Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik (2013), 'Perihal Rezeki', Senikini #18 (1, 2013), Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.
Daripada Abu Zar r.a Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya
Allah s.w.t suka melihat hambaNya berusaha dengan berpenat lelah mencari rezeki yang halal".
(Hadith Riwayat al-Dailami)
Mukadimah
Kata nama ‘rezeki’
adalah perbendaharaan kata bahasa Melayu berasal dari bahasa Arab ‘rizq’ yang bermakna segala sesuatu yang
dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani. Perkataan rezeki
adalah salah satu peminjaman bahasa Melayu daripada bahasa Arab yang berjumlah
diantara 2000 hingga 3000 jumlahnya. Rezeki boleh disinonimkan dengan nafkah,
mata pencarian, periuk nasi, pendapatan, perolehan gaji, upah, keuntungan,
laba, elaun, komisen, dividen, bonus atau ganjaran hasil.
Dalam kehidupan harian
semasa kita sering mendengar ungkapan dan bualan yang berkaitan dengan rezeki
antara yang biasa diperdengarkan adalah seperti “cari rezeki”, “rezeki yang
halal”, “ semoga dimurahkan rezeki” dan ada juga sering mengatakan “rezeki
jangan ditolak, musuh jangan di cari”. Demikianlah beberapa kerat yang
bercerita tentang maksud rezeki. Jika kita menelusuri kita sebagai manusia
tidak henti mencari rezeki selagi masih bernyawa.
Salah satu daripada
99 nama Allah yang wajib ketahui adalah ‘al Razzaq’ (ar-Razzaq) dalam bahasa
Arab yang bermaksud Yang Maha Memberi Rezeki. Banyak ayat-ayat Al-quran yang
diturunkan oleh Allah swt berkaitan dengan rezeki yang boleh dianggarkan 82 ayat. Antaranya
yang sering di baca permulaan surah al-quran selepas al-fatihah dan sering
dibaca oleh imam dikala mengimamkan sembahyang berjemaah adalah ayat surah
daripada al-Baqarah ayat 3 :
Iaitu
orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada
mereka.
Ayat ini
menerangkan sifat-sifat orang yang
beriman iaitu) orang yang percaya kepada sesuatu yang ghaib (sesuatu yang tidak
dapat ditangkap dengan salah satu pancaindera) seperti percaya, bahawa diatas
kekuasaan manusia ada yang mahakuasa iaitu Allah. ii) Orang-orang yang
mendirikan solat bererti mengerjakan solat dengan jasmani dan hati yang kusyuk
dan iii) menyedekahkan sebahagian harta daripada rezeki yang diperolehi dijalan
Allah seperti kepada fakir miskin, berzakat, berinfak dan lain-lain.
Ayat diatas di
terhenti disitu sahaja keran Allah menjanjikan balasan yang berlipatganda bagi
orang-orang menafkahkan rezeki yang diperolehi seseorang yang membelanjakan
harta di jalan-Nya seperti;
Siapakah
orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang
baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan
berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang
meluaskan (pemberian rezeki) dan
kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
Selain itu banyak juga hadis-hadis yang telah direkodkan oleh sahabat Nabi Muhammad saw berkaitan dengan rezeki antaranya yang disini adalah daripada Abi Hurairah r.a., ia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya
dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah ia menyambung
tali silaturrahim.”
(Riwayat al-Bukari)
Daripada hadis di dalam al-Awsath pula
bermaksud;
"Berpagi-pagilah
(subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah
berkat dan kejayaan.".
(Riwayat at Tabarani)
Nabi swt baginda pernah
berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, apabila melewati anaknya Fatimah rha sedang
berbaring pada subuh dengan bersabda:
"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau
jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar
hingga terbit matahari." dari
(Riwayat al-Baihaqi)
Dari Ibnu ‘Abbas r.a pula meriwayatkan bahawa baginda
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang beristiqamah dalam
beristighfar, Allah akan memberi jalan keluar dari setiap kesempitan,
menghindarkan dari setiap kecemasan dan memberi rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka"
(Riwayat Abu Daud).
Di alam Melayu ini
juga kita kaya dengan peribahasa, pantun terdapat banyak peribahasa Melayu yang
mengungkapkan tentang perihal budi Melayu mengekspresikan rezeki ini seperti
yang tercatit dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu antaranya ‘ada umur ada rezeki’
atau ‘ada hari ada nasi’ yang boleh ditakrifkan sebagai Asalkan manusia itu
masih hidup, tentu ianya akan beroleh rezeki. ‘Kalau bukan rezeki, di mulut lari ke luar’ bererti rezeki (harta) yang belum
dapat ditentukan. ‘Rezeki elang tak
akan dapat dimakan oleh musang’ bermaksud rezeki seseorang tidak akan dapat
direbut oleh yang lain. ‘Mara jangan dipikat rezeki jangan ditolak’ bermakna bahaya jangan dicari-cari, rezeki
meskipun sedikit haruslah diterima dengan syukur.
Selain itu terdapat juga
peribahasa Melayu yang tidak menggunakan perkataan rezeki secara langsung namun
memerihalkan pekerjaan mencari rezeki antaranya ‘Jangan memangku ayam jantan,
baik memangku ayam betina’ yang memberi makna rezeki yang halal itu lebih baik
daripada rezeki yang haram. ‘Berair kerongkongan’ iaitu mendapat rezeki.
‘Rongkongan menghadap hilir’ iaitu sukar mendapat rezeki. ‘Bertemu bukit di
tepi telaga’ atau ‘mencari nasi di negeri orang’ iaitu membawa maksud mendapat
rezeki.
Antara peribahasa
lain yang mengambarkan juga penzerekian ini adalah seperti ‘hempas tulang
berisi perut’ orang yang rajin bekerja (berusaha) mudah mendapat rezeki.
‘Ringan tulang berat perut’, orang yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki.
(lawannya: Berat tulang, ringan perut). ‘Ada gula, ada semut’ di tempat orang
mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. ‘Ada padi masak, adalah
pipit’ di tempat orang mudah ilmu ke mana ia pergi pasti mudah dikurniakan rezeki.
‘Nasi tersenduk tidak termakan’ tidak dapat merasainya, meskipun sudah
diperoleh atau belum menjadi rezeki. ‘Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh’
bermakna di mana juga kita tinggal, maka akan ada rezeki kita.
Selain peribahasa
ada juga pantun-pantun yang memberi keterangan pencarian dan hasil rezeki yang
diperolehi antaranya;
Anak Cina bermain ceki,
Baju dibuka tinggal seluar;
Kalau sudah bukan rezeki,
Di dalam mulut lari keluar.
Baju dibuka tinggal seluar;
Kalau sudah bukan rezeki,
Di dalam mulut lari keluar.
Patah ranting di tengah rimba
Patah di titi Malim Sidi
Sungguhpun
gajah binatang besar
Sudahlah rezeki si ular lidi
(Hikayat Abdullah)
Rizq
Dalam pameran ini terdapat lima orang artis yang
dipilih untuk memberi pandangan visual karya mereka terhadap tema ‘Rezeki’ iaitu Aznan Omar, Raduan Man,
Elias Yamani Ismail, Yusri Sulaiman dan Nuriman Amri Abd Manap. Apa yang
menariknya dalam pemilihan ini adalah adalah setiap artis ini datang dari genre
dan media yang berbeza seperti catan, arca, cetakan dan campuran yang memberi
pelbagai dimensi untuk dipamerkan dalam satu ruang. Pengarca Aznan Omar cukup
dikenali dengan arca timbulan daripada logam, Raduan Man pula sinonim dengan
cetakan kayu (wood cut) atas kanvas, Yusri Sulaiman dengan catan figuratif, manakala
Elias Yamani dan Nuriman dengan media campuran dan objek.
Aznan Omar, ‘Rezeki
Jangan di Tolak, Bahaya Jangan di Cari’ Aluminium, 2012
Dalam karya Aznan Omar yang menggunkan medium aluminium kebanyakan karyanya banyak mengambil alam binatang sebagai penghantar mesej rezeki. Antaranya dalam karya bertajuk ‘Rezeki Jangan di Tolak, Bahaya Jangan di Cari’ beliau memaparkan pengarca yang memakai seperti seorang wirawan yang sedang mengukir seekor harimau Malaya dan apabila ianya telah siap sepenuhnya ia akan membaham penciptanya semula. Apa yang menarik perhatian saya dalam karya ini adalah karya ini memberikan sedikit permasalahan konflik keseniaman mereka yang dihadapi oleh terutamnya oleh seniman Muslim terutamanya pengarca dalam praktisan mereka yang mempunyai had dan batas yang dibolehkan dalam berkarya. Di sini saya mengesan Aznan bukan sahaja memetaforkan wirawan itu sebagai diri beliau sendiri malah rakan-rakan pangarca Malaysia yang lain dalam mencari rezeki menerusi penciptaan mereka kadangkala perlu berhati-hati berhadapan risiko dan bahaya dalam persoalan ini supaya rezeki yang diperolehi tidak sampai kepada sumber yang tidak halal.
Mahir dengan cetakan kayu sejak awal pembabitannya dalam dunia seni lukis tempatan Raduan Man telah memulakan siri kenderaan dengan cetakan potongan kayu dan media campuran sejak akhir tahun 2000 lagi. Di awal tamadun manusia haiwan belaan atau peliharaan dijadikan kenderaan untuk membantu manusia bergerak sebagai perhubungan atau mengangkut bebanan, namun atas daya fikiran yang diberikan manusia telah berjaya merevolusikan kenderaan ini sehinggalah digerakan oleh mekanikal mesin. Hal ini telah disebut oleh Allah dalam surah Al-Isra ayat 17 yang bermaksud:
“Dan
sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan
di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami
telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang
telah Kami ciptakan”.
Kini
kenderaan bukan sahaja terhad digunakan sebagai sumber rezeki sesetengah
pekerjaan yang menyediakan khidmat pengangkutan mampu bayar seperti bas, teksi,
feri dan lain-lain tetapi juga dijadikan sebagai logistik, pembangunan
hartanah, perladangan, pertahanan dan juga estetika rekabentuknya.
Elias Yamani Ismail, ‘‘Reganganan: Pertembungan (The Clash)’’ Campuran , 2012
Dalam karya ‘Reganganan: Pertembungan (The Clash)’ merupakan inspirasi daripada filem-filem U-Wei Haji Saari yang secara idea membawa tema rezeki yang diterjemahkan secara dengan karya konseptual. Dalam filem ‘Jogho’ isu yang di lontarkan adalah isu pertaruhan dengan berlaga untuk mendapatkan rezeki. Dalam ‘Buai Laju-Laju’ pula watak Zaiton (Betty Benafe) berkahwin dengan orang mempunyai tanah (harta) ia boleh dikatakan rezeki Zaiton. Dalam ‘Perempuan, Isteri dan ....’ Watak Zaleha (Sofea Jane) yang ingin berkahwin (kahwin sebagai simbol rezeki). Dalam ‘Kaki Bakar’ watak Kakang (Khalid Salleh) sebagai seorang imigran dari sanggup datang dari seberang yang ke Semenanjung semata-mata untuk mencari rezeki dan kehidupan baru untuk keluarga. Namun ketiga-tiga watak yang memegang peranan utama ini berrtembung dengan konflik dalam mencari persesuaian.
“Rezeki secupak
tidak boleh jadi segantang” itulah yang boleh diibaratkan jika kita tidak
berusaha untuk mencari rezeki. Konsep berikhtiar untuk mencari rezeki inilah
yang menjadi inspirasi kepada Nuriman Amri Abd Manap dalam menghasilkan karya
‘Atas Kudrat Selagi Niat’ (Bonnet Kancil). Nuriman yang mencari makan sebagai
pelukis sepenuh masa banyak menghabiskan masanya di atas jalan dengan kereta
Perodua Kancil. Keretanya boleh diibaratkan sebagai studio dan galeri
bergeraknya yang setia mengikut kemana sahaja haluan Nuriman. Dalam ‘Atas
Kudrat Selagi Niat’ (Bonnet Kancil) adalah merupakan catan yang di lukis diatas
badan kereta Nuriman yang memperlihatkan peralatan pertukangan yang digunakan
oleh beliau dalam pekerjaan harinnya. Selain itu 16 catan still life satu persatu alatan pertukangan dan objek harian yang
digunakan oleh beliau di jadikan dokumentasi untuk dipamerkan bersama-sama karya
ini.
Bagi Yusri Sulaiman beliau tersentuh dengan susah payah dan pahit maung keringat manusia dalam mencari rezeki. Pengalaman beliau di zaman kecil yang tinggal kawasan berhampirran perkampungan orang asli dan yang jauh terpencil daripada manusia. Penerokaan kawasan hutan untuk pembangunan memberi kesan terhadap sumber rezeki mereka yang datangnya daripada situ. Rasa simpati dengan nasib mereka ini diterjemahkan dalam catan-catan figuratif potret. Ekspresi muka yang merenung jauh mengenangkan nasib tempat asal mereka.
Walaupun kecil
sumbangan Yusri dalam menyampaikan dan berkongsi pengalamnya dengan isu ini,
namun ia amat bermakna kepada mereka agar pihak berkenaan mendengar kegetiran
hidup mereka dalam mencari rezeki yang kian terjejas seperti yang dinyatakan
dalam hadis di bawah.
“Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang
berkarya dan terampil (professional atau ahli). Barangsiapa bersusah-payah
mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di
jalan Allah Azza wajalla”
(H.R Ahmad,)
Hadis ini bermaksud
setiap manusia diberi Allah anugerah fikiran atau kemahiran yang berbeza-beza
untuk digunakan kearah kebaikan ini kerana segala amal kebaikan yang dilakukan
oleh seorang muslim akan di kira sebagai sedekah. Yusri sebagai seorang pelukis
yang ahli atau pakar dalam bidangnya menggunakan kepandaian tangannya untuk
melukis kembali rintihan mereka ini dalam bentuk visual agar mendapat simpati
masyarakat.
Kesimpulan
Secara
keseluruhannya walaupun kelima-lima artis ini mempunyai pandangan dunia worldview yang berbeza bagaimana mahu
melihat ‘rezeki’ dalam bentuk visual, namun terdapat satu persamaan dimana
masing-masing memberi komentar idea-idea pengalaman peribadi yang luas dimana
bagaimana mereka berhadapan dengan istilah mencari rezeki itu secara langsung
dalam hidup mereka.
Rezeki
Opening Reception:
Friday, 23rd Nov 2012, 8pm
Venue: Galeri Chandan @ Publika
Duration: 14th Nov until 10th Dec 2012