Ahad, 16 April 2017

Puteri Gunung Ledang Dalam Catan Songket




Oleh : Muhammad Lutfi Zahid
Dewan Budaya, April 2017


Di Malaysia songket menjadi satu daripada seni tradisional yang amat popular dan amat sinonim dalam kehidupan masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu. Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun dengan mesin tradisional dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Setiap tenunan songket mempunyai corak tertentu, seperti bunga tabur dan bunga penuh.

Jika dilihat sejarah, songket mual terkenal di Malaysia pada awal abad ke-15 dan seterusnya berkembang pesat, terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Dahulunya songket hanya dipakai oleh golongan bangsawan, iaitu kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket pada ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Namun demikian, kini songket tidak asing lagi bagi masyarakat umum. Cara pemakaiannya juga lebih meluas dan menjadi pilihan utama untuk dijadikan sebagai busana bagi pelbagai perayaan, termasuklah hari raya dan majlis perkahwinan. Begitu juga dengan corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan dan peredaran masa. Terdapat juga songket yang mencecah harga ribuan ringgit, tetapi masih dibeli oleh orang yang meminatinyakerana keunikan coraknya dan nilai komersilnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa nilai songkat amat tinggi berdasarkan cara penghasilannya dan masa yang diambil untuk membuatnya. Songket Terengganu, misalnya, perlu melalui sekurang-kurangnya lapan proses bagi menghasilkan sehaelai kain songket. Hanya beberapa orang individu yang mahir menenun songket ini yang diajar dari zaman nenek moyang mereka. Hal ini membuatkan songket amat eksklusif, diangkat sebagai seni, dan menjadi simpanan turun temurun.

Namun demikian, kemunculan fabrik moden lain, seperti sutera dan kapas, menjadikan songket semakin dilupakan. Kegilaan anak muda terhadap fabrik moden ini mungkin disebabkan oleh kainnya yang lebih nipis dan harganya lebih murah untuk diperoleh. Hal ini menjadikan songket semakin tercicir daripada pilihan utama bagi generasi muda.

Atas dasar itu, Muzium Seni Asia, dengan kerjasama Koperasi Pelukis-pelukis Negara Berhad, menganjurkan pameran lukisan bertemakan songket bagi membuka mata masyarakat tentang keindahan seni tradisional kebudayaan Melayu ini. Pameran yang dikenali sebagai "Faizal Sidik: Catan Songket" ini menghimpunkan lebih daripada 50 karya seni yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga 2016. Songket merupakan seni kraf tekstil Melayu yang terkenal diseluruh dunia yang menggunakan elemen geometrik untuk menghasilkan corak. Catan songket di atas kanvas oleh Faizal menjadi kesinambungan tradisi dalam bentuk catan kontemporari yang menggunakan motif songket.

Pameran ini mempamerkan 10 buah catan, 40 buah lukisan dan lakaran, dan empat buah arca yang mengambil inspirasi corak bunga songket, seperti bunga bintang, bunga tanjung, matahari dan awan larat. Pelukis menggabungkan  kraf dan kesusasteraan tradisi melalui tema naratif dalam sejarah Melayu mengenai perjalanan Tun Mamat dan laksamana yang melalui sebuah taman yang indah dan misteri dalam usaha meminang Puteri Gunung Ledang. Kisah ini berdasarkan Sulalatus Salatin.

Bagi pengunjung yang menghadiri pameran ini terdapat pelbagai pekara yang menarik yang sukar untuk dilihat dalam mana-mana pameran seni yang lain. Antaranya termasuklah sebuah karya catan songket atas kanvas yang bertajuk Taman Impian Ledang II. Karya yang berukuaran 549 cm x 123.5 cm  atau 18 kaki ini dapat dikatakan sebagai catan songket terpanjang yang pernah dihasilkan. Pelukis menggambarkan sebuah taman mistik yang indah dipenuhi pelbagai jenis spesis bunga. Penulis ini yakin bahawa sesiapa sahaja yang melihat catan ini pasti terpegun dengan setiap perincian dan nilai estetika yang terdapat pada songket tersebut.

Disamping itu, pengunjung juga boleh mendapatkan gambaran awal mengenai kronologi peminangan Puteri Gunung Ledang dalam pameran ini, Faizal merakamkan teks sastera melalui lukisan bersiri dengan tajuk Peminangan Puteri Gunung Ledang oleh raja Melaka dengan kronologi 18 babak lukisan lanskap mengenai perjalanan rombongan itu. Pengakhiran babak memperlihatkan permintaan yang diinginkan oleh sang puteri yang perlu dipenuhi. Mengenai lukisan ini, pelukis menggambakan kegilaan sang raja yang sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi memenuhi keinginan di hati walaupun membebankan ahli keluarga dan rakyat. Hal ini menggambarkan komentar sosial terhadap ketamakan penguasa.

Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Itulah yang penulis ini gambarkan tentang keistimewan seni songket ini. Sememangnya keunikan songket ini tidak boleh ditandingi oleh mana-mana fabrik moden yang lain. Jika kita lihat seseorang iti memakai busana songket, walaupun sekadar samping songket, pastinya kita akan terkesima. Dapat dikatakan bahawa pemakaian songket menonjolkan semangat kebangsaan dan menggambarkan jati diri si pemakainya. Dalam seni catan juga, catan songket mempunyai kelasnya yang tersendiri dan mampu "menarik" mata yang melihatnya.

Pameran "Faizal Sidik: Catan Songket" in berlangsung di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, dari 2 hingga 28 Februari 2017 yang lalu. Pameran catan songket ini merupakan kesinambungan idea daripada dua pameran solo sebelum in . Pameran solo pertama bertajuk "Faizal Sidik: Drawings 1996-2006" berkangsung di MTDC Gallery, manakala yang kedua bertajuk "Sublime Weave" diadakan dengan kerjasama Shalini Ganendra Fine Ar dan Kuala Lumpur Performance Art Centre.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan