Oleh: Faizal Sidik
Pameran yang bertajuk
Licht und Farbe in der Russischen
Avantgarde Die Sammlung Costakis
atau ‘Warna dan Cahaya Dalam Karya Pelukis Avantgarde Rusia daripada
Koleksi Seni Costakis' ini adalah sebuah pameran bergerak dalam mempamerkan
himpunan karya-karya oleh pengumpul seni George Costakis. Pameran yang
dikuratorkan oleh Miltiades Papanikolaou dan Maria Tsantsnoglou diadakan di
tiga buah negara antaranya di Museum fur Zeitgenossische Kunst di Thessaloniki,
Greece, Martin-Gropius-Bau di Berlin Jerman
dan Museum Moderner Kunst Stiftung Ludwig, Vienna, Austria. Pameran ini adalah
penganjuran bersama antara Berliner Festspiele, Yayasan Kebudayaan Greek dan
State Museum of Contemporary Art Thessaloniki.
Saya sempat
menyaksikan pameran ini semasa diadakan di lokasi kedua iaitu di muzium seni Martin
Gropius-Bau semasa kunjungan musim luruh saya di kota Berlin ini pada tahun 2004. George
Costakis dikenali sebagai salah seorang kolektor seni penting bagi pelukis
avantgarde Rusia. Semasa tahun 1950 an dan 60 an beliau banyak membuat
pembelian dan perolehan pelukis-pelukis avantgarde Rusia yang dikatakan tidak
banyak diberi tumpuan oleh kolektor lain pada waktu itu. Kini koleksi Costakis dalam simpanan State Museum
of Contemporary Art di Thessaloniki adalah merupakan himpunan koleksi
terpenting para pelukis avantgarde Rusia yang ada pada hari ini.
Sedikit pengenalan
mengenai kolektor seni ini lagi, George Costakis pernah berkhidmat hampir empat
dekad dengan Kedutaan Kanada di Moscow. Beliau mula mengumpul karya-karya pelukis avantgarde
Rusia (1900-1943) sejak tahun 1946. Pada
tahun 1970an beliau menjadikan kediaman rumah pangsapuri beliau di Moscow
sebagai muzium persendirian dan tempat berkumpul dan bertemunya para pelukis,
intelektual dan kolektor. Di sinilah tempat beliau mengenali pelopor pelukis avangarde Rusia samada yang
telah lama terkenal atau samada yang baru meningkat naik dimana karya-karya mereka mempunyai pengaruh
yang kuat terhadap perkembangan artistik seni lukis selepasnya yang berlaku di
Eropah Barat antaranya termasuklah Wassily Kandisky, Kazimir Malevich,
Alexander Rodchenko dan Liubov Popova.
George Costakis (1913-1990)
Pada tahun 1977
Costakis telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Soviet Union dan kembali
ke Greece. Sungguhpun beliau kembali semula ke tanahairnya namun beliau tetap
meninggalkan sedikit koleksinya di Moscow. Tiga belas tahun selepas itu beliau meninggal dunia pada tahun 1990,
karya-karya koleksi himpunan beliau hilang seketika daripada perhatian umum dunia
seni sehinggalah kerajaan Greek membeli semula pada tahun 2000. Sejajar dengan
kejayaan bandar Thessaloniki yang dianugerahkan sebagai sebuah Kota Budaya
Eropah pada tahun 1997, koleksi-koleksi yang dimiliki oleh kerajaan ini
diserahkan kepada Thessaloniki State Museum of Contemporary Art sebagai ruang untuk
mempamerkannya.
Bandaraya Berlin
adalah satu-satunya destinasi di Jerman yang dipilih dalam pameran bergerak
yang mempamerkan sebanyak 320 buah karya oleh pelukis avantgarde Rusia termasuklah
bahan arkib oleh lebih 50 orang pelukis itu. Menurut kurator yang juga
merupakan pengarah muzium negeri Thessaloniki, Greece, ada sesetengah karya dalam pameran belum
pernah dipamerkan kepada khalayak dan buat pertama kalinya diperlihatkan umum.
Muzium Seni Martin-Gropius-Bau di Berlin
Boleh dikatakan himpunan
koleksi ini mempamerkan aliran-aliran yang berbeza dalam gerakan seni
avantgarde Rusia yang berlaku daripada tahun 1900 sehinggalah 1943. Pameran ini
tidaklah dianggap sebagai cahaya dalam menerangi dari satu pergerakan kepada
pergerakan seterusnya tetapi lebih memokuskan elemen cahaya dan warna yang
terdapat di dalam karya pelukis avantgarde Rusia dan kepentingan perkembangan
pergerakan seni ini diabad ke-20. Pameran
ini dibahagikan kepada sepuluh pembahagian ruang bilik: 1. Hitam, 2. Auto-Cahaya, 3.
Imaginasi Warna, 4. Kebebasan Warna, 5. Pendominasian Warna, 6. Kajian Warna,
7. Warna dalam Dekorasi, 8. Warna dalam Produksi, 8. Cahaya dan Sains, Cahaya
dan Teknologi, 9. Pudar dan 10. Putih
Ivan Wassiljewitsch Kljun,, ‘Red Light Spherical Composition’, (1923),
Cat minyak atas kanvas, 69,1 cm x 68,9
cm
Pameran ini dimulakan
dengan karya-karya yang agak monokromatik dan diikuti dengan kebebasan dalam
penggunaan warna, kajian warna pula memperlihatkan cahaya dalam konteks kosmik
dan metafizik ke dalam karya serta pengaruhnya dalam arus perkembangan fotografi
dan filem. Pameran ini diperlengkapkan dengan bahan arkib, manuskrip,
buku-buku, fotografi dan filem-filem.
Antara
pelukis-pelukis dalam pameran ini adalah seperti Alexander Drevin, Ksenia
Ender, Ivan Kliun, Gustav Klutsin, Ivan Kudriashev, El Lissitzky, Kazaimir
Malevich, Solomon Nikritin, Liubov Popova, Alexander Rodchenko, Olga Rozanova,
Antinina Sofronova, Vladimir Tatlin, Ilya Chashnik, Nadezhda Udaltsova dan
Konstantin Vialov.
Vladimir Tatlin, ‘Monument
to the Third International', (1919)
Pameran
ini dikuratorkan dengan bantuan Miltiades Papanikolaou yang juga Profesor
Sejarah Seni di Aristotle University di Thessloniki dan para ahli jawatankuasan
antarabangsa seperti John E. Bowlt, Charlotte Douglas, Nicoletta Misler dan
Maria Tsantsanoglou yang bertanggungjawab dalam menyelaras sama pameran ini.
Buku
katalog pameran ini diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Jerman, bahasa
Inggeris dan bahasa Greek oleh penerbit Dumont Verlag yang mengandungi sebanyak
450 muka surat. Esei-esei dalam katalog ini disumbangkan oleh penulis daripada
sembilan buah negara antaranya Snejanka Bauer, Lutz Becker, John Bowlt, S.O.
Chan-Magomedow, Charlotte Douglas, Maria Ender, Olga Fota & Maria Kokkori,
Konstantin Istomin, Aliki Kostaki, Christina Lodder, Jean-Claude Marcade,
Nicoletta Misler, Miltiades Papanikolaou, Ada Raev, Alexandra Scazkich, Maria
Tsantsanoglou, Margareta Tillberg dan Syrago Tsiara.
Buku katalog pameran
Kandungan katalog ini juga diselitkan dengan coretan-coretan secara teoritikal dan teks-teks oleh pelukis Rusia. Ini memberikan satu sudut pandang dalam penyelidikan material dan program pembelajaran yang digunakan di sekolah-sekolah seni pada masa itu dan apa yang lebih penting adalah pameran ini telah memberikan cahaya dan warna.
Menurut
ketua kurator, kedua-kedua samada pembinaan pameran dan penerbitan katalog
adalah direkabentuk dalam struktur rangka kerja yang bersifat peralihan
perkembangan, penyusunan dari perspektif pensejarahan, perakaman dalam
tahap-tahap yang berbeza terhadap pendekatan terhadap warna dan cahaya, pembebasan
dalam berekspresi dan akhirnya kepada kebebasan bentuk dan warna yang sebenar.
Alexander Rodtschenko, ‘Expressive Rhythm’, (1943-1944), ,
gouache atas kertas, 61 x 172,7 cm
Boleh
dikatakan bahawa Koleksi Kostakis ini sebuah monumen salah satu pencapaian
hebat dalan sejarah peradaban Rusia. Pelukis-pelukis avantarde Rusia ini telah
memberi sumbangan yang besar dalam melihat dunia melalui gambaran dimana mereka
telah membawa cahaya bukan maksud sebagai cahaya luaran seperti matahari tetapi
cahaya dalaman yang memancar dunia kita ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan