Sabtu, 29 Januari 2011

Transformasi Peranan: 'Kuratis' (Artis sebagai Kurator)

Oleh: Faizal Sidik

(Tajuk kertas kerja ini telah di bentangkan di 'Persidangan Kebangsaan Praktis Studio' anjuran Universiti Perguruan Sultan Idris - UPSI pada 27 dan 28 Januari 2011 di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang)

Faizal Sidik,"Transformasi Peranan: Kuratis (Artis sebagai Kurator)" Persidangan Kurator Muzium Asia, Rimbun Dahan Gallery,2009
Tercetusnya tajuk penulisan ini adalah daripada tajuk "The Transformation of Roles: Curatist (Artist as Curator)" yang di moderatorkan oleh Zanita Anuar bekas Ketua Kurator BSLN semasa Asian Museum Curator Conference atau AMCC yang telah diadakan di Singapura dan Malaysia , 2009 (Gambar- Rimbun Dahan Gallery,)

Abstrak
Idea utama kertas kerja ini adalah untuk mengkaji siapa itu ‘Kuratis’. Istilah ini dicipta gabungan daripada perkataan artis dan kurator ia cuba melihat perubahan praktis terhadap fungsi seorang artis yang mengambil peranan sebagai kurator. Kelahiran artis sebagai kurator bukan sahaja sebagai mengisi kelompongan apresiasi malah ia membina dan membuka pendefinasian baru terhadap kreativiti penciptaan artistik pengiat seni sebegini.Transformasi ini berlaku kerana kebanyakan institusi seni negara ini tidak mempunyai program sejarah seni dan falsafah seni yang khusus seterusnya menghasilkan pensejarahan seni yang menyebabkan ketidakseimbangan dari aspek praktis dan apresiasi.

‘Kuratis’ bukan sahaja berfungsi sebagai kurator sesebuah pameran malah melebihi daripada itu, pengkuratoran yang dilakukan oleh kuratis mengambil kira daripada aspek pengarahan artistik dimana artis sebagai kurator lebih memahami apa yang hendak disampaikan kepada khalayak terutamanya dari aspek pendekatan dan rekaan persembahan pameran dan juga perancangan yang dirancang untuk mencapai tujuan utama sesebuah pameran itu dibina.

Jika di kaji kebanyakan pameran-pameran yang dikuratorkan di negara kita adalah mereka yang berlatarbelakang pendidikan seni halus dimana mereka juga adalah seorang artis pameran-pameran seperti “Towards a Mystical Reality”, “Rupa dan Jiwa”, “Rupa Malaysia”, “Manifestasi Jiwa Islam”, “Seni dan Imejan” dan “Seni Elektronik Pertama” adalah antara pameran yang penting dan berjaya dikuratorkan oleh artis yang mengambil alih peranan sebagai kurator dalam meningkatkan lagi penghayatan seni di negara ini dimana pameran mereka masih lagi diperbincangkan dan diperdebatkan sehingga ke hari ini.

TerminologiSiapa itu kurator dan siapa pula ‘kuratis’? Kurator secara tradisinya boleh didefinasikan sebagai pembina, pemelihara, pengurus, pengusha, pengawal dan penjaga di institusi kesenian, kebudayaan dan warisan seperti galeri, muzium, perpustakaan, dan arkib yang bertanggungjawab ke atas koleksi institusi. Biasanya objek yang dipertangungjawabkan dari segi permaknaan terma kurator ini adalah objek yang boleh dilihat dan disentuh seperti karya seni, artifak sejarah dan koleksi saintifik.

Sungguhpun begitu pendefinisian ini berbeza mengikut tempat dan peranan. Di Britain dalam istilah pemuziuman kurator adalah pekerja perkhidmatan awam yang menjaga kerja-kerja kontrak arkeologi yang menjaga sumber kebudayaan sesuatu kawasan. Di Amerika Syarikat pula istilah kurator digunakan untuk jawatan ketua bahagian dan organisasi kebudayaan, dan yang terkini dengan perkembangan teknologi terkini skopnya bertambah besar peranan kurator dalam bidang pengkuratoran juga menjadi objek kajian akademik dan penyelidikan ilmiah di insitusi seni utama disana. Namun tajuk pembentangan saya ini tidak memokuskan kepada kurator semata-mata tetapi artis sebagai kurator yang terlibat secara langsung dalam seni kontemporari dimana mereka berperanan sebagai orang yang membuat pemilihan, pembina dan penginterpritasikan pameran karya seni sezaman dimana mereka juga bertindak sebagai penerbit katalog atau buku sebagai bahan dokumentasi.

Artis sebagai kurator atau ‘kuratis’ bukan satu idea baru, ia mempunyai tradisi yang panjang sebelum ini. Dalam perjalanan sejarah seni sebelum ini cuma tidak dibincangkan secara serius. Pada akhir abad ke-19 di Eropah terutamanya di Paris yang menjadi pusat seni dimana artis memprotes juri salon dan institusi yang konservatif pada masa itu iaitu ‘Paris Salon’ 1863 dan mereka membentuk sendiri kumpulan avant-garde iaitu Salon des Refuses atau ‘pameran karya ditolak’ untuk mempamerkan karya mereka diluar penentuan institusi seni. Pada abad ke-20 di New York, tiga puluh tahun kemudian, gerakan artist-run-centre atau pusat seni yang digerakkan oleh artis mula menjadi fenomena di seluruh dunia.

Artis sebagai kurator bukan sahaja mengkuratorkan pameran malah mereka berkemampuan menulis dan menghasilkan buku tentang seni dengan baik artis-artis seperti Joseph Kosuth, Ad Reinhardt, Frank Stella, Donald Judd, Robert Smithson dan di sini pula artis seperti Redza Piyadasa, Suleiman Esa, Syed Ahmad Jamal dan Ismail Zain adalah antara mereka dihormati terhadap sumbangan teks penulisan-penulisan dalam pameran yang dikuratorkan mereka sebelum ini. Kata-kata mereka masih relevan dan masih diguna pakai dan di petik dijadikan pembuka wacana untuk menguatkan lagi hujah bagi mendekatkan audien.

Di negara kita sejarah aktiviti pengkuratoran sesebuah pameran seni boleh dikatakan bermula secara rasmi setelah penubuhan institusi seni nasional Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1958. Namun peranan dan sumbangan artis sebagai kurator dalam perkembangan seni lukis Malaysia mungkin tidak disedari oleh kita, mungkin juga tiada perbincangan yang khusus dalam melihat sempadan memisahkan dua peranan ini iaitu antara kurator institusi dan artis sebagai kurator. Disini saya meletakkan beberapa anjakan mengapa tranformasi ini berlaku dan bagaimana ianya berfungsi serta kesan atau impaknya terhadap perkembangan seni visual secara keseluruhannya.

Mencabar Keterbatasan Institusi Kebudayaan
Bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam seni kini sudah tentu tidak boleh tidak akan bergerak terhadap zaman dimana mereka berada atau apa yang dikatakan kontemporari yang mengenalpasti dan mengakui model baru, pendekatan terkini dan kecenderungan untuk melakukan perubahan terhadap praktis kuratorial. Pembentukan peranan ini boleh dikatakan berkaitan dengan menidakkan atau anti sejarah institusi yang menginginkan antimoni dan mengikut citarasa sendiri dalam berpameran dan berkreativiti. Artis sebagai kurator melihat apa yang terlepas pandang oleh kurator institusi, tujuan mereka mengkuratorkan pameran dan menulis sendiri konsep pameran mereka adalah salah satu tindak balas reaksi terhadap keterbatasan institusi seni dalam memahami kehendak-kehendak mereka ia seolah-olah mencabar had-had yang dibenarkan oleh pembuat polisi yang perlu mematuhi dengan peruntukan-peruntukan kebebasan yang dibenarkan.

“The arguments regarding curating as art, or uber-curator as ‘author’, stems, therefore from the lack of definition regarding the limits of curating, and consequently troubling the of the potentiallly unfettered power of the agency of curation. The reverse of this, the artist as curator, similarly emerges from collapse of any viable distinction betwen the work of artists and the work of curators, whilts the professional and institutional distinction between them remains and in the process of being professionalized further”

Oleh kerana keterbatasan dalam berekspresi ini dihalang maka artis sebagai kurator ini mencari jalan lain yang lebih sesuai dengan misi dan visi yang ingin dibawa oleh mereka dengan bergerak secara kolektif atau membuka ruang alternatif atau artist run spaces yang digerakkan sendiri oleh artis secara solo dan berkumpulan dalam mempamerkan karya sendiri dengan karya lain dengan tema dan arah dan hala tuju yang sama. Antara ruang-ruang yang biasanya di gerakkan sendiri oleh artis sebagai kurator yang terdapat di negara ini antaranya adalah Rumah YKP, Rumah Air Panas, Lost Gen Space, yang diinspirasikan bertujuan untuk menolak kewujudan muzium dan galeri seni dan memaparkan satu inovatif dan eksperimentasi seni terus kepada khalayak baru, ia bukan sahaja dalam seni visual malah dalam muzik (kumpulan muzik indie) menolak syarikat rakaman muzik pop dan juga teater (rumah teater absurd) menentang persembahan teater arus perdana.

Penerokaan Cara Baru Dalam Melihat
Pengarahan yang menarik membawa penceritaan yang menarik perhatian audien, kurator seperti juga pengarah filem atau lebih tepat lagi sebagai ‘pengarah pameran’. Di akhir abad ke dua puluh dan seterusnya memasuki abad ke-21 memperlihatkan ramai dikalangan artis mula mengkuratorkan pameran yang menidakkan peranan kurator institusi. Dalam melihat potensi-potensi kreativiti dalam peragaan sudah macam menjadi satu trend semasa di dalam acara-acara besar seni seperti acara seni dwi-tahunan Biennale dan festival seni kontemporari Art Fair pihak penganjur menjemput artis sebagai pengarah seni atau kurator bebas mengkuratorkan pameran. Reputasi yang dicipta oleh artis sebagai kurator dengan persembahan pembinaan pameran yang luar biasa dan idea yang menarik menjadi perhatian khalayak untuk datang melihat.

Pendekatan artis sebagai kurator agak berbeza dengan kurator institusi dari segi kreativiti. ‘Kuratis’ datang dengan idea terlebih dahulu sebelum mencari artis-artis yang sesuai dengan idea beliau yang berpusatkan daripada pemikiran beliau daripada aturan pameran biasa yang berasal daripada idea di studio artis. Mereka melawan arah pendekatan konvensional dalam berpameran dengan seboleh mungkin untuk meneroka sesuatu yang belum pernah dilihat oleh sesiapa dari segi rekaan artistik peragaan. Pengunjung ke galeri atau muzium memasuki dunia baru kuratis. Apabila ke galeri audien bukan lagi berada dalam kehidupan biasa harian mereka, mereka seperti berada di dunia lagi satu ciptaan kuratis , dunia estetika dunia yang tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, dunia gambaran. Sebab itu apabila anda memasuki muzium atau galeri audien akan ditawarkan dengan imejan aneh ciptaan artis.

John Baldessari seorang artis konseptual diberi kepercayaan oleh Los Angeles Contemporary Art (LACMA) dalam mempamerkan semula karya pelukis surealis dalam pengkoleksian mereka. Pameran Magritte and Contemporary Art: The Treachery of Images sebuah pameran diadakan pada 2006 meneroka impak pelukis Belgium Rene Magritte (1898-1967) terhadap pengkaryaan ganerasi pelukis pasca perang Amerika dan Eropah. Pameran ini memaparkan 68 catan dan lukisan Magritte dari pelbagai media daripada 31 pelukis kontemporari seperti Richard Artschwager, John Baldessari, Vija Celmins, Robert Gober, Jasper Johns, Jeff Koons, Ed Ruscha, and Andy Warhol.











Pameran Magritte and Contemporary Art: The Treachery of Images (2006)





Pameran ini melihat perbezaan dan pendekatan yang tanpa disedari yang hadir dalam seni pop, konseptual dan sensibiliti pasca moden merujuk idea dan imaginasi Magritte. Apa yang menariknya pameran ini adalah reka bentuk pameran Baldessari begitu bersahaja dan melucukan merupakan daya cipta baru dalam persembahan pameran dalam memahami dengan lebih mendalam pengkaryaan Magritte dimana beliau menggunakan subjek awan yang begitu dominan dalam karya artis surealis itu di dinding dan lantai galeri seolah pelawat yang berada dalam ruang pameran ini terapung-apung di udara melihat karya seni di atas awan dan langit yang biru.

Penemuan Dalam Pembinaan Pameran
Penemuan-penemuan baru bukan sahaja berlaku di dalam makmal-makmal sains tetapi juga studio-studio artis sebagai pusat inkubator budaya. Boleh dikatakan artis sebagai kurator bertindak sebagai ‘saintis sosial’ yang mencari dapatan-dapatan daripada objek-objek yang dipamerkan. Mereka penghubung antara dunia visual dengan makna iaitu teks dan dialog, ia boleh dikatakan sebagai ‘jambatan’ pengantara kepada penginterpritasian dan apresiasi oleh pelukis dalam kerja-kerja produk pemaknaan atau ‘production of meaning’ dalam menerangkan sesuatu komentar, visi atau manifesto.

Di Malaysia ada beberapa sampel pembinaan seumpama ini yang boleh dijadikan model. Banyak pameran-pameran penting seni lukis dibina oleh artis yang terlibat dalam penyelidikan umpanya pameran ‘Rupa dan Jiwa’ Syed Ahmad Jamal adalah daripada pengkajian beliau berkenaan dengan seni tradisional Melayu. Dapatan dan penemuan beliau itu didokumentasi dalam bentuk buku dan beliau sendiri mengkuratorkan pameran seni terhadap penerokaan pengkaryaan pelukis yang mempunyai kesinambungan daripada seni tradisi. Pameran seni konseptual ‘Towards a Mystical Reality’ oleh koloborasi Redza Piyadasa dan Suleiman Esa adalah yang mengasimilasikan budaya Timur dan Barat dalam perspektif baru seni sebagai sebuah kajian saintifik dari sudut mental, meditatif dan mistikal yang terdapat dalam falsafah Asia berhubung dengan amalan falsafah Taoism dan Zen yang meninggalkan pengaruh dan polemik sehingga ke hari ini.











Manifesto ‘Towards a Mystical Reality’ (1972) oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa

PenutupSedar atau tidak kebanyakan pengkuratoran pameran-pameran penting di negara ini adalah mereka yang terdiri daripada artis sebagai kurator. Pengkuratoran ‘kuratis’ mempunyai pengaruh yang besar dalam pengkaryaan seni di negara ini selepas pameran dan saranan-saranan dalam tulisan mereka antaranya seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, Syed Ahmad Jamal, Ismail Zain, Hasnul Jamal Saidon, Nirajan Rajah dan Wong Hoy Cheong. Kehadiran generasi baru seperti Nurhanim Khairuddin, Faizal Sidik, Safrizal Shahir, Yap Sau Bin dan Fuad Arif perlu diberi perhatian di atas komitmen yang dimainkan oleh mereka.

Kuratis bukan sahaja berpendidikan malah mereka merupakan artis yang ‘bijak’ yang bukan sahaja mampu membincangkan pengaruh sejarah seni, idea, konsep, teori , estetik dan falsafah dalam pengkaryaan mereka secara khusus malah dalam praktis seni secara umumnya. ‘Kuratis kontemporari’ bukan sahaja mengenalpasti dan memperkenalkan pendekatan baru dalam pengkuratoran malah mereka juga bertindak serba boleh multi-tasking sebagai juga pengkritik dan pentadbir seni yang merupakan satu transformasi peranan dualisme yang lebih padu dan berkuasa dalam sistem dunia seni (artis, kurator, pedagang seni, kolektor) akan datang.



Rujukan.

Judy Rugg, Michele Sedgwick, 2007. ‘Issues In Curating Contemporary Art and Performances’. Intellect Book.

Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, 1972. ‘Towards a Mystical Reality: A Documentation of Jointly Initiated Experienced by Redza Piyadasa and Suleiman Esa’. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Faizal Sidik,’The Transformation of Roles: Curatist’, Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur

Selasa, 18 Januari 2011

Revolusi Pengalaman Seni, Sosio-Budaya dan Politik Malaysia Menerusi Bakat Muda Sezaman 1970 an hingga Kini

Oleh: Faizal Sidik

Faizal Sidik (2010), ‘Revolusi Pengalaman Seni, Sosio Budaya dan Politik Malaysia Menerusi Bakat Muda Sezaman 1970 an hingga Kini’ dalam Sezaman, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur. 

(Penulisan ini telah diterbitkan di dalam buku bertajuk SEZAMAN 'Bakat Muda Sezaman 2010' terbitan Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, 2010. ISBN 9-789-833-497-515)



BMS ?
Bakat Muda Sezaman yang dikenali juga BMS adalah sebuah pertandingan dan anugerah seni kontemporari yang terpenting serta berprestij Malaysia yang telah diperkenalkan sejak tahun 1970 an lagi oleh Balai Seni Lukis Negara (BSLN) demi untuk mencungkil bakat-bakat muda atau emerging artist dalam pengkaryaan mereka. Pertandingan ini adalah merupakan anugerah yang peringkat tertinggi dan terpenting dalam karier mereka sebagai artis muda.

Dalam memperkenalkan acara tahunan program BSLN pada tahun 1974, ia mula melancarkan satu pameran pertandingan yang dinamakan pada ketika itu sebagai ‘Pelukis Muda Sezaman’ yang biasanya akan diadakan pada penghujung tahun. Keinginan ini timbul daripada kesedaran betapa perlunya pada ketika ini dalam mengelolakan pameran seni lukis yang khusus dalam menampung kehendak pelukis-pelukis muda di negara dibawah umur 30 tahun pada sekitar waktu ini (kini bawah 40 tahun mengikut usia belia) agar terus maju.

Muka hadapan katalog pertama ‘Pelukis-Pelukis Muda Sezaman’ 1974 yang begitu konseptual

Rentetan daripada bertambahnya bilangan pelukis-pelukis muda yang telah lulus keluar daripada institusi-institusi seni lukis dimana mereka memerlukan ruang-ruang yang khusus dalam menunjukkan kebolehan dan hasil daripada latihan di institusi-institusi tadi dalam memperkenalkan daya kreativiti pengkaryaan mereka untuk tatapan umum. Jadi BMS menjadi medan ‘perang’ yang dinantikan-nantikan dan ditunggu-tunggu oleh mereka dan menjadi medan ‘kritik’ pula kepada kita terhadap perkembangan seni lukis Malaysia.

Sungguhpun begitu dalam mencapai maksudnya yang sebenar dalam mengangkat dan menyatukan karya pelukis-pelukis muda yang dianggap baik dalam satu bumbung ia juga boleh menjadi satu penanda aras yang kritikal dalam mengukur kualiti produk-produk yang di keluarkan oleh institusi seni lukis itu tadi samada mereka adalah relevan mengikut kehandak sezaman atau masih kuat dengan aturan kehendak akademi seni yang kaku lagi beku. Galakan dan dorongan yang diberikan oleh BSLN dalam mengelolakan acara ini hampir 40 tahun penganjurannya harus diberi pujian.

Terdapat juga anugerah seumpama ini yang berkonsep pameran pertandingan yang diadakan diperingkat negeri seperti Terbuka Selangor oleh Galeri Shah Alam, Bakat Muda Pulau Pinang oleh Balai Seni Pulau Pinang kedua-duanya sejak tahun 90 an dan yang terkini Bakat Muda Selangor oleh kerajaan baru Selangor namun ia masih belum mampu untuk menandingi BMS yang telah mencapai usianya yang mencorakkan hala tuju masa depan lanskap seni kontemporari Malaysia. Boleh dikatakan bahawa Bakat Muda Sezaman adalah merupakan sebuah anugerah yang tertua yang pernah dianjurkan di Asia Tenggara dan mungkin di peringkat Asia. Persoalannya kini adakah ia telah mencapai hasratnya untuk menentukan halatuju yang bagaimana seharusnya seni lukis di negara ini terapkan?

Terdapat juga beberapa anugerah seni yang khaskan untuk artis muda di beberapa tempat lain antara yang terpenting seperti ‘Turner Prize’ (Britain) oleh Tate Modern, ‘Prix Marcel Duchamp’ (Perancis) oleh National Museum of Modern Art, Centre Pompidou, ‘Kandisky Award’ (Rusia), ‘Preis der Nationalgalerie für Junge Kunst’ (Jerman) oleh Hamburger Bahnhof, Contemporary Art Museum . ‘The Vincent Award‘(Eropah) oleh Stedelijk Museum Amsterdam yang mengambil sempena nama pelukis terkenal Belanda Vincent Van Gogh. Anugerah tajaan korporat seperti ‘Hugo Boss Prize‘ oleh Gugenheim Museum, ‘Artist of the Year‘ Deutsche Bank dan Deutsche Gugenheim.

Terbaru jiran kita Singapura dengan ‘President’s Young Talents’ (PYT) yang di anjurkan oleh Credit Suisse dan Singapore Art Museum dimana kebanyakan pertandingan ini dianjurkan oleh badan seni utama negara masing-masing. Ini menandakan sokongan institusi seni tertinggi negara dalam mahu melihat kegiatan artistik diberi penghormatan yang sewajarnya dari segi ganjaran dan pengiktirafan sama tandingan dengan bidang-bidang profesional yang lain.

Berbalik kepada BMS yang bertujuan utama ianya diadakan adalah untuk menimbulkan provokasi, kontroversi, keberanian dan perdebatan yang diharap menarik terhadap seni sezaman dan untuk meningkatkan minat awam terhadap seni kontemporari di negara kita. Bakat Muda Sezaman boleh dikatakan mengambil model anugerah seni kontemporari British “The Young Contemporaries Exhibition “ di London pada tahun 1960 an yang kemudiannya ditukarkan pada 1990 an kepada Turner Prize iaitu sebuah anugerah mengambil sempena nama pelukis naturalisme Romantis terkenal British J.W.W Turner merupakan sebuah anugerah seni yang begitu cukup dihormati di Eropah pada hari ini.

Melihat kepada Turner Prize adalah sebuah anugerah yang dibangunkan oleh sekumpulan patron seni disana yang mengelarkan diri mereka sebagai Patron of New Art yang dibentuk untuk membeli karya-karya baru untuk koleksi Tate Gallery di samping untuk meningkatkan lagi kesedaran umum terhadap apakah yang dikatakan seni kontemporari. BMS sepanjang pengacaraannya juga pernah di taja oleh syarikat gas dan minyak seperti Esso, MAS dan Malaysia Tobacco pada sekitar tahun 80 an dan 90 an sebagai salah satu sokongan korporat terhadap kegiatan seni lukis di negara ini. Mungkin patron-patron seni di sini daripada pameran ‘Thirty Collectors’ patut juga menjejaki langkah-langkah seperti diatas.

Perancangan muzium seni iaitu Tate Gallery sebagai panganjur dengan penaung seni ini iaitu Patron of New Art ini boleh dikatakan beroleh kejayaan dimana mereka berjaya menghasilkan artis-artis muda yang berpotensi British atau Young British Artist (YBA) yang pernah memenangi anugerah ini seperti Damien Hirst (1995), Douglas Gordon (1996), Martin Creed (2001), dan ramai lagi yang kini merupakan artis utama leading artist dalam status dunia seni kita pada hari ini.

Pembinaan pameran penting oleh kumpulan artis YBA yang di patron oleh Charles Saatchi iaitu patron yang banyak menyimpan karya artis-artis muda penting British di tambah dangan pameran kontroversi iaitu “Sensation” sebuah karya koleksi daripada Saatchi Gallery telah membuka satu fenomena baru terhadap seni kontemporari di British kota London khususnya yang dahulunya dianggap sebagai ketinggalan jika dibandingkan dengan persekitaran seni yang berlaku di New York.

Pameran “Sensation” telah dibawa keluar daripada Saatchi Gallery ke Brooklyn Museum, New York dan tidak sempat di pamerakan di Australia akibat bantahan daripada audien tentang berita kehadirannya. Walaubagaimanapun ia telah menimbulkan satu budaya ‘segar’ kepada masyarakat terhadap minat yang baru dalam melihat seni sekaligus mewajahkan dalam mengisi kebudayaan mereka ditahap mana. Bagaimana pula ceritanya disini?

Karya seni merekod peristiwa yang telah berlalu, ia mewakili zaman dimana kita berada. Penciptaannya boleh dilihat sebagai cerminan manusia yang keluar daripada aspek sosial, ekonomi dan politik lingkungan masyarakat yang mempunyai peradaban. Bakat Muda Sezaman adalah sebahagian daripada representasi naratif pengalaman visual Malaysia moden yang mewakili dari negara Asia di sebelah tenggara yang bereaksi terhadap perubahan dunia. Menyelusuri pengalaman ini membawa kita ke dalam pengisian ruang yang jarang-jarang diperhatikan dalam melihat semula negara kita menerusi seni lukis sezaman.

Konseptualisme Babak Baru + Penuh Bernafsu
Membicarakan BMS dalam seni lukis kontemporari Malaysia sudah tentu ia tidak boleh tidak untuk mengaitkan dengan tahun 1970 an dimana sekitar tahun ini boleh dianggap sebagai bermulanya satu stail antarabangsa atau ‘Internationalisme’ berdasarkan teori sejarah seni Euro-Amerika yang dikongsi oleh dunia seni lukis itu sendiri dan lingkungan sosial, politik dan ekonomi budaya yang melingkarinya. Pameran berkumpulan “The New Scene” (TNS) atau ‘Babak Baru’ pada 1969 boleh dikatakan era bermulanya seni lukis kontemporari Malaysia atas tindak balas daripada peristiwa 13 Mei dimana rusuhan kaum yang berlaku selama empat hari akibat daripada pakatan parti politik yang lemah dalam pilihanraya pada waktu itu dan kelemahan daripada aspek ekonomi oleh orang Melayu yang membibitkan ketidakpuashatian. Buku ‘Dilema Melayu’ atau ‘The Malay Dilemma’ yang diterbitkan pada tahun 1970 telah menyarankan solusi dalam politik-ekonomi permasalahan ini.

Dalam pameran itu mereka tidak berminat meletakkan isu, yang difokuskan cuma persoalan tentang (?) bagaimana, kenapa dan apa. Pelukis dalam pameran ini hanya menitikberatkan karya yang pelbagai dimensi dalam membina sistem tanda. Mereka juga membuat pendefinasian semula antara catan dan arca dalam membahagi dan mengkombinasikannya semula dalam dalam mencipta pendefinasian baru terhadap identiti, status terhadap kategori-kategori seni dan penerimaan seni. Mereka mengistiharkan konsep dan ideologi yang radikal dimana bertujuan untuk mencabar, mengali semula, perlakuan nilai estetik dalam seni lukis Malaysia.

Peristiwa hitam itu telah membuka mata kerajaan terhadap ketidakseimbangan terhadap pengagihan ekonomi negara. Pada tahun 1971 di bawah permerintahannya Tun Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberikan keistimewaan kepada Bumiputera Melayu dan Peribumi. Suntikan daripada DEB maka satu kongres pada tahun yang sama telah diadakan iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada 16 hingga 20 Ogos di mana kebudayaan Melayu telah dijadikan kebudayaan kebangsaan.

Apabila meninjaunya semula sekitar tahun ini kita tidak akan terlepas untuk mengaitkan tahun tujuh puluhan dengan pameran iaitu ‘Towards Mystical of Reality’ (TMR) pada 1974 di Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu sebuah pameran bersama oleh Redza Piyadasa dan Suleiman Esa yang merupakan reaksi daripada Kongras Kebudayaan yang menolak teori seni barat dan bermanifestokan untuk membebaskan pelukis Malaysia daripada cenderung kepada pengaruh Barat . Mereka mengasimilasikan budaya Timur dan Barat dalam perspektif baru seni sebagai sebuah kajian saintifik dari sudut mental, meditatif dan mistikal yang terdapat dalam falsafah Asia berhubung dengan amalan falsafah Taoism dan Zen.

Pameran ini membuka wacana polimek dalam persoalan tentang ruang, material dan masa dalam penggunaan objek harian dan teks sebagai sebuah pengalaman mental yang menyarankan ruang, waktu dan anjakan, ia merupakan satu idea baru dalam seni lukis Malaysia. Sungguhpun begitu seawal tahun 1973 sebelum pameran itu lagi terdapat satu pameran yang jarang diketahui ramai untuk dibincangkan iaitu ‘Manusia dan Alamnya’ dimenangi pengkaryaan artis yang berkonsepkan seperti yang sebutkan diatas di Balai Seni Lukis Negara dilihat sebagai sebuah pameran pertandingan bertema yang seumpamanya pertama kali diadakan oleh sebuah institusi seni negara dan boleh dikatakan merupakan acara sebelum digantikan dengan ‘Pelukis-Pelukis Muda Sezaman’ BMS.

Muka hadapan katalog ke-2 ‘Pelukis-Pelukis Muda Sezaman’ 1975

Peristiwa dan pameran penting dalam tahun 70 an seperti dinyatakan tadi begitu mempengaruhi BMS yang diadakan pada tahun 1974 secara jemputan dan 1975 yang mula dibuka pelukis-pelukis muda belum terkesan atau kabur lagi tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadikan kebudayaan Melayu sebagai teras kepada kebudayaan nasional. Hal ini pernah di nyatakan oleh Suleiman Esa esei katalog pameran pertandingan pertama ‘Kritikan Mengenai Pamiran Pelukis-Pelukis Sezaman 1974’ dengan membahagikan dua kecendungan pelukis muda. Pertama kumpulan yang cenderung untuk terlibat dengan catan easel dan permasalahan-permasalahan dalam mengambar dan kumpulan yang saya maksudkan tadi adalah kumpulan yang bergiat dalam penglibatan formalistik dan konseptual yang tertarik dengan ‘International Style’ pengaruh daripada pemeran tempatan seperti TNS ,TMR dan ‘Manusia dan Alamnya’ yang menyentuh bukan lagi persoalan kemahiran pengkaryaan tetapi berpusatkan idea seorang pelukis.

Lee Kian Seng, “Permainan Poker” / “Process in Poker Game”, BMS 1975 (BSLN 2000-003)
Ia dilihat oleh pelukis muda membuka babak baru dengan penuh amarah dalam seni lukis di Malaysia yang sebelum ini masih kuat dengan aturan seni moden Euro-Amerika yang bernada Ekspressionis Abstrak, Surealis, Seni Pop dianuti pelukis sebelumnya sebagai satu pertentangan dan protes seni yang menginginkan sesuatu yang segar dan mencabar. Hal ini sudah pasti dalam seni kerana hakikat ‘seni’ dinamik sifatnya dari masa ke semasa cuba mencari pengalaman berbeza lain daripada yang lain, seni yang sudah dilihat bukan lagi menjadi seni tetapi manjadi artifak objek muzium seni sesebuah negara pemilik untuk ditatap kembali sebagai dokumentasi bahan sejarah.

Revivalisme Rupa Mencari Semangat Yang Hilang !
Impak daripada perubahan kebudayaan daripada kumpulan aktivis budaya yang terdiri daripada penulis dan praktis seni oleh Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA) yang merupakan sayap kiri kebudayaan Parti Komunis negara jiran Indonesia pada 1963 terhadap isu pemerintah yang memperkenalkan Manikebu (Manifesto Kebudayaan) yang mereka nyatakan menyekat kebebasaan pergelutan artistik kerana bagi mereka moto ‘budaya’ adalah pergelutan dalam kehidupan seseorang manusia dalam membawa Revolusi Indonesia yang ingin menyahkan budaya asing dan kembali kepada budaya asal mereka. Situasi yang sama tetapi tidak serupa juga berlaku di Malaysia. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan 1971 adalah ekoran daripada Manikebu, adalah kesedaran untuk kembali mencari rupa asal namun kita disini lebih mendasarkan estetika kebudayaan Melayu teras kepada kebudayaan Malaysia.

Sungguhpun demikian tiada satu pemeran selepas DKK yang benar-benar berani menampakkan reaksi daripada pembentukan polisi ini. Sikap mendiamkan diri oleh pelukis muda terutamanya menimbulkan tanda tanya terhadap apakah pendirian mereka terhadap DKK. Di penghujung 1979 barulah ada usaha untuk memanifestasikan kandungan DKK namun dengan roh keislaman implikasi Revolusi Islam yang berlaku pada tahun itu yang mengambil alih kerajaan Iran monarki sebelum ini yang pro-barat dimana ia digantikan dengan kerajaan republik pemimpim Islam yang mengamalkan ajaran yang sebenar yang membangkitkan pengaruh politik Islam kedunia Islam yang lain termasuklah di Asia Tenggara tidak terkecuali negara kita.

Usaha ini diangkat oleh Syed Ahamd Jamal semasa menjadi Pengarah di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya dalam pameran “Rupa dan Jiwa” iaitu sebuah pameran berdasarkan estetika budaya Melayu dan Keislaman atas rentetan implikasi tadi yang dikuratorkannya, pameran penting ini boleh dianggap sebagai pengalian semula kepada seni rupa dunia Melayu yang memberi impak yang besar terhadap pengkaryaan pelukis pada sekitar 80 an yang boleh disaksikan dalam pengkaryaan pelukis muda dalam BMS.

Zakaria Awang, “Al-Rahman” BMS 1982
Sudut yang lain Revolusi Iran telah menamatkan krisis minyak pada tahun 1973 -1974 dan harga minyak telah melonjak naik pada 1979-1980 semasa revolusi ini dan telah menjana pendapatan kepada negara pengeluar minyak seperti Indonesia dan Malaysia sendiri. Ia seterusnya telah meningkatkan ekonomi negara hasil daripada penjualan ‘emas hitam’ dalam melaksanakan program-program sosial budaya yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pada sekitar tahun 80 an era Mahathir Muhamad dalam kemimpinannya telah menarik Anwar Ibrahim yang begitu berpengaruh dalam kepimpinan kaum muda di universiti dan kemudiannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam kerajaannya. Karisma Anwar dan jaringan intimnya terhadap dunia Islam yang lain telah membantu kerajaan dalam menghadapi golongan muda yang radikal dan mudah memberontak tanpa banyak demostrasi dan bantahan termasuklah golongan seniman muda, bahkan pula mendokong DKK dengan penerapan identiti dalam setiap penciptaan artistik mereka.

Nasir Baharuddin, “Dari Satu Keujudan” , BMS 1984

Pada tahun awal 1980 an seni lukis yang bercirikan citarasa budaya tempatan reaksi daripada “Rupa dan Jiwa” mula dihasilkan seterusnya menampakkan perkembanganya dalam BMS dan dalam pameran-pameran lain selepasnya. Penjelmaan rupa daripada perlambangan seni tradisi dan peribumi mula digabungkan dengan teknik seni lukis kontemporari. Revivalisme atau memunculkan semula kesenian tradisi dan peribumi, metos dan lagenda seperti kraf, pantun, yang di beri nafas dalan bentukan sezaman yang lebih segar. Rupa bentuk tradisi yang dihasilkan tidak terus diambil daripada objek asal namun diberi nada baru, ketelitian inti ataupun pengisian yang mengandungi nilai-nilai semangat dan falsafah dipegang dalam menghubungkan imej tradisi agung dalam seni lukis Malaysia.

Jailani Abu Hasan, “Catan Orang Kampung IV” , BMS 1985

Sentimen anti-Amerika dalam kerajaan Mahathir Mohamed membawa negara menjauhi budaya Anglo-Saxon barat tetapi membuat dasar baru melihat negara di sebelah timur terutamanya seperti Jepun sebagai model untuk memajukan negara. Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh beliau telah membawa negara ini dari sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian. Dengan kadar cukai yang dan kos tenaga kerja yang murah ia telah menarik kehadiran pelabur-pelabur dari negara luar untuk menanam modal disini dengan membuka perusahan-perusahan dibandar-bandar utama. Tarikan pekerjaan dan mencari penghidupan baru telah menyebabkan migrasi penghijrahan generasi muda secara besar-besaran dari desa ke kota pada sekitar dekad ini.

Mohamed Akif Emir, “House To Let: Rent, Free of Charge , BMS 1987 (BSLN 1987-100)

Proses urbanisasi semacam menjadi kejutan kepada generasi baru ini, akibat silap perancangan pembandaran oleh kerajaan ia menimbulkan satu masalah lain pula iaitu setinggan atau perumahan haram. Mansor Puteh pernah mengulas filem Kembara Seniman Jalanan dengan mengatakan “Dalam filem sepanjang 128 minit ini ianya telah berjaya meluaskan skop dan merangkumi kehidupan meleset, terbiar golongan generasi muda yang boleh dikatakan terhimpit di celah-celah jalan belakang bangunan kedai untuk mencari sara hidup atau mencari tempat perlindungan di rumah-rumah usang yang belum tentu dirobohkan tidak lama lagi untuk dijadikan tapak bangunan pencakar langit kelak. Budaya popular bandaran tidak dapat terelak oleh generasi yang dahulunya hanya minum kopi cap Hang Tuah kini minum Coca Cola dan Pepsi. Generasi yang dahulu hanya memakai kain pelikat dan kain batik kini telah memakai seluar Lee dan Levis. Dahulunya mendengar muzik keroncong kini mula ke konsert muzik keras seperti rock dan heavy metal.

Tumian Tasman, “Kebudayaan XVI” , BMS 1989

Krisis dalaman yang menyebabkan pengharaman parti UMNO atau United Malayan National Organisation yang merupakan parti orang Melayu terbesar pada tahun 1988 yang telah menyebabkan parti itu terbahagi kepada dua kem dimana kumpulan kedua telah membentuk parti baru iaitu Semangat 46 yang di ketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah telah menyebabkan ketidakstabilan sementara politik pemerintah. Pada masa yang sama dalam tahun 1988 negara dikejutkan pula dengan isu kekebalan raja Melayu. Semasa pentadbiran Mahatdir beliau telah meminda Perlembagaan Persekutuan dalam menghapuskan oleh imuniti raja-raja Melayu yang sekaligus menafikan peranan institusi itu yang telah warisi sejak Kesultan Melayu Melaka. Isu-isu konflik identiti dan penepisan budaya luar yang masuk dalam kehidupan orang Melayu, kesinambungan teks metos dan lagenda dalam Sejarah Melayu merupakan antara tema-tema yang sangat dominan dalam BMS tahun-tahun ini.

Zulkifli Yusof, “Tanpa Tajuk”, BMS 1988
Pluralisme Bentukan Pelbagai Berbaur Idealistik
Kestabilan semula politik negara pada awal 90 an seterusnya memberi kesan yang baik kepada ekonomi di sekitar tahun ini. Wawasan 2020 telah dibentuk ke arah sebuah negara maju yang ideal dalam Rancangan Malaysia ke 6 pada tahun 1991 oleh kerajaan. Kejayaan Malaysia yang telah menjadi negara perindustrian dan telah menampakkan buahnya ini diterjemahkan dengan kejayaan industri-industri perkilangan pengeluaran secara besar-besaran seperti perusahan otomotif nasional sekaligus telah membuka pasaran bebas dalam sistem kapitalis.

Pembangunan pesat ekonomi Malaysia di akhir-akhir tahun 80an dan awal tahun 90 juga telah melonjak nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam mambangun berkefahaman sederhana yang menjadi contoh kepada negara membangun yang lain sehinggakan diberi pengiktirafan menganjurkan persidangan penting seperti ASEAN, G15, CHOGM, NAM, OIC . Selain itu kemampuan kita menyediakan kemudahan terkini berkelas dunia kita turut diberi kepercayaan menganjurkan pertandingan sukan bertaraf antarabangsa seperti sukan Commonwealth, dan motor Grand Prix.

Buka pintu Malaysia terhadap pasaran bebas ini telah membawa sama bersama asimilasi kebudayaan luar akibatnya ia telah mengubah cara hidup masyarakat Malaysia terutamanya dibandar dari segi pemakanan, perhubungan dan hubungan kaum. Asimilasi ini bukan perkara baru kerana rantau ini kita telah mengalami sejarah yang panjang semenjak dahulu lagi dengan kedatangan pengaruh Hindu, Buddha, Islam dan Kristian menerusi hubungan perdagangan dan penyebaran agama.

Era pasca moden pula membawa kepada Pluralisme atau kepelbagaian kepada jenis-jenis ideologi, kepelbagaian pola kebudayaan, kepelbagaian falsafah hidup yang berbeza termasuklah pelbagai aturan dalam seni yang menginterpritasikan bahawa seni itu tidak statik dan sentiasa berubah-ubah mengikut selera dan citarasa orentasi artistik yang pelbagai.

Budaya pluralisme dalam seni lukis Malaysia pernah di nyatakan oleh Zakaria Ali dengan memataforakannya dengan minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu Air Batu Campur atau ABC. Kepelbagaian bahan yang terdapat didalamnya seperti ais batu, kacang, jagung, cincau, air sirap, susu adalah metafora kepada kepelbagaian kaum dan budaya yang diadun membentuk citarasanya yang tersendiri di negara ini. Walaupun berbeza dari segi warna dan kulit dan fahaman ia tidak menjadi halangan kepada mereka untuk bekerjasama.



Din Omar, “Kepelbagaian” BMS 1990 dan “Antara Dua Hidangan” BMS 1991(BSLN 1992-003)
Krisis ekonomi Asia yang berlaku pada tahun 1997 telah memberi tempias dan kepanikan kepada negara. Penyingkiran Anwar Ibrahim dalam kerajaan Mahathir Mohamed ekorana daripada sokongan Anwar terhadap pelan pemulihan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa atau International Monetry Fund (IMF) semasa menjawat Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 sungguh mengejutkan dan memberi impak yang besar terhadap masa depan politik Malaysia kerana pengaruh kewibawaan dan kepimpinan Anwar yang begitu besar dalam kerajaan Mahathir. Ketidakpuashatian rakyat dan golongan seniman bagaimana isu itu diselesaikan telah membangkitkan reformasi kepimpinan bukan sahaja datangnya daripada golongan marhain malah golongan seniman dan juga sasterawan. Terjemahan resah dan gelisah daripada itu maka keluarlah novel politik satira ‘Shit’ (1999) oleh Shahnon Ahmad yang mengegarkan dunia kesusasteraan negara kerana menggunakan metafora usus dan bahagian perkumuhan manusia sebagai naratif kritikan beliau permasalahan ini yang kemudiannya diharamkan.

Paradigma Baru > Elektronik Merentasi Disiplin Kreatif Bernada Serantau
Globalisasi atau penduduk dunia yang tinggal dalam satu tempat dimana jarak untuk perhubungan jauh dahulu telah menjadi mudah dan pantas untuk dicapai atas kemajuan teknologi telekomunikasi dan inovasi komputer manusia seolah hidup dalam satu perkampungan global yang serta merta boleh hubungi. Justeru itu Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) diperkenalkan pada 1996 yang mana Malaysia telah melompat lagi daripada menjadi sebuah negara perindustrian kepada era ekonomi yang berasaskan informasi dan ilmu pengetahuan.

Malaysia menerusi rancangan MSC telah mencapai langkah setapak lagi bukan sahaja memberi faedah kepada pelabur syarikat yang berasaskan teknologi maklumat di kawasan lingkungan MSC malah memasukan sistem pentadbiaran kerajaan kepada kerajaan digital yang berasakan elektronik atau e-goverment. Perubahan sistem pentadbiran berasaskan elektronik ini telah diperturunkan kedalam kehidupan rakyat untuk berurusan seharian dengan kerajaan seperti e-mail, e-pay, e-form dan mungkin juga projek e-art online sedikit masa dahulu. Rakyat secara tidak langsung telah dikejutkan, belum lagi masak ranum dibalik peralihan industrilisasi kini lontarkan pula dengan kebudayaan digital. Kempen-kempen pembudayaan minda seperti ‘Celik IT’ dan ‘Cintailah IT’ menerap masuk dalam kehidupan mereka. Gaya hidup yang tanpa mempunyai telefon bimbit dan komputer disamping seseorang dianggap seperti seorang yang ‘telah mati’ semasa hidupnya.

Reaksi seniman daripada transfomasi ini maka Pameran Seni Elektronik Pertama (PSEP) telah dibina pada tahun 1997 di Balai Seni Lukis Negara dimana ia mengharapkan pembentukan kesedaran kepada potensi yang mungkin ditemui dalam penggunaan media baru tehadap kreativiti bukan sahaja pengiat seni malah cross media atau merentangi disiplin kreatif yang lain. PSEP cuba mengarahkan kepada percantuman kepada kreativiti dan saintifik yang sebelum ini jarang sekali dipertemukan dengan penggunaan teknologi terkini.

Trend-trend kontemporari dan stail seni ini dari serata dunia telah dipraktikan dalam BMS. Pengkarya-pengkarya muda generasi baru ini telah berekperimen penggunaan media baru dalam pengkaryaan mereka dengan multimedia, instalasi, elektronik, video dan seni digital dalam meneroka isu kebebasan bersuara, hak asasi manusia, isu tahanan tanpa bicara dan akta-akta mengongkong, Semangat untuk kembali kepada tradisi dalam 80 an membawa kepada semangat nasionalisme berasaskan kebangsaan dan keserantauan dan seterusnya menemui 90 an yang lebih sejagat ini telah meluaskan lagi definisi seni lukis Malaysia di alaf baru. Joseph Tan pernah berkata panggilan nusantara yang menyeru kepada kesedaran dan interaksi para artis antara budaya di rantau ASEAN sejak tahun 70an kini terterap dalam pengkaryaan pelukis dalam dekad ini.


















Faizal Sidik, “Voice Without a Voice: King Rawana as Desperado” BMS 2000 dan “Voice Without a Sound: Superpower” BMS 2002

Sungguhpun memasuki mellenia baru gelombang reformasi ke atas kerajaan masih kuat berlaku oleh pembangkang. Penangan media alternatif daripada capaian internet membuka laluan baru maklumat yang ‘lain’ daripada media massa milik kerajaan. Hal ini dapat disaksikan dalam tahun Pilihanraya Umum (PRU) ke-10 pada 1999 dimana populariti kerajaan yang diadili oleh rakyat terutamanya orang Melayu/Islam mula menurun. Perkara ini memaksa Mahathir Mohamed untuk memikirkan jawatannya semula dan melepaskan kepada Abdullah Badawi satu-satu timbalan yang berjaya menjawat jawatan itu semasa era beliau. Abdullah dikatakan telah menyelamatkan dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat ini dibuktikan dalam PRU ke-11 2004 hasil daripada visinya memperkenalkan Islam Hadari iaitu yang berteraskan pembangunan ekonomi dan teknologi serta membenteras korupsi.

Objek seni juga mengalami transformasi perubahan, pelanggan estetik tidak lagi hanya melihat objek yang dipamerkan di dinding-dinding galeri atau muzium malah mereka juga boleh bersama-sama mengalami proses pengalaman sensual ilmu seni yang ditawarkan oleh artis seperti seolah-olah mereka berada di dalam ruang yang sama dengan artis yang menciptakannya. Ego keunikan diri seorang artis telah dimusnahkan sama sekali, audien tidak lagi diberatkan membaca bahasa visual yang terlalu dalam, mereka cuma perlu merasai pengalaman estetik dan berseronok.

Pada dekad ini media massa seperti akhbar, radio dan telivisyen bukan lagi menjadi sumber sebaran maklumat primier kepada rakyat seperti era selepas merdeka dahulu, kini mereka mempunyai capaian lain yang lebih beribawa dan boleh dipercayai. Kehadiran capaian jalur lebar sehingga ke hujung desa menerusi laman sesawang, blog-blog penulis dan televisyen atas talian yang lebih bersifat interaktif pengisiannya menjadi pilihan mereka daripada media arus perdana yang agak berat sebelah. PRU yang ke-12 pada tahun 2008 telah memberi satu kejutan kepada kerajaan.

.............BMS = Sumbangan Identiti Lokal Asia Tenggara kepada Interaksi Global
Kesimpulannya Bakat Muda Sezaman perlu diperhati dalam bingkai sebuah gambaraan yang luas. Ia perlu dilihat semula sebagai medan bukan sahaja beradu siapa yang bagus dan siapa yang teruk. Tetapi menjadi ‘kompas’ dan ‘radar’, kompas adakah kita berada dalam arah yang betul dan radar adakah seni lukis kita berada dalam gelombang yang boleh sama-sama boleh berkongsi sumbangan dalam dunia seni apa yang dikatakan ‘local contribution into the global interaction’ mengambil contoh Sushi makanan mentah Jepun dan Pizza daripada Itali yang menjadi kegemaran kita juga disini.

Jika kita melihat seni kontemporari di tempat lain pula saya boleh memberikan kejayaan pelukis Jepun dalam memperkenalkan konsep ‘Super Flat’ atau ‘kerataan luar biasa' inovasi daripada permukaan rata dalam teori seni lukis barat mereka, hasil daripada lukisan kartun anime yang cukup popular menjadi kegilaan bukan sahaja di negara matahari terbit itu malah pada hari ini telah diterima menjadi konsep seni yang melanda dunia barat. Bukan pengiktirafan daripada negara-negara barat yang saya maksudkan tetapi apa yang boleh kita sumbangkan bersama-sama dalam memperkayakan lagi dunia seni. Saya melihat kita di Nusantara ini mempunyai kekayaan dari segi falsafah seni yang boleh juga dikongsi di tempat lain.

Jika kita memerhatikan budaya ‘tanda’ popular semasa iklan dipapan tanda besar sebuah bank yang yang terkenal mempunyai cawanganya di beberapa buah Asia Tenggara seperti di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia mengatakan bahawa bendera setiap negara-negara tadi mempunyai persamaan dari segi jalur putih dan merah. Ya memang benar jika diperhatikan memang terdapat persamaan dari segi penggunaan daripada kedua-dua warna itu dalam negara-negara tadi. Iklan kedua oleh bank yang sama tetapi diletakkan dilokasi yang berlainan pula mengatakan bahawa negara-negara seperti yang disebutkan tadi hanya mempunyai ‘seorang pemimpin’ (raja buah) iaitu buah durian. Jadi kebersamaan yang kita punyai haruslah dikongsi atas semangat kenusantaraan agar ia juga boleh di pinjam oleh penduduk negara yang tempat lain atas kesenian dan kebudaayaan kita di rantau ini.

Era 80 an dan 90 an serta diperkembangkan ke alaf baru dalam dimensi terkini adalah sebagai era yang benar-benar mencirikan konsep ini Seni Lukis Asia Tenggara. Pada sekitar tahun itu jika diperhatikan kita telah mempunyai landasan yang benar kearah itu. Pameran ‘Rupa dan Jiwa’ atau (Form and Soul) yang kurator pada tahun 1979 oleh Syed Ahmad Jamal berserta dengan penerbitan bukunya sekali reaksi daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971 boleh dijadikan sebagai pemangkin pada hasrat ini dimana para pelukis muda yang menyerati BMS telah mengali semula identiti keberadaan mereka disini seperti yang dinyatakan oleh Setiawan Sebana “Fenomena seni rupa kontemporer di kawasan regional Asia Tenggara memperlihatkan gerakannya untuk membangunkan kesedaran baru, untuk pada gilirannya membangunkan identitas baru bagi kesenian di kawasan ini. Sebuah aspirasi kuat untuk memperlihatkan eksistensi kebudayaan di wilayah ini dalam arena kebudayaan dunia yang meningkat global”.

Selasa, 30 November 2010

Persidangan Seni HAO: Cabaran dan Pasaran Seni Kontemporari Asia Tenggara

Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2010), ‘Persidangan Seni HAO: Cabaran dan Pasaran Seni Kontemporari Asia Tenggara’ SeniKini, Issue # 09, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.


(Penulisan ini telah diterbitkan dalam Majalah SeniKini #09, Jan 2011 terbitan Balai Seni Lukis Negara)





Adakah pengiat seni di Asia Tenggara sudah bersedia dengan gelombang minatnya terhadap peminat seni antarabangsa pada seni kontemporari disini? Adakah juga sistem seni yang diamalkan di rantau ini juga telah benar-benar boleh dibanggakan bagi menampung permintaan pasaran seni semasa dengan ‘boom’ nya seni kontemporari Asia terutamnya di India dan China dimana pedagang seni mula beralih mencari wilayah pasaran baru Asia Tenggara ini dengan kekuatan baru ekonomi yang mula membuka mata pelabur dari Amerika dan Eropah melabur disini seterusnya menginginkan cara hidup yang lebih eksklusif dengan memilih produk seni sebagai salah satu cara hidup atau ‘living with art’? .

Roy Lichtenstein , 'Explosion I' , Porclain enamel atas besi, 98 x 67 inci , 248.9 x 170.2 cm, 1965

Persidangan Seni HAO 2010 atau ‘The 2nd HAO Summit’ adalah merupakan tindak balas ini dimana ia merupakan program pembangunan profesional untuk pengiat seni serantau terutamnya artis muda, kurator dan pengurus seni yang telah berlangsung daripada 11 hingga 15 November 2010 di Singapura. Persidangan kedua ini telah dikuratorkan bersama oleh dua buah organisasi seni yang berpengaruh di Singapura iaitu ‘The Substation’ dan ‘Villains’ iaitu sebuah kolektif seni pelbagai media.

Mengambil daripada perkataan ‘hao’ yang bermaksud ‘baik’ dalam bahasa China dan ‘how’ iaitu ‘bagaimana’ dalam bahasa Inggeris. Ia boleh juga dibaca sebagai sebuah pertemuan ‘bagaimana’ untuk mencari jalan kearah ‘kebaikan’ yang wujudkan atas kesedaran kurangnya tindakbalas yang lebih profesional dan peluang jaringan yang diperolehi oleh generasi muda Asia yang mempraktikkan seni kontemporari.

Persidangan HAO pada edisi kedua ini mula membuka ruangnya kepada 12 penyertaan luar bukan sahaja dari Singapura malah kepada pekerja seni di Asia Tenggara yang telah berkecimpung secara aktif sekurang-kurangnya 6 tahun dalam industri kreativiti ini dan berminat bagi mengembangkan dan membangunkan mengikut keperluan komuniti mereka.

HAO merupakan persidangan pembangunan strategi jangka panjang, bermentorkan kepada pemangkin-pemangkin industri seni dan perkongsian maklumat dan budaya sesama Asia Tenggara. Persidangan HAO direncana untuk merapatkan lagi jurang wilayah pasaran baru seni kini yang mana daerah tenggara ini sedang meletup (mungkin anda boleh melihat karya oleh pelukis pop iaitu Roy Lichtenstein yang memberi tajuk yang sama bagi mengambarkan keadaan yang sedang meletup ini) sedang mula mendapat perhatian baru para pemain-pemain seni. Dimana pertemuan ini diharap dapat membantu mereka mengembangkan, merubah dan bersaing dalam pasaran seni global.

Ia ini merupakan program yang berorentasikan aktiviti, interaktif diantara pelatih dengan fisilitator yang juga akan berada didalam kumpulan dimana mereka dikenali ‘HAO Fellow’ untuk berkongsi dan bekerja bersama dalam aktiviti kumpulan sepanjang program ini berlangsung. Peserta dalam persidangan ini dicabar untuk berfikir diluar kotak lingkaran. Apa yang menariknya dalam program ini adalah mereka akan berinteraksi dengan pakar-pakar yang dijemput penganjur dalam pelbagai sektor, termasuk pembuat polisi, pakar-pakar pemasaran dan pengurusan kreatif bagi menjelaskan keadaan sebenar keadaan seni disini di samping berkongsi pengalaman mereka yang telah lama ‘bermain’ dalam arena serantau.

Menceritakan sedikit tentang sejarah HAO ianya di ilhamkan oleh ‘The Substation Associate Artist’ atau Persatuan Artis Substation yang diketuai oleh Khairuddin Hori, dimana edisi pertama Persidangan HOA telah diadakan pada tahun 2008 di Pulau Sentosa, Singapura oleh ‘The Substation’ yang dianjurkan bersama oleh Khairuddin sendiri bersama Audrey Wong iaitu bekas pengarah bersama artistik ‘The Substation’ dan juga pernah dicalonkan sebagai Ahli Parlimen.

Pada edisi kedua ini ‘The Substation’, yang diwakili oleh mereka berdua menjemput Villains Creative Agency sebagai kurator. Villains merupakan kolektif kreatif yang ditubuhkan pada 2009 oleh mereka yang berpengalaman dalam seni halus, rekaan grafik, perfileman dan pengurusan produksi dalam mencorakkan program dan memilih penceramah dan fisilitator pada persidangan kali ini.

Penceramah dan fisilitaor pada kali ini terdiri daripada profesional yang telah terbukti dalam bidang masing-masing antaranya ialah Margeret Chan (praktis pembantu Profesor Singapore Management University), aktor, penyelidik dan penulis), Rich Streitmatter (artis seni persembahan dan penyelidik), Steve Lawler (pengarah kreatif Kult Magazine), Howard Chan (pemogram budaya), Mikal Telle (ketua eksekutif Telle Records, pentadbir dan pengurus artis), Zaki Razak (artis dan penulis), Audrey Wong (ketua program sarjana kesenian dan pengurusan budaya, pentadbir dan pengasas HAO), Marco Kusumawijaya (urbanis dan arkitek), Khairuddin Hori (pengasas HAO, artis dan kurator Singapore Art Museum)

Antara fakta-fakta menarik yang boleh dikongsi dalam persidangan ini adalah daripada pembicara kedua iaitu Rich Streitmatter iaitu artis seni persembahan dan juga penyelidik dari Ho Chi Minh City, Vietnam menyampaikan topik berikutnya iaituh ‘Visual Syllables: The Diacritic Exercise’ atau 'Syllables Visual: Latihan Diakritik'. Kelainan dalam sesi kali ini adalah beliau tidak berada dalam masa dan tempat yang sama dengan peserta. Peserta hanya meihat rakaman secara video dengan Rich yang disediakan oleh penganjur. Dalam penyampaian beliau banyak membuat perbandingan antara citarasa atau taste dan buangan atau waste.

Menurutnya konsep minima iaitu menolak produksi besar-besaran dalam seni boleh mengurangkan pencemaran. Menurutnya lagi pencemaran dan konsumer adalah merupakan dalam ekologi perniagaan, beliau menyarankan seni konsumer iaitu seni interaktif dua hala antara diantara audien dengan objek seni bagi mengurangkan pencemaran. Beliau juga menyentuh dengan rekaan yang menarik dan trend semasa konsumer apa yang dikatakan sebagai ‘projek organik’ oleh kapitalis. Menyentuh dengan konsumerisme moden pada hari ini Rich mengatakan produk perkhidmatan oleh penyedia pencarian web internet Google iaitu ‘Google Map’ merupakan produk konsumer percuma atau ‘free consumer’ yang mana ia boleh dikongsi seluruh umat global yang mesra pengguna lagi memudahkan.

Tambah beliau lagi Kitar Semula merupakan satu ‘projek’ yang telah direncanakan sejak awal lagi kerana ia akan membawa pulangan wang lumayan bagi sesetengah pihak dan akan memerangkap tingkah laku kita. Beliau juga mengaitkan dengan media sosial pada hari ini iaitu Facebook sebagai platform alternatif dalam membuat duit yang menidakkan pihak tengah, walaupun penolakkan orang tengah ini bukan isu baru dengan kehadiran blog-blog perniagaan secara atas talian, hubungan ‘jiwa’ yang dibina oleh laman web sosial itu tadi lebih kuat tarikannya.

Villains yang merupakan kurator HAO pada kali ini adalah merupakan kolektif kreatif
yang terdiri daripada Razi Razak, John Ling, Farizwan Fajari dan Djohan Johari mengambil alih dengan menyampaikan tajuk ‘Reflections of a Creative Quartet’ . Mereka yang bekerja sebagai sebuah kumpulan artis merentangi disiplin kreatif seperti seni halus, rekaan, perfileman termasuklah multimedia mempunyai visi dalam mencari dan mendekatkan audien dan pelanggan mereka dengan idea-idea yang inovatif dan menarik untuk di kongsi. Dalam projek dan program yang dilakukan oleh Villains mereka ingin mewakili tangan-tangan gelombang yang mempengaruhi generasi muda dengan visi yang unik dan idea-idea yang kritikal dalam penghasilan artistik.

Artis biasanya lebih senang bekerja secara individu dalam berkarya namun Villains banyak berkongsi pengalaman bagaimana mereka dapat bekerja secara kolektif walaupun masing-masing mempunyai kepakaran bidang yang beza dalam membina program atau menyertai pameran pameran sebagai kurator dan artis yang boleh bekerjasama dalam satu bumbung. Mereka cuba memecahkan dinding sempadan konvensional yang diciptakan oleh pengkarya individu dalam kreativiti kepada dalam satu entiti pasukan yang mempunyai misi yang sama menjana pengalaman, wacana, infoemasi dan inspirasi antara sesama mereka.

Pengarah kreatif majalah seni reka grafik iaitu ‘Kult’ yang juga seorang artis Steve Lawler menyampaikan cabaran-cabaran yang boleh hadapi dalaram penerbitan majalah grafik dan illustrasi dengan tajuk ‘Kult of Printed Word’. Steve lebih selesa mengelarkan beliau sebagai kurator majalah dan buku yang mempunyai latar belakang pendidikan Seni Reka Grafik dari Brighton University pernah beberapa syarikat penerbitan majalah dan periklanan seperti ‘Color Magazine’ dan bekerja secara eksklusif dengan produk jenama Diesel bersama tenaga kretif di Selatan Itali. Dari situ beliau beralih ke Asia dan banyak melakukan kerja-kerja pembinaan laman web dan kempen periklanan untuk jenama global di bawah bumbung OgilvyOne Singapore. Selepas mempelajari selok belok perdagangan iklan beliau menjadi perunding atau konsultasi projek sebagai pemikir kreatif, pengarah kreatif dan pereka.

Beliau kini merupakan pengarah kreatif Kult3D yang terlibat dengan projek di Asia samada idea yang bersifat komersial dan eksperimen. Beliau juga sering dijemput untuk membuat rekaan majalah, selain mengadakan wokshop dan banyak bereksperimentasi dengan media baru. Menurut beliau mengkuratorkan majalah atau buku tidak banyak perbezaan dengan idea daripada kerja-kerja mengkuratorkan pameran. Ia menuntut seorang kurator untuk melakukan penyelidikan dan lawatan ke galeri-galeri swasta mahupun ke kolej atau universiti untuk mencari bahan untuk dimuatkan kedalam keluaran majalah. Majalah ‘Kult’ menghimpunkan pelbagai rekaan ilustrasi dari pelbagai negara dengan membawa konsep ‘see a magazine like you’ve never ever seen before’ atau ‘melihat majalah yang anda tidak pernah sesekali melihatnya sebelum ini’.

Apa yang significant pengkuratoran majalah beliau ini ialah beliau seboleh mungkin untuk membawa kandungan isi majalah atau rekaan secara interaktif atau dekat dengan pembaca. Beliau cuba untuk menukar konsep pengguna estetik pergi ke galeri untuk melihat pameran dengan meletakkan objek estetik secara interaktif kepada bahan yang selalu digunakan oleh pengguna sasaran ditempat yang menjadi pilihan mereka untuk bersantai atau berihat seperti di pusat membeli belah, pusat permainan elektronik dan lain-lain .

Howard Chan dari adalah merupakan aktivis program budaya di Hong Kong. Program budaya yang direncanakan beliau menjambatani ilmu dalam bidang yang berbeza dan berpusatkan kepada masyarakat. Pada tahun 2002 beliau mengasaskan bersama dan pengerusi kepada Community Museum Project (CMP) , sebuah kolektif kuratorial dan penyelidikan yang cuba menolak konsep vernakular muzium atau muzium tanpa dinding ‘Museum without a wall’ yang cuba menyelesaikan masalah budaya setempat dalam kehidupan harian masyarakat.

Antara projek komuniti yang dikuratorkan secara kolektif oleh beliau adalah ‘Object of Demonstration’ 2002 dan 2004, ‘(This is Not) Fake Museum’ 2003, siri ‘Street as Museum’ 2005, dan ‘Design by Users’ 2005. Dengan membawa konsep muzium komuniti iaitu budaya dan praktis dalam kehidupan seharian atau ‘culture dan practice of everyday life’ pembentangannya banyak menerangkan proses disebalik CMP, dan tindak balas yang beliau perolehi daripada pengkuratorannya itu. Dapatannya daripada penyelidikannya itu melibatkan penglibatan dan tindakbalas segera daripada komuniti bagaimana museum itu dilihat sebagai alat bahasa.

Program seterusnya adalah merupakan simposium di pengerusikan oleh Zaki Razak bertajuk ‘Like a Bridge Over Troubled Ideas- A Symposium’ atau ‘Simposium – Idea yang Bermasalah seperti di Jambatan’ menariknya persidangan meja bulat ini diadakan betul-betul diatas jambatan aras 4 LaSalle College of Art menjemput panel dalam pelbagai bidang terutmanya daripada tenaga pengjar LaSalle dan ‘Fellow HAO’ iaitu peserta sendiri. Dalam simposium panel meja bulat yang terdiri daripada pengiat seni muda, pensyarah seni dan pengiat teater banyak membicarakan isu-isu semasa seni kontemporari di rantau ini terutamanya di Singapura.

Zaki Razak selaku peneraju simposium memulakan dengan meminta pendapat panel bagaimana apa yang dikatakan renasian dalam seni kontemporai Singapura dengan adanya acara-acara besar seperti Singapore Biennale dan ekpo seni seperti Art Singapore ia membuka mata peminat seni untuk datang kesini dengan jumlah pengunjung yang tidak pernah difikikirkan sebelum ini, malah ia bukan sahaja memberi kesannya terhadap Singapura sahaja malah negara-negara Asia Tenggara yang berhampiran turut merasai angin perubahan pasaran seni ini. Sungguhpun begitu terdapat isu-isu lama yang masih belum selesai dari sudut ketidakbebasan ekspresi artistik daripada kerajaan mereka sendiri dimana menyekat penghasilan karya yang mengkritik pemerintah yang dibangkitkan oleh panel terutamanya pengiat muda. Selain itu isu yang menjadi popular dimana-mana perjumpaan seni ada dari aspek dana, geran dan bantuan kewangan dalam penghasilan artistik.

Audrey Wong yang merupakan ketua program sarjana pengurusan seni dan budaya, pentadbir dan pengasas bersama HAO. Beliau banyak mengkurator dan menganjurkan festival, pameran, produksi teater dan program pertukaran artis antara negara. Dalam tajuk ‘‘The Myth of The Struggling Artist’ atau ‘Mitos Pergelutan Artis’ beliau menyentuh persoalan kepada peserta adakah pada masa kini artis untuk artis ? atau artis membantu artis yang lain. Pada pandangan masa dahulu kagiatan artistik adalah adalah atas dasar keseronokan berbeza pengiat pada hari ini yang mempertaruhkan ringgit dan sen untuk mereka terus hidup bagi membayar sewa dan bil bulanan. Jadi ia menuntut sikap mereka lebih profesional berbanding lima puluh tahun sebelum.

Mereka dahulunya juga tidak membuat duit dalam kegiatan seni. Jadi disini terdapat konflik minat samada mencari jalan selamat untuk bekerja agar setiap bulan mendapat habuan yang tetap atau terus berada dalam arus perdana kesenian dan terus mendapat perhatian. Bantuan dana dan geran daripada keprihatinan kerajaan sedikit sebanyak memberi sinar baru pada artis pada hari ini yang bergelut dengan masalah kewangan bagi membina pengkaryaan mereka. Realistiknya yang perlu diketahui oleh artis pada hari ini adalah walaupun audien dalam bidang mereka tidak besar mereka juga boleh hidup seperti manusia yang lain, terima kasih pada dunia komersial dalam penghasilan seni pada hari ini kerana selagi ada peminatdan permintaan (kolektor) yang menanggapnya sebagai objek komoditi selain estetik selagi itulah penawaran (produk seni) dari artis itu akan dihasilkan dan menjamin survival seorang artis.

Marco Kusumawijaya dari Indonesia merupakan seorang urbanis dan arkitek merupakan juga pengasas Rujak Center for Urban Studies atau Rujak yang memokuskan pengkajian dan praktis terhadap idea pembandaran yang mampan. Rujak yang bermaksud Ruang Jakarta untuk membina Jakarta sebagai bandaraya yang mampan untuk diduduki . Rujak juga mempunyai blog dimana ia memberi ruang warganya menyalurkan idea, tindakan, soal jawab, tahu bagaimana, cabaran dan cadangan-cadangan yang boleh dikongsi bagaimana mentransformasikan bandaraya ini dengan sebaiknya.Dalam tajuk ‘The Pragmatic Art’ beliau banyak menyentuh bagaimana membebaskan ruang publik dengan membawa seni kepada ruang publik dengan penglibatan audien itu sebagai objek tumpuan.

Marco menjelaskan bandar-bandar besar yang menjadi tumpuan penduduk kurang dengan dengan ruang-ruang spontan yang boleh membina kreativiti komunitinya. Ruang-ruang urban ini perlu kepada kesenian yang berbentuk protes, provokasi, berfikir dan menyoal kembali. Menurutnya tugas artis adalah membebaskan ruang ini bukan sahaja untuk ekspresi semata-mata malah menawarkan ruang bermeditasi seperti yang dilakukan di kebanyakan negara-negara Eropah dengan meletakkan ruang awam dengan sesuatu yang ingin dilihat oleh dan dekat dengan komuniti setempat yang sudah tentu perancangan yang tidak rapi pasti akan merosakkanya dari situ polisi menjadi satu yang amat penting. Perancangan tidak seharusnya merosakkan ekologi dan apa yang merisaukan beliau adalah jika masyarakat tidak dapat merasikannya lagi.

Program di sambung dengan tajuk ‘History of Contemporary Art In Singapore Version 6’ oleh Khairuddin Hori iaitu kurator di Singapore Art Museum yang juga merupakan seorang artis. Peserta didedahkan dengan retrospektif perkembangan seni kontemporari Singapura dengan pemain-pemain utamanya dari tahun tujuh puluhan sehingga ke hari ini, kontroversi dan kejutan-kejutan yang melingkarinya, bermula displin yang pelbagai atau dalam seni, interaksi serantau seperti ekspo seni dan beinnail, kelahiran artis sebagai kurator sebagai mengisi kelompongan apresiasi, penerbitan seni, sokongan kerajaan dari segi dana dan geran, pendidikan seni, galeri komersil dan perubahan pucuk pimpinan dalam institusi seni dan pembuat polisi.

Khairuddin juga menerangkan perancangan sehingga jangka panjang institusi seninya itu dengan sebuah bangunan baru National Art Gallery Singapore akan siap dimana pada tahun 2012 dimana ia akan menyimpan koleksi seni lukis moden secara berasingan manakala mereka merancang untuk menjadikan Singapore Art Museum SAM sebagai pusat rujukan utama di rantau ini yang akan memberi fokus kepada seni lukis kontemporari Asia Tenggara. Satu sayap baru dengan pengambilan sebuah bangunan lama bersebelahan dengan SAM iatu 8Q dijadikan ruang pameran seni kontemporari antarabangsa yang datang dari luar negara yang dirangka untuk merancakkan lagi program mereka disamping bagi menarik kedatangan pengunjung luar berkunjung ke Singapura.

Kedatangan rumah lelongan seni antarabangsa seperti Christies dan Sothebys di Malaysia dan Singapura sedikit masa dahulu yang kini merajuk ke Hong Kong kerana pasaran yang lebih besar oleh kebangkitan ekonomi Asia Timur kini perlu memikirkan kembali untuk hadir bermain semula di rantau ini. Rumah lelongan domestik seperti Masterpieces, Larasati dan Borobodur di Indonesia dan baru-baru ini Henry Butcher di Malaysia yang mencatatkan jualan RM 1.7 juta hasil daripada lelongan sulungnya menunjukkan cabaran-cabaran sentiasa menunggu kepada pengiat seni bagi menghadapi potensi pasaran yang kian menarik di rantau Asia Tenggara

Esei ini oleh juga dirujuk di sini:


http://arteri.search-art.asia/2010/12/20/persidangan-seni-hao/

Jaringan:

Asia Europe Foundation (ASEF): https://culture360.asef.org/news-events/hao-summit-2012/

The Substation – http://www.substation.org

The Substation Associate Artist - http://www.substation.org/associate_artists

Villains Creative Agency – http://www.v-lla-ns.com

Diacritic.org – http://www.diacritic.org

Kult Magazine – http://kult.com.sg

Community Museum Project (CMP) – http://www.hkcmp.org

Rujak Center for Urban Studies – http://rujak.org


Selasa, 2 November 2010

Robert Rauschenberg: Yang Teragung

Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2010), ‘Robert Rauschenberg: Yang Teragung’ SeniKini, Issue # 09, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Penulisan ini telah disiarkan di dalam Majalah Senikini, # 9, Jan 2011 terbitan Balai Seni Lukis Negara







-->
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sungguhpun begitu bagi Robert Rauschenberg (1925-2008) kelahiran Texas, yang telah meninggal 2 tahun lalu beliau bukan sahaja meninggalkan nama malah karyanya juga dalam koleksi Balai Seni Lukis Negara. Karya beliau yang bertajuk “Yang Teragung” atau Malaysian King(Gambar 1) ini yang dihasilkan pada 1990 menggunakan akrilik dan cetakan sutera saring merupakan sebuah karya besar oleh pelukis yang paling bertenaga dalam seni lukis moden yang boleh dikatakan sebagai hero dalam seni lukis Amerika yang berstatus bintang selebriti.
Rauschenberg di awal kariernya merupakan artis yang memperkenalkan teknik Combine Painting iaitu teknik cantuman antara catan dengan objek jumpaandimana beliau telah membuka laluan baru bagi ekspresi artistik. Dalam karya kolaj berunsurkan Seni Pop atau seni popular pula selepas itu beliau menggunkan kemahiran teknik ini dalam menghantar mesej isu politik dan sosial. Beliau pernah berkata “Peranan artis adalah menjadi saksi terhadap sejarah masa" [1]. Sepanjang hidup beliau beliau banyak menghasilkan karya-karya komentar terhadap peperangan, persamaan hak, perlucutan senjata nuklear, dasar aparted, pembangunan ekonomi, hak artis dan isu alam sekitar yang menurutnya tema-tema yang patut artis pada hari ini tekankan.
Oleh itu pada tahun 1983 beliau telah mengumumkan secara rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB satu projek ini yang dibiayainya sendiri dalam misi mempromosikan keamanan sejagat menerusi pertukaran budaya dimana beliau melawat dan bekerja di negara lawatannya itu dengan menggunakan material dan kemahiran pada setiap negara tersebut untuk menghasilkan karya.


Gambar 1
Robert Rauschenberg
Yang Teragung / Malaysian King
ROCI / MALAYSIA 1990
Akrilik dan fabrik atas kayu atas besi galvani
244 cm x 488 cm
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (1990-027)

Program ‘Pertukaran Antara Budaya Rauschenberg’ yang dikenali sebagai ROCI (Rauschenberg Overseas Cultural Interchange) ROCI merupakan pemeran yang dihasilkan oleh Rauschenberg bagi menyelami budaya setiap 
negara hos disamping menganjur dan mempromosikan keamanan dunia dan kesedaran budaya yang dipromosikan olehnya.
Projek pameran bergerak ini bermula pada tahun 1985 dan mengambil masa selama enam tahun membawa beliau ke beberapa buah negara di benua Asia, Eropah Timur dan Amerika Selatan antaranya Mexico, Chile, Venezuela, China, Jepun, Cuba, bekas Soviet Union, bekas Jerman Timur (Berlin Timur) dan juga termasuklah Malaysia.
Johan Jaafar pernah mengambarkan dalam penulisan ruangan beliau dalam sebuah akhbar mingguan bahawa semasa penghantaran kargo karya beliau yang ditaja oleh Sistem Penerbangan Malaysia atau MAS dengan lori kontena daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Subang masa itu untuk di pamerkan di Balai Seni Lukis Negara lama (Hotel Majestic) di Jalan Sultan Hishamuddin iaitu berhampiran dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur KTM berlaku kesesakan yang amat luar biasa kerana kawalan ketat yang diberikan oleh pasukan polis bukan sahaja dari aspek kawalan lalulintas jalan raya malah helikopter di udara juga terpaksa digunakan sebagai langkah keselamatan, begitulah fenomena impak kehadiran karya-karya Rauschenberg di Kuala Lumpur.


-->
Dalam penjelajahan di Malaysia Rauschenberg mengambil gambar dan dibantu oleh pembantunya untuk mengambil gambar video merakamkam apa yang ditemui dan pengalaman beliau pada setiap lokasi pameran. Sebagai pameran bergerak yang memakan masa selama 6 tahun, disamping Rauschenberg menghasilkan karya pada setiap negara hos dalam pamerannya itu, beliau juga menghadiahkan setiap negara yang dilawati dan dengan menerbitan katalog pameran (Gambar 2) itu melibatkan sumbangan penyajak, penulis dan jurnalis tempatan.

-->
Karya ‘Yang Teragung’ merupakan salah satu karya yang telah dihadiahkan oleh yayasan beliau iaitu Robert Rauschenberg Foundation untuk dijadikan koleksi Balai Seni Lukis Negara Malaysia daripada pameran Rauschenebrg Overseas Culture Interchange atau ROCI yang diadakan di National Gallery of Art, Washington D.C. pada 12 May hingga 2 September 1991 dimana ia mempamerkan 60 buah catan, 21 arca, 60 fotografi, 30 grafik dan 15 video pinjaman sebahagian daripada penjelajahan antarabangsanya itu.
Sungguhpun begitu terdapat 4 lagi buah karya selain karya ‘Yang Teragung’ yang beliau hasilkan sepanjang lawatannya kesini semasa program ROCI Malaysia pada tahun 1990 antara nya yang bertajuk ‘Bunga Manggis’ (Mangosteen Flower) (Gambar 4), Tuak Hudok-Iban (Rice Wine Dog) (Gambar 5), Home Run(Gambar 6) dan Malaysian Flower Cave(Gambar 7) merupakan koleksi National Gallery of Art, Washington D.C. [2] yang boleh saya katakan ‘kembar’ kepada karya ‘Yang Teragung’ atau Malaysian King. Ketiga-tiga karya awal tadi tidak diketahui samaada masih berada di dalam yayasan beliau atau ketangan kolektor persendirian.



-->
Dalam karya yang ‘Yang Teragung’ Rauschenberg memperlihatkan sifat kepelbagaian yang ada di Malaysia dari segi politik, ekonomi dan sosio budaya dari segi bahasa serta kepercayaan.Rauschenberg menggunakan elemen popular politik seperti bendera Malaysia dan negeri-negeri yang terdapat didalamnya untuk memperlihatkan bahawa Malaysia merupakan negara yang berdaulat yang diperintah oleh Yang di Pertuan Agung dan kumpulan sistem kerajaan sembilan negeri-negeri berajadisamping Menteri Besar dan Ketua Menteri masing masing.Perletakan bendera negeri-negeri di Malaysia boleh juga dilihat sebagai perjalanan dan pengembaraan beliau di negeri-negeri tersebut dan gambaran-gambaran popular yang beliau perolehi semasa berada di lokasi itu contohnya pengangkutan awam popular di Pulau Pinang pada waktu ini iaitu beca, perkampungan nelayan berlatarbelakangkan pokok kelapa di Kelantan, imej aktiviti pemunggahan barang di pelabuhan mungkinPelabuhan Kelang, Selango danpelantar minyak di Sarawak,

Dalam pameran 45@ 45 iaitu sebuah pameran sempena ulangtahun ke 45 tahun penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang mempamerkan 45 karya yang signifikant dalam koleksinya termasuklah karya ‘Yang Teragung’ yang dipilih oleh 45 orang profesional yang mempunyai pelbagai latarbelakang dikuratorkan oleh Zanita Anuar pada 2003 di Balai Seni Lukis Negara, Ng Sek San arkitek senibina lanskap mengatakan “pengkaryaan beliau begitu intim sekali menggunakan bahantara harian dan objek jumpaan. Karya beliau memperlihatkan beliau sebagai pecinta kedamaian yang melangkau sempadan dan lebih relevan sebagai artis pada hari ini yang hidup dalam order baru dunia yang penuh kacau bilau”[3]. Buah-buah ikon di Malaysia seperti durian, rambutan dan mangga juga menjadi subjek yang menarik bagi Rauschenberg dalam karyanya ini. Durian sebagai raja segala buah dianggap sebagai trademarkbuah-buahan dalam menggambarkan negara ini.Tanah perkuburan Islam dan imej senibina kuil jelas menunjukkan bahawa walaupun agama rasmi di sini adalah Islam namun agama-agama lain bebas untuk mengamalkan kerpercayaan mereka.

Dalam karya ‘Yang Teragung’ dan Malaysian Flower Cave Rauschenberg telah memperkenalkan satu lagi lapangan baru dalam seni pop iaitu apa yang dikatakan Pop Art Fabric atau SeniPop Fabrik dari segi bahan-bahan yang digunakan dalam karya ini iaitu akrilik dan fabrik atas besi galvani dilihat daripada gabungan daripada gerakan ekspressionis abstrak dan seni pop yang mungkin pengaruh karya Flag (1954-1955) daripada rakannya Jasper John. Terdapat banyak persamaan atau perkongsian imej yang boleh dibuat perbandingan antara kedua-dua karya ini.

-->
Perkongsian imejan semasa kembara beliau dinegara ini dalam kedua-duanya catan boleh dilihat dalam imej beca Pulau Pinang (Gambar 1a) dan perkampungan nelayan (Gambar 1b). Didalam ‘Yang Teragung’ imej beca hitam putih ia boleh dilihat di bahagian kiri sebelah atas dan perkampungan nelayan juga secara hitam putih yang mempunyai sapuan berus yang kasar berwarna merah bersebelah bendera Kelantan yang juga berwarna merah di sebelah bahagian kanan sebelah bawah. Pengulangan imejan ini boleh juga diperhatikan dalam Malaysian Flower Cavedibahagian atas sebelah kanan dengan bidanganwarna akrilik bewarna jingga (Gambar 7a)


-->
Dibeberapa bahagian yang lain seperti imej pelantar minyak dan kuil dalam ‘Yang Teragung’ boleh diperhatikan dibahagian kiri sekali dimana ia dilihat seperti pencawang elektrik dimana pelantar berwarna merah terdapat imej pokok mungkin pokok getah berwarna putih terdapat bendera negeri Sarawak (Gambar 1c) iaitu sebuah negeri di Malaysia Timur yang kaya dengan sumber asli terutamanya minyak. Kuil yang berwarna merah terdapat dibahagian kanan dalam ‘Yang Teragung’ (Gambar 1d) . Manakala dalam Malaysian Flower Cave kedudukan perletakan imej ini sebelah menyebelah, dimana bukan itu sahaja malah perletakan imej itik seperti motif ‘itik pulang petang’ dalam ukiran Melayu tradisional yang berwarna putih dan pokok getah kuning kejinggan juga boleh dilihat dalam petakan rician ini (Gambar 7b).


-->
Satu lagi penemuan yang menarik untuk dikongsi antara kedua-karya ini yang mempunyai kaitan dengan karya terkenal beliau iaitu ‘Canyon’ 1959 (Gambar 8) iaitu sebuah karya catan kombinasi beliau yang sangat dikenali ramai dalam sejarah seni yang membabitkan nama beliau . Dalam karya media campuran ini Rauschenberg melakukan inovasi baru dalam teknik kolaj yang bermain dengan ilusi optik objek 2 dimensi dan 3 dimensi. Selain membahagi karya ini dengan petakan, grid secara vertikal dan horizontal dengan objek-objek jumpaan apa yang menariknya dalam karya ini adalah gantungan bantal yang terjurai dibahagian bawah sebelah burung helang mempunyai kesinambunganyang begitu mempengaruhi karya seterusnya oleh beliau dari segi pengguanan imej juntaian tali yang boleh disaksikan dalam karya ‘Yang Teragung’ (Gambar 1e) dan Malaysian Flower Cave (Gambar 7c). Dalam ‘Yang Teragung’ penggunaan gantungan taliini dapat disaksikan dalam proses pemunggahan barang dagangan yang mungkin menggunakan tali kren di pelabuhan manakala dalam Malaysian Flower Cave ia dilihat seperti longgokan buah kelapa muda yang diikat pada jaring.

Kita mungkin biasa melihat provokasi dalam demostrasi di media massa terutamanya di kaca televisyen bagaimana peserta yang berdemostrasi membakar atau memijak-mijak bendera negara tertentu bagi menimbulkan sentimen yang mungkin boleh menimbulkan kekacauan dan ketidaktentuan. Penggunaan bendera begitu dominan dalam karya “Yang Teragung” penggunaan bendera dilihat merupakan lambang ‘yang terakhir’ tiada lagi imej yang setaraf dengannya digunakan bagi artis dalam menyampaikan maksud. Ia juga boleh dilihat satu simbol ‘yang tertinggi’ atau ikonografi ‘yang teragung’ dalam sesebuah negara.

Balai Seni Lukis Negara mungkin boleh memikirkan bagaimana hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur ‘Malaysian King’ boleh kongsi dengan Washington ‘Malaysia Flower Cave’dengan menerusi karya catan ini di masa akan datang agar kita dapat melihat kedua-dua karya ini dapat diperlihatkan semula dalam satu bumbung bagi mengeratkan lagi hubungan luar antara kedua-dua negara bukan dalam konteks politik tetapi seni.





-->
[1]Mark Vallen “Robert Rauschenberg 1925-2008“ dalam -http://art-for-a-change.com/blog/2008/05/rober-rauschenberg-1925-2008.html
[2]Koleksi Natinonal Art Gallery, Washington DC - http://www.nga.gov/fcgi-bin/tinfo_f?object=72836
[3] Katalog pameran 45@ 45, Balai Seni Lukis Negara Malaysia, Kuala Lumpur, 2004, ms 114-115