Jumaat, 24 Februari 2012

Himpunan Esei Seni Lukis Malaysia 1970 an: Koleksi Balai Seni Visual Negara


Oleh: Faizal Sidik



Himpunan Esei Seni Lukis Malaysia 1970 an: Koleksi Balai Seni Visual Negara adalah himpunan teks terpilih daripada penerbitan Balai Seni Visual Negara (BSVN) pada era 70 an. Jilid 1 ini memuatkan penulisan oleh pensejarahan, pengkritik, penulis, artis dan ada di kalangan mereka pernah memegang jawatan sebagai birokrat seni di institusi-institusi kesenian dan kebudayaan negara. Antara esei-esei dimuatkan dalam siri pertama ini adalah penulisan Redza Piyadasa, T.K. Sabapathy, Syed Ahmad Jamal, Ismail Zain dan Sulaiman Esa.
Penulisan Redza Piyadasa iaitu ‘Pengaruh Akademi Seni Halus Nanyang’ dan T.K. Sabapathy ‘Pelukis-Pelukis Nanyang: Beberapa Penaungan Umum’ 1979 boleh dianggap sebagai penulisan sejarah seni yang dipetik daripada Pameran Retrospektif Pelukis-Pelukis Nanyang yang diadakan di Balai Seni Visual Negara pada 26 Oktober sehingga 23 Disember 1979.
Penulisan ‘Pengaruh Akademi Seni Halus Nanyang’ adalah pengkajian Redza Piyadasa hampir satu setengah tahun. Terdapat dua perkara utama yang dititik beratkan atau dipertimbangkan oleh Piyadasa dalam pengkajian ini. Pertama mengetengahkan sejarah akademi seni lukis yang terawal di Malaya semasa jajahan British pada masa itu selepas Perang Dunia Ke 2 iaitu Akademi Seni Halus Nanyang. Nanyang atau Laut Selatan adalah akademi seni yang ditubuhkan pada 1938, yang merupakan antara akademi seni yang terawal di Asia Tenggara. Kedua adalah kerana belum ada cubaan mengkaji secara teratur terhadap sumbangan-sumbangan penting yang dibuat oleh pelukis-pelukis Nanyang Malaysia dan Singapura.
Penulisan T.K. Sabapathy iaitu ‘Pelukis-Pelukis Nanyang: Beberapa Penaungan Umum’ pula mendekati ciri-ciri apa yang boleh diperkatakan yang terdapat pada karya-karya pelukis Nanyang ini. Dalam esei ini, beliau mendefinasikan semula siapakah itu pelukis Nanyang, stail, tema dan subjek beberapa pelukis yang dianggap penting. Di bahagian akhir esei beliau mendakwa terbukti kajian seni lukis moden awal di sini mempunyai pengaruhnya dengan School of Paris yang terhasil daripada karya-karya mereka.
Esei ketiga oleh Syed Ahmad Jamal bertajuk ‘Seni Lukis di Malaysia, Artis dan Wilayah Komitmen’ bermodelkan penulisan retrospektif seni yang dipetik daripada penulisan katalog sempena pameran Malaysia Art 1965-1978 yang diadakan di Commonwealth Institute, London pada 2 hingga 30 November 1978. Pameran bertempat di luar negara yang kedua seumpama ini yang di adakan di luar Malaysia dengan kerjasama antara Kementerian Belia, Kebudayaan dan Sukan pada masa itu dengan kerjasama Kementerian Luar Negara dan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini membawa 55 buah karya dan 31 artis yang dikuratorkan oleh Syed Ahmad Jamal sendiri memperlihatkan fasa perkembangan penting perkembangan seni lukis Malaysia sepanjang 15 tahun.
Esei ini menyentuh mengenai perkembangan seni lukis Malaysia di sekitar tahun pertengahan 1960 an sehingga akhir 1970 an. Dalam esei ini Syed Ahmad Jamal menyentuh dari segi kesan tindakbalas yang tercerna pengaruh daripada apa yang dikatakan Hemisfera Barat terhadap seni kontemporari Malaysia dimana kebanyakan karya tersebut berada di dalam koleksi BSVN, selain itu ia menyelusuri peranan institusi seni negara yang utama iaitu BSVN, kumpulan-kumpulan seni lukis, sekolah seni, galeri swasta dan peranan patron seni.
Teks yang bersifat falsafah seni oleh Ismail Zain bertajuk ‘Manusia dan Alamnya’ diangkat daripada penulisan dalam pameran dengan tajuk yang sama atau Man and His World yang diadakan pada 16 Oktober sehingga 8 Disember 1973. Dalam esei ini Ismail Zain mengulas objek seni sebagai bahan estetik, nilai seni dalam pengkaryaan, fungsi seni, pengasingan antara seni untuk ritual dan tujuan estetika, sistem galeri, permasalahan dalam melihat karya seni, anjuran merapatkan jurang seni dengan manifestasi dua seni serta seni dan komunikasi.
Sungguhpun penulisan ini adalah berdasarkan pameran dan pertandingan ‘Manusia dan Alamnya’ yang diadakan selepas kejayaan pameran ‘Landskap Malaysia’ pada tahun sebelumnya ia adalah pameran yang bukan berdasarkan objek tetapi idea. Dua penganjuran ini dianggap penting kerana adalah diadakan bukan terhadap stimulasi terhadap produksi gambar estetik yang banal tetapi bermain dengan menyarankan idea pelukis. Jadi tidak hairan jika karya konseptual dalam koleksi Balai Seni Visual Negara sangat dominan diperoleh daripada kedua-dua pameran ini.
Penulisan yang bercorak kritikan seni oleh Sulaiman Esa dengan tajuk ‘Kritikan Mengenai Pameran Pelukis-Pelukis Muda Sezaman 1974’ adalah garapan yang diselit daripada katalog pameran Pelukis-Pelukis Muda Sezaman daripada 26 Julai sehingga 18 Ogos 1974. Teks ini boleh dianggap sebagai esei klasik pameran dan pertandingan Bakat Muda Sezaman yang dianjurkan sehingga ke hari ini yang menurut Sulaiman Esa diinspirasikan oleh pertandingan The Young Contemporaries Exhibition di London dalam tahun 60 an.
Penulisan awal mengenai Bakat Muda Sezaman atau BMS ini sering dirujuk oleh juri-juri dalam membuat komentar ulasan penjurian mereka didalam penganjuran Bakat Muda yang berikutnya sehingga hari ni telah berusia lebih 30 tahun bagi mencungkil pelukis-pelukis baru di negara ini. Kritikan beliau terhadap dua kumpulan artis di mana beliau mengkritik artis yang melibatkan diri mereka dalam catan easel dan dalam persoalan-persoalan menggambar manakala di satu kumpulan artis yang melibatkan aspek formalistik dan konseptual. Beliau juga mengulas mengenai disiplin teknik pembuatan, pernyataan artis, proses pengkaryaan dan kreativiti artis masih releven untuk dijadikan rujuk.
Keseluruhannya penerbitan semula penulisan-penulisan ini di dalam sebuah buku ‘Himpunan Esei Seni Lukis Malaysia 1970 an: Koleksi Balai Seni Lukis Negara’ diharap dapat merancakkan lagi penerbitan buku seni di negara ini untuk dijadikan sebagai bahan dokumentasi dan khazanah ilmu dalam kemajuan seni lukis Malaysia bagi dirujuk oleh dunia seni khususnya kepada penyelidik, artis, pengajar, kolektor, galeri, pelajar dan peminat seni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan