Isnin, 23 Disember 2013

Jika Dunia boleh Berubah di Singapore Biennale 2013



Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2014),'Jika Dunia Akan Berubah di Singapore Biennale 2013', SENIKINI #21, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur. 



Pengenalan
Mengimbau kembali semasa mengikuti program Sarjana Seni Rupa (Asia Tenggara) atau Master of Visual Art (Southeast Asia Art)yang ditawarkan oleh di Universiti Malaya dibawah Pusat Kebudayaan pada sekitar awal tahun 2000 dahulu, hanya saya dan rakan Zahambri Nizar sahaja yang mendaftar sebagai calon program yang terawal ianya dibuka. Kami masih tertanya siapakah yang akan menyelia merangkap pensyarah dan kemanakah hala tuju program ini akan membawa kami. Apabila mendaftar diri di Pusat Pengajian Pasca Siswazah UM, baru kami diberitahu bahawa kami akan berada dibawah penyeliaan oleh Redza Piyadasa. Apabila mendapat tahu beliau akan berada di dalam program ini, riak wajah muka kami mula bertukar seolah-olah langit yang cerah tiba-tiba lindungi oleh awan yang mendung lagi redup seolah-olah hari akan hujan. Itulah perumpamaan ke atas Piyadasa yang terkenal dengan watak agresifnya dengan pelajar.

Biennale Asia Tenggara
Piyadasa sebagaimana yang diketahui bukan sahaja seorang artis malah juga seorang penulis, pengkritik dan juga pensejarah seni yang mana ilmunya luas merangkumi kawasan rantau ini. Apabila sebut sahaja Redza Piyadasa adalah tidak lengkap jika tidak menyebut juga Sulaiman Esa rakan serangkai beliau dalam Towards Mystical of Reality ataupun T.K Sabapathy rakan sekerja beliau semasa mengajar di Pusat Seni Universiti Sains Malaysia pada suatu masa dahulu, dan kini beliau merupakan Prof Madya yang mengajar sejarah seni di Departmrnt of Architecture di National University of Singapore (NUS) juga merupakan ilmuan sejarah seni Asia Tenggara (Malaysia/Singapura) yang seangkatan dengan Apinan Poshyananda (Thailand), Jim Supangkat  (Indonesia). Di sekitar tahun 1980 an dan 1990 an negara anggota Asean sering mengadakan pertemuan di negara serantau samada simposium, bengkel atau seminar yang melibatkan negara-negara Asia Tenggara seperti simposium estetik, bengkel catan dan fotografi, bengkel catan dan fotografi kanak-kanak dan seminar seni lukis serumpun dimana acara beginilah yang merapatkan jurang diantara negara anggota dalam kebudayaan, apabila setiap negara menghantar representasi yang mewakil negara masing-masing dibawah program yang dinamakan Asean COCI atau Committee on Culture and Information. Program yang dibentuk didalam Asean ini bukan sahaja menaja program kesenian malah kesusasteraan di negara anggota melalui penerbitan.Dibawah acara kebudayaan ini setiap anggota akan bergilir-gilir menngadakan program samada di Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Manila, mahupun Bandar Seri Bagawan. Inilah satu cara bagaimana program ini boleh merapatkan jurang persahabatan melalui budaya antara anggota dan melupakan sengketa politik lampau.

Kembali kepada pengajian di Universiti Malaya diajar kesenian Asia Tenggara bukan sahaja seni moden malah sebelum kewujudan seni moden di Barat, dalam subjek Sejarah Seni Bina Asia Tenggara, rantau  Asia Tenggara telah mempunyai keseniannya sendiri iaitu seni fungsian seperti seni bina lama seperti candi Borobodor, Prambanan, Angkor Wat. Pengajaran Piyadasa disini banyak menekankan kembali semula kepada akar masyarakat nusantara dimana melihat dari sudut geografinya pada beribu-ribu tahun dahulu bentuk muka bumi di rantau ini adalah bercantum dan apabila air laut mula naik ia memecahkannya kepada tanah besar dan kepulauan sehinggalah apa yang kita lihat pada hari ini dimana kita menurutnya telah berada di rantau ini sejak beribu-ribu tahun dahulu. Daripada mempercayai animisme  pengaruh agama seperti Hindu, Buddha dan Islam masuk dan berlakukan pengasmilasian disini. Kemudian penjajahan Barat datang membawa bersama pengaruh Kristian di alam Melayu yang terkenal dengan kerajaan-kerajaan lama seperti kerajaan Kesultanan Melaka, Majapahit, Palembang, Acheh, Riau, Langkasuka, Temasik, Sulu, Siam dan lain-lain. Kemudian zaman penjajahan barat seperti British, Belanda, Sepanyol, Perancis dan Jepun adalah kolonial yang pernah menjarah Suvarbumi ini. 

Mengembalikan semula program Asean COCI yang ditubuhkan pada 1978 yang memelihara dan mengembangkan budaya cara hidup anggota Asean menerusi kreativiti, Singapore Biennale bolehlah dikatakan sebagai projek seakan-akan dalam mencapai semula cita-cita itu. Edisi ke-4 Singapore Biennale 2013 telah bermula daripada 26 Oktober dan akan berakhir pada 16 Februari 2014. Pameran besar antarabangsa yang diadakan dua tahun sekali atau Biennale itu membawa temaIf The World Change  (Jika Dunia Berubah) buat pertama kalinya tanpa pengarah artistik (artistic director) pada sebelumnya namun dianggotai oleh kumpulan kurator yang besar seramai 27 orang yang belum pernah diamalkan dimana-mana Biennale setakat ini. Fokus kepada seni kontemporari Asia Tenggara membawa profesional seni yang terdiri daripada kurator, artis, pengurus seni, ahli akademik daripada Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Laos dan negara hos Singapura bekerja secara kolektif dalam membina tema.
Jika kita mengambil hubungan politik sebagai contoh. Tertubuhnya Organization of the Islamic Conference (OIC) atau Pertubuhan Persidangan Islam adalah atas dasar sebagai suara kolektif dunia Islam dalam mempromosikan keamanan dan keharmonian  kepada negara dunia umumnya. Jika kita mengkaji Biennale antarabangsa diluar lingkungan Eropah misalnya pembinaannya mempunyai objektif seni yang tersendiri. Sao Paolo Biennale yang menghubungkan seni kontemporari Brazil dibenua selatan Amerika yang mewakili suara Amerika Selatan kepada Eropah dan Amerika Syarikat. Begitu juga Havana Biennale yang menghubungkan negara Amerika Latin dengan kepulauan Caribbean iaitu negara-negara berkecuali yang tidak menyokong mana-mana negara blok semasa Perang Dingin.Singapore Biennale bolehlah dikatakan sebagai forum seni kontemporari berversi serantau di dalam lingkuang Asia Tenggara dalam pertukarannya atau dialognya diantara tempatan dan antarabangsa

Penganjuran biennale pertamnya iaitu Singapore Biennale 2006: Belief dipentaskan buat pertama kalinya pada tahun 4 September hingga 12 November 2006. Lokasi pameran diadakan juga di rumah keagamaan seperti di masjid, tokong, kuil, dan gereja yang membawa tema “Belief”. Edisi pertama ini diarahkan oleh pengarah artistik yang dipinjam dari Tokyo Mori Art Museum iaitu Fumio Nanjo yang merangkap pengarahnya muzium berkenaan pada masa itu dibantu oleh kurator bersama atau co curatorterdiri daripada Roger McDonald (Jepun) pernah membantu Nanjo mengkuratorkan The Yokohama Triennale 2001, Sharmini Pareira (Sri Lanka/United Kingdom) pernah mengkurator 3rd Asia Pacific Triennale 1999 di Queensland Art Gallery, Brisbane dan Eugene Tan (Singapura) pengarah Institute of Contemporary Art, La Salle College of the Arts yang pernah mengkuratorkan Pavillion Singapura di 51th Venice Biennale 2005. Menghimpunkan 195 karya daripada 95 artis yang datangnya daripada 38 negara. 

2nd Singapore Biennale 2008 dengan tema “Wonder” masih mengekalkan Fumio Nanjo sebagai Pengarah Artistik dan dibantu oleh dua kurator bebas iaitu Joselina Cruz (Singapura/Filipina) bekas kurator Singapore Art Museum dan Lopez Museum, Manila dan Matthew Ngui (Singapura/Australia)artis kontemporari Singapura yang pernah mewakili Pavilion Singapura di 49 Venice Biennele, 2001 iaitu. Penyertaan  dan pengalaman luas Matthew di pentas seni kontemporari antarabangsa seperti antaranya di Documenta X , Sao Paolo Biennale dan Gwangju Biennale. Pada  3rd Singapore Biennale 2011 bertema “Open House” berlangsung 13 Mac hingga 15 Mei 2011, penganjur telah melantik Matthew sebagai pangarah artistik dibantu oleh Russell Storer iaitu kurator Asian Contemporarydi Queensland Art Gallery, Brisbane, Australia dan Trevor Smith kurator Contemporary Art di Peabody Essex Museum, Massachusetts, USA yang membariskan 68 artis dan 150 karya.

Menelan belanja S$6 juta (RM 15 juta) Singapore Biennale 2013 (SB 2013) dikatakan merupakan edisi yang menelan kos yang tertinggi setakat ini. Menerima lebih 700 cadangan karya menerusi open calldan cadangan kurator. SB 2013 mempamerkan 82 artis dari rantau ini untuk dipamerakan di lokasi sekitar Brash Basah-Bugis (BBB) Presint yang lebih dikenali dengan lokasi kesenian dan kebudayaan di Singapura. Antara lokasi SB 2013 yang terdapat di sini ialah Singapore Art Museum (SAM), SAM @ 8Q , National Museum, Peranakan Museum, Waterloo Centre, National Library, Singapore Management University (SMU), Fort Canning Park dan Taman Jurong.

Apabila kita mengkaji penyertaan Malaysia di Singapore Biennale sebelum ini. Edisi ke-4 ini mempunyai signifikantnya yang tersendiri, Malaysia bukan sahaja mempunyai tiga wakil kurator yang terdiri daripada Yee I-Lann dan Faizal Sidik disamping Khairuddin Hori sebagai kurator negara hos, malah kita telah berjaya menyenaraikan penyertaan artis yang paling besar daripada edisi sebelumnya yang terdiri daripada sembilan artis antaranya adalah Zulkifli Yusof, Sharon Chin, Poodien, Jainal Amambing, Sheiko Reto, Andrian Ho, Chi Too, Chris Chong Chan Fui dan Tan Wei Kheng. Jika kita memintas masa penganjuran Singapore Biennaledalam edisi-edisi sebelum ini antara artis Malaysia yang pernah terpilih untuk memperlihatkan kerja mereka pada 1st Singapore Biennale 2006 ialah Simryn Gill, dan Yee I-Lann kemudian Nadia Bamadhaj yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia terpilih pada 2nd  Singapore Biennale 2008. Pada edisi seterusnya 3rd  Singapore Biennale 2011 pula oleh Sooshie Sulaiman dan Roslisham Ismail (Ise). Penyertaan kali bolehlah dibanggakan kerana buat pertama kalinya juga mengabungkan kekuatan tersendiri artis dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu arena.

Melihat artis Malaysia dalam SB 2013 boleh dibahagikan kepada dua iaitu artis yang terlibat secara langsung dengan budaya politik bandaran atau urban culture-politicseperti Zulkifli Yusof, Sharon Chin, Poodien, Chi Too dan Sheko Reto dimana persekitaran mempengaruhi mereka berkarya yakni kebanyakannya tinggal dan berkarya di Lembah Kelang. Manakala kumpulan kedua adalah mereka yang terkesan dengan ancaman oleh budaya, ekonomi dan politik daripada pembandaran yang tidak seimbang itu dimana mereka berkarya diluar pusat seni seperti Jainal Amambing, Chris Chong Chan Fui,Andrian Ho dan Tan Wei Kheng kebanyakan mereka berasal dari kepulauan Borneo di Sabah dan Sarawak. Isu-isu besar yang menjadi perbualan kini inilah yang dibawa oleh kumpulan kurator dari Malaysia. 

Inspirasi  daripada Batu Bersurat Terengganu yang merupakan kanun syariah, Zulkifli menghasilkan bentukan karya yang berbentuk batu-batuan dan bentuk yang biomorfik bertajuk ‘Rukun Negara: Belief In God’ 2013, Zul menghasilkan enam buah bentukan yang berdasarkan rukun negara yang pertama. Sharon Chin dengan ‘Mandi Bunga’ (Flower Bath) 2013, melakukan seni persembahan di hadapan perkarangan National Museum of Singapore menjemput 100 orang untuk mengalami mandi bunga diruang awam. Mandi bunga dalam masyarakat Melayu tradisi adalah membawa maksud mandi dengan bermacam-macam jenis bunga bagi membuang perkara yang tidak baik di dalam tubuh badan. Seni persembahan ini adalah rentetan daripada  Himpunan Bersih yang diadakan di Kuala Lumpur pada April 2012. ‘Long Live Food’ 2012 oleh Poodien adalah mural bersaiz besar, beliau memanupulasikan imej daripada stail poster propaganda Social Realist di China sekitar tahun 1950an hingga 1970an dalam persekitaran semasa kini dalam pada masa yang sama sindiran kepada komersialisme dan sistem kapitalisme. Karya video instalasi ‘Langing’ 2013 oleh Chi Too menggunkan penyukat imbang simbol kepada semangat keseimbang yang diambil dibeberapa lokasi penting di bandaraya Kuala Lumpur dan Singapura. Sheko Reto dengan ‘Waiting Room’ 2013, karya instalasi yang dipasang seperti membentuk sebuah ruang menunggu di klinik pembedahan, beliau cuba berkongsi isu pertukaran jantina atau trangender.

Artis-artis dari Borneo pula mempunyai permasalahan yang berbeza dari tanah Semenanjung.Jika artis Semenanjung kebanyakan lebih berat konsep dan idea, artis Borneo lebih masih lagi bergerak dari segi formalistik dan bernaratif dengan permasalahan tempatan yang mungkin kurang kedengaran seolah terpinggir, Jainal Amambing misalnya dalam siri ‘My Longhouse Story’ 2013 melontarkan pergelutan hidup generasi muda Sarawak dalam mendapatkan pendidikan menerusi siri catan rumah panjang. Karya Andrian Ho bertajuk ‘Fruit of Life’ dan ‘Full Production’ 2013, kritikansenyap mengenai penghakisan eko-sistem hutan yang menjadi habitat untuk pertanian kontan  melalui penanaman semula yang mengancam hidupan liar persekitaran. Permasalahan perampasan tanah adat orang asal Penan untuk pembangunan sehingga menukar muka bumi lanskap setempat adalah suara harapan mereka yang disampaikan oleh Tan Wei Kheng dalam ‘Voices of Hope’ 2013 agar rintihan penduduk di dengar. Kekayaan spesimen tumbuh-tumbuhan atau botani yang jarang-jarang dilihat hutan simpan di kepulauan Borneo diperlihatkan semula oleh Chris Chong Chan Fui menerusi illustrasi botanikal agar warisannya terpelihara dalam ‘Botanic’ 2013.  Jika diperhatikan mereka umpama artis-aktivis yang bergerak secara kumpulan dalam membawa sepanduk dan manifesto ‘seni untuk peribumi’ kepada eksekutif tertinggi negeri.

Acara pameran seni kontemporari besar seperti Venice Biennale misalnya tidak sunyi dengan acara sampingan dalam meraikannya. Rumah-rumah dan ruang-ruang seni menggunakan kesempatan ini dalam mempromosikan program masing-masing. Pada SB 2013 penganjur telah memperkenalkan program baru iaitu ‘Collaborative Projects’ atau Projek Koloborasi dengan ruang-ruang disekitar lokasi pameran, antaranya di Sculpture Square berlangsungnya pameran penggunaan tubuh sebagai medium artistik dalam‘Ghost: The Body at The Turn of The Centuary’. Di Institute of Contemporary Arts Singapore kali ini membawa seni kontemporari terkini artis dari Asia Tengah seperti Khazakhstan, Krygystan dan Uzbekistan dalam ‘Lost To The Future: Contemporary Art From Central Asia’ manakala The Substation mengadakan ‘The Singapunk Biennale’ menghimpunkan komuniti ini di Asia Tenggara dalam satu acara.

Acara Sampingan yang dikenali juga sebagai Parallel atau Collateral Event dalam kalender SB 2013 kali menjadi daya penarik kerana kebanyakannya acaranya berpandukan tema ‘If The World Changed’ antaranya ialah ‘A Changed World: Singapore Art 1950s-1970s’di National Museum of Singapore meneroka pembangunan Singapura selepas Perang Dunia Pertama dari segi politik, ekonomi, sosial dan lanskap bandaran dalam bahasa visual oleh artis. Di Asian Civilisation Museum pula diadakan ‘Devotion and Desire: Cross-Cultural Art in Asia’ yang mempamerkan objek perolehan terkini yang menjambati budaya Asia  yang menjadi Asia Tenggara sebagai jalan penghubungdengan dunia luar. Selain itu pameran siri forum yang membawa komuniti di sini berdialog mengenai permasalahan semasa dengan peneraju global dalam bidang kepakaran masing-masing dengan tajuk ‘Idea for a Better World Forum’ diadakan di Singapore International Forum dengan menjemput artis Biennale Eko Prawoto berkongsi perspektif beliau dalam menghubungkan antara seni dan budaya ke arah kesinambungan dunia yang lebih baik.

Penutup
Bagi saya dominasi artis sebagai kurator cukup dominan dalam edisi kali ini. Secara peribadi saya mengatakan SB 2013 adalah artist-curated show to artistatau pameran dikurator artis untuk artis, bermaksud jika anda mahu melihat dan  merasai pengalaman yang lari daripada pengaruh galeri-galeri swasta, rumah lelongan karya, ekspo seni antarabangsa atau citarasa peribadi kolektor datanglah beramai-ramai ke 4th Singapore Biennale yang akan berakhir pada16 Februari 2014.

SB 2013 adalah visual budaya yang merakam dan mendokumentasi cara hidup kontemporari rantau Asia Tenggara. Jika setiap bandar besar Asean mempunyai muzium seni di ibu negaranya seperti Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur, Galeri Nasional Indonesia di Jakarta, Museum Contemporary Art and Design (MCAD) di Manila, Museum of Contemporary Art atau MOCA Bangkok di Bangkok, Vietnam Nasional Museum of Fine Arts di Hanoi, National Museum of Myanmar di Yangon, National Museum of Arts di Phnom Penh, Lao National Museum di Vientiane, Untuk SB 2013, Singapore Art Museum bolehlah dikatakan sebagai muzium serantau yang mewakili himpunan seni kontemporari bahagian tenggara dunia di dalam satu bumbung besar.

Pada hari ini barulah saya menyedari bahawa ilmu yang diberikan oleh Piyadasa semasa saya berguru dengan beliau dahulu mengenai seni rupa Asia Tenggara adalah ruang-ruang yang mempunyai prospek  luas untuk digunakan dalam membangunkan seni serantau berikutan minat yang semakin meningkat oleh masyarakat dunia mengetahui akannya dan Singapore Biennale adalah pentasnya. Seni lukis Malaysia masih terasa dengan kehilangan Allahyarham Redza Piyadasa pada tahun 2007. Al-Fatihah saya sedekahkan semoga roh beliau dicucuri rahmat disana. Amin.
 

Singapore Biennale 2013: Co-Curators Workshop II& III




Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2014), 'Singapore Biennale 2013: Co-Curators Workshop II & III', SENIKINI #21, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Pengenalan
Mengkurator adalah aktiviti yang menghubungkan objek, imej, proses, manusia, lokasi, sejarah dan wacana dalam ruang sebenar. Pada penulisan bertajuk‘Singapore Biennale 2013: Curatorial Team Workshop I’ yang telah diterbitkan di Senikini pada edisi yang #19 saya membuat ulasan mengenai latar belakang, tema, perlantikan kurator, model cadangan karya dan lokasi. Penulisan ini pula akan membawa dua lagi siriwokshop atau bengkel kurator antarabangsa sebelum pembinaan Singapore Biennale 2013 yang diadakan pada 23 Oktober sehingga 16 Februari 2014. Singapore Biennale 2013 Co-Curators Workshop II yang diadakan pada 28 Januari hingga 1 Feb 2013 di Glass Hall, Singapore Art Museum adalah kesinambungan daripada siri wokshop yang pertama bertujuan untuk melihat cadangan karya yang diperolehi dengan dua kaedah pemerolehan yang diguna pakai iaitu melalui ‘open call’ atau pemerolehan terbuka dan juga cadangan co curator atau kurator bersama yang dijemput

Mengkurator Asia Tenggara
Cadangan ‘open call’ bolehlah bermaksud bahawa jemputan secara terbuka kepada artis untuk menghantar karya mereka melalui iklan yang dipromosikan oleh penganjur menerusi media cetak dan juga media elektronik terutamanya laman web dan media sosial. Menerusi cadangan kurator pula adalah kurator yang dilantik akan mencadangkan karya-karya yang mereka anggap berpotensi untuk diketengahkan menerusi pertemuan dan lawatan ke studio artis. Apa yang menariknya menerusi cara ini adalah pusat seni atau ‘art center’ yang dikatakan menjadi nadi perkembangan seni bagi setiap negara kurator-kurator bukan  lagi menjadi keutamaan pemilihan kurator namun ia lebih kepada bernafas serantau. 

T.K. Sabapathy bersama 27 co-curators Singapore Biennale 2013

Model ini dipraktikan cuba dalam melihat aktiviti seni bukan sahaja berkembang di pusat bandaran sahaja yang dijana oleh kegiatan ekonomi, politik dan sosial malah masih wujud dalam istilah yang dikatakan ‘periphery’ atau terletak dikawasan pinggiran dengan menyeluruh dan kolektif. Dalam perihal ini misalnya negara Vietnam yang jika dikaji sejarahnya selepas Perang IndoChina menentang Perancis dan dibawah jajahan Jepun mengalami perang saudara yang dikenali Perang Vietnam  diantara Vietnam Utara oleh Vietcong yang beraliran Marxist disokong ketenteraan oleh Soviet Union  menentang Vietnam Selatan dibelakangi oleh Amerika Syarikat yang dimenangi oleh pihak utara yang kemudiannya bergabung pada 1976 dengan dengan nama Republik Sosialis Vietnam dibahagikan kepada dua kurator iaitu Tran Luong di Hanoi dan Nguyen Nhu Huy di Ho Chi Minh yang kini merupakan ibu negara yang terletak di selatan negara itu. Manakala itu Filipina yang mempunyai banyak kepulauan diwakili oleh empat wakil kurator iaitu Kawayan de Guia di Baguio City dan Claro Ramirez di Manila dalam melihat pulau yang terbesar di Filipina iaitu Luzon dibahagian utara. Charlie Co yang berpengkalan di Bacolod City iaitu di Western Visayas akan melihat di kawasan tengah iaitu di Barat Filipina manakala Abraham Garcia, Jr. Yang berasal dari Davao akan melihat artis di kepulauan selatan Filipina iaitu Mindanao.

Bagi Indonesia terdapat dua pusat utama pergerakan seni lukis di sana yang utama iaitu Jakarta yang diwakili oleh Mia Maria dan Aminuddin T.H Siregar atau yang lebih dikenali sebagai ‘Ucok’ yang berpusat di Bandung. Kurator bersama Angkrit Ajchariyasophon yang bertapak di Chiang Rai, Thailand akan menyelaras di kawasan utara manakala Ark Fongsmut yang bertapak di Bangkok akan membuat pemerhatian sekitar selatan negara itu. Bagi Malaysia diwakili oleh Faizal Sidik yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur akan membuat penyelidikan artis-artis di Semenanjung Malaysia dan Yee I-Lann yang berasal dari Kota Kinabalu membuat penelitian artis di kepulauan Borneo di Sabah, Brunei dan Sarawak. Sementara itu setiap negara Asia Tenggara yang lain seperti Myanmar oleh Aye Ko dari Yangon, Misouda Heuangsoukkhousn dari ibunegara Laos iaitu Vientiane dan Erin Gleeson yang berpusat di Berlin dan Phnom Penh untuk Cambodia. Kumpulan sebelas orangkurator Singapura pula sebagai hos akan bersama berada di dalam setiap negara-negara Asia Tenggara sendiri selain enam daripadanya akan melihat artis Singapura.

Kuratorial dalam ertikata yang lebih jauh lagi, mengendalikan satu kaedah yang mengambil seni sebagai satu titik mula, namun situasinya berkaitan dengan konteks tertentu, masa, dan persoalan yang mencabar status quo. Dalam SB 2013 Co-Curators Workshop II  ini beberapa saringan yang telah dilakukan. Pertama semua kurator terlibat untuk melihat semua karya yang telah dihantar melalui ‘open call’  untuk membuat penelitian samada cadangan karya tersebut berkualiti dan mempunyai potensi untuk diangkat menerusi tema ‘If The World Changed’ . Sejumlah 700 penyertaan cadangan karya telah diterima oleh penganjur yang datangnya bukan sahaja dari negara Asia Tenggara malah dari Asia Timur, Asia Barat, Asia Selatan dan daripada calonartis Antarabangsa. Antara artis Malaysia yang turut berada didalam senarai pencalonan ini ialah Tan Chin Kuan, Eng Hwee Chu dan Suhaimi Fadzir. 

Daripada peringkat ini hanya penyertaan yang disenarai pendek akan dibentang dan dipersembahkan  bersama-sama dengan cadangan kurator bersama setiap negara. Sudah tentu Singapura sebagai negara penganjur mempunyai cadangan penyertaan yang terbesar samada yang menghantar melalui penyertaan terbuka atau pilihan artis yang diwakili oleh kurator bersama yang terdiri daripada Tan Boon Hui, Joyce Toh, David Chew, Seng Yu Jin, Tay Swee Lin, Tamares Goh dan Charmaine Toh. Semasa sesi ini, apa yang menarik adalah apabila kurator membuat persembahan artis-artis mereka menerusi slid kurator dari negara lain boleh memberi pandangan atau membuat kritikan terhadap karya yang dipersembahkan Sungguhpun nama-nama artis yang telah disenaraipendek dalam peringkat ini hanya beberapa nama sahaja disahkan turut sertanamun tiada keputusan yang muktamad yang dicapai kerana sesama kurator  bercadang untuk melihat karya dengan lebih jelas lagi melalui kerja lapangan dengan melakukan perjalanan penyelidikan, lawatan studio dan temubual dengan artis terbabit untuk dibawa sekali lagi direpresentasikan diwokshop yang seterusnya.

Singapore Biennale 2013 Co-Curators Workshop III iaitu yang terakhir diadakan selang dua bulan, wokshop selama tiga hari iaitu pada 3 hingga 5 April ditempat yang sama bukan sahaja bertujuan untuk mencapai kata sepakat dalam memilih karya artis tetapi juga adalah perancangan akhir dalam membina struktur pameran seperti sub-themeatau tema-tema kecil yang sesuai diletakkan dalam satu kumpulan. Pada wokshop kali ini kurator bersama bukan lagi bergerak mengikut negara masing-masing tetapi mereka bekerja secara kolektif bersama 27 kurator sesama mereka dalam membuat eksperimentasi pemetaan karya menerusi tema-tema tertentu, selain itu lawatan ke lokasi akhir pameran juga dilakukan dan seterusnya  membuat perletakan karya akhir menerusi pelan lantai.

Walaupun perbincangan melalui kesepakatan yang dicapai melalui pertemuan melalui woksop yang diadakan telah berakhir, namun kerja-kerja kuratorial dan pengurusan dari segi membuat perhubungan dengan artis yang terpilih tetap berjalan. Enam bulan sebelum tarikh pembukaan adalah masa yang terlalu kritikal oleh penganjur dan kurator dari segi pembahagian dana untuk penghasilan karya oleh artis, penginsuranan, logistik daripada studio ke lokasi, dan juga pemasangan karya yang mencabar terutamanya yang bersaiz rasaksa.

Penutup
 Mengkurator Asia Tenggara adalah seperti menjadi jurucakap kepada cara pandang artis kontemporari terhadap rantau ini. Ini adalah bermaksud bagaimana mereka melihat Asia Tenggara itu dari sudut kaca mata estetik dan artistik terutamanya mereka yang lahir disini namun tidak pernah mendapat pendedahan secara global. Medan ini adalah baik untuk kurator dan artis menyebarluaskan perkongsian kekayaan budaya yang dimiliki serantau. Mengkurator kini bukan lagi pekerjaan rutin di galeri dan muzium malah ia melangkaui dari itu dalam meletakkan pameran, penganjuran acara, siri program tayang dan lain-lain.