Rabu, 16 September 2015

Seni Lukis ASEAN : 5 Dekad Pembangunan dan Cabarannya


Oleh: Faizal Sidik



Pengenalan
Tanggungjawab korporat atau eksekutif sebagai penaung dan pemelihara warisan seni dan budaya dirantau ini boleh dilihat sejak kerajaan tradisional lagi. Semasa kegemilangan kerajaan Melayu di nusa tenggara ini seperti Melaka pada abad ke-14 dibawah pemerintahan Sultan Alauddin Riwayat Shah beliau menjemput pandai mahir dalam membuat perhiasan istana dengan menjadi milik kekal bagi golongan diraja dengan mengaji dan bekerja di istana boleh dikatakan sebagai bermulanya peranan golongan bangsawan atau korporat kita pada hari ini dalam menjaga dan memulihara khazanah bangsa untuk ditatap dari generasi ke generasi.

Sebelum itu jika kita menyelusuri kerajaan-kerajaan awal di Siam dan Indo-China yang lebih awal daripada itu seperti Champa, Annam, Ayudha, Jawa, Majapahit, Mataram, Sriwijaya merupakan antara kerajaan-kerajaan tradisional berlatarbelakangkan kepercayaan Hindu dan Buddha sebelum kedatangan Islam dirantau ini. Penemuan gendang Dong Song menandakan telah ada aktiviti kraf  dan seni pertukangan berasaskan logam yang terawal yang sudah tentu dinaungi oleh golongan berada yang terdiri daripada golongan diraja  sebagai satu alat istiadat golongan itu yang datangnya dari istana dalam menaja pembuatannya.

Selain itu atas dasar perlindungan daripada kerajaan yang lebih kecil dan lemah kepada kerajaan yang lebih besar dan kuat pada waktu itu seperti China. Kerajaan-kerajaan ini terpaksa membayar ufti atau hantaran seperti wang emas yang berbentuk pokok bunga yang bersadur dengan emas sebagai jaminan keselamatan daripada ancaman luar. Pembuatann hantaran perlindungan ini sudah tentu memerlukan pandai tukang yang mahir dalam seluk belok pembuatan acuan yang sudah tentu memerlukan kos yang tinggi pada masa itu. Golongan istanalah yang bertanggungjawab yang mempunyai sumber kewangan daripada kutipan  mashur bumi dalam menjadi patron kepada kerja-kerja tukang ini dan sesetengah peninggalan hasil seni ini masih boleh dilihat sehingga ke hari ini di muzium-muzium.

ASEAN
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara ASEAN (Association of Southeast Asian Nation) ditubuhkan pada tahun 1967 adalah sebuah gerakan negara yang  diilhmakan dalam melihat kerjasama serantau yang lebih kukuh dan utuh yang terdiri daripada lima negara anggota yang awal seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kesatuan negara-negara Asia Tenggara ini boleh dianggap sebagai persatuan antara negara yang tertua didunia sebelum adanya Kesatuan Eropah (Europe Union), Liga Arab, Kesatuan Negara-Negara Selatan dan lain-lain. ASEAN ditubuhkan bukan sekadar untuk menjalinkan kerjasama ekonomi, sosial dan budaya negara anggota malah ia juga adalah ikatan negara bagi mengekalkan kestabilan dan keselamatan serantau negara anggotanya sebagai kawasan zon bebas dan berkecuali daripada ancaman senjata nuklear dan komunisme agar tidak berleluasa pada ketika itu.

Bagi saya apabila jika anda membicarakan seni lukis ASEAN ia tidak semestinya anda berbincang tentang seni lukis di Asia Tenggara. Anda mungkin boleh berbicara apa sahaja mengenai seni lukis Asia Tenggara daripada utara Myanmar sehinggalah ke selatan Timor Liste tanpa sekatan namun untuk membawa ASEAN bersama-sama anda perlu melihat dari aspek kerajaan dengan kerajaan, lingkungan hubungan luar dan  kaitanya dengan kerjasama serantau. Dalam kata lain dalam kata kita ingin membaca apakah seni lukis ASEAN ia menuntut kita melihatnya dalam kaca yang lebih formal, ekslusif dan merupakan hubungan rasmi antara kerajaan dengan kerajaan dalam bidang kesenian.Walaupun hubungan kesenian melalui hubungan luar negara serantau ini telah berlaku sejak berabad-abad lepas semasa kerajaan tradisional namun belum ada usaha untuk melihat semula dan menilai kembali usaha-usaha pembangunan dalam dunia moden yang telah dijalankan melalui suara rasminya iaitu ASEAN sebagai platform.

1970 an
Kerjasama awal dalam seni lukis ASEAN mula terjalin sebelum tahun 1970an lagi iaitu setahun selepas penubuhanannya. Pada tahun 1968 telah diadakan pameran yang dinamakan ‘1st ASEAN Exhibition’ atau pameran Serantau Seni ASEAN yang diadakan di Jakarta. Namun pameran ini tanpa penyertaan Thailand. Pada tahun 1972 telah diadakan buat pertama kali penyertaan semua anggota asal ASEAN yang asal pada pameran ‘ASEAN Exposition of Painting and Photography’ di Singapura. Dalam usia yang terlalu muda adalah penting untuk memupuk, mempererat persefahaman dikalangan negara anggota maka diadakan pameran yang dinamakan ‘1st ASEAN Trevelling Exhibition of  Painting and Photography’ pada tahun 1974 di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur yang bergerak di bandaraya-bandaraya anggota. Pameran ini terus berjalan sehingga pada tahun 80 an dan 90 an. Pada tahun 90 an untuk menarik ramai lagi penyertaan melalui program pendidikan ia telah dijenamakan semula sebagai ‘ASEAN Trevelling Exhibition of  Painting, Photography and Children’s Art’. Pada 6 hingg 8 Mac 1978 telah diadakan satu mesyuarat secara rasmi kumpulan yang merancang program pembanguan seni lukis buat pertama kali iaitu ‘ASEAN Working Group of Culture’ di Jogjakarta.

Persidangan seni lukis ASEAN buat pertama kali pertama itu juga telah merancang penubuhan dana seni. Menyedari perlunya usaha untuk memelihara dan mempromosikan seni budaya dikalangan negara ASEAN selepas penubuhannya dalam menjalankan program-program pembangunan maka sebuah tabung yang dinamakan ASEAN Cultural Fund telah ditubuhkan pada persidangan itu. Dengan himpunan dana daripada angota ASEAN yang asal seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina program-program seperti seni budaya seperti seni visual dan seni yang digerakkan. Dengan penubuhan ASEAN Cultural Fund ini juga telah  diusahakan sebuah badan khas pengurusan dana iaitu Jawatankuasa Kebudayaan dan Informasi ASEAN atau COCI, inilah yang dinamakan ‘patron moden’ dalam merancang dan menaja program-program kesenian. Badan ini mengadakan persidangan pertama‘1st ASEAN Committee on Culture and Information (COCI)’ pada 4 hingga 6 Oktober di Manila. Pada tahun 1978 badan ini telah berjaya keluar mengadakan pameran di luar rantau ini iaitu di Sydney dalam ‘Pameran Perdagangan ASEAN’. Setahun kemudian pada 1979 buat julung-julung kalinya juga sebuah buku panduan direktori diterbitkan  yang menghimpunkan senarai muzium-muzium di negara ASEAN pada ‘1st Meeting of ASEAN Museum Directors’ semasa persidangan ‘Meeting of ASEAN Cultural Expert’  di Manila

1980 an
Dalam merangka keakraban dalam seni budaya dikalangan negara anggotanya menerusi ASEAN COCI atau Asean Committee of Culture and Information. Mesyuarat kedua yang  diadakan di Jakarta pada 16-18 Januari 1980 telah meluluskan projek ASEAN Square Sculpture Symposium yang disarankan oleh Singapura untuk membina sebuah taman arca awam sebagai salah satu mercu tanda solidariti kesatuan negara-negara yang menganggotai Asean. Oleh yang demikian ‘1st ASEAN Square Sculpture Symposium’yang pertama telah diadakan di Singapura bertempat di Singapore Polytechnic selama 19 hari iaitu pada 27 Mac  hingga 15 April 1981. Lima arca awam telah dipasang di Ford Canning Park antaranya Ariffin Ismail (Malaysia), Ng Eng Teng (Singapura), Vichai Sithiratn (Thailand), But Muchtar (Indonesia), Napolean Abueva (Filipina). Arca gentian kaca Ariffin Ismail yang bertajuk ‘Taming Sari’ dilaporkan telah mengalami kerosakan dan digantikan dengan arca Anthony Lau manakala Arca dari Brunei oleh Osman bin Mohammad dibina pada tahun 1988.

Pada 1983 ‘2nd ASEAN Square Sculpture Symposium’ pula telah diadakan di Bangkok, Thailandyang bertempat di Universiti Chulalongkorn selama 48 hari pada 16 Oktober sehingga 2 Disember. Sebanyak 5 arca yang telah dipilih untuk dibina di Chatuchak Parkantaranya Chamraung Vichienket (Thailand), Zakaria Awang (Malaysia), Mon Mudjiman (Indonesia), Solomon Arevalo (Filipina), Tan Teng Kee (Singapura). Arca ke enam telah dibina di taman ini pada tahun 1987 yang diwakili oleh Pengiran Sabri Pengiran Mohamad dari Brunei.

‘3rd ASEAN Square Sculpture Symposium’ telah diadakan di Taman Ismail Marzuki di Jakarta, Indonesia  pada 6 November hingga 20 Disember 1984 selama 46 hari. Apa yang menariknya kali ini adalah penyertaan secara rasmi anggota baru Asean dari Brunei yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun itu. Enam arca awam telah dibina di Taman Suropati antaranya Sunaryo (Indonesia), Lee Kian Seng (Malaysia), Luis E.Yee Jr. (Filipina), Wee Beng Chong (Singapura), Nonthivathn (Thailand) dan Awang  Aspar (Brunei).Bandar Seri Bagawan, Bruneidipilih untuk menganjurkan ‘4th ASEAN Square Sculpture Symposium’ pada tahun 1986 yang diadakan pada 11 Januari sehingga 24 Februari iaitu selam 35 hari. Dengan tema ‘Harmoni dalam Kepelbagaian’ arca yang dibina di Taman Rekreasi Damuan yang terletak sepanjang Persiaran Damuan berhampiran dengan Istana. Sebanyak 6 lagi buah arca awam dibina yang diwakili oleh Haji Marsidi Haji Akip (Brunei), Latiff Mohidin (Malaysia), Husna (Indonesia), Eduardo Catrillo (Filipina), Micheal Ong Chu Keng (Singapura) dan Saravudth Duangjumpa (Thailand).

Malaysia menjadi tuan rumah ‘5th ASEAN Square Sculpture Symposium’ yang diadakan selama 41 hari pada 20 Julai hingga 1 September 1987 berhampiran Tugu Negara, Kuala Lumpur. Lokasi taman arca yang diberi nama ‘Laman Asean’ ini yang tidak begitu jauh daripada Muzium dan Galeri Seni Bank Negara ini. Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam yang berpegang kepada ajarannya, kepelbagaian budaya, sensitiviti sosial dan politik tema arca abstrak diberikan kepada 6 wakil negara yang terpilih antaranya Syed Ahmad Jamal (Malaysia), Dolorosa Sinaga (Indonesia), Han Sai Por (Singapura), Jerusalino V. Araos (Filipina) Itthi Khongkhakul (Thailand) dan Abu Bakar Abdul Rahman (Brunei).

‘6th ASEAN Square Sculpture Symposium’ telah diadakan di Manila,Filipinapada 15 Februari hingga 31 Mac1989 . Simposium yang telah diadakan selam 46 hari ini diadakan Philippines Cultural Centre berhampiran yang diberi nama ‘Liwasang Asean’ Roxas Boulevard. 6 pengarca negara ASEAN yang telah dipilih membina arca mereka di sini ialah Ramon G. Orlina (Filipina), Redza Piyadasa (Malaysia), Brother Joseph McNally (Singapura), Gregorius Sidharta Soegijo (Indonesia), Kamol Phaosavasdi (Thailand) dan Awang Sitai (Brunei).Pada tahun 1980 an walaupun program-program pembangunan yang dirancang pada tahun 70 an terus dijalankan namun penganjuran ASEAN Square Sculpture Symposium lebih menonjol kerana ia melibatkan satu kawasan lapangan yang kekal dimana karya-karya yang letakkan masih boleh dilihat pada hari ini. Inilah apa yang dikatakan rasa muhibbah walaupun mereka hidup dalam kepelbagaian.

 1990 an
Pada lewat tahun 80 an dan awal tahun 90 an mula terdapat kesedaran dikalangan anggota ASEAN dalam meningkatkan lagi kebersamaan diantara mereka dengan memikirkan hubungan luar bukan sahaja hanya terjalin melalui aspek fizikal melalui bentuk lawatan, pameran dan bengkel seni sahaja. Birokrat dan seniman mula menyedari terdapat kelopongan dari sudut intipati persoalan mengenai falsafah seni, estetika, semiotik dan jatidiri serantau yang dikongsi bersama oleh rakan ASEAN. Maka dalam untuk meraikan keserumpunan diadakan satu persidangan yang lebih serius dalam mengupasnya ‘1st ASEAN Syposium of Aesthetic’ di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1989. Syarahan dan himpunan kertas kerja oleh wakil negara anggota yang terdiri daripada pelukis, kurator, pengkritik, penulis dan pentadbir seni seperti Ismail Zain, T.K. Sabapathy, Redza Piyadasa,Jim Supangat, Apinan Poshiananda berjaya diterbitkan. Pada tahun 1993 ‘2nd ASEAN Symposium of Aesthetics’ telah diadakan di Maniladan  ‘3rd ASEAN Symposium of Aesthetics’ yang diadakan di Singapura merupakan persidangan yang terakhir dan tidak diteruskan lagi.

Penglibatan syarikat korporat secara aktif dalam membantu pembangunan seni lukis di rantau dengan menaja sumber kewangan  boleh dilihat secara rasmi bekerjasama dengan negara ASEAN iaitu institusi seni samada muzium seni dan institut pengajian tinggi seni dinegara-negara ini bermula pada tahun 1990 an. Syarikat tembakau Philip Morris Group of Companies dengan sokongan ASEAN Secretariat yang beribu pejabat di Jakarta telah menganjuran sebuah pertandingan dan anugerah seni lukis uang sangat popular sedikit masa dahulu iaitu ‘ASEAN Art Awards’ untuk pelukis yang berpengkalan di negara-negara ASEAN bermula pada tahun 1994.   Pertandingan ‘ASEAN Art Awards’ dianjurkan melalui dua peringkat, peringkat awal adalah peringkat negara dimana 5 pemenang hadiah utama akan dipilih bertanding sekali lagi di peringkat akhir yang dinamakan ‘ASEAN Art Awards Finals’ menghimpun semua pemenang dari negara-negara ASEAN seperti Singapura (1994), Jakarta (1995), Bangkok (1996), Manila (1997).Hanoi (1998), Kuala Lumpur (1999) dan Bali (2002).

Selepas berakhirnya ancaman komunisme di Indo-China negara-negara Asia Tenggara bekas jajahan Perancis seperti Kemboja Laos, Vietnam dan Myanmar dijemput masuk untuk menyertai ASEAN dalam memperkasakan lagi pertubuhan itu semasa Persidangan Kemuncak ASEAN pada tahun November 1997 di Kuala Lumpur.Bagi meraikan penganjuran itu satu pameran khas yang bertajuk  ‘12 ASEAN Artists’ telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara yang dikuratorkan oleh Valentine Willie menghimpun pelukis-pelukis dirantau ini seperti Affandi, Heri Dono (Indonesia), Latiff Mohidin, Jailani Abu Hassan (Malaysia), Georgette Chen, Jimmy Ong (Singapura), Montien Boonma, Thawan Duchanee (Thailand), Anita Magsaysay-Ho, Elmer Borlongan (Filipina), Bui Xuan Phai (Vietnam) dan MPP Yei Myint dari (Myanmar). Sungguhpun tiada pelukis Laos namun pameran ini telah menampakkan kerjasama antara institusi seni kerajaan dimana sebanyak 10 karya utama pameran ini adalah pinjaman Balai Seni Lukis Negara daripada Singapore Art Museum, Neka Museum Bali dan Metropolitan Museum of Manila.

2000 an
Ledakan teknogi maklumat melanda diserata dunia pada hujung tahun 1990 an dengan wujudnya komunikasi melalui jaringan pautan didalam internet. Manusia kini hidup dalam sebuah kampung global dan menjadikan sistem perhubungan semakin mudah, pantas dan murah. Pada tahun 1999 satu projek telah yang diusahakan dalam menggunakan aplikasi elektonik dalam seni yang dinamakan ‘E-Art ASEAN Online’ . Projek  pengkalan data atas talian mengenai Seni Internet di Asia Tenggara oleh pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu Hasnul Jamal Saidun dan Nirajan Rajah adalah pelopor awal kepada usaha-usaha ini di Asia Tenggara.
                                                                                                    
Kesinambungan daripada pengkalan data yang diterbitkan di internet satu pameran seni yang dinamakan ‘1st Electronic Art Show’ atau pameran Seni Elektronik pertama telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2000. Tidak terhenti di situ sahaja pengaruh seni elektronik atau media baru dengan penggunaan komputer, video, televisyen sukup berpengaruh dalam pengkaryaan seniman di rantau. Pada tahun 2005 Seketariat COCI melalui ASEAN Working Group on Visual and Performing Arts telah mengadakan ‘New Media Arts Competition and Exhibition’ di Jakarta. Pada 2009 diadakan sekali lagi di Jakarta ‘Research and Mapping of ASEAN New Media Art’ . Seminar ini boleh dikatakan adalah melihat semua setelah sedekad yang lalu perkembangan seni itu dirantau ini.


2010 an
Kebangkitan Asia Tenggara sebagai pasaran baru ekonomi di alaf baru dan menuntut kerjasama baru yang lebih luas melampaui sempadan oleh kalangan negara ASEAN dengan negara Asia Timur dan Asia Pasifik. Hubungan di luar negara-negara ASEAN ini di manifestasikan dengan pakatan seperti ASEAN + 3, ASEAN-China, ASEAN-Japan, ASEAN- South Korea.ASEAN + 3 merupakan satu pakatan yang meningkatkan kerjasama antara negara Asia Timur dalam ekonomi, kewangan, pembangunan sosial dan sumber manusia, pembangunan saintifik dan teknikal, budaya dan informasi dan instratuktur. Ia dilihat saingan kepada Amerika Syarikat di Asia Pasifik.

Integrasi dalam seni lukis ini telah diterjemahkan melalui sebuah pameran yang dinamakan ‘The Origin of Beauty’ Special Exhibition of ASEAN – Republic Korea Commerative Summit 2014. Pameran khas dalam meraikan 25 tahun hubungan antara ASEAN dan Korea Selatan yang diadakan di Busan Museum of Art (BMA) sempena Sidang Kemuncak ASEAN – Republik Korea pada Disember 2014 ini menghimpunkan lebih 100 karya yang dipinjamkan daripada koleksi institusi kerajaan ASEAN seperti Malaysia diwakili Balai Seni Visual Negara (BSVN) dan Galeri Petronas, Singapore Art Museum (SAM), Muzium Negara Indonesia, Museum of Contemporary Art, Bangkok, National Museum of Combodia dan Lao National Museum.

Pentingnya sebuah pusat yang mengkaji kebudayaan negara Asia Tenggara yang dapat menjadi tempat aktiviti-aktivi seperti ruang galeri pameran, bengkel, ceramah dan lain-lain  pada tahun 1990 di Tokyo Jepun telah dibina sebuah galeri Japan Foundation ASEAN Culture Center Gallery sempena pameran ‘Narrative Visions in Contemporary ASEAN Art’ iaitu pameran yang menghimpunkan karya koleksi daripada Fukuoka Art Museum. Semasa Persidangan Kemuncak ASEAN – Republik Korea 2014 di Busan yang dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan, satu lagi ASEAN Culture Center telah dibuka di Seoul. Menyedari telah ada 2 pusat kebudayaan yang dibuka di luar Asia Tenggara pada tahun 2015 sebuah lagi ASEAN Cultural Center yang terletak di negara ASEAN telah dibuka di Bangkok dalam menjadi tempat rasmi kepada program-program kebudayaannya.

Cabaran Masa Depan
Program yang dianjurkan COCI atau Asean Committee of Culture and Information pada tahun 1980 an seperti ASEAN Square Sculpture Symposium’ seharusnya tidak terhenti sahaja pada tahun 1989 di negara yang terakhir dalam mencukupi 6 anggota ASEAN pada waktu itu. Dengan kehadiran 4 negara anggota baru dalam kesatuan ini pada akhir 1990an adalah disarankan  dihidupkan semula secara dwi tahunan di bandaraya seperti Yangon, Phnom Penh, Ho Chi Minh dan Vientiane. Program ini seterusnya boleh dipusingkan semula kepada negara-negara asal ASEAN. Sehubungan dengan itu adalah baik sekiranya negara ASEAN mempunyai biennale seni kontemporari sendiri dimana sebuah acara besar itu boleh mengaktifkan semula program-programCOCI sebelum ini seperti ASEAN Sculpture Square Symposium, ASEAN Exhibition of Painting and Photography,ASEAN Symposium of Aesthetics,  ASEAN Youth Painting Workshop and Exhibition, ASEAN Exhibition of Children Art, ASEAN Photo Competation. ini sebagai salah satu program yang dijalankan secara serentak dibawah payung ASEAN Biennale.

Lantaran daripada cadangan ini setiap negara yang akan menganjurkan ASEAN Biennale perlu diberi sumber peruntukan oleh COCI dalam negara anggota membina lokasi kekal yang boleh digunakan oleh negara yang menjadi hos. Penempatan lokasi ini boleh mengambil model Giardini semasa Venice Biennial atau model tempatan yang telah ada seperti Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN yang terletak di Air Keroh, Melaka dimana ia merupakan rumah perkampungan budaya. Bagi ASEAN Biennale perlu dibina ruang pameran dan seminar berasaskan seni bina tradisional  negara anggota secara kekal disebuah kawasan didalam atau berhampiran bandaraya Kuala Lumpur yang akan menjadi salah satu daripada produk pelancongan budaya bagi Malaysia dan ibu negara negara anggota yang akan menghoskannya. Mungkin sahaja tempat ini boleh dinamakan sebagai Taman BudayaASEAN atau ASEAN Culture Park dimana progrmnya bukan sahaja mengkhususkan sahaja kepada pameran dan simposium dan bengkel seni visual tetapi ia boleh diselingkan dengan genre seni lain seperti seni persembahan, seni tari, seni muzik dan filem.

Sejak tahun 2000 an ataupun lebih awal daripada itu telah mula menampakkan negara anggota ASEAN menjalankan biennale mereka sendiri misalnya Jakarta Biennale, Biennale Jogja, Singapore Biennale dan yang terkini SEA Triennale. negara-negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia adalah antara negara anggota yang mula menyertai dan meletakkan pavillion nasional mereka di Arsenale dan merata tempat semasa Venice Biennale. Atas dasar kesepakatan dalam bidang seni yang telah dijalin hampir 50 tahun maka kini adalah masa yang baik pengurusan COCI untuk mencacakan bendera ASEAN Pavillion semasa Venice Biennale di masa akan datang dalam mempromosi dan mengetengahkan pelukis bagi setiap negara anggota di peringkat yang lebih tinggi lagi.

Rujukan:
Katalog pameran Fifth ASEAN Square Scukpture Symposium, Balai Seni Lukis Negara, 1987.
Ooi Kok Chuen, ‘Decade in Art’, New Straits Times, Nov 21, 1989.
Valentine Willie, Curator Note , pameran 12 ASEAN Artists, Balai Seni Lukis Negara, 2000
Katalog pameran ‘The Origin of Beauty – Dramatic Nostalgia’ Busan Museum of Art, 2014
Faizal Sidik, ‘Korea dan Hegemoni Kuasa Amerika Syarikat-The Origin of Beauty: Dramatic Nostalgia Sebuah Pameran Asia Tenggara Dalam Membina Kepercayaan dan Membawa Kedamaian Asia Pasific, Senikini #23, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur. 2015
List of COCI Projects and Activities – ASEAN COCI, http://cultureandinformation.asean.org/wp-content/uploads/2013/11/List-of-COCI-Projects-Activities.pdf
Simon Soon, ‘Maps of SEA’ , http://www.search-art.asia/attachments/files/MAPoftheSEA.pdf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan