Oleh: Faizal Sidik
Pengenalan
Perhubungan antara
tradisi dengan moden yang dibawa seni arca adalah salah satu manifestasi seni
tiga dimensi yang bermain dengan ruang sebenar, penglihatan secara langsung dan
membangkitkan sentuhan. Balai Seni Negara sejak awal penubuhannya telah memasyarakatkan karya-karya seni arca menerusi pameran dari
dalam dan luar negari seperti ‘5 Singapore Sculptor’ (1968), ‘Henry Moore’
(1968), ‘Rodin and His Contemporary’ (1969), ‘Seni Ukir Tradisi Melayu’ (1971),
’45 Arcawan dari Amerika’(1974), ‘Seni Arca Moden di Malaysia’ (1976), Ramlan
Abdullah: Anugerah Seni Zain Azraai (2001), ‘Nafas:Raja Shahriman Raja Aziddin’
dan ‘Chin Wan Kee: Sculpturing Is Meditative’ (2017).
Pada tahun 2019
sebanyak 3 buah pameran arca lagi dianjurkan oleh Balai Seni Negara misalnya
pameran ‘Aznan Omar: Manusia dan Gajet’, ‘Minta Perhatian: Arca Koleksi Balai
Seni Negara’ dan pameran ‘International
Marble Art Camp (IMAC)’ yang telah
diadakan di Balai Seni Negara Langkawi sempena Pulau Langkawi sebagai tapak
taman geologi warisan dunia.
Raja Shahriman Raja Aziddin
Pengarca pertengahan
karier iaitu Raja Shahriman Raja Aziddin bukanlah seniman asing di dalam
lanskap seni visual Malaysia. Kini beliau hadir dengan karya-karya terkini dalam
siri baru yang diberi nama Lok. Pameran ini merupakan sebuah pameran solo
beliau yang ke-9 sepanjang 30 tahun berkarier sebagai pengarca sepenuh masa.
Pameran terbaru ini dibawa oleh geleri
Pelita Hati sebagai penganjur bersama dalam program rakan strategik yang
dinamakan sebagai inisiatif swasta dalam membawa dan berkongsi pameran ini
diadakan di Galeri 2B, Balai Seni Negara pada 2 Disember 2019 sehingga 26 Mac
2020.
Arcawan Raja
Shahriman Raja Aziddin (lahir 1967, Kuala Kangsar) adalah antara seniman yang
masih berdiri teguh dalam menghasilkan karya arca besi di Malaysia. Graduan
Seni Halus (1986-1990) pengkhususan Seni Arca daripada Universiti Teknologi
Mara ini terus mara dalam menghasilkan arca-arca yang berakar dan beridentitikan kebudayaan
Melayu nusantara.
Perjalanan seni arca
besi beliau bolehlah dibahagikan kepada tiga evolusi perjalanan iaitu dekad
penerokaan dari awal hingga akhir 1990 an
yang menyaksikan kekuatan gerak tenaga seperti siri ‘Killing Tools’
(1994), ‘Gerak Tempur’ (1996), ‘Api, Bayang dan Kemenyan’ (1998). Dekad peralihan pula daripada 2000 an hingga
2009 memperlihatkan kepaduan bentukan dengan siri ‘Semangat Besi’ (2001), ‘Nafas’
(2004), ‘Rhythm of 21 Century’ (2009).
Manakala dekad pengukuhan daripada 2010 hingga 2019 menterjemahkan penguasaan
subjek dengan siri seperti ‘Kemelut Zaman’ (2012), ‘Gembala Mana ‘O’ Si Gembala’
(2014) dan terkini siri ‘Lok’ (2019)
Karya Siri Lok
Karya mutakhir yang
dihasilkan sejak 2016 memperlihatkan keasyikkan beliau terhadap dua perkara
yang menjadi bahasa beliau dalam
mengarca iaitu bentuk tubuh badan dan keris. Dalam siri Lok ini yang mengambil
hampir tiga tahun untuk disiapkan Raja Shahriman seakan-akan mencurahkan segala
kudrat yang ada ke atas siri ini. Ia seperti suatu ilham keindahan yang telah
lama disimpan di dalam fikiran dan imaginasi itu kini diterjemahkan oleh beliau
dalam ruang dan bentuk.
Dalam karya Lok ini
beliau hadir dengan lakaran-lakaran kajian, 10 buah lukisan dan 25 buah arca
torso penjelmaan karya yang beragam bentuk dan beraneka rupa. Berinspirasikan
daripada lekuk pada keris sebagai metafora cabaran hidup yang dihadapi dalam
beragam bentuk dan rintangan yang datang dalam beraneka rupa sebagai ujian yang
diharungi manusia zaman sekarang. Antara karya-karya dalam pameran ini adalah
seperti Lok 99 Pohon Lok, Lok 3 Menjulang Kerawang, Lok 5 Ribut Membadai, Lok 5
Genta Pancung Tak Bertanya, Lok 45 Guris Panglima dan Lok 4 Kilat Menyambar.
Lok 99 Pohon Lok ini merangkumi keseluruhan siri lok pameran ini. Setiap 24 arca ini dalam ruang ini mewakili kepada 24 jam dalam sehari, maknanya setiap saat kita menerima ujian, atau manusia dalam 24 jam sehari tidak terlepas darinya kerana ujian berlaku setiap masa. Sebanyak 24 buah arca dalam ruang ini dan arca ini adalah induknnya iaitu yang ke 25 sebagai rumusannya. Kita dapat lihat berbagai-bagai bentuk lok dalam sebuah arca induk ini dimana pada puncak arca ini mempunyai 13 bilah keris dengan ragam lok yang pelbagai rupa, ia mempunyai kaitan dengan 13 rukun yang dijunjung iaitu Rukun Agama (rukun, iman, rukun Islam dan rukun ehsan.) Rukun Iman 6 perkara, Rukun Islam 5 perkara dan Rukun Ehsan 2 perkara. Bilangan 13 ini dinamakan Rukun Agama yang dijunjung dan dibawa sebagai satu pegangan.
Walau bagaimanapun
ada satu lok yang bengkok ke bawah dimana pengarca mahu mengatakan pada masa
untuk menjunjungkan rukun ini ada yang terjatuh kerana manusia tidak sempurna
dan mempunyai kelemahan. Dalam kata lain manusia ini banyak kekurangan atau
kemampuan dalam menegakkan yang 13 rukun tadi. Bentuk keris yang tegak ke
puncak pula mewakili 99 tauhid Hasma Al-Husna iaitu Tuhan yang Satu.
Lok 3 Menjulang Kerawang ini juga adalah merupakan salah satu simbol dalam alam Melayu yang digunakan sebagai satu motif di dalam kesenian Melayu. Kerawang ini membawa maksud keawang-awang iaitu satu keadaan tumbuh-tumbuhan yang dijadikan melilit dan menaik keatas. Arca ini menceritakan keawang-awangan iaitu satu tempat yang tinggi yang merupakan juga salah satu dari konsep tauhid. Menjulang Kerewang ini ingin pergi ke suatu tempat yang tinggi yang bermotifkan ukiran kesenian Melayu. Arca Lok 5 Ribut Membadai ini pengarca mengambil bentuk alunan keris dalam menunjukkan kekuatan angin dan juga gelombang ombak. Arca ini juga seperti tiupan angin yang sedang meniup memataforakan kata-kata mengharungi cabaran seperti ribut, gelora, badai sebagai suatu cabaran-cabaran dalam kehidupan.
Lok 5 Genta Pancung
Tak Bertanya pula diinspirasikan daripada senjata sundang iaitu alat untuk
memotong dan menebas. Dalam bentuk keris ada yang berlok dan ada yang tegak.
Pengarca mengambil ‘Genta Pancung Tidak Bertanya’ iaitu adalah sempena satu
gelaran kepada seseorang yang telah diberi kuasa oleh Sultan dahulukala di
Perak. Gelaran ‘Genta Pancung Tidak Bertanya’ adalah kerana orang berkenaan
mengerti atas hukum hakam dimana Sultan telah memberi keizinan dalam
menjatuhkan hukuman kerana tinggi ilmunya dalam hukum agama dan mengerti dalam
membuat keputusan dan menggunakan sundang sebagai alat memancung.
Lok 45 Guris Panglima
dikaitkan dengan suatu amalan dalam kata
lain bentuk lok yang yang banyak ini suatu yang membahayakan orang yang bertentang
dengannya. Guris Panglima berkarekter seperti seorang panglima iaitu status
kepanglimaan seseorang itu, semakin banyak lok maka semakin kuat atau berat
ujian yang ditanggung. Lok yang banyak
dalam karya ini mengambarkan cabaran yang dihadapinya. Lok 4 Kilat Menyambar
adalah adalah suatu keadaan yang pantas dan membahayakan. Pengarca menggunakan
situasi itu dalam bilah keris arca ini seperti bentuk kilat. Pengarca juga
ingin mengambarkan bahawa kilat menyambar adalah kejadian alam yang digeruni dan
ditakuti.
Tahniah kepada
pengarca dan kumpulan kuratorial yang menjayakan pameran solo ‘Lok: Raja
Shahriman Raja Aziddin’. Semoga pameran arca yang berteraskan kesenian dan
kebudayaan tradisional Alam Melayu ini terus subur berkembang dan menjadi tema
pilihan kepada seniman kita di masa akan datang.