Jumaat, 24 Februari 2012

Syed Ahmad Jamal (1929-2011): Bapa Seni Lukis Melayu Moden Malaysia


Oleh : Faizal Sidik
Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di bandar Maharani Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah dari tahun 1936 hingga 1938. Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939; Ngee Heng English School, 1940; Bukit Zahra English School dan English College, Johor Bahru hingga tahun 1949.
Beliau mendapat biasiswa Sultan Ibrahim dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran di Birmingham School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955, beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Art, London. Setahun kemudian beliau belajar pula di Institute of Education, London University. Semasa di Chelsea School of Art, beliau memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan dalam seni lukis.
Setelah pulang dari England, beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingga 1957. Pada tahun 1957, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur. Diantara tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi pensyarah di Malayan Teacher’ College, Kirby, Lancs, United Kingdom dan pulang semula ke Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1951 hingga 1963, beliau bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.
Syed Ahmad Jamal merupakan nama yang amat sinonim dengan seni lukis Malaysia. Beliau adalah merupakan pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di negara ini. Syed Ahmad Jamal merupakan seorang tokoh di dalam seni lukis yang paling berjaya di negara ini. Beliau mempunyai ketokohan dalam bidang berikut seperti sebagai pelukis, penulis, pereka, pendidik dan pemimpin seni.
Kebolehan yang merentasi pelbagai disiplin yang dimiliki menjadikan beliau sebagai sumber idea dan dalam menjana perkembangan seni lukis tanahair. Ilmu kesarjanaan dalam seni lukis serta falsafah dan estetika Melayu yang dipegang, menjadikan beliau tempat rujukan kepada pelajar, ahli akademik, dan pengiat seni lukis ( pelukis, kurator, galeri dan kolektor) di Malaysia. Di kalangan pelukis tanahair, Syed Ahmad Jamal telah dianggap sebagai pelopor seni lukis abstrak yang bernada nusantara bermula pada tahun-tahun 1960 an dan 1970 an.
Beliau mengetuai Wednesday Art Group dan Art Council Malaysia pada awal tahun 1960 an. Beliau juga pernah menjadi pensyarah tamu Universiti Malaya pada 1975 hingga 1979, kewibawaan dan kepimpinan beliau mula terserlah dimana beliau dilantik menjadi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya yang pertama daripada 1979 hingga 1983 dengan mengasaskan kepada penubuhan Muzium Seni Asia di Universiti Malaya sebelum menerajui sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara pada 1983 hingga 1991. Kepimpinan dan kewibawaan Syed Ahmad Jamal di dalam bidang seni lukis sememangnya telah terbukti. Beliau telah di beri kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Penasihat dan Pengerusi kepada pertubuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan bidang seni visual ini.
Sebagai budayawan yang mempunyai cara pandangan dan falsafah kesenian Melayu yang halus, beliau menterjemahkan pengalaman ini melalui bukunya yang bertajuk ‘Rupa dan Jiwa’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka semasa menjadi karyawan tamu dan penyelidik di DBP pada 1991-1992, beliau telah melukiskan pengamatannya terhadap unsur-unsur kesenian dalam nilai-nilai dan kebudayaan Melayu. Beliau juga cuba menggarapkan semula aspek rupa dan bentuk sesuatu unsur kepada seni rupa Melayu ini diolah dengan pengalaman bahasa seni yang bersifat sejagat melalui bentuk, gaya, gerak dan corak.
Bakat Syed Ahmad Jamal terserlah, beliau adalah pelukis yang terkenal serta mendapat sanjungan masyarakat seni dalam dan luar negeri. Antara kebolehan beliau ialah melukis dengan menggunakan pemikiran ilmu dan pengalaman berasaskan falsafah serta nilai-nilai Melayu. Beliau juga terlibat dalam membuat ‘Dasar dan Pemikiran’ tentang program dan pentadbiran kepada masyarakat umum. Selain daripada itu beliau juga terlibat dalam kritikan seni dan menulis berbagai kertas kerja, katalog pameran, majalah dan media massa.
Menyentuh tentang pengkaryaan beliau, ketika di London aliran ekspressionis dan ekspressinisme abstrak sedang melanda England itu. Gerakan tadi merupakan satu yang amat baru bagi beliau dan benar-benar memikat cara beliau berkarya. Beliau meminati ekspressionisme kerana ia menyedarkan satu landasan baru bagi menentukan arah dan tujuan arah seni secara perseorangan atau individu yang berbeza sedikit dengan seni tradisional yang bekerja secara berkelompok.
Untuk mengetahui perkembangan seseorang seniman atau artis rasanya tidak lengkap jika tidak melihat sentuhan-sentuhan awal penerokaanya iaitu di sekitar tahun 1950 an. Lukisan-lukisan berwajah herot dan abstrak yang bertunjangkan unsur tanahair cuba dihasilkan ketika masih menuntut di sana. Perubahan awal menggunakan kaedah tersebut melihatkan kejayaan awalnya apabila berjaya menghasilkan karya penting di awal karier iaitu ‘Mandi Laut’ (1957). Karya ini merupakan titik permulaan bagi Syed Ahmad Jamal untuk menempuh sejarah yang lebih gemilang dalam bidang seni lukis dengan pameran solo pertamanya di British Council, Kuala Lumpur pada tahun 1960.
Dekad 1960 an memperlihatkan fenomena abstrak ekspresionistik yang sangat dominan. Karya-karyanya mula menampilkan imej-imej abstrak dalam latar budaya setempat. Karya ‘Starry Night’ (1961), ‘Relationship’ (1964), ‘Lost’ (1965) ‘19.9.65’(1965) memperlihatkan ledakan tenaga abstrak ekspressionistik yang lincah, kental, padu dalam sapuan berus yang agresif dalam warna-warna ekspresif yang meninggalkan impak visual yang mempersonakan. Warna dan imej yang digunakan dalam beberapa karya-karya pada tahun 1960 an menganggu ketenteramana psikologi seolah –olah beliau sedang bergelut dengan dirinya sendiri.
Tahun 1970an menampilkan karya-karya kreatif dan memperlihatkan transformasi dalam kebebasan berkarya contohnya karya ‘Conference of Soul’ (1970) bertolak dari puisi ‘Sidang Roh’ karya penyair Kassim Ahmad yang pernah menjadi polimik dunia kesusasteraan pada ketika itu. Karya ini dihasilkan selepas tragedi 1969 berkenaan dengan pengertian terhadap kebenaran yang sentiasa berubah mengikut kehendak dan selera semasa.
Dalam karier sebagai pelukis siri ‘Gunung Ledang memuncakkan nama Syed Ahmad Jamal dalam menghasilkan karya-karya besar kepada khazanah negara seperti dalam ‘Semangat Ledang’. Pada tahap ini lukisannya amat bertenaga melambangkan keunggulan kaedah dan pemikiran yang didokongnya selama ini. Siri ‘Gunung Ledang’ mempertemukan dunia mistik kisah Puteri Gunung Ledang yang terdapat di dalam teks Sejarah Melayu yang berwajah tempatan kepada aspek penceritaan berkonsepkan barat iaitu dalam format catan.
Walaupun mendapat pendidikan Barat dalam bidang seni halus namun seniman Syed Ahmad Jamal tetap mengkagumi akar tradisi budaya Melayu untuk turut sama berada dalam setiap pengkaryaanya . Pada sekitar 1980 an maka lahirlah “Siri Songket” imej dari seni kraftangan anyaman tikar mengkuang mula tercipta seperti ‘Energy Mat’ (1980), ‘Terengganu’ (1986), ‘Siri Gunung Ledang’ (1987) dalam memaparkan keindahan tenunan tekstil Melayu tradisi yang diwarisi sejak turun temurun lagi.
Bentuk segitiga begitu dominan pada era ini, boleh dikatakan bentuk segitiga itu adalah motif pucuk rebung yang begitu banyak dalam rekabentuk tradisional masyarakat Melayu. Ia dianggap sebagai simbol kepada kesuburan, satu penyataan yang bersesuaian dengan kenyataan mengenai Gunung Ledang. Beliau seterusnya menyatakan bahawa motif segitiga tersebut menyerupai pohon hayat dan bunga semangat sebagai manifestasi alam semulajadi yang begitu dekat dengan rantau Asia Tenggara ini.
Tahun awal tahun 1990 an, Syed Ahmad Jamal bersara dari perkhidmatan awam. Hal ini memberikan beliau begitu banyak masa untuk terus bergerak aktif secara sepenuh masa dalam seni lukis pada pertengahan karier . Penglibatan yang tidak mengenal jemu selama enam puluh tahun berkarier dengan seni ini telah memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan ke arah pembinaan dan perkembangan seni lukis moden Malaysia. Berdasarkan sumbangan penting beliau itulah kerajaan menganugerahkan Anugerah Seni Negara kepada beliau pada 1995 iaitu anugerah seni tertinggi Malaysia yang membawa gelaran Seniman Negara. Era ini memperlihatkan pula satu pendekatan yang berlainan pada karya-karya Syed Ahmad Jamal sebelumnya. Karya-karya beliau sangat mesra menyentuh isu sosial politik negara dan dunia luar di akhir tahun 1990 an.
Selepas itu beliau terus menaburkan baktinya kepada keseniaan negara dan pengorbanannya dihargai apabila dianugerahkan pingat Paglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk pada 1996. Pada tahun 2005 beliau menerima pengiktirafan sebagai Doktor (Kepujian) Pendidikan Seni oleh Universiti Sultan Idris (UPSI). Pengkaryaan Syed Ahmad Jamal mula berarah kepada manifestasi ketuhanan di akhir-akhir kariernya. Penghormatan institusi seni utama negara untuk mengadakan pameran retrospektif yang mempamerkan semula hasil karya beliau selama berkarier selama enam puluh tahun bertajuk ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’ adalah pameran solo terbesar dan terakhir oleh beliau pada tahun 2009 di Balai Seni Visual Negara .
Dua tahun kemudian pada tanggal 31 Julai 2011 Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal meninggalkan dunia pada usia 82 tahun. Segala jasa dan ketokohan beliau dalam membangunkan seni lukis Malaysia akan dikenang sepanjang zaman oleh generasi seni visual di masa depan. Semoga rohnya diletakkan dikalangan orang yang terpilih. Amin.
Anugerah Syed Ahmad Jamal
1950 ‘Sultan Ibrahim Scholarship’
1962 ‘Indian Council for Cultural Relations’
1963-1964 ‘United State Department Award’
1969 Ahli Mangku Negara
1970 ‘Alliance Francaise Medallion’
1973 ‘East-West Centre Award’
1983 Kesatria Mangku Negara
1984 ‘Australia Cultural Award’
1987 ‘Cultural Award (Visual Art)’
1995 Anugerah Seni Negara
1996 Panglima Jasa Negara
2005 Doktor (Kepujian) Pendidikan Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
2008-2009 Pelukis Tamu, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur

5 ulasan: