Ahad, 20 Mac 2022

Gerak Rupa: Pelukis Kedah Dalam Koleksi Balai Seni Negara


Oleh: Faizal Sidik

 

Pengenalan

Kedah adalah sebuah negeri jelapang padi, dimana negeri Kedah adalah penyumbang besar terhadap penghasilan tanaman padi di negara ini. Kedah juga turut terkenal sebagai negeri yang  menghasilkan pelukis-pelukis hebat negara. Ada dikalangan mereka bukan sahaja dikenali di sini malah diperingkat antarabangsa. Perkataan ‘Gerak’ dari segi istilah bahasa boleh dimaksudkan dengan ‘perpindahan tempat’, ‘berjalan’,‘keliling’, ‘berputar’, ‘pusing’. Manakala ‘Rupa’ pula didefiniskan sebagai ‘wajah’, ‘bentuk’, ‘sifat’.  Pameran  ‘Gerak Rupa: Pelukis Kedah Dalam Koleksi Balai Seni Negara’ adalah sebuah pameran bergerak, berjalan dan berkeliling di dua lokasi di negeri Kedah iaitu di Balai Seni Negeri Kedah dan Balai Seni Negara Langkawi daripada Mac hingga Disember 2022. Pameran bergerak ini menghimpunkan sekitar 40 rupa, wajah dan bentuk karya pelukis Kedah yang terdapat di dalam himpunan tetap Balai Seni Negara.

Pengkoleksiann pelukis Kedah di dalam Koleksi Balai Seni Negara boleh dibahagikan kepada 3 pembahagian iaitu Pelukis ganerasi baru, palukis ganerasi kedua dan pelukis ganerasi baru. Pelukis pelopor atau pelukis ganerasi awal adalah pelukis Kedah yang dilahirkan daripada tahun 1920 an hingga 1930 an seperti A.J Rahman (1922-1995), A.B Ibrahim (1925-1977),  Ibrahim Hussein (1929-2009), Ismail Zain (1930-1990) dan Khoo Sui Hoe (1939). Pelukis ganerasi kedua pula adalah pelukis yang dilahirkan sekitar tahun 1940 an hingga1960 an antaranya seperti Eng Tay (1947), Sharifah Fatimah Syed Zubair (1948), A’Aishah (1954), Anuar Rashid (1958) dan Amron Omar (1958), Rafie Ghani (1962) dan Zulkifli Yusof (1962) dan Ahmad Fuad Osman (1969). Manakala itu pelukis genarasi baru pula adalah pelukis yang dilahirkan selepas tahun 70 an misalnya Sabri idrus (1971), Choy Chun Wei (1973), Aznan Omar (1973) dan Fauzul Yusri (1974)

 

Pelukis Ganerasi Awal

Pelukis pelopor atau pelukis ganerasi awal adalah pelukis Kedah yang dilahirkan daripada tahun 1920 an hingga 1930 an seperti A.J Rahman (1922-1995), A.B Ibrahim (1925-1977),  Ibrahim Hussein (1929-2009), Ismail Zain (1930-1990) dan Khoo Sui Hoe (1939). Chooi Kok Keong (1938), Cheah Yew Sik (1939). Para pelukis awal ini boleh dibahagikan kepada pelukis belajar sendiri seperti A.J Ibrahim dan A.B Rahman manakala  pelukis yang mendapat pendidikan secara formal di sekolah seni adalah seperti Ibrahim Hussein dan Ismail Zain. Pelukis awal yang belajar sendiri cenderung untuk mengambarkan keindahan negeri Kedah melalui medium cat air. Bahantara cat air menjadi pilihan mereka kerana sifat bahan itu yang lebih spontan, bersahaja dan mudah dibawa. Tema yang dibawa pula memperlihatkan kehidupan harian masyarakat di sawah bendang, keindahan pemandangan gunung, pulau, pantai dan aktiviti rekreasi masyarakat kampung.

Terdapat 51 buah satu karya A.B. Ibrahim di dalam koleksi Balai Seni Negara yang dihasilkan daripada tahun 1950-an hingga 1970-an. Di dalam 51 buah karya ini ada beberapa karyacat air atas kertas ini yang dihasilkan secara bersiri atau sambungan tajuk yang sama seperti siri ‘Menanam Padi Di Kaki Gunung Jerai I hingga III’, ‘Musim Menanam Padi I hingga III’, ‘Kapal Saudagar I hingga II’, ‘Turun Ke Laut I hingga V’, ‘Lovers Island I-II’, ‘Pulang I hingga XI’, ‘Menanam Padi I-III, ‘Membajak I-III’ dan ‘Balik Rumah I-V’

Salah satu karya A.B. Ibrahim yang berada di dalam koleksi Balai Seni Negara adalah karya cat air ‘Menanam Padi di Kaki Hujung Gunung Jerai’ (1950an-1970an). Karya ini memperlihatkan aktiviti menanam padi berhampiran dengan Gunung Jerai. Sebagai sebuah puncak tertinggi dikawasan tanah rata penanaman padi Gunung Jerai menjadi latarbelakang pilihan pelukis ini. Karya ini memperlihatkan empat pesawah yang sedang menjalankan aktiviti menanam padi. Latar karya ini terdapat sebuah rumah Melayu dengan atap rumbia dimana dihalamannya depan dan belakangnya terdapat pokok kelapa rendang. Pemandangan ini adalah pemandangan yang biasa dilihat dikawasan penanaman padi di Kedah sehinggalah ke hari ini.

Karya A.J. Rahman ‘Night in Langkawi’ (1976) adalah sebuah gambaran keindahan diwaktu malam di Pulau Lagenda itu. Komposisi karya ini dilukis lihat mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pelukis Romantik Eropah seperti John Constable dan J.W.W. Turner yang mengambarkan pemandangan eksotik lanskap Inggeris. Manakala pengolahan lanskapnya pula seperti pelukis Jerman. Karya ‘Night in Langkawi’ adalah sebuah catan eksotika yang merakamkan sampan nelayan berlabuh dengan rumah-rumah nelayan yang berhampiran dengan muara. Bahagian latarnya pula terdapat deretan pokok kelapa manakala bahagian langit pula bulan sedang mengambang dan riak-riak awan yang kelihatan mendung.

Terdapat 19 buah karya oleh A.B. Aziz di dalam koleksi Balai Seni Negara. Salah  sebuah karya yang bertemakan lanskap cat air adalah karya A.B. Aziz iaitu ‘Pulau Sayak’ (1960 an). Pulau Sayak juga dikenali dengan nama lain iaitu Pulau Baki atau dalam bahasa Inggeris pula adalah Residual Island. Nama lain iatu Palau Baki ini diberikan adalah kerana terdapat empat lagi baki pulau kecil di sini yang terbentuk hasil daripada hakisan air laut. Pulau Sayak terletak di daerah Kuala Muda lokasinya berhampiran dengan kawasan pelancongan di Barat negeri Kedah iaitu Pantai Merdeka. Pulau Sayak sangat terkenal dengan rangkaian pulau yang indah dengan pasir pantai yang putih, berbatu dan air yang sangat jernih. Orang tempatan di sini membahagikan Pulau Sayak di tanah pulau dan Pulau Sayak tanah besar. Karya A.B. Aziz adalah pemandngan aktiviti nelayan di Pulau Sayak berhampuran dengan  tanah besar yang juga berhampiran dengan jeti nelayan dimana kawasan ini adalah dimana tempat para nelayan melabuhkan sampan mereka. Kelihatan seorang nelayan yang sedang naik ke darat yang membawa peralatan nelayan. Dibahagian tengan terdapat dua sampan yang masih menjalankan aktiviti menangkap ikan. Bahagian latarnya pula adalah Pulau Sayak di tanah pulau.

Karya A.B. Kechik agak berbeza daripada dua pelopor awal sebelum ini yang gemar menggambarkan pemandangan kepada subjek-subjek aktiviti ekonomi dan sosial-budaya mayarakat setempat. Terdapat 5 buah karya A.B. Kechik di dalam koleksi Balai Seni Negara. Karya A.B. Kechik ‘Ayam Berlaga’ (1970 an) mengambarkan aktiviti popular kaum lelaki iaitu menyabung ayam jantan. Karya ini dipenuhi dengan warna neutral cat air iaitu warna kelabu. Fakus warna hanya diperincikan dibahagian tengah yang diperlihatkankan daripada paruh ayam sehinggalah ke leher ayam. Pergelutan ayam ini memperlihatkan rupa bentuk, gerak gaya terutamnya fokus yang diberikan kepada bahagian kaki ayam. Walau bagaimanapun kini aktiviti sabung atau pertandingan laga ayam tidak dibenarkan lagi dan mereka yang melakukannnya boleh di dakwa atas kesalahan penyeksaan terhadap binatang.

Balai Seni Negara menyimpan 8 buah karya di dalam pengkoleksiannya. Antara karya di dalam fasa kedua perjalanan pengkaryaan pada tahun 1960-an adalah zaman Ib melanjutkan pelajaran di England dan kembaraan beliau di Amerika Syarikat dimana beliau menghabiskan masa selama hampir satu dekad di luar seperti karya ‘Manja’ (1960) dan ‘Octopi I’, (1960), ‘Kekecohan-Tumult’ (1969) dan  ‘Mengapakah Kamu Begitu – Why You Are, The Way You Are’ (1969). Fasa ketiga adalah pada tahun 1970-an apabila Ib kembali ke tanahair dan bergiat aktif dalam lanskap seni lukis tempatan terdapat satu karya iaitu ‘Genting’ (1978). Fasa keempat pada tahun 1980 an beliau mula meneroka teknik garisan-garisan alun dengan cat dakwat pula dalam koleksi adalah seperti ‘Tumbuhan-Growth I’ (1980) dan ‘Tumbuhan-Growth II’.

Akhir tahun tahun-tahun 1960-an merupakan tahun yang penting di dalam pengkaryaan Ibrahim Hussein terutamanya tahun 1969. Pada tahun ini beliau menghasilkan 22 buah karya. Antara karya-karya penting dalam tahun ini adalah seperti ‘May 13/13 Mei’ , ‘Are You Alone Up There?’Anda Seorang Diri Di Sana?’, ‘Chairil Anwar’, ‘Farewell to New York/Selamat Tinggal New York’ , dan  ‘Mengapakah Kamu Begitu – Why You Are, The Way You Are’ , ‘Sick Politician’ dan ‘My Father and Astronaut’

Menurut T.K. Sabapathy pertama pada tahun 1969 Ibrahim Hussein menghasilkan beberapa karya yang dibangkitkan daripada peristiwa bersejarah dan pergolakan yang berlaku di dalam dirinya. Kedua, adalah dimana Ibrahim telah beralih arah pengkaryaan pada tahun ini setelah beliau mula menemui teknik yang dinamakan ‘printage’ iaitu teknik cetakan daripada akhbar dan foto. Karya Ibrahim Hussein ‘Mengapakah Kamu Begitu – Why You Are, The Way You Are’ (1969) adalah antara karya terawal beliau menggunkan teknik cetakan ‘printage’ seni pop. Karya ini boleh dikatakan dihasilkan selepas karya ‘Farewell to New York/Selamat Tinggal New York’ (1969) yang dimiliki oleh kolektor Zain Azahari berdasarkan persamaan dari segi kesinambungan imej latar hijau. Apa yang membezakan kedua-dua karya ini adalah dalam karya Ibrahim Hussein mula meneroka garisan-garisan beralunan yang terdapat di bahagian atas.

Karya ini adalah karya-karya akhir beliau yang dihasilkan di New York berdasarkan imej-imej printage yang digunakan adalah bersumberkan daripada kutipan-kutipan daripada akbar tabliod di sana. Fokus karya ini adalah dibahagian tengah yang terdapat latar hitam dan bulatan berwarna putih. Imej latar hitam dan bulatan berwarna putih ini mula disedari ditekankan dalam setiap karyanya selepas beliau menghasilkan ’May 13/13 Mei’ (1969). Menurut Ibarahim dalam dialognya dengan Tun Razak apabila mereka bertemu di suatu sesi penjelasan kaarya. Beliau mengatakan bulat dalam karya beliau adalah metafora atau lambang terhadap sebuah harapan.

Ismail Zain dilahirkan di Kodiang iaitu daerah Kubang Pasu, Kedah pada tahun 1930. Beliau adalah seorang pelukis, pendidik dan pemikir yang pernah menjadi Pengarah Balai Seni Lukis Negara daripada tahun 1972 sehingga 1975. Terdapat 10 buah karya Ismail yang berada di dalam koleksi Balai Seni Negara antaranya ialah ‘Untitled’ (1990). Karya ini adalah antara karya-karya terakhir yang dihasilkan oleh beliau sebelum kematian beliau pada tahun 1991 di Kuala Lumpur.

Pengkaryaan Ismail Zain boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu peringkat awal sekitar tahun 1960-an dengan karya-karya kajian semasa mengikuti latihan secara formal di sekolah seni di Ravensbourne dan Slade di London. Peringkat kedua pada tahun akhir 1960-an dan 1970-an dengan karya catan  abstrak hard-edge atau lukisan catan tepat. Teknik hard-edge adalah lukisan catan abstrak yang mempunyai rupa-rupa bentuk yang jelas dan berbatasan tepat dan gubahan yang ringkas. Peringkat ketiga pada tahun 1980-an beliau beralih kepada karya yang menggunakan aplikasi komputer yang dinamakan kolaj digital atau siri yang dikenali sebagai ‘Digital Collage’. Pada peringkat akhir pada pertengahan 1980-an sehingga pada tahun 1990 beliau menggabungkan kedua-dua teknik tadi dalam karya yang dinamakan siri ‘Untitled’.

Penghasilan karya siri ‘Untitled’ oleh Ismail Zain pada pertengahan tahun 1980-an mempunyai kisah yang tersendiri. Berdasarkan sesi perbual dengan Jaafar Ismail, sekitar pertengahan tahuan 1980-an iaitu pada tahun 1984 tertubuhnya sebuah galeri seni iaitu Saujana Fine Arts yang terletak di Subang Jaya, Selangor. Galeri ini diuruskan oleh beberapa orang pelukis dan korporat seperti Redza Piyadasa dan Ismail Zain. Saujana Fine Arts adalah galeri tempatan seumpamanya yang ditubuhkan sebagai usahasama antara pelukis atau kolektif pelukis. Galeri ini menguruskan dan mewakili beberapa orang pelukis antaranya adalah Zakaria Ali, Fatimah Chik, Yew Seng Chooi, Nirmala Dutt, Zambri Embi, Ismail Hashim, Lai Fong Moi, Eng Hooi Lim, Mazeli Mat Som, Ruzaika Omar Basaree, Eris Peris, Tay Hooi Keat, Tay Mo Leong, Redza Piyadasa dan Ismail Zain sendiri.

Munurut Jaafar Ismail yang mengkuratorkan pameran ‘Ismail Zain: (Mem)Bayang Maksud’ yang diadakan di Balai Seni Negara pada tahun 2019. Siri karya ‘Untitled’ oleh Ismail Zain siri karya yang dihasilkan sejak tahun 1985 dan keatas untuk tempahan daripada hotel dan pejabat korporat. Jika diperhatikan dengan teliti karya ini mempunyai inspirasi daripada bentuk perulangan di dalam songket namun beliau memanfaatkan tikar alas meja sebagai yang distensil dengan pistol sembur. Perihal ini dapat di lihat daripada bentuk perulangan motif flora, bungaan. Kemahiran menggunakan teknik hard-edge dan grid masih dikekalkan dengan jalur warna vertikal ditengah.

Anak kelahiran Kedah Khoo Sui Hoe dilahirkan pada tahun 1939 di Baling. Beliau mendapat pendidikan awal di Nanyang Academy of  Fine Art (NAFA) di Singapura dari tahun 1959 hingga 1961. Pada tahun 1971 Beliau merupakan pengurus merangkap kurator Alpha Gallery pada tahun  di Singapura. Beliau kemudiannya belajar seni grafik di Pratt Institute di Amerika Syarikat pada tahun 1974.  Pada tahun 1979 beliau dan beberapa rakan membentuk ‘Kumpulan Utara’ di Pulau Pinang yang banyak menjalankan pameran dan program di Utara Semenanjung Malaysia

Karya beliau ‘Bukit Baling’ (1965) adalah sebuah karya lanskap yang dihasilkan selepas beliau tamat mengikuti pengajian di NAFA. Karya ini dihasilkan semasa beliau berusia 26 tahun. Karya ini diperolehi semasa beliau mengadakan pameran solo yang pertama di British Council, Kuala Lumpur pada tahun 1965. Di dalam pameran solo ini Khoo Sui Hoe menghasikna 33 buah karya cat minyak. Pameran ini ditaja oleh Malaya Arts Council yang dipengerusikan oleh Kingston Loo seorang arkitek yang terkenal, pameran ini mendapat liputan yang luas bukan sahaja di media cetak malah di televisyen dimana ibu bapa dan keluarga beliau di Baling turut dapat menyaksikannya juga dalam satu sesi temuramah yang diadakan.

Karya ‘Bukit Baling’ (1965) adalah sebuah karya lanskap pemandangan kawan berbukit bukau yang dinamakan bukit Baling oleh pelukis terletak 2 kilometer daripada bandar Baling . Bahagian hadapan ini terdapat dua pokok dengan dahan-dahan yang rendang serta pohon yang berwarna hijau. Dari sudut ini kita dapat lihat pelukis melukis bukit Baling dari lokasi bawah atau kaki bukit. Bahagian belakang pula terdapat dua buah bukit yang berwarna perang. Kini bukit Baling dikenali dengan nama Gunung Baling yang merupakan lokasi pendakian yang popular di negari Kedah kerana mempunyai pemandangan yang indah dari atas. Kawan bukit Baling dipenuhi dengan kawasan hutan sederhana dan berbatu yang digemari oleh para pendakian untuk melakukan pendakian. Kini Gunung Baling diuruskan oleh Pejabat Pendakian Gunung Baling di bawah seliaan Majlis Daerah Baling.

Chooi Kwok Keong dilahirkan di Ipoh, Perak pada tahun 1938 dan menetap di Alor Setar, Kedah. Chooi mendapat pendedahan awal dalam seni lukis pada tahun 1963 dengan mengikuti kursus seni halus selama setahun di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK). Semasa di Kuala Lumpur beliau bergiat aktif menyertai Angkatan Pelukis Semenanjug (APS). Pada tahun 1959 beliau mengajar sebagai guru seni di Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan semasa di sini beliau bergiat aktif pula dengan Angkatan Pelukis Kedah (APK) sehinggalah bersara.

Terdapat dua buah kary Chooi Kwk Keong di dalam koleksi Balai Sen Negara. Salah satunya adalah karya ‘Penangkap Ikan’ (1963). Karya ini adalah antara karya yang beliau hasilkan semasa menganggotai Angkatan Pelukis Semenanjung. Karya ini memperlihatkan pekerjaan sebagai penangkap ikan. Terdapat tiga figura yang kelihatan dalam lukisan cat minyak dimana setiap mereka memakai  topi  tradisional yang biasanya diperbuat daripada anyamana daun nipah yang sering dilihat di pakai petani di desa dan nelayan bagi melindungi daripada cahaya panas matahari. Karya ini memeperlihatkan realiti kegiatan masyarakat yang diperjuangkan oleh APS ‘seni untuk masyarakt’ untuk turun bersama-sama dengan rakyat dalam merakam suasana sebenar mereka.

Cheah Yew Sik pula dilahirkan di Sungai Petani pada tahun 1939. Beliau mendapat pendidikan awal di Han Chiang High School di Pulau Pinang dan  pendidikan formal dalam seni daripada Nanyang Academy of Art (NAFA) pada 1961 dan Stoke on Trent College of Art di England pada tahun 1965. Selepas kepulangannya beliau kemudiannya mengajar di Han Chiang Art School di Pulau Pinang. Cheh Yew Sik juga adalah salah seorang pengasas dan pengetua sekolah seni Kuala Lumpur Collage of Art. Selain menghasilkan catan beliau juga berkarya dengan pelbagai medium yang lain seperti cetakan dan seramik.

Pada tahun 2019 Balai Seni Lukis Pulau Pinang telah mengadakan pameran imbauan 150 karya-karyanya dalam pameran ‘Cheah Yew Sik Retrospective’ yang terdiri daripada lakaran, catan, arca dan seramik. Balai Seni Negara memiliki 6 buah karya yang dihasilkan dengan menggunakan cat air, cat minyak dan seramik. Karya ‘Pasar/Market’ (1962) adalah sebuah karya diawal pengkaryaan beliau semasa berada di Singapura. Karya ini memperlihatkan aktiviti jual beli di sebuah pasar pada tahun 1960 an. Di dalam karya ini juga kita dapat lihat para peniaga pasar sedang duduk dalam memperagakan hasil jualan mereka manakala ada figura pembeli atau pelanggan yang sedang menunduk dalam memilih atau membayar barangan mereka.

 

 

 

 

 

 

Pelukis Ganerasi Kedua

Pelukis ganerasi kedua pula adalah pelukis yang dilahirkan sekitar tahun 1940 an hingga1960 an antaranya seperti Eng Tay (1947), Sharifah Fatimah Syed Zubair (1948), A’Aishah (1954), Anuar Rashid (1958) dan Amron Omar (1958), Rafie Ghani (1962) dan Zulkifli Yusof (1962) dan Ahmad Fuad Osman (1969). Sharifah Zuriah Al-Jefri (1938), Abdul Ghani Ahmad (1945), Heng Eow Lin (1945), Ahamad Fauzi Hassan (1959), Lye Yau Fatt (1959), Maamor Jantan (1961), Anasuwandi Ahmad (1967), Rohaizal Saari (1969), Shafie Hassan (1958), Tan Thean Song (1946-2017), Azahari Khalid Osman aka Aza Osman, Choh Kiat Siong (1968),

Pelukis Kedah generasi kedua juga adalah pelukis yang mendapat didikan seni di dalam negara. Namun ada diantara mereka yang melanjutkan pelajaran di luar seperti Sharifah Fatimah Syed Zubair, Sharifah Zuriah Al-Jefri dan A’Aishah misalnya. Pengakryaan pelukis ganerasi kedua di dalam koleksi Balai Seni Negara boleh dibahagikan kepada tiga subjek pengkaryaan. Pertama, adalah pelukis yang menghasilkan karya-karya seni abstrak sejak permulaan karier mereka sebagai pelukis seperti Sharifah Fatimah Syed Zubair, Anuar Rashid, dan Zulkifli Yusof. Kedua adalah pelukis figuratif seperti Amron Omar, Eng Tay dan Shafie Hassan. Ketiga adalah pelukis yang memilih subjek lanskap pemandangan seperti Sharifah Zuriah Al-Jeffri, Rafie Ghani dan Lye Yau Fatt.

Abstrak

Sharifah Fatimah Syed Zubair dilahirkan di Alor Setar pada tahun 1948. Beliau adalah antara pelajar terawal Diploma Seni Lukis di Institut Teknologi Mara daripada tahun 1967 hingga 1971. Dua tahun selepas menjadi pelukis sepenuh masa beliau menlanjutkan pelajaran di Sarjana Muda di Reading University yang terletak di Barat London daripada 1973 hingga 1976.. Seterusnya Ijazah Sarjana dari Pratt Insritute di Amerika Syarikat pada tahun 1978 di atas geran John D Rockefeller III Fund Fellowship. Pada tahun 1982 sehingga 1990 beliau dilantik menjadi kurator di Balai Seni Negara dan semasa di sini beliau berkesempatan mengikuti kursus pengurusan muzium di City University of London padan tahun 1987. Antara pameran yang pernah dikuratorkan oleh beliau adalah pelukis kelahiran Yan, Kedah iaitu Ibrahim Hussein dalam pameran retrospektif pada tahun 1986. Selepas tahun 1990 beliau bergerak sebagai seniman profesional sepenuh masa yang bukan sahaja terhad dengan sebagai pelukis tetapi penulis, hakim, kurator dan wakil delegasi.

Antara siri-siri karya yang pernah dihasilkan oleh beliau adalah seperti ‘Nursiyah and Other Image’ (1983), ‘Touch The Earth’ (1992-1996), ‘Mindscape’ (1991-1993), ‘Joy Is The Theme’ (1997-2003), ‘Pancawarna Sri Citra’ (2000), ‘Garden of the Heart’ (2005-2011), ‘Celebration’ (2010-2012), ‘Pancawarna’ (2013). Song of Eucalyptus (2017). Pengkaryaan Sharifah Fatimah selam 50 tahun dilihat mempunyai pengaruh lirikal abstrak oleh Helen Frankahaler. Terdapat 12 buah karya Sharifah Fatimah di dalam koleksi Balai Seni Negara daripada tahun 1960-an sehigga 2000-an. Karya ‘Sri Jingga Indera Kayangan’ (1998) adalah sebuah karya dalam siri karya ‘Joy Is The Theme’ yang dihasilkan selama 7 tahun daripada 1997 sehingga 2003.

 Karya ini menggambarkan warna-warna ceria dan sewarna terutamnya seperti jingga yang memenuhi bidang kanvas selain warna merah, kuning dan hijau. Istilah ‘sri’ atau ‘seri’ membawa maksud cahaya, sinar, semarak, kilau dan kilat. Manakala ‘Indera Kayangan’ adalah nama sebuah kota yang dinamakan Kota Kayang iaitu kota yang dibina pada zaman Sultan Kedah ke-15 iaitu Sultan Dhiauddin Al-Mukkaram Syah I yang memerintah antara tahun 1661 sehingga 1687. Kota ini dikatakan sebuah kota yang tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh bukit-bukit yang berada disekitarnya. Kota Indera Kayangan adalah sebuah pusat pemerintahan yang tersembunyi dan hanya boleh dilihat dari tempat tinggi dan atas fakta tersebut nama sedemikian diberikan Indera Kayangan kepadanya.

Anuar Rashid dilahirkan di Langgar, Alor Setar pada tahun 1958. Beliau mengikuti pengajian pra-diploma di Instut Teknologi Mara, Terengganu pada tahun 1975. Kemudian beliau mengikuti diploma di Shah Alam dari tahun 1976 hingga 1978. Sehingga kini beliau telah mengadakan tujuh pameran solo dan empat siri karya iaitu Siri Inderaputera, Siri Angin, Air dan Api, Siri Phantanum dan Siri Mihraj. Anuar Rashid telah menunjukkan bakatnya yang luar biasa kerana semasa tahun akhir menjadi pelajar seni lagi   beliau telah dijemput untuk mengadakan pameran solo pertama di Balai Seni Pulau Pinang pada tahun 1978 yang mempamerkan karyanya daripada tahun 1976 hingga 1978. Pameran solo kedua di Alpha Gallery, Singapura dan Johor Baharu pada tahun 1979 semasa beliau berusia 21 tahun, dimana ameran solo ini mempamerkan karya-karya yang dihasilkan daripada tahun 1976 hingga 1979. Pameran solo keempat diadakan di Itali pada 1982 manakala solo kelima di London pada tahun yang sama. Pameran solo keenam diadakan di Bucharest, Romania pada tahun 1983. Pameran solo ketujuh diadakan di Alpha Gallery, Pulau Pinang pada tahun 2006. Pameran solo ke lapan‘Anuar Rashid: Mihraj-Aku Hanya Seorang Tukang Cerita’ diadakan di Balai Seni Negara pada tahun 2014.

Terdapat 6 buah karya Anuar Rashid di dalam koleksi Balai Seni Negara dan salah satu daripadanya ‘Inderaputra-Kelahiran Diterbangkan Merak’ (1978). Karya ini diperolehi melalui melalui pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1979 dimana karya ini memenangi Hadiah Kecil. Karya ini adalah berdasarkan kajian Anuar terhadap cerita mitos dalam Hikayat Inderaputera menceritakan bagaimana Inderaputra yang masih kecil dilarikan oleh merak emas dan kemudiannya beliau dijatuhkan kedalam halaman rumah nenek kebayan seperti yang terdapat di dalam teks seperti ini :

Maka kedua utusan itu pun sujud akan Maharaja itu dengan sukacitanya. Hatta dalam berkata-kata maka Inderaputera pun turun daripada ribaan ayahanda baginda pergi melihat merak emas mengigal di atas talam itu. Maka tiba-tiba merak itu menyambar Inderaputera seraya diterbangkannya. Maka Inderaputera pun ghaiblah daripada mata baginda dan orang sekalian dan Maharaja Bikrama Buspa pun melihat anakanda baginda hilang. Maka baginda pun murka seketika. Setelah sedarlah akan dirinya dan baginda pun menangis dan segala isi istana pun gemparlah bertangis-tangisan dan isi negeri pun dukacita mendengar Inderaputera hilang itu dan Maharaja Bikrama Buspa pun terlalu dukacita sentiasa.

 

Hatta maka Inderaputera pun diterbangkan merak emas. Maka jatuhlah ia kepada suatu kebun nenek kebayan. Maka Inderaputera pun berjalanlah perlahan-lahan lalu berhenti di bawah pohon delima. Maka Inderaputera pun makanlah buah-buahan.

 

Didalam karya dua panel ‘Inderaputra-Kelahiran Diterbangkan Merak’ (1978) ini Anuar Rashid cuba menggambarkan bagaimana suasana anak Maharaja Bikarma iaitu Inderaputera disambar dan diterbangkan oleh sang merak emas. Sungguhpun hikayat atau cerita riwayat adalah cerita-cerita lama Anuar Rashid berjaya membawanya dalam dimensi visual yang futuristik dan surealistik. Futuristik adalah dari segi kemahiran teknik ‘glazing’ iaitu permukaan satah-satah  seolah-olah berkaca dan bercahaya yang diterokainya sejak awal pengkaryaan beliau. Gambaran catan jika diperhatikan cuba membawa fikiran kita kepada suatu tempat yang asing yang belum pernah difikirkan oleh manusia. Warna biru bidang yang terdapat dibahagian boleh dikatakan simbol kepada ruang angkasa manakala warna putih kejambuan seolah-olah kawasan bukit yang berawan. Unsur surealistik atau misteri di dalam karya ini adalah merak kayangan yang diperlihatkan sebelah kanan panel sedang terbang diperlihatkan secara penuh bertenaga, berkuasa dan keemasan. Bahagian tengahnya pula seperti sebuah lembah yang terdapat binaan istana iaitu tempat kelahiran Inderaputera diterbangkan oleh merak kayangan tadi.

 

Salah seorang pelukis wanita Kedah yang kembali aktif berkarya di negeri asal setelah menuntut di luar adalah A’Aishah Abdul Latiff . Beliau dilahirkan di Alor Setar pada 1954 dan mendapat pendidikan awal seni dari Sekolah Tinggi Seni Rupa, Jogjakarta, Indonesia. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) pada tahun 1975. Setelah kembalinya beliau bertugas sebagai guru seni lukis di Kuala Lumpur pada tahun 1979 disamping aktif dengan Kumpulan Anak Alam. Semasa di Anak Alam beliau banyak menghasilkan sketsa untuk majalah Dewan Sastera. Beliau melanjutkan pelajaran dalam Diploma Pendidikan di Universiti Malaya daripada tahun 1982 hingga 1983. Pada tahun 1995 beliau bersara awal dalam bidang perguruaan setelah 20 tahun berkhidmat untuk menumpukan bidang keusahawanan dan pelukis sepenuh masa

 

Karya ‘Pemandangan’ (1979) oleh A’Aishah adalah sebuah karya ketika beliau bersama Kumpulan Anak Alam di Kuala Lumpur. Karya landskap secara abstrak ini adalah satu manifestasi terhadap bagaimana seniman  melihat alam dari kaca mata seorang pelukis. Apabila kita melihat karya pemandangan melalui lukisan abstrak kita boleh membahagikan nya kepada bahagian langit dan bahagian bumi. Dalam bahagian langit terdapat warna merah kejinggaan yang sering dikaitkan dengan warna senja iaitu sebelum matahari terbenam. Manakala bahagian bumi dalam karya ini pula memperlihatkan tanah rata di bahagian bawah manakala bahagian tengah terdapat seperti bentuk-bentuk condong seakan-akan lerengan dan lurahan beserta dengan warna hijau seakan-akan pepohon. Jika diperhatikan perkembangan karya A’Aishah selepas era 70-an garis-garis atau jalur-jalur melintang terus diterapkan di dalam karya-karyanya selepas itu yang telah menjadi satu identiti terhadap pengkaryaan beliau misalnya dalam siri-siri hidupan laut yang dihasilkan olehnya.  

 

Anasuwandi mendapat pendidikan seni lukis daripada Institut Teknologi Mara pada tahun 19??. Pelukis kelahiran Alor Setar ini dilahirkan pada 1967. Beliau pernah memenangi hadiah dalam Salon Malaysia pada tahun 1991/92 dengan karya siri perangkap. Salon Malaysia ke-3 (1991/1992) yang merupakan sebuah pameran dan pertandingan seni lukis peringkat tertinggi di negara ini dimana karya beliau ‘Trap Series: Bubu #2’ (1991) telah diberi pengiktirafan memenangi Hadiah Kecil bagi Kategori Arca. Anasuwandi pernah hadir dengan pameran solo pertama iaitu “Anassuwandi Ahmad: Perangkap” di House of Matahati (HOM) yang dikuratorkan oleh Faizal Sidik pada 2011 adalah kesinambungan daripada pengkaryaan beliau yang lepas dalam menghimpunkan hampir 20 karya yang dihasilkan daripada tahun 2009 hingga 2011.

 

Menyingkap semula di zaman kecil tinggal dikawasan nelayan di utara Semenanjung yang begitu akrab dengan aktiviti penangkapan di laut serta membubu dikawasan paya dan muara sungai adalah permulaan kepada timbulnya karya-karya perangkap ini. Idea ini kemudiannya diperkembangkan terus apabila memasuki Jabatan Seni Halus di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (kini), Universiti Teknologi Mara di awal tahun 1990 an dengan menterjermahkannya ke dalam bentuk seni kontemporari menerusi seni arca tiga dimensi, arca dinding, catan dan media campuran. Karya ‘Trap Series – Ranjau...Jalan Yang Dilalui #III’ (2006) adalah catan akrilik di atas kanvas adalah variasi dalam pelbagai media yang diterokainya sebelum ini.

 

Balai Seni Negara memperoleh 7 buah karya Anasuwandi termasuk sebuah buku lakaran yang dihasilkan daripada tahun 1991 hingga 2008. Dalam siri catan perangkap ‘Ranjau...Jalan Yang Dilalui’ Balai Seni Negara memperolehi dua siri iaitu ‘Trap Series – Ranjau...Jalan Yang Dilalui #III’ (2006) dan  ‘Trap Series – Ranjau...Jalan Yang Dilalui #IV’ (2006). Karya ini sebuah karya yang menggunakan subjek bubu buluh yang telah melalui fasa-fasa abstraksi atau kemujaradan. Anassuwandi menggunakan penggayaan kraf pertukangan buluh yang dihasilkan oleh seniman tradisi Melayu dahulu iaitu bubu sebagai subjek perangkap dalam asas kepada struktur pembinaan pengkaryaan beliau. Bubu bukan sahaja boleh dilihat sebagai salah satu cara untuk menangkap tangkapan selain dari jala dan jaring didalam air tetapi bubu juga adalah satu peralatan dalam mengambarkan satu bentukan yang memerangkap, menjerat, menjebak dan memenjarakan sesuatu dimana beliau mahu mencipta persepsi dalam kehidupan kita. Tajuk siri ini mengingatkan sebuah novel popular oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad iaitu yang juga berasal dari Baling, Kedah yang bertajuk ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ yang diadaptasi ke filem tempatan dan luar dalam mengisahkan cabaran atau ranjau dalam kehidupan manusia.

 

Azahari Khalid Osman atau lebih dikenali dengan Aza Osman adalah seorang pelukis abstrak. Beliau mendapat pendidikan awal seni dalam seni reka grafik di Jerman dan mendalami seni halus di Itali. Waktu muda sebagai seniman beliau banyak membuat pengembaraan di negara-negara Eropah. Setelah pulang tanah air dari kembaraan pada 1981 beliau membukan galerinya yang dinamakan ‘Gallery 6’ di Kuala Lumpur. Beliau meneruskan kembaraan ke negara-negara Asia Tenggara berkarya bersama-sama Khalil Ibrahim. Antara negara yang dilawati oleh mereka berdua adalah Indonesia dan bertemu dengan seniman besar Affandi di Jogjakarta. Pengkaryaan Affandi mempunyai pengaruhi besar dalam pengkaryaan Aza selepas tahun 1980-an.

 

Karya ‘Tanpa Tajuk’ (1983) oleh beliau adalah sebuah karya abstrak cat air terhadap karya-karya utama beliau. Karya ini adalah suatu pengalaman peribadi yang dilalui oleh beliau yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana aliran seni. Sungguhpun karya-karya ini adala imaginasi beliau terhadap suatu observasi dan pengalaman emosi. Unsur-unsur sureal atau alam bawah sedar terpancar dalam karya-karyanya seolah-olah pengalam emosi itu membawa kita ke suatu alam buatan beliau sendiri. Kini beliau berpengkalan di Langkawi dengan membuka studio dinamakan Atma Alam iaitu sebuah studio, galeri, ruang pameran dan butik bersama isterinya Rosyadah Yusof atau dikenali dengan nama Sada di sebuah lokasi yang dinamaka Atma Alam Batik Art Village.

 

 

 

Figuratif

 

Amron Omar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1957. Beliau mendapat belajar secara formal pengkhususan seni halus daripada Institut Teknologi Mara pada tahun sehingga 1979 sehingga 1982. Pada tahun 1983 beliau kemudiannya bekerja sementara dengan syarikat pengiklanan sebelum mengambil keputusan untuk bergiat secara sepenuh masa. Selain mengembangkan minatnya dalam lukisan gerak persilatanan beliau menerima tempahan melukis potret golagan diraja dan bangsawan.  Keunikan lukisan Amron juga digemari bukan sahaja oleh ahli korporat dan orang kebanyakan untuk memotret diri mereka.  Beliau  juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Institut Teknologi Mara, Shah Alam, Institut Mensa dan pelukis pelatih untuk Angkatan Pelukis Semenanjung (APS)

Balai Seni negara memiliki 3 buah karya utama daripada catan yang dihasilkan daripada tahun 1980 hingga 1982 iaitu ‘Pertarungan I’ (1980), ‘Pertarungan II’ dan (1980) dan ‘Potret Diri’ (1982). Ketiga-tiga karya ini adalah karya pembentukan awal Amron sebagai pelukis profesional. Sungguhpun karya-karya ini adalah pengkaryaan awal beliau telah menunjukkan kehebatan permainan silat dan gerak langkah sehinggakan karya ‘Potret Diri’ telah dianggat menerima Hadiah Kecil dalam Bakat Muda Sezaman pada tahun 1982. Manakala itu terdapat sebuah lakaran atas kertas dan 45 buah lakaran atas kertas tisu yang memperlihatkan kajian-kajian pergerakan tangan, kaki, kekuda dan pertarunga yang dihasilkan daripada 2004 hingga 2008.

Amron Omar adalah antara pelukis figuratif yang meminjam idiom seni tubuh Barat dengan seni persilatan Melayu. Karya ‘Pertarungan I’ (1980) memperlihatkan dua aksi pertarungan silat oleh dua orang yang dilihat dari sudut atas sedang membuka langkah dimana tangan masing-masing seakan-akan ingin memberi isyarat agar lawan masing-masing bersedia dengan gerak seterusnya. Bahagian kaki pula dipersiapkan kekuda untuk merapati lawan masing-masing. Menurut Anurendra Jegadewa kita dapat lihat naratif bagaimana kejantanan bangsa Melayu pada arca timbul Hang Tuah di Muzium Negara dilanjutkan dalam lukisan Amron Omar. Sejak 1980, Amron gigih berusha menampilkan satu bentuk naratif menerusi gerak dan jurus persilatan yang amat indah. Beliau berjaya mengolah segi-segi bentuk dan gerak tubuh serta warna-warna enak pada karya-karya nampaknya yang menjunjung aspek-aspek kebudayaan dan kepahlawanan bangsa Melayu.

Zulkifli Yusof di lahir pada tahun 1962 di Yan, Kedah. Beliau mendapat didikan awal dalam bidang Seni Halus di Institut Teknologi Mara daripada tahun 1987 hingga 1989. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ijazah Sarjana di Machester Polytechnic, United Kingdom pada tahun 1991. Sekembalinya ke Malaysia beliau telah mengajar selama empat tahun di Universiti Teknologi Mara, UiTM Shah Alam. Beliau adalah merupakan pemenang Hadiah Utama dalam pertandingan Salon Malaysia pada 1992 yang diadakan oleh Balai Seni Negara dengan karya ‘The Power I ’.

 

Sepanjang kariernya sehingga kini beliau telah menghasilkan 16 pameran solo antaranya 2 solo pada tahun 1996 ‘The Power’ di NN Gallery dan ‘Brave New Art’ di The Art Gallery, Pulau Pinang, Pada tahun 1997 pula dengan 3 pameran solo ‘Ahmad and His Shadow’ di Art-2 & The Substation, Singapura dan ‘Ahmad and Jibul’ di The Art Gallery, Pulau Pinang dan ‘Zulkifli Yusof After Venice’ di Bangunan RHB, Kuala Lumpur. Pada tahun 2000 dengan ‘Powerful Dialogue’ di The Art Gallery, Pulau Pinang. Tahun 2005 ‘Hot Temper’ di Utterly Art, Singapura. Tahun 2008 ‘Icon, Zulkifli Yusoff’ di Wei Ling Gallery, Kuala Lumpur. Tahun 2009 ‘Malaya’ di Utterly Art, Singapura, Tahun 2009 ‘Zulkifli Yusoff – A Historical Survey, 1996-2009’ di Art Salon & Seni, Kuala Lumpur. Pada tahun 2010 solo di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur dengan tajuk ‘Negaraku’ dan ‘Negaraku Selected Works’ di Utterly Art, Singapura. Pada tahun 2011 ‘Writing Power’ di NUS Museum, Singapura. Pada 2013 ‘Rukunegara 2: Voice’ di Theo Art Project dan 2013 di Theo Art Project dengan ‘Ideologies’ .

Karya ‘The Light Are On’ (1995) oleh Zulkifli Yusoff  adalah salah satu karya daripada 6 karya yang diperolehi oleh Balai Seni Negara. Karya ini adalah empat buah lakaran dakwat di atas kertas adalah karya kajian instalasi daripada ‘Siri The Power’ yang beliau hasilkan sejak tahun 1990-an lagi hingga tahun 2000. Di dalam siri ini beliau merujuk buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin yang dikarang oleh Tun Sri Lanang. Sulalatus Salatin atau perbualan raja-raja Melayu merujuk kepada cerita-cerita golongan bangsawan. Salah satu cerita di dalamnya adalah Meminag Puteri Gunung Ledang. Kisah ini menceritakan tentang kekuasaan seorang penguasa yang tamak dalam mencapai cita-cita walaupun terpaksa mengorbankan orang lain, dalam konteks kita pada hari ini yang digelar sebagai desperado.

 

Eng Tay dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1947. Beliau telah berhijrah ke New York sejak tahun 1968 lagi sejak umur 21 tahun dan mendapat didikan dalam jurusan seni halus daripada The Art Students League di New York pada tahun. Pada tahun 1972 beliau menyambung pelajaran ijazah seni reka grafik daripada  The School of Visual Art, New York. Beliau kemudiannya bekerja sebagai pereka grafik di Red Book Magazine dan menyertai Pratt Graphic Centre iaitu bengkel seni cetak di New York sehingga tahun 1978 dan sehinggalah pada tahun 1980 beliau mengadakan jelajah melukis ke Amerika Selatan dan Asia Tenggara pada tahun itu. Antara negara Asia Tenggara yang dilawatinya adalah Indonesia.

 

Eng Tay berkarya dalam pelbagai media seperti catan, cetakan, arca dan seramik. Beliau mula mengadakan pameran solo sejak tahun 1985, semenjak itu beliau telah mengadakan lebih 100 pameran solo bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi di Taiwan, Hong Kong, Singapura, Malaysia, Britain, Jepun dan Indonesia. Pada tahun 1993 beliau menubuhkan Tapir Edition iaitu studio seni cetak untuk pelukis profesional disamping terus bergerak dengan TriBeCa studio di SoHo. Pada tahun 2015 beliau membuka sebuah ruang pameran yang dinamakan E. Tay Gallery bagi memberi peluang pelukis muda di sekitar New York yang berkarya dengan karya ekperimental dan kontemporari mengadakan pameran secara berkala.

 

Pengkaryaan Eng Tay banyak menyentuh konsep kekeluargaan seperti karya figuratif pertemuan keluarga, lelaki dan wanita, kanak-kanak, hubungan persahabatandan muzik. Karya ‘Musical Charm’ (2006) dalam koleksi negara berkait rapat dengan hubungan kekeluargaan dimana terdapat tiga figura yang sedang duduk dalam keadaan yang mungkin asyik sedang mendengar alunan muzik. Dalam karya ini juga Eng Tay ingin menyampaikan hubungan keakraban dikalangan ahli keluarga dengan stail yang telah beliau praktikan sejak awal lagi.

 

 

 

Shafie Hassan ‘Siri Warisan-Tarik Upih’ (2000)

 

Shafie Hassan seorang pelukis cat air yang dilahirkan di Kulim, Kedah pada tahun 1958 dan dibesarkan di Guar Cempedak. Beliau mendapat latihan seni daripada Maktab Perguruan Kota Bharu daripada tahun 1978 hingga 1979. Beliau kemudian menyambung latihan perguruan seni di Maktab Perguruan Khas pada tahun 1986. Pada tahun 1994 pula beliau mengikuti pengajian Sarjana Muda Seni Halus di Universiti Sains Malaysia.

 

Pengkaryaan Shafie banyak berkisar tentang nostalgia dizaman kanak-kanak semasa membesar di Guar Cempedak. Antara subjek yang sering dirakamkan oleh beliau adalah permainan warisan,

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Than Thean Song ‘Main Layang-Layang/Kite Playing’ (1968)

 

 

Lanskap

Abdul Ghani Ahmad ‘Kedamaian Tropika Belum I’ (2006)

Sharifah Zuriah Al-Jeffri ‘Lata Berkoh’ (1982)

Rafie Ghani ‘Lillies Series’ (1999)

Maamor Jantan ‘Awan Di Taman Halaman’ (2003)

Ahamad Fauzi Hassan ‘Alor Star 6 (Jalan Raja) – (2002)

 

 

Lye Yau Fatt dilahirkan di Alor Setar pada 1950. Beliau adalah seorang pelukis cat air Kedah yang menggunakan medium ini dari awal pembabitannya dalam bidang seni sehinggalah ke hari ini. Pada tahun 1986, Lye Yau Fatt berpeluang menyertai bengkel cetakan di New York, Amerika Syarikat. Beliau aktif mengadakan pameran sehingga lahir sebuah siri yang dinamakan ‘Joy of Living’ yang dihasilkannya pada akhir dekad 1980-an sehingga 1990-an.Menurut Mohd Makhzan Musa Lye Yau Fatt telah berjaya mengadakan dua pameran di Sum Art Gallery, Kuala Lumpur pada tahun 1979 dan 1980.

Sebuah karya Lye Yau Fatt bertajuk ‘Semulajadi/Nature’ (1979) boleh dikatakan adalah hasil daripada perolehan daripada dua pamerannya di Kuala Lumpur berdasarkan sumber berikut. Karya ‘Semulajadi/Nature’ adalah antara sebuah karya awal beliau sebelum beralih kepaa ‘Siri Joy of Living’. Karya alam benda atau still life ini adalah sebuah karya permainan cahaya dan bayangan dengan medium kegemaran beliau. Latar belakang karya ini adalah sebuah binaan yang berkayu dan berbatu konkrit. Manakala subjek karya ini adalah tin majerin yang berjenama Planta. Tin majerin ini sangat popular dikalangan ibu-ibu untuk dalam menghasilkan biskut-biskut moden terutamnya di musim perayaan di negara ini. Sehingga ke hari ini jenama Planta ini masih wujud dan digemari oleh ganerasi baru ibu. Pasu bunga yang diperbuat daripada tin-tin terbuang untuk dijadikan sebagai hiasan adalah pemandangan biasa dekad 1970-an dan 80-an di Malaysia sebagai barangan kitar semula. Karya Yau Fatt ini adalah salah sebuah karya dokumentasi peredaran zaman dari aspek konsumerisme yang berlaku di negara ini.

 

Rohaizad Shaari dilahirkan di Jitra Kedah dan beliau mendapat pendidikan rasmi seni dalam bidang seni halus daripada Institut Teknologi Mara, Shah Alam daripada tahun 1988 hingga 1992. Setelah tamat pengajian beliau kembali ke negeri kelahirannya untuk menjadi pelukis sepenuh masa disamping aktif dengan persatuan Angkatan Pelukis Kedah (APK). Pengkaryaan Rohaizad pada hari ini boleh dibahagikan kepada ‘Siri Pemandangan’ yang dihasilkan daripada tahun 1986 hingga 2002. Beliau sering mengadakan pameran berkumpulan menerusi siri pemandangan ini yang mengangkat aktiviti pertanian tempat kelahiran beliau dilahirkan menerusi cat air. Menyedari subjek ini telah dipelopori oleh Pelukis Tiga Serangkai seperti A.B. Ibrahim, A.J Rahman dan Sidin Yahya beliau cuba beralih arah kepada subjek yang agak berbeza.

 

Pada tahun 2003 beliau hadir dengan pameran solo dengan Siri Gerek. Istilah gerek dalam bahasa bermaksud sikal, perkataan ini bukan sahaja memberi makna kepada basikal tetapi dalam makna yang lebih luas iaitu kenderaan sikal atau kenderaan yang mempunyai roda seperti beca dan motosikal. Karya Rohaizad yang bertajuk ‘Dari Jelapang’ (2001) adalah sebuah karya transisi peralihan dalam percubaan beliau untuk menerokai ‘Siri Gerek’ secara intensif lagi. Meletakkan sebuah motosikal Vespa model klasik berwarna biru keluaran mungkin tahun 1950an sehingga 1970-an yang mempunyai nombor pendaftaran negeri Kedah yang mungkin dimiliki oleh petani berdasarkan tajuknya seakan-akan ingin mengatakan kenderaan ini adalah antara kenderaan yang sering digunakan oleh petani didesa dalam bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain.

 

Choh Kiat Siong dilahirkan di pada tahun 1968 di Alor Setar, Kedah. Beliau adalah antara pelajar awal lulusan Collage of Art Kuala Lumpur daripada tahun 1986 sehingga 1990. Pengkaryaan beliau banyak dipengaruhi oleh bapanya yang juga merupakan pelukis sepenuh masa. Selain melukis sepenuh masa Kiat Siong membuka kelas lukisan di tempat kelahirannya. Beliau mengadakan pameran solo pertama pada tahun 1993 dengan tajuk ‘Light and Shade’ di Rainbow Art Gallery di Pulau Pinang yang memaperkan sejumlalh karya cat airnya.

 

Karya Choh Kiat Siong ‘Nagore Durgha Sheriff  Penang’ (2006) adalah antara karya dalam pameran solo yang keempat yang bertajuk ‘Life’s Journey’ yang diadakan pada tahun 2006. Pameran solo ini mempamerkan himpunan karya karya seni bina ikonik di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Melaka antaranya ialah seperti ‘Kapitan Kling Mosque’ (2005), ‘A Famosa, Melaka’ (2005) dan karya ‘Nagore Durgha Sheriff  Penang’ (2006) dalam simpanan koleksi negara ini. Apa yang membezakan karya Kiat Siong dengan pelukis lanskap senibina yang lain iailah beliau menggabungkan pergerakan figura sebagai latar depan manakala seni bina adallah latar belakangnya untuk menampakkan karyanya lebih hidup dalamm merekod zamannya.

 

 

Pelukis Ganerasi Baru (pelukis muda)

Manakala itu pelukis genarasi baru pula adalah pelukis yang dilahirkan selepas tahun 70 an misalnya Sabri idrus (1971), Choy Chun Wei (1973), Aznan Omar (1973) dan Fauzul Yusri (1974), Mohd. Fazli Othman (1982), Rosnizam Murat, Khairuddin Abdul Hamid, Fathullah Luqman Yusof (1972),

 

Fauzul Yusri ‘Candi Lembah Bujang’ (2004)

Masnor Ramli Mahmud ‘Sign of Life Series-Floating Image II’ (1995)

Ahmad Fuad Osman ‘An Eye For An Eye Will Make The Whole World Go Blind’ (2003)

Choy Chun Wei ‘Collapsing I’ (2008)

Sabri Idrus ‘The Golden Year (Triptych)’ (1999)

Mohd Fadhli Osman ‘Daily Struggle’ (2014)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kesimpulan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan

 

Rahmidin Zahari, ‘A.B Ibrahim dan Lukisan Cat Air Melayu’, Senikini #14, 2011, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, ms 20.

 

Mohd Makhzan Musa, ‘Seni Lukis Kedah Darul Aman’, Dewan Bahasa dan Pustaka,2014,  Kuala Lumpur

 

Amerrudin Ahmad, Haikal Zulkifli & Sarifah Abu Bakar Ebau, ‘Pelukis Negeri Kedah Dalam Koleksi (Himpunan Tetap) Balai Seni Negara, 2017, Kuala Lumpur, ms 14-17.

 

Inventori Himpunan Tetap Warisan Seni Tampak Negara 1958-2003, Balai Seni Negara, 2003

 

Inventori Himpunan Warisan Tetap Seni Visual Negara 2004-2009, Balai Seni Negara, 2009.

Faizal Sidik, ‘Alkesah Yang Empunya Cherita’, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 2013, ms 33-34

 

Katalog ‘Ibrahim Hussein A Retrospective’, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, 1986.

 

Sesi perbincangan dengan Jaafar Ismail berkenaan dengan Galeri Saujana Fine Arts yang dimiliki oleh Kumpulan Pelukis.

 

Katalog ‘Saujana Fine Arts’,  Subang Jaya, Selangor, 1984

 

Majalah ‘Another Initial Impetus #3- Session 3: Khoo Sui Hoe’ National Gallery Singapore, 2020.

 

Kong Wai Yeng, ‘Cover Story: A brushstrokes of genius’, The Edge Malaysia, September 2017.

Faizal Sidik, ‘Anasuwandi Ahmad: Perangkap’, katalog pameran Anasuwandi Ahmad: Perangkap , House of Matahati (HOM), Kuala Lumpur, 2011.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan