Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik, 'Sumbangan seni Siti Zainon wajar diiktiraf', Berita Harian (Sastera & Budaya) Rabu 19 April 2017, ms36. |
Pengenalan
Pada
10 April bertempat di Galeri Seni UPSI, Tanjung Malim berlangsung pameran solo
‘Siti Zainon Ismail: Dari Jogja ke Bawah Bayu’ iaitu sebuah pemeran karya
pilihan dari 1970 hingga 2016. Manakala pada sesi petangya pula dianjurkan pula
Seminar Etos Kesenian Visual sebagai apresiasi terhadap pengkaryaan beliau.
Saya
berkesempatan untuk melihat hampir 60 buah karya yang dipamerkan sepanjang 50
tahun pengkaryaan beliau dalam bidang seni dan sastera. Karya yang dipamerkan
di dalam pameran ini terdiri daripada lukisan, catan, arca dan buku-buku
penulisan beliau.
Bagi
saya pameran ini adalah sebuah mini retrospektif yang menghimpunkan karya
terpilih setiap dekad daripada era pembentukan beliau menjadi pelukis semasa di
Akademi Seni Rupa Indonesi ASRI
sehinggalah era-era perkelanaan pengkaryaan beliau di nusantara.
Bonda Seni Tradisi
Melayu
Ia
mengesahkan lagi bahawa Siti Zainon adalah seniman yang kuat berpegang kepada
akar-akar peribumi bangsa Alam Melayu bukan sahaja dari aspek kepelukisan
tetapi juga kepenyairan yang bermula sejak beliau bersama kumpulan Anak Alam lagi.
Haruskah
beliau disamakan dengan seniman
kontemporari pada hari ini? Pada saya meletakkan beliau sebagai ibu seni
kontemporari di dalam seminar itu adalah tidak kena pada tempatnya selain perlu
melihat kesenian Siti Zainon bukan diwacanakan dari sudut kaca Euro-Amerika
tetapi Asia Tenggara.
Apakah
itu seni kontemporari? Seni kontemporari adalah gerakan antarabangsa bermula di
akhir 60 an dan awal 70 an di Amerika dan Eropah sebagai satu manifestasi protes
seniman menolak seni moden.
Krisis
penolakan ini mempunyai kaitan dengan kegagalan modenisme itu sendiri yang
bermaksud ‘baru’ atau zaman pembaharuan yang melahirkan revolusi perindustrian
pada abad ke-18 yang menolak feudalisme.
Maka
lahirlah jiwa berontak yang disebut dengan pelbagai istilah yang dicipta oleh sejarahwan
mereka dalam mengenali diri manusia ini misalnya anti moden, pasca moden, avant-gardes baharu, pasca struktulis,
hypermodenisme, kontemporari, sezaman dan sewaktu dengannya.
Adakah
gerakan ini bahaya dan menjadi ancaman kepada budaya kita? Sudah terbukti ia
semakin terhakis dek pembawaannya bukan lagi melalui peperangan atau paksaan
seperti yang dialami oleh bekas-bekas anak jajahan yang mewujudkan kritik
pasca-kolonialisme tetapi melalui pengkaji-pengkaji budaya ketimuran untuk
mengaburi mata dan fikiran.
Walaupun
era kolonial telah berakhir namun pengajaran kesenian kita masih merujuk rangka
struktur yang diatur mereka dan hanya disalin dan ditampal daripada sejak pelajar
kita dilatih di luar, begitulah terpesonanya mereka dengan kontemporari.
Sedikit
demi sedikit nilai-nilai tradisi itu semakin tercabut dari akarnya. Apakah
masalahnya dan kesenimanan kita? Dalam konteks praktis seniman Melayu-Islam,
terdapat cubaan halus untuk menjauhkan seniman Muslim terhadap agama dan
keimanan mereka.
Kita
lihat keterhakisan nilai-nilai Melayu-Islam dalam berkesenian ke arah
keindahan, kebenaran dan ketenangan mengancam seniman-seniman muda kita
terhadap penciptaan karya-karya mereka pada hari ini yang menimbulkan keraguan,
ketegangan dan pembaziran. Terpesona dengan kontemporari yang melulu
pengkaryaan mereka penuh dengan kosmetik, mereka seolah-olah kehilangan
pengabdian diri.
Ancaman
dan cubaan inilah yang dipertahankan oleh tradisionalis seperti Siti Zainon
Ismail dan rakan-rakannya seperti Fatimah Chik dan Med Anuar Ismail misalnya
dalam menyelamatkan dan mewariskan seni tradisi Melayu kepada anak-anak kita.
Kesimpulan
Sesungguhnya
kasihnya bonda kepada anak-anaknya adalah dengan mengasihi, memupuk dan
mendidik mereka mencintai peninggalan warisan tradisi budaya bangsa.
Begitulah Siti Zainon Ismail telah 50
tahun mengumpul, menyelidik, melukis dan menulis khazanah seni budaya kita
tanpa penat dan jemu selayaknya beliau diberi pengiktirafan seni tertinggi
negara sebagai Bonda Seni Tradisi Melayu.