Jumaat, 16 November 2012

Perihal Rezeki


Oleh: Faizal Sidik


Daripada Abu Zar r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya Allah s.w.t suka melihat hambaNya berusaha dengan berpenat lelah mencari rezeki yang halal". 
(Hadith Riwayat al-Dailami)

Mukadimah
Kata nama ‘rezeki’ adalah perbendaharaan kata bahasa Melayu berasal dari bahasa Arab  ‘rizq’ yang bermakna segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani. Perkataan rezeki adalah salah satu peminjaman bahasa Melayu daripada bahasa Arab yang berjumlah diantara 2000 hingga 3000 jumlahnya. Rezeki boleh disinonimkan dengan nafkah, mata pencarian, periuk nasi, pendapatan, perolehan gaji, upah, keuntungan, laba, elaun, komisen, dividen, bonus atau ganjaran hasil.

Dalam kehidupan harian semasa kita sering mendengar ungkapan dan bualan yang berkaitan dengan rezeki antara yang biasa diperdengarkan adalah seperti “cari rezeki”, “rezeki yang halal”, “ semoga dimurahkan rezeki” dan ada juga sering mengatakan “rezeki jangan ditolak, musuh jangan di cari”. Demikianlah beberapa kerat yang bercerita tentang maksud rezeki. Jika kita menelusuri kita sebagai manusia tidak henti mencari rezeki selagi masih bernyawa.

Salah satu daripada 99 nama Allah yang wajib ketahui adalah ‘al Razzaq’ (ar-Razzaq) dalam bahasa Arab yang bermaksud Yang Maha Memberi Rezeki. Banyak ayat-ayat Al-quran yang diturunkan oleh Allah swt berkaitan dengan rezeki  yang boleh dianggarkan 82 ayat. Antaranya yang sering di baca permulaan surah al-quran selepas al-fatihah dan sering dibaca oleh imam dikala mengimamkan sembahyang berjemaah adalah ayat surah daripada al-Baqarah ayat 3 :

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Ayat ini menerangkan sifat-sifat  orang yang beriman iaitu) orang yang percaya kepada sesuatu yang ghaib (sesuatu yang tidak dapat ditangkap dengan salah satu pancaindera) seperti percaya, bahawa diatas kekuasaan manusia ada yang mahakuasa iaitu Allah. ii) Orang-orang yang mendirikan solat bererti mengerjakan solat dengan jasmani dan hati yang kusyuk dan iii) menyedekahkan sebahagian harta daripada rezeki yang diperolehi dijalan Allah seperti kepada fakir miskin, berzakat, berinfak dan lain-lain.
Ayat diatas di terhenti disitu sahaja keran Allah menjanjikan balasan yang berlipatganda bagi orang-orang menafkahkan rezeki yang diperolehi seseorang yang membelanjakan harta di jalan-Nya seperti;

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Selain itu banyak juga hadis-hadis yang telah direkodkan oleh sahabat Nabi Muhammad saw berkaitan dengan rezeki antaranya yang disini adalah daripada Abi Hurairah r.a., ia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”
(Riwayat al-Bukari)

Daripada hadis di dalam al-Awsath pula bermaksud;

 "Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan.".
(Riwayat  at Tabarani)

Nabi swt baginda pernah berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya,  apabila melewati anaknya Fatimah rha sedang berbaring pada subuh dengan bersabda:

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari."  dari
(Riwayat al-Baihaqi)

Dari Ibnu ‘Abbas r.a pula meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: 

"Barangsiapa yang beristiqamah dalam beristighfar, Allah akan memberi jalan keluar dari setiap kesempitan, menghindarkan dari setiap kecemasan dan memberi rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka"
                                                                                                                         (Riwayat Abu Daud).


Di alam Melayu ini juga kita kaya dengan peribahasa, pantun terdapat banyak peribahasa Melayu yang mengungkapkan tentang perihal budi Melayu mengekspresikan rezeki ini seperti yang tercatit dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu antaranya ‘ada umur ada rezeki’ atau ‘ada hari ada nasi’ yang boleh ditakrifkan sebagai Asalkan manusia itu masih hidup, tentu ianya akan beroleh rezeki. ‘Kalau bukan rezeki, di mulut lari ke luar’ bererti rezeki (harta) yang belum dapat ditentukan. ‘Rezeki elang tak akan dapat dimakan oleh musang’ bermaksud rezeki seseorang tidak akan dapat direbut oleh yang lain. ‘Mara jangan dipikat rezeki jangan ditolak’ bermakna bahaya jangan dicari-cari, rezeki meskipun sedikit haruslah diterima dengan syukur.

Selain itu terdapat juga peribahasa Melayu yang tidak menggunakan perkataan rezeki secara langsung namun memerihalkan pekerjaan mencari rezeki antaranya ‘Jangan memangku ayam jantan, baik memangku ayam betina’ yang memberi makna rezeki yang halal itu lebih baik daripada rezeki yang haram. ‘Berair kerongkongan’ iaitu mendapat rezeki. ‘Rongkongan menghadap hilir’ iaitu sukar mendapat rezeki. ‘Bertemu bukit di tepi telaga’ atau ‘mencari nasi di negeri orang’ iaitu membawa maksud mendapat rezeki.

Antara peribahasa lain yang mengambarkan juga penzerekian ini adalah seperti ‘hempas tulang berisi perut’ orang yang rajin bekerja (berusaha) mudah mendapat rezeki. ‘Ringan tulang berat perut’, orang yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki. (lawannya: Berat tulang, ringan perut). ‘Ada gula, ada semut’ di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. ‘Ada padi masak, adalah pipit’ di tempat orang mudah ilmu ke mana ia pergi pasti mudah dikurniakan rezeki. ‘Nasi tersenduk tidak termakan’ tidak dapat merasainya, meskipun sudah diperoleh atau belum menjadi rezeki. ‘Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh’ bermakna di mana juga kita tinggal, maka akan ada rezeki kita.

Selain peribahasa ada juga pantun-pantun yang memberi keterangan pencarian dan hasil rezeki yang diperolehi antaranya;
Anak Cina bermain ceki,
     Baju dibuka tinggal seluar;
Kalau sudah bukan rezeki,
     Di dalam mulut lari keluar.

Patah ranting di tengah rimba
Patah di titi Malim Sidi
    Sungguhpun gajah binatang besar
Sudahlah rezeki si ular lidi
                                                                                                                                    (Hikayat Abdullah)

Rizq

Dalam pameran ini terdapat lima orang artis yang dipilih untuk memberi pandangan visual karya mereka terhadap  tema ‘Rezeki’ iaitu Aznan Omar, Raduan Man, Elias Yamani Ismail, Yusri Sulaiman dan Nuriman Amri Abd Manap. Apa yang menariknya dalam pemilihan ini adalah adalah setiap artis ini datang dari genre dan media yang berbeza seperti catan, arca, cetakan dan campuran yang memberi pelbagai dimensi untuk dipamerkan dalam satu ruang. Pengarca Aznan Omar cukup dikenali dengan arca timbulan daripada logam, Raduan Man pula sinonim dengan cetakan kayu (wood cut) atas kanvas, Yusri Sulaiman dengan catan figuratif, manakala Elias Yamani dan Nuriman dengan media campuran dan objek.



Aznan Omar, ‘Rezeki Jangan di Tolak, Bahaya Jangan di Cari’ Aluminium, 2012

Dalam karya Aznan Omar yang menggunkan medium aluminium kebanyakan karyanya banyak mengambil alam binatang sebagai penghantar mesej rezeki. Antaranya dalam karya bertajuk ‘Rezeki Jangan di Tolak, Bahaya Jangan di Cari’ beliau memaparkan pengarca yang memakai seperti seorang wirawan yang sedang mengukir seekor harimau Malaya dan apabila ianya telah siap sepenuhnya ia akan membaham penciptanya semula. Apa yang menarik perhatian saya dalam karya ini adalah karya ini memberikan sedikit permasalahan konflik keseniaman mereka yang dihadapi oleh terutamnya oleh seniman Muslim terutamanya pengarca dalam praktisan mereka yang mempunyai had dan batas yang dibolehkan dalam berkarya. Di sini saya mengesan Aznan bukan sahaja memetaforkan wirawan itu sebagai diri beliau sendiri malah rakan-rakan pangarca Malaysia yang lain dalam mencari rezeki menerusi penciptaan mereka kadangkala perlu berhati-hati berhadapan risiko dan bahaya dalam persoalan ini supaya rezeki yang diperolehi tidak sampai kepada sumber yang tidak halal.

Raduan Man, Machine IICetakan kayu dan campuran atas kanvas, 2012

Mahir dengan cetakan kayu sejak awal pembabitannya dalam dunia seni lukis tempatan Raduan Man telah memulakan siri kenderaan dengan cetakan potongan kayu dan media campuran sejak akhir tahun 2000 lagi. Di awal tamadun manusia haiwan belaan atau peliharaan dijadikan kenderaan untuk membantu manusia bergerak sebagai perhubungan atau mengangkut bebanan, namun atas daya fikiran yang diberikan manusia telah berjaya merevolusikan kenderaan ini sehinggalah digerakan oleh mekanikal mesin. Hal ini telah disebut oleh Allah dalam surah Al-Isra ayat 17 yang bermaksud:

 “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Kini kenderaan bukan sahaja terhad digunakan sebagai sumber rezeki sesetengah pekerjaan yang menyediakan khidmat pengangkutan mampu bayar seperti bas, teksi, feri dan lain-lain tetapi juga dijadikan sebagai logistik, pembangunan hartanah, perladangan, pertahanan dan juga estetika rekabentuknya.
Raduan telah memulakan siri kenderaan ini sejak tahun 2009 lagi antara kenderaan antik yang menjadi kegemaran beliau adalah model-model Vespa, Austin, VW sekitar tahun 1960-an. Jika dilihat cara perletakan susunan imej-imej karyanya mempunyai sedikit sebanyak pengaruh-pengaruh dari karya seni pop Coca-Cola Bottles (1962) dan Soup Campbell Cans (1962) oleh Andy Warhol. Populariti kenderaan antik bukan sahaja mencerminkan sosio mereka malah ia juga membangkitkan sentimen memori silam,  impian dan cita-cita. Kereta mewah dan antik ini juga mencerminkan status si pemakaiannya sudah tentu mempunayi taraf hidup sosial yang tinggi.
Elias Yamani Ismail, Reganganan: Pertembungan (The Clash)’Campuran , 2012

Terminologi rezeki dalam masyarakat kita sering disalah tanggap yang hanya bersikar mengenai wang atau duit. Namun ia mempunyai konsep yang lebih luas dari harta benda. Kesihatan dan peluang juga adalah merupakan rezeki anugerah tuhan yang tiada nilai dan tidak boleh dijual beli. Konsep peluang pada ruang inilah yang dieksplotasikan oleh Elias Yamani Ismail dalam karya-karya siri kotak. Konsep anugerah Pencipta yang mengurniakan manusia akal, ilham datang daripada Allah iaitu kebolehan manusia untuk berfikir bagi menghasilkan penciptaan . Rezeki bukan sahaja material tetapi kesihatan dan peluang . Pada Elias peluang disamakan beliau dengan ruang dan masa adalah pada pameran ini.

Dalam karya ‘Reganganan: Pertembungan (The Clash)’ merupakan inspirasi daripada filem-filem U-Wei Haji Saari yang secara  idea membawa tema rezeki yang diterjemahkan secara dengan karya konseptual. Dalam filem ‘Jogho’ isu yang di lontarkan adalah isu pertaruhan dengan berlaga untuk mendapatkan rezeki. Dalam ‘Buai Laju-Laju’ pula watak Zaiton (Betty Benafe) berkahwin dengan orang mempunyai tanah (harta) ia boleh dikatakan rezeki Zaiton. Dalam ‘Perempuan, Isteri dan ....’ Watak  Zaleha (Sofea Jane) yang ingin berkahwin (kahwin sebagai simbol rezeki). Dalam ‘Kaki Bakar’ watak Kakang (Khalid Salleh) sebagai seorang imigran dari sanggup datang dari seberang yang ke Semenanjung semata-mata untuk mencari rezeki dan kehidupan baru untuk keluarga. Namun ketiga-tiga watak yang memegang peranan utama ini berrtembung dengan konflik dalam mencari persesuaian.


“Rezeki secupak tidak boleh jadi segantang” itulah yang boleh diibaratkan jika kita tidak berusaha untuk mencari rezeki. Konsep berikhtiar untuk mencari rezeki inilah yang menjadi inspirasi kepada Nuriman Amri Abd Manap dalam menghasilkan karya ‘Atas Kudrat Selagi Niat’ (Bonnet Kancil). Nuriman yang mencari makan sebagai pelukis sepenuh masa banyak menghabiskan masanya di atas jalan dengan kereta Perodua Kancil. Keretanya boleh diibaratkan sebagai studio dan galeri bergeraknya yang setia mengikut kemana sahaja haluan Nuriman. Dalam ‘Atas Kudrat Selagi Niat’ (Bonnet Kancil) adalah merupakan catan yang di lukis diatas badan kereta Nuriman yang memperlihatkan peralatan pertukangan yang digunakan oleh beliau dalam pekerjaan harinnya. Selain itu 16 catan still life satu persatu alatan pertukangan dan objek harian yang digunakan oleh beliau di jadikan dokumentasi untuk dipamerkan bersama-sama karya ini.




Bagi Yusri Sulaiman beliau tersentuh dengan susah payah dan pahit maung keringat manusia dalam mencari rezeki. Pengalaman beliau di zaman kecil yang tinggal kawasan berhampirran perkampungan orang asli dan yang jauh terpencil daripada manusia. Penerokaan kawasan hutan untuk pembangunan memberi kesan terhadap sumber rezeki mereka yang datangnya daripada situ. Rasa simpati dengan nasib mereka ini diterjemahkan dalam catan-catan figuratif potret. Ekspresi muka yang merenung jauh mengenangkan nasib tempat asal mereka.

Walaupun kecil sumbangan Yusri dalam menyampaikan dan berkongsi pengalamnya dengan isu ini, namun ia amat bermakna kepada mereka agar pihak berkenaan mendengar kegetiran hidup mereka dalam mencari rezeki yang kian terjejas seperti yang dinyatakan dalam hadis di bawah.

“Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang berkarya dan terampil (professional atau ahli). Barangsiapa bersusah-payah mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah Azza wajalla”
(H.R  Ahmad,)
Hadis ini bermaksud setiap manusia diberi Allah anugerah fikiran atau kemahiran yang berbeza-beza untuk digunakan kearah kebaikan ini kerana segala amal kebaikan yang dilakukan oleh seorang muslim akan di kira sebagai sedekah. Yusri sebagai seorang pelukis yang ahli atau pakar dalam bidangnya menggunakan kepandaian tangannya untuk melukis kembali rintihan mereka ini dalam bentuk visual agar mendapat simpati masyarakat.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya walaupun kelima-lima artis ini mempunyai pandangan dunia worldview yang berbeza bagaimana mahu melihat ‘rezeki’ dalam bentuk visual, namun terdapat satu persamaan dimana masing-masing memberi komentar idea-idea pengalaman peribadi yang luas dimana bagaimana mereka berhadapan dengan istilah mencari rezeki itu secara langsung dalam hidup mereka.


 

Rezeki
Opening Reception:
Friday, 23rd Nov 2012, 8pm
Followed by Artistic Minds, 8.30pm
Venue: Galeri Chandan @ Publika
Duration: 14th Nov until 10th Dec 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan