Isnin, 23 Disember 2013

Jika Dunia boleh Berubah di Singapore Biennale 2013



Oleh: Faizal Sidik


Pengenalan
Mengimbau kembali semasa mengikuti program Sarjana Seni Rupa (Asia Tenggara) atau Master of Visual Art (Southeast Asia Art)yang ditawarkan oleh di Universiti Malaya dibawah Pusat Kebudayaan pada sekitar awal tahun 2000 dahulu, hanya saya dan rakan Zahambri Nizar sahaja yang mendaftar sebagai calon program yang terawal ianya dibuka. Kami masih tertanya siapakah yang akan menyelia merangkap pensyarah dan kemanakah hala tuju program ini akan membawa kami. Apabila mendaftar diri di Pusat Pengajian Pasca Siswazah UM, baru kami diberitahu bahawa kami akan berada dibawah penyeliaan oleh Redza Piyadasa. Apabila mendapat tahu beliau akan berada di dalam program ini, riak wajah muka kami mula bertukar seolah-olah langit yang cerah tiba-tiba lindungi oleh awan yang mendung lagi redup seolah-olah hari akan hujan. Itulah perumpamaan ke atas Piyadasa yang terkenal dengan watak agresifnya dengan pelajar.

Biennale Asia Tenggara
Piyadasa sebagaimana yang diketahui bukan sahaja seorang artis malah juga seorang penulis, pengkritik dan juga pensejarah seni yang mana ilmunya luas merangkumi kawasan rantau ini. Apabila sebut sahaja Redza Piyadasa adalah tidak lengkap jika tidak menyebut juga Sulaiman Esa rakan serangkai beliau dalam Towards Mystical of Reality ataupun T.K Sabapathy rakan sekerja beliau semasa mengajar di Pusat Seni Universiti Sains Malaysia pada suatu masa dahulu, dan kini beliau merupakan Prof Madya yang mengajar sejarah seni di Departmrnt of Architecture di National University of Singapore (NUS) juga merupakan ilmuan sejarah seni Asia Tenggara (Malaysia/Singapura) yang seangkatan dengan Apinan Poshyananda (Thailand), Jim Supangkat  (Indonesia). Di sekitar tahun 1980 an dan 1990 an negara anggota Asean sering mengadakan pertemuan di negara serantau samada simposium, bengkel atau seminar yang melibatkan negara-negara Asia Tenggara seperti simposium estetik, bengkel catan dan fotografi, bengkel catan dan fotografi kanak-kanak dan seminar seni lukis serumpun dimana acara beginilah yang merapatkan jurang diantara negara anggota dalam kebudayaan, apabila setiap negara menghantar representasi yang mewakil negara masing-masing dibawah program yang dinamakan Asean COCI atau Committee on Culture and Information. Program yang dibentuk didalam Asean ini bukan sahaja menaja program kesenian malah kesusasteraan di negara anggota melalui penerbitan.Dibawah acara kebudayaan ini setiap anggota akan bergilir-gilir menngadakan program samada di Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Manila, mahupun Bandar Seri Bagawan. Inilah satu cara bagaimana program ini boleh merapatkan jurang persahabatan melalui budaya antara anggota dan melupakan sengketa politik lampau.

Kembali kepada pengajian di Universiti Malaya diajar kesenian Asia Tenggara bukan sahaja seni moden malah sebelum kewujudan seni moden di Barat, dalam subjek Sejarah Seni Bina Asia Tenggara, rantau  Asia Tenggara telah mempunyai keseniannya sendiri iaitu seni fungsian seperti seni bina lama seperti candi Borobodor, Prambanan, Angkor Wat. Pengajaran Piyadasa disini banyak menekankan kembali semula kepada akar masyarakat nusantara dimana melihat dari sudut geografinya pada beribu-ribu tahun dahulu bentuk muka bumi di rantau ini adalah bercantum dan apabila air laut mula naik ia memecahkannya kepada tanah besar dan kepulauan sehinggalah apa yang kita lihat pada hari ini dimana kita menurutnya telah berada di rantau ini sejak beribu-ribu tahun dahulu. Daripada mempercayai animisme  pengaruh agama seperti Hindu, Buddha dan Islam masuk dan berlakukan pengasmilasian disini. Kemudian penjajahan Barat datang membawa bersama pengaruh Kristian di alam Melayu yang terkenal dengan kerajaan-kerajaan lama seperti kerajaan Kesultanan Melaka, Majapahit, Palembang, Acheh, Riau, Langkasuka, Temasik, Sulu, Siam dan lain-lain. Kemudian zaman penjajahan barat seperti British, Belanda, Sepanyol, Perancis dan Jepun adalah kolonial yang pernah menjarah Suvarbumi ini. 

Mengembalikan semula program Asean COCI yang ditubuhkan pada 1978 yang memelihara dan mengembangkan budaya cara hidup anggota Asean menerusi kreativiti, Singapore Biennale bolehlah dikatakan sebagai projek seakan-akan dalam mencapai semula cita-cita itu. Edisi ke-4 Singapore Biennale 2013 telah bermula daripada 26 Oktober dan akan berakhir pada 16 Februari 2014. Pameran besar antarabangsa yang diadakan dua tahun sekali atau Biennale itu membawa temaIf The World Change  (Jika Dunia Berubah) buat pertama kalinya tanpa pengarah artistik (artistic director) pada sebelumnya namun dianggotai oleh kumpulan kurator yang besar seramai 27 orang yang belum pernah diamalkan dimana-mana Biennale setakat ini. Fokus kepada seni kontemporari Asia Tenggara membawa profesional seni yang terdiri daripada kurator, artis, pengurus seni, ahli akademik daripada Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Laos dan negara hos Singapura bekerja secara kolektif dalam membina tema.
Jika kita mengambil hubungan politik sebagai contoh. Tertubuhnya Organization of the Islamic Conference (OIC) atau Pertubuhan Persidangan Islam adalah atas dasar sebagai suara kolektif dunia Islam dalam mempromosikan keamanan dan keharmonian  kepada negara dunia umumnya. Jika kita mengkaji Biennale antarabangsa diluar lingkungan Eropah misalnya pembinaannya mempunyai objektif seni yang tersendiri. Sao Paolo Biennale yang menghubungkan seni kontemporari Brazil dibenua selatan Amerika yang mewakili suara Amerika Selatan kepada Eropah dan Amerika Syarikat. Begitu juga Havana Biennale yang menghubungkan negara Amerika Latin dengan kepulauan Caribbean iaitu negara-negara berkecuali yang tidak menyokong mana-mana negara blok semasa Perang Dingin.Singapore Biennale bolehlah dikatakan sebagai forum seni kontemporari berversi serantau di dalam lingkuang Asia Tenggara dalam pertukarannya atau dialognya diantara tempatan dan antarabangsa

Penganjuran biennale pertamnya iaitu Singapore Biennale 2006: Belief dipentaskan buat pertama kalinya pada tahun 4 September hingga 12 November 2006. Lokasi pameran diadakan juga di rumah keagamaan seperti di masjid, tokong, kuil, dan gereja yang membawa tema “Belief”. Edisi pertama ini diarahkan oleh pengarah artistik yang dipinjam dari Tokyo Mori Art Museum iaitu Fumio Nanjo yang merangkap pengarahnya muzium berkenaan pada masa itu dibantu oleh kurator bersama atau co curatorterdiri daripada Roger McDonald (Jepun) pernah membantu Nanjo mengkuratorkan The Yokohama Triennale 2001, Sharmini Pareira (Sri Lanka/United Kingdom) pernah mengkurator 3rd Asia Pacific Triennale 1999 di Queensland Art Gallery, Brisbane dan Eugene Tan (Singapura) pengarah Institute of Contemporary Art, La Salle College of the Arts yang pernah mengkuratorkan Pavillion Singapura di 51th Venice Biennale 2005. Menghimpunkan 195 karya daripada 95 artis yang datangnya daripada 38 negara. 

2nd Singapore Biennale 2008 dengan tema “Wonder” masih mengekalkan Fumio Nanjo sebagai Pengarah Artistik dan dibantu oleh dua kurator bebas iaitu Joselina Cruz (Singapura/Filipina) bekas kurator Singapore Art Museum dan Lopez Museum, Manila dan Matthew Ngui (Singapura/Australia)artis kontemporari Singapura yang pernah mewakili Pavilion Singapura di 49 Venice Biennele, 2001 iaitu. Penyertaan  dan pengalaman luas Matthew di pentas seni kontemporari antarabangsa seperti antaranya di Documenta X , Sao Paolo Biennale dan Gwangju Biennale. Pada  3rd Singapore Biennale 2011 bertema “Open House” berlangsung 13 Mac hingga 15 Mei 2011, penganjur telah melantik Matthew sebagai pangarah artistik dibantu oleh Russell Storer iaitu kurator Asian Contemporarydi Queensland Art Gallery, Brisbane, Australia dan Trevor Smith kurator Contemporary Art di Peabody Essex Museum, Massachusetts, USA yang membariskan 68 artis dan 150 karya.

Menelan belanja S$6 juta (RM 15 juta) Singapore Biennale 2013 (SB 2013) dikatakan merupakan edisi yang menelan kos yang tertinggi setakat ini. Menerima lebih 700 cadangan karya menerusi open calldan cadangan kurator. SB 2013 mempamerkan 82 artis dari rantau ini untuk dipamerakan di lokasi sekitar Brash Basah-Bugis (BBB) Presint yang lebih dikenali dengan lokasi kesenian dan kebudayaan di Singapura. Antara lokasi SB 2013 yang terdapat di sini ialah Singapore Art Museum (SAM), SAM @ 8Q , National Museum, Peranakan Museum, Waterloo Centre, National Library, Singapore Management University (SMU), Fort Canning Park dan Taman Jurong.

Apabila kita mengkaji penyertaan Malaysia di Singapore Biennale sebelum ini. Edisi ke-4 ini mempunyai signifikantnya yang tersendiri, Malaysia bukan sahaja mempunyai tiga wakil kurator yang terdiri daripada Yee I-Lann dan Faizal Sidik disamping Khairuddin Hori sebagai kurator negara hos, malah kita telah berjaya menyenaraikan penyertaan artis yang paling besar daripada edisi sebelumnya yang terdiri daripada sembilan artis antaranya adalah Zulkifli Yusof, Sharon Chin, Poodien, Jainal Amambing, Sheiko Reto, Andrian Ho, Chi Too, Chris Chong Chan Fui dan Tan Wei Kheng. Jika kita memintas masa penganjuran Singapore Biennaledalam edisi-edisi sebelum ini antara artis Malaysia yang pernah terpilih untuk memperlihatkan kerja mereka pada 1st Singapore Biennale 2006 ialah Simryn Gill, dan Yee I-Lann kemudian Nadia Bamadhaj yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia terpilih pada 2nd  Singapore Biennale 2008. Pada edisi seterusnya 3rd  Singapore Biennale 2011 pula oleh Sooshie Sulaiman dan Roslisham Ismail (Ise). Penyertaan kali bolehlah dibanggakan kerana buat pertama kalinya juga mengabungkan kekuatan tersendiri artis dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu arena.

Melihat artis Malaysia dalam SB 2013 boleh dibahagikan kepada dua iaitu artis yang terlibat secara langsung dengan budaya politik bandaran atau urban culture-politicseperti Zulkifli Yusof, Sharon Chin, Poodien, Chi Too dan Sheko Reto dimana persekitaran mempengaruhi mereka berkarya yakni kebanyakannya tinggal dan berkarya di Lembah Kelang. Manakala kumpulan kedua adalah mereka yang terkesan dengan ancaman oleh budaya, ekonomi dan politik daripada pembandaran yang tidak seimbang itu dimana mereka berkarya diluar pusat seni seperti Jainal Amambing, Chris Chong Chan Fui,Andrian Ho dan Tan Wei Kheng kebanyakan mereka berasal dari kepulauan Borneo di Sabah dan Sarawak. Isu-isu besar yang menjadi perbualan kini inilah yang dibawa oleh kumpulan kurator dari Malaysia. 

Inspirasi  daripada Batu Bersurat Terengganu yang merupakan kanun syariah, Zulkifli menghasilkan bentukan karya yang berbentuk batu-batuan dan bentuk yang biomorfik bertajuk ‘Rukun Negara: Belief In God’ 2013, Zul menghasilkan enam buah bentukan yang berdasarkan rukun negara yang pertama. Sharon Chin dengan ‘Mandi Bunga’ (Flower Bath) 2013, melakukan seni persembahan di hadapan perkarangan National Museum of Singapore menjemput 100 orang untuk mengalami mandi bunga diruang awam. Mandi bunga dalam masyarakat Melayu tradisi adalah membawa maksud mandi dengan bermacam-macam jenis bunga bagi membuang perkara yang tidak baik di dalam tubuh badan. Seni persembahan ini adalah rentetan daripada  Himpunan Bersih yang diadakan di Kuala Lumpur pada April 2012. ‘Long Live Food’ 2012 oleh Poodien adalah mural bersaiz besar, beliau memanupulasikan imej daripada stail poster propaganda Social Realist di China sekitar tahun 1950an hingga 1970an dalam persekitaran semasa kini dalam pada masa yang sama sindiran kepada komersialisme dan sistem kapitalisme. Karya video instalasi ‘Langing’ 2013 oleh Chi Too menggunkan penyukat imbang simbol kepada semangat keseimbang yang diambil dibeberapa lokasi penting di bandaraya Kuala Lumpur dan Singapura. Sheko Reto dengan ‘Waiting Room’ 2013, karya instalasi yang dipasang seperti membentuk sebuah ruang menunggu di klinik pembedahan, beliau cuba berkongsi isu pertukaran jantina atau trangender.

Artis-artis dari Borneo pula mempunyai permasalahan yang berbeza dari tanah Semenanjung.Jika artis Semenanjung kebanyakan lebih berat konsep dan idea, artis Borneo lebih masih lagi bergerak dari segi formalistik dan bernaratif dengan permasalahan tempatan yang mungkin kurang kedengaran seolah terpinggir, Jainal Amambing misalnya dalam siri ‘My Longhouse Story’ 2013 melontarkan pergelutan hidup generasi muda Sarawak dalam mendapatkan pendidikan menerusi siri catan rumah panjang. Karya Andrian Ho bertajuk ‘Fruit of Life’ dan ‘Full Production’ 2013, kritikansenyap mengenai penghakisan eko-sistem hutan yang menjadi habitat untuk pertanian kontan  melalui penanaman semula yang mengancam hidupan liar persekitaran. Permasalahan perampasan tanah adat orang asal Penan untuk pembangunan sehingga menukar muka bumi lanskap setempat adalah suara harapan mereka yang disampaikan oleh Tan Wei Kheng dalam ‘Voices of Hope’ 2013 agar rintihan penduduk di dengar. Kekayaan spesimen tumbuh-tumbuhan atau botani yang jarang-jarang dilihat hutan simpan di kepulauan Borneo diperlihatkan semula oleh Chris Chong Chan Fui menerusi illustrasi botanikal agar warisannya terpelihara dalam ‘Botanic’ 2013.  Jika diperhatikan mereka umpama artis-aktivis yang bergerak secara kumpulan dalam membawa sepanduk dan manifesto ‘seni untuk peribumi’ kepada eksekutif tertinggi negeri.

Acara pameran seni kontemporari besar seperti Venice Biennale misalnya tidak sunyi dengan acara sampingan dalam meraikannya. Rumah-rumah dan ruang-ruang seni menggunakan kesempatan ini dalam mempromosikan program masing-masing. Pada SB 2013 penganjur telah memperkenalkan program baru iaitu ‘Collaborative Projects’ atau Projek Koloborasi dengan ruang-ruang disekitar lokasi pameran, antaranya di Sculpture Square berlangsungnya pameran penggunaan tubuh sebagai medium artistik dalam‘Ghost: The Body at The Turn of The Centuary’. Di Institute of Contemporary Arts Singapore kali ini membawa seni kontemporari terkini artis dari Asia Tengah seperti Khazakhstan, Krygystan dan Uzbekistan dalam ‘Lost To The Future: Contemporary Art From Central Asia’ manakala The Substation mengadakan ‘The Singapunk Biennale’ menghimpunkan komuniti ini di Asia Tenggara dalam satu acara.

Acara Sampingan yang dikenali juga sebagai Parallel atau Collateral Event dalam kalender SB 2013 kali menjadi daya penarik kerana kebanyakannya acaranya berpandukan tema ‘If The World Changed’ antaranya ialah ‘A Changed World: Singapore Art 1950s-1970s’di National Museum of Singapore meneroka pembangunan Singapura selepas Perang Dunia Pertama dari segi politik, ekonomi, sosial dan lanskap bandaran dalam bahasa visual oleh artis. Di Asian Civilisation Museum pula diadakan ‘Devotion and Desire: Cross-Cultural Art in Asia’ yang mempamerkan objek perolehan terkini yang menjambati budaya Asia  yang menjadi Asia Tenggara sebagai jalan penghubungdengan dunia luar. Selain itu pameran siri forum yang membawa komuniti di sini berdialog mengenai permasalahan semasa dengan peneraju global dalam bidang kepakaran masing-masing dengan tajuk ‘Idea for a Better World Forum’ diadakan di Singapore International Forum dengan menjemput artis Biennale Eko Prawoto berkongsi perspektif beliau dalam menghubungkan antara seni dan budaya ke arah kesinambungan dunia yang lebih baik.

Penutup
Bagi saya dominasi artis sebagai kurator cukup dominan dalam edisi kali ini. Secara peribadi saya mengatakan SB 2013 adalah artist-curated show to artistatau pameran dikurator artis untuk artis, bermaksud jika anda mahu melihat dan  merasai pengalaman yang lari daripada pengaruh galeri-galeri swasta, rumah lelongan karya, ekspo seni antarabangsa atau citarasa peribadi kolektor datanglah beramai-ramai ke 4th Singapore Biennale yang akan berakhir pada16 Februari 2014.

SB 2013 adalah visual budaya yang merakam dan mendokumentasi cara hidup kontemporari rantau Asia Tenggara. Jika setiap bandar besar Asean mempunyai muzium seni di ibu negaranya seperti Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur, Galeri Nasional Indonesia di Jakarta, Museum Contemporary Art and Design (MCAD) di Manila, Museum of Contemporary Art atau MOCA Bangkok di Bangkok, Vietnam Nasional Museum of Fine Arts di Hanoi, National Museum of Myanmar di Yangon, National Museum of Arts di Phnom Penh, Lao National Museum di Vientiane, Untuk SB 2013, Singapore Art Museum bolehlah dikatakan sebagai muzium serantau yang mewakili himpunan seni kontemporari bahagian tenggara dunia di dalam satu bumbung besar.

Pada hari ini barulah saya menyedari bahawa ilmu yang diberikan oleh Piyadasa semasa saya berguru dengan beliau dahulu mengenai seni rupa Asia Tenggara adalah ruang-ruang yang mempunyai prospek  luas untuk digunakan dalam membangunkan seni serantau berikutan minat yang semakin meningkat oleh masyarakat dunia mengetahui akannya dan Singapore Biennale adalah pentasnya. Seni lukis Malaysia masih terasa dengan kehilangan Allahyarham Redza Piyadasa pada tahun 2007. Al-Fatihah saya sedekahkan semoga roh beliau dicucuri rahmat disana. Amin.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan