Ahad, 7 Julai 2019

‘KALI INI KITA BERSAMA-NUSANTARA SEBAHAGIAN : PANGGUNG SENI DALAM MEMBINGKAI BABAK CERITERA PEREMPUAN’

https://issuu.com/faizalsidik/docs/5._kali_ini_kita_bersama_-_serantau




Oleh: Faizal Sidik

Pengenalan
Benua Melayu Sunda atau lebih dikenali dengan Pentas Sunda telah wujud pada zaman ais yang berlaku pada 14,000 hingga 30,000 Sebelum Masihi adalah sebuah benua yang satu. Akibat banjir besar yang diturunkan oleh Allah s.w.t terhadap kaum Nabi Nuh a.s. yang ingkar terhadap kerasulannya seperti yang terdapat di dalam al-Quran juga adalah sebagai peringatan untuk umat selepasnya mengambil iktibar. Selain dikenali oleh zaman moden ini dengan banjir magnitud besar, kejadian bencana alam seperti letupan gunung berapi, gempa bumi dan pencairan ais telah menyebabkan permukaan tanah yang satu ini kemudiannya berair menjadi cetek seterusnya lama kelamaan ditenggelami air yang membentuk lautan sebagaimana bentuk muka bumi Asia Tenggara yang terasing-asing dipisahkan antara tanah besar dan gugusan pulau-pulau (archipelago) seperti yang dapat kita lihat peta pada hari ini.

Dunia Alam Melayu
Maka wujudlah empayar-empayar yang pernah wujud di rantau Tenggara ini seperti  Empayar Funan, Emayar Champa, Empayar Majapahit dan Empayar Melaka. Pemerintahan Empayar Kesultanan Melayu Melaka  daripada abad ke -13 hingga ke-14 yang merangkumi dari utara semenanjung iaitu dari Patani, Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor, Pahang dan Johor. Manakala menyeberangi Selat Melaka pula terdiri dari Samudera-Pasai, Aru, Rokan, Siak, Kampar, Inderagiri, Bintan, Lingga hinggalah ke Jambi.

Pada ketika itu Melaka merupakan sebuah pelabuhan entreport yang sama penting dengan pelabuhan Venice semasa Zaman Renaisan di Eropah. Berada di tengah-tengah lokasi strategik yang menghubungkan kapal-kapal dagangan dunia timur dan barat berlabuh dan berdagang sehinggakan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan yang dipertuturkan oleh masyarakat  berbilang bangsa pada ketika itu. Bahasa ini pernah menjadi bahasa antarabangsa yang  luas penggunaan sebagai bahasa Inggeris pada hari ini. 

Sempadan sosio-politik pada hari ini yang dipisah-pisahkan oleh penjajahan bangsa luar terhadap hasil mashur bumi dan kepercayaan nusa tenggara yang bersilih ganti. Kekayaan hasil bumi seperti emas, rempah, cengkih, teh dan bijih menjadikan empayar ini dicemburui oleh bangsa Eropah seperti Portugis, Belanda, Inggeris, Sepanyol, Perancis, Amerika dan Jepun  telah membentuk nusantara ini menjadi negara-negara bangsa yang terpisah-pisah daripada Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau, Sumatera, kepulauan Borneo, tanah Jawa sehinggalah ke kepulauan Sulawesi yang mana mengamalkan pula pemerintahan tinggalan jajahan.

Bermulalah daripada satu tamadun Alam Melayu yang besar pada  zaman kolonial tanah-tanah ini dipecah perintahkan oleh penjajah menjadi bahagi-bahagikan kepada negara bangsa yang lebih kecil menjadi negara bangsa yang dominan seperti Vietnam dan Kemboja (Melayu Champa), Thailand (Melayu Patani), Malaysia dan Singapura (Orang Melayu), Indonesia (Melayu Jawa) dan Filipina (Melayu Sulu). Orang Melayu di rantau  ini masih bergelut dalam membina dan mengangkat semula jati diri serta identiti yang diganggu gugat dan disekat oleh orang luar yang menghakis nilai-nilai kemelayuannya. Kesan daripada penjajahan yang terlalu lama dimana negara nusantara ini dijarah dari segi ekonomi dan kebebasan berekspresi selain peperangan dalaman menyebabkannya mencari semula semangatnya sebagai salah satu rantau yang pernah agung dan bangsa yang hebat sebagai pelaut, tukang yang handal, kepandaian persenjataan dan ketinggian kesusasterannya.

Wanita Sebagai Imej Patriarchal
Pameran ‘Kali Ini Kita Bersama II’ ini adalah sebuah pameran berkumpulan daripada beberapa negara di Alam Melayu ini dari selatan Thai menyelusuri banjaran Titiwangsa, dari hujung tanah sehinggalah ke pulau-pulau Sumatera sehinggalah ke tanah Jawa dengan harapan untuk mengangkat budaya dan tradisi seni di kawasan-kawasan ini yang pada dahulunya merupakan sebagai sebuah tanah air yang satu sebelum dipisahkan-pisahkan oleh sempadan dan batasan geografi politik. Antara pelukis yang dipilih seperti Kusofiyah Nibuesa, Kameelah i-Lala, Serena Chema, Nurulfirdaos Ding, Nordiana Beehing dan Salwanee Hajisamae dari Patani, Thailand. Shu Ruei, Syarifah Nadhirah, Diana Ibrahim dan Akma Suriati dari Malaysia. Dasimah Abdul Jalil dari Singapura dan Agni Saraswati dari Jogjakarta, Indonesia.

Kurator pameran U-Wei Hj Shaari sememangnya dikenali sutradara dengan filemnya  mengangkat tema citra kewanitaan dalam sisi yang berbeza  dalam pengarahan filem Melayu tanahair. Tema-tema kewanitaan dalam kehidupan dalam pengkaryaan misalnya ‘Isteri, Perempuan dan .....’,  ‘Jogho’, ‘Buai Laju-Laju’, ‘Hanyut’ diangkat oleh Uwei ke layar daripada naskah novel sastera oleh sasterawan seperi S. Othman Kelantan, Joseph Conrad. Pameran ini kurator cuba membawa membingkai semula nuansa kewanitaan dalam ruang yang bisu agar pelihat lukisan bukan sahaja melihat tetapi membaca rupa dan bentuk. Dalam ‘panggung gambar’ ini tiada  naskah sastera yang diskriptasikan  dengan pengucapan dan kata-kata yang indah, tiada juga imej bergerak dengan sinematografi dari babak ke babak yang dipertontonkan, tiada pula bunyi-bunyian latar muzik yang dilagukan dan yang ada hanyalah kekuatan emosi dan ekspresi karekter watak-watak.

Menurut Laura Mulvey (1989) dalam bukunya Visual and Other Pleasure yang membicarakan teori perihal memandang atau melihat oleh lelaki (male gaze) mengatakan bahawa “kepuasan dalam menonton boleh dibagikan kepada dua bahagian, iaitu laki-laki (aktif) dan perempuan (pasif). Lelaki menjadi penonton (spectator) dan perempuan menjadi tontonan (spectacle)”. Ia adalah pernyataan yang mengatakan bahawa dunia ini dibahagikan dengan ketidakseimbangan seksual. Dalam esei tersebut juga menyatakan bahawa perempuan dijadikan objek seksual iaitu tontonan erotik atau berahi yang memuaskan lelaki heteroseksual iaitu lelaki yang cenderung tertarik dari segi seks kepada orang yang berlaian jantina dengannya. Dalam perihal ini penonton dipaksa menonton filem dari sudut pandang lelaki secara tidak langsung akan mengekspolatasikan tubuh dan seksualiti perempuan yang kemudiannya dapat menjadi sumber kepuasan seksual bagi penonton.

Teori lelaki sebagai pelihat ini (male gaze) oleh Mulvey pada hari ini bukan sahaja khusus dalam filem seperti yang beliau nyatakan tetapi juga dalam industri yang lain seperti pengiklanan, sukan, muzik, penyiaran dan peragaan model dimana imejan keperempuannya sering dieksploatasikan sebagai simbol dagang. Kebenaran formula ini dibuktikan dalam filem -filem pecah panggung (blockbuster) yang dihasilkan produser dan sutradara  filem Hollywood dalam menarik penonton memenuhi kerusi di panggung.

Sungguhpun begitu dalam pameran ini sutradara sebagai kurator bukan untuk memandang perempuan sebagai sesuatu untuk dilihat dari cara pandang lelaki, beliau seolah-olah mengambil peranan pembikin filem perempuan sebagai melawan patriarchal  (kuasa lelaki). Beliau menghalakan lukisan-lukisan yang dipamerakan sebagai lensa kamera yang mengangkat citra cerita perempuan terhadap ketidakadilan gender terhadap isu dominasi lelaki, penindasan,  tekanan, kehilangan, dan keterasingan. Kurator ingin mematahkan serangan maskuliniti dan mengangkat ciri-ciri femeniniti seperti kelembutan, keibuan dan kehoramtan wanita ke satu tahap yang sewajarnya dan lebih tinggi.

Jika sebelum ini watak wanita dalam filem beliau dijadikan karakter utama untuk dimainkan di dalam panggung wayang tetapi dalam pameran ini lukisan wanita dipilih dan disusun untuk dipamerkan di dalam galeri. Simbolisme dan lambang adalah bahasa visual sebagai yang menggantikan teks sebagai bahasa lisan dalam filem yang kedua-duanya bermain dengan semiotika. Galeri seni kini dianggap sebagai panggung dalam membingkai cerita-cerita wanita. Uwei seolah-olah mengajak pelihat membaca cerita wanita sebagai susuk yang memainkan watak utamanya dari belenggu patriarchal sebagai suatu protes anti-kekuasaan lelaki.

Kesimpulan
Karya-karya yang dipamerkan dalam pameran ini adalah cetusan keluhan rasa terhadap fitrah kejadian manusiawi yang bernama perempuan yang menuntutnya untuk menzahirkan pengalaman estetika batiniah ke dalam bentuk keindahan merupa, kepandaian mencipta dan kebijaksanaan mengolah. Pameran ‘Kali Ini Kita Bersama II’ adalah pentas serantau yang menghubungkan, menjambatankan dan mempertemukan semula nafas kebersamaan kemanusiaan alam Melayu dengan harapan agar budaya dan tradisi kesenian yang telah lama bertapak di kawasan ini dalam memperkasakan wanita dimartabat dan dinobat .


Rujukan:

Shaharir Mohamad Zain, (2014). “Sains dan Teknologi Sebelum Penjajahan dari Eropah”, dlm.
Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (ed.), Kepustakaan Ilmu Tradisional, Kuala Lumpurr: Dewan Bahasa dan Pustaka

Mulvey, Laura. (1989). Visual and Other Pleasure. New York: Palgrave

Faizal Sidik, (2011). “Dari Layar ke Kanvas, dlm. Wayang Uwei Angkat Saksi, Kuala Lumpur: Balai Seni Negara.

Hafizah Iszihaned, (2019), “Melayu Champa kini golongan minoriti di Vietnam”, Kuala Lumpur, Berita Harian, 25 Mac 2019.

Ilham Mabrok, “Male Gaze dalam Filem Handmaiden,”