyak sehingga menjangkau 32 buah. Kesemuanya tersimpan di beberapa buah
perpustakaan utama seperti di London, Leiden, Moscow, dan Jakarta.



Faizal seorang yang tekun dan fokus dalam setiap kajian dan kepekaannya dalam memahami
ilmu seni halus. Dia telah memusatkannya dalam memahami keindahan dan nilai-nilai
estetika penulisan Sulalatus Salatin dalam babak Tun Mamat memasuki sebuah taman
kayangan di lereng Gunung Ledang.

Seni keindahan dan keluhuran penulisan manuskrip telah memberi satu keluhuran pada diri
Faizal merealisasikan visualnya ke kanvas dengan menggapai keindahan seni tenunan
songket untuk digabungkan.

Di sini, menurut Idarina, penghayat harus menikmati budi bicara luhur seni visual Faizal
dalam mengungkapkan karya seni siri Taman Misteri Gunung Ledang. Dia mengukir
keluhuran dan keindahan bicara manuskrip Sejarah Melayu dengan berhati-hati, memikirkan
medium yang berpadanan dengan mendemonstrasikan estetika taman yang dimasuki oleh
Tun Mamat.



Faizal turut memperhalusi dasar teori Edmund Burke dalam merungkai karya siri-siri Taman
Misteri Gunung Ledang dengan memasukkan teknik seni tenunan kain songket dibentangkan
di ruang kanvas. Justeru, Faizal secara luhurnya memelihara butir bicara siri Taman Misteri
Gunung Ledang menerusi pendokumentasian keindahannya kepada asas teknik tenunan
songket yang selalu rapat dengan masyarakat Melayu.

Songket memang indah dan mewah, serta menjadi lambang kemegahan masyarakat
Nusantara, yang dizahirkan menerusi karya-karya siri Taman Misteri Gunung Ledang.
Karya-karya Faizal mengangkat kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wadah
komunikasi, dan ditampung oleh teknik visual songket lambang nilai estetika tanpa
sempadan. Pasti ini, jelas Idarina, ada keterbukaan dan perluasan minda Faizal dalam
menyusuri setiap sempadan negara mencari idea baharu.



Karya-karya seni Faizal membawa konotasi spiritual. Oleh itu, untuk memahaminya,
penghayat amat perlu memahami kosmologi nilai keindahan dan spiritual. Asas kesenian
tradisional telah bergabung di sini menerusi penulisan, pembuatan dan visual dalam suatu
karya.

Pencapaian idea yang menjadi pencetus dan bernas seorang karyawan amat perlu dalam
mengasah masyarakat untuk berfikir secara kritis dan memahami strategi latihan minda untuk
menggapai masyarakat intelektual.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan