Oleh : Faizal Sidik
(Esei ini merupakan penulisan daripada katalog pameran 'Salut 55' yang diadakan di Galeri 3A dan 3B di Balai Seni Lukis Negara pada 25 Mac-2 Jun 2014.)
Pertemuan diantara pelukis dan penulis di dewan
Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada awal 1970, Antara
yang kelihatan dalam gambar (dari kiri ke kanan) ialah: Maarof Saad, Jaafar
H.S., Usman Awang, Kemala, Suleiman Esa, Kamarul Ariffin, Redza Piyadasa,
Sharifah Fatimah Syed Zubir, Ahmad Khalid Yusof, Tang Teong Eng dan Grace
Selvanayagam.
“Berjuta-juta seniman mencipta, hanya beberapa beribu yang dibincangkan atau
diterima oleh penonton dan ia semakin kurang dan kurang oleh generasi akan
datang”
Marcel Duchamp.
Apabila membicarakan seniman di sini
masyarakat kita seringkali terkeliru sama ada beliau adalah seorang pelukis,
penari, pemuzik, pelakon, penyanyi, pengarah dan lain-lain karier seni yang
menuntut keseniman seseorang. Sehinggakan di sini persatuan seniman itu hanya
dianggotai oleh mereka yang terlibat dalam bidang hiburan sahaja. Kecelaruan
ini ditambah pula dengan sikap yang memandang artis itu hanya untuk penyanyi
dan pelakon. Oleh kerana itulah sebabnya mengapa persatuan tersebut hanya
dianggotai oleh dua genre itu. Namun tidak yang lain kerana kelemahan dalam
memahami permaknaan dalam sudut yang lebih luas.
Saya tertarik membicarakan perihal ini
kerana termanilogi itu sendiri sudah memberi banyak pertanyaan untuk ditanya. Seni
atau Art dalam bahasa Inggeris adalah
benda yang halus, saya masih ingat dizaman persekolahan dahulu di dalam makmal
sains apabila kita mahu menoropong unsur-unsur yang halus kita memerlukan
mikroskop kerana unsur-unsur ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Dalam
makna yang lain terdapat perkara yang tersembunyi, disembunyikan atau
menyembunyikan kehadirannya. Saya fikir perkara ini adalah lorongan-lorongan
atau jalan-jalan dalam untuk memahami seni halus atau nama lain yang sinonim
untuk memperlihatkan sesuatu pengkajian iaitu fine arts .
Namun perihal demikian mempunyai
perbincangan yang lain yang lebih spesifik untuk diberi pencerahan. Kita
membuat permaknaan ‘man’ dalam bahasa
Inggeris kepada ‘orang’ dalam bahasa Melayu. Maka mengapa ‘seniman’
tidak sahaja disebut ‘orang seni’ dan perlu meminjam daripada bahasa Inggeris
yang mungkin juga meminjam daripada bahasa Latin. Murah sangatkah untuk
memanggil orang seni? Tinggi sangatkah pencapaian seseorang itu untuk
menamakannya seorang seniman?
Saya fikir kecelaruan ini ada asasnya
dalam memahami pergerakan seni tempatan yang ingin membuktikan kita juga
mengikuti dalam perkembangan seni antarabangsa. Dalam kajian tempatan ada
beberapa contoh yang boleh saya berikan di sini, dalam untuk menyakinkan
penggunaan keseniman seseorang. Filem-filem Jalan Ampas di Singapura yang telah
dulu menggunakan nama tajuk filem mereka antaranya ‘Seniman Bujang Lapok’
(1962) selain ‘Kembara Seniman Jalanan’ (1986). Jika ditelusuri tema-tema filem
ini mengabungkan nyanyian dan lakonan atau pelakon yang menyanyi. Adakah
berdasarkan pertanyaan saya diawal tadi mereka memberikan nama persatuan mereka
sedemikian rupa dan melupakan yang lebih seni seperti seni lukis, seni tari,
seni teater jika ingin mengangkat intisari kesenian daripada hiburan popular
semata-mata.
Kadang-kala apabila badan bahasa membuat
percaturan penggunaan kata-kata ianya agak membingungkan juga. Adakah seniman
juga adalah manusia adi wira dalam rancangan-rancangan animasi yang popular
ditahun 1980-an dahulu seperti Spiderman, Ultraman, Superman, Batman dan kini
ada yang telah direalisasikan dalam bentuk filem sains fiksyen yang
latarbelakang ceritanya mengisahkan manusia biasa yang bertukar menjadi wirawan
dalam menyelamatkan dunia. Saya amat bersyukur jika seniman-seniman kita dengan
bakat kesenimannya yang mereka ada boleh menyelamatkan umat manusia agar
menjadi manusia yang lebih baik dari semalam.
I
Meminjam kata Picasso “Every children is
a artist” atau setiap setiap kanak-kanak itu merupakan seniman. Melihat apa
yang surahkan beliau ini adalah di dalam diri kanak-kanak itu telah ada
ciri-ciri seorang seniman. Jika anda perhatikan di zaman kanak-kanak bakat
individu itu boleh diperhatikan, mereka
sangat haus dalam meneroka bermacam-macam perkara. Jika anda memberikan
peralatan melukis anda boleh melihat proses kreatif menerusi lakaran-lakaran
yang mereka lakukan ianya adalah tulen kerana mereka belum lagi dipengaruhi
dengan aturan-aturan seni yang akademik sifatnya.
Jika dibandingkan cara didikan ibu bapa
orang Barat mengapa mereka menghantar anak-anak mereka sejak kecil lagi untuk
mendalami bidang seni umpamanya seni lukis, muzik, teater dan tarian kerana seni
ini melatih anak mereka agar berfikiran kreatif dan terpulang kepada anak-anak
itu dalam mengembangkan daya kreativiti mereka sama ada untuk meneruskan
amalan-amalan kreativiti di dalam bidang itu apabila sampai di peringkat remaja
atau dewasa atau ingin menceburi bidang-bidang lain seperti seni bina, kejuruteraan,
teknologi yang sudah tentu memerlukan
daya kreativiti dan inovasi dalam menyelesaikan masalah.
Namun bezanya dengan sesetengah ibu bapa
disebelah sini adalah mereka menganggap memberi pengalaman kepada anak-anak
mereka sejak kecil dalam menerokai bidang seni ini sejak kecil adalah dikira
membuang masa dan wang. Mereka lebih berselera agar anak-anak mereka mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan memilih bidang-bidang yang boleh
mendatangkan pendapatan yang lumayan seperti bidang kedoktoran, keusahawanan
dan sebagainya. Hasilnya kita di rantau sebelah sini bukan dikenali sebagai
bangsa-bangsa pencipta inovasi baru tetapi hanya pembeli dan pengikut
teknologi. Inilah antara sebab itu mengapa orang Barat sentiasa berada di puncak
kreativiti. Puncak kreativiti ini bukan sahaja berlaku dalam perlumbaan dalam
sains dan teknologi malah dalam bidang kesenian juga.
Semasa saya berada di pra-sekolah dimana
pada peringkat ini kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menjana
kreativiti mereka seperti melukis, menyanyi, berlakon dan bermain. Walaupun
saya tidak menyedarinya semasa melakukan aktiviti penerokaan aktiviti tersebut
kerana mungkin terlalu naif untuk memikirkan kesan psikologi pembelajaran yang
diperolehi pada masa itu namun jika anda membuat pembacaan tentang pemikiran
kanak-kanak mereka akan mengatakan bahawa dunia kanak-kanak adalah dunia yang
penuh dengan perasaan dan pengalaman ingin tahu. Ia samalah juga dengan anda
membaca buku, maklumat yang melekat diminda anda hasil daripada pembacaan bukan
untuk dipraktikkan dan dilakukan secara serta merta, tetapi memori itu dimunculkan
kembali secara tidak disengajakan kerana anda telah menyimpankannya di dalam
fikiran, dimana sel otak anda berfungsi sebagai arkib ilmu.
Pengalaman negara ini kreativiti,
penciptaan dan perekaan di latih sejak pra-sekolah, sekolah rendah sehinggalah
di peringakat awal menengah. Semasa pelajar kita berada di sekolah rendah
mereka didedahkan dengan pembelajaran seni ini dengan lebih sistematik oleh
guru yang mempunyai pengalaman contohnya subjek seni visual akan dilatih oleh
guru yang mempunyai diploma atau ijazah dalam jurusan pendidikan seni lukis dan
seni reka. Murid-murid ini akan diajar ilmu-ilmu asas berdasarkan buku teks
yang disusun dari segi teknik, kemahiran dan juga sejarah seni secara ringkas.
Manakala subjek kreatif yang lain seperti
kelas muzik murid akan dilatih menggunakan peralatan asas muzik dan
vokal suara. Kebanyakan guru-guru seni ini dilatih daripada
universiti-universiti kerajaan yang menawarkan bidang-bidang pendidikan seni
visual, muzik dan seni kreatif. Namun sebelum institusi ini wujud terdapat kolej
seni atau lebih khususnya Jabatan Seni di Maktab Ilmu Khas pada 1966 yang
terletak di Kuala Lumpur yang mengajar ilmu-ilmu ini. Pengajar-pengajar awal
dalam bidang seni lukis seperti Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Yeoh Jin Leng
dan lain-lain.
Penubuhan sekolah yang lebih spesifik
dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar mendalami bidang seni kreatif
adalah daripada resolusi-resolusi yang dilakukan semasa Konvensyen Pendidikan
Seni Visual, diantara matlamatnya adalah untuk menyarankan kepada kerajaan pembinaan
sekolah yang lebih tertumpu kepada melatih tunas-tunas baru di peringkat
menengah. Hasilnya dua sekolah seni ditubuhkan iaitu Sekolah Seni Johor Baharu
dan Sekolah Seni Kuching. Sekolah ini bertujuan untuk menyediakan laluan yang
lebih awal kepada potensi-potensi yang dikenalpasti di setiap daerah-daerah di
negara ini untuk dipilih bagi menyediakan mereka dengan latihan awal seni
kreatif sebelum mereka melanjutkan pengajian yang lebih tinggi lagi atau terus
memenuhi pasaran industri. Perkara ini ada baiknya, kerana apabila pelajar
sekolah rendah memasuki alam baru sekolah menengah mereka tidak lagi diajar
lagi aspek-aspek kesenian secara menyeluruh. Pendidikan seni visual hanya di
ajar sehingga penilaian menengah rendah sahaja itupun dalam bidang seni lukis
dan apabila meraka mengambil peperiksaan menengah atas ianya bergantung kepada
pilihan sendiri. Jadi sukar bagi mereka yang telah dikurniakan bakat sejak
kecil untuk mengembangkan potensi-potensi yang dimiliki dalam mengembangkannya terus kehadapan.
Tahukah anda bahawa sistem pembelajaran
yang anda lalui selama ini telah disarankan sejak 2000 tahun dahulu di Athens
oleh Plato, beliau menyarankan pembelajaran yang baik adalah sehingga seorang
itu berumur 22 tahun. Apabila anda memasuki peringkat yang lebih tinggi dalam
sistem pendidikan moden pada hari ini seperti di universiti pengkajiannya pula
lebih terperinci mengikut bidang pengetahuan. Sesetengah pusat ilmu meletakkan
kajian seni ini dibawah gugusan ilmu Kemanusiaan dimana terdapat
fakulti-fakulti yang bergabung dengannya. Fakulti-fakulti ini membentuk
jabatan-jabatan kecil seterusnya genre-genre seni tertentu didalam ilmu
memahaminya. Perkara ini yang biasanya di praktikkan di dalam dunia pengajian
seni peringkat tinggi pada hari ini. Persoalannya bolehkah seniman dan
kesenimanannya seorang seniman dilahirkan di pusat-pusat tertinggi keilmuannya
setelah mendapat pendidikan formal seni yang bertahun-tahun lamanya atau
seniman itu adalah mereka yang lahir dengan sendirinya yang bergelut
bersama-sama dengan nadi denyut rakyat di luar sana?
II
Semasa revolusi Indonesia banyak kumpulan-kumpulan
timbul menentang penjajahan Jepun disekitar Jakarta. Seniman-seniman Persatuan
Ahli-Ahli Gambar Indonesia atau PERSAGI yang dipimpin oleh Sudjujono seperti Affandi,
Hendra Gunawan, Otto Djaya, Sudarso,
Trisno Sumarjdo, Heng Ngantung dan lain-lain bukan lagi menentang manifesto
menentang lukisan Mooi Indie yang
telah tidak relevan lagi semasa revolusi ini. Sudjojono telah membuka langkah
baru dengan menubuhkan kumpulan pelukis Seniman Muda Indonesia. Pelukis
Djajenasmoro merupakan pelopor Pusat Tenaga Pelukis Indonesia, manakala Affandi
dan Hendra Gunawan pula dengan Pelukis Rakyat. Mereka semua mempunyai idea dan
objektif yang jelas dalam revolusi itu. Kebanyakan karya-karya yang dihasilkan
oleh mereka sama ada catan atau lakaran agak berlatarbelakangkan warna-warna
gelap dan agak kesuraman yang terbit daripada emosi yang dalam terhadap situasi
yang berlaku ketika itu. Karya
ini dihasilkan pada tahun-tahun akhir revolusi memperlihatkan kegagahan dan
keberanian rakyat Indonesia. Seniman bergerak secara gerila dalam memberi kesedaran
kepada masyarakat untuk membebaskan negara dari belenggu penjajah.
Di Filipina gaya asing Romantisme yang
digerakkan oleh Amorsolo School yang
mengambarkan kecantikan dan keindahan kehidupan cara hidup di desa tidak
menerangkan realiti sebenar kehidupan mereka yang mundur, miskin lagi tertindas oleh penjajah Sepanyol, seolah-olah
mereka menipu fakta seperti indah khabar dari rupa. Pada awalnya sekolah itu di
tentang oleh dua seniman reformis rakyat Filipina yang belajar di Sepanyol iaitu
Juan Luna dan Felix Hedalgo mengkritik penjajahan Sepanyol menerusi catan gergasi mereka mengenai
penyiksaan dan penindasan yang khusus ditujukan kepada kerajaan Sepanyol di
Filipina . Sekembalinya dari pengajian di luar Victorio Edades yang dijolok
sebagai Bapa Seni Lukis Moden Filipina bersama-sama rakannya seperti Galo
Ocampo, Carlos Francisco, Dementrio Diego, Vicente Manansala, Cesar Legasp dan
Anita Magasayho kemudiannya menubuhkan kumpulan mereka ‘Triumvite’ dan ‘Ateliar
of Modern Art’ dengan menjadikan kafe Ivory Tower sebagai tempat pertemuan.
Pengkarya pameran kumpulan ini tidak bersentimental dan prejudis, mereka hadir melihat
kepada alam dimana mereka berada dalam mengambarkan keadaan kelas pekerja di
bandar dan bergerak secara terancang
seperti pergerakan bawah tanah. Kemudiannya kumpulan-kumpulan dilumpuhkan oleh
Jepun kerana mengancam pemerintahan mereka.
Seni Lukis Malaysia dan Singapura atau
pada masa itu Malaya sedikit berbeza kerana tidak ada penentangan besar oleh
seniman. Pergerakan awal seni moden yang dibawa oleh Akademi Nanyang adalah
penghijrahan beberapa seniman daripada Tanah Besar ke Malaya akibat daripada
konflik ideologi antara angkatan nasionalis Chiang Kai-Shek dan angkatan
komunis Mao Tse Tung. Walaupun terdapat kejadian rusuhan di Singapura dan
Malaysia selepas kemerdekaan penglibatan adalah secara individu yang tidak
mempunyai tujuan atau manifesto yang jelas. Gerombolan seniman hadir
bersama-sama bukan menentang penjajah tetapi menentang ketidakadilan dalam
penyalahgunaan kuasa dalam sistem politik tanah air akhir tahun 1990-an. Apa
yang menariknya kebangkitan ini lahir bukan sahaja daripada golongan seniman sendiri
yang sudah tentu kebejatan yang berada diperkitarannya sudah tentu menganggu
proses pengkaryaan mereka, malah kesedaran ini dikongsi bersama-sama rakyat
bukan lagi menerusi cat dan kanvas tetapi mereka hadir sebagai aktivis yang
turut sama dijalanan menuntut hak rakyat dikembalikan. Pada era reformasi ini
lahirlah karya besar dan kontroversi oleh suara-suara sasterawan, seniman dan
budayawan seperti Shahnon Ahmad, Syed Ahmad Jamal, A. Samad Said, Muhammad Haji
Salleh, Ito Blues Gang, Dinsman, Hishamuddin Rais, Zunar, Nasir Jani, Pyanhabib
dan lain-lain. Terdapat juga yang bergerak secara berkumpulan seperti Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Kelab
Bangsar Utama (KBU) yang turun ke daalam
masyarakat mengkritik pemimpin korup dan zalim menerusi kepakaran kesenimanan
masing-masing yang berterusan sehinggalah ke hari ini.
Rujukan:
Faizal
Sidik, Pengaruh Pelukis School of Paris
Terhadap Pengkaryaan Awal Seni di Asia
Faizal
Sidik. ‘Pengaruh Seni Lukis Barat di
Filipina’, Dewan Budaya, Februari 2014, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2014, ms 60-63.
Robert
Lebel, Creative Act dalam ‘Marcel
Duchamp’, Grove Press, New York, 1959,
ms
77-78.
Syed Ahmad Jamal, ‘Art in, Malaysia, Artist and Areas of
Commitment’, Balai Seni Lukis
Negara, 1978,
T.K.
Sabapathy, ‘Piyadasa’, Archipelago Publisher, Kuala Lumpur,
1978
T.K. Sabapathy, ‘Piyadasa An Overview 1962-2000’, Balai Seni Lukis Negara, 2001, ms 117.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan