Khamis, 9 Mei 2013

"Manjung School: Pilihan Rakyat"



Oleh: Faizal Sidik 

 Manjung merupakan antara 11 buah daerah yang terdapat di dalam negeri Perak. Pada zaman kerajaan Melayu lama, daerah Manjung terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan awal negeri. Antara kerajaan awal Perak yang terdapat di sini adalah kerajaan Dinding dan Beruas. Daerah Manjung terletak di dalam Parlimen Lumut yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Sitiawan, Pasir Panjang dan Pangkor. Daerah ini sangat terkenal sebagai tempat peranginan berhampiran dengan kawasan pantai menjadi tarikan pelancong seperti Teluk Batik, Teluk Rubiah dan Pulau Pangkor.

Permaknaan ‘School of thought’ merujuk kepada gaya atau stail yang lahir dari suatu tempat atau satu gerakan. School of Paris adalah asalan daripada gerakan seni lukis yang berpusat di sekitar kota Paris pada akhir abad ke 17 dan awal abad ke 18 melahirkan hero-hero seni seperti Cezanne, Van Gogh, Picasso. Kemudian New York School muncul sebagi pusat seni lukis utama pada abad ke-19 hingga kini terkenal dengan karakter utama seperti Jackson Pollock, Andy Warhol, Mark Rothko. Gerakan seni Manjung School adalah merujuk kepada pandangan aliran seni lukis baru yang berasal daripada sebuah kawasan barat negeri Perak yang mempunyai pengaruh yang dekat dengan iklim maritim. Manjung School atau Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka ITM Seri Manjung mula ditubuhkan pada 1996. Terma Manjung School ini diambil bagi meletakkan aliran seni yang pernah bertapak di situ daripada 1996 hingga 2002 yang mempunyai tiga jabatan iaitu Seni Halus, Seramik dan Fesyen.

Pameran berkumpulan pelukis aliran Manjung ‘Manjung School: Pilihan Rakyat’ ini mempamerkan karya-karya terkini oleh pelukis yang pernah bersama di sini antaranya Ahmad Fairus Ahmad aka Along, Ekhsan Haniff, Eruan Adnan, Faizal Sidik, Nadiah Mohamed, Nuriman Amri dan Zazlan Zaeeha Zaini dimana kebanyakan mereka ini pernah memenangi anugerah seni diperingkat nasional dan penglibatan dalam arena seni antarabangsa seperti Faizal Sidik wakil Manjung School yang pertama kali memenangi hadiah Young Contemporary Awards atau Bakat Muda Sezaman 2000 dan juga Co-Curator bagi Singapore Biennale 2013, Ekhsan Haniff memenangi hadiah ASEAN Philip Morris Art Awards, Nadiah Mohamed dan Nuriman Amri pula memenangi Nokia Art Award Asia Pasific 2001.

Karya dan objek yang terhasil adalah kesan refleksi pengkarya terhadap kehidupan yang ditempoh melalui masa. Seniman tidak boleh melarikan diri daripada masyarakat, sedikit sebanyak penciptaan mereka adalah cerminan kepada nasib masyarakat yang mereka depani. Karya seni adalah produk budaya yang merakam dan mendokumentasikan pergolakan yang terpilih daripada rakyat untuk rakyat. Pameran ‘Manjung School: Pilihan Rakyat’ mempamerkan karya-karya mutakhir pelukis aliran Manjung yang berkisar kepada tindakbalas isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara dari segi politik dan sosial, sebagai artis mereka juga tidak mahu melepaskan diri dalam merayakan babak penting dalam sejarah demokrasi negara iaitu Pilihan Raya Umum.

Karya Zazlan banyak menggunkan metafora binatang tertentu seperti ayam jantan, gagak, ikan dalam memaksudkan perwatakan seseorang. Dalam ‘Trap in Fear’ beliau memperlihatkan ayam jantan sebagai watak pejuang dalam perlagaan atau perlawanan. Sifat semulajadi ayam jantan apabila dibela dan diberi makan jika dilepaskan tetap akan kembali ke reban dimana ia mendapat makanan (habuan) walaupun dia akan disembelih kerana selasa dengan apa yang ia perolehi daripada perlu bersaing di luar. Perkara ini beliau ibaratkan kepada pemimpin politik tertentu yang apabila telah diperangkap dengan kemewahan dengan ‘kerusi’ yang dipegang selama ini mereka maka mereka lupa akan kesusahan rakyat bawahan .

Faizal Sidik memilih karakter wayang kulit dalam menyatakan pendangannya terhadap isu politik semasa negara. Isu kebebasan hak bersuara yang pegangi di awal karier pengkaryaan sejak akhir 90 an kini masih segar dengan pergolakan semasa. Karya ‘Tak Percaya Pada Media’ adalah karya catan yang bersikap sinikal dalam mengkritik pihak tertentu. Tanpa berselindung Faizal melihat media telah di pergunakan oleh pihak tertentu dalam merencanakan agenda mereka. Imej karakter separuh kepala dan sebahagiannya lagi menyerupai tv, radio, kamera video dan mikrofon simbol media yang diperkudakan dalam menjayakan misi politik tertentu. Faizal seolah-olah ‘gerila politik’ yang menggunkan lukisan sebagai senjata.

Ekhsan Haniff yang terkenal dengan siri resepi alam kembali dengan karya format berkenaan. Dalam ‘Dilema Belenggu’ Ekhsan menghasilkan karya kotak ‘art in a box’ seolah-olah dalam pameran ‘Pilihan Rakyat’ ini seperti ada sesuatu perkara yang memenjarakan dirinya yang ingin dikongi oleh beliau kepada umum. Adakah 3 karya kotak ini representasi kepada kotak undi yang menentukan arah tuju kepimpinan negara ini yang di belenggu pada Pilihan Raya Umum kali ini? Apa yang pasti setiap kotak mempunyai ceritanya sendiri, biarlah pilihan untuk menilai itu diberikan kepada rakyat.

Jerit perih rakyat dalam menghadapi kehidupan seharian didokumentasikan oleh Iman dalam “Bukan ketahuan kamu...”. Apakah yang ingin dimaksudkan oleh beliau dalam karya instalasi dinding ini? Adakah beliau ingin menyoal kepada pemimpin tentang apa yang selalu dilakukan oleh rakyat marhaen dalam mencari rezeki sehinggakan beliau menyoal apa yang mereka tahu? Nuriman seolah-olah melontarkan ketiakpuashatian beliau terhadap apa yang berlaku dipersekitarannya pada waktu ini seperti ungkapan mendalam yang penuh tanda tanya ini:

“Alam benda dan peralatan,
Antara pengalaman sepanjang kerja,
Buat selagi tahu cara gunanya,
dengan sabar...”

Fairus Ahamad Yusof aka Along tampil dengan karya protes dalam siri Alami terkini dengan tajuk ‘Alami; 13’ . Imejan fokus iaitu figura yang bertanda ‘X’ dibahagian kepala, mikrofon yang berkepak seperti burung sebagai simbol kebebasan bersuara adalah luahan rasa yang rakyat alami terhadap terhadap keputusan pilihan raya 2013. Bagi beliau bebas untuk bersuara, adalah kebebasan rakyat untuk mecalitkan dakwat di atas kanvas putih. Mencari kebenaran bagi dirinya harus diraikan bersama-sama tanpa rasa sangsi dan keraguan perlu dalam merubah citra dan entiti budaya sosial politik masa kini, untuk mendepani gagasan yang lebih bermakna dalam menghadapi hari kemudian.

Siri karya ‘Bed of Tough Nut’ dalam pengkaryaan Nadiah Mohamed seolah-olah ada sesuatu rahsia yang disimpan rapi. Dalam ‘Bed of Tough Nut II’ setiap petakan mempunyai naratif yang tersendiri. 5 petakan ruang menunjukkan bentuk siap, separuh siap dan tidak disiapkan dengan sempurna. Nadiah menyamakan bentuk ini dengan perbezaan rupa paras yang ada pada manusia dimana ada yang cantik, biasa dan kurang cantik. Setiap bentuk atau kehidupan ada kecantikan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang-orang tertentu. Begitu jugalah dengan sikap manusia ada yang jujur, keraguan dan sarat dengan penipuan. Nadiah mengkritik secara halus ketidakadilan manusia melalui elemen bentuk dan warna.

Kehadiran pelukis-pelukis kelahiran Manjung dalam persada seni lukis tanahair dilihat mempunyai stail dan gaya yang tersendiri dan mampu untuk membawa gelombang ombak besar dalam mewarnai arena seni lukis di negara ini hasil didikan peneroka awal seperti En Khalil Sulaiman, Zainuddin Md Nor, Zaharah Jaafar, Azhar Manan, Izaddin Matarah dan lain-lain. Semangat rumah kedai dua tingkat berwarna perang dan putih menjadi klasik dibawa mereka dimana-mana mereka berada seperti yang dinyatakan dalam karya Eruan Adnan ‘Kami Bersatu di Perak’.

Manjung School: Pilihan Rakyat
29 April – 29 Mei 2013
Galeri 1,
Galeri Shah Alam



Faizal Sidik, Curator, ‘Manjung School: Pilihan Rakyat’, Galeri Shah Alam
Faizal Sidik, Curator, ‘Manjung School: Pilihan Rakyat’, Galeri Shah Alam




2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam