Khamis, 11 September 2014

Mohd Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014

Oleh: Faizal Sidik
    
Pameran 'Mohd Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014' akan diadakan di Galeri Pantai Timur daripada 19 Okt - 19 Nov 2014

To be a surrealist means barring from your mind all remembrance of what you have seen, and being always on the lookout for what has never been.

Rene Magritte


Dilahirkan di Panchur, Bandar Diraja Pekan, Pahang Darul Makmur pada 61 tahun dahulu nama Mohd Shaimy Hashim bukanlah asing kepada seni lukis di negeri itu malah di pantai timur amnya. Shaimy ini yang telah berkarier selama lebih 40 tahun bukan sahaja seorang artis beraliran surealisme malah juga pentadbir persatuan seni yang disegani. Pengerusi Senika (Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang) dan GAP (Gabungan Persatuan Pelukis Malaysia) ini hadir dengan pameran solo kedua bertajuk ‘Mohd Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014’ iaitu sebuah pameran yang menghimpunkan lebih 30 karya-karya sureal yang terpilih sepanjang karier beliau.

Mula mengenali Mohd Syaimy ketika dijemput oleh Senika atau Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang untuk mewakili kurator dari Balai Seni Visual Negara ke Majlis Pengkisahan 25 Tahun SENIKA  tersebut di Kuantan 3 tahun yang lalu. Bersama-sama dengan budayawan Dato Arifin Said dan juga Setiausaha SENIKA, Pn Hasnah Yusof saya membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Pengkaryaan Pelukis Pahang Dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara’. Penulisan dan juga ulasan mengenai majlis pengkisahan ini telah diterbitkan di dalam Senikini keluaran 19 dimana saya juga adalah merupakan sidang editorial. Pengkisahan saya dalam penulisan itu adalah seputar mengenai bidang pengkoleksian amalan Balai Seni Visual Negara, saya turut menyentuh mengenai lanskap seni lukis di pantai timur secara sepintas lalu dengan memberi penekanan kepada pelukis Pahang dalam pengkoleksian Balai Seni Visual Negara.

Adalah kerana pada ketika itu saya merupakan kurator di Bahagian Koleksi maka penyelidikan dan penulisan-penulisan saya banyak menjurus kepada karya-karya koleksi daripada koleksi yang disimpan di dalam Balai Seni Visual Negara sendiri yang diterbitkan bukan sahaja di dalam majalah terbitan BSVN malah juga disiarkan di dalam majalah Dewan Budaya dan juga katalog-katalog pameran galeri swasta. Dalam pada itu saya ada menyatakan bahawa banyak lagi perkara yang boleh dikongsi dengan masyarakat daripada lebih 4000 karya yang disimpan untuk dijadikan sebagai Khazanah Koleksi Negara termasuklah pelukis-pelukis daripada Pahang yang merupakan kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan perolehan. Nama-nama pelukis berasal Pahang seperti arwah Redza Piyadasa yang merupakan guru saya sendiri boleh dijadikan sebagai inspirasi oleh pelukis-pelukis muda yang dilahirkan daripada produk institusi seni yang lahir di sini seperti Kolej Shahputra dan Insitut Iktisas Negeri Pahang atau IKIP juga turut saya sebut dalam lewat penulisan yang lalu.

Sungguhpun Piyadasa boleh dikatakan generasi pertama daripada Pahang yang menerima formalisme daripada barat, lahir juga daripada generasi yang terkemudian yang menerima pendidikan tempatan hasil daripada kepulangan mereka yang belajar daripada luar Pantai Timur. Salah seorang daripadanya adalah Mohd Syaimy Hashim yang pernah melanjutkan pelajaranya ke Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia. Walaupun telah bermula awal daripada itu disekitar tahun 70 an dengan berkarya sendiri di sekitar bandar Kuantan dan seterusnya menubuhkan SENIKA yang mewakili suara pelukis Pahang dan pantai timur umumnya.
  
Bertugas sebagai guru di sekolah swasta di beberapa negeri di pantai timur, pengkaryaan awal Shaimy boleh dikatakan sebagai rakaman atau rekod masa kepada sesuatu persekitaran, dan kadangkala menerima komisen atau aktiviti berkumpulan untuk membuat lukisan potret di tempat-tempat awam. Namun setelah menamatkan kursus jangka pendek Seni Kreatif dalam bidang Seni Halus terdapat satu kecendurungan kepada pengkaryaan beliau pada masa itu yang mula memikirkan tentang idea, metafora, simbolisme, subjek perlambangan yang konsisten dan kandungan walaupun sebelum ini beliau telah mahir dengan aspek kemahiran ‘membuat’ lukisan.
    
 

Salvador Dali, ‘Persistence of Memory’ 1931,

Perkara ini boleh dilihat didalam awal tahun 1980 an dimana terdapat pengaruh pelukis aliran sureal di dalam pengkaryaannya. Tujuan saya memberikan tajuk pameran ini ‘Mohd Syaimy Hashim: Sureal 1981 hingga 2014’ adalah merupakan satu tinjauan selama 3 dekad pelukis ini menghabiskan masa di dalam ruang alam bawah sedar, alam mimpi, separuh sedar, alam fantasi dan dalam istilah tempatan mereka suka menyebut orang yang hidup atau masuk didalam ‘alam bunian’. Masuk ke alam bunian disini bukanlah bermaksud secara langsung berinteraksi dengan mereka namun sebagai rakaman bentuk dan dokumentasi masa. Ahli psikitri Sigmund Freud dan rakan beliau Carl Jung adalah dua doktor psikologi yang memperkenalkan cara rawatan dan penyembuhan oleh pesakit-pesakit mereka secara klinikal yang dikenali sebagai psikoanalisis. Teori-teori mereka berdua diguna dan diperkembangkan dalam bidang kesenian yang lain terutamanya seni lukis. Nama-nama artis surealis barat seperti Salvador Dali, Rene Magritte dan Sergei Apirin dan bukan asing dalam perbendaharaan kata karya Shimy.

  
Othman Mansor, ‘Fantasi dalam Perspektif Getah’  1975, 
Koleksi Balai Seni Visual Negara

Salah satu perbezaan ketara yang boleh dilihat secara sedar kelainan karya-karya Shaimy dengan artis tempatan yang juga sebelum beliau sezaman dengan beliau seperti Zulkifli Dahlan, Ali Mabuha atau Ali Rahmat dan Othman Mansor adalah elemen patriotisme dan politikal yang menyegarkan ingatan kita terhadap sesuatu isu untuk dijadikan peringatan.Dalam menelusuri pengkaryaan Shaimy saya boleh membahagikan kepada 3 peringkat perjalanan iaitu peringkat awal sureal pada sekitar 1980an, kedua sekitar tahun 2000 an dan ketiga karya yang dihasilkan dari tahun 2010 an hingga kini.



‘Gerbang di Tebing Juram’ 1989


Permulaan awal beliau dalam aliran ini adalah menerusi karya siri-siri mimpi dan pintu-pintu gerbang seperti ‘Sarapan Pagi’ 1982, ‘Mimpi I’ 1982, ‘Mimpi III (Gerbang di Jurang)’ 1986,  dan karya lain seperti ‘Telur di Hujung Tanduk’ 1986 dan‘Khutbah’, 1989. Satu keunikan yang terdapat di dalam karya-karya Shaimy yang mungkin tidak terdapat dikalangan pelukis lain terutamanya artis yang berpengkalan di Lembah Kelang adalah dari segi lokasi. Topografi persekitaran ciri-ciri maritim yang terdapat di Pantai Timur amat kuat terdapat karya Shaimy, pengalaman berstudio penghasilan karya beliau di pesisir Laut China Selatan samada di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Perihal ini boleh dilihat pada kebanyakan karya-karya sureal beliau yang berlatarbelakangkan laut, pesisir pantai, ombak, teluk dan tanjung seperti dalam karya “Gerbang di Tebing Juram’, 1989, ‘Sunami I’, 2004, ‘Sunami 2’ 2004. Adalah tidak menghairankan apabila logo Galeri Pantai Timur dimana tempat pameran ini dilangsungkan adalah mengambil lukisan ombak seperti karya cetakan kayu ‘The Great Wave’ oleh Katsushika Hokusai.


 Katsushika Hokusai, ‘The Great Wave’, 1829-32                     
 Mohd Shaimy Hashim‘Tsunami 1’ 2004


Dalam memasuki era melenium pengkaryaan Shimy dilihat mengutarkan kritikan-kritikan sosial yang berlegar-legar tersimpan didalam kotak pemikiran beliau seperti isu alam sekitar, bahasa dan politik semasa. Dalam ‘Belum 1’ 2007 dan ‘Belum 3’ 2007 adalah cetusan rasa ketidakpuashatian beliau terhadap apa yang berlaku di Hutan  Belum iaitu hutan simpan yang terdapat di utara  Perak. Hutan yang dulunya adalah merupakan khazanah semulajadi negara tempat pelbagai jenis tumbuhan keras hutan hujan tropika spesis yang sukar ditemui seperti meranti, cengal, keruing dan merbau serta tempat pelbagai jenis tumbuhan herba yang boleh digunakan untuk merawat penyakit secara tradisional selain tempat spesis flora dan fauna yang jarang dijumpai lagi seperti harimau, gajah,rafflesia kini diancam pupus. Kemarahan  beliau terhadap ‘tangan-tangan hitam’ yang menceroboh hutan simpan yang digazet dan dilindungi daripada aktiviti pembalakan haram dan pembersihan hutan ini di terjemahkan kedua-dua catan ini. Dalam ‘Belum 3’ contohnya beliau mengambarkan tinggalan pokok yang ditebang dengan daratan yang kering dan dengan metofora air yang berwarna merah lesu seolah-olah darah yang mengalir daripada pokok-pokok yang ditebang. Menurut sumber istilah ‘pembersihan’ hutan untuk pertanian dan  pemimpin yang bersekongkol dengan ketamakan peniaga tertentu terhadap industri perkayuan negara atas nama ‘kemajuan’ tanpa mengira aspek keseimbangan ekosistem antara alam dan manusia adalah  punca pelanggaran undang-undang yang telah ditetapkan.

 ‘Belum 3’ 2007

Keranda adalah simbol kepada penamatan hayat atau kematian. Peristiwa Keranda 152 merupakan perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu  terhadap persidangan Parlimen yang membincangkan Rang Undang-Undang Bahasa pada tahun 1967. Ia adalah simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan tidak menepati janji untuk menjadikannya sebagai  bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang perundangan. Sebagaimana yang sedia maklum di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan bahasa Melayu. Keputusan kerajaan diakhir sidang yang masih ingin mengekalkan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan terutamanya dalam kehakiman sangat memeranjatkan badan-badan bukan kerajaan Melayu berkaitan masa depan survival bahasa Melayu inilah mencetuskan usungan keranda.



‘Keranda 152’, 2007

Peristiwa Keranda 152 diingati Shaimy sebagai satu episod hitam dalam sejarah perjuangan Bahasa Melayu, ini dibuktikan melalui dua karya mengenai komentar beliau mengenai isu bahasa itu melalui subjek keranda. Jika Usman Awang pejuang utama peristiwa itu hadir dengan puisi ‘Keranda 152’ yang dikarang pada tahun 1967. Antara bibit-bibit awal puisi sasterawan negara itu merangkap “Anak Melayu...Panas dadamu membakar baju...Kita arak keranda 152...Ke tanah perkuburan Parlimen...” Shimy pula melukis dengan karya ‘Keranda 152’ 2007 dan ‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’ yang dihasilkan pada 2009. Cuma apa yang membezakan antara mereka berdua  adalah Usman melukis dengan pena manakala beliau menulis dengan gambar. Walaupun sebelum ini Shaimy telah menggunakan subjek keranda sejak pertengahan tahun 80 an lagi seperti ‘Keris! Hulu Mu Siapa Mengengamnya’ dan ‘Gerbang Di Tebing Juram’ dan ‘Sunami 2004’ namun audien yang tidak mengenal perwatakannya dan menangkap pemikirannya secara halus pasti akan dikabusi sekabur karya-karya surealis yang dihasikan pada dekad-dekad sebelumnya.

Dalam karya ‘Keranda 152’ dan ‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’ menghantar dengan jelas tanpa berselindung disebalik usungan kotak yang terapung di udara itu adalah dokumentasi beliau terhadap pengkhianatan bahasa oleh bangsa beliau sendiri. Dalam ‘Keranda 152’ beliau melukiskan sebuah pemandangan perspektif di tebing laut, terdapat keranda yang bertulis 152 berkenaan isu bahasa, kerbau simbol rezeki orang Melayu iaitu kenderaan yang digunakan untuk membajak di sawah padi yang dibebankan dengan muatan, manakala terdapat seperti batuan laut yang rupanya menyerupai muka manusia yang sedang menangis dan tangisannya mengalir ke laut, selaian itu keris yang menjembatani dan tangan yang seperti ingin mengapai sesuatu bawahnya berhampiran dengan gerbang adalah perlambangan alam bawah sedar beliau.


‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’, 2009

Isu bahasa tidak terhenti sekadar itu sahaja kerajaan seolah-oleh bermain dengan api sekali lagi terhadap  citra bangsa, pada kali ini isu Pengajaran dan Pembelajaran dalam Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) iaitu nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Metamatik di semua peringkat pendidikan dimana akhirnya dasar ini dimansuhkan pada 8 Julai 2009 atas penentangan awam termasuklah golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan. Karya ‘Keranda 152 (Perasap Semangat)’ 2009 adalah kesinambungan daripada karya awal boleh dikatakan sebagai sebuah kritikan sinis kepada bangsanya sendiri. Perspektif sebuah kota batu dari pesisir pantai, kelihatan sebuah banglow lama yang pernah saya lihat seketika dahulu yang pernah dijadikan sebagai Balai Seni Lukis Pahang di Kuantan namun kemudian telah dirobohkan, subjek perlambangan yang mewakili alam Melayu seperti keris, kemenyan dan keranda yang terdapat rantai di dalamnya bukan sahaja manifestasi bahasa Melayu dan kegiatan seni anak tempatan dianaktirkan tetapi masih lagi dibelenggu walaupun di bumi tempat kelahirannya sendiri dengan pembangunan-pembangunan yang lain.
  

‘Aku, Pak Dogol dan Arca Penyair Mecadonia’ 2010

Perjalanan beliau ke Mecedonia sebagai artis residensi selama hampir seminggu banyak memberi pandangan-pandangan baru beliau dalam perjalanan pengkaryaan secara sureal beliau. Berada di negara bekas komunis seperti Chekoslovakia dan kemudian Yugoslovakia sebelum Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1989 telah memecahkan negara Balkan itu kepada beberapa negara kecil mengikut bangsa seperti Slovakia, Bosnia-Herzegovina, Serbia, Montenegro, Croatia dan juga Mecedonia. Semasa pengalaman berkarya di negara Eropah Timur ini mula mencetuskan peralihan baru untuk kembali kepada asas seni tradisional dalam pengkaryaan beliau. Hal ini dapat dilihat dari segi penggunaan watak-watak popular dalam permainan wayang kulit Kelantan seperti dalam karya seperti ‘Aku, Pak Dogol dan Arca Penyair Mecadonia’ 2010 dan beberapa karya lain semasa berada di sana. Kecenderungan ini diteruskan sekembalinya beliau di tanahair seperti dalam ‘Bila Tuhan Murka’ 2011, ‘Jangan Biarkan Payung Rebah 2’ 2012, ‘Pak Dogol dan Tangan’ 2013 dan lakaran-lakaran pengkajian dengan menggunakan cat air seperti ‘Pak Dogol dan Dalang’ dan ‘Dia Terus Datang’ 2014.


‘Bila Tuhan Murka’ 2011, Akrilik

Catan akrilik ‘Bila Tuhan Murka’ 2011 boleh saya katakan sebagai karya terbaik beliau sepanjang menjiwai surealisme. Penggunaan focal point perspective atau perspektif titik tengah yang bersubjekkan gunung berapi yang melaharkan lavanya dengan kepulan-kepulan asap tebal dibahagian atas catan memperlihatkan satu keadaan yang mengerikan seolah-olah satu bala dari Pencipta terhadap penduduk sesuatu tempat. Beliau masih mengekalkan ciri-ciri beliau sebagai pelukis negeri pantai timur yang tidak boleh terpisah dengan alam kelautan yang boleh diperhatikan dengan lingkaran ombak besar seolah-olah tsunami yang ingin menghentam pantai. Apa mengasyikan adalah penggunaan warna perang kehitaman seolah-olah tanah di tepian sungai yang mengalirkan api darah dihampir 80 peratus muka kanvas memperlihatkan kematangan beliau dalam melanskap alam separuh sedar yang bermain dengan subjek keseimbangan seperti Pohon Beringin dan watak Seri Rama. Asap dari bekas kemenyen sekali lagi menjadi pilihan beliau dalam mengambarkan dunia pseudo Melayu yang magis lagi tragis.

Pengkaryaan yang dibangkitkan kan beliau ini adalah sebagai satu dokumentasi perkara-perkara yang telah terjadi, sedang terjadi dan mungkin akan terjadi untuk diambil iktibar kepada generasi-generasi akan datang agar sentiasa bersiap siaga dalam menjaga cinta sejati pada negara ini. Meneliti karya-karya Shaimy satu persatu umpama seperti melihat ‘cermin mimpi’ apabila kita merenung jauh kedalam cermin tersebut  imej yang terpantul akan menjadi terbalik dan mengelirukan, ia bukan sahaja menuntut pembacaan yang terhalang daripada imejan-imejan yang menyelubungi tabir dalam menyingkap realiti yang tidak tersingkap seperti yang diungkapkan dalam lirik kata ‘Cermin Mimpi’.
Di balik cermin mimpi
Aku melihat engkau
Di dalam engkau
Aku melihat aku
Ternyata kita adalah sama
Di arena mimpi yang penuh bermakna

Di balik cermin, cermin mimpi
Adalah realiti yang tidak kita sedari
Hanya keyakinan dapat merestui
Hakikat cinta yang sejati


                                                                                            M.NasirCermin Mimpi


Bibliografi:
1. Wan A. Rahman Wan Mahmood, ‘Cita-cita Shaimy punyai studio seni lukis akhirnya tercapai’,
2. Hasnah Yusof, katalog ‘Pameran Lukisan Solo I: Mohd Shaimy Hashim’, Lembaga Muzium Negeri         Pahang, 1991.
3. Aripin Said, ‘Garis dan Warna Pelukis Pahang: Jiwa Nuraini Dua Penggiat Seni’, Senikini #18,             Balai Seni Visual Negara, 2012, ms 10-11.
4. Ifhamuddin , ‘ Jangan Biar Payung Kita Rebah’, Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, 2014, ms 16-     17.
5. ‘Kerja pembersihan Hutan Belum-Temenggor dihentikan’, 19 September 2011,                           
     www.peraktoday.com.my/?p=30953
6. ‘Keranda 152’, www.wikipedia.org/wiki/Keranda_152
7. ‘Peristiwa Keranda 152 kembali ditelusuri penyair’, 21 Januari 2009, 8. www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=1266




Tiada ulasan:

Catat Ulasan