Jumaat, 7 Januari 2022

Menglokasikan Seni

 Oleh: Faizal Sidik


Kebanyakan karya baru yang dihasilkan dirangsang dan didorong untuk menyatakan

 semula pembentukan format ataupun susun atur yang sebelumnya.

Donald Judd

Seni situasi adalah bagaimana pengalaman seni itu boleh dinikmati, dirasai dan dialami. Seni dan situasi adalah perihal yang mengaitkan objek seni, ruang, tapak, tempat, masyarakat, orang, awam bahkan seperti yang dikatakan oleh Judd sebagai anti-konvensional pada bentukan yang terdapat disekeliling kita. Menerusi penerokaan dan eksperimentasi tehadap bentuk sains dalam seni, objek seni kini bukan lagi berada di dinding-dinding berkiub putih tetapi ruang-ruang ini telah dipecahkan melalui demokrasi, leberalisasi dan lokalisasi ruang. Kemunculan seni  seperti seni bumi (earth works), seni persekitaran (enviromental art) adalah bagi menghadir dan mendekatkan seni, alam dengan awam seperti yang dikatakan oleh Langer ‘mencipta’  ruang sebenar.

Kuratorial 

Bagi penganjuran Bakat Muda Sezaman edisi 21, format pengajurannya pada edisi ini agak berbeza kerana berada dalam situasi norma baharu dari segi penyertaan dan proses penjurian. Tidak seperti penjurian dalam edisi sebelumnya. Penjurian dijalankan melalui 3 peringkat iaitu peringkat saringan, penjurian dalam talian dan penjurian di lokasi Penganjur menerima 166 penyertaan daripada seluruh negara namun semasa peringkat saringan hanya sekitar 130 penyertaan sahaja yang berjaya ke peringkat seterusnya untuk menghasilkan karya siap. Sudah tentu dalam menyiapkan karya cadangan di lokasi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelukis seperti kos penghasilan karya, persetujuan mendapatkan lokasi dan kekangan masa adalah antara permasalahan yang menjadi hambatan.

Di dalam edisi ini peserta yang layak dibahagikan mengikut zon kuratorial iaitu zon tengah, utara, timur, selatan dan Borneo. Bagi pengkuratoran zon selatan yang meliputi tiga buah negeri di selatan tanahair yang terdiri daripada Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada awalnya terdapat lapan peserta yang melepasi saringan awal dikalangan kurator untuk ke peringkat seterusnya. Proses kuratorial zon selatan ini dibantu sama oleh pakar-pakar rujuk yang terdiri daripada seniman-seniman tempatan ini adalah kerana semasa pandemik ini masih berlaku pintu sempadan negeri masih lagi belum dibuka dan khidmat mereka ini diperlukan dalam memberikan khidmat nasihat dan sebagai pemudah cara kepada peserta terutamnya untuk mendapatkan lokasi dalam berurusan dengan kerajaan tempatan. Antara meraka yang telah bersama adalah Sharon Chin di Negeri Sembilan, Dr. Sharmiza Abu Hasan di Melaka, Fakhrul Zaman dan Shahrizad Hassan di Johor.

Kuratorial zon selatan pada peringkat awal dijalankan secara dalam talian dimana lapan peserta yang dilayak dipertemukan antara kurator dan pakar rujuk di dalam pelantar Google Meet. Kemudian saya mengecilkan perbincangan dengan melakukan pertemuan dalam talian dan melakukan pertemuan secara bersemuka secara perseorangan dengan peserta dalam mengenal pasti cadanga projek, lokasi, pemilihan bahan dan permasalahan yang bakal dihadapi. Hanya lapan daripada sembilan peserta samada perseorangan dan berkumpulan zon selatan berada di bawah kuratorial ini di lokasi-lokasi sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Antaranya adalah Mohd Ifwat Mohd. Ghazali, Sukor Romat dan Noor Azzany ‘Celik Solat’ di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Islam Malaysia (USIM), Nilai. Negeri Sembilan. Karya ‘Rejuvenating The Land Artefacts-Exploring the Megalith/Menhir Formation’ oleh Nayli Syazwani Zain Ariffin, Ahmad Izzan Qistan Kamarulzaman dan Nurhidayatul Aina di Kg. Melaka Pindah Alor Gajah. Tajuk ‘Main Sama-Sama’  oleh Shahrul Munir Mohd Kaulan di Galeri GAS, Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka. Harizuddin Ahmad ‘Label It Right: Tawwakal’ di Laman Kreatif Kluang. Amirul Alwi dari Kota Tinggi ‘Revisit: The Voice in My Head’ di platform media sosial You Tube. Karya ‘Mencari Cahaya’ oleh  Mohd Faizal Bin Riduan di Sekola Baroka, Johor Baharu serta Mohamad Ikmal Mustafa dan Fazirul Faizan ‘Cerita Kuching’ di Taman Rimba, Hujung Tanah Residency, Pontian.


Rujukan:

Donald Judd, ‘Specific Objects’, Arts Yearbook, 8, New York, 1965.

Susan Langer, ‘Virtual Space’, Aesthetics: A Reader in Philosophy of the Arts, Prentice Hall, New Jersey, 1997.