Jumaat, 24 Februari 2012

Sulaiman Esa (1941-): Menghubungi budaya Timur Barat dalam Seni Lukis Islam


(Penulisan ini telah disiarkan di dalam majalah Dewan Budaya dengan tajuk 'Sulaiman Esa: Pertemuan Timur-Barat dalam Karya' , Dewan Bahasa dan Pustaka, Jun 2012, ms 21-24.)

Oleh: Faizal Sidik
.
Sulaiman Esa dilahirkan pada 12 September 1941 di Johor Bahru. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Bukit Zahrah. Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Maktab Inggeris, Johor Bahru pada tahun 1953. Beliau mendapat Biasiswa Negeri Johor dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran peringkat diploma Seni Lukis dan Seni Reka di Hornsey College of Art, London pada tahun 1960 hingga 1966. Pada tahun 1967 beliau menyambung ijazah pasca siswazah dalam bidang cetakan di kolej yang sama. Setahun kemudian beliau belajar pula di ‘Atelier 17’ , Paris dalam bidang cetakan pada 1968.
Setelah pulang ke tanahair pada pertengahan 1968, bekerja sebagai Pereka Grafik di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sejak itu beliau aktif mengadakan pameran dan reka bentuk teater. Beliau ditawarkan semula biasiswa untuk mengikuti kursus rekaan pentas dan busana iaitu selama setahun di Academia de Roma, Itali pada 1974 dan terus dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Seni Halus, Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1975 sekembalinya beliau. Empat tahun kemudian beliau ke Baltimore, Amerika untuk melanjutkan pelajaran dalam ke peringkat Sarjana Seni Halus di Maryland Institute College of Art dari 1979 hingga 1981.

Sulaiman Esa ke Amerika Syarikat sekali lagi pada 1986 hingga 1996 bagi melanjutkan pelajaran Doktor Falsafah di Tample University, Philadelphia, yang terkenal dengan program pengajian seni Islam. Semasa disana beliau beliau mengambil falsafah Islam dan seni sebagai pengajian utama dimana berkesempatan untuk belajar terus dibawah ilmuan Islam yang terkenal iaitu allahyarham Lamnya dan Ismail Al-Faruqhi, Sayyed Hoessin Nasr dan Mahmoud Ayoub.
Sulaiman Esa bukanlah nama asing dalam seni lukis Malaysia. Beliau adalah merupakan pelukis yang membawa seni lukis sejak tahun 1980 an lagi . Sulaiman Esa merupakan seorang yang bergiat dalam seni Islam yang dihormati dalam mempertemukan dunia Timur dan Barat dalam karya-karyanya. Beliau mempunyai ketokohan bukan sahaja sebagai pelukis, tetapi penulis, pendidik dan juga penyelidik. Sepanjang tempoh karier beliau sebagai seniman selama lima puluh tahun beliau telah menghasilkan siri-siri karya antaranya ‘Manusia dan Alamnya’ (1972), ‘Ke Arah Hakikat Mistik’ (1972), ‘Menunggu Godot’ (1977), ‘Ke Arah Tauhid’ (1984), ‘Wira Warna’ (1985), ‘Insyirah’ (2001) dan ‘Rajaah’ (2011).

‘Manusia dan Alamnya’ (1972)
‘Manusia dan Alamnya’ merupakan karya komentar sosial yang pertama seumpamanya dihasilkan di Malaysia yang pada 1972. Ia merupakan tindak balas artis terhadap dunianya. Ia merupakan sebuah pengkajian antropologi manusia yang pelbagai dimensi, yang mempunyai pelbagai sifat, juga merupakan manusia yang terdiri daripada fizikal dan spiritual. Disamping itu ia boleh menjadi sebuah kajian akademik, sosial, seksual dan intelektual.
Sedar atau tidak Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1971 yang merupakan kongres seni budaya yang terpenting dimana kerajaan, masyarakat dan ahli fikir dipersoalkan mengapakah seni yang berlaku pada waktu itu tidak memberi apa-apa kesan kepada identiti, budaya dan jati diri tetapi cenderung berkiblat kepada barat yang bersifat tiruan. Beliau baru menyedari bahawa beliau sebenarnya menceritakan tentang dirinya sendiri yang mempunyai dua karekter, iaitu yang mempunyai ciri-ciri fizikal barat dan spiritual Melayu Islam.
‘Ke Arah Hakikat Mistik’ (bersama Redza Piyadasa) (1972)
Siri Toward to Mystical Reality atau ‘Ke Arah Hakikat Mistik’ adalah koloborasi antara Sulaiman Esa dengan rakannya Redza Piyadasa yang telah di adakan di Sudut Penulis di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1972 yang juga adalah karya ini telah mencetuskan polimik diantara pengiat seni dan juga sastera. Pameran ini membuka wacana polimik dalam persoalan tentang ruang, material dan masa dalam penggunaan objek harian dan teks sebagai sebuah pengalaman mental yang menyarankan ruang, waktu dan anjakan, ia merupakan satu idea baru dalam seni lukis Malaysia.

Ia merupakan reaksi daripada Kongras Kebudayaan yang menolak teori seni barat dan bermanifestokan untuk membebaskan pelukis Malaysia daripada cenderung kepada pengaruh Barat . Mereka mengasimilasikan budaya Timur dan Barat dalam perspektif baru seni sebagai sebuah kajian saintifik dari sudut mental, meditatif dan mistikal yang terdapat dalam falsafah Asia berhubung dengan amalan falsafah Taoism dan Zen.

'Menunggu Godot (1977)
Dengan ilmu bidang seni cetak yang dipelajarinya di London dan Paris dahulu, pada 1977 Sulaiman Esa hadir dengan siri karya Waiting for Godot (Menunggu Godot). . Waiting for Godot adalah sebuah naskah terkenal oleh Samuel Backett yang dipentaskan ke dalam teater. Waiting for Godot yang telah sudahpun mencetuskan kontroversi kepada dunia seni lukis sebelum dipamerkan lagi, sehinggakan setelah beliau mengantungkan cetakan ini dinding datang ketua jabatan tempat beliau mengajar terkejut menyalahkannya kerana meletakkan ayat al-quran sekali dengan gambar perempuan dalam keadaan yang seksi.

Dengan menggunakan teknik gurisan foto ianya adalah representasi diri beliau yang bukan sahaja bercerita tentang krisis identiti seni bukan sahaja dirinya sendiri tetapi cuba memaparkan krisis budaya negara pada tahun 1970 an terutamanya kepada orang Melayu beragama Islam terhadap pengaruh barat. Siri karya ini kebanyakanya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu yang terdapat di imejan yang sangat berkontra diantara satu sama lain. Pertama adalah imejan-imejan wanita yang berbogel dalam kedudukan yang sangat menghairahkan pada sebelah bawah. Manakala disebalah atas terdapat kaligrafi yang yang disalin daripada masjid Cardoba dan Alhambra.

‘Ke Arah Tauhid’ (1984)
Walaupun diseliputi kontroversi demi kontroversi siri ‘Ke Arah Tauhid’ yang telah diadakan di Australia High Commission dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1984 ini memuncakkan lagi namanya. Beliau mula berhijrah apabila berjaya menghasilkan karya penting yang mengabungkan konsep Seni Tradisional Melayu bernafaskan Seni Islam dalam kariernya seperti ‘Ke Arah Tauhid’ (1983) dan ‘Nuraini’ (1983) yang kedua-duanya menjadi koleksi negara. Karya ini merupakan titik permulaan bagi Sulaiman Esa untuk menempuh sejarah yang lebih menarik dalam mempraktikkan seni Islam.
Beliau mengangkat seni nusantara iaitu kraf Melayu dalam format seni catan moden barat. Beliau mengkaji seni tekstil seperti, songket, batik dan juga kraf yang lain seperti anyaman, ukiran kayu dalam memantulkan wajah serantau. Ke Arah Tauhid merupakan kenyataan beliau dalam mentakrifkan apa itu lukisan, apa itu seni. Beliau banyak menggunkan garis grid, ini kerana ilmuan seni Islam mengatakan intipati kerohanian ditentukan oleh grid yang lebih logik kerana ianya bermain dengan sistem matematik dalam membentuk corak arabesque dan geometrik.

‘Warna Wira - Mural ’ (1985)
Dekad 1980 an selepas seminar dan pameran Akar-Akar Kesenian Peribumi dan Perkembangan Kini pada 1979 memperlihatkan fenomena pelukis Malaysia kembali mencari identiti Kemelayauan dalam pengkaryaan meraka, perihal ini tidak terkecuali kepada Sulaiman Esa. Siri Warna Wira adalah salah satu manifestasi beliau terhadap gerakan itu. Maka lahirlah siri mural terpanjang daripada mozek kaca Itali bersaiz 10 kaki tinggi dan 168 kaki lebar dikomisenkan bertempat di Bangunan Umno , Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Pengutaran aspek unsur Islam dalam mural ini dilakukan menerusi pengolahan bentuk-bentuk klasik yang terdapat dalam rekabentuk geometrik seni Islam yang pada dasarnya mencerminkan konsep imbangan, aturan, kejelasan dan keharmonian. Dalam untuk mengambarkan aspek kehidupan orang Melayu motif-motif pucuk rebung, salur bayur dan kerawang contohnya yang pada dasarnya mempunyai pengertian yang mendalam dari segi falsafah dan falsafah hidup bangsa Melayu.

Pada tahun 1993 Sulaiman Esa telah dipilih sebagai artis yang mewakili negara Malaysia ke pameran seni Asia Pacific Triennial yang pertama di Queensland Gallery, Australia. Setelah hampir 20 tahun bergelumbang di dalam pendidikan seni akhir beliau dilantik sebagai Prof Madya di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, ITM pada 1995 .

‘Insyirah’ (2001)
Pada tahap ini lukisannya lebih berfalsafah dan bermetafora melambangkan pemikiran yang yang dipelajarinya selama ini selam sepuluh tahun menyiapkan ijazah kedoktorannya dalam falsafah seni Islam. Siri Insyirah telah di pamerkan di Galeri Petronas pada tahun 2001. Selama menyepi hampir 15 tahun dengan siri baru karya-karya dalam siri ini meletakkan satu tingkat penting dalam kariernya.
Dalam siri ini beliau ini adalah daripada pengkajian teologi dari pelbagai sudut pemikiran selama ini dalam perihal tasawuf, usuludin, kajian agama Islam, China, India, Kristian dan budaya semasa. Dalam tesisi beliau cuba memperbetulkan dan mencadangkan seni peribumi yang menganjurkan keMelayuaan kepada Islam dalam peringkat yang lebih tinggi lagi iaitu bukan diperingkat syariah tetapi mistisisme (kebatinan) dimana ia menemui tradisi agama lain.

Maka lahirlah karya-karya yang menjadi isu dan buahan mulut dunia seni lukis ketika ituseperti ‘Last Supper’ (1998), ‘DOA’ (1999), ‘Beauty in Diversity’ (2000), ‘Dance of Cosmos’ (2002) dan lain-lain yang mengambil juga ikon agama lain seperti beliau melukis Shiva Nadarajah, patung Buddha dan mandala sehinggakan ada sesetengah ulama yang mengatakan beliau telah sesat.

‘Raja’ah’ (2011)
Selepas itu beliau terus menaburkan baktinya kepada keseniaan negara dan pengorbanannya dihargai apabila dianugerahkan penghormatan Balai Seni Visual Negara untuk mengadakan pameran retrospektif yang mempamerkan semula hasil karya beliau daripada tahun 1950 an hingga 2011 iaitu ‘Raja’ah: Seni, Idea dan Kreativiti Sulaiman Esa’ adalah pameran solo yang menghimpunkan semula karya-karya yang terpilih beliau sepanjang 50 tahun berkarier dalam seni lukis.
Raja’ah bererti kemunculan semula, dimana ia merujuk transformasi manusia daripada bersifat keduniaan (luaran) kepada yang lebih spiritual (dalaman). Ianya adalah berlandaskan kepada potongan ayat Al-Quran “inna lillahi wa inna ilahi raji’un” yang bermaksud “Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali”. Beliau menggunakan perkataan raja’ah bagi merujuk kepada kepulangan beliau kepada sifat-sifat fitrah manusia yang diciptakan Allah.

Siri karya Sulaiman Esa
1972 Manusia dan Alamnya
1974 Ke Arah Hakikat Mistik (bersama Redza Piyadasa)
1977 Menunggu Godot
1984 Ke Arah Tauhid
1985 Warna Wira (Mural)
2001 Insyirah
2011 Rajaah

7 ulasan:

  1. Salam. Saya adalah merupakan pelajar seni halus dari uitm dan masih lagi belajar. Saya harap saudara dapat menghurai mengenai Ponirin Amin yang telah agak lama menyepi. Bagi saya, beliau antara artis yang agak bijak apabila berkarya.

    Agak "kurang adil" kiranya penjelasan mengenai Sulaiman Esa ada tapi "pasangannya" tiada.

    Saya harap saudara dapat menghurai sedikit mengenai beliau [Ponirin Amin].

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ponirin tu dah buat werk la, tanya la org lain....

      Padam
  2. Salam risalahproseni.
    Menyepi diri buat insan seni membawa sinar baharu dalam fitrah manusia. 15 tahun khususnya bagi Pak Leman ada hikmahnya. Barangkali di penghujungnya ada sesuatu yang menjadi rahsia dalam rahsia dan rahsia di sebalikNya.

    BalasPadam
  3. Terpesona dengan mesej-mesej yang disampaikan melalui karya-karya Pak Leman. sememangnya medalam serta rapat hubungan dengan perjalanan kehidupan manusia.

    BalasPadam
  4. Penulisan anda sangat membantu saya. Terima kasih saudara! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih...jangan lupa masukkan kredit saya di dalam bibliografi/nota kaki/rujukan anda.

      Padam
  5. Sama-sama. Ya, itu dah mmg wajib letak. :)

    BalasPadam