Selasa, 12 September 2023

Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022

 Nota Kurator

 

Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022

Oleh: Faizal Sidik

 

 

 

Pameran ‘Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022’ tercetus daripada hasrat untuk menghimpunkan karya-karya awal dan mutakhir sureal pelukis ini di ruang pameran di Kuala Lumpur. Pameran ini menghimpunkan lebih 50 karya catan, lukisan dan lakaran sepanjang 40 tahun pengkaryaan.

 

Pameran ini merupakan pameran solo yang kedua yang dikuratorkan oleh kurator selepas pameran ‘Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014’ yang diadakan di Galeri Pantai Timur. Pameran ‘Alam Mimpi’ adalah karya-karya surealis terbaru yang dihasilkan daripada tahun 2015 hingga 2022. Dalam tempoh 8 tahun itu be;iau telah menghasilkan lebih 10 catan surealis dan berpuluh-puluh lakaran.

 

Kurator membahagikan pameran ini kepada 3 ruang. Ruang tengah atau ruang utama mempamerkan 5 buah karya. Ruang kedua disebelah kiri mempameran 11 buah karya dalam pelbaga saiz. Ruang ketiga atau disebelah kiri menghimpunkan 16 catan, 9 lukisan  dan 15  lakaran

 

Ruang 1

Pertama adalah karya fokus dalam pameran ini iaitu ‘Hujan Keris’ (2019) beserta dengan lakaran disampingnya. Karya ini menjadi karya utama bagi publisiti pameran seperti poster, teks dinding, katalog, gegantung, kad jemputan, forum dan promosi di media sosial. Karya lukisan ‘Lakaran Hujan Keris’ pula merupakan sebuah karya kajian kepada karya sebenar catan “Hujan Keris”. ‘Lakaran Hujan Keris’ merupakan karya di atas kertas dihasilkan pada tahun yang sama karya sebenar dihasilkan.

 

Berhadapan dengan karya ‘Hujan Keris’ dipasangkan dengan karya ‘Simfoni Derita’ (2018) adalah sebuah karya kesinambungan daripada sebuah karya yang mempunyai pengolahan yang sama yang bertajuk ‘Apabila Tuhan Murka’ (2011). Karya tersebut dimiliki oleh kolektor tempatan. ‘Simfoni Derita’ memperlihatkan pengkaryaan Shaimy yang akrab dengan persekitaran alam Pantai Timur seperti pantai, teluk, tanjung dalam menceritakan alam tersebut yang kini dilanda kemusnahan manusia. Dibelakang kedua karya di ruang utama terdapat tiga buah karya bertemakan gerbang, kurator meletakkan karya berkenaan di situ sesuai dengan ruang laluan seolah-olah sebuah binaan laluan.

 

Ruang 2

Di ruang kedua iaitu sebelah kiri Galeri Matic disusun karya ‘Simfoni Topeng Menangis’ (2019) adalah sebuah karya paling besar yang pernah dihasilkan oleh pelukis. Karya ini adalah sebuah karya ‘diptych’ iaitu dua panel kanvas yang digabungkan menjadi satu. .

Mengikut maksud Bahasa Melayu ‘simfoni adalah sejenis gubahan muzik yang panjang untuk dimainkan oleh orkestra dan  kumpulan pancaragam yang berpemimpin, mempunyai peralatan lengkap dengan  bilangan ahli muzik yang ramai. Manakala ‘topeng ialah sesuatu yang dipakai untuk menutup muka yang berupa muka orang atau binatang dan lain-lain (dibuat daripada kertas, kulit, dan lain-lain) supaya dapat melindungi wajah sebenar.

Karya  Simponi Topeng Menangis dilukis pada 2019 sewaktu keadaan politik negara buat kali pertama tumbang pada PRU ke-14 pada 2018.  Sepanjang pemerintahan yang baru timbul bermacam perkara yang membawa keadaan sangat tegang. Rakyat ada yang tidak dapat menerima manakala pimpinan baru memungkiri janji.

Perpecahan belaku yang berakhir dengan kerajaan baru pula  digulingkan. Akhirnya segala yang tersembunyi terdedah walaupun belum tentu kebenarannya. Api dinyalakan  oleh pihak yang mengaku mereka lebih baik telah membakar semangat rakyat jelata. Di jiwa mereka menyala kebencian  marah dan dendam. Pihak yang kalah terutama pemimpin, dihujani dengan berbagai tuduhan dan  dikenakan berbagai  tribulasi.  

Karya ‘Perjuangan Belum Selesai 2’ (2021) adalah kesinambungan daripada karya yang pertama. Pelukis kembali bermain dengan imej catur sebagai lambang permainan atau strategi. Karya ini dihasilkan semasa peristiwa penyebaran wabak Covid-19. Terdapat kain langsir di sebelah kiri karya Karya ini seolah-olah sebuah menyingkap tirai peristiwa itu kepada negara pada tahun 2021.

 

Karya ‘Ke Titian Darah Terakhir’ (2021) adalah sebuah karya komentar isu anatarabangsa oleh pelukis. Pelukis amat prihatin dengan isu penjajahan negara Palestin oleh rejim Zionis. Terdapat imej Masjid Baitulmuqadis dan bendera Palestin. Karya ini adalah soladariti pelukis terhadap sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka seperti Malaysia.

 

Ruang 3

Pada ruang sebelah kanan atau ruang ketiga terdapat karya antaranya karya ‘Kerusi Di Awan’ (2018) adalah karya menggunakan simbolisme kerusi sebagai lambang kepada perebutan kuasa dan takhta. Manakala topeng pula ada lambang kepada watak yang bermuka-muka. Karya ‘Singa Tua Menghalang Jalan’ (2017) pula  adalah sebuah karya mendokumentasikan tentang isu 1MDB  yang mengemparkan bukan sahaja negara tetapi masyarakat antarabangsa.

 

Karya ‘Tsunami Covid-19’ (2020) adalah dokumentasi pelukis terhadap wabak virus Korona yang melanda Malaysia. Pelukis merakam suasana ini melalui sebuah catan landskap laut. Di bahagian atas kelihatan ombak besar iaitu metafora wabak tersebut yang sedang menghempas bangunan pencakar langit seperti KLCC dan rumah ibadat seperti masjid. Di bahagian bawah pula adalah tebing laut dengan kelihatan rumah api dan jambatan seperti sulur tumbuhan yang tiangnya diperbuat daripada hulu keris.

 

Pelukis melambangkan wabak korona merebak melalui secara berantai-rantai  iaitu dari suatu tempat ke tempat yang lain tanpa sempadan. Banyak kematian yang telah direkodkan, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 36 ribu rakyat Malaysia menjadi korban seterusnya menjadi sejarah hitam negara.

 

 

 

 

Covid-19

Selain karya ‘Perjuangan Belum Selesai 2’ (2021) dan ‘Tsunami Covid-19’ (2020) sebuah lagi karya tema sedemikian yang tidak dipamerkan namun dibincangkan di sini ialah karya ‘Korona Meruntuh Kesombongan’ (2020). Tahun dimana dunia diserang virus Covid dan Malaysia tak terkecuali. Semua negara menjadi panik. Banyak kematian berlaku termasuk negara besar seperti China, Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan keseluruhan negara.  Kesannya menyebabkan ekonomi negara turut tergugat, industri lemah, ramai kehilangan pekerjaan dan hubungan fizikal  tersekat malah dikawal.

 

Manusia dinasihatkan elak bersentuh dan penguatkuasaan memakai topeng bagi menutup hidung dan mulut. Virus Covid sukar dihalang dan berbagai vaksin dicipta. Ini mengajar kita kekuasaan Tuhan bila murka sukar dihalang dan ini meruntuhkan  kesombongan negara- besar - besar yang sering berlagak hebat. Virus korona umpama gergasi penghapus yang membunuh secara senyap manusia. Menurut angka rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat lebih 6.65 juta kematian disebabkan oleh wabak ini.

 

 

Shaimy Hashim adalah seorang pelukis surealisme yang telah berkarya sejak 40 tahun lalu. Sehingga kini Balai Seni Negara  mempunyai 5 buah karya yang dihasilkan dari tahun 1981 hingga 2014 antaranya ‘Sarapan Pagi’ (1981), ‘Gerbang Di Tebing Juram’

(1989), ‘Tsunami 1’ (2004), ‘Keranda 152’ (2007) dan ‘Lama Telah Tiada’ (2010). Karya-karya tersebut adalah pembelian semasa pameran solo ke-2  pada tahun 2014.

Pameran ‘Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022’ adalah pengkaryaan surealis terkini yang dihasilkan sempena pameran solo ke-6 yang berlangsung di Galeri Seni Matic daripada 1 Julai hingga 16 September 2023.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan