Isnin, 14 Mei 2012

Suhaimi Fadzir: Apa Ertinya Kemerdekaan-Pribumi Penjajah Pendatang


Suhaimi Fadzir , Apa Ertinya Kemerdekaan-Pribumi Penjajah Pendatang, 2010-2012

(Terjemahan penulisan ini telah diterbitkan di dalam katalog pameran 'Suhaimi Fadzir: Merdeka' yang diadakan di Dublin Biennial 2012)

Oleh: Faizal Sidik

Memetik apa yang pernah dikatakan oleh Robert Rauschenberg “peranan artis adalah menjadi saksi terhadap sejarah masa”. Sepanjang hidupnya beliau banyak menghasilkan karya-karya komentar terhadap kepelbagaian budaya dan dialog sejagat seperti peperangan, persamaan hak, perlucutan senjata nuklear, dasar aparted, pembangunan ekonomi, hak artis dan isu alam sekitar yang menurutnya tema-tema yang patut artis pada hari ini tekankan. Karya Suhaimi Fadzir ‘Apa Ertinya Kemerdekaan: Pribumi Penjajah Pendatang’ 2010-2012 bukan hanya sebuah karya instalasi tetapi juga sebuah ruang sosial yang berdialog dengan naratif sejarah masa Malaysia.

Instalasi Suhaimi ini boleh saya pecahkan kepada tiga bahagian atau segmen. Pertama, adalah karya asemblaj di dinding iaitu yang masih merujuk kepada catan format empat segi. Kedua, gabungan antara catan dan arca iaitu objek-objek sandaran jumpaan yang disusun diatas lantai seperti seperti tangga, penyodok pasir, bubu, mesin getah keping.  Manakala ketiga adalah pemasangan secara gantungan seperti sangkar burung. Dimana ketiga-tiga  elemen ini membentuk satu sistem bahasa visual yang cuba diutarkan oleh artis.

Penteori komunikasi terkenal Marshall McLuhan mengatakan ‘medium is the message’ atau media adalah pengantar mesej. Instalasi ‘Apa Ertinya Kemerdekaan-Pribumi Penjajah Pendatang’  boleh dilihat sebagai sebuah karya yang sarat dengan persoalan-persoalan yang dapat dilihat dari sudut budaya material yang disampaikan. Jika dilihat dari bahagian pertama ini Suhaimi bereksperimentasi dengan perletakan bahan dengan teknik ‘jumpa-pilih-tampal’ dalam persembahan asemblaj. Hal ini boleh dilihat seperti cetakan poster pemimpin parti komunis China iaitu Moa Tse Tung yang ditindan dengan foto Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri pertama Malaysia di sebelah atas kanan,  lampu pelita dan lampu minyak gas atau gesolin yang digantung begitu sinonim merupakan punca cahaya sebelum merdeka sebelum kehadiran tenaga elektrik.

Di dalam format catan asemblaj ini beliau menyusun semula sistem politik pecah dan perintah yang dilakukan oleh penjajah British dahulu untuk memudahkan pentadbiran mereka apabila membahagi penempatan tiga kaum utama seperti orang Melayu sebagai petani dan nelayan di kampung-kampung dan pesisir pantai dengan imejan ikan, orang Cina sebagai pelombong bijih dengan foto kapal korek yang berhampiran dengan gambar presiden Mao dan orang India di ladang-ladang getah sebagai penoreh dengan alat torehan pokok getah di sebelah kanan memberi gambaran corak pemerintahan penjajah sebelum merdeka. 

Apabila kita membicarakan teknik asemblaj oleh Suhaimi ini, Ia mengingatkan saya kepada sebuah pameran bertajuk ‘The Art of Assemblage’ yang dibina oleh penstrategi artistik William Seitz di Museum of Modern Art (MOMA) pada 1961. Ia telah melihat praktis artistik oleh artis seperti Pablo Picasso yang membawa masuk bahan yang diluar dari seni kedalam seni apa yang dinamakan sebagai objek jumpaan‘found object’. Eksperimentasi oleh pergerakan Dada dan surealis yang menggunakan objek untuk mendekatkan penghayat dengan karya ini telah mengubah cara pembikinan dalam berkarya selepas itu. 

Objek jumpaan ‘di luar seni’ yang popular sifatnya seperti perencah kari jenama Babas, botol dan tin minuman yang bercampur halal dan haram yang di susun seperti cetakan pop Warhol, media massa seperti muka depan akhar Utusan Malaysia yang merupakan media sebaran penyampai bagi orang Melayu dan foto  ikon pop terkenal 60 an iaitu John Lennon dan Yoko Ono adalah antara boleh memberi gambaran kepada pengisian kemerdekaan oleh peribumi dan pengaruh budaya yang dibawa oleh kaum pendatang ke dalam budaya tempatan.

Pada bahagian  kedua,  karya asemblaj konstruktif beliau ini bermain dengan simbol dan lambang seperti kegiatan ekonomi misalnya mesin getah, pemotong pokok getah, kepingan getah atau getah sekerap sebagai sumber  ekonomi utama semasa penjajahan. Simbol kemajuan dan pembangunan dapat dilihat pada tangga, penyodok  pasir yang tercatat tarikh keramat kemerdekaan Malaya pada masa itu 31.08.57. Manakala tangga kayu adalah perlambangan kepada usaha untuk mencapai sesuatu harapan. Simbol ketidakbebasan dan perangkap terdapat pada bubu ikan. Kesemua ini di kombinasi menyarankan catan dan arca konstrutivis dalam satu ruang yang bersahaja.

Bahagian ketiga iaitu tiga sangkar burung sebagai ikonografi kebebasan sosial dengan burung hidup,  dua daripadanya  di gantung dan satu lagi berada diatas lantai seolah cuba membawa setapak lagi pembaharuan daripada  pameran polimik yang pernah diadakan sebelum ini ‘Towards to Mystical Reality’ oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa dengan memasukkan elemen bau daripada burung merpati sebagai representasi kebebasan jarang digunakan dalam seni lukis Malaysia. Ia hanya dapat di hidu apabila penghayat hanya berada di ruang sebenar sahaja. 

Apabila Marcel Duchamp mula mempamerkan dengan bersahaja ‘Toilet Bowl’ dan ‘Bicycle Wheel’ ke dalam konteks galeri ini telah membuka dimensi baru kepada pengkaryaan artis dalam menggunakan apa yang dikatakan oleh Duchamp sebagai ‘readymades’. Penerokaan Duchamp ini terus diserap oleh pengkarya pasca avant-garde Amerika oleh Rauschenberg sendiri yang memperkenalkan catan kombinasi ‘combine painting’ yang menggunakan material budaya popular dimana fenomena ‘hybridity’ atau kepelbagaian dalam catan dan arca yang dihasilkan oleh artis selama satu dekad daripada 1954 hingga 1964. 

Struktur gabungan antara catan dan binaan atau ‘archi-painting’ Suhaimi ini adalah inspirasi daripada gabungan kedua-dua idea ‘readymades’ Duchamp dan ‘combine-painting’ Rauschenberg,  namun apa yang membezakannya adalah konteks penceritaan. Apa yang ada disebalik karya Suhaimi adalah budaya objek selepas era pasca Duchampian dan pasca Rauschenbergian  namun bernada tempatan ataupun budaya ekonomi tempatan. Beliau mengkonsruk atau membina semula budaya barang lusuh atau ‘junk culture’ daripada objek-objek beli dan bawa atau ‘cash-and-carry object’ dalam kehidupan kita dalam membawa budaya urban kepada isu kontemporari pada hari ini.

Daripada bahan industri yang dipilih olehnya adalah daripada perkembangan pesat daripada sebuah negara pertanian kepada perindustrian. Suhaimi mungkin menyoal semula naratif atau penceritaan negara ini menerusi gabungan antara kedua-dua sudut iaitu estetika dan sosial. Bahan-bahan yang digunakan oleh beliau seolah-olah sebuah wacana politik atau ‘political discourse’ yang menuntut pemerhatian daripada warganya . 

Keseluruhannya gabungan ruang multi dimensi objek beliau seolah-olah ahli kaji purba atau arkeologi yang berada pada tahun 3000 yang mempamerkan semula fosil koleksi artifak-artifak ‘collection of artifact’ daripada aspek budaya, sosial, politik dan ekonomi Malaysia dalam bentuk kontemporari yang mencipta kepelbagaian dialog antara praktis artistik artis, budaya objek dan penghayat sebagai satu instalasi sosial.
___________________
Nota:
Mark Vallen “Robert Rauschenberg 1925-2008“ dalam -http://art-for-a- change.com/blog/2008/05/rober-rauschenberg-1925-2008.html

William C. Seitz, “The Art of Assemblage”, The Museum of Modern Art, New York, 1961.

Laura Hoptman, “Unmonumental: Going to pieces in the 21st Century”, The New Museum of Contemporary Art, New York, 2007, 128-139.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan