Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik, 'Mohd Shaimy Hashim: 1981-2014, katalog pameran Mohd Shaimy Hashim: 1981-2014', Galeri Pantai Timur, Kuantan, 2014.
Pameran 'Mohd Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014' akan diadakan di Galeri Pantai Timur daripada 19 Okt - 19 Nov 2014
To be a surrealist means barring from your mind all
remembrance of what you have seen, and being always on the lookout for what has
never been.
Rene Magritte
Dilahirkan di Panchur, Bandar Diraja Pekan, Pahang Darul Makmur pada 61
tahun dahulu nama Mohd Shaimy Hashim bukanlah asing kepada seni lukis di negeri
itu malah di pantai timur amnya. Shaimy ini yang telah berkarier selama lebih
40 tahun bukan sahaja seorang artis beraliran surealisme malah juga pentadbir
persatuan seni yang disegani. Pengerusi Senika (Persatuan Seni Lukis dan Seni
Reka Pahang) dan GAP (Gabungan Persatuan Pelukis Malaysia) ini hadir dengan
pameran solo kedua bertajuk ‘Mohd Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014’ iaitu
sebuah pameran yang menghimpunkan lebih 30 karya-karya sureal yang terpilih
sepanjang karier beliau.
Mula mengenali Mohd Syaimy ketika dijemput oleh Senika atau Persatuan
Seni Lukis dan Seni Reka Pahang untuk mewakili kurator dari Balai Seni Visual
Negara ke Majlis Pengkisahan 25 Tahun SENIKA
tersebut di Kuantan 3 tahun yang lalu. Bersama-sama dengan budayawan
Dato Arifin Said dan juga Setiausaha SENIKA, Pn Hasnah Yusof saya membentangkan
kertas kerja yang bertajuk ‘Pengkaryaan Pelukis Pahang Dalam Koleksi Balai Seni
Visual Negara’. Penulisan dan juga ulasan mengenai majlis pengkisahan ini telah
diterbitkan di dalam Senikini keluaran 19 dimana saya juga adalah merupakan
sidang editorial. Pengkisahan saya dalam penulisan itu adalah seputar mengenai
bidang pengkoleksian amalan Balai Seni Visual Negara, saya turut menyentuh
mengenai lanskap seni lukis di pantai timur secara sepintas lalu dengan memberi
penekanan kepada pelukis Pahang dalam pengkoleksian Balai Seni Visual Negara.
Adalah kerana pada ketika itu saya merupakan kurator di Bahagian Koleksi
maka penyelidikan dan penulisan-penulisan saya banyak menjurus kepada
karya-karya koleksi daripada koleksi yang disimpan di dalam Balai Seni Visual
Negara sendiri yang diterbitkan bukan sahaja di dalam majalah terbitan BSVN
malah juga disiarkan di dalam majalah Dewan Budaya dan juga katalog-katalog
pameran galeri swasta. Dalam pada itu saya ada menyatakan bahawa banyak lagi
perkara yang boleh dikongsi dengan masyarakat daripada lebih 4000 karya yang
disimpan untuk dijadikan sebagai Khazanah Koleksi Negara termasuklah
pelukis-pelukis daripada Pahang yang merupakan kurang daripada 10 peratus
daripada keseluruhan perolehan. Nama-nama pelukis berasal Pahang seperti arwah Redza
Piyadasa yang merupakan guru saya sendiri boleh dijadikan sebagai inspirasi
oleh pelukis-pelukis muda yang dilahirkan daripada produk institusi seni yang
lahir di sini seperti Kolej Shahputra dan Insitut Iktisas Negeri Pahang atau
IKIP juga turut saya sebut dalam lewat penulisan yang lalu.
Sungguhpun Piyadasa boleh dikatakan generasi pertama daripada Pahang yang
menerima formalisme daripada barat, lahir juga daripada generasi yang
terkemudian yang menerima pendidikan tempatan hasil daripada kepulangan mereka
yang belajar daripada luar Pantai Timur. Salah seorang daripadanya adalah Mohd
Syaimy Hashim yang pernah melanjutkan pelajaranya ke Pusat Seni, Universiti
Sains Malaysia. Walaupun telah bermula awal daripada itu disekitar tahun 70 an
dengan berkarya sendiri di sekitar bandar Kuantan dan seterusnya menubuhkan
SENIKA yang mewakili suara pelukis Pahang dan pantai timur umumnya.
Bertugas sebagai guru di sekolah swasta di beberapa negeri di pantai
timur, pengkaryaan awal Shaimy boleh dikatakan sebagai rakaman atau rekod masa
kepada sesuatu persekitaran, dan kadangkala menerima komisen atau aktiviti
berkumpulan untuk membuat lukisan potret di tempat-tempat awam. Namun setelah
menamatkan kursus jangka pendek Seni Kreatif dalam bidang Seni Halus terdapat satu kecendurungan
kepada pengkaryaan beliau pada masa itu yang mula memikirkan tentang idea,
metafora, simbolisme, subjek perlambangan yang konsisten dan kandungan walaupun
sebelum ini beliau telah mahir dengan aspek kemahiran ‘membuat’ lukisan.
Salvador Dali, ‘Persistence
of Memory’ 1931,
Perkara ini boleh dilihat didalam awal tahun 1980 an dimana terdapat
pengaruh pelukis aliran sureal di dalam pengkaryaannya. Tujuan saya memberikan
tajuk pameran ini ‘Mohd Syaimy Hashim: Sureal 1981 hingga 2014’ adalah merupakan
satu tinjauan selama 3 dekad pelukis ini menghabiskan masa di dalam ruang alam
bawah sedar, alam mimpi, separuh sedar, alam fantasi dan dalam istilah tempatan
mereka suka menyebut orang yang hidup atau masuk didalam ‘alam bunian’. Masuk
ke alam bunian disini bukanlah bermaksud secara langsung berinteraksi dengan
mereka namun sebagai rakaman bentuk dan dokumentasi masa. Ahli psikitri Sigmund
Freud dan rakan beliau Carl Jung adalah dua doktor psikologi yang
memperkenalkan cara rawatan dan penyembuhan oleh pesakit-pesakit mereka secara
klinikal yang dikenali sebagai psikoanalisis. Teori-teori mereka berdua diguna
dan diperkembangkan dalam bidang kesenian yang lain terutamanya seni lukis. Nama-nama
artis surealis barat seperti Salvador Dali, Rene Magritte dan Sergei Apirin dan
bukan asing dalam perbendaharaan kata karya Shimy.
Othman Mansor, ‘Fantasi
dalam Perspektif Getah’ 1975,
Koleksi
Balai Seni Visual Negara
Salah satu perbezaan ketara yang boleh dilihat secara sedar kelainan
karya-karya Shaimy dengan artis tempatan yang juga sebelum beliau sezaman
dengan beliau seperti Zulkifli Dahlan, Ali Mabuha atau Ali Rahmat dan Othman
Mansor adalah elemen patriotisme dan politikal yang menyegarkan ingatan kita
terhadap sesuatu isu untuk dijadikan peringatan.Dalam menelusuri pengkaryaan
Shaimy saya boleh membahagikan kepada 3 peringkat perjalanan iaitu peringkat
awal sureal pada sekitar 1980an, kedua sekitar tahun 2000 an dan ketiga karya
yang dihasilkan dari tahun 2010 an hingga kini.
‘Gerbang di Tebing Juram’ 1989
Permulaan awal beliau dalam aliran ini adalah menerusi karya siri-siri
mimpi dan pintu-pintu gerbang seperti ‘Sarapan Pagi’ 1982, ‘Mimpi I’ 1982,
‘Mimpi III (Gerbang di Jurang)’ 1986,
dan karya lain seperti ‘Telur di Hujung Tanduk’ 1986 dan‘Khutbah’, 1989.
Satu keunikan yang terdapat di dalam karya-karya Shaimy yang mungkin tidak
terdapat dikalangan pelukis lain terutamanya artis yang berpengkalan di Lembah
Kelang adalah dari segi lokasi. Topografi persekitaran ciri-ciri maritim yang
terdapat di Pantai Timur amat kuat terdapat karya Shaimy, pengalaman berstudio
penghasilan karya beliau di pesisir Laut China Selatan samada di Kelantan,
Terengganu dan Pahang. Perihal ini boleh dilihat pada kebanyakan karya-karya
sureal beliau yang berlatarbelakangkan laut, pesisir pantai, ombak, teluk dan
tanjung seperti dalam karya “Gerbang di Tebing Juram’, 1989, ‘Sunami I’, 2004,
‘Sunami 2’ 2004. Adalah tidak menghairankan apabila logo Galeri Pantai Timur
dimana tempat pameran ini dilangsungkan adalah mengambil lukisan ombak seperti
karya cetakan kayu ‘The Great Wave’ oleh Katsushika Hokusai.
Katsushika Hokusai, ‘The Great Wave’, 1829-32
Mohd Shaimy Hashim‘Tsunami 1’ 2004
Dalam memasuki era melenium pengkaryaan Shimy dilihat mengutarkan
kritikan-kritikan sosial yang berlegar-legar tersimpan didalam kotak pemikiran
beliau seperti isu alam sekitar, bahasa dan politik semasa. Dalam ‘Belum 1’
2007 dan ‘Belum 3’ 2007 adalah cetusan rasa ketidakpuashatian beliau terhadap
apa yang berlaku di Hutan Belum iaitu
hutan simpan yang terdapat di utara Perak. Hutan yang dulunya adalah merupakan khazanah
semulajadi negara tempat pelbagai jenis tumbuhan keras hutan hujan tropika spesis
yang sukar ditemui seperti meranti, cengal, keruing dan merbau serta tempat
pelbagai jenis tumbuhan herba yang boleh digunakan untuk merawat penyakit secara
tradisional selain tempat spesis flora dan fauna yang jarang dijumpai lagi
seperti harimau, gajah,rafflesia kini diancam pupus. Kemarahan beliau terhadap ‘tangan-tangan hitam’ yang
menceroboh hutan simpan yang digazet dan dilindungi daripada aktiviti
pembalakan haram dan pembersihan hutan ini di terjemahkan kedua-dua catan ini.
Dalam ‘Belum 3’ contohnya beliau mengambarkan tinggalan pokok yang ditebang
dengan daratan yang kering dan dengan metofora air yang berwarna merah lesu
seolah-olah darah yang mengalir daripada pokok-pokok yang ditebang. Menurut
sumber istilah ‘pembersihan’ hutan untuk pertanian dan pemimpin yang bersekongkol dengan ketamakan
peniaga tertentu terhadap industri perkayuan negara atas nama ‘kemajuan’ tanpa
mengira aspek keseimbangan ekosistem antara alam dan manusia adalah punca pelanggaran undang-undang yang telah
ditetapkan.
‘Belum
3’ 2007
Keranda adalah simbol kepada penamatan hayat atau kematian. Peristiwa
Keranda 152 merupakan perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terhadap persidangan Parlimen yang
membincangkan Rang Undang-Undang Bahasa pada tahun 1967. Ia adalah simbolik
kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan tidak menepati janji untuk
menjadikannya sebagai bahasa pengantar
dan bahasa dalam bidang perundangan. Sebagaimana yang sedia maklum di dalam
Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan bahasa Melayu.
Keputusan kerajaan diakhir sidang yang masih ingin mengekalkan bahasa Inggeris
dalam urusan rasmi kerajaan terutamanya dalam kehakiman sangat memeranjatkan
badan-badan bukan kerajaan Melayu berkaitan masa depan survival bahasa Melayu inilah
mencetuskan usungan keranda.
‘Keranda
152’, 2007
Peristiwa Keranda 152 diingati Shaimy sebagai satu episod hitam dalam
sejarah perjuangan Bahasa Melayu, ini dibuktikan melalui dua karya mengenai
komentar beliau mengenai isu bahasa itu melalui subjek keranda. Jika Usman
Awang pejuang utama peristiwa itu hadir dengan puisi ‘Keranda 152’ yang dikarang
pada tahun 1967. Antara bibit-bibit awal puisi sasterawan negara itu merangkap
“Anak Melayu...Panas dadamu membakar baju...Kita arak keranda 152...Ke tanah
perkuburan Parlimen...” Shimy pula melukis dengan karya ‘Keranda 152’ 2007 dan
‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’ yang dihasilkan pada 2009. Cuma apa yang
membezakan antara mereka berdua adalah
Usman melukis dengan pena manakala beliau menulis dengan gambar. Walaupun
sebelum ini Shaimy telah menggunakan subjek keranda sejak pertengahan tahun 80
an lagi seperti ‘Keris! Hulu Mu Siapa Mengengamnya’ dan ‘Gerbang Di Tebing
Juram’ dan ‘Sunami 2004’ namun audien yang tidak mengenal perwatakannya dan
menangkap pemikirannya secara halus pasti akan dikabusi sekabur karya-karya
surealis yang dihasikan pada dekad-dekad sebelumnya.
Dalam karya ‘Keranda 152’ dan ‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’ menghantar
dengan jelas tanpa berselindung disebalik usungan kotak yang terapung di udara
itu adalah dokumentasi beliau terhadap pengkhianatan bahasa oleh bangsa beliau
sendiri. Dalam ‘Keranda 152’ beliau melukiskan sebuah pemandangan perspektif di
tebing laut, terdapat keranda yang bertulis 152 berkenaan isu bahasa, kerbau
simbol rezeki orang Melayu iaitu kenderaan yang digunakan untuk membajak di
sawah padi yang dibebankan dengan muatan, manakala terdapat seperti batuan laut
yang rupanya menyerupai muka manusia yang sedang menangis dan tangisannya
mengalir ke laut, selaian itu keris yang menjembatani dan tangan yang seperti
ingin mengapai sesuatu bawahnya berhampiran dengan gerbang adalah perlambangan
alam bawah sedar beliau.
‘Keranda
152 (Perasap Semangat)’, 2009
Isu bahasa tidak terhenti sekadar itu sahaja kerajaan seolah-oleh bermain
dengan api sekali lagi terhadap citra
bangsa, pada kali ini isu Pengajaran dan Pembelajaran dalam Sains dan Matematik
Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) iaitu nama rasmi bagi satu dasar pendidikan
Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan sebagai
bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Metamatik di semua peringkat
pendidikan dimana akhirnya dasar ini dimansuhkan pada 8 Julai 2009 atas
penentangan awam termasuklah golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan.
Karya ‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’ 2009 adalah kesinambungan daripada karya
awal boleh dikatakan sebagai sebuah kritikan sinis kepada bangsanya sendiri. Perspektif
sebuah kota batu dari pesisir pantai, kelihatan sebuah banglow lama yang pernah
saya lihat seketika dahulu yang pernah dijadikan sebagai Balai Seni Lukis
Pahang di Kuantan namun kemudian telah dirobohkan, subjek perlambangan yang
mewakili alam Melayu seperti keris, kemenyan dan keranda yang terdapat rantai
di dalamnya bukan sahaja manifestasi bahasa Melayu dan kegiatan seni anak tempatan
dianaktirkan tetapi masih lagi dibelenggu walaupun di bumi tempat kelahirannya sendiri
dengan pembangunan-pembangunan yang lain.
‘Aku,
Pak Dogol dan Arca Penyair Mecadonia’ 2010
Perjalanan beliau ke Mecedonia sebagai artis residensi selama hampir
seminggu banyak memberi pandangan-pandangan baru beliau dalam perjalanan pengkaryaan
secara sureal beliau. Berada di negara bekas komunis seperti Chekoslovakia dan
kemudian Yugoslovakia sebelum Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1989 telah
memecahkan negara Balkan itu kepada beberapa negara kecil mengikut bangsa
seperti Slovakia, Bosnia-Herzegovina, Serbia, Montenegro, Croatia dan juga
Mecedonia. Semasa pengalaman berkarya di negara Eropah Timur ini mula
mencetuskan peralihan baru untuk kembali kepada asas seni tradisional dalam
pengkaryaan beliau. Hal ini dapat dilihat dari segi penggunaan watak-watak
popular dalam permainan wayang kulit Kelantan seperti dalam karya seperti ‘Aku,
Pak Dogol dan Arca Penyair Mecadonia’ 2010 dan beberapa karya lain semasa
berada di sana. Kecenderungan ini diteruskan sekembalinya beliau di tanahair
seperti dalam ‘Bila Tuhan Murka’ 2011, ‘Jangan Biarkan Payung Rebah 2’ 2012,
‘Pak Dogol dan Tangan’ 2013 dan lakaran-lakaran pengkajian dengan menggunakan
cat air seperti ‘Pak Dogol dan Dalang’ dan ‘Dia Terus Datang’ 2014.
‘Bila Tuhan Murka’ 2011,
Akrilik
Catan akrilik ‘Bila Tuhan Murka’ 2011 boleh saya katakan sebagai karya
terbaik beliau sepanjang menjiwai surealisme. Penggunaan focal point perspective atau perspektif titik tengah yang
bersubjekkan gunung berapi yang melaharkan lavanya dengan kepulan-kepulan asap
tebal dibahagian atas catan memperlihatkan satu keadaan yang mengerikan
seolah-olah satu bala dari Pencipta terhadap penduduk sesuatu tempat. Beliau
masih mengekalkan ciri-ciri beliau sebagai pelukis negeri pantai timur yang
tidak boleh terpisah dengan alam kelautan yang boleh diperhatikan dengan
lingkaran ombak besar seolah-olah tsunami yang ingin menghentam pantai. Apa mengasyikan
adalah penggunaan warna perang kehitaman seolah-olah tanah di tepian sungai
yang mengalirkan api darah dihampir 80 peratus muka kanvas memperlihatkan
kematangan beliau dalam melanskap alam separuh sedar yang bermain dengan subjek
keseimbangan seperti Pohon Beringin dan watak Seri Rama. Asap dari bekas
kemenyen sekali lagi menjadi pilihan beliau dalam mengambarkan dunia pseudo
Melayu yang magis lagi tragis.
Pengkaryaan yang dibangkitkan kan beliau ini
adalah sebagai satu dokumentasi perkara-perkara yang telah terjadi, sedang
terjadi dan mungkin akan terjadi untuk diambil iktibar kepada generasi-generasi
akan datang agar sentiasa bersiap siaga dalam menjaga cinta sejati pada negara
ini. Meneliti karya-karya Shaimy satu persatu umpama seperti melihat ‘cermin
mimpi’ apabila kita merenung jauh kedalam cermin tersebut imej yang terpantul akan menjadi terbalik dan
mengelirukan, ia bukan sahaja menuntut pembacaan yang terhalang daripada
imejan-imejan yang menyelubungi tabir dalam menyingkap realiti yang tidak
tersingkap seperti yang diungkapkan dalam lirik kata ‘Cermin Mimpi’.
Di balik cermin mimpi
Aku melihat engkau
Di dalam engkau
Aku melihat aku
Ternyata kita adalah sama
Di arena mimpi yang penuh bermakna
Di balik cermin, cermin mimpi
Adalah realiti yang tidak kita sedari
Hanya keyakinan dapat merestui
Hakikat cinta yang sejati
S. Amin Shahab ‘Cermin Mimpi’
Bibliografi:
1. Wan A. Rahman Wan Mahmood, ‘Cita-cita Shaimy punyai studio seni lukis
akhirnya tercapai’,
2. Hasnah Yusof, katalog ‘Pameran Lukisan Solo I: Mohd Shaimy Hashim’,
Lembaga Muzium Negeri Pahang, 1991.
3. Aripin Said, ‘Garis dan Warna Pelukis Pahang: Jiwa Nuraini Dua Penggiat Seni’,
Senikini #18, Balai Seni Visual Negara, 2012, ms 10-11.
4. Ifhamuddin , ‘ Jangan Biar Payung Kita Rebah’, Senikini
#22, Balai Seni Visual Negara, 2014, ms 16- 17.